September 22nd, 2012

Hikmah haji hilang tanpa ikhlas

Jemaah perlu sabar hadapi kesulitan, ketidakselesaan di Tanah Suci

Perhimpunan raksasa umat Islam sedunia di Makkah untuk melaksanakan ibadah haji adalah pemandangan paling indah. Kita yang belum berpeluang menjadi tetamu Allah pasti berdoa supaya dapat menyertai perhimpunan bermakna itu.


Peredaran zaman memperlihatkan perubahan ketara pembangunan kota suci Makkah, begitu juga dari sudut kemudahan yang membolehkan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan rukun Islam kelima.

Hikmah dan tujuan ibadat haji ini tidak akan dapat dirasakan jemaah yang menunaikan haji tanpa niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kewajipan haji yang difardukan bukan untuk mendapat status sebagai haji dan bukan untuk bermegah-megah.


Namun, masih ada yang belum diberi rezeki menjejakkan kaki di Baitullah tetapi tidak kurang yang memiliki kemampuan, malangnya belum terbuka hati untuk bersama saudara seagama menyambut lambaian Kaabah.

Allah SWT berfirman: “Dan Allah mewajibkan manusia melaksanakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu kepada setiap orang yang mampu dan berdaya sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk.” (Surah ali-Imran, ayat 97)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan haji (hingga mati tanpa ada keuzuran) maka tiada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksaannya) kerana Allah telah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai ke sana.” (Riwayat Tirmizi dan al-Baihaqi) Berdasarkan inti pati hadis dan firman Allah, adalah menjadi kesalahan dan dosa jika ada dalam kalangan umat Islam yang telah memenuhi segala syarat ditetapkan tetapi dengan sengaja enggan menunaikan ibadat haji seperti yang dituntut agama.

Menyegerakan ibadah haji

Ketiga-tiga imam mazhab Hambali, Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan wajib menyegerakan pelaksanaan ibadat haji bagi mereka yang mampu, jangan bertangguh kerana dikhuatiri tidak sempat menunaikan ibadat itu. Imam Syafie pula berpendapat, menunaikan haji tidak semestinya dengan keadaan yang segera.

Ibadat haji menyimpan hikmah tersendiri yang mengajak umat Islam supaya melihat fardu haji dari kaca mata lebih luas. Kesatuan hamba Allah dengan berpakaian ihram putih melambangkan kesamarataan manusia di sisi Allah.

Faktor membezakan mereka ialah ketakwaan kepada Allah bermula dengan niat mereka untuk menunaikan fardu haji yang diterjemahkan melalui amal ibadat serta kebajikan sepanjang berada di Tanah Suci.

Saksi perjuangan rasul

Kehadiran umat Islam di dua Tanah Haram juga memberi peluang untuk menyaksikan sendiri kesan perjuangan rasul terutama Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Rasulullah SAW menegakkan syariat Allah.

Ibadat tawaf dan sai dilakukan dalam suasana khusyuk memberikan kegembiraan terhadap keagungan dan kebesaran Allah. Bacaan dilafazkan menyucikan jiwa dan memberikan tafsiran bahawa muslimin hidup berdikari, selalu cergas dalam menempuh perjuangan hidup.

Wukuf di Arafah, satu rukun haji disifatkan oleh setengah ulama sebagai lambang perhimpunan manusia di akhirat kelak untuk menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan dilakukan di dunia.

Lahir rasa keinsafan

Ibadat haji dapat melahirkan rasa keinsafan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari kelak dengan tidak membawa bersama harta, pangkat, anak, kecuali iman, Islam, amal kebajikan dan takwa.

Jemaah patut mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kesulitan dan ketidakselesaan semasa berada di Tanah Suci dengan penuh sabar, tabah dan rasa syukur. Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha, pelaksanaan adalah mengikut ketentuan Allah.

Hikmah dan tujuan ibadat haji ini tidak akan dapat dirasakan jemaah yang menunaikan haji tanpa niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kewajipan haji yang difardukan bukan untuk mendapat status sebagai haji dan bukan untuk bermegah-megah.


Wan Marzuki Wan Ramli Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 22 September 2012, 6 Zulkaedah 1433 H

Rahmat berdepan cabaran kerja

Ujian beri kita peluang meraih kemuliaan, kecemerlangan

Cabaran adalah hakikat dan lumrah kehidupan. Bagi kehidupan umat Islam destinasi terakhirnya adalah hari akhirat dan keredaan Allah SWT. Begitulah juga dengan hakikat 'pelayaran kerja' yang membawa kepada 'destinasi matlamat' ditetapkan oleh organisasi atau diri sendiri.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (Surah al-Balad, ayat 4)

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


Maksudnya, kesusahan dunia dan akhirat. Secara mudahnya, kehidupan adalah ibarat pelayaran yang menuju ke suatu destinasi. Justeru, dalam pelayaran ini sudah tentu ada kalanya ditiup malah dilanda oleh badai, ombak, angin, ribut dan taufan.

Cabaran dalam kerja

Begitulah juga cabaran dalam bekerja. Seseorang pekerja itu pasti berdepan masalah dan kesukaran sama ada daripada manusia seperti pihak atasan, rakan sejawat, masyarakat sebagai pelanggan, pengguna atau kerana kelemahan dirinya sendiri.

Ataupun masalah yang disebabkan faktor peralatan, kemudahan teknikal dan kewangan sehingga ada yang menghadapi cabaran diberhentikan kerja atau diberi tawaran penamatan perkhidmatan.

Walaupun cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ adalah lumrah, namun, dalam Islam ia mengandungi sejuta rahmat yang boleh memuliakan dan memperkasakan manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh diperoleh sepanjang ‘pelayaran kerja’. Cabarannya mengundang lima bentuk rahmat. Pertama, kejayaan melatih dan mengasah kesabaran serta kecekalan.

Tugas ikut kemampuan

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya, kesabaran ada pendidikan watak iaitu watak menanggung kepayahan tanpa putus asa dan berkeluh-kesah sehingga hati menjadi teguh, jiwa menjadi kuat. Allah memberi cabaran, dugaan dan tanggungjawab sesuai dengan laras kemampuan manusia.

Firman-Nya bemaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Kedua, mendekatkan diri dengan Allah SWT. Menurut al-Maraghi, kerana sedikit cabaran atau ujian, manusia akan mengingati, mensyukuri nikmat yang ada padanya dan memohon keampunan atas kelalaian diri.

Raih balasan lebih baik

Ketiga, meraih pahala dan balasan kejayaan yang lebih baik, hasil daripada kekuatan jiwa, pengalaman dan kemahiran dalam mengharungi kesukaran.

Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorangpun hamba yang ditimpa bencana, lalu dia berkata: Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami adalah milik Allah SWT dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami kembali) Wahai Tuhan kami, berilah pahala kepadaku dengan musibah padaku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripada ini kepadaku. Melainkan Allah memberi pahala dalam musibah itu dan memberi ganti kepadanya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu.” (Riwayat Muslim)

Keempat, meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan kelima, memperoleh pahala, pujian, keampunan Allah serta mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Justeru, marilah kita membina kekuatan untuk menghadapi cabaran kerja termasuklah menggunakan ‘strategi kerja’ seperti meletakkan standard prestasi dengan sasaran betul dan pelan yang realistik untuk dicapai.

Allah mendatangkan cabaran sebagai ujian untuk memberi kita peluang meraih kemuliaan dan kecemerlangan, bukan berserah pada kelemahan atau kegagalan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mencela kelemahan. Sebaliknya kamu harus terus berusaha. Apabila kamu ditimpa dengan sesuatu yang tidak kamu sukai, maka ucapkanlah “Cukuplah Allah bagiku dan Dia adalah sebaik-baik penolong.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila kekuatan menghadapi cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ ini dapat kita depani dengan watak, perspektif dan strategi yang betul, jika diizinkan Allah, rezeki dan organisasi kita akan terjaga.



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 22 September 2012, 6 Zulkaedah 1433 H