October 23rd, 2012

Badal haji, korban untuk arwah

BOLEHKAH kita melakukan badal haji dan ibadah korban untuk orang yang telah meninggal dunia? Jika boleh, saya ingin lakukan untuk arwah ibu saya.

Jawapan

Sebelum menjawab soalan ini, kita harus membincangkan satu perkara penting terlebih dahulu. Iaitu apakah orang yang telah meninggal dunia boleh mendapatkan pahala amalan ibadah yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup?

Mengikut kesepakatan (ijmak) ulama daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, orang yang sudah meninggal dunia masih boleh menerima pahala ibadat yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup. Demikian dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn al-Qayyim (w. 751H) dalam kitab al-Ruh.

Dalilnya sangat banyak, salah satunya hadis Nabi SAW yang bermaksud: Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka amalannya telah terputus melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang selalu berdoa untuknya. (riwayat Muslim)

Setelah mengumpulkan pelbagai dalil dalam perkara ini, Imam al-Syafii merumuskan: "Akan sampai kepada mayat daripada amalan orang lain tiga perkara, haji yang dilakukan untuknya, harta yang disedekahkan atau dibayarkan (hutang) untuknya dan doa. Aku mengatakan ini kerana berdalil dengan sunnah dalam perkara haji. Dan umrah serupa dengannya secara qiyas."

Badal haji

Daripada ucapan Imam Al-Syafii di atas, badal haji yang dilakukan untuk arwah, insya-Allah pahalanya akan sampai kepada arwah. Namun, apa hukum membuatkan badal haji itu?

Menurut ulama mazhab Syafii, hukum membuat badal haji terbahagi dua. Wajib jika arwah memang telah wajib melaksanakan ibadah haji semasa hidupnya, namun meninggal dunia sebelum sempat melakukannya. Dalam kes seperti ini, ahli waris wajib mengeluarkan sebahagian daripada harta pusaka peninggalan si mati untuk digunakan membiayai badal haji untuknya.

Berkata Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Idah fi al-Manasik: "Wajib menggantikan (badal) haji bagi si mati jika ia (si mati) berkemampuan untuk haji ketika hidupnya namun tidak sempat melakukannya. Itu pun jika ia meninggalkan harta warisan. Jika tidak, maka bukan kewajipan waris untuk melakukan haji badal baginya."

Jika si arwah sememangnya tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah haji semasa hidupnya, maka ahli waris tidak wajib membuatkan badal haji baginya. Jika mereka ingin membuatkan untuknya juga, maka hukumnya harus. Namun dalam kes ini, waris tidak boleh menggunakan harta pusaka peninggalan arwah untuk membiayai badal haji itu kecuali dengan keizinan seluruh ahli waris.

Siapa yang berminat melakukan badal haji untuk arwah boleh melakukannya sendiri atau menyewa orang lain untuk membuatkan badal haji untuk orang yang dikehendaki. Seseorang yang melakukan badal haji mestilah orang yang pernah melakukan ibadah haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.

Korban untuk arwah

Bagi korban untuk arwah pula telah menimbulkan perselisihan di kalangan para ulama. Mazhab Syafii mengatakan bahawa korban adalah ibadah perseorangan. Oleh itu tidak sah dilakukan oleh orang lain tanpa keizinan daripada empunya diri. Jika orang itu telah meninggal dunia, maka ibadah korban tidak sah tanpa wasiat daripadanya.

Jika arwah pernah berwasiat agar dibuatkan ibadah korban selepas kematiannya, maka ahli waris boleh melakukan korban tersebut. Namun daging korban itu wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.

Demikian kesimpulan hukum korban untuk arwah dalam mazhab Syafii. Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan adanya pandangan berbeza yang berasal daripada ulama mazhab lain.

Mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali, ibadah korban boleh dilakukan untuk arwah biarpun tanpa wasiat daripada si mati. Pahalanya insya-Allah akan sampai kepadanya.

Saya sangat berharap perbezaan pendapat ini tidak menyebabkan perbalahan di antara kita. Sebaliknya, kita mesti ingat bahawa matlamat utama ibadah korban adalah untuk menaati perintah Allah SWT, menzahirkan kesyukuran dan menghidupkan syiar agama di negeri kita.

Kita juga patut sedar bahawa keikhlasan dan ketakwaan yang menentukan nilai ibadah kita. Mana-mana ibadah korban yang benar-benar mengharapkan reda Allah, maka itulah yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.

Allah berfirman: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamu lah yang dapat mencapainya. (al-Hajj: 37)


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23 Oktober 2012 / 7 Zulhijjah 1433

Masjid tertua di dunia

MASJIDIL Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun kelapan kerasulan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam.

Oleh hal yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Kaabah

Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci).

Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as pada batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam) dan telaga zamzam.

Masjidil Haram merupakan sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) dari kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Menara

Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa." (riwayat ad-Darimi, an-Nasai' dan Ahmad)

Telaga zamzam

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki (sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki (sekitar 1.2m).

Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Asma ul Husna.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23 Oktober 2012 / 7 Zulhijjah 1433

Rasulullah tidak fakir

Dalam Islam, penerangan mengenai hak-hak Nabi Muhammad SAW dan menjaga adab terhadapnya wajib disemai semenjak kecil. Ini kerana perkara-perkara yang melibatkan penghormatan dan penghinaan terhadap Rasulullah melibatkan perkara akidah dan ia menjadi penentu kepada batasan iman dan kufur. Oleh itu, umat Islam tidak boleh dibiarkan terus jahil mengenai hak-hak baginda untuk dihormati dan dimuliakan kerana kejahilan itu tidak diberikan kemaafan dan keuzuran melainkan bagi mereka yang baru memeluk Islam.

Barangkali ada yang menyangka bahawa mereka akan masuk syurga dengan amal ibadat zahir yang banyak ditunaikan sepanjang hidupnya sedangkan apabila dia tidak menjaga adab dengan Nabi SAW atau mengurangkan darjatnya atau merendah-rendahkan kedudukannya, maka amalan digugurkan oleh Allah SWT serta-merta lalu dia bertemu menghadap-Nya dalam keadaan memikul dosa-dosa besar.

Apa yang lebih dahsyat dan menakutkan ialah terbatalnya akidah mereka ini kerana jumhur ulama menyatakan barang siapa menyatakan Rasulullah adalah seorang fasik, sama ada sebelum atau selepas dilantik menjadi nabi, maka dia menjadi kufur. Di sini menjadi kayu pengukur bagi mereka yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sesat pada akidah seperti kaumnya sebelum dilantik menjadi nabi dan rasul.

Demikianlah juga bagi sesiapa yang melaung-laungkan bahawa baginda adalah seorang fakir miskin, anak yatim dan buta huruf sehingga tersangkut di fikiran masyarakat yang segelintir memandang rendah mereka yang buta huruf, fakir miskin dan yatim sehingga menurunkan darjat Nabi Muhammad SAW di hati mereka.

Maka adalah menjadi kewajipan ke atas para pendakwah agar berhati-hati demi menjaga akidah umat Islam dan masyarakat umum.

Disebut dalam surah al-Dhuha ayat sembilan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah fakir dan memerlukan. Maka Allah memberikan kekayaan kepada baginda daripada hasil keuntungan menjalankan perniagaan Khadijah dan harta ghanimah (rampasan perang). Ini merupakan kekayaan zahir. Termasuk juga di sini tanpa syak, kekayaan jiwa yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda .

Baginda ialah insan yang paling kaya hatinya. Kenapa tidak, kerana Rasulullah SAW telah bersabda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya hati."

Oleh itu, berkata al Raghib: Makna Allah 'mengayakan kamu' dalam ayat ini ialah Allah menghapuskan daripada kamu kemiskinan jiwa dan menjadikan bagi kamu kekayaan yang terbesar.

Hikmah Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW fakir pada awalnya kemudian diberikan kekayaan ialah jika baginda merupakan seorang hartawan pada awalnya sudah tentu orang akan menganggap kemuliaan dan kemenangan yang diperoleh oleh baginda disebabkan harta. Oleh kerana itulah, setelah baginda berada di kedudukan yang tertinggi mengatasi seluruh hartawan dan raja-raja, maka diketahui bahawa ketinggian yang diperoleh Nabi Muhammad SAW datangnya daripada Allah SWT.

Dikatakan maknanya: "Maka Allah mengayakan hatimu dan menjadikan kamu qana'ah dengan segala yang diberikan kepada kamu."

Kesimpulannya, ayat ini bermaksud: Allah yang melindungi kamu ketika kamu dilahirkan dalam keadaan yatim dan memberi petunjuk kepada kamu daripada pencarian kamu dan mengayakan kamu daripada kefakiran kamu, tidak sekali-kali meninggalkan kamu dalam urusan-urusan kamu pada masa akan datang. Setelah Allah menerangkan nikmat-nikmat-Nya yang telah lepas, Allah berpesan kepada baginda mengenai anak-anak yatim dan orang-orang fakir sebagai mensyukuri nikmat tersebut dan menunaikan hak-Nya.

Al Imam al Qustallani menyebut di dalam al Mawahib al Laduniyyah: Berkata al Hulaimi di dalam Syu'ab al Iman: "Di antara cara memuliakan Nabi Muhammad SAW ialah tidak menyifatkan baginda dengan sifat-sifat kekurangan di sisi pandangan manusia. Oleh itu, tidak harus Nabi Muhammad SAW dipanggil sebagai fakir."

Al Qadhi 'Iyadh menyebut di dalam al Syifa bi Ta'rif Huquq al Mustafa, dan kenyataannya ini turut dinaqalkan oleh Syeikh al Islam Taqiyyuddin Ali al Subki di dalam kitab al Saif al Maslul: "Bahawa fuqaha Andalus telah mengeluarkan fatwa hukum bunuh dan salib ke atas Hatim al Mutafaqqih al Tulaituli, kerana perbuatannya merendah-rendahkan hak Nabi Muhammad SAW dan menamakan baginda sebagai yatim semasa mengadakan sesi dialog serta kepercayaannya bahawa kezuhudan baginda bukan kerana pilihan baginda bahkan sekiranya baginda mampu untuk mendapatkan makanan yang enak-enak dan baik-baik, sudah tentu baginda memakannya."

Imam al Zarqani mensyarahkan al Mawahib al Laduniyyah: "Setiap satu dari tiga faktor ini sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu dijatuhkan hukuman bunuh tanpa perlu diminta bertaubat terlebih dahulu, di sisi Imam Malik."

Al Qustallani juga menaqalkan: "Nabi Muhammad SAW tidak pernah fakir pada harta dan halnya juga tidak fakir, tetapi baginda adalah manusia yang paling kaya. Urusan dunianya telah dicukupkan untuk diri dan keluarganya."



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23 Oktober 2012 / 7 Zulhijjah 1433

Ziarah tidak kira musim

Islam agama yang mementingkan persaudaraan dan persahabatan menuntut umatnya menjaga hubungan silaturahim. Salah satu cara memantapkan persaudaraan dan persahabatan ialah melalui amalan ziarah dan kunjung mengunjung.

Amalan ini tidak terhad pada masa tertentu seperti Aidilfitri atau Aidiladha kerana hubungan persaudaraan perlu dipelihara. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Amalan ziarah dan kunjung mengunjungi amat disukai Nabi lebih-lebih lagi ketika dalam kesibukan rutin harian. Orang yang memutuskan hubungan silaturahim sesama Islam adalah berdosa besar dan dimurkai Allah SWT.


Kelebihan amalan ziarah

Kelebihan amalan ziarah bagi tujuan menghubungkan silaturahim telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya: Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu peroleh darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya.” (Riwayat Muslim)

Betapa hebatnya kelebihan bagi seorang Muslim yang mengunjungi saudaranya dengan niat untuk menghubungkan silaturahim. Seterusnya galakan ini turut disampaikan Saidina Ali, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang telah menziarahi saudara seIslamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di waktu pagi maka 70,000 malaikat berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi.” (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud)
Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman maksudnya: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah).” (Riwayat Ahmad)


Mendapat kasih sayang Allah

Mereka yang berkasih sayang dan saling menziarahi kerana Allah akan mendapat kasih sayang Allah. Marilah bersama merebut peluang yang ditawarkan dengan ziarah menziarahi.

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan orang kaya atau miskin, terimalah undangan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.

Ketika berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elak berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: “Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat.” (Riwayat Muslim)


Enggan ziarah sanak saudara

Bagaimanapun, ada antara kita yang kurang gemar melakukan amalan ziarah menziarahi dan lebih malang apabila enggan menziarahi sanak saudara. Sebahagiannya lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu melayari internet, bersosial melalui facebook dan ketagihan permainan elektronik.

Persaudaraan yang dibina di dunia berasaskan ketakwaan akan berterusan hingga ke akhirat. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan dan membuka rahmatNya dengan seluas-luasnya.


Asri Md Saman Berita Harian Online Agama Selasa , 23 Oktober 2012

Berdakwah secara berhikmah

Setiap orang Islam yang cintakan Islam tidak senang jika Islam dikeji serta dicaci. Namun, membalas cacian dengan cacian bukan kaedah terbaik.

Islam dihina kerana ia dilihat tidak adil kepada wanita. Islam dicaci kerana dilihat menyekat kebebasan individu. Islam dicerca kerana undang-undangnya dilihat zalim, menindas dan menakutkan. Rasulullah SAW turut dihina dengan pelbagai bentuk penghinaan. Persoalannya, wajarkah penghinaan dibalas dengan penghinaan. Jika pendekatan itu diambil bertujuan menyekat penghinaan, mungkin ia mampu menghentikan penghinaan tetapi tidak mampu menutup mulut yang menghina.

Oleh itu, sewajarnya penghinaan terhadap ajaran Islam dilakukan dengan kaedah penjelasan. Benar, sehebat manapun penjelasan kita, tetap akan ada orang yang menghina. Namun, Allah SWT telah kurniakan akal kepada setiap manusia. Tidak mungkin penjelasan disampaikan langsung tidak dibaca dan didengar manusia lain.


Penjelasan kaedah terbaik

Tidak hairanlah jika Hamka menekankan bahawa memberi penjelasan adalah kaedah terbaik untuk menjelaskan kebaikan Islam. Pandangan Hamka ketika mentafsirkan ayat 99, surah Yunus: “Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi! (Janganlah engkau bersedih hati kedegilan orang yang ingkar itu; Kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman?”

Hamka menegaskan lagi pandangannya dengan mengaitkan inti pati ayat itu dengan ayat 256, surah al-Baqarah mengenai tiada paksaan dalam agama. Beliau seterusnya telah merumuskan bahawa paksaan tidak perlu, yang diperlukan adalah kegiatan dakwah.

Menurut beliau, manusia mempunyai akal yang waras dan mempunyai fitrah. Hidup dipengaruhi oleh bi’ah atau persekitaran. Benar dan salah adalah lantaran pengaruh sekelilingnya, ruang dan waktunya.

Jika dia mendapat penjelasan atau dakwah yang sesuai dengan batinnya, bebas daripada tekanan dan paksaan, mereka akan menyerah. Jika orang dipaksa masuk, padahal batinnya tidak menerima, keadaan yang sebenarnya tidak akan berubah.


Kesempatan cari kebenaran

Daripada pandangan itu, dapat dirumuskan bahawa pendekatan dakwah lebih memberi kesempatan kepada manusia untuk menggunakan fikirannya yang murni dalam mencari kebenaran. Apabila inti kebenaran sudah diperoleh, secara langsung iman kepada Allah SWT akan timbul.

Jika iman kepada Allah SWT ada, maka segala pengaruh daripada luar pasti akan hilang. Hal Ini tidak dapat dicapai kecuali dengan keinsafan diri sendiri bukan kerana paksaan atau tekanan.


Berdakwah melalui pelbagai lapangan

Walaupun kita tidak mampu membabitkan diri dalam usaha dakwah di lapangan seperti sahabat lain, tetapi sebenarnya di hadapan kita juga telah tersedia medan dakwah masing-masing. Sampaikan kebaikan Islam walaupun sedikit kerana ia adalah tanggung jawab terhadap agama.

Jangan takut untuk menyampaikan kebaikan agama ini kepada kalangan bukan Islam kerana mereka juga sebenarnya sangat menginginkan penjelasan daripada orang Islam. Agama Islam adalah agama fitrah, semua manusia merasa senang dan aman dengan fitrahnya.



Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR). Zul-kifli Hussin Berita Harian Online Agama Selasa, 23 Oktober 2012