September 12th, 2012

Menepati janji

BOLEHKAH dijelaskan makna dan fungsi sebenar kalimat insya-Allah dalam Islam? Sebab saya sering menjumpai beberapa orang menggunakan kalimat ini sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji. Sehingga setiap kali mendengar seseorang berjanji sambil mengucap: insya-Allah, saya merasa tidak pasti janji itu akan ditepati.

Jawapan

Sebelum kita menyelami makna sebenar yang terkandung dalam kalimat insya-Allah, ada baiknya kita melihat terlebih dahulu melihat sejarah penggunaan kalimat ini.

Jika kita amati ayat-ayat al-Quran, ternyata kalimat insya-Allah telah digunakan oleh nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Apabila Nabi Ibrahim menyampaikan perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail, anak yang saleh ini berkata: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar. (al-Saffat: 102)

Begitu juga ucapan Nabi Musa apabila beliau berjanji kepada Nabi Khidir untuk patuh kepada semua arahannya sepanjang perjalanan menuntut ilmu. Nabi Musa berkata: Insya-Allah engkau akan mendapatiku sebagai orang yang bersabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun. (al-Kahfi: 69)

Kalimat ini kemudiannya diwariskan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah memerintahkan baginda untuk selalu mengucapkan insya-Allah setiap kali berjanji akan melakukan sesuatu di masa hadapan.

Allah berfirman: Dan jangan sekali-kali engkau (Muhammad) mengatakan: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok, kecuali (dengan menyebut): insya-Allah... (al-Kahfi 23-24)

Menurut Ibnu Jarir Al-Tabari, ayat ini berisi pengajaran adab untuk Nabi SAW. Beliau dilarang untuk memastikan apa yang akan terjadi di masa hadapan melainkan dengan menyandarkannya kepada kehendak Allah. Sebab segala sesuatu hanya boleh berlaku apabila dikehendaki oleh Allah SWT.

Pengajaran ini tentu sahaja bukan khas untuk baginda seorang. Akan tetapi, adab ini juga berlaku untuk seluruh umat baginda hingga akhir zaman. Seorang mukmin yang menyedari hakikat dirinya sebagai hamba yang lemah tidak pernah berjanji melainkan dengan menyebut insya-Allah.

Makna insya-Allah

Jadi, kita boleh melihat bahawa kalimat insya-Allah merupakan sunnah nabi-nabi terdahulu yang diwariskan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, kalimat ini bukan perkara ringan, malah ia mengandungi makna yang sangat penting untuk disedari.

Secara harfiah, kalimat insya-Allah bermakna jika Allah menghendaki. Ucapan ini melambangkan kesedaran hamba akan hakikat dirinya yang serba kekurangan dan jahil. Sekali gus mengiktiraf kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa dalam menentukan setiap yang berlaku di alam semesta ini.

Sepandai manapun seorang manusia, ia hanya boleh merancang dan berharap. Allah jua yang akan menentukan apakah rancangan dan harapan itu boleh terlaksana ataukah tidak?

Ucapan insya-Allah ini mencerminkan pengakuan atas kelemahan diri dan ketergantungan kepada belas kasih tuhannya agar selalu membantu dalam setiap keinginan dan niatnya.

Siapa yang selalu menyedari kelemahan dirinya, Allah akan selalu hadir dalam hidupnya. Dan siapa yang merasa dirinya serba cukup dan berkuasa atas segalanya, ia akan lupa diri dan berakhir seperti Firaun dan Namruz yang mengaku diri sebagai tuhan.

Berkata Imam al-Syafi'i: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan beroleh istiqamah dalam beribadat kepada Allah."

Jadi betullah kalimat ini bukan perkara yang boleh dijadikan alasan untuk dipermain-mainkan?

Ya, jelaslah ucapan insya-Allah sama sekali bukan alat untuk melepaskan tanggungjawab atau alasan untuk tidak menepati janji. Sebagai seorang Muslim, janji adalah hutang yang mesti kita tunaikan. Ucapan ini juga bukan kalimat alternatif untuk menolak secara halus permintaan pihak yang ingin kita jaga hatinya.

Sebaliknya, insya-Allah lebih sesuai difahami sebagai kata-kata jaminan bahawa janji yang telah terucap akan terlaksana dengan baik. Sebab siapa yang berjanji dengan niat sungguh-sungguh untuk melaksanakannya, sambil menyerahkan perkara itu kepada Allah, bantuan daripada Allah SWT akan datang untuk mewujudkan janji tersebut.

Dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah bercerita: Nabi Sulaiman bin Dawud berkata: Malam ini aku akan mendatangi 90 orang isteri-isteriku. Setiap daripada mereka pasti akan melahirkan seorang pejuang di jalan Allah.

Malaikat berkata kepadanya: katakanlah insya-Allah. Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan kalimat ini. Akhirnya, tidak ada seorangpun daripada isteri-isterinya itu yang melahirkan anak. Hanya seorang isteri yang melahirkan, namun anak itu cacat dan tidak sempurna.

Bersabda Nabi SAW: Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai beliau mengucapkan: insya-Allah, nescaya isteri-isterinya itu akan melahirkan anak-anak yang berjuang di jalan Allah.

Berkata Ibnu Battal Al-Maliki: "Hadis ini mengandungi pengajaran bahawa sesiapa yang mengucapkan insya-Allah, sambil menyedari kelemahan dirinya dan meminta bantuan daripada Allah, maka besar kemungkinan ia akan memperoleh apa yang diharapkannya."

Maka menjadi kewajiban kita merubah kekeliruan ini dengan memulainya dengan diri kita sendiri. Pastikan selalu kalimat insya-Allah diucapkan setiap kali berjanji.

Selepas itu berusahalah sedaya upaya untuk menepati janji itu sambil meminta bantuan daripada Allah SWT. Jika semua ini kita lakukan, maka bantuan daripada Allah akan sentiasa mengalir untuk kita.

Kalau bukan kita yang merubah persepsi negatif tentang Islam dan kaum muslimin, maka siapa lagi?

Wallahu a'lam

l UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di ww.facebook.com/UmarMuhammadNoor

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11/09/2012

Ziarah Rasulullah

PADA setiap tahun umat Islam berbondong-bondong menuju ke Madinah al Munawwarah. Ada yang pergi atas dasar menziarahi negeri Hijrah Rasulullah, ada pula untuk ke Masjid Nabawi bagi mendapat kelebihan pahala menunaikan solat di dalamnya.

Walau apapun lafaz yang digunakan, pemergian mereka ke Madinah pada hakikatnya adalah untuk menziarahi Rasulullah SAW. Kerana tanpa Rasulullah SAW, Madinah tidak akan menjadi negeri yang dicintai dan dirindui oleh umat Islam.

Tanpa baginda, solat di masjid tersebut juga tidak memberikan perbezaan jumlah pahala berbanding masjid-masjid yang lain.

Tanpa jasad Rasulullah SAW di masjid tersebut juga, ia tidak memberi ingatan dan keistimewaan yang hebat di hati dan fikiran umat Islam hingga mengajak mereka menziarahi Madinah al Munawwarah.

Hari ini juga kita mendapati ramai di kalangan umat Islam melakukan kesilapan dalam memahami sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga buah masjid Masjid al Haram, masjid saya ini dan Masjid al Aqsa."

Mereka menjadikan hadis ini sebagai dalil pengharaman bermusafir untuk menziarahi kubur Rasulullah SAW dengan menganggapnya suatu kemaksiatan.

Penggunaan dalil ini bagi tujuan tersebut adalah tertolak dan tidak diterima, kerana ia dibina atas kefahaman yang salah. Hadis ini pada hakikatnya membincangkan maksud yang lain dan tiada kaitan dengan permasalahan kubur.

Sesungguhnya hadis: "Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga buah masjid" adalah yang dilafazkan dengan satu gaya bahasa yang dikenali sebagai gaya bahasa pengecualian (Uslub al Istisna'). Makna yang lengkap pada hakikatnya ia membawa maksud seperti berikut: "Tidak boleh bermusafir ke ... melainkan ke tiga buah masjid."

Ahli tatabahasa Arab menyatakan bahawa ayat seumpama ini perlu ditetapkan perkataan yang sesuai di tempat kosong tersebut yang bertepatan dengan makna ayat bagi memberikan kefahaman yang jelas.

Oleh kerana itu, kekosongan itu perlu diandaikan seperti mana yang telah disepakati oleh para pakar tatabahasa Arab untuk mencari keserasiannya.

Pengandaiannya hanya terbatas kepada tiga andaian sahaja:

Pertama:

Sesetengah golongan menyatakan bahawa hadis ini merupakan larangan bagi menziarahi kubur Nabi SAW. Jika benar dakwaan mereka, kita andaikan kekosongan itu diisi dengan perkataan kubur, lalu ia menjadi seperti berikut: "Tidak boleh bermusafir ke kubur melainkan ke tiga buah masjid."

Kita dapat melihat sendiri bahawa pengandaian ini adalah suatu yang aneh untuk diterima dan tidak mungkin seseorang yang waras boleh menerimanya.

Bentuk hadis yang sebegini secara zahirnya menunjukkan tiadanya kesinambungan dan keserasian serta ini tidak selayaknya dinisbahkan kepada kefasihan dan keindahan bahasa Rasulullah SAW.

Kedua:

Diandaikan apa yang kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan satu perkataan yang umum iaitu lafaz mana-mana tempat. Maka ia menjadi seperti berikut: "Tidak boleh bermusafir ke mana-mana tempat melainkan ke tiga buah masjid."

Ia juga tidak boleh diterima akal kerana ia membawa maksud tidak boleh seseorang bermusafir untuk urusan perniagaan, mencari ilmu, ziarah-menziarahi dan lain-lain lagi. Maka ini adalah satu bentuk kebingungan yang amat jelas.

Ketiga:

Diandaikan apa pula kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan lafaz masjid, maka ia menjadi seperti ini: "Tidak boleh bermusafir ke masjid melainkan ke tiga buah masjid."

Kita dapat melihat bahawa kata-kata ini ada kesinambungan dan keserasiannya. Ia juga berada dalam gaya bahasa yang fasih. Dengan ini, semakin tenggelamlah kecelaruan yang jelas pada dua andaian yang terawal serta kefasihan andaian ketiga ini sesuai untuk dinisbahkan kepada Rasulullah SAW .

Mereka yang berkecimpung dalam bidang hadis juga telah mendapati beberapa riwayat yang diterima dan menjelaskan tentang apakah sebenarnya perkataan (kekosongan lafaz) dari hadis pertama tadi. Antaranya, hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat Syahr ibnu Hausyab, dia berkata: Saya mendengar Abu Sa'id berkata ketika disebut kepadanya tentang solat di atas bukit al Tur, maka katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Tidak sepatutnya bagi orang yang menunggang binatang tunggangan itu bermusafir ke masjid untuk menunaikan solat melainkan Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan masjid saya."

Antaranya juga, hadis riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Saya adalah penutup segala Nabi, dan masjid saya adalah penutup semua masjid para Nabi, masjid-masjid yang paling berhak untuk diziarahi dan menjadi tujuan permusafiran ialah Masjid al Haram dan masjid saya, satu solat yang ditunaikan di dalam masjid saya lebih baik daripada seribu solat yang ditunaikan di mana-mana masjid melainkan Masjid al Haram."

Sabda Rasulullah SAW ini menerangkan kepada umat bahawa masjid yang selain daripada ketiga-tiga masjid ini adalah sama taraf. Maka tiada faedah untuk bersusah payah bermusafir ke masjid selain tiga masjid ini hanya untuk menunaikan solat. Manakala masjid-masjid yang tiga ini, ia mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti yang diketahui ramai.

Persoalan kubur tidak termasuk di dalam hadis ini, maka menjatuhkan hukum haram menziarahi kubur Nabi SAW dengan hadis ini dikira sebagai suatu pendustaan terhadap baginda.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11/09/2012

Anggap musibah peluang baiki diri

Sesungguhnya Allah SWT menurunkan peringatan melalui musibah supaya manusia memperbetulkan atau meninggalkan amalan dosa dilakukan. Allah SWT menurunkan musibah kecil sebelum musibah besar sebagai satu peringatan.

Allah memaafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat. FirmanNya: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)

Penghapus dosa

Ada juga dosa dihapuskan Allah SWT melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.

Oleh itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan. Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat. Di dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat.

Pengampunan dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan menyalahkan Allah terhadap apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih buruk.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)

Justeru, apabila berdepan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda dengan apa berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah siapa mendapat reda Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah.” (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)


Tabah hadapi musibah

Sebesar mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang sabar.

Amalan membunuh diri akibat menanggung musibah ditegah dalam Islam. Membunuh diri bukan penyelesaian masalah, sebaliknya mencipta masalah lain kepada kaum keluarga. Individu membunuh diri berdepan pembalasan maha pedih di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana menimpanya. Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musibah diturunkan membabitkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap keimanan dan ketakwaan.

Dalam hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama untuk mengatasinya. Mungkin ia berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak membabitkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Sesungguhnya dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.


Lokman Ismail Sumber: Berita Harian Online Agama Rabu , 12 September 2012, 25 Syawal 1433 H

Bersegera lakukan kebajikan raih maqam terpuji

Mukmin perlu manfaat masa terluang dengan amalan baik

Kehidupan dunia ini memiliki tiga waktu yang berbeza iaitu kelmarin, hari ini dan esok. Kelmarin dan waktu lampau tidak akan kembali, sehingga kita tidak mungkin menjengah kembali masa silam.

Hari ini adalah satu anugerah kurniaan nikmat Ilahi yang tidak ternilai kepada setiap hamba Allah, sehingga mereka yang bijaksana akan memanfaatkannya dengan memperkukuhkan keimanannya dan bersegera melakukan amal soleh. Sedangkan hari esok adalah satu rahsia Ilahi yang tiada seorang pun dapat mengetahuinya secara pasti.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat mengenai hari kiamat. Dan Dialah juga yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)

Sementara itu, umur manusia memiliki dua sifat iaitu pertama, ia tetap akan berjalan terus tanpa henti, baik manusia sedang mengalami kesedihan mahu pun kegembiraan, sihat atau sakit, muda atau tua.

Kedua, umur yang telah berlalu tidak akan pernah kembali sehingga tiada guna penyesalan yang terjadi ketika mana kesempatan yang hilang tadi tidak akan akan muncul. Berdasarkan kenyataan itu, maka Allah SWT memberikan petunjuk-Nya supaya setiap insan bersegera melakukan kebajikan.

Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Rebut lima perkara


Daripada Ibnu Abbas, dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidupmu sebelum matimu, masa sihatmu sebelum datangnya sakitmu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, masa mudamu sebelum masa tuamu, dan masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sejarah Islam mencatatkan bahawa Saidina Abu Bakar as-Siddiq memiliki keutamaan dalam kalangan sahabat lainnya dengan dua keistimewaan. Pertama, beliau adalah seorang sahabat yang senantiasa membenarkan Rasulullah SAW.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memberinya gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang selalu membenarkan kata dan ucapan Rasulullah SAW.

Kedua, Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang sentiasa menjadi orang pertama dalam banyak hal. Oleh sebab itu, beliau termasuk dalam kelompok perintis perjuangan dakwah pada era Rasulullah SAW, lebih dikenali Al-Sabiqun Al-Awwalun yang dijanjikan Allah SWT syurga.

Firman Allah SWT: “Dan orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 100)


Perkara utama dalam kehidupan


Sifat bersegera melakukan kebajikan dan menjadi orang yang pertama dalam banyak hal adalah menjadi perkara yang penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana sifat itu akan memenuhi keperluan yang mendesak, mententeramkan jiwa di samping memberikan kepastian muktamad.

Yang paling menariknya, sifat membenarkan dan bersegera adalah gabungan dari sifat kemuliaan dan jika keduanya bersatu pada diri seseorang, akan melahirkan kesempurnaan.

Hadis Ibnu Abbas, Rasulullah SAW ada menceritakan mengenai 70,000 orang daripada umatnya yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diselamatkan daripada seksaan api neraka. Lantas salah seorang sahabat Nabi SAW bernama Ukashah bin Mahsan berkata: “Ya Rasulullah! Doakanlah aku supaya aku termasuk salah seorang daripada golongan mereka.

Rasulullah SAW menjawab: “Engkau sebahagian daripada mereka. Kemudian seorang sahabat yang lain berdiri dan berkata: Doakanlah juga aku termasuk dalam golongan mereka wahai Rasul! Rasulullah SAW menjawab: Ukashah telah mendahuluimu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jawapan Rasulullah SAW ini mengisyaratkan bahawa golongan yang bersegera dan juga menjadi golongan pertama sebenarnya memiliki maqam istimewa dengan orang lain, termasuk dalam urusan agama.

Kualiti orang yang sentiasa bersegera.

Apatah lagi dalam realiti kehidupan, umumnya semua orang mengetahui yang bersegera dan menjadi yang pertama jelas berbeza kualitinya dengan orang bergerak lambat serta pemalas.

Dalam Islam, sifat bersegera dan menjadi yang pertama adalah terhormat. Oleh itu, Rasulullah SAW sering kali berpesan kepada umatnya supaya tidak mensia-siakan waktu yang terluang tanpa pengisian amal terbaik.

Setiap Muslim hendaklah menginsafi waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali. Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil segera terlepas dari tangan.

Allah memberi panduan supaya waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan berfaedah dan berkebajikan. Allah SWT berfirman: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” (Surah al-Insyirah, ayat 7)



Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Sumber: Berita Harian Online Agama Rabu , 12 September 2012, 25 Syawal 1433 H

Wanita solat di masjid elak berdepan fitnah

Yahya bin Qaza’ah menyampaikan kepada kami, daripada Ibrahim bin Said, daripada az-Zuhri, daripada Hind binti Harith daripada Ummu Salamah katanya : “Apabila Rasulullah SAW memberi salam, wanita-wanita bangun ketika selesai salam Baginda dan Baginda duduk sekejap pada tempatnya sebelum Baginda bangun. Katanya: Kami berpendapat wallahu a'laam, itu adalah bertujuan supaya wanita-wanita beredar lebih dulu daripada lelaki.” (Riwayat Bukhari)

Sebarang perkara yang mendatangkan fitnah, hendaklah dielakkan apalagi dalam mengerjakan ibadat solat sedangkan solat itu bertujuan mencegah kekejian dan kemungkaran. Oleh itu, bagi wanita yang mengerjakan solat di masjid seboleh-bolehnya mengelak daripada sebarang fitnah yang berpunca daripada berbagai perkara seperti bertabarruj (berdandan atau bersolek), ikhtilath (bercampur antara lelaki dan perempuan), memakai wangi-wangian dan lain-lain.

Maka apabila selesai mengerjakan solat cepat-cepatlah pulang ke rumah dan jangan sekali-kali mendedahkan diri pada pandangan lelaki yang bukan mahram seperti yang dimaksudkan dalam hadis yang diriwayatkan.

Islam membolehkan perempuan muslimah keluar rumah untuk pergi bersembahyang, mencari ilmu, melaksanakan keperluan dan sebagainya, tetapi dengan syarat perempuan itu dapat menjaga maruahnya serta adab kesopanan supaya terhindar daripada fitnah.



Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sumber: Berita Harian Online Agama Rabu , 12 September 2012, 25 Syawal 1433 H