October 25th, 2012

Pengorbanan uji keimanan

Nabi Ibrahim, Nabi Ismail sanggup berkorban kerana taat perintah Tuhan

Peristiwa korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau hargai untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa. Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, ada yang bertanya apa ganjaran berkorban?

Daripada Zaid bin Arqam, suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis itu mengingatkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah, Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja.

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan kisah Nabi Ibrahim yang tidak pernah berputus asa kerana tidak dikurniakan zuriat hingga akhirnya Allah memakbulkan doa Baginda. Bagaimanapun, selepas itu Baginda diuji apabila diminta mengorbankan satu-satunya puteranya itu.

Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan dan mematuhi perintah Allah, perkara itu tetap dimaklumkan kepada Nabi Ismail dan Nabi Ismail tidak terkejut sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.”

Terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak telah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’ demi kepatuhan dan keredaannya terhadap perintah Allah SWT.

Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu, ayahnya dan zaman keseronokan remaja, malah sanggup mengorbankan nyawa semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah serta perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti beroleh jaminan besar.

Disebutkan Rasulullah SAW dalam hadis: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta kepada Allah tanpa ragu-ragu.

Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya, sebab itu kita perlu rasional memilih cinta sementara, supaya tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila. Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia. Tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja.



Nik Salida Suhaila ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama Khamis , 25 Oktober 2012,

Ibadah haji, korban bukan untuk bermegah

Acara penyembelihan jadi aktiviti erat hubungan sesama Muslim

Ibadah haji dan korban yang telah disyariatkan dalam bulan Zulhijjah adalah simbolik kepada suatu maksud yang lebih besar dan mendalam serta mampu memberikan kesan kepada umat Islam andai difahami.

Ibadah haji dan korban juga boleh dikatakan sebagai satu perlambangan kepada penyerahan, pengabdian dan pengharapan menyeluruh kepada Allah. Watak penting dalam dalam sejarah dan falsafah haji serta korban ini adalah Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail.

Nabi Ibrahim seorang hamba taat dan dikasihi Allah SWT diuji dengan ujian besar iaitu Baginda diminta membawa dan meninggalkan Siti Hajar bersama anak mereka yang baru lahir di sebuah lembah padang pasir yang tiada apa-apa.

Dapat kita lihat bagaimana Siti Hajar menerima ujian dengan taat, sabar dan reda meskipun ia adalah tindakan zalim pada pandangan kasar manusiawi meninggalkan seorang wanita yang berstatus isteri bersama anak baru dilahirkan tanpa sebarang kemudahan asas.

Apabila anak itu sudah besar, datang perintah daripada Allah SWT melalui mimpi untuk menyembelih anaknya. Nabi Ismail tidak memberontak malah mendesak dan memotivasikan ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah itu dengan segera.

Pengajaran (ibrah) daripada sejarah haji, korban dan kepentingannya kepada umat Islam pada hari ini ialah untuk memahami keutamaan dan maqasid pensyariatan ibadah haji serta korban iaitu pengharapan mutlak kepada Allah, mendahulukan reda Allah atas segala kecintaan kepada manusia.

Pengajaran lain ialah tidak menjadikan ibadah haji dan korban sebagai landasan untuk bermegah, mencari keutamaan duniawi seperti nama, pengaruh dan seumpamanya sehingga mengabaikan rukun serta matlamat pensyariatannya.

Membawa semangat haji dan korban dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim bagi dipraktikkan. Contohnya, sejauh mana kita sanggup berkorban dengan mendahulukan urusan kewangan, pendapatan, pelaburan halal berbanding yang menguntungkan tetapi haram.

Berkorban mendahulukan makanan halal berbanding restoran lebih enak yang haram. Berkorban mendahulukan gaji kerjaya yang sederhana tetapi halal berbanding lumayan yang haram, begitu seterusnya.

Mengutamakan yang utama dalam isu pembahagian daging korban, iaitu kepada fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim serta jiran tetangga supaya dapat disemai ikatan kasih sayang dan ukhuwah antara mereka yang kekurangan dengan berada.

Mereka yang sudah beberapa kali menunaikan haji dan umrah disarankan membiayai ahli keluarga terdekat seperti emak, ayah, mentua, datuk, nenek, pakcik, makcik serta saudara terdekat yang tidak berkemampuan kerana kewajipan haji sekali saja seumur hidup.

Wang itu juga boleh disalurkan sebagai sedekah jariah seperti membiayai pelajar, membiayai pembinaan masjid, membantu pergerakan dakwah yang mana pahala akan berkekalan berbanding melakukan haji kali kedua dan berkali-kali tetapi pahala hanya terhenti sesudah melaksanakannya.

Orang muda yang masih sihat dan bertenaga sangat disyorkan untuk merancang dan beriltizam menunai haji pada usia muda khususnya kepada pelajar yang sedang belajar di rantau Asia Barat supaya mengambil peluang menunaikan haji sebelum pulang ke tanah air.

Disarankan mengutamakan ibadah korban berbanding ibadah akikah kerana ibadah korban sekali saja dalam setahun dengan masa yang khusus manakala ibadah akikah boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Membudayakan aktiviti penyembelihan korban sebagai aktiviti berjemaah yang membawa kepada kemuafakatan dengan mengetepikan ideologi jemaah, kumpulan, NGO dan parti politik. Juga mendahulukan korban sendiri berbanding diwakili kepada pihak lain kerana itu akan mengurangkan penghayatan syiar haji dan korban.

Memberi penerangan kepada bukan Islam mengenai ibadah korban yang sering disalah anggap sebagai satu bentuk penyeksaan kepada binatang. Perlu difahamkan, penyembelihan dilakukan dalam cara yang terbaik, dapat mengeluarkan darah paling maksimum dan paling cepat, berbanding sebahagian teknik sembelihan moden yang menyeksa binatang.



Dr Zaharuddin Abd Rahman ialah Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)  Berita Harian Online Agama Khamis , 25 Oktober 201