October 26th, 2012

Jemaah mula wukuf di Arafah

Makkah: Seramai tiga juta jemaah haji tahun ini dijangka berada di Padang Arafah hari ini untuk menunaikan wukuf.

Jemaah sudah berhimpun di Mina mulai lewat kelmarin dengan menaiki bas, kereta atau berjalan kaki sambil melaungkan ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ sebelum ke Arafah.

Wukuf ibadah wajib

Wukuf adalah salah satu ibadat wajib haji. Di Arafah, jemaah akan duduk, berdoa dan beribadah untuk mengingati Allah S.W.T.

“Impian saya menjadi kenyataan. Setiap tahun saya menyimpan wang untuk melakukan haji. Kini, waktunya sudah tiba dan saya antara berjuta-juta lagi menunaikannya,” kata jemaah Mesir, Saeed Jabara.

Semua orang Islam wajib menunaikan Haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup jika mampu.


 
Jemaah bersesak dalam kenderaan selepas solat subuh dekat Masjidilharam
sebelum meneruskan perjalanan ke Mina dan kemudian Arafah. 



Jemaah daripada hampir 150 negara mengambil bahagian pada tahun ini dan kontinjen paling ramai adalah dari India, Mesir, Pakistan, Indonesia dan Turki. Pihak berkuasa Arab Saudi sudah mengumumkan wukuf akan berlangsung hari ini, kemuncak ibadah haji.

Keadaan cuaca agak sederhana dengan angin sepoi-sepoi bahasa dirasai ke Lembah Mina. Perjalanan ke Mina menandakan bermulanya ibadat rasmi haji.

Ia dikenali sebagai Tarwiah, kejadian pada satu masa dulu apabila kebanyakan jemaah berhenti di Mina ketika ini untuk memberi makan kepada haiwan dan mendapatkan bekalan sebelum meneruskan perjalanan hari berikutnya ke Arafah.

Arab Saudi berusaha memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadat dalam suasana selesa.


Utama keselamatan

Oleh itu, pihak berkuasa mengutamakan keselamatan dan keselesaaan jemaah dengan menempatkan 25,700 anggota keselamatan di Makkah, Mina, Arafat dan Muzdalifah.

Bilangan pos sekatan keselamatan di laluan menuju Makkah meningkat dan anggota keselamatan akan memeriksa setiap kenderaan.

Orang yang tidak ada permit haji akan diarah berpatah balik bagi mengelak kesesakan di tanah suci. - Agensi




Berita Harian Online Agama Khamis, 25 Oktober 2012

Millions of Muslims gather as haj rituals peak

MOUNT ARAFAT (Saudi Arabia): Vast crowds of Muslim pilgrims, all dressed in white, flocked from early Thursday to Mount Arafat in Saudi Arabia's west to take part in the main rituals of the annual haj.

Many pilgrims had camped overnight in the sprawling plain surrounding Mount Arafat but the majority began arriving at dawn.

Men, women, and children from 189 countries streamed to the site, some setting up small colourful tents in which they slept and prayed.

Beggars and street vendors also dotted the roads searching for generous souls among the 2.5 million believers expected to converge on the plain during the day.

"We came from Mecca. We walked from the Grand Mosque to Mina and then we took the buses to Arafat. All for the love of the prophet," said one Egyptian man sitting on a straw mat with members of his family.

"The more tired we get, the more God will reward us," he said.

16 October 2011 Jabal Rahmah 1432H - Gambar kenangan di Jabal Rahmah..

After dawn prayers, pilgrims headed to the small hill in Arafat plain named the "Mount of Mercy" as others made themselves comfortable between its huge rocks. Many prayed, tears streaming down their faces.

It is at the foot of the hill where the Muslim Prophet Muhammad is believed to have delivered his final haj sermon before his death.

A preacher urged pilgrims not to climb the slippery stone staircase leading up the hill, bellowing over loudspeakers: "Neither the prophet, nor his followers have ever climbed the hill. Please do not climb it."

Pilgrims have in previous years slipped and fallen while attempting the ascent, and others have been killed in stampedes. On Thursday, some worshippers ignored the warning and did attempt the climb, although no incidents were reported.

Amid the crowds, Syrian worshippers were seen carrying a large rebel flag, a symbol of the 19-months-long deadly uprising against President Bashar al-Assad's regime.

After sunset, the pilgrims head to Muzdalifah, between Mina and Arafat, where they collect stones to throw at the devil, one of the last rituals which takes place Friday and marks the first day of Eid al-Adha, the feast of sacrifice.

The symbolic "stoning of the devil" is followed by the ritual sacrifice of an animal, usually a lamb.

During the remaining three days of the haj, the pilgrims continue the stoning ritual before performing the circumambulation of the Kaaba shrine in Mecca and heading home.

The haj is one of the five pillars of Islam that every capable Muslim must perform at least once. - AFP



The STAR Online Home News Thursday, October 25, 2012

Dekat diri kepada Allah

HARI ini umat Islam menyambut Aidiladha dalam suasana aman, makmur dan penuh kesyukuran.

Bayangkan terdapat saudara Islam di negara lain ketika ini sedang bergolak dalam peperangan, kemiskinan serta ditimpa bencana sehingga tidak dapat merasai nikmat seperti kita.


Sebab itu, kita perlu sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian Allah ini. Bukan saja mengenal erti kesyukuran malah kita perlu menyelami dan sanggup berkorban untuk orang lain. 

Berkorban adalah sebahagian usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ternyata, seorang itu dimuliakan bukan kerana apa yang dimilikinya tetapi pengorbanannya memberi manfaat kepada orang lain.



Pengorbanan bukan untuk dipuji dan dihormati di mata manusia tetapi lebih utama, di sisi Allah. Jika seseorang semakin mencintai apa yang dimilikinya, sukarlah dia berkorban demi kepentingan orang lain.

 IBADAH KORBAN...perayaan istimewa bagi umat Islam memperingati pengorbanan dua anak beranak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunaikan perintah Allah. 

Melalui ibadah korban, manusia perlu berusaha bagi mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ibadah korban yang dilakukan menjadi lambang kembalinya manusia kepada Allah SWT. 

Sambutan Aidiladha ini bertujuan mengenang kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. 

Konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh terbaik. Apa yang dikagumi dari kisah itu ialah Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah meskipun yang menjadi korban adalah anak kesayangannya. 

Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah! apakah yang dimaksudkan dengan udhiyyah (korban)?” Rasulullah menjawab: “Itulah sunnah bapamu Ibrahim.” Sahabat bertanya lagi: “Apakah yang kita akan peroleh daripada ibadah udhiyyah?” Baginda menjawab: “Tiap-tiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan), kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah).

Begitu juga sahabat Rasulullah yang lain seperti Saidina Abu Bakar. Beliau mengorbankan semua hartanya demi umat Islam. Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluarga kamu?” jawab Abu Bakar: “Aku tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya.”


BERGOTONG-ROYONG...ibadah korban dilakukan empat hari bermula selepas khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Ternyata, kejayaan tidak pernah dan akan datang bergolek begitu saja tetapi perlu kepada usaha dan pengorbanan.

Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi, berkata pengorbanan adalah ungkapan yang menjelaskan keberanian, kesanggupan, kesediaan dan penyerahan diri seseorang individu tanpa sebarang paksaan. 

“Pengorbanan lahir daripada jiwa yang ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. 

“Islamnya seseorang melalui kalimah syahadah bermakna seseorang itu menyerahkan diri dan mengorbankan seluruh roh dan jiwa mengakui keesaan Allah. 

“Melalui ibadah solat, seseorang mengorbankan masa dan tenaganya menyembah Allah. Ibadah puasa juga membawa mesej pengorbanan di mana seseorang meninggalkan nikmat nafsu syahwat dan makan minum seketika semata-mata memenuhi tuntutan agama. 

“Begitu juga dengan ibadah zakat, kita mengorbankan harta benda dan wang milik yang disayangi dan terakhir, puncak pengorbanan seseorang Muslim itu ialah menunaikan fardu haji di Makkah. 

SEDEKAH...sebahagian daging sembelihan korban hendaklah disedekahkan dan diagihkan terutamanya kepada golongan fakir dan miskin.


“Kesanggupan mengorbankan harta dunia itulah yang mendorong jutaan manusia memenuhi lambaian kaabah pada setiap tahun. 

“Pengembaraan ritual itu simbolik penyerahan diri zahir dan batin. 

“Mana tidaknya, wang ringgit, keluarga tercinta, tenaga, masa, urusan perniagaan dan segala yang kita ada dikorbankan hanya kerana Allah. Hal itu pastinya tidak mampu terlaksana tanpa sifat ikhlas dalam diri,” katanya.

Beliau berkata, konsep pengorbanan bukan hanya terbatas kepada ibadah bahkan perlu diterapkan dalam semua amalan. 

“Pengorbanan dalam menjalankan tugas contohnya, mencerminkan keikhlasan dan menjadikannya sebagai ibadah. Seseorang yang hanya melakukan pekerjaan semata-mata mendapatkan habuan dan faedah bukan pekerja cemerlang.

“Dalam sektor pekerjaan, tidak ramai yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga di luar waktu atau bidang tugasnya. Mereka mula memikirkan bayaran lebih masa atau mencipta pelbagai alasan apabila diarahkan bertugas di luar waktu pejabat.

“Antara puncanya disebabkan tiada semangat pengorbanan dan keikhlasan atau tidak merasakan kerja itu juga satu ibadah yang dibayar pahalanya oleh Allah SWT,” katanya.

Katanya, ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. 

“Ibadah khusus seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat, bersedekah, manakala ibadah umum pula ialah setiap perkara harus yang dilakukan dan mendatangkan kebaikan di samping keredaan Allah SWT. 

“Setiap pekerjaan yang dilakukan akan mendapat pahala selagi mendatangkan kebaikan. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak berkira, mengharapkan pujian serta balasan.

“Jika disoroti sirah Nabi, kita boleh mengambil contoh pengorbanan Nabi Musa ketika Baginda dikahwinkan dengan salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib. 

“Menurut sesetengah pendapat ulama, Baginda disyaratkan bekerja mengembala ternakan kepunyaan Nabi Syuaib selama lapan tahun sebagai ganti mahar. 

“Namun, Nabi Musa secara sukarela menambah bilangan tahun sehingga 10 tahun, sedangkan ketika itu Baginda sangat rindu untuk kembali kepada keluarganya di Mesir.

“Pengorbanan itulah yang dicari. Ia tidak mustahil jika setiap individu meletak niat setiap pekerjaan yang dilakukan untuk mendapat keredaan Allah SWT semata-mata,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan katakanlah wahai Muhammad, “Beramallah (bekerjalah) kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Tawbah ayat 105).

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 207).

Menurutnya, erti pengorbanan amat luas kerana pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi.

“Ia termasuk pengorbanan antara manusia dengan manusia. Contohnya, pengorbanan isteri terhadap suami dan anak, pengorbanan anak terhadap ibu bapa, pengorbanan ibu bapa terhadap anak mereka, pengorbanan guru terhadap pelajarnya dan sebagainya.

“Melihat kepada situasi kehidupan masyarakat Islam hari ini, kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan, kesenangan dan kepentingan diri sendiri. Masih adakah mereka yang sanggup melakukan pengorbanan semata-mata kerana Allah SWT?

“Tidak dinafikan, roh dan semangat pengorbanan umat Islam semakin pudar dan malap. Ramai remaja Islam yang tidak mendapat didikan agama secukupnya kerana terjebak dengan segala macam gejala sosial. 

“Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah SWT dan kewajipan mentaati ibu bapa perlu menjadi iktibar kepada generasi masa kini. 

“Tanpa pengorbanan ibu bapa, pasti anak tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya atau kehidupan berkeluarga. 

“Bagi umat Islam luar negara yang ditindas, kita boleh menyatakan sokongan dan pengorbanan membantu mereka dengan berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kesejahteraan buat mereka selain menghulurkan bantuan tenaga dan wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata, semangat berkorban perlu dijadikan budaya supaya ia sebati dalam kehidupan. 

“Ia akan menjana keutuhan masyarakat secara keseluruhannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mempedulikan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan orang Islam.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

“Budaya berkorban yang diterapkan dalam masyarakat mampu menghindarkan sifat dendam, dengki, khianat, perbalahan, tidak mahu bertolak ansur dan pentingkan diri sendiri. Hal ini akhirnya membawa wujudnya umat Islam yang ampuh, berkualiti dan bersatu-padu,” katanya.

Mohd Shukri berkata, keikhlasan adalah sifat paling utama dalam ibadah. 

“Meskipun daging korban tidak sampai kepada Allah SWT, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada-Nya. Korban itu tidak memberi makna untuk Allah SWT kerana Dia tidak memerlukan sesuatu perkara pun daripada hamba-Nya.

“Dengan korban itu diharapkan ketakwaan semakin meningkat dan menggambarkan kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk. 

“Allah berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37).

“Kesanggupan seseorang melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, tenaga dan masa benar-benar menguji keimanannya. Bagaimanapun semua pengorbanan itu lain perlu dilakukan berdasarkan kemampuan masing-masing. 

“Bantuan yang dibuat itu pasti akan dikenang hingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung ia membawa kepada keakraban di kalangan umat Islam,” katanya.

Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din Jumaat 26 Oktober 2012

Lima belas bukti keimanan insan

AL-HAKIM meriwayatkan, al-Qamah bin Haris berkata: “Aku datang kepada Rasulullah dengan tujuh orang daripada kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya: “Siapakah kamu ini?”

Jawab kami: “Kami adalah orang beriman.” Kemudian baginda bertanya: “Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu?”

Jawab kami: “Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliah?”

Tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu?” Jawab mereka: “Kamu perintahkan kami untuk beriman kepada Allah, percaya kepada malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah yang baik mahupun yang buruk.”

Selanjutnya tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu?” Jawab mereka: “Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu.”

Tanya Nabi selanjutnya: “Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliah?” Jawab mereka: “Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, reda pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh.”

Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Nabi berkata: “Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara. Hampir saja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi.”

Kemudian Nabi selanjutnya berkata: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai? Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan.

Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati, janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan, berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat.”



myMetro Variasi Ad Din Jumaat, 26 Oktober 2012

Ibadah haji pengembaraan rohani

KINI, jutaan umat Islam berada di bumi suci Makkah al-Mukarramah bagi menyahut panggilan Ilahi menunaikan ibadah haji. Saban tahun, bumi Makkah menjadi bumi yang dirindui ummah bagi memperlengkapkan rukun Islam kelima.

Zulhijjah menjadi bulan kemuncak haji dan mengikut definisi, ‘Zul’ membawa erti ‘Yang empunya’ dan Hijjah bermaksud, ‘Haji’. 

Tercatat dalam sirah, sejak zaman Nabi Adam lagi, bulan ini umat manusia melakukan ibadah haji. Ia adalah perhimpunan agung umat Islam yang berkunjung ke Baitullah dalam satu visi suci penuh luhur. 

Mereka melupakan sengketa lalu, soal bangsa dan keturunan, warna kulit dan amalan budaya, semata-mata menunaikan perintah Allah.

Itulah manifestasi iman dan takwa yang menzahirkan Islam untuk semua, bersatu dalam keharmonian.


Dari segi bahasa, haji bermaksud menuju ke sesuatu tempat yang suci, namun lebih afdal bagi kita semua menelitinya dari sudut istilah syarak kerana ia membawa pengertian menziarahi Masjidilharam, iaitu Kaabah, melakukan wukuf di Padang Arafah, saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan cara tertentu dalam masa dan niat yang tertentu. 

Ibadah haji mengandungi rangkaian rukun dan wajib haji adalah lambang simbolik yang perlu kita renungi dan hayati. Ibadah haji bukan sekadar rukun Islam, tetapi tersingkap pelbagai hikmah di sebaliknya. 

Pertama, berihram dengan memakai kain serba putih. Lihat dan telitilah senario jemaah haji semasa di Makkah ketika menunaikan haji ataupun umrah. 


Memakai ihram Padang Arafah, Mekah, Saudi Arabia 6 Nov 2011 1432H


Ia seakan-akan kain kafan yang membaluti tubuh jenazah. Apakah makna semua itu? Ia simbolik untuk kita insafi di sisi Allah, manusia itu sama tarafnya. 

Tiada diskriminasi dalam apa juga aspek. Yang menobatkan darjat tertinggi di sisi Allah hanya iman dan takwa. Itulah dua elemen yang diambil kira Allah untuk menganugerahkan darjat kebesaran kepada hamba-Nya. 

Kita perlu meletakkan unsur takwa pada kemuncak agenda kehidupan. Ingatlah peringatan Allah itu semoga kita berjaya memujuk diri berada pada kedudukan terbaik di sisi Allah. 

Firman Allah yang bermaksud, “Barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang.” (Maksud Surah An-Nur ayat 52). 

Kemudian, apakah pula hikmah wukuf di Padang Arafah? Wukuf adalah perhimpunan ‘raksasa’ di bawah panas terik mentari. Tiada upaya melainkan pertolongan Allah. 

Wukuf di Padang Arafah adalah ‘simulasi’ bagaimana untung nasib kita semasa berada di Padang Mahsyar nanti. Jemaah sepatutnya, mengalihkan seketika renungan mata hati bahawa di padang Mahsyar kelak ia lebih dahsyat lagi. 

Namun, atas niat murni segala rintangan semasa di Padang Arafah dapat dilaksanakan. Berdoa dan bermunajatlah dengan penuh khusyuk bagi mengharapkan reda Allah semata-mata. 

Setelah selesai berwukuf, jemaah akan bermalam pula di Muzdalifah, iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Mina. Muzdalifah adalah lokasi persinggahan Rasulullah SAW dari Arafah ke Mina dan dilaporkan Rasulullah mendirikan solat sunat dua rakaat lewat tengah malam semasa di sana. 


Bermalam di Muzdalifah sambil mengutip batu kecil untuk melontar di Jamrah 1432H


Sebagai meraikan sunnah Rasulullah SAW, jemaah diwajibkan bermalam di situ. 

Apakah yang mampu kita singkap hikmat bermalam di Muzdalifah itu? 

Ia satu lokasi persinggahan sebelum meneruskan sesi pengembaraan rohani ke Mina. Di sana, jemaah perlu memperbaiki diri serta memanjatkan doa ke hadrat Ilahi kerana waktu tengah malam sebegini amat sesuai memujuk hati supaya khusyuk berhadapan dengan seruan Allah. 

Lihatlah bagaimana Rasulullah sanggup dan bersemangat mendirikan solat sunat pada waktu malam. Ia memberi gambaran jelas saat tengah malamlah waktu paling sempurna untuk bersolat sunat dan berdoa. 

Selain itu, ia ilustrasi watak seorang insan sentiasa rindukan Allah sehingga menggunakan waktu malam yang dingin di sekelilingnya hingga mencengkam kulit. 

Demikianlah juga bermalam di Mina pada Hari Raya Haji dan Hari-hari Tasyrik tidak lain bertujuan mengajak kita menzahirkan rasa syukur atas setiap nikmat kurniaan Allah. 

Jemaah juga disunatkan melakukan sembelihan korban. Amalan itu juga tersirat pengajaran untuk mengenangkan kembali betapa besar dan luhurnya pengorbanan dua anak beranak, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. 

Bagaimana pula dengan kita? Untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat pun terasa liat! Kecil sangat jika dibandingkan dengan titah perintah Allah kepada dua insan mulia itu. 

Inilah masanya kita menginsafkan diri sebelum hayat berakhir. Jadikanlah pengorbanan dua Rasul mulia itu sebagai contoh untuk melakukan pengorbanan sekadar termampu. 



Melontar di Jamrah 1432H satu gerak laku simbolik supaya kita dapat membuang sifat mazmumah. 




Kewajipan asas semasa berada di Mina ialah melontarkan batu ke tiga lokasi jamrah sebagai satu gerak laku simbolik supaya kita dapat membuang sifat mazmumah. 

Kemudian, jemaah meneruskan amalan tawaf haji diakhiri dengan bertahalul. 


Bertahlul atau bercukur dan berihat selepas tahlul 1432H


Justeru, jadikan ibadah haji satu pengembaraan rohani berpaksikan visi suci mengharapkan haji mabrur di sisi Ilahi.




Mohd Rizal Azman Rifin rencana@hmetro.com.my  myMetro Variasi Ad Din Jumaat, 26 Oktober 2012

Dua hari raya besar dalam Islam

HARI ini kita menyambut kedatangan Aidiladha. Semoga seluruh jemaah haji yang menyempurnakan rukun haji di Makkah diterima sebagai haji mabrur.

Semoga Aidiladha yang kita raikan hari ini sentiasa dalam suasana meriah. 

Teruskan amalan bertakbir dan ziarah menziarahi.


Manakala upacara ibadat korban menjadi temasya utama kanak-kanak dan remaja untuk melihat dari dekat bagaimana binatang ditarik, diikat dan disembelih sehingga pengagihan daging korban. 

Namun, dalam kemeriahan Aidiladha, ramai terpaksa menyambutnya dengan merasai pahit ujian peperangan seperti di Syria yang berperang sesama sendiri. 

Kalau hari raya ini kita saling berbahagi daging korban, di sana nyawa orang Islam yang menjadi korban. Hairan juga kita bagaimana kerajaan boleh membunuh rakyatnya sendiri. 

Penulis terpanggil untuk berkongsi idea mengenai kemeriahan Aidiladha dan Aidilfitri. Sebenarnya, dalam Islam, dua hari raya itu sangat besar maknanya. 

Semuanya dirayakan beriringan sempena ibadat rukun Islam. Aidilfitri didahului ibadat puasa manakala ibadat haji mengiringi Hari Raya Aidiladha. 

Dua-dua besar, cuma Aidiladha ada ‘lebih’ dari sudut falsafah dan tuntutan. 

Tapi kedua-duanya sangat bertalian dan berkaitan. Aidiladha juga dipanggil ibadat korban manakala Aidilfitri hari raya ‘bersih’ iaitu kembali kepada fitrah. 

Orang tidak boleh berkorban jika belum bersih hati dan nurani. Jadi, siapa yang berjaya dibersihkan dengan ibadat berpuasa pada bulan Ramadan dulu akan sanggup berkorban bukan saja ‘bahagian’ korban daging, tapi juga berkorban serba-serbi untuk ke Makkah menunaikan haji. 

Berkorban binatang bukan hanya menyembelih binatang, tetapi sampai ke peringkat ‘menyembelih’ sama sifat-sifat kebinatangan yang bersarang di dalam jiwa. 

Jika hari raya puasa jumlah rayanya cuma sehari iaitu satu Syawal, tetapi Aidiladha disebabkan besarnya pengorbanan yang dituntut, hari raya diwartakan Allah sebanyak empat hari iaitu 10 Zulhijjah hari raya diikuti dengan hari tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijjah. 

Begitu juga jumlah hari bertakbir untuk Aidilfitri hanya satu malam dan setengah pagi iaitu tidak sunat lagi bertakbir selepas imam selesai baca khutbah raya manakala Aidiladha bertakbir selama empat hari empat malam. 

Aidilfitri diharamkan puasa hanya satu Syawal saja, tetapi Aidiladha empat hari diharamkan puasa. 

Sebenarnya, kemeriahan sambutan hari raya bukan hanya diukur kepada pakaian baru, berapa ramai orang balik kampung dan bukan juga pada kemeriahan sambutannya, tetapi bergantung kepada jiwa, peribadi dan akhlak baru. 

Selain itu, bersih diri dan sanggup berkorban demi agama.




myMetro Bimbingan Tazkirah Remaja Jumaat, 26 Oktober 2012

Haji Mabrur: Kemuncak ibadat

SETIAP tahun Malaysia berhadapan masalah untuk memenuhi keinginan umat Islam untuk menunaikan fardu haji ke Mekah sedangkan kouta yang dibenarkan adalah berjumlah 28,000. Ini bermakna permintaan yang tinggi itu adalah disebabkan kemakmuran yang dinikmati, membolehkan lebih ramai umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan ibadat tersebut.

Malangnya, dalam kemewahan itu ramai dalam kalangan umat Islam tidak insaf atas penderitaan yang dihadapi oleh saudara seagama di seluruh dunia, baik umat Islam itu merupakan kumpulan majoriti mahupun sebagai kelompok minoriti.

Umat Islam sebagai kumpulan minoriti di Filipina misalnya terpaksa mengharungi konflik yang panjang, namun kini Bangsamoro boleh menarik nafas lega apabila kerajaan berjanji akan memberikan mereka kuasa autonomi, melaksanakan peraturan syariah dan bersama-sama membangunkan kawasan yang kaya dengan sumber alam itu.

Sebaliknya nasib masyarakat Islam di selatan Thailand masih tidak berubah kerana hampir setiap hari berlaku serangan berdarah hingga hidup mereka dalam ketakutan. Nasib lebih malang berlaku ke atas masyarakat Islam di Libya, Iraq, Syria, Pakistan dan Afghanistan. Bagaimanapun, kita di Malaysia tetap bersyukur dengan nikmat yang diperoleh meskipun terlalu banyak 'politiking' sehingga Malaysia perlu diselamatkan.

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya, dan kerana itulah setiap orang Islam bercita-cita untuk menunaikan ibadat tersebut sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Setiap kali musim haji tiba, kita dengan sedarnya mengetahui berhimpunnya umat manusia daripada pelbagai latar belakang, geografi dan warna kulit dalam satu tujuan, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT menerusi amalan dan niat yang tulus ikhlas agar seusainya peribadatan tersebut, ia akan membentuk akhlak dan peribadi kita seolah-olah "dilahirkan kembali dalam keadaan serba bersih dan suci."


Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, maka menjadi harapan setiap orang yang beriman.
Harapan moga diterima dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kenangan Hari Wukuf 1432H bersamaan 6 November 2011 di Mina, Makkah. - Gambar Hiasan

Ibadat haji merupakan kemuncak penyerahan diri manusia sebagai hamba kepada Allah SWT dan pada ketika itu, segala urusan keduniaan dilupakan dengan rela hati. Seluruh waktu digunakan untuk melakukan pelbagai ritual dan dihabiskan dengan mengingati kebesaran nikmat yang dianugerahkan sepanjang hidup agar memperoleh keberkatan-Nya sebagai bekalan memburu syurga di alam yang lebih kekal.

Setiap muslimin akan menggunakan satu bentuk bahasa yang penuh makna penyerahan sebagai 'perjumpaan kudus' dengan Allah SWT. Sebaik-baik sahaja memulakan langkah pertama menuju ke tempat berkumpul sebelum berangkat ke Tanah Suci, bermula dengan doa selamat agar sepanjang tempoh beribadat itu mendapat 'Haji Mabrur.'

Maksud 'Haji Mabrur' ialah ibadah haji yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dari segi istilah, mabrur membawa dua maksud, iaitu 'bersih, suci dan baik'; dan 'diterima dan mendapat keredaan Allah SWT'.

Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, maka menjadi harapan setiap orang yang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur.

Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak adalah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spiritual yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif. Dari sikap tamak kepada pemurah dari sikap sombong kepada rendah diri, daripada bakhil kepada pemurah.

Mereka yang memperoleh haji mabrur, sebaik sahaja selesai mengerjakan ritual itu dengan tekun dan penuh keinsafan akan memperoleh ketenangan psikologi sehinggalah apabila kembali semula ke kampung halaman, akan menceritakan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat berkesan dan terbaik sepanjang hayat. Kerana itulah setiap daripada mereka bertekad, jika boleh dan berkemampuan akan melakukan ibadat tersebut untuk kesekian kalinya.

Rindu begitu mendalam untuk berada di kota Mekah dan Madinah, dua buah kota yang begitu suci dalam setiap hati umat Islam sehinggakan mereka mudah boleh memaafkan jika berlaku sebarang masalah dan kekurangan sepanjang tempoh peribadatan, kerana ia adalah percubaan Allah SWT mengenai kesabaran manusia. Maka, ketika itulah setiap muslim menjadi seorang yang berjiwa pemaaf, penuh kesyukuran dan reda dengan apa musibah yang menimpa.

Ibadat haji turut mengajak manusia mengimbas semula sejarah lama yang penuh dengan ketekunan dan pengorbanan para nabi yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebaikan. Sejarah permulaan ibadat haji tetap dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, dan kerana itulah selepas mengerjakan wukuf, umat Islam diwajibkan 'berkorban' dengan menyembelihkan binatang ternakan.

Di samping semangat pengorbanan dan keredaan Nabi Ismail as terhadap mimpi ayahandanya sendiri, Nabi Ibrahim as, kisah sedih yang menimpa Siti Hajar yang mundar-mandir mencari air untuk diminum oleh anaknya yang terlalu haus turut dibawa pulang oleh jemaah haji dengan penuh hormat dan keinsafan.

Air zam-zam akan dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara dan kenalan sekembalinya ke tanah air dengan harapan ada keberkatannya. Sanak saudara yang menerima seteguk dua air zam-zam itu secara automatiknya mengingatkan kisah itu. Semangat tawakal Siti Hajar yang dijelmakan menerusi saei Safa dan Marwah menjadi petunjuk kesabaran dan penyerahan kasih sayang hamba. Atas kasih sayang itulah Allah SWT kemudiannya menganugerahkan pancuran air di tengah padang pasir bukan sahaja sebagai penghilang dahaga bahkan lambang ketenangan dan kemenangan dalam kesabaran.

Dalam keadaan bermusafir, terserlah peribadi sebenar seseorang terutama apabila berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Ada ketikanya kita mendengar, oleh kerana berlaku sedikit penyimpangan dalam urusan sebelumnya, orang berkenaan ditimpa musibah, kesesatan walaupun jalan yang dilalui itu adalah jalan yang sama setiap masa, orang itu tidak menemui jalan pulang. Ada yang sesat hingga ketika kemuncak ibadat haji menyebabkan tidak memperoleh haji mabrur.

Pengurusan LTH dengan cekap telah membolehkan bakal Malaysia mengerjakan ibadat itu dengan baik dan sempurna. Kebajikan mereka dijaga dan diberikan perhatian bermula dari tempat pengumpulan hinggalah semasa berada di Mekah dan Madinah, seterusnya sehingga kembali ke tanah air.

Menguruskan jemaah haji turut mempamerkan kesabaran dan kecekapan melayani pelbagai sifat dan naluri manusia, walaupun tujuan dan hasratnya adalah satu, menyerah diri dan menjadi tetamu Allah SWT. Hakikat itulah sebenarnya yang perlu dibawa pulang dan pengalaman menjalani proses dilahirkan semula dengan keinsafan dan kesedaran spiritual itulah sepatutnya menjadi kerangka perilaku untuk hari-hari seterusnya.

Tetapi, ini jarang berlaku kerana ada dalam kalangan kita mula melupakan pengalaman batin itu setelah beberapa bulan dan tahun selesai menjalani 'proses dilahirkan semula' itu.

Itulah yang sepatutnya berlaku kepada kita semua. Sepatutnya, selepas memasuki madrasah haji dan menerima panggilan nama di depan sebagai 'Tuan Haji' atau 'Puan Hajah', iaitu sudah bergraduasi dengan kemabrurannya, kita berubah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu.

Kita pulang membawa misi mabrur maka seluruh kehidupan dan masa-masa yang kita lalui kemudiannya mestilah memakaikan seluruh sifat mahmudah, bersalaman dan menyemaikan peradaban salam, sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW.



DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 26 Oktober 2012 / 10 Zulhijjah 1433

Perspektif IKIM: Pekerja amanah, jiwa tenang

Presiden Kesatuan PekerjaPekerja dalam Sektor Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dilaporkan merungut kerana kira-kira 15,000 hingga 18,000 daripada kalangan penjawat awam malas bekerja.

Walaupun bilangannya kecil berbanding 1.2 juta penjawat awam, namun ia akan menimbulkan ketidakcekapan dalam sektor awam. Beliau turut menyarankan tindakan boleh diambil majikan termasuk menghantar mereka menghadiri kursus motivasi, diberi amaran atau diminta bersara awal. Sebenarnya, sifat malas, pecah amanah, rasuah, tiada integriti, memilih kerja, ponteng, mencuri tulang, hilang waktu pejabat, buat kerja sambilan waktu pejabat adalah cerminan kepada kejahilan.

Ramai masih belum faham kerja itu adalah ibadah, maka kenapa perlu dirosakkan ibadah kita dengan perkara yang tidak dibenarkan sehingga menjadikan ibadah tidak diterima Allah SWT. Kita tidak bercakap atau makan ketika solat kerana ia membatalkan solat.

Tetapi kita sewenang-wenangnya membuat perkara membatalkan status kerja sebagai ibadah apabila melakukan perkara menyalahi peraturan ditetapkan majikan.

Ramai yang keluar masuk pejabat sesuka hati sedangkan peraturan tidak membenarkannya melainkan dengan kebenaran majikan. Majikan mungkin tidak tahu semua pergerakan kakitangannya, tetapi Allah tahu.

Itu belum bercakap soal mengambil harta benda pejabat dari sekecil-kecil pen, pensil kepada yang lebih besar, mengguna kenderaan pejabat untuk urusan peribadi, dan semuanya itu menjadikan kehidupan kita hilang keberkatannya.

Jangan pelik jika anak kita keras hati dari petunjuk dan hidayah, menjadi mat rempit, penagih dadah, anak derhaka, bebal dan degil. Ini kerana kesilapan kita memberi keluarga makan daripada rezeki yang haram atau syubhah.

Muhasabah diri dan nilai apakah kita termasuk dalam golongan mereka yang mencaricari kenapa hidupnya tidak tenang, selepas satu demi satu musibah melanda. Mungkin ini disebabkan perbuatan tidak amanah dalam pekerjaan kita seharian.

Apabila kita menerima jawatan dan bersetuju dengan terma dinyatakan, kita berikrar akan mematuhi segala peraturan ditetapkan. Itu adalah akad perjanjian kita dengan majikan yang Allah menjadi saksinya sama ada kita sedar atau tidak.

Perjanjian perlu dipatuhi dan pelanggarannya oleh manamana pihak adalah khianat. Terlalu banyak ayat alQuran dan hadis memerintahkan berpegang kepada janji dan perjanjian.

Mematuhi perjanjian itu terpakai selama mana kita bekerja dan menerima gaji dari majikan.

Allah memerintahkan kita melaksanakan perjanjian dalam firmanNya: “Wahai orang yang beriman, penuhilah akad (perjanjian).” (Surah alMai’dah, ayat 1).

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita di sisi syarak mematuhi semua perjanjian termasuk peraturannya, pekelilingnya dan arahan majikan dari masa ke semasa selama mana tidak memerintah maksiat kepada Allah.

Jika kita merasa tidak senang dengan peraturannya, maka kita bebas meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain, tiada siapa yang boleh halang. Ada manusia yang tidak suka dikongkong oleh peraturan, maka orang begini silalah bekerja sendiri dan menjadi majikan sendiri.

Setiap perjanjian dengan majikan atau orang perseorangan akan disoal kembali di sisi Allah SWT. Jangan ingat kita boleh terlepas daripada hukuman hanya kerana di dunia dulu majikan tidak sedar atau tidak tahu aktiviti khianat kita terhadap pekerjaan.


Berita Harian Online Agama Jumaat, 26 Oktober 2012