October 21st, 2012

Persoalan Agama: Suami tak wajib biayai haji isteri

Adakah seorang suami mempunyai kewajipan untuk membiayai isterinya menunaikan haji? Apakah kelebihan hari Arafah dan adakah puasa hari Arafah disunatkan kepada orang yang melakukan haji?


FADHILAH, Klang

Haji satu daripada rukun Islam. Allah SWT berfirman: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, (iaitu) bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Sesiapa yang mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Ibadah haji diwajibkan bagi orang yang mampu melaksanakannya, sama ada dia memiliki kemampuan fizikal atau mampu dari segi ekonomi.

Sementara pemilikan harta antara suami dan isteri terpisah, sesiapa yang sanggup melakukan ibadat haji antara mereka berdua, sama ada isteri atau suami, maka seorang daripada mereka hendaklah pergi menunaikan haji.

Seorang suami tidak berkewajipan membiayai haji seseorang, demikian pula dengan isteri. Tetapi jika seorang daripada mereka ingin berbuat baik dengan memberikan bantuan supaya pasangan dapat menunaikan haji, tidak ada larangan.

Diriwayatkan Imam at-Tirmizi, daripada Abi Qatadah, Nabi SAW bersabda: “Puasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengira Allah akan mengampuni dosa setahun sebelumnya dan tahun sesudahnya.”

Tak laksana ibadah haji

Hadis ini bagi orang yang tidak melaksanakan ibadat haji, iaitu orang yang berada di negaranya dan tidak melaksanakan ibadat haji. Sementara hukum berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang sedang melaksanakan ibadat haji, adalah antara haram dan makruh kerana ia sedang dalam ibadah dan perjalanan ibadat haji.

Rasulullah SAW pernah melarang berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang melakukan wukuf. Tetapi ibadat puasa pada hari Arafah sangat digalakkan bagi orang yang tidak melaksanakan ibadat haji. Manusia tidak digalakkan berpuasa selagi sedang dalam musafir.

Fadilat hari Arafah secara khusus antaranya, ibadat puasa yang dilakukan oleh orang yang tidak melaksanakan ibadat haji dapat menghapuskan dosa dua tahun, baik yang lalu atau yang akan datang apabila ia menjauhkan diri daripada dosa besar.

Syaitan juga nampak marah ketika melihat hari Arafah iaitu dengan pengampunan dosa yang Allah berikan kepada orang yang melaksanakan ibadat itu.

Mereka juga meninggalkan keindahan berzikir ketika berada di tengah manusia. Mereka ada tetapi sama saja dengan tidak ada. Kewujudannya tidak membawa sebarang erti dan makna.



Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama Ahad , 21 Oktober 2012

JAKIM sahkan suami tak perlu minta izin

Sepang: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata sebaliknya keputusan sama ada lelaki berkenaan dibenarkan berpoligami atau tidak bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, beliau berkata kebiasaannya Mahkamah Syariah akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

“Mengikut sistem perundangan Islam suami memang tidak perlu meminta kebenaran isteri untuk berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami.

Perlu buat permohonan

“Bagaimanapun, mana-mana lelaki yang mahu berpoligami perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah bagi menentukan sama ada layak atau tidak berkahwin lebih dari satu,” katanya ketika di temui BH di sini.

Othman diminta mengulas laporan media mengenai lelaki Islam di Pulau Pinang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama untuk berpoligami.

Dalam laporan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussien, berkata enakmen syariah negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran isteri pertama.

Sebelum ini, BH melaporkan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, dipetik sebagai berkata suami yang mahu berkahwin lebih daripada satu tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kerana ia tidak terkandung dalam enakmen syariah di semua negeri.

Ambil masa 21 hari

Sebaliknya, mengikut Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam yang hampir seragam di semua negeri, suami diberikan hak berpoligami dan hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah.

Zainul Rijal berkata permohonan mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.

“Empat elemen utama dinilai mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri.



Haika Khazi | mfaizul@bharian.com.my Berita Harian Online Nasional Ahad, 21 Oktober 2012 

Perempuan kena faham, poligami hak suami

SEBELUM Bro menulis lebih lanjut Bro nak peringatkan semua pembaca khususnya kaum perempuan bahawa poligami dibenarkan oleh Islam manakala perceraian adalah perkara yang dihalalkan oleh Islam tetapi dibenci oleh Allah.

Oleh itu Bro nak ingat puak-puak perempuan tak payah nak emosional apabila ada cadangan supaya lelaki yang sudah berkahwin tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kalau dia mahu berkahwin dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas.

Bro sokong 300 peratus cadangan itu kerana ketika ini ramai perempuan yang berusia sedemikian tidak berkahwin. Bro percaya mereka juga ada keinginan untuk memiliki pasangan hidup seperti wanita-wanita lain yang sudah berkahwin.

Tetapi biasalah yang selalu kejam kat perempuan ini, perempuan sendiri, sebab itulah mereka emosional apabila sentuh sahaja bab-bab poligami ni. Macam-macam hujah mereka keluarkan untuk mempertahankan 'wilayah' mereka supaya tidak dicerobohi.

Bro nak tanya puak-puak perempuan yang emosional fasal poligami ni pernahkah mereka tidak fikir apa akan jadi jika mereka juga berada dalam kategori perempuan berusia 30 tahun ke atas tetapi belum berkahwin. Bro percaya mereka pun akan berdoa siang dan malam untuk diketemukan dengan jodoh. Kalau takdir menentukan bahawa jodoh mereka suami orang, mereka nak buat macam mana?

Janganlah bila dah berkahwin, rasa suami kita tu hak kita 100 peratus, perjalanan kehidupan ini bukan kita yang atur, kita hanya berusaha yang terbaik tetapi kalau ditakdirkan juga seorang perempuan tu kena bermadu, terima sahajalah.

Tetapi Bro nak ingatkan, Bro bukan sokong semua lelaki berpoligami, selain berkemampuan zahir dan batin, lelaki juga mesti beriman dan berakhlak, apabila semua syarat ini dah mencukupi Bro rasa tidak ada masalah untuk dia mengendalikan dua ke, tiga ke atau empat isteri.

Satu lagi kenapa perempuan suka sangat melihat soal poligami ni dari sudut negatif, sedangkan perkara itu dibenarkan oleh Allah, sudah pasti yang baik itu datang daripada-Nya dan yang buruk itu datang daripada manusia itu sendiri.

Menganiaya

Sebab itulah, Bro kata, yang selalu menganiaya perempuan bukan lelaki tetapi perempuan itu sendiri. Mereka sendiri kadang-kala tidak mahu melihat kaum sejenis mereka bahagia. Bab lain termasuk mengumpat siang malam mereka boleh berkongsi cerita, tetapi bila sentuh bab nak kongsi suami, mahu tercetus perang dunia ketiga, seolah-olah kalau mereka kena berkongsi kasih suami dengan perempuan lain dunia akan kiamat!

Namun mereka lupa, kadang-kala ada sebab kenapa suami mereka nak berpoligami apatah lagi dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas, kalau suami mereka gatal buat apa nak cari perempuan berusia sedemikian lebih baik dia cari bak kata orang anak dara trang tang-tang. Tetapi ada lelaki yang berasa bertanggungjawab untuk turut memberi kebahagiaan kepada perempuan yang masih mencari suami ketika usia semakin meningkat atau si isteri sedia ada makin membosankan.

Bro percaya perempuan berusia sedemikian sudah ada kedudukan ekonomi yang baik, cuma kadang-kala kesibukan mereka menyebabkan tidak ada masa hendak bercinta tetapi apabila ditakdirkan mereka perlu bertemu jodoh dengan suami orang, Bro yakin mereka tidak akan tolak.

Lagipun, perempuan yang sedemikian tidak memerlukan apa-apa lagi daripada seorang lelaki, selain hendak berkongsi kasih sayang, sekurang-kurangnya dalam seminggu sekali atau dua kali, teman yang boleh dibuat berbual dan bergurau senda di malam hari, tak kan itu pun tak boleh!

Bro percaya lelaki yang mahu berpoligami dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas tidak berhasrat untuk mengambil kesempatan terhadap perempuan berkenaan.

Lelaki ini baik, mereka sentiasa mempunyai sikap untuk membantu kaum perempuan, masalahnya kaum perempuan tidak mahu kaum sejenis mereka bahagia, sebab itulah jumlah perempuan tidak berkahwin semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Oleh itu, Bro berharap kaum perempuan tidak perlu emosional dalam berhadapan isu poligami ni. Bro tak kata, kalau apa yang dicadangkan itu boleh menyelesaikan semua masalah terutamanya mengurangkan jumlah wanita tidak berkahwin, cuma Bro fikir tidak ada salah kalau perkara itu betul-betul hendak dilaksanakan.

Kalau perempuan berusia sedemikian terperangkap dengan lelaki hidung belang atau akan mengikis hartanya itu nasib perempuan itulah, kenapa gatal tak mahu check latar belakang kekasih dia tu. Tetapi biasalah perempuan memang mudah lentuk, kena puji sikit mulalah jalan macam itik serati!

Apa pun Bro nak nasihatkan perempuan, cuba fikirkan soal poligami ini dengan tenang dan penuh rasional kerana sudah pasti ia ada kebaikannya. Lagipun lama mana sangatlah kita nak hidup kat dunia ni, sekurang-kurangnya melalui langkah mereka membenarkan suami berpoligami dengan perempuan berusia ini, ia akan mendatangkan pahala dan menceriakan dunia rumah tangga.

Akhir kata Bro nak nasihat kepada kaum perempuan yang sudah berkahwin, poligami adalah hak suami! Jadi tak payahlah nak makan hati!

- JUMPA LAGI!


Kucing Jantan Utusan Malaysia Online Rencana 21 Oktober 2012 / 5 Zulhijjah 1433