October 17th, 2012

Kelebihan Zulhijjah

PADA saat ini kita tengah berada di penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi akan masuk ke bulan Zulhijjah. Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama.

Oleh itu, ada baiknya saya membincangkan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah pada kesempatan kali ini.

Perkara pertama yang mesti kita sedari, bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al-Taubah: 36)

Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sejak zaman Jahiliah, bangsa Arab mengharamkan berperang pada bulan-bulan haram ini. Hukum ini juga berlaku pada awal Islam, namun kemudian hukum itu dimansuhkan. Allah SWT mengizinkan kaum Muslimin membela diri atau menyerang musuh pada bila-bila masa meski pada bulan-bulan haram sekalipun.

Meskipun begitu, empat bulan haram ini tetap memiliki keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya. Demikian penjelasan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu'ab Al-Iman.

Pahala

Kemuncak bulan-bulan haram adalah Zulhijjah. Kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama. Ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada hari-hari di mana amal saleh padanya yang lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari pertama bulan Zulhijjah."

Seorang sahabat bertanya: "Tidak juga jihad di jalan Allah?"

Rasulullah SAW menjawab: "Tidak juga jihad di jalan Allah. Kecuali seseorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu tidak kembali lagi."

Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat yang lain.

Ibadah solat, puasa dan zikir yang kita lakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17 Oktober 2012 / 1 Zulhijjah 1433 

Mudarat berjudi

SEJAK lama dahulu, permainan judi telah dikenal oleh manusia. Pada zaman Jahiliah, masyarakat Arab sangat gemar bermain judi. Mereka menyebut permainan itu sebagai al- Masyir.

Pada masa itu, mereka tahu dua bentuk judi iaitu, al-mukhatarah dan al-tajzi'ah. Para ulama bersepakat bahawa judi adalah haram dalam hukum Islam, sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 219.

Al-mukhatarah

Bentuk permainan al-mukhatarah, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas merupakan permainan yang melibatkan dua orang atau lebih yang mempertaruhkan harta dan isteri dalam sesuatu permainan.

Orang yang menang berhak mengambil harta dan isteri pihak yang kalah. Harta dan isteri yang sudah menjadi milik pemenang dapat diperlakukan sesuka hati. Jika suka, dia boleh mengahwininya. Jika tidak, wanita itu hanya dijadikan hamba atau gundik.

Al-tajzi'ah

Dalam at-tajzi'ah, 10 orang bermain kad daripada potongan kayu. Ada 10 keping kad, tujuh kad diberi angka satu hingga tujuh dan tiga kad kosong, sehingga semua angkanya berjumlah 28. Kemudian seekor unta dipotong menjadi 28 bahagian.

Setiap peserta diundi untuk mengambil potongan daging sesuai dengan angka pada kad yang didapatinya. Tiga peserta yang mendapat kad kosong dianggap kalah dan harus membayar harga unta.

Mereka yang menang saling membanggakan diri dengan menyebut nama suku mereka. Permainan ini sering kali berakhir dengan perselisihan, bahkan peperangan.

Kesan terhadap masyarakat

Amalan judi dan minum arak telah diterima oleh sebahagian besar masyarakat sebagai amalan yang boleh memudaratkan institusi kekeluargaan.

Judi bukan sahaja boleh menjejaskan kemampuan kewangan seseorang individu tetapi juga boleh melalaikan dan melekakan seseorang itu daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t dan mereka yang di bawah tanggungan seseorang itu.

Dosa besar

Para ulama setuju bahawa hukum berjudi adalah haram dalam Islam. Hal ini didasarkan pada firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Ada. Kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya… (al-Baqarah: 219)

Dalam ayat lainnya disebut bahawa judi termasuk dalam perbuatan syaitan, sehingga kita mesti menjauhinya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)

Alasan diharamkan judi juga dijelaskan dalam ayat berikutnya yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (a-Maidah: 91)

Al-maysir

Dalam bahasa Arab, judi disebut al-Maysir, yang berasal daripada akar kata yasira atau yasura yang bererti menjadi mudah atau yasara (memudahkan). Hal ini dapat difahami kerana judi menjanjikan keuntungan tanpa melalui cara yang wajar sebagaimana diajarkan dalam Islam.

Muhammad Rasyid Ridha, cendekiawan Islam yang berasal dari Mesir menafsirkan kata maysir dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan bekerja keras.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17 Oktober 2012 / 1 Zulhijjah 1433
 

Peribadatan Rasulullah

KITA telah mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah mengiktikadkan bahawa para nabi dan rasul adalah maksum semenjak mereka belum dilantik menjadi nabi atau rasul lagi. Oleh yang demikian, kita tidak pernah mendengar riwayat yang menyatakan mereka terlibat dalam kancah maksiat dan penyembahan berhala dalam erti kata lain mensyirikkan Allah SWT.

Yang pastinya banyak riwayat menyatakan mereka bermunajat, bertafakur, berzikir dan menunaikan amal ibadat serta menjauhkan diri daripada amalan kaum mereka yang sesat.

Demikianlah kemurnian akidah dan akhlak para nabi dan rasul semenjak Nabi Adam ehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup segala nabi dan rasul.

Pertama: Jumhur ulama menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak beribadat dengan mana-mana syariat sebelumnya. Sekiranya berlaku perkara sedemikian, sudah pasti dinaqalkan melalui dalil-dalil dan tidak mampu untuk disembunyikan.

Begitu juga sekiranya ia berlaku, maka berbanggalah pengikut-pengikut syariat tersebut dan mereka menjadikan sebagai hujah terhadap baginda.

Oleh kerana perkara sedemikian tidak berlaku, maka kita dapat mengetahui bahawa baginda tidak beribadat menurut syariat Nabi sebelumnya.

Kedua: Sekumpulan ulama berpendapat perkara sedemikian tertegah daripada berlaku menurut pandangan akal. Bagi mereka hal ini akan menyebabkan Rasulullah tidak dikenali sebagai rasul yang diikuti, sebaliknya baginda akan dikenali sebagai pengikut syariat nabi-nabi sebelumnya.

Ketiga: Segolongan ulama lain mengambil jalan berdiam diri tanpa mengeluarkan pendapat dan meninggalkan suatu penetapan yang pasti kerana di antara dua pendapat itu tidak terdapat satu pun yang boleh diputuskan secara tetap. Pendapat ini, dipilih oleh Imam al Haramain.

Keempat: Berkata segolongan ulama lain pula, bahawa baginda beramal dengan syariat sebelumnya. Kemudian mereka berselisih pendapat mengenai syariat nabi mana yang diikuti oleh Rasulullah. Maka sekumpulan daripada mereka mengambil jalan tidak menetapkan secara terperinci mengenai tatacara peribadatan nabi siapa yang diikuti oleh baginda.

Kelima: Terdapat juga golongan yang menetapkan secara terperinci tatacara peribadatan baginda dan kemudian berselisih pendapat dalam menentukan syariat manakah yang diikuti oleh baginda. Dikatakan, bahawa baginda mengikut syariat Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan ada juga dikatakan ikut syariat Nabi Adam as. Ini merupakan sejumlah daripada pendapat mazhab-mazhab mengenai permasalahan ini.

Pendapat yang terpilih adalah pendapat pertama yang dipegang oleh jumhur ulama; yang menegaskan bahawa baginda tidak mengikut mana-mana syariat sebelumnya.

Pendapat yang paling jauh daripada kebenaran ialah mazhab yang menentukan tatacara peribadatan baginda secara terperinci kerana sekiranya benar terjadi sedemikian, nescaya ia telah diriwayatkan dalam khabar yang sahih.

kemantapan ilmu

Setengah golongan yang tidak mempunyai kemantapan ilmu dan tidak meneliti hakikat sebenar Kitab dan sunnah mendakwa: Sesungguhnya Rasulullah SAW beramal dengan syariat Nabi Ibrahim dan baginda tidak memiliki syariatnya yang tersendiri. Tujuan perutusan baginda hanyalah untuk menghidupkan syariat Nabi Ibrahim. (rujuk al-Nahl: 123)

Maka dakwaan mereka adalah salah, malah lebih kepada menyamai perkara khurafat. Rentetan itu, ulama menyatakan pendapat seumpama ini tidak dinyatakan melainkan oleh orang yang senteng akal dan bertabiat bebal.

Maksud sebenar ayat ini ialah baginda mengikut Nabi Ibrahim pada tauhid yang khusus dengan kedudukannya sebagai seorang khalil (teman) Allah. (rujuk al Baqarah: 135)

Baginda juga diperintahkan mengikut Nabi Ibrahim pada penyerahannya yang mutlak kepada Allah tatkala Nabi Ibrahim, di mana ketika baginda hendak dihumban ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud, maka datang Jibril lalu berkata kepadanya: "Adakah engkau memerlukan apa-apa pertolongan daripada saya?"

Jawab Nabi Ibrahim:, "Ada pun berhajat kepada engkau, tidak sama sekali."

Maka dengan itu, Nabi Ibrahim telah sampai kepada kemuncak penyerahan diri yang tidak dapat dicapai mana-mana kalangan manusia sebelum dan selepasnya kecuali nabi Muhammad SAW yang telah sampai ke suatu kedudukan yang amat tinggi dan tidak diketahui ketinggiannya melainkan Pencipta-Nya, Tuhan Yang Menjadikannya, yang mengurniakan nikmat ke atasnya dengan nikmat yang tidak dikurniakan kepada selain baginda.

Oleh yang demikian, ketika manusia datang menemuinya di Padang Mahsyar untuk mendapatkan syafaat teragung bagi memulakan perbicaraan, sambil berkata kepadanya: "Sesungguhnya Allah telah memilih engkau sebagai khalil (teman)."

Jawab Ibrahim: "Sesungguhnya saya hanyalah seorang khalil yang berada di belakang kedudukan al Habib (iaitu Nabi Muhammad SAW).

Nabi Ibrahim memaklumkan kepada mereka walaupun baginda adalah Khalil Allah, tetapi tergolong di kalangan yang memiliki martabat yang agak terkebelakang daripada Nabi Muhammad SAW.




Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17 Oktober 2012 / 1 Zulhijjah 1433

Kemuliaan Zulhijjah jadi iktibar

Umat Islam wajar rebut hikmah, ganjaran mengerjakan haji

Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Islam termasuk antara empat bulan haram yang dinyatakan Allah dalam al-Quran. Kehadiran Zulhijjah amat dinanti-nantikan umat Islam terutama mereka yang sudah bersedia dari segala segi untuk menyahut seruan Ilahi melaksanakan ibadat haji.

Zulhijjah juga menyaksikan tiga kemuliaan dalam satu bulan yang sewajarnya menjadi bahan renungan dan pengajaran bagi setiap Muslim yang bertakwa. Ketiga-tiga kemuliaan terhimpun pada Zulhijjah yang mulia itu ialah kemuliaan waktu, tempat dan musim haji.

Jemaah haji berjalan ke Padang Arafah untuk berwukuf.

Waktu afdal beribadat 

Kemuliaan waktunya ialah kerana kita berada pada bulan haji iaitu bulan haram yang setiap detiknya amat berharga di sisi Allah. Detik-detik keemasan sepanjang Zulhijjah adalah waktu afdal beribadat untuk mendekatkan diri ke hadrat Allah. 

Hari Arafah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, salah satu daripada rukun fardu haji. Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, mereka dianjurkan berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari itu.


Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada hari ‘Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan selepasnya.” (Riwayat Muslim) 

Kemuncak daripada itu, hari Arafah adalah hari yang Allah bebaskan sesiapa hadir di padang ‘Arafah daripada api neraka. Oleh itu, keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam menzahirkan kegembiraan ke hadrat Allah.


Kemuliaan tempatnya pula ialah kerana jemaah haji berada di Tanah Suci iaitu Makkah dan Madinah. Sejak dunia mengenal peradaban, Baitullah telah berdiri tegak sebagai benteng akidah yang kukuh, tidak mudah digugat, apatah lagi dihapuskan. 

Sebaliknya segala propaganda dan perancangan musuh Islam sentiasa gagal dan tidak kesampaian. Justeru, Makkah dengan Baitullah diangkat sebagai simbol keimanan dan akidah. Pusat penyebaran dakwah Islam.


Taati perintah, larangan

Sehubungan itu, setiap jemaah haji atau umrah yang berada di Tanah Suci wajib memelihara kesucian tempat mulia ini dengan mentaati semua perintah, larangan serta peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa di sana.


Allah memberi peringatan keras terhadap sesiapa yang cuba melakukan kerosakan secara zalim di dalam Masjidil Haram. FirmanNya: “Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Hajj, ayat 25) 

Manakala kemuliaan musimnya ialah kerana Zulhijjah terkandung dalamnya ibadat yang besar ganjarannya di sisi Allah. Allah menyediakan ganjaran besar bagi Muslim yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan itu.


Kelebihan musim haji


Kemuliaan musim haji tidak dapat dinilai kebesarannya, kelebihannya dan keistimewaannya kerana inilah saat indah dilalui jemaah haji demi meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak.


Segala hikmah dan pelbagai pengajaran yang terhimpun dalam musim haji sewajarnya dimanfaatkan jemaah haji bermula daripada kesatuan umat Islam yang datang daripada seluruh pelusuk dunia. Umat Islam di Tanah Suci disatukan oleh akidah.

Risalah Islam adalah risalah agung dan amanah yang cukup besar. Oleh itu, umat Islam memerlukan kepada satu kesatuan dan perpaduan ummah yang utuh dalam menghadapi ancaman serta cabaran pascamodenisme ini.

Jana akidah ampuh, jalin ikatan ukhuwah

Hanya di bawah naungan panji Islam dengan suluhan wahyu al-Quran dan sunnah Rasulullah, barulah umat Islam dapat bangkit berperanan sebagai umat terbaik dan contoh kepada sekalian alam.

Demikianlah kemuliaan Zulhijjah yang sewajibnya diambil iktibar bukan saja oleh jemaah haji, bahkan semua umat Islam untuk mengorak langkah menjana akidah tauhid yang ampuh dan menjalin ikatan ukhuwah.



Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Berita Harian Online Agama Rabu , 17 Oktober 2012

Konsisten menjaga kualiti ibadah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman: Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datangnya hari (Kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan. (Ibrahim: 31)

Sebenarnya hidup ini adalah penantian. Penantian giliran bila kita akan kembali ke hadrat Ilahi Rabbi. Penantian panjang menuju hari akhirat memerlukan bekalan dengan sungguh-sungguh, tidak sekadar satu permainan.

Yang demikian, sesiapa yang menjadikan hidup ini sebagai perkara yang main-main, tanpa bekalan maka Allah pun akan melupakannya di hari yang sangat berat tanggungannya bagi seluruh makhluk.

Firman Allah yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai hiburan dan permainan dan kehidupan dunia telah menipu mereka. Maka pada hari (Kiamat), Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. (al-A'raf: 51)

Pada hari Kiamat nanti, kita akan bertemu dengan Allah dalam keadaan yang berbeza-beza sesuai dengan amal ibadah kita. Ada yang wajahnya putih bersinar, ada pula yang wajahnya hitam legam.

Selain itu, Allah Taala juga akan berhujah kepada beberapa golongan manusia. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti Allah SWT akan berhujah dengan empat orang terhadap empat golongan manusia yang lain, iaitu : Pertama, Allah berhujah kepada orang-orang kaya dengan Sulaiman bin Daud. Kedua, Allah berhujah kepada para hamba sahaya dengan Nabi Yusuf as. Ketiga, Allah berhujah kepada orang-orang sakit dengan Nabi Ayub as. Keempat, Allah berhujah kepada orang-orang fakir dengan Nabi Isa as."


Segala perbuatan kita di atas muka bumi ini akan disoal oleh Allah SWT. - Gambar hiasan

Maksud hadis di atas, menurut Syeikh Nawawi dalam kitab Nashaih Ibad, bahawa Allah SWT akan bertanya kepada orang-orang kaya yang terlena dengan kekayaannya dan enggan beribadah: "Mengapa kamu tidak beribadah?"

Jika mereka menjawab: "Kerana kami sibuk mengurus harta benda kami." Maka Allah berfirman: "Siapakah yang lebih besar kerajaannya dan siapakah yang lebih banyak kekayaannya daripada Sulaiman as? Tapi mengapa ia tetap tekun beribadah?"

Manakala kepada para hamba sahaya, Allah akan bertanya: "Mengapa kamu tidak beribadah?" Jika mereka menjawab: "Kerana kami sibuk melayani majikan-majikan kami." Maka Allah pun berfirman: "Hamba-Ku Yusuf, adalah seorang hamba di bawah perintah raja Mesir dan isterinya, tapi mengapa ia tetap tekun beribadah?"

Kepada mereka yang diuji dengan sakit, Allah akan bertanya: "Mengapa kamu tidak beribadah?" Jika mereka menjawab: "Kerana kami tertimpa sakit." Maka Allah berfirman: Hamba-Ku Ayub, adalah orang yang menderita sakit parah, tetapi mengapa ia tetap tekun beribadah?"

Sementara pertanyaan Allah kepada mereka yang diuji dengan kefakiran, Allah berfirman: "Mengapa kamu tidak beribadah?" Jika mereka menjawab: "Kerana kami sibuk mencari sesuap nasi." Maka Allah berfirman: "Hamba-Ku Isa, adalah orang yang terfakir di dunia, dia tidak memiliki kekayaan dunia sedikit pun. Dia tidak memiliki rumah, harta, mahupun isteri. Tapi mengapa ia tetap tekun beribadah?"

IBRHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17 Oktober 2012 / 1 Zulhijjah 1433

Waspada pesona harta

HARTA adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana kurniaan dan anugerah yang lain, harta yang diperoleh oleh seseorang itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT.

Walaupun harta tersebut berada dalam pemilikan kita, namun ia bukanlah bermakna harta tersebut boleh digunakan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Ia bukanlah milik mutlak yang mendatangkan kebebasan kepada kita untuk mendapatkannya dan membelanjakannya mengikut kehendak hati tanpa adanya pertimbangan dustur Ilahi.

Mengetahui sifat manusia yang sangat cintakan harta, maka Allah SWT membenarkan aktiviti atau kegiatan perolehan harta dan perbelanjaannya. Akan tetapi, ia tidak terhenti setakat itu sahaja.

Di samping kebenaran memanfaatkan harta, Allah SWT mendatangkan beberapa sekatan dan batasan agar manusia dapat menggunakan harta tanpa membinasakan dirinya dan tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia yang lain.

Oleh yang demikian, dalam kita mencari dan membelanjakan harta, kita tidak harus sama sekali membelakangi wahyu Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. (rujuk al-Munafiqun: 9)


Berhati-hatilah dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. - Gambar hiasan

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperoleh harta. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka.

Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut. Golongan pertama, harta boleh melalaikan manusia dalam konteks hubungan dengan Allah SWT. Golongan yang pertama ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah menyibukkan dirinya mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

Ada di kalangan mereka yang meremeh-temehkan solat sehingga sanggup mengerjakannya di akhir waktu dengan alasan perlu mendahulukan janji temu dengan pelanggan dan sebagainya. Sebahagiannya terlepas waktu solat kerana asyik bermesyuarat atau sibuk melayan pelanggan sehingga luput waktu solat.

Sebahagiannya pula ada yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana meraikan hari jadi pelanggan di kelab-kelab sehingga terlepas solat Subuh kerana badan yang terlalu letih.

Ada pula yang asyik menangguhkan amalan fardu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji. Namun, berkali-kali haji ditangguhkan kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji.

Apabila mereka sudah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka bukan sahaja hati mereka tidak tenteram, bahkan rumah-rumah mereka tidak damai dan harmoni kerana sunyi daripada ingatan dan zikir kepada Allah SWT. (rujuk an-Nur: 37)

Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dalam konteks hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya kepada harta orang lain.

Nabi SAW bersabda: Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (riwayat Muslim)

Golongan ini juga melupakan tanggungjawab terhadap manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Lalu mereka enggan untuk membayar zakat dan memberi sumbangan kepada fakir miskin kerana ia dianggap sebagai kerugian besar.

Sedangkan Nabi SAW telah memberikan jaminan bahawa harta yang disedekahkan dan didermakan akan mendatangkan keberkatan kepada kehidupan si pemberi.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang sanggup untuk memberikan sumbangan hartanya pada jalan Allah SWT sebenarnya telah berjaya melalui satu ujian dalam kehidupannya.

Hakikatnya, Allah SWT menjadikan kemiskinan untuk menguji si miskin, sama ada reda dan sabar dengan ketentuan-Nya itu. Si miskin juga akan diuji, sama ada dia sanggup mencari pendapatan yang haram untuk mengatasi kemiskinannya.

Allah SWT juga mencipta kekayaan kerana ingin menguji si kaya adakah dia bersyukur dan membantu si miskin.

Lantaran itu, Allah SWT berfirman: Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)

Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dalam konteks dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala sudut. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk akan status dan kekayaan mereka. (rujuk al-Taghabun: 16)

Kesimpulannya, terdapat tiga ancaman harta kepada kita iaitu dalam konteks hubungan dengan Allah SWT, hubungan dengan manusia yang lain dan terhadap diri sendiri. Marilah sama-sama kita menjaga diri agar tidak termasuk dalam mana-mana kelompok ini. Berwaspada agar diri tidak terlalu terpesona dengan harta sehingga kelalaian itu makin meningkat dan akhirnya menyesal apabila maut menjelang tiba.




WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17 Oktober 2012 / 1 Zulhijjah 1433

Longgarkan syarat berpoligami

WANITA Islam yang lanjut umur mencecah umur 35 tahun ke atas, atau apa yang dikatakan sebagai 'andartu' yang masih membujang membimbangkan kita. Ini kerana semakin ramai di antara mereka ini tidak pernah merasai kenikmatan berumahtangga sehingga ke akhir hayat.

Jangan salahkan jodoh atau takdir jika sekiranya umur semakin meningkat tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pasangan hanya kerana ego, terutama sekali wanita yang berkerjaya dan teguh ekonominya.

Perlu diingatkan bahawa perkahwinan di dalam Islam adalah sunnah Rasulullah SAW. Pertamanya, ia dapat menyambung zuriat dan menambahkan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Baginda berbangga jika umat Islam semakin bertambah di muka bumi ini.

Keduanya, untuk mengelakkan berlakunya maksiat yang menjurus seseorang itu ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Ketiganya, dapat menjaga maruah diri dan keluarga.

Dalam hal ini, kita perlu kaji semula sistem perundangan dan peradapan serta budaya kita agar lebih terbuka ke arah membina masyarakat Islam yang mampu memberikan sesuatu yang menguntungkan, bukan mengongkong ke arah merugikan.

Oleh itu, dicadangkan agar dilonggarkan syarat bagi lelaki untuk berpoligami dengan wanita berumur lebih daripada 30 tahun, iaitu tanpa surat akuan kebenaran daripada isteri pertama. Tidak perlulah disyaratkan untuk mendapatkan salinan slip gaji atau pengesahan pendapatan seperti mana prosedur biasa.

Sebaliknya memadai disediakan perjanjian di antara pasangan yang hendak berkahwin itu mengikut akuan perjanjian masing-masing jika berlaku permasalahan di kemudian hari nanti. Tujuan utama adalah untuk menyelamatkan 'andartu' bagi mendapatkan zuriat. Difahamkan mengikut kajian perubatan sains moden, wanita yang belum pernah berkahwin memang susah untuk mengandung ataupun melahirkan anak apabila umur menjangkau 40 tahun ke atas.

Kita kena terima hakikat lumrah rutin kehidupan manusia. Tetapi dalam pada itu, seseorang itu hendaklah berusaha menyelesaikan sendiri apa juga yang mendatang dan jangan biarkan ia tanpa pembelaan sewajarnya. Islam juga membenarkannya asalkan mampu memberikan manfaat kepada ummah.

Tidak keterlaluan jika disyorkan juga agar wanita dengan secara jujurnya melalui 'orang tengah' saperti saudara mara atau orang yang boleh kita percayai merisik lelaki yang boleh dan mahu mengambil mereka sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat.

Selain untuk mendapatkan zuriat, ia juga bagi mengelakkan seseorang wanita itu hidup keseorangan di waktu tua nanti apabila tiada siapa untuk menjaganya.

Apa yang saya perkatakan ini bukan senda gurau atau sesuatu yang pelik. Secara tidak langsung dalam jangka panjang mampu menyelamatkan kaum wanita itu sendiri serta dapat membela hak-hak mereka. Fikirkanlah sudut positifnya dahulu sebelum membuat pelbagai andaian.



SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL Ampangan, Seremban. Utusan Malaysia Online Forum 16/10/2012