October 2nd, 2012

Hari Raya Aidiladha 2012

  Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Haji bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012 – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja  

Muslihat jahat syaitan

WASWAS adalah muslihat syaitan untuk merosak ibadah manusia. Anda bukan satu-satunya orang yang mengalami perasaan seperti ini. Malah ramai di luar sana yang mengalami perkara yang sama.

Saya pernah melihat seseorang yang waswas dalam lafaz niat dalam solat. Ia berkata: Usolli fardu…usolli fardu tanpa pernah masuk ke dalam solat. Ia berjaya masuk ke dalam solat hanya selepas 10 minit kemudian.

Ada juga yang begitu waswas dalam istinjak. Ia belum merasa bersih meski telah membasuh tangannya berkali-kali.

Semua ini tidak lain adalah perangkap syaitan. Orang yang menjadi mangsa biasanya mereka yang belum menguasai ilmu agama dan hukum-hakam dengan sempurna.

Berkata Imam Al-Syarbini dalam kitab Al-Iqna: "Waswas ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan. Sikap ini menunjukkan kelemahan dalam ilmu agama."

Justeru ubat yang paling efektif bagi mengubati penyakit ini adalah ilmu. Pelajarilah ilmu agama secara mendalam dan berdampinglah dengan para ulama. Anda akan melihat bahawa ajaran Islam sebenarnya sederhana lagi mudah. Dan berlebihan dalam ibadah sama sekali tidak disukai oleh Islam.

Dengan ilmu kita tahu bahawa niat sebenarnya di hati, bukan di lisan. Ucapan kalimat usolli hanya untuk membantu menghadirkan niat di hati. Maka mengulang kalimat ini berkali-kali sama sekali bukan tuntutan agama menurut kesepakatan ulama.

Ilmu juga memahamkan kita bahawa pembaziran air sesuatu yang terlarang. Maka, berlebih dalam membasuh anggota wuduk atau beristinjak bukan sahaja tidak dianjurkan, malah tidak disukai. Oleh itu menurutkan bisikan dan waswas hanya menjauhkan kita daripada kesempurnaan ibadah.

Abaikan

Dalam pelbagai hadis, Rasulullah mengajarkan kita agar selalu mengabaikan waswas setiap kali syaitan membisikkannya ke dalam hati kita. Jangan sekali-kali menurut bisikan ini apalagi hanyut dalam tuntutannya. Sebaliknya, mintalah bukti atas kebenaran dakwaannya. Setakat dakwaan tanpa bukti tidak boleh diterima.

Rasulullah SAW bersabda: "Jika syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu membisikkan: "Wudukmu telah terbatal", maka katakanlah: "Engkau dusta!" Kecuali jika ia mencium bau atau mendengar suara (kentut)." (riwayat Abu Dawud.

Jika perasaan waswas itu tidak juga hilang, maka lakukanlah perkara yang bertentangan dengannya. Sebab syaitan akan sangat kecewa jika kita bukan setakat mengabaikan perintahnya, malah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah itu.

Seseorang pesakit waswas pernah mendatangi Kyai Zuhri Mutamim, ulama besar di Singapura yang wafat pada 1985. Ia berkata: "Saya selalu merasa waswas setiap kali selepas beristinjak. Saya merasa tangan saya belum bersih meskipun saya telah membasuhnya berkali-kali. Bagaimanakah caranya untuk meyakinkan hati saya bahawa tangan saya telah benar-benar bersih?"

Beliau menjawab: "Ceduklah air dengan kedua tanganmu, lalu minumlah."

Sungguh bijak jawapan beliau.

Zikir

Terakhir, jangan lupa untuk selalu menghadirkan nama Allah setiap saat. Sebab syaitan akan mengecil dan menyusut setiap kali disebut nama Allah SWT.

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Jika seseorang berkata: Bismillah, maka syaitan mengecil hingga sebesar lalat."

Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya berkata: "Sanad hadis ini kuat. Ini menunjukkan bahawa apabila hati kita menyebut nama Allah, syaitan akan mengecil dan kalah. Namun apabila kita tidak mengingat Allah, ia menjadi semakin besar dan kuat."

Sebahagian ulama menganjurkan membaca Lailaha illallah setiap kali seseorang merasakan perasaan waswas dalam wuduk, solat atau ibadah lainnya. Sebab kalimat tauhid ini adalah zikir yang terbesar. Demikian anjuran ini terdapat dalam kitab Tuhfat Al-Habib 'ala Syarh Al-Khatib.

Bacaan lain adalah ta'awwuz, yakni membaca: "A'uzubillah minasyaitannirrajim. Maknanya: "Aku berlindung kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan yang direjam."

Selain bacaan-bacaan ini, bacalah zikir yang anda mampu. Semakin hati kita penuh dengan zikir, semakin syaitan dan tipu dayanya menjauh daripada diri kita. Wallahu a'lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama  2 Oktober 2012 / 16 Zulkaedah 1433  

Keberkatan rezeki

DALAM kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki. Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah rezeki yang halal daripada hasil usaha tangannya sendiri.

Pada masa kini punca rezeki adalah berbagai-bagai. Pun begitu, punca rezeki daripada perniagaan lebih menampakkan hasilnya. Walau bagaimanapun keberkatan dalam mencari rezeki sewajarnya diberikan perhatian. Rezeki yang halal lagi berkat akan membawa manfaat sehingga ke akhirat.

Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh Allah SWT, sama ada sedikit ataupun banyak. Rahmat Allah amat luas, bersyukurlah dengan nikmat Allah dan carilah rezeki yang halal, jangan makan rezeki yang haram.

Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)."

Jelaslah, rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima oleh Allah SWT.

Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (riwayat Ibn Majah dan Ahmad, Ibn Hibbah dan Ibn al- Mubarak).

Oleh itu, ketakwaan kepada Allah akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat.

Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata, 'Rezeki secupak tidak akan jadi segantang' bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis. 'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan. "Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit), maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh Allah, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.

Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata dan budaya orang Melayu, dengan pandangan penuh bijaksana untuk direnungi oleh generasi akan datang sebagai panduan dalam kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar dan Al-Hakim).

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (riwayat Ath-Thabrani dan Al-Bazzaar).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda: "Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi hari mereka (waktu fajar).

Ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW dalam sabdanya: "Selesai solat fajar (Subuh) janganlah kamu tidur sehingga melalaikan kamu untuk mencari rezeki." (riwayat Ath-Thabrani).

AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu. Utusan Malaysia Online Bicara agama  02/10/2012 

Assabiah Islamiah

ASSABIAH secara harfiah bererti fanatisme kesukuan atau golongan. Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan bermati-matian segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama bersangkutan dengan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan.

Apabila merasakan adanya ancaman daripada suku lain, maka anggota suatu suku itu tidak akan 'segan-segan' memerangi dan membinasakan suku atau golongan lain.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab sering kali mengalami peperangan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh assabiah atau rasa fanatisme kesukuan yang sangat kuat (assabiah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan akan tampil sebagai di antara suku-suku lain yang ditaklukkannya.

Nabi Muhammad SAW melarang assabiah dalam erti sempit ini, namun menganjurkan assabiah yang yang berasaskan Islam (assabiah Islamiah), iaitu semangat nasional yang berjiwa Islam.

Assabiah merupakan istilah kunci teori Ibnu Khaldun, pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, ia membahas masalah assabiah dan kaitannya dengan perkembangan masyarakat dan negara.

Menurut Ibnu Khaldun, tujuan assabiah ialah kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Kerana itu, assabiah tidak cukup hanya dilandasi kekuasaan fizikal yang mungkin saja cenderung kepada kejahatan tetapi juga harus dilandasi moral, iaitu agama dan akhlak.

Dari sudut pandang ini, kelihatan bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap assabiah.

Istilah assabiah dalam Islam memiliki konotasi yang tidak baik, kerana mengandungi unsur ekstremisme atau sikap patriotik yang berlebihan terhadap kelompok suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliah (assabiah jahiliah).

Rasulullah SAW sendiri pernah merasa prihatin atas adanya bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. Nabi menentang sikap fanatisme kesukuan (assabiah jahiliah) ini dengan persatuan secara menyeluruh (jemaah; assabiah Islamiah).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202 Hijrah /817 Masihi - 261 Hijrah /875 Masihi), Rasulullah SAW menegaskan bahawa barang siapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela assabiah, maka ia mati secara jahiliah.

Assabiah kesukuan atau golongan diperlukan untuk mendorong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh kerana itu, menurut Ibnu Khaldun, assabiah sangat penting pada awal berdirinya sebuah negara. Bagaimanapun, apabila kekuasaan negara yang diperjuangkan itu telah tercapai, maka assabiah kesukuan harus segera diganti dengan kebangsaan atau nasionalisme.

Dalam Islam, semua manusia, suku dan bangsa memiliki darjat yang sama di hadapan Allah SWT yang membezakan mereka adalah kadar ketakwaan kepada Allah SWT (rujuk az-Zukruf: 13)



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 02/10/2012

Perbuatan mudarat diri wajar dijauhi

Islam menolak sebarang perbuatan mendatangkan mudarat termasuk merokok yang boleh membahayakan perokok serta orang lain. Maka, merokok telah disepakati oleh ulama sebagai perbuatan haram di sisi agama.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan kira-kira 10,000 kematian setahun akibat pelbagai serangan penyakit berkaitan amalan merokok. Fakta itu jelas membuktikan merokok membahayakan kesihatan. Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan seperti firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk. (Surah an-Nisa, ayat 2)


Justeru, tidak ada alasan untuk mengharuskan perbuatan merokok. Dakwaan merokok untuk mencari ketenangan dan pencetus perasaan positif tidak boleh dijadikan alasan menghalalkan merokok. Banyak amalan lain boleh dilakukan untuk mencari ketenangan. Firman Allah SWT: Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk. (Surah al-Aaraf, ayat 157)

Kesan ketagih rokok samalah dengan kesan ketagih dadah, bezanya hanya dari segi tahapnya. Nikotin dalam rokok menyebabkan ketagih seperti dadah.




Islam tidak membenarkan sebarang perbuatan mendatangkan keburukan kerana ingin mendapat sedikit kebaikan. Jika perkara mendatangkan sedikit kebaikan, sedangkan kesan buruknya lebih besar, dibenarkan dilakukan, sudah tentu arak juga akan dibenarkan. Firman Allah SWT: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Jika Allah SWT membenarkan manusia melakukan sesuka hati, sudah pasti kehidupan manusia menuju kehancuran. Nafsu mudah tertarik kenikmatan sementara tanpa memikirkan kesan jangkamasa panjang.


Rasulullah SAW menjelaskan bahawa dalam kalangan umatnya ada yang akan menyalahgunakan sesuatu yang memabukkan dengan menukar nama atau istilah untuk menghalalkan penggunaan benda-benda itu.

Rasulullah SAW bersabda: Setiap sesuatu yang memabukkan maka bahan itu adalah haram. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Asas hukum ini menjadi pegangan kepada ulama usul fikah yang menghukum perbuatan merokok sebagai haram. Perkara utama dikaji dan dinilai ialah kesan buruk akibat merokok yang membahayakan kesihatan dan menimbulkan masalah sosial.

Rokok adalah racun yang telah membunuh berjuta-juta manusia setiap tahun di seluruh dunia. Racun yang dihisap sedikit demi sedikit memberi kesan buruk setelah jumlahnya bertambah banyak hingga mengganggu sistem fungsi organ badan.

Mengapakah manusia perlu mencari sumber mendatangkan keburukan sedangkan Allah SWT telah menyediakan banyak pilihan yang baik-baik. Allah SWT mengharamkan setiap perkara mendatangkan keburukan dan melimpahkan rahmat-Nya untuk manusia menikmati dari sumber yang baik.



Berita Harian Online Agama Selasa , 02 Oktober 2012, 16 Zulkaedah 1433 H

Berusaha cari rezeki halal

Pembabitan umat Islam dalam aktiviti haram lagi berdosa seperti judi dan nombor ekor memberi impak negatif kepada hubungan kekeluargaan serta tumbesaran anak jika mereka disuapkan dengan sumber rezeki yang haram.

Malah, sebagai ketua keluarga, kalangan kaki judi dan nombor ekor telah gagal menunaikan tanggungjawab memelihara diri serta keluarga daripada terjerumus ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia ingkar. Justeru itu, setiap Muslim diseru berusaha menyara diri dan keluarga dengan melakukan aktiviti berfaedah dan diharuskan oleh syariat walaupun kemungkinan gajinya sedikit serta memenatkan.


Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri. Begitu pula susah payah seseorang mencari kayu api kemudian dipikul dan dijual di pasar adalah lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta yang belum tentu diberikan apa-apa.

Bekerja dengan cara diredai

Jelasnya Islam sangat menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh dengan cara diredai demi meningkatkan potensi diri, keluarga dan masyarakat Islam umumnya.


 

Menurut perspektif yang lain, kesungguhan Muslim melaksanakan kerja ibadat dengan ikhlas sambil mengharap magfirat dan kurnia daripada-Nya mampu memberi pulangan rezeki melimpah ruah lagi diberkati.


Solat sunat Duha sebagai contohnya jika dilakukan dengan konsisten sambil berharap sepenuhnya kepada kurnia Allah SWT mampu menjadikan individu Muslim kaya dengan rezeki dan kaya dengan rahmat- Nya.

Hal ini dizahirkan lagi dengan munajat hamba yang berharap agar jika rezekinya di langit diturunkan, jika di bumi dikeluarkan, jika di dasar laut ditimbulkan, jika jauh didekatkan dan jika sedikit diperbanyakkan.

Tunai zakat, bersedekah

Selain itu, dengan menunaikan zakat yang difardukan, sentiasa bersedekah dan membantu golongan daif yang memerlukan akan menambahkan lagi keberkatan rezeki diperoleh.

Baginda Nabi SAW pernah menyatakan tidak akan menyesal individu yang beristikharah dan dan tidak akan jatuh miskin orang yang bersedekah. Lebih daripada itu segala infak fi sabilillah pasti akan dibalas oleh-Nya dengan ganjaran yang setimpal di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman: Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-Tawbah, ayat 121)

Begitu pula pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh jutaan tetamu Allah SWT termasuk sejumlah 28,000 jemaah haji Malaysia yang sedang dalam perjalanan menyahut seruan dan panggilan haji, pasti tidak akan dipersiakan berikutan pelbagai ganjaran berlipat kali ganda bakal dinikmati.

Semua nikmat itu sama ada yang bersifat duniawi mahupun ukhrawi adalah kurniaan yang tiada tolok bandingnya. Ini kerana kelebihan dua tanah haram yang menjanjikan perkenan akan segala doa dan balasan berganda yang tidak dinikmati di kawasan lain.

Ambil kesempatan berharga di Tanah Suci

Malah ketika tawaf, seseorang disunatkan membaca doa yang bermaksud: Ya Allah jadikanlah diriku berpuas hati dengan pemberian-Mu, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan apa yang baik-baik.

Justeru, setiap tetamu Allah perlu mengambil kesempatan berharga di Tanah Suci untuk mempertingkat usaha melakukan pelbagai aktiviti ibadah disamping tidak lupa bermunajat dan bermohon kepada-Nya supaya dimakbulkan hajat termasuklah dibukakan segala pintu rezeki.

Muslimin perlu memahami harta dan kemewahan dunia boleh jadi satu indikator untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan seseorang hamba. Untuk itu juga golongan berada selalunya diuji dengan sifat bakhil dan kedekut yang menyebabkan mereka jauh daripada rahmat serta petunjuk Ilahi.

Pada masa sama, kekurangan dan kemiskinan juga satu daripada bentuk ujian Allah SWT untuk menilai keikhlasan hamba mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. (Surah al-Isra, ayat 100)

Sesungguhnya yang pipih tak akan terbang melayang dan yang bulat tak akan datang bergolek. Setiap Muslim diseru berusaha mencari rezeki yang halal lagi diberkati. Berharap keuntungan sementara dengan berjudi dan tikam nombor pasti menyebabkan individu Muslim terhindar daripada petunjuk Ilahi dan bakal mengundang kemurkaan-Nya.


Berita Harian Online Agama Selasa , 02 Oktober 2012, 16 Zulkaedah 1433 H