October 1st, 2012

Belajar sepanjang hayat

Tiga laluan strategik bina jalur pembelajaran

Ahad lalu, saya berkesempatan berkongsi buah fikiran dalam Program Bicara Hebat sempena Seminar Pembelajaran Sepanjang Hayat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Perkongsian dalam program ini membangkitkan semangat dan kesedaran mengenai pentingnya melalui kehidupan seharian dengan ‘semangat cinta belajar’.

Masih terkesan dengan perkongsian bersama ahli panel dan peserta dalam program itu, saya rasa elok saya ketengahkan dalam penulisan kali ini, mudah-mudahan dapat dimanfaatkan bersama.

Apabila menamatkan alam persekolahan, kita bayangkan berakhirnya ‘dunia buku dan belajar dan ‘merdeka’ dari dunia itu.

Legakan perasaan pelajar

Dari satu perspektif, ia baik kerana melegakan perasaan pelajar dan graduan selepas sekian lama berulit dengan buku, kertas kerja dan peperiksaan.

Tetapi dari sudut lain pula, ia menanamkan kefahaman bahawa belajar cuma berlaku di alam berkenaan dan untuk mendapatkan sijil kelulusan saja.

Apabila masuk alam pekerjaan, minat belajar terus pudar dan perbincangan berkaitan dengannya tidak lagi menjadi tumpuan.

Pemahaman inilah yang perlu diperbetulkan kerana belajar tiada had masa dan tempoh. Sebenarnya semakin kita belajar semakin banyak yang kita tidak ketahui.

Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran, ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad,” jelas menunjukkan Islam menyarankan pembelajaran sepanjang hayat.

Tiga laluan strategik

Saya mahu berkongsi tiga laluan strategik dalam membina jalur pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang boleh dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dunia kerjaya.

Pertama, tentukan matlamat yang ingin dicapai dalam kerjaya. Dengan matlamat kerja yang jelas dan berasaskan pencapaian yang tinggi, pekerja akan berusaha mempelajari kaedah dan kemahiran untuk mencapainya.

Di sinilah laluan pembelajaran secara formal seperti mengikuti kursus, bengkel dan ceramah atau secara tidak formal melalui pembacaan, perkongsian pengalaman, perbincangan dan pandangan daripada rakan dan pakar diperoleh.

Kerja bersandarkan nasib dan tidak berdasarkan pengetahuan, amat dibenci dalam Islam. Ibarat pepatah Melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Matlamat dapat mengelakkan kerja yang dilakukan menjadi sia-sia, merugikan serta tidak diketahui arah tuju haluannya.

Matlamat kerja

Penentuan matlamat kerja sangat penting dalam Islam kerana ia juga menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT.

Justeru itulah kita disunatkan untuk berdoa: “Ya Tuhan Kami kurniakanlah bagi kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat serta jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka”.

Kedua, laluan pembelajaran sepanjang hayat juga boleh berlaku melalui usaha memupuk keseronokan bekerja.

Keseronokan bekerja bukan sekadar untuk menjamin penghasilannya, tetapi di sepanjang usaha itu banyak pengetahuan boleh dipelajari kadangkala tanpa disedari.

Contohnya, untuk menimbulkan keseronokan, seseorang pekerja atau majikan akan mengenal pasti perkara yang boleh menimbulkan minat dan mengelakkan kebosanan seperti mewujudkan suasana persekitaran bilik atau dekorasi dan susun atur perabot dalam ruang pejabat yang bersih, cantik dan kemas.

Usaha mengenal pasti bahan, kualiti perabot dan dekorasi pejabat untuk tujuan membuka ruang pengetahuan yang lain pula daripada bidang kerja.

Ketiga, menghargai pandangan rakan, majikan dan pelanggan dan belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain. Ia adalah laluan percuma untuk pekerja mempelajari sesuatu yang baik. Ia boleh diperoleh sama ada melalui mesyuarat, perbincangan meja bulat mahupun aduan dan maklum balas.

Malah, kesanggupan untuk belajar daripada kesilapan adalah guru yang paling efektif. Sabda Rasulullah SAW “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu”. (Riwayat Muslim).

Kejayaan orang lain seperti kemampuan membuat keputusan yang tepat, inovasi dan idea kreatif adalah contoh yang boleh dipelajari asalkan ia diperoleh dengan cara yang benar dan halal.

Justeru, sama ada disedari atau tidak, ketiga-tiga faktor ini mampu menjadi tapak dan membuka laluan menimba pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang bermanfaat untuk merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan itu tiada yang sia-sia, penuh hikmah dan mampu menjadi wasilah untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Cuma bergantung sejauh mana kita mengamati, menghayati dan menerimanya sebagai input untuk memberi pelajaran dan pengajaran.



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 01 Oktober 2012, 15 Zulkaedah 1433 H

Penyakit boleh sebabkan akhlak rosak

Setiap insan mengimpikan kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Namun, lumrah dalam kehidupan, manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan rintangan.

Pada masa sama mereka juga haruslah berwaspada terhadap penyakit umat yang menular di kalangan masyarakat sehingga mengakibatkan kebejatan akhlak dan keharmonian sejagat. Antara penyakit masyarakat kini ialah: Pertama: kasih dan cinta kepada dunia yang adalah ibu segala penyakit paling berbahaya serta mampu melemahkan jiwa dan fizikal serta mempunyai kesan mendalam dalam kehidupan dan masyarakat.

Maksud sebenar kepada kecintaan kepada dunia adalah kecenderungan terhadapnya sehingga menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah SWT.

Ini bermaksud segala pergerakan dan usahanya akan dipandang dari sudut keuntungan material semata-mata. Apabila berlaku sedemikian, maka kesannya:

Terjerumus ke kancah maksiat di mana segala hukum agama akan diketepikan. Halal dan haram tidak dipersoalkan lagi sehinggalah perkara terlarang itu menjadi kebiasaan dalam kehidupan;

Mencetuskan permusuhan sesama insan akibat penipuan, penindasan dan penganiayaan terhadap insan lain;

Merenggangkan hubungan kekeluargaan akibat tiada kesefahaman dan keikhlasan. Tiada tolak ansur dalam sesuatu keputusan. Apatah lagi jika perkara itu membabitkan harta warisan dan kekayaan dunia;

Mencacatkan kehidupan di mana pencinta dunia sentiasa memikirkan bagaimana caranya untuk memperbanyak dan mengumpulkan dana sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap agama dan keluarga.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang cenderung kepada dunia, dia akan menghadapi empat masalah. Pertama, kegusaran yang berpanjangan; kedua, kesibukan yang tiada sempadan; ketiga, kekayaan yang tidak dapat dicapai; keempat, angan-angan yang panjang tanpa kesudahan”. (Zabdah).

Keduanya, perpecahan umat yang menyebabkan berlakunya permusuhan, perang saudara dan kerosakan.

Kita juga melihat peperangan saudara di bumi umat Islam yang mengorbankan sekian banyak jiwa saudara seagama. Isu sempadan yang diciptakan penjajah menjadi penyebab utama tercetusnya peperangan sesama umat Islam. Inilah faktor yang mengundang kehinaan terhadap umat Islam.

Kita dilarang untuk mengikut telunjuk musuh kepada Islam yang menginginkan kehancuran kita melalui perpecahan.

Ketiga, hasad dengki yang sering bertapak pada diri seseorang dan kadang kala ia wujud tanpa disedari. Hasad adalah sikap benci dan tidak senang terhadap apa saja kebaikan terhadap orang yang tidak disukainya. (Majmu’ Fatawa, Ibnu Taimiyyah).

Penyakit ini adalah antara penyakit paling lama wujud dalam sejarah kehidupan manusia sehingga sejarah pertama menjadikan iblis mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah SWT. Akhirnya penyakit ini diwarisi kaum muslimin sehingga hari ini.

Namun, sifat ini tidak akan muncul pada jiwa yang sentiasa mengingati Allah SWT dan kedapatan banyak kebaikan yang dilakukan oleh manusia di luar sana.



Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP) Zamanuddin Jusoh Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 01 Oktober 2012, 15 Zulkaedah 1433 H