September 28th, 2012

Boleh ulang ibadat haji jika mampu

Pertimbangan patut dibuat takut ambil kuota orang lain lebih memerlukan

Soalan: Saya pernah mengerjakan haji 20 tahun lalu iaitu pada 1992. Jika dilihat dari sudut kemampuan, memang saya amat berkemampuan untuk menunaikan haji sekali lagi, namun saya tidak pernah menunaikannya dan saya pernah mendengar ceramah seorang ustaz yang menyebut bahawa jika kita berkemampuan maka kita dituntut menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Benarkah pandangan itu?

"Haji hanya sekali, sesiapa yang menunaikan lebih (daripada sekali) maka ia adalah sunat" - Riwayat Imam Ahmad

Jawapan:

Haji adalah salah satu Rukun Islam yang lima dan pelaksanaannya dikaitkan dengan kemampuan sama ada dari segi fizikal atau material. Jika berkemampuan, maka pelaksanaan yang dituntut ialah sekali seumur hidup. Boleh dikatakan ulama telah ijmak dalam soal berkenaan. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW bermaksud: “Haji hanya sekali, sesiapa yang menunaikan lebih (daripada sekali), maka ia adalah sunat”.

Namun, mengulangi haji bagi orang yang berkemampuan juga termasuk dalam perkara yang digalakkan. Mungkin apa yang saudara dengar daripada ceramah itu merujuk kepada sebuah hadis qudsi diriwayatkan Imam Ibnu Hibban, Al Baihaqi dan al- Thabrani dalam kitab hadis mereka yang mana Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya seseorang hamba yang aku beri kesihatan kepadanya, aku kurniakan kehidupan yang mewah, lima tahun berlalu sedangkan ia tidak datang kepada-Ku (menunaikan haji atau umrah), maka dia akan kehilangan banyak kebaikan”.

Bagi golongan yang berpegang dengan Syeikh Albani, hadis ini dinilai sebagai sahih dalam buku beliau Siri Hadis-Hadis Sahih (Juz 4, No 1662).

Justeru apa yang dapat dipetik daripada hadis ini? Perkara pokok yang terkandung dalam hadis di atas ialah gesaan dan galakan bagi orang yang benar-benar berkemampuan untuk sentiasa memperbaharui hubungannya dengan Allah, salah satu cara memantapkan hubungan itu ialah dengan menziarahi rumah-Nya yang paling suci di atas muka bumi ini iaitu Baitullah.

Mengunjungi tanah suci dan beribadat di sana tidak sama dengan beribadat di tempat lain. Tanah suci Makkah adalah lembah yang sentiasa dilimpahi keberkatan seperti firman Allah SWT dalam surah al- Baqarah ayat 96 bermaksud: “Sesungguhnya rumah yang pertama dibina untuk manusia beribadat adalah di lembah Bakkah yang penuh berkat”. Bakkah adalah nama lama bagi kota suci Makkah.

Ibnu Arabi menulis dalam kitabnya (Ahkam al-Quran) keberkatan yang dimaksudkan adalah keberkatan “dari segala sudut , dunia dan akhirat” .Orang yang pernah ke sana dapat berasakan ketenangan jiwa dan kedamaian yang sukar diceritakan.

Jiwa yang pernah merasai kedamaian ini ini jika dibaja dan dipupuk akan menjadi pemangkin untuk terus istiqamah mengamalkan ajaran agama hingga ke akhir hayat.

Ada orang yang setiap tahun ke luar negara sama ada atas urusan kerja , melawat anak, melancong dan sebagainya, tetapi dalam tempoh puluhan tahun tidak pernah mengunjungi Baitullah dengan alasan sudah pernah mengerjakan haji atau umrah.

Golongan ini wajar sekali merenung makna hadis di atas. Namun begitu, beberapa sudut lain perlu juga dilihat. Menunaikan haji pada zaman sekarang mempunyai kekangan-kekangan di luar kawalan kita contohnya penetapan kuota untuk jemaah haji. Jika anda telah menunaikan haji dan ingin menunaikannya sekali lagi bermakna anda telah mengambil kuota untuk jemaah lain yang mungkin telah berusia lanjut dan tidak pernah sekalipun menunaikan haji atau umrah.

Begitu juga perlu difikirkan mungkin ada golongan yang sangat daif di sekeliling anda yang amat memerlukan bantuan seperti anak-anak yatim, pesakit yang terlantar, penuntut ilmu yang memerlukan sumbangan dan sebagainya. Membantu mereka juga sangat dituntut oleh agama. Semua ini memerlukan pertimbangan yang sewajarnya , tetapi jika dalam tempoh dua puluh tahun anda tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah suci, tiba-tiba anda diberi ruang maka sewajarnya anda tidak melepaskan peluang berkenaan.



Azhar Abd Wahab Penulis ialah pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Darulaman Kedah. Sumber: Utusan Malaysia Online Agama Jumaat , 28 September 2012, 12 Zulkaedah 1433 H

Peguam Syarie Menulis : Suami tak boleh tuntut nafkah isteri bekerja

Suami berkewajipan mengadakan nafkah isteri. Kedudukan suami sebagai ketua keluarga menjadikan ia satu hak yang perlu ditunaikan ke atas isteri.

Bagaimanapun, apakah keizinan suami kepada isteri untuk isteri bekerja menjadikan hak nafkah isteri itu terhapus? Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka.” (34: surah An-Nisa).

"Kaum lelaki adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan)" - Surah anNisa (ayat 34)

Ayat di atas adalah dalil kewajipan suami memberikan nafkah kepada isterinya. Pada asasnya, nafkah isteri itu tidak perlu ditunaikan oleh suami dalam keadaan di mana isteri berkenaan nusyuz iaitu isteri enggan atau tidak menyerahkan dirinya kepada suami, iaitu dalam erti kata lain enggan melakukan hubungan kelamin.

Begitu juga dalam keadaan yang mana isteri tidak mahu mengikut suaminya tinggal di suatu tempat atau di tempat yang dipilih suami atau berpindah mengikut suami. Selain daripada alasan diatas, suami wajib memberikan nafkah kepada isteri mengikut kemampuannya.

Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 diperuntukkan bahawa Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah suaminya, iaitu, antara lain:

Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

Apabila dia meninggalkan rumah suaminya;

Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

Secara asasnya suami wajib mengadakan nafkah isteri itu meliputi rumah yang bersesuaian dengan kemampuan suami, yang mana rumah tersebut hendaklah mempunyai segala keperluan asasi yang sememangnya diperlukan.

Suami juga hendaklah menyediakan semua peralatan yang mesti digunakan untuk kebersihan diri isteri dan alat perhiasan isteri yang asas jika suami mengkehendaki isteri untuk berhias. Suami juga perlu menyediakan nafkah meliputi makan minum, pakaian dan perubatan.

Dalam keadaan isteri yang bekerja, ia tidak sekali-kali menafikan hak isteri itu untuk menerima nafkah daripada suaminya. Segala hasil pendapatan isteri dari pekerjaannya tersebut adalah hak isteri yang tidak boleh dituntut suami walaupun isteri berkerja berdasarkan izin daripada suami.

Suami hanya boleh menikmati pendapatan isteri dengan redanya atau dengan keizinan isteri kepada suami untuk menggunakan hartanya.

Konsep isteri bekerja ini kadang-kadang disalah faham oleh sebahagian suami yang menganggap apabila isteri dibenarkan bekerja ia menghapuskan atau menggantikan kewajipan suami dalam mengadakan nafkah terhadap isteri.

Pada asasnya, isteri berkerja boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga, namun ia atas kehendak isteri itu sendiri.

Persoalan sama ada isteri menjalankan tanggungjawabnya ke atas suami adalah persoalan yang berlainan kerana selagi mana isteri menunaikan tanggungjawabnya ke atas suami walaupun bekerja, isteri berhak ke atas nafkahnya.

Hak isteri terhadap nafkahnya tidak akan terhapus dengan sebab isteri berkenaan bekerja sekalipun mempunyai pendapatan lebih besar daripada suami.

Bagaimanapun harus diingat bahawa jumlah nafkah suami itu mestilah mengikut kemampuan suami dan bukan berdasarkan kekayaan isteri atau kedudukan isteri, gaji isteri mahupun keturunannya. Ia didasarkan kepada kemampuan semata-mata suami seperti digariskan syarak.


Roshdan Sujak Rafie Penulis ialah Timbalan Presiden PGSM Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 28 September 2012, 12 Zulkaedah 1433 H

Menyeragamkan Undang-undang Islam

UNDANG-undang Islam seharusnya menjadi teras kepada sistem perundangan di Malaysia. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 ini menegaskan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan agama bagi Persekutuan. (rujuk Kes Meor Atiqurrahman lwn Fatimah Sihi dan kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan).

Tingginya kedudukan undang-undang Islam itu dapat dilihat pada peruntukan Perlembagaan yang lain seperti Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat tidak boleh melibatkan perkara-perkara berkaitan dengan antara lainnya undang-undang Islam.

Kuasa diperoleh legislatif dalam darurat tidak boleh memberi kesan kepada undang-undang Islam tetapi masih perlu dilakukan melalui prosedur khusus dan persetujuan majoriti berdasarkan Perkara 159 dan 161E.

Begitulah tingginya kedudukan undang-undang Islam di negara kita. Ini disebabkan sifat Perlembagaan itu sendiri yang mengabsahkan susun atur dan persetujuan masyarakat setempat berdasarkan lunas-lunas sejarah dan persetujuan bersama.

Di Malaysia, selain wilayah-wilayah persekutuan, kuasa membuat undang-undang Islam terletak di bawah kuasa negeri-negeri seperti yang tercatat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Namun Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif menyelaras dan menyeragam undang-undang Islam ini agar ia tidak berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Jakim pada pertengahan tahun 80-an telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak yang mana Pengerusi pertamanya ialah Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim. Pada masa itu Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman menjadi pengerusi jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh lima tokoh perundangan syariah dan lima tokoh perundangan sivil.

Jawatankuasa itu mendapat makluman daripada pelbagai pihak berkaitan dengan keperluan sesuatu perundangan Islam. Selepas itu ia akan menggubal kertas konsep mengenai sesuatu undang-undang yang dicadangkan.

Bahagian Undang-Undang Jakim yang merupakan sekretariat jawatankuasa itui akan mendraf cadangan rang undang-undang mengikut kertas konsep yang dipersetujui.

Cadangan rang undang-undang itu pula akan dibahaskan di negeri-negeri mengikut zon. Di sini input daripada wakil negeri-negeri yang terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mufti, Mahkamah Syariah, Penasihat Undang-Undang dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan diambil serta dibahaskan.

Pakar-pakar syariah dan alim ulama juga dipanggil untuk memberi pandangan.

Setelah kesemua wakil negeri-negeri ini memberikan input masing-masing, ahli jawatankuasa teknikal membincangkannya dan menggarap versi terbaru dengan mengambil kira pandangan negeri-negeri.

Setelah versi terbaru undang-undang itu dimuktamadkan ia sekali lagi dibentangkan di Persidangan Tahunan Jawatankuasa Teknikal bersama keseluruhan wakil negeri seluruh Malaysia.

Persidangan terakhir ialah pada 19 hingga 21 September lalu yang mana sekali cadangan rang undang-udang tersebut dibahaskan dan persetujuan draf akhir dimuktamadkan.

Setelah draf akhir itu dimuktamadkan diharapkan dengan penglibatan dari negeri-negeri, wakil-wakil mereka akan membawa draf akhir tersebut balik ke negeri masing-masing dan meluluskannya sebagai undang-undang negeri yang telah diseragamkan.

Biarpun rumit, namun prosedur itu diambil oleh Jawatankuasa Teknikal tersebut bagi mengelakkan timbulnya isu mengambil kuasa negeri dalam menggubal undang-undang Islam.

Ia juga bagi memastikan golongan pakar syariah memberikan input kepada penggubalan undang-undang Islam agar tidak tersasar daripada syariah Islam itu sendiri.



DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28 September 2012 / 12 Zulkaedah 1433

Menebus dosa silam

KEDUDUKAN semua insan di sisi Allah SWT adalah sama, hanya yang membezakan adalah ketakwaan dan keimanan seseorang.

Begitu jua Allah SWT turut memberi jaminan akan mengampunkan dosa hamba-hambanya asalkan mereka bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat.

Sebagai manusia, pastinya tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan akibat kelalaian dan kealpaan diri terhadap Pencipta kita.

Apa yang pasti, apabila sampai waktunya dan mendapat pula hidayah daripada Allah SWT, insan-insan ini akan pulang semula ke pangkal jalan.

Ini yang terjadi terhadap sekumpulan wanita dari Rumah Sinar Salam, yang telah mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT dengan meninggalkan kehidupan masa lalu yang penuh kegelapan dan diberi rezeki pula untuk menjejakkan kaki ke Mekah mengerjakan umrah atas tajaan individu prihatin.

Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh bertaubat dan mencari keredaan di sisi Tuhan biarpun pada masa lalu bergelumang dalam kancah maksiat.

Bercakap mengenai Rumah Sinar Salam, pastinya tidak akan lari daripada menyoroti kisah-kisah penghuninya yang terjebak dengan gejala sosial.

Sebutlah apa sahaja kegiatan sosial - persundalan, najis dadah, buang anak, anak luar nikah dan sebagainya merupakan sebahagian daripada jenayah sosial yang dilakukan oleh penghuni-penghuninya yang kini menumpang teduh di rumah itu bagi mendapatkan sinar.

Menurut Pengasas Rumah Sinar Salam, Arfidah Abd. Latif, 58, ramai penghuni Rumah Sinar Salam ini sudah mendapat hidayah Allah SWT dan berjaya keluar dari kemelut sosial selepas aktiviti outreach (temu seru) dilakukan terhadap mereka.

''Ramai yang terbuka hati untuk bertaubat. Biarpun mungkin masih janggal pada mata masyarakat akibat cara kehidupan masa lalu namun saya berdoa agar kami semua para penghuni di sini masih ada tempat di sisi Allah.

''Itu yang kami cari selama ini iaitu rahmat Tuhan. Kadangkala kami turut tertanya-tanya apakah dosa kami yang lalu akan diampunkan Allah. Begitu juga adakah taubat kami ini akan diterima oleh-Nya, kerana kesan-kesan kehidupan masa lalu yang amat gelap dan jijik," katanya.

Dia yang ditemani tiga lagi rakannya ditemui di pejabat I Umrah Rakyat Sdn. Bhd., di Rampai Town Centre, Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur, iaitu agensi umrah di bawah Syarikat Fayrooz Travel And Marketing Sdn. Bhd., yang ditubuhkan berlandaskan kebajikan dengan memberi peluang kepada masyarakat yang kurang mampu mengerjakan umrah dengan sebahagian kosnya dibiayai oleh agensi ini.

Sementara itu, rata-rata kebanyakan daripada bekas penghuni yang terpilih untuk mengerjakan umrah ini telah pun berkeluarga dan sekarang menjadi sukarelawan membantu 'menarik' insan-insan senasib ke pangkal jalan.

Tambah Arfidah lagi, niat untuk mengerjakan ibadah dan mengunjungi rumah Allah ini telah lama terbuku dalam jiwa penghuni.

Namun masing-masing tidak mampu menyuarakannya memandangkan ketiadaan wang dan 'malu' dengan keterlanjuran mereka yang telah lalu menyebabkan mereka rasa tidak layak menjejakkan kaki ke 'rumah' Allah itu.

''Selalunya kami hanya melihat di televisyen cerita mengenai insan-insan yang berkesempatan untuk ke sana mengerjakan haji dan umrah.

''Kami tidak menyangka, berkat doa kami yang tidak berkesudahan, suara hati kami yang sentiasa mahu kembali ke jalan yang lurus, kami akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke rumah Allah tidak lama lagi dengan ihsan I Umrah Rakyat di bawah Program Umrah Rakyat," katanya yang turut tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada penulis yang sanggup berusaha mencari dan menemukan penaja ini bagi mereka.



ROSMAH DAIN Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/09/2012

Hari Keputusan

KEMUDIAN Allah SWT memberitahu bahawa azab dan kehinaan telah disediakan untuk orang yang mendustakan hari ketika mereka tidak dapat berkata-kata kerana hairan dan bingung dan tidak diizinkan untuk membuat alasan untuk melepaskan diri.

Ketika itu Allah SWT mengumpulkan orang yang terdahulu sebagaimana orang yang terkemudian pada suatu tempat. Lalu dikatakanlah kepada mereka dengan kecaman dan cacian, "Jika kamu dapat melindungi dirimu daripada seksaan Allah SWT walaupun sedikit maka lakukanlah."

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 34)

Al-Maraghi berkata: Azab dan kehinaan disediakan untuk orang yang mendustakan hari ini. Di sini mereka tidak akan memperoleh perlindungan daripada azab yang menaungi mereka.

Firman Allah SWT: Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu). (al-Mursalat: 35)

Al-Maraghi berkata: Mereka tidak dapat berkata-kata kerana kebingungan dan kehairanan.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu tidak dapat berkata-kata.

Sayid Qutub berkata: Kedahsyatan pemandangan di sini terletak pada suasana diam membisu, menahan perasaan, ketakutan dan rasa rendah diri yang mengerikan iaitu suasana bungkam yang tidak diselangi sebarang percakapan.

Firman Allah SWT: Dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka (dapat) minta uzur. (al-Mursalat: 36)

Al-Maraghi berkata: Mereka tidak diizinkan membuat sebarang alasan kerana mereka tidak mempunyai alasan dan jawapan yang benar.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, mereka tidak mampu berbicara dan tidak pula diberi izin kepada mereka melakukan hal tersebut untuk memberikan alasan, tetapi hujah (dalil) telah ditegakkan ke atas mereka dan telah terbukti ungkapan atas mereka daripada kezaliman yang mereka lakukan sedang mereka tidak dapat berbicara.

Persidangan hari kiamat itu terdiri daripada beberapa keadaan dan Allah SWT, kadang-kadang menceritakan keadaan yang satu dan pada kesempatan lain menceritakan keadaan lainnya untuk menunjukkan kedahsyatan pelbagai peristiwa yang mengerikan dan juga goncangan pada hari tersebut.

Sayid Qutub berkata: Dan tidak pula dipecahkan oleh kata-kata memohon maaf kerana masa berbahas dan minta maaf telah pun luput dan berlalu.

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 37)

Al-Maraghi berkata: Azab dan kehinaan disediakan untuk orang yang mendustakan apa yang diserukan kepada mereka oleh para rasul lalu diperingatkan pula kepada mereka tentang kesudahannya.

Firman Allah SWT: Ini adalah hari keputusan; (pada hari ini) kami mengumpulkan kamu dan orang-orang terdahulu. (al-Mursalat: 38)

Al-Maraghi berkata: Hari ini adalah hari yang diputuskan segala urusan makhluk dan hari dipisahkan di antara yang hak dengan yang batil. Maka diberikan kepada setiap orang yang beramal dengan balasan amalannya dalam bentuk pahala atau seksaan.

Kemudian diputuskan urusan di antara hamba dengan hamba yang lain sehingga dihukumkan yang zalim dengan kezaliman dan dikembalikan hak-hak kepadanya. Dan Kami (Allah) kumpulkan kamu bersama-sama umat sebelum kamu pada suatu tempat agar dapat diberikan keputusan di antara kamu semua sehingga diputuskan semuanya.

Ibnu Kathir berkata: Yakni dengan kekuasaan Allah SWT, Dia mengumpulkan mereka dalam satu pelataran yang mana mereka dapat didengar oleh penyeru dan dapat pula dijangkau oleh pandangan.

Sayid Qutub berkata: Hari ini ialah hari pengadilan yang memberi keputusan bukannya hari meminta maaf. Hari ini Kami kumpulkan sekalian kamu bersama-sama umat-umat manusia dahulu kala.

Firman Allah SWT: Jika kamu mempunyai tipu daya, Maka lakukanlah tipu dayamu itu terhadap-Ku. (al-Mursalat: 39)

Al-Maraghi berkata: Jika kamu mempunyai tipu daya untuk menolak seksaan dari dirimu, maka kamupun membuat tipu daya agar kamu dapat menyelamatkan dirimu daripada seksaan itu.

Ibnu Kathir berkata: Ini merupakan ancaman keras. Dengan kata lain, jika kamu mampu untuk menyelamatkan diri daripada genggaman-Ku dan melepaskan diri daripada hukuman-Ku maka lakukanlah kerana sesungguhnya kamu tidak akan pernah mampu untuk melakukan perkara tersebut.

Sayid Qutub berkata: Andainya kamu berkuasa membuat sesuatu maka silakanlah lakukan hal tersebut. Hari ini tiada tipu helah dan tiada daya upaya. Hanya diam bungkam menerima kecaman yang amat pedih.

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 40)

Al-Maraghi berkata: Azab dan kehinaan disediakan untuk orang yang mendustakan hari kebangkitan sebab telah nampak kelemahan dan kebatilan dari apa yang telah mereka lakukan ketika di dunia dahulu.

Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa menghayati ayat-ayat-Nya dan beriman dengan-Nya seterusnya beramal dengan segala perintah-Nya. Amin.



 DR. ZULKIFLI MOHAMED AL BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/09/2012

Haram menjadi halal

PENGGUNAAN unsur babi dalam industri tidak pernah sunyi daripada menjadi topik perbualan. Malah isu itu sering menjadi topik utama yang dibahaskan oleh orang ramai sejak dahulu.

Namun, tidak dapat dinafikan babi merupakan salah satu spesies yang mendapat perhatian dalam penyelidikan sains kerana mempunyai bahan yang boleh digunakan dalam industri makanan, perubatan dan barang keperluan harian.

Justeru, penggunaan unsur babi dalam industri terus mengundang stigma dalam masyarakat Islam kerana ia membabitkan sensitiviti dan menyentuh hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Kesannya, masyarakat dibelenggu kekalutan dan kekeliruan yang tidak berpenghujung dalam soal halal dan haram dalam kehidupan harian. Akhirnya mereka menuding jari kepada pihak berkuasa.

Permasalahan itu akan terus membimbangkan dan tiada kesudahan jika tidak mencari penjelasan dan penyelesaian terhadap persoalan tersebut.

Bagi merungkai isu yang semakin meruncing itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerbitkan buku Bila Babi Bukan Babi: Analisis Awal dengan mengumpulkan siri perbincangan yang diadakan di IKIM berhubung isu tersebut.

Buku suntingan Norkumala Awang itu mendedahkan maklumat penting berlandaskan nas sahih dan hadis kepada seluruh umat Islam di negara ini agar dapat menghilangkan rasa keliru terhadap jaminan untuk mendapatkan makanan atau barangan halal.

Orang ramai dapat membuat carian pantas terhadap permasalahan mereka melalui buku ini kerana di bahagikan kepada empat topik utama dalam setiap bab.

Bab tersebut adalah Bilakah babi bukan lagi dianggap babi? Isu dan penyelesaiannya, Pertukaran status haram kepada halal; Simbiosis Antara Kaedah Syarie dan Pertimbangan Akli, Darurat Ubat Babi: Sampai Bila danKandungan dan Penggunaan Ubat: Antara Ketelusan Pengilang, Kepekaan Pengguna dan Penguasaan Pemerintah.

Dalam bab pertammembincangkan teori istihalah atau transformasi sebagai satu instrumen perubahan hukum dalam menyelesaikan permasalahan hukum halal dan haram yang timbul untuk kegunaan harian manusia khususnya dalam konteks penggunaan bahan berunsurkan babi.

Bab kedua pula membincangkan tentang prinsip dan dan makanisme yang tertentu dalam syariah yang boleh membebaskan umat Islam daripada beberapa kesukaran yang dihadapi.

Ia menyediakan huraian terperinci mengenai pemahaman berkaitan dengan istihalah dan istihlak yang mampu merungkai permasalahan dan dilema masyarakat umum masa kini.

Dalam bab ketiga pula menghuraikan secara lanjut penggunaan unsur babi dalam industri perubatan dengan memberikan nas yang mengharuskan penggunaan bahan tidak halal dalam ubat-ubatan.

Di samping itu, buku ini turut mengajak masyarakat terutamanya bagi umat Islam untuk berfikir dan membuka minda bahawa sebagai pengguna mempunyai hak-hak tertentu dalam menentukan masa depan industri halal tanah air.

Pengguna yang memainkan peranan penting dalam membuat pilihan bagi meningkatkan permintaan produk halal di pasaran, sekali gus membuatkan pengeluar berusaha mengeluarkan produk yang halal.



 MOHD. SHAH CHE AHMAD Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/09/2012

Khutbah Jumaat: Derhaka zaman moden

Anak biar ibu bapa hidup melarat

Fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Suka atau tidak, kita seharusnya menerima hakikat bahawa setiap yang muda akan menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Namun, persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus dinilai setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar seorang anak.


Rasulullah SAW pernah bersabda “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)


Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua.

Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang dengan tulus dan ikhlas, tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Riwayat Al-Tabrani).

Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa.


Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera.

Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta.

Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah kebajikan, walaupun pada dasarnya rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris.

Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka.

Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni di kalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan saja di negara kita malah seluruh dunia.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2012, seramai 2,020 penghuni di rumah kebajikan JKM. Daripada jumlah itu seramai 982 orang (48 peratus) adalah orang Melayu Islam dan 19 peratus daripada jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes pengabaian serta dipinggirkan keluarga sendiri.

Sebanyak 26 peratus berkaitan masalah penjagaan dan tiga peratus berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.

Membenci ibu bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan adalah dosa besar.

Rasulullah SAW pernah bersabda “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar.

Sabda baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya”. Tanyanya lagi: “Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?” Jawab Nabi SAW: “Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya”.

Apalah gunanya anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan derhaka kepada kedua-dua orang tuanya.

Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua.

Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis bila mereka mengenangkan anak-anak yang dibelai dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.

Janganlah kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.

Sempena 1 Oktober yang diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua.

Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka.

Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang.

Ingatlah bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah pintu keredaan Allah SWT di dunia ini.




Khutbah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 28 September 2012, 12 Zulkaedah 1433 H