October 28th, 2012

Tak wajib menaiki Jabal Rahmah

Jabal Rahmah adalah bahagian kecil daripada Jabal Arafah di mana Nabi SAW melakukan wukuf, lalu sahabat berusaha melakukan wukuf di sana kerana Nabi melakukannya. Bagaimanapun, Nabi tidak pernah memerintahkannya.

Manusia sepatutnya tidak berlumba untuk menaikinya kerana keadaan ini menyebabkan berlakunya percampuran, bahkan boleh membawa kemalangan yang mengakibatkan kematian.

Seseorang tidak boleh beranggapan jika ia mampu menaikinya, maka ia telah melakukan sunnah Nabi, anggapan itu salah.

Sekalipun ia benar sunnah Nabi, ia tetap berdosa kerana telah menyakiti orang lain dengan berusaha untuk mendapatkannya. Jabal Rahmah adalah bahagian kecil daripada Jabal Arafah dan ia tidak termasuk dalam salah satu manasik ibadat haji. Tidak wajib untuk menaikinya, cukup sekadar wukuf di sekitar Arafah saja.

Wukuf yang benar seperti diajar oleh Nabi SAW sementara bentuk pelaksanaan wukuf boleh dilakukan dengan apa cara, sama ada dalam keadaan berwuduk atau tidak, boleh juga dilakukan dengan cara berdiri, duduk, berjalan-jalan, bahkan sambil berbaring. Yang penting, ia berada di kawasan Arafah, sampai tenggelamnya matahari. Ketika waktu solat Maghrib tiba, maka hendaklah mengumandangkan azan Maghrib dengan segera. Akan tetapi orang yang wukuf tidak melakukan solat Maghrib di Arafah melainkan mereka hendak segera melakukan perjalanan ke Muzdalifah dan melakukan solat Maghrib serta Isyak di sana.

Pada dasarnya tidak ada kalimah khusus yang harus diucapkan di Arafah.

Rasulullah SAW sering ditanya hal ini dan Baginda menyarankan supaya berdoa untuk kebaikan diri sendiri dengan ikhlas. Seseorang yang sedang wukuf di Padang Arafah tentu bukan untuk satu keperluan atau hajat, akan tetapi setiap orang yang wukuf di padang Arafah bermacam-macam hajatnya. Terkadang orang yang sedang wukuf di padang Arafah memiliki permasalahan sosial, ekonomi, dan ada pula menghadapi permasalahan peribadi. Oleh sebab itu, setiap Muslim hendaklah meminta keampunan kepada Tuhannya, dan hendaklah dia sentiasa memperbanyakkan tasbih, zikir serta doa.

Haid dan nifas tidak termasuk larangan untuk melaksanakan ihram.

Haji tidak dianggap batal jika salah satu di antara keduanya terjadi ketika sedang melaksanakan haji. Seorang wanita boleh melakukan wukuf di padang Arafah dan pelaksanaan ibadat haji melainkan tawaf serta sa’i kerana tawaf hendaklah dilaksanakan dalam keadaan suci, sedangkan saie dilakukan setelah melaksanakan tawaf.

Ketiga-tiga mazhab (Mazhab Syafi’i, Hanafi dan Hambali) membenarkan untuk menghajikan orang tua atau orang lain jika yang dihajikan itu telah uzur (tidak mampu secara fizikal) atau telah meninggal dunia. Mazhab Malik hanya membenarkan menghajikan orang lain yang telah meninggal dunia kalau ada wasiat. Ia dilakukan dengan pembiayaan harta yang ditinggalkannya.



Ustaz Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama Ahad , 28 Oktober 2012

Fitnah diulang 30 kali dalam al-Quran

Fitnah bererti ujian atau cubaan. Ia diambil dari kata dasar bererti memasukkan emas ke dalam api untuk diketahui kadarnya. Ia juga diertikan sebagai ‘membakar’ atau ‘memperluas’. Secara berdiri sendiri, kalimat ini diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak 30 kali.

Menurut ahli tafsir terkemuka Indonesia, M Quraish Shihab, ‘perlu digaris bawah bahawa tidak ada satu pun dari kalimah ini yang bermaksud perkataan yang memburukkan orang lain seperti biasa dipakai. Menurut pakar dalam bidang kosa kata al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, penekanan dan penggunaan kata fitnah lebih banyak ditujukan pada sesuatu yang bersifat kesukaran. Inilah salah satu perbezaan penggunaan kata bala dan fitnah.

Di sini kata fitnah tidak selalu bererti ‘ujian’ yang dialami seseorang dalam kehidupan dunia tetapi boleh juga dalam erti seksaan di akhirat. Firman Allah SWT: “(Hari Pembalasan adalah) hari ketika mereka disiksa di atas api neraka. (Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah seksaan itu. Inilah seksa (fitnah) yang dulu kamu minta supaya disegerakan.” (Surah az-Zariyat, ayat 13-14)

Perbezaan ketiga, fitnah tidak selalu mesti berbentuk sesuatu yang berlangsung lama atau nampak lama. Perkataan musibah diambil dari kata dasar bererti mengenai atau menimpa.

Pada mulanya, kata akar ini berkaitan lemparan yang mengena sasaran.

Kata musibah diulang dalam al-Quran sebanyak sepuluh kali. Semuanya digunakan untuk sesuatu yang tidak menyenangkan. Namun, hendaklah diingat bahawa apa yang tidak menyenangkan, bila direnungkan pasti tepat dan benar.

Firman Allah SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka hal itu disebabkan perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30)

Ulama berbeza pendapat mengenai makna dasar perkataan azab. Ada yang berpendapat perkataan ini diambil dari kata akar yang bererti menjadikan seseorang mengalami lapar yang luar biasa atau diambil dari kata kata dasar bererti hujung cambuk atau segar nyaman (seperti air yang segar yang sedap diminum. Perkataan mengazab (azzaba) bererti menghilangkan kesedapan.

Walau bagaimanapun ketiga makna di atas pada akhirnya mengandungi makna seksaan. Tentu saja seksaan tidak selalu bererti ujian atau cubaan, walaupun ada cubaan atau ujian yang dirasakan sebagai seksaan.


Ustaz Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama Ahad , 28 Oktober 2012