September 6th, 2012

Sunnah dalam organisasi

SUNNAH berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud jalan (tariqah/sirah). Ketika mendefinisikan maksud sunnah, Imam Ibnu Taimiah dalam kitabnyaMajmu' Fatawa mengutarakan ucapan yang dibuat oleh Imam Abu Hasan bin Abdul Malik Al-Karajy: "Sunnah adalah jalan Rasulullah SAW. Menerapkan sunnah sesuai dengan jalan tersebut. Sunnah meliputi ucapan, perbuatan dan keyakinan."

Melalui pandangan ini dan beberapa pandangan ulama yang lain, dapat kita fahami bahawa sunnah bukan sahaja menyentuh persoalan ibadah seperti solat dan puasa sahaja, bahkan ia turut meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah organisasi.

Allah SWT berfirman: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak. (al-Ahzab: 21).

Untuk membangunkan dan menghidupkan roh sunnah dalam organisasi, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.

Pertama, organisasi yang menepati sunnah ialah apabila ia meletakkan visi dan misinya sejajar dengan kehendak baginda SAW. Lebih tepat lagi, organisasi yang ingin menghidupkan sunnah perlu menjadikan Islam sebagai tunggak utama dalam penentuan hala tujunya.

Maka, rujukan utama kepada organisasi ini dalam menetapkan hala tuju dan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku ialah al-Quran dan hadis.

Oleh kerana itu, dasar dan pembawaan operasi organisasi perlu mengambil kira persoalan dosa dan pahala. Hukum-hakam Allah SWT tidak boleh dikesampingkan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.

Islam tidak pernah menghalang kita untuk mendapatkan keuntungan. Namun biarlah keuntungan tersebut diperoleh dalam ruang lingkup batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam.

Kedua, pelaksanaan kepada visi dan misi perlu mengambil kira kepatuhan kepada syariah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Ia perlu terus istiqamah dan tetap di atas jalan tersebut sampai ke akhirnya. Mana-mana organisasi yang ingin melaksanakan sistem pengurusan berteraskan prinsip dan nilai-nilai Islam pastinya akan diuji dengan pelbagai cabaran.

Ia telah menjadi ketetapan Allah SWT untuk mengetahui organisasi berkenaan adakah benar-benar ingin melaksanakan Islam ataupun hanya mengambil peluang terhadap Islam. Istiqamah memerlukan keazaman yang jitu dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Inilah golongan yang dipuji oleh Allah SWT dalam Al-Quran. (rujuk al-Ahqaf: 13)

Ketiga, setiap individu yang berkhidmat dalam organisasi berkenaan memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan visi dan misi yang disasarkan itu tercapai.

Tanggungjawab ini menuntut usaha yang bersungguh-sungguh dengan kualiti gerak kerja yang penuh iltizam.

Semua warga kerja organisasi, dari perspektif Islam, mereka adalah da'ie (pendakwah) yang menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Mereka merupakan kelompok yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan pelanggan. Keinginan pelanggan untuk mendapatkan produk-produk yang ditawarkan banyak bergantung kepada mereka.

Tanggungjawab mereka bukan sahaja mempromosikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, malahan mereka juga boleh menggunakan medium berkenaan untuk menyampaikan mesej Islam.

Tetapi, ia harus bermula dengan meyakinkan pelanggan dengan produk-produk yang ditawarkan. Ini adalah kerana, pelanggan adalah merupakan mad'u (orang yang diseru) dalam memasarkan produk yang berteraskan sistem muamalah Islam. (rujuk Ali-Imran: 104)

Oleh kerana itu, warga kerja organisasi berkenaan perlu membentuk kesatuan di kalangan mereka bagi merealisasikan cita-cita murni itu. Mereka juga perlu mematuhi akhlak Islamiah dengan menjaga aurat dan batasan pergaulan.

Keempat, organisasi berkenaan juga perlu mewujudkan biah solehah untuk kakitangannya. Kakitangan yang bekerja dalam organisasi berkenaan perlu dihidangkan dengan pengisian rohani agar mereka sentiasa sedar akan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

Oleh itu, syarikat perlu menganjurkan sesi tazkirah, kuliah dan penulisan-penulisan berbentuk ilmiah untuk semua kakitangan yang berkisar tentang kerjaya mereka dan hubungannya dengan agama. Di samping itu, sediakan tempat untuk kakitangan menunaikan solat secara berjemaah kerana dengan mendirikan solat berjemaah itu boleh menyatukan hati-hati mereka.

Kelima, elakkan sebarang maksiat dalam penganjuran program organisasi. Program-program seperti Hari Keluarga, Majlis Anugerah dan sebagainya perlu bertepatan dengan Syariah. Hindari sebarang aktiviti yang bercanggah dengan maksiat seperti tari-menari, nyanyian yang melalaikan, percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan, hidangan minuman keras, perjudian dan sebagainya. Program tersebut juga tidak sewajarnya melangkaui waktu solat.

Demikianlah beberapa perkara yang perlu kita sama-sama pertimbangkan untuk menghidupkan sunnah dalam organisasi. Semua perkara ini dilakukan semata-mata kasih kepada baginda SAW. Yakinlah bahawa apabila sunnah Rasulullah SAW diamalkan dan diperjuangkan, akan datangnya keberkatan daripada Allah SWT. Inilah jalan Rasulullah SAW (sunnah) yang wajib kita ikuti.



Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/09/2012

Cerai fasakh

PERCERAIAN adalah satu perkara yang ditakuti oleh setiap pasangan yang berkahwin. Siapa yang mahu melihat rumah tangga yang dibina atas dasar cinta, lebur dalam sekelip mata.

Kata orang 'cinta itu buta' yang boleh menyebabkan orang yang dilamun cinta membuat pelbagai perkara pelik untuk menunjukkan rasa cinta. Cinta menyebabkan orang makan tak kenyang, mandi tak basah.

Sebaliknya, perceraian menyebabkan orang hilang pertimbangan sehingga tidak boleh duduk berbincang.

Yang lahir daripada hati dan mulut adalah kebencian yang menyebabkan orang yang dilanda musibah perceraian tidak boleh tidur, migran, lelah dan cirit-birit atau gastrik.

Daripada seorang yang ceria, perceraian akan menyebabkan seseorang menjadi murung, hilang keyakinan diri dan akhirnya menyendiri. Ini bermakna, kesan perceraian boleh membawa padah.

Saya sudah membincang perceraian yang paling biasa dan mudah iaitu perceraian melalui lafaz talak oleh suami, cerai taklik dan kali ini saya hendak bincangkan perceraian melalui fasakh.

Perceraian melalui fasakh berbeza daripada talak dan taklik kerana kedua-duanya itu bergantung kepada lafaz talak oleh suami.

Fasakh adalah perceraian atau pembubaran perkahwinan yang dibuat oleh mahkamah syariah yang kebiasaannya atas permohonan isteri.

Fasakh tidak menambah bilang talak sedangkan jika bercerai melalui talak, ia hanya boleh dilafazkan sebanyak tiga kali.

Jika talak telah dilafazkan sebanyak tiga kali, maka pasangan tidak boleh rujuk lagi. Kecuali isteri berkahwin dengan lelaki lain dan diceraikan olehnya. Barulah pasangan boleh bernikah semula.

Fasakh biasanya atas sebab-sebab tertentu yang menyebabkan isteri memohon kepada Kadi (dulu) atau Mahkamah Syariah untuk bercerai daripada suaminya.

Sebenarnya di Malaysia, kita sangat terbiasa dengan memanggil perceraian dengan panggilan fasakh. Apabila seorang isteri ke mahkamah syariah, biasanya dia akan mengatakan bahawa dia hendak memohon fasakh.

Namun hari ini, jika seorang isteri pergi ke mahkamah syariah untuk memohon cerai, dia tidak semestinya memohon fasakh. Dia boleh memohon untuk ditalak atau memohon pengesahan perceraian di mana talak telah dilafazkan di luar mahkamah oleh suaminya, atau isteri ingin memohon cerai melalui lafaz taklik suami.

Biasanya, hanya isteri yang memohon fasakh. Namun hari peruntukan fasakh tidak hanya boleh dipohon oleh isteri tetapi boleh juga dipohon oleh suami. Ini boleh dilihat dalam kebanyakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri dan sebagai contoh, boleh dilihat dalam seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 yang berbunyi: "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh.

Hak suami

Suami juga boleh memfasakh isterinya berdasarkan alasan-alasan tertentu yang dibenarkan oleh syarak.

Mahkamah juga akan menolak permohonan fasakh si isteri jika suami dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa dia percaya isterinya tidak akan membuat permohonan fasakh dan adalah tidak adil jika perintah dibuat terhadap suami.

Misalnya, jika isteri mendapati suaminya mati pucuk dan dia berusaha membantu suami untuk mendapat rawatan dan pada masa sama mengambil anak angkat sebagai langkah menyelamatkan perkahwinan, hingga suami secara munasabah percaya isterinya tidak akan memohon fasakh atas alasan mati pucuk.

Daripada pengalaman serta hasil penyelidikan pada 2003, perceraian melalui fasakh mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan. Ini kerana ia perlukan pembuktian yang jelas dan meyakinkan.

Lazimnya, pasangan memerlukan perkhidmatan peguam syarie kerana apabila kes dibicarakan, seorang isteri atau suami yang tiada latihan dalam perundangan tidak mungkin dapat berhujah dengan baik di mahkamah.

Perkahwinan hanya akan dibubarkan atau difasakhkan jika mahkamah berpuashati bahawa pihak yang memohon dapat membuktikan dakwaannya.

Pada kebiasaannya, isteri yang memohon untuk difasakh. Alasan utama ialah penganiayaan, hilang lebih satu tahun dan dipenjarakan.

Namun dalam hal penganiayaan, isteri perlu membuktikan bahawa penganiayaan fizikal adalah sesuatu yang 'lazim' atau selalu dan isteri mesti telah membuat laporan polis dan mendapat rawatan doktor. Tanpanya, adalah amat sukar mendapat fasakh atas alasan ini.

Ada isteri yang terpaksa turun naik mahkamah, balai polis dan hospital untuk mendapatkan fasakh dengan alasan penganiayaan.

Kekecewaan isteri yang didera telah menjadi begitu mendesak pada 1990-an di mana akhirnya kerajaan meluluskan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Di bawah akta itu seorang isteri yang dianiaya suaminya boleh mendapat perintah Pelindungan Sementara atau IPO dan suami yang mendera boleh disabitkan kesalahan dan dihukum penjara.

Namun, akta itu tidak berupaya mengurangkan kes penganiayaan terhadap isteri oleh suami. Seringkali pula, suami terlepas daripada hukuman kerana isteri takut atau malu untuk mendapatkan bantuan.

Masalah lain ialah isteri yang telah berjaya mensabitkan suami masih tidak boleh mendapat fasakh kerana permohonan perlu dibuat di mahkamah syariah. Sedangkan kes penderaan dibawa ke mahkamah majistret.

Penderaan terhadap isteri boleh datang dalam berbagai bentuk seperti penderaan fizikal seperti pukul, tumbuk, sepak, terajang, cucur dengan puntung rokok, ketuk dan sebagainya.

Begitu juga dengan penderaan emosi atau mental yang membabitkan caci, maki-hamun, ugut, menghina dan memalukan.

Penderaan seksual pula seperti memaksa isteri melakukan persetubuhan dengan cara mendera atau mengugut untuk dicederakan.

Untuk memberi lebih perlindungan kepada golongan isteri, Akta Keganasan Rumahtangga sedang dipinda untuk memberinya gigi yang boleh menggigit.

Pada masa sama, mahkamah syariah juga perlu memahami tekanan yang dihadapi oleh isteri yang didera suami.

Ada isteri yang didera sehingga menjadi gila, membunuh diri, membunuh anak-anak kerana takut anak didera dan tidak kurang yang mengambil arak, dadah dan sebagainya demi melarikan diri daripada penderaan.




Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/09/2012

Ibu bapa mentor terbaik didik anak

Dunia dan sejarah telah membuktikan kemapanan ilmu boleh menentukan jatuh bangunnya suatu tamadun manusia. Sememangnya tidak dapat dinafikan kesarjanaan ilmu dan ketrampilan sahsiah mampu memadamkan buntang kejahilan.

Jika ilmu benar-benar dipelajari dan diamalkan terutama ilmu agama yang menidakkan perbuatan buruk, pasti seluruh manusia dapat hidup aman dan harmoni dan mampu menyelesaikan segala kemelut, kemunduran dan penghinaan dihadapi umat Islam dengan kembali kepada al-Quran.

Warisi akhlak ibu bapa

Dalam hal ini, faktor ikutan juga penting, iaitu apabila anak mewarisi dan melihat kecantikan budi kedua ibu bapa serta melakukan perkara serupa apabila bermuamalah dengan anak atau orang lain.

Kadangkala ikutan jugalah menghasilkan budi bahasa yang buruk kerana apa dilihat dan dilakukan ibu bapa atau ahli keluarga lebih tua akan dituruti serta berpanjangan kepada generasi akan datang.

Gabungan antara akhlak baik diwarisi daripada ibu bapa dan ilmu dipelajari adalah pertautan yang lengkap untuk menjadikan seorang itu mempunyai budi bahasa yang cantik. Ada kala, apa yang diwarisi tidak semestinya baik dalam aspek agama.

Oleh itu, jika warisan itu diselaraskan dengan ilmu yang dipelajari secara berfokus, maka sudah tentulah generasi yang terdidik akan dapat meneruskan kesinambungan akhlak Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Allahyarham Prof Dr Hamka menyatakan, maksud menuntut ilmu bukanlah semata-mata untuk memperluas ilmu pengetahuan tetapi juga untuk mengabdikan pada masyarakat dan meningkatkan mutu peribadi.

Keperluan ilmu, budi

Antara ilmu dengan budi hendaklah saling isi mengisi dan setinggi mana pun ilmu, jika tidak didasarkan kepada budi hanya akan membawa kecelakaan, manakala budi yang tidak berisi ilmu pula tidak akan memberikan faedah kepada masyarakat.

Selama mana dua kekuatan ini masih ada dalam jiwa umat Islam, selama itulah Islam akan tetap hidup di seluruh permukaan bumi ini. Sebaliknya, jika keduanya atau salah satu antaranya mulai lemah, maka Islam itu sudah tidak hidup lagi meskipun tubuhnya masih ada.

Melihat senario semasa, jika kita perhatikan kehidupan segelintir umat Islam, kita seolah-olah rela serta pasrah melihat Islam terus layu dan membiarkannya mati.

Senario kelakuan jahiliah

Kelakuan dan budi pekerti umat Islam kini ada kala tidak jauh berbeza dengan kelakuan jahiliah. Bukan saja tiada usaha untuk menyuburkan kembali, malah majoriti yang menggelarkan dirinya Muslim terus galak membajai benih mazmumah.

Pendek kata, akhlak dan budi seolah-olah butir permata dan intan terpilih yang sudah hilang dari kehidupan orang Islam. Ilmu satu-satunya elemen utama untuk menjadikan seseorang insan itu berkualiti dengan adab dan akhlak.

Maka, sekecil-kecil anak diajar supaya menghormati orang tua, memberi salam, membalas jasa, bertutur dengan baik, bergaul mesra dengan semua orang tanpa mengira pangkat dan rupa.

Tetapi penerapan nilai murni ini boleh berkurang apabila tidak lagi dikawal oleh mentor iaitu ibu bapa yang semakin leka apabila melihat anak cukup dewasa menerajui diri. Mereka silap membuat telahan kerana anak yang dahulunya kecil dan berakhlak semakin lupa kepada apa yang diajar.




Oleh Nik Salida Suhaila Sumber: Berita Harian Online Agama Khamis , 06 September 2012, 19 Syawal 1433

Wanita solehah permata suami

Bijak tangani masalah, sedar tanggungjawab didik keluarga

Allah SWT mengurniakan keupayaan intelektual dan kognitif untuk berfikir kepada makhluk-Nya bergelar manusia. Dengan kemampuan itu, manusia diberikan kebebasan membuat pilihan, mahu taat dan patuh secara sukarela, atau mengingkari seruan mentauhidkan Allah serta tahu akibatnya.

Kapasiti menggunakan akal dianugerahkan Allah yang akan membezakan manusia dengan makhluk lain. Malaikat dikurniakan akal tanpa nafsu, menjadikan mereka makhluk paling taat serta tidak langsung membantah segala ketetapan dan perintah Allah. Sementara haiwan melata diberikan nafsu tanpa keupayaan akal sofistikated, sehingga mereka hanya mampu bertindak menuruti keperluan nafsu syahwat semata-mata.

Individu yang memilih jalan ketakwaan, ketaatan dan keimanan akan mendapat kemenangan serta kejayaan besar. Sementara mereka yang memilih dengan penuh sedar jalan kefasikan, kemungkaran dan kemunafikan, akan menempa azab sengsara yang berkekalan.

Firman Allah SWT: “Demi jiwa (manusia) dan penyempurnaan (kejadiannya). Maka (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams, ayat 7-10)

Peluang manusia buat pilihan

Dengan penuh kasih sayang Allah SWT, diberikan petunjuk kepada manusia melalui perutusan para Rasul dan Nabi yang membawa kitab petunjuk, panduan menerangi jalan kehidupan. Maha adil Allah yang memberikan peluang terbuka seluas-luasnya untuk manusia membuat pilihan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa memaksa kita menyembah zat-Nya yang Maha Tinggi dan Mulia, namun Dia lebih suka hamba-Nya menyerahkan diri mereka serta kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.

Suntikan capai status soleh, solehah

Tiada bezanya jalan ketaatan seorang wanita dan seorang lelaki yang mahu mencapai status soleh dan solehah di sisi Allah SWT. Mereka mestilah memastikan dua suntikan ini mampu dilaksanakan terlebih dulu.

Pertama, menyuntik akal dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, manakala yang kedua, menyuntik hati dengan iman serta takwa kepada Allah SWT.

Seorang wanita mestilah mencapai tahap kecerdasan dan kecerdikan yang tinggi untuk meraih gelaran solehah. Dia akan mencari-cari dan mengutip semua permata ilmu berharga di mana saja dia menemuinya.

Motivasi tinggi mendorong wanita solehah menggunakan potensi akal yang luar biasa dalam menentukan keputusan kritikal. Wanita solehah bukan seorang yang sekadar menurut membabi buta, perempuan biasa yang tiada minat kepada ilmu pengetahuan dan penambahbaikan diri.

Dia tidak boleh menumpang tuah suami atau bapanya yang tersohor dengan perilaku dan amalan soleh selama ini. Belum tentu dia boleh diterima secara automatik masuk ke Jannah Allah kerana sudah puluhan tahun menjadi isteri mithali kepada suami yang terkenal soleh dan warak.

Wanita harus mampu menggerakkan akalnya dengan berfikiran kritis dan sentiasa menagih penjelasan bagi setiap yang kabur dan belum difahaminya. Akalnya tajam, pemerhatiannya mendalam dan kesimpulannya mengagumkan.

Tak dipengaruhi emosi dangkal

Penuh keyakinan diri, wanita cerdik yang solehah mampu menganalisa situasi dengan objektif dan tidak semata-mata dipengaruhi emosi yang dangkal.

Dia menyedari tugas dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memerlukannya keluar dari zon selesa, menjalankan fungsinya dengan efektif di samping memberi manfaat sebanyak mungkin kepada orang lain.

Kepintaran wanita solehah menguruskan kehidupannya dan keluarga memberi nilai tambah yang tiada bandingannya kepada suami, anak serta keluarganya. Dia bijak membahagikan masa, ruang dan peluang 24 jam sehari semalam yang dikurniakan Allah untuk kebajikan manusia yang lain.

Ayuh, tingkatkan keazaman di hati untuk menjadi wanita cerdik yang solehah, yang akan menjadi obor penerang kemajuan wanita Muslim, di mana juga mereka berada.



Oleh Harlina Halijah Siraj Sumber: Berita Harian Online Agama Khamis , 06 September 2012, 19 Syawal 1433 H