November 1st, 2012

Sekularisme tidak pernah dapat tempat di Malaysia

Perlembagaan Persekutuan pertahan kedudukan Islam sebagai agama negara

Isu kedudukan Islam dan sifat sekular negara masih dibawa ke hadapan. Sesekali terfikir, apa sebenarnya tujuan pihak yang mahu meletakkan sifat sekular kepada negara? Saya tidak nampak jawapan lain, kecuali mahu menolak kedudukan dan peranan Islam pada negara ini.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Islam sebagai agama negara. Adalah amat tidak adil kepada Islam sekiranya ada pihak tertentu cuba melahirkan keraguan mengenai kedudukannya.


Sudah sekian lama masyarakat Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia, berpegang kepada kedudukan Islam sebagai agama negara. Pegangan ini bukan sesuatu yang datang bergolek. Bukan juga turun dari langit. Bukan berlaku sewenang-wenang atau hanya omong kosong.

Pegangan ini diasaskan kepada prinsip tertanam jauh ke dalam tanah dan air bumi Malaysia ini. Ia sudah dibuktikan sejarah. Sudah terang juga Islam ditatahkan dalam dokumen undang-undang dan jelas terpahat dalam pelbagai amalan.

Kedatangan kuasa asing yang memperkenalkan undang-undang sekular tidak sedikit pun menghapuskan pegangan terhadap kedudukan Islam.

Oleh itu sebarang idea yang bercanggah dengan pegangan masyarakat umum tidak boleh dibiarkan melata. Ia idea yang salah; jelas bercanggah dengan pegangan umum yang disokong dengan pelbagai bukti. Sekiranya dibiarkan ia boleh membahayakan negara.Islam agama bagi Persekutuan

Jelas dalam Perkara 3(1), Islam adalah agama bagi Persekutuan. Tiada sebarang sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas Islam untuk menjadi agama negara. Sebaliknya, amalan agama lain itu diikat dengan formula aman dan damai.

Menerusi Perkara 3(1) kita dapat lihat kedudukan itu secara tersurat dan bukannya difahami secara tersirat.

Kedudukan istimewa Islam dimaktubkan dalam Perlembagaan bukan dalam Perkara 3 saja. Kita juga dapat melihat peruntukan yang jelas mengenai kedudukan Islam dalam perkara 12(2) dan juga sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 12(2) dengan jelas dan terperinci, menyebut mengenai keistimewaan yang diberikan kepada institusi pendidikan Islam, yang mana, fasal berkenaan dengan jelas menyebut: “Adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan seperti yang perlu bagi maksud itu”.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan lafaz wallahi, wabillahi, watallahi meletakkan tanggungjawab ke atas baginda untuk “... mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam”. Lafaz sumpah yang disebut itu sangat tinggi maksudnya dalam agama Islam.

Jika dilihat kepada pengisian Perlembagaan ini, di manakah mahu ditempatkan pendapat mengenai sifat sekular negara ini? Kalaulah dirujuk kepada keputusan Ketua Hakim (pada masa itu dikenali sebagai Lord President) Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah jelas.

Tak iktiraf sifat sekular

Apa dinyatakan dalam penghakiman itu ialah, undang-undang sekular yang wujud sebelum penubuhan Perlembagaan masih beroperasi dan masih menjadi undang-undang yang sah untuk diamalkan di negara ini. Tidak ada pernyataan dibuat dalam penghakiman berkenaan yang memberi atau mengiktiraf sifat sekular negara ini. Dalam ayat penghakimannya, disebut: “far from making such provision, Article 162, on the other hand, purposely preserves the continuity of secular law prior to the Constitution...”

Maksud saya di sini, mahkamah mengiktiraf kewujudan undang-undang sekular di negara ini. Kewujudan undang-undang sekular ini tidak menafikan Islam sebagai agama bagi negara ini, walaupun sudah memberi calitan negatif kepada kedudukan Islam sebagai agama bagi negara. Dalam kata lain, walaupun wujudnya undang-undang sekular, selagi Islam itu adalah agama negara, ini tidak menjadikan negara ini negara sekular – baik sekular jenis liberal atau sekular rigid. Sekularisme tidak pernah mendapat tempat di negara ini.

Jika benar kita menjunjung prinsip ketinggian Perlembagaan, sifat agama negara ini tidak harus dijadikan persoalan atau diragui lagi. Perlembagaan itu sendiri yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Frasa Perlembagaan begitu jelas dan terperinci sekali.



Shamrahayu A Aziz ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM Berita Harian Online Rencana Selasa 31 Oktober 2012

Menetap haluan hidup berpandukan ajaran Islam

Islam adalah agama fitrah yang memenuhi keperluan hidup manusia. Justeru, ajaran Islam berpaksikan kepada menyediakan rangka keperluan hidup individu, keluarga, masyarakat serta manusia sejagat untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan berkekalan di akhirat.

Antara ciri-ciri kehidupan manusia ialah berkembang mencapai satu tahap kehidupan lebih baik dari satu generasi ke satu generasi. Naluri manusia sentiasa inginkan kehidupan lebih baik melalui cara berfikir, budaya, teknologi dan tamadun.


Dalam memenuhi fitrah itu, manusia dibimbing melalui syariat disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW. Allah SWT Maha Mengetahui kejadian manusia, maka itu manusia perlu melalui fitrah yang telah ditetapkan untuk mencapai kehidupan terbaik di dunia.


Firman Allah SWT: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; tetaplah atas fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)

Allah SWT menghendaki supaya setiap orang Islam menetapkan haluan hidup dengan berpandukan ajaran Islam yang memenuhi fitrah manusia dan sesuai diamalkan sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.

Sehebat mana sekalipun tamadun yang dicapai manusia, Islam tetap sesuai diamalkan. Malah, tamadun yang dicapai umat Islam berdasarkan kepada panduan fitrah manusia terkandung dalam ajaran Islam.

Kesempurnaan ajaran Islam tidak perlu diubah untuk disesuaikan dengan persekitaran. Perkara ini cuba dilakukan bukan Islam dengan mengatakan Islam tidak selari keperluan semasa. Mereka mendakwa ajaran Islam hanya sesuai diamalkan masyarakat Arab 1400 tahun lalu.


Pada hal, masyarakat bukan Islam sedang melalui fasa kritikal dalam menentukan hala tuju kehidupan sebenar. Disebabkan tuntutan perubahan dan perjuangan golongan yang lari dari fitrah manusia, penganut bukan Islam kini keliru apa sebenarnya yang mereka inginkan.

Contohnya, hubungan seks yang melanggar fitrah manusia seperti lesbian, gay, biseksual dan transgander menjadi semakin parah. Pihak berkuasa di negara tertentu menghalalkan hubungan luar tabii itu dan mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Sesungguhnya, manusia tetap manusia mengikut fitrah kejadian yang ditentukan Allah. Sehebat mana manusia mencapai tamadun dan kemajuan dalam hubungan sosial, fitrah manusia tetap sama terutama dalam soal hubungan seks.

Sebab itu, umat Islam jangan terpesong dengan amalan dan perjuangan golongan tidak memahami fitrah kejadian manusia.

Bagaimanapun, usaha pihak bukan Islam untuk melihat wajah Islam dalam gambaran buruk tidak pernah berjaya kerana Islam terus kekal sebagai agama sempurna dan dipertahankan sehingga kiamat.

Firman Allah SWT: “Pada hari ini orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Oleh sebab itu, hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Islam tidak melarang umatnya berhubung dengan bukan Islam kerana mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dalam kalangan umat manusia.

Allah SWT berfirman: “Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Firman Allah SWT lagi: “Wahai orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran, ayat 149)



Lokman Ismail Berita Harian Online Agama Khamis , 01 November 201

Ikhlas motivasi mukmin terus bekerja

Direkodkan daripada Ma’n bin Yazid, dia berkata: “Saya, ayah dan kakak menyatakan baiat (akur janji) kepada Rasulullah, kemudian beliau meminang seseorang lalu mengahwinkannya dengan saya. Pada satu hari, saya mengadukan persoalan kepada Rasulullah, “Ayah saya Yazid, menyedekahkan wang beberapa dinar dengan menyerahkannya kepada seseorang untuk diberikan kepada masjid.

Ketika saya ke masjid, saya menerima pembahagian itu. Kemudian saya membawanya kepada ayah saya. Kata ayah, demi Allah dia tidak berniat memberi sedekah itu kepada saya. Saya mengadukan hal itu kepada Rasulullah lalu Baginda berkata: Wahai Yazid, engkau menerima pahala sesuai dengan niatmu dan engkau wahai Ma’n, apa yang engkau terima itu adalah milikmu.” (Sahih Bukhari)


Direkodkan daripada Aisyah, dia berkata, Rasulullah bersabda: “Sekiranya isteri menyedekahkan sebahagian makanan di rumahnya tanpa berbuat kerosakan (tidak mengganggu keperluan keluarga) dia akan mendapat pahala kerana dia adalah yang bekerja bagi menghasilkan makanan itu. Bahkan jika pelayannya berbuat begitu, dia juga mendapat pahala yang sama dan pahala masing-masing tidak dikurangkan sedikitpun.” (Sahih Bukhari)

Keikhlasan adalah elemen motivasi terhebat. Ikhlas membuahkan kerja yang berkualiti. Ikhlas memotivasikan manusia terus bekerja dan bersemangat semasa orang lain terkesan dengan kejian, cacian, pujian dan ujian hingga menghentikan kerja mereka.

Keikhlasan menimbulkan motivasi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, tetapi apabila menerima ganjaran, ia adalah kasih sayang Allah tanpa mengurangkan keikhlasan.

Keikhlasan menjadi motivasi untuk sentiasa istiqamah melakukan amal soleh sama ada di depan manusia atau di belakang mereka kerana keikhlasan kunci kepada segala motivasi.



Buku Kisah-kisah Gaya Motivasi Rasulullah. Berita Harian Online Agama Khamis, 1 November 2012 

Adab dan pembinaan peribadi ummah

Adab menurut Kamus Dewan bermakna tingkah laku serta tutur kata, budi bahasa atau budi pekerti yang halus. Adab datangnya daripada perkataan Arab dan dalam Islam, adab membawa makna yang lebih besar, termasuk tatacara atau perilaku dalam menunaikan amalan agama seperti solat. Maka itu adab mempunyai makna istimewa dalam masyarakat Melayu dan Islam.

Dalam masyarakat yang mementingkan kepatuhan bersama sebagai kunci hidup bermasyarakat maka adab dan akhlak diberikan perhatian yang serius. Ada kalangan orang Melayu menganggap bahawa nilai leluhur seperti budi bahasa dan adab sopan tidak relevan lagi. Ada pemimpin Melayu yang mengajak bangsanya menjadi kurang ajar. Ada kalangan yang menyalahkan budi bahasa orang Melayu sebagai bukti kelemahan diri dan jati diri mereka.

Semuanya ini memberikan isyarat yang mengelirukan pada anak-anak muda kita. Dalam sistem kekeluargaan orang Melayu budi bahasa diletakkan di tempat yang tinggi. Cara menghormati orang tua, perlakuan dalam majlis rasmi dan tindak tanduk seharian melambangkan peribadi dan akal budi seseorang. Dalam proses sosialisasi, semua ini dianggap penting.

Adab lebih penting lagi dalam amalan beragama. Maka itu, dalam sistem pendidikan Islam, adab menjadi salah satu mata pelajaran utama”

Maka itu ada kalanya kita terkejut dengan tindak tanduk anak-anak Melayu sendiri yang menghina peradaban, budaya, nilai, malah raja-raja dan ketua mereka. Dalam konteks berpolitik ada kalanya kaedah menghalalkan cara. Penolakan terhadap sesuatu fahaman tidak seharusnya menjadikan kita biadab dan kurang ajar. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tetapi biarlah dengan cara yang waras, sihat dan bertamadun.

Dalam soal beragama, kurangnya toleransi terhadap penganut agama lain malah sesama agama semakin membimbangkan. Semuanya ini menampakkan perubahan sikap dan nilai masyarakat moden hari ini.

Ada juga yang menyalahkan media sosial yang mencambahkan budaya biadab di kalangan generasi muda. Medium baru itu menjadi pekan koboi yang tidak punya undang-undang dan peraturan. Lesen kebebasan di alam siber disalahgunakan. Dunia itu menjadi dunia penuh kebencian, dendam dan marah, diapikan pula oleh perbezaan politik dan pendirian.

Memang benar ada kalangan yang menggunakan ruang siber untuk menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain. Tetapi bilangan mereka kecil berbanding dengan banyak lagi yang menggunakannya untuk kebaikan. Kita tidak perlu membakar kelambu kerana nyamuk yang sedikit. Alam siber bermuat pelbagai ilmu, maklumat dan pengetahuan yang boleh memperbaiki hidup manusia.

Demikian juga kita tidak boleh menggunakan kayu ukur sebilangan pemandu yang tidak beradab di jalan raya sebagai bukti kehancuran nilai dalam masyarakat. Kita tidak boleh menyalahkan sistem sekolah semata-mata kerana sebahagian anak-anak muda kita tidak menghormati orang lain. Individu dicorakkan oleh pelbagai faktor persekitaran, bukan sekolah sahaja. Ada yang kecewa bahawa terdapat anak-anak muda kita yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada buku dan disiplin apabila keluar sekolah.

Adab lebih penting lagi dalam amalan beragama. Maka itu, dalam sistem pendidikan Islam, adab menjadi salah satu mata pelajaran utama. Adab dianggap penting dalam konteks pembinaan keperibadian Muslim. Adab dikaitkan dengan akhlak dan kelakuan. Oleh yang demikian, seorang Islam yang baik harus juga menunjukkan adab yang baik selain mengamalkan cara hidup yang diredhai.

Hari Raya Aidiladha punya makna yang besar bagi bagi umat Islam. Semangat pengorbanan perlu dihayati oleh setiap orang. Maka itu Hari Raya Korban menuntut perlakuan yang terpuji di kalangan umat Islam. Sekali lagi alam siber bermuat dengan pelbagai cerita tentang keangkuhan atau riak serta perilaku yang buruk pada hari yang sepatutnya mencerminkan nilai terpuji.

Cerita mereka yang menjadikan korban sebagai simbol status yang baru tentulah menyedihkan. Ada orang kaya Islam bangga mengisytiharkan berapa banyak lembu dan kambing yang mereka sumbangkan di masjid atau surau. Ada yang melakukannya atas tujuan publisiti bagi menunjukkan keupayaan dan kemewahan. Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah membuat kenyataan yang penting baru-baru ini, menyeru umat Islam agar mengelak amalan korban untuk tujuan bermegah-megah.

Kita juga mendengar pelbagai cerita bagaimana petugas upacara korban bersikap tidak adil, mengumpulkan bahagian terbaik daripada haiwan yang disembelih untuk diri sendiri atau mengenepikan orang lain. Ada kalanya sesebuah masjid menjadi tempat korban puluhan ekor lembu tetapi oleh sebab sistem pengagihan yang tidak betul menyebabkan tidak semua penduduk setempat menikmatinya.

Di tengah semangat korban, elok rasanya umat Islam mula menanyakan soal adab dan akhlak ini. Kita mahukan umat yang bukan sahaja kuat, berilmu, kukuh ekonominya tetapi juga mengamalkan perilaku dan akhlak yang dituntut oleh Islam. Kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.



Johan Jaafar Berita Harian Online Agama Khamis, 1 November 2012