September 21st, 2012

Pengurusan terbaik

SETIAP tahun tidak kurang daripada 28,000 jemaah haji dari Malaysia pergi menunaikan fardu haji. Perjalanan jemaah haji seramai ini jika tidak diaturkan dengan baik sudah tentunya akan menimbulkan pelbagai masalah kepada jemaah haji.

Tabung Haji (TH) sebagai sebuah organisasi yang dipertanggungjawabkan tentang perjalanan haji telah dapat mengurus jemaah haji setiap tahun dengan baik sehingga mendapat pujian dari negara luar dan Kerajaan Arab Saudi sendiri yang menganggap pengurusan negara kita adalah yang yang terbaik.

Salah satu sebab yang menjadikan pengurusan haji yang terbaik oleh TH adalah disebabkan tadbir urus yang cekap dan efisien.

TH telah menunjukkan carta pengurusan yang diketuai oleh Ketua Rombongan Haji dan diikuti oleh Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan). Bermula daripada ini, terdapat Pengarah-Pengarah Operasi untuk menggerakkan kerja pengurusan demi keselesaan jemaah haji dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera.

Negara luar dan Kerajaan Arab Saudi mengakui pengurusan operasi haji Malaysia adalah yang terbaik. - Gambar hiasan

Antara Pengarah Operasi yang terlibat adalah Pengarah Operasi (Mekah), Pengarah Operasi (Masya'ir), Pengarah Operasi (Bimbingan), Pengarah Operasi (Jeddah), Pengarah Operasi (Teknologi Maklumat), Pengarah Operasi (Pengelola Jemaah Haji), Pengarah Operasi (Kewangan) dan Pengarah Operasi (Madinah).

Setiap Pengarah Operasi memainkan peranan yang penting ke arah keberkesanan setiap pengurusan jemaah haji. Kelancaran pergerakan jemaah haji bergantung kepada kecekapan Pengarah Operasi untuk mengurus bahagian di bawah pentadbirannya supaya dapat berjalan lancar seperti perancangan yang telah dipatuhi dalam pensijilan ISO 9001:2008.

Ketua Rombongan Haji memainkan peranan yang amat penting ke arah pergerakan jemaah haji. Di mana ia perlu mewujudkan kerjasama yang baik dengan agensi-agensi di Tanah Air dan lebih-lebih lagi di Arab Saudi bermula dengan Kementerian Haji, Muassasah Asia Tenggara (organisasi Kementerian Haji yang menguruskan haji bagi Asia Tenggara).

Ketua Rombongan Haji sebagai wakil Kerajaan Malaysia untuk memutuskan hala tuju perancangan dan persiapan agar dapat berjalan dengan baik dan teratur.

Manakala Timbalan Ketua Rombongan (Kebajikan) berperanan untuk menentukan segala urusan pentadbiran dapat berjalan sebagaimana yang dirancangkan bermula di Mekah, Masya'ir (Arafah, Muzdalifah dan Mina) di Jeddah dan Madinah.

Pencapaian kecekapan TH untuk mengurus bukan sahaja bergantung kepada perancangan dan pengurusan TH sahaja, ia juga berkait rapat dengan kerjasama jemaah haji. TH merancang dan jemaah haji perlu memberi kerjasama dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Rangkai jalin di antara pegawai TH dan jemaah haji boleh dikatakan setiap masa adalah baik ke arah melaksanakan urus tadbir dengan berkesan dan kita mengharapkan agar prestasi ini dapat dikekalkan.

Petugas juga diingatkan jangan leka dengan pujian dan mengambil tanggungjawab sebenar sebagai amanah kita dengan Allah SWT.

Pada tahun ini, ada beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan antaranya mengadakan talian ibadat yang boleh dihubungi untuk menyelesaikan masalah ibadat haji dan umrah dengan cepat kepada jemaah haji.

TH juga menyediakan perkhidmatan tambahan selain yang telah sedia ada. Ini semata-mata untuk memberikan kesenangan dan kemudahan kepada jemaah haji dalam melakukan ibadat haji.

TH mengharapkan dengan kemudahan pengurusan dan segala perkhidmatan yang diberi semasa berada di Tanah Suci ianya dapat memenuhi perkhidmatan sokongan ke arah kesempurnaan ibadat haji jemaah haji. Semoga memperolehi haji yang diterima Allah, amin.


TENGKU Aziz Raja Abdullah ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/09/2012 

Amanah Tabung Haji

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa.

Hampir 3.5 juta umat Islam seluruh dunia berkumpul setiap tahun untuk melaksanakan ibadat ini. Mereka datang daripada pelbagai pelosok dunia, bangsa dan budaya berhimpun pada satu waktu di Mekah al-Mukarramah.

Kepelbagaian budaya dan adat resam inilah menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan, sama ada dari segi ilmu, rohani, jasmani dan spiritual. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan Tabung Haji, memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan sama ada dari segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang dan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Apabila bakal-bakal haji menjejakkan kaki di sana, mereka perlulah mengikut arahan yang diberikan oleh petugas-petugas haji bagi memudahkan pergerakan mereka. Bergeraklah dalam satu kumpulan serta sentiasa memakai gelang dan lencana pengenalan haji sebagai pengenalan diri jika ada berlaku kesulitan seperti tersasar, sakit dan lain-lain.

Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada jemaah haji dari segi pengetahuan haji, Tabung Haji telah menyediakan e-book Tabung Haji iaitu salah satu medium tambahan bimbingan ibadat haji yang boleh diperoleh menggunakan tablet atau telefon mudah alih.

Sebanyak empat buah buku versi e-book telahpun dimuatnaik iaitu Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah; Buku Soal Jawab Ibadat Haji dan Umrah; Buku Himpunan Doa-Doa Terpilih di Tanah Suci serta Risalah Wanita (Panduan Untuk Bakal-bakal Haji).

Bagi pengguna Apple mereka boleh mendapatkan e-book Tabung Haji di Appstore dan bagi pengguna android boleh memperolehnya di Google play (Playstore) dengan menaip (search) e-book Tabung Haji dengan harga USD1.99.

Selain itu, TH telah menyediakan satu Talian Ibadat di Tanah Suci atau ringkasnya TAIB dengan talian 02-5706161. Talian ini memberi kemudahan kepada bakal-bakal haji untuk membuat pertanyaan mengenai hukum-hakam ibadat haji dan umrah melalui talian telefon.

Selain itu, TH turut menyediakan Pusat Bantuan Tanah Suci. Bakal haji boleh memohon bantuan jika menghadapi kesulitan dengan menelefon Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 02-5704433.

Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh. Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada Tabung Haji serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan kerajaan Arab Saudi.

Semasa operasi di Arafah, Muzdalifah dan Mina, jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar, bertolak ansur dan tolong-menolong sesama jemaah haji. Ilmu kendiri dan pengurusan diri amatlah berguna semasa di Masya'ir. Ini kerana pergerakan hampir 3.5 juta manusia pada masa yang sama dan menuju ke destinasi yang sama tentunya akan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan raya dan masalah-masalah lain. Jemaah perlu berdoa agar perjalanan hajinya dapat dilakukan dengan sempurna dan dipermudahkan.

Di samping itu, kemudahan yang terhad di Mina memerlukan kesabaran dan pengurusan kendiri yang baik. Selain itu, semasa aktiviti melontar, jemaah haji hendaklah keluar melontar mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji. Bergeraklah dalam kumpulan dan mengikut panduan daripada pengurus-pengurus maktab agar ia dapat berjalan dengan baik.

Jika bakal haji ada keraguan tentang ibadat haji dan umrah pula, rujuklah pada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) supaya segala ibadat haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebelum kembali ke tanah air.

Bagi mereka yang ingin menghantar barang mereka ke tanah air selain bersama dengannya dalam kapal terbang, jemaah haji boleh menggunakan kemudahan khidmat bagasi yang disediakan oleh syarikat yang dilantik oleh Tabung Haji.

Akhir kata, bakal haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.



DATUK Syed Saleh Syed Abdul Rahman ialah Pengurus Besar Kanan (Haji) Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21 September 2012 / 5 Zulkaedah 1433

Kemudahan jemaah

TIDAK sah jika berkunjung ke Mekah dan Madinah jika tidak membawa pulang buah tangan daripada dua tanah suci itu kepada sanak saudara di tanah air.

Setidak-tidaknya air zam-zam dan pelbagai jenis kurma pastinya menjadi pilihan bagi jemaah yang menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji.

Atas sebab terlalu teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci itu, pelbagai cenderahati turut diborong sehingga menyebabkan barangan terlebih muatan.

Inilah antara punca yang sering dibimbangi jemaah apabila bagasi yang mulanya dibawa hanya dua menjadi sehingga empat atau lima.

Namun, kini jemaah tidak perlu bimbang lagi dengan adanya tawaran perkhidmatan Aramal Services Sdn. Bhd..

Syarikat milik penuh bumiputera itu menyediakan perkhidmatan penghantaran bagasi dan logistik jemaah haji dengan tawaran harga yang lebih murah, mudah, selamat terus ke depan pintu pengirim.

Ketua Pegawai Operasi Aramal Services Sdn. Bhd., Mohamad Yusoff Abd. Ghani berkata, syarikatnya yang mendapat pengiktirafan daripada Tabung Haji Travel & Services sejak 2009 itu diyakini memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

"Sehingga kini kita mempunyai enam kaunter Aramal yang dibuka di beberapa hotel terpilih iaitu empat di Mekah dan dua di Madinah.

"Orang ramai tidak perlu bimbang memikirkan lebihan atau bebanan barang yang dibawa kerana barangan yang diserahkan kepada Aramal akan tiba selewat-lewatnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghantaran.

"Sekiranya berlaku kehilangan kita akan memberikan pampasan kepada jemaah sebanyak 30 rial untuk setiap kilogram," katanya.

Bukan bermotifkan keuntungan semata-mata, Yusoff berkata, beliau mengharapkan dengan adanya perkhidmatan ini dapat membolehkan jemaah melakukan ibadah yang difardukan dalam rukun Islam kelima itu dengan sepenuh perhatian.

Bagi memudahkan lagi orang ramai tambahnya, pihak Aramal juga membuka pembayaran sama ada dengan menggunakan kredit kad ataupun pembayaran tunai.

"Cas penghantaran barangan logistik seperti bagasi bagi setiap kilogram adalah 14 rial ke Semenanjung Malaysia dan 16 rial bagi Sabah dan Sarawak. Manakala penghantaran air zam-zam pula adalah 115 rial ke Semenanjung Malaysia dan 135 rial ke Sabah dan Serawak.

"Pihak Aramal akan membuat bungkusan kepada barang yang ingin dikirim mengguna kotak secara percuma. Dan gambar kotak tersebut akan dihantar melalui emel kepada jemaah. Ini bagi meyakinkan pengguna bahawa barang itu selamat dan benar-benar dihantar," katanya.

Bagaimanapun Yusoff berkata, barangan yang mudah rosak seperti pinggan mangkuk kaca atau yang tidak dibenarkan untuk dibawa menaiki kargo adalah tidak diterima.


MOHD. SHAH CHE AHMAD Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21 September 2012 / 5 Zulkaedah 1433

Ingkar nikmat

ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan orang yang mendustakan-Nya, para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab pada hari keputusan dan pembalasan.

Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai seksaan itu dengan segala kengeriaannya yang membingungkan orang yang berfikiran dan menundukkan setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya.

Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa mereka diperintahkan untuk pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang bercabang-cabang kerana banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga cabang besar yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.

Padahal naungan yang sedemikian tidak sedikitpun melindungi dan menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri di atas api yang memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan istana.

Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning yang bertebaran dan bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak menentu.

Tidak diragukan lagi perkara yang demikian ini adalah persamaan yang diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu dengan kebesaran. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang besar dengan istana sebagaimana yang dikatakan: "Maka untaku pun berdiri di situ, seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang menunggu."

Firman Allah SWT: Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)

Al-Maraghi berkata: "Gunung-ganang ini berhubungan dengan lapisan batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling jauh daripada permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang bernyala-nyala yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan kulit bumi yang kita berada padanya."

Air tawar itu pula berasal dari awan yang dijaga oleh gunung-ganang yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air yang turun dari gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir perlahan-perlahan di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut bumi menuju ke puncak mata air yang mengalir.

Ibnu Kathir berkata: "Yakni gunung-ganang yang ditanamkan di bumi agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan air tawar yang diturunkan dari langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata air bumi."

Sayid Qutub berkata: "Dan di bumi Kami ciptakan bukit-bakau dan gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi itulah berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air tawar yang nyaman."

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)

Al-Maraghi berkata: "Azab yang besar di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.'

Ibnu Kathir berkata: "Celaka bagi orang yang merenungi berbagai macam makhluk yang menunjukkan keagungan Penciptanya tetapi setelah itu dia terus-menerus dalam kedustaan dan kekufuran."

Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)

Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam berkata kepada mereka: "Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu telah dustakan."

Firman Allah SWT: Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:

l Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.

l Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.

Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api semakin tinggi dan naik bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan kekuatannya ia mempunyai tiga cabang.

Sayid Qutub berkata: "Iaitu bayangan asap api neraka yang pucuknya menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah bayangan teduh yang mencekik pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan bayangan teduh sebagai lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi angan-angan mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api neraka Jahanam.


 DR. ZULKIFLI MOHAMED AL BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21 September 2012 / 5 Zulkaedah 1433

Perspektif IKIM: Makanan pengaruhi akhlak

Sumber rezeki haram boleh sebabkan hati ‘kotor’, hidup tidak tenteram

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak.

Tidak ada orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan tetapi masih ramai yang makan makanan dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain.

Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya.

Walhal aspek itu yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori sifat mazmumah dan dosa pahala tidak dapat dimengertikan kerana tiada sebarang kesan kelihatan.

Hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki haram tanpa sedikit pun penyesalan.

Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia.

Justeru, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup serta nasib di akhirat kelak.

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih, ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.



Norkumala Awang Penulis ialah pegawai penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia. Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 21 September 2012, 5 Zulkaedah 1433 H

Pelajar beriman cemerlang

ANDA ingin menjadi pelajar cemerlang. Perkara ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi tidak sukar untuk diperoleh asalkan ada kesungguhan dan kegigihan.

Malah, jika kita membuka lembaran dan hadis Nabi, terdapat banyak petua yang boleh diamalkan untuk menjadi pelajar cemerlang yang bertakwa dan soleh.

1. Keyakinan, keperca-yaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Dalam proses pembelajaran, kita perlu yakin bahawa kita dilahirkan fitrah, lengkap dengan akal untuk berfikir dan terserahlah kepada ibu bapa untuk mencorakkan masa depan kita.

Orang yang beriman akan menjadi pelajar cemerlang kerana mereka yakin Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu tanpa usaha dan ikhtiar.

Keimanan melahirkan jiwa yang tenang dan menjadikan seseorang itu pelajar cemerlang kerana mereka memiliki sikap-sikap positif.


2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

Ini yang kita lakukan dalam solat. Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan banyak berangan yang membuang masa kerana ia tidak memberi faedah. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.


3. Keutamaan

Jauhkan daripada perbuatan yang tidak berguna dan membawa keburukan.

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama atau bersembang di facebook sehingga melebihi daripada masa rehat yang diperuntukkan.

Optimumkan penggunaan masa untuk belajar dan mengisi masa rehat kita dengan perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wuduk, melakukan solat sunat dan membaca al-Quran. Apabila kita rapat dengan Allah SWT jiwa kita lebih tenang.


4. Prihatin sesama kita

Walaupun berada di saat-saat genting, janganlah bersikap terlalu mementingkan diri dan mengabaikan kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, sama ada ilmu atau kertas soalan tahun lalu.


5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan atau asal tertekan mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Allah s.w.t sentiasa ada melindungi dan menolong jika kita mencari dan meminta dari-Nya.


6. Jujur, amanah

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elak menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis.


7. Tepati waktu

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita.

Jika sebelum ini, kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuangan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatah arang di pertengahan jalan.

Namun, jangan kita hanya mengaplikasikan konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita peroleh.

Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.



Sumber: myMetro Variasi Bestari 2012/09/17