September 20th, 2012

Muhasabah diri sebelum ke Tanah Suci

Bersih hati, perbanyak amalan untuk dapat haji mabrur

Labbaik Allahumma Labbaik, Hambamu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Musim haji kembali lagi, sejumlah 28,000 bakal haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci Makkah secara berperingkat mulai minggu ini.

Debaran menanti jemaah haji, bermula ketika meninggalkan rumah ke Kompleks Tabung Haji, sehinggalah menjejak kaki ke Tanah Suci, semuanya penuh dengan kebimbangan dan pengharapan kepada Allah untuk mengerjakan haji dengan sempurna.

Selama tiga hari di Mina untuk melontar di Jamrah, pelbagai kerenah jemaah boleh dilihat dan boleh dijadikan iktibar. Kesabaran kita diuji, begitu juga rasa tolak ansur, keimanan kepada Allah dan hubungan sesama manusia”

Persiapan awal


Pelbagai persiapan awal dilakukan termasuk mengikuti kursus haji atau melalui pembacaan bagi membolehkan ibadat Rukun Islam terakhir itu dilakukan untuk mendapatkan haji mabrur.

Bagi mereka yang pertama kali mengerjakan haji, pelbagai persoalan timbul di dalam fikiran. Adakah ilmu mencukupi bagi melakukan ibadat yang cukup panjang melebihi sebulan itu.

Bagaimana berdepan dengan jutaan jemaah lain ketika tawaf di Baitullah atau berdepan dengan suasana di Arafah, Mudzalifah, Mina dan melontar di Jamrah , selain refleksi diri terhadap balasan Allah yang bakal diterima di Tanah Suci, semuanya mengisi ruangan minda.


Persediaan mental, fizikal

Semua ini terutama cerita negatif yang menggerunkan yang didengar di tanah air, turut mempengaruhi pelaksanaan ibadat khusus mereka yang kurang bersedia dari segi ilmu, persediaan fizikal dan mental sebelum berangkat.

Paling penting selain berguru dalam mengerjakan amalan haji, sebelum ke Tanah Suci, jemaah perlu membetulkan niat termasuk membersihkan hati daripada sebarang perasaan riak dan takbur.

Banyakkan solat sunat terutama solat hajat, tahajud dan taubat memohon kepada Allah supaya kita dapat melakukan ibadat dengan baik, diberikan kesihatan dan kesejahteraan sepanjang pelaksanaan ibadat. Pada masa sama, pohonkan doa supaya mereka yang ditinggalkan di tanah air juga dalam keadaan selamat.

Apapun, sedikit pengalaman penulis ketika melakukan ibadat haji tahun lalu, mungkin boleh dijadikan panduan bagi jemaah haji yang dijemput Allah tahun ini.

Sebenarnya apa yang dipelajari di tanah air secara teori, namun praktiknya di lokasi agak berbeza, kerana di Makkah pelbagai bentuk amalan yang boleh dilihat yang membuatkan minda ligat berfikir, amalan aku betul atau mereka yang diterima Allah.

Ibadat haji sebenarnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Ini kerana setiap hari jemaah terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya lima kilometer dari hotel ke Masjidilharam. Jarak ini menyebabkan ramai jemaah terutama yang berumur atau uzur lebih suka beribadat di hotel.

Sebenarnya kalau melihat jemaah haji lain, walaupun cukup tua mereka sanggup berebut menaiki bas atau berjalan kaki berkilometer jauhnya hanya untuk beribadat di Masjidilharam.

Bagi mereka, jemputan Allah bukan mudah dan terpaksa membayar dengan kos cukup tinggi, sebab itu mereka menggunakan segenap peluang untuk beribadat kepada Allah.

Malangnya, segelintir jemaah Malaysia bertindak sebaliknya, ia berpunca daripada rasa takut melihat kesesakan ketika beribadat dan kononnya sikap kasar jemaah negara lain. Jika persediaan mental dan bimbingan di tanah air mencukupi untuk memberi keyakinan kepada mereka, semua itu boleh diatasi.

Selain itu, bimbingan yang tidak tepat terutama meminta jemaah mengurangkan ibadat terutama umrah sunat dengan alasan menyebabkan mereka letih ketika wukuf dan melontar, sepatutnya tidak timbul.

Arafah bukan tempat berehat

Bagi jemaah haji yang datang awal, rebutlah peluang melakukan ibadat sunat berkenaan kerana pada tempoh itu jemaah tidak begitu ramai.

Ketika wukuf di Arafah, masalah sama timbul, ramai yang menghabiskan masa berbual dan tidur sementara menunggu khutbah Arafah selepas Zuhur. Kekeliruan timbul kerana di Arafah ibadat lebih bersifat individu, iaitu berdoa memohon pengampunan Allah, membaca al-Quran dan berzikir.

Di sini perlunya pembimbing haji memberi maklumat yang lengkap kepada jemaah supaya kunjungan ke Arafah yang menjadi rukun haji tidak dipersia-siakan begitu saja.

Masalah mungkin tidak timbul ketika bermalam di Mudzalifah kecuali jemaah yang kurang bernasib baik berdepan dengan kemelut bas rosak atau terperangkap dalam kesesakan sebelum ke Mina.

Selama tiga hari di Mina untuk melontar di Jamrah, pelbagai kerenah jemaah boleh dilihat dan boleh dijadikan iktibar. Kesabaran kita diuji, begitu juga rasa tolak ansur, keimanan kepada Allah dan hubungan sesama manusia. Di sinilah himpunan segala amalan yang baik dan buruk selama kita hidup di dunia dipamerkan Allah.

Tidak hairan kalau kita lihat jemaah yang marah-marah, tamak, riak dan ego ketika berada dalam khemah yang sempit. Merungut ketika beratur untuk mandi atau rasa bangga di kalangan jemaah pakej (bayaran mahal) bila melihat jemaah muassasah Tabung Haji bersesak di dalam khemah. Apa yang dipamerkan di Mina adalah hasil amalan yang kita lakukan selama ini di tanah air.

Kesempatan muhasabah

Masih ada kesempatan untuk kita bermuhasabah diri dengan memohon keampunan kepada Allah sebelum kita berangkat ke Tanah Suci. Lakukanlah amalan dengan memfokuskan diri kerana Allah dan sentiasa memohon keampunan setiap kali minda berkecamuk melihat gelagat manusia yang beragam.

Sekiranya niat kita bersih dan sering melakukan kebaikan serta merapatkan hubungan sesama manusia dan pada masa yang sama bertawakal kepada Allah. Insya-Allah, haji kita akan sempurna.


Muhd Yusuf Abu Bakar Sumber: Berita Harian Online Khamis , 20 September 2012, 4 Zulkaedah 1433 H