November 4th, 2012

Kenapa perlu emosional soal poligami?

MINGGU ini Bro siarkan petikan emel yang Bro anggap satu kupasan yang agak menarik berhubung ruangan ini. Baca juga komen Bro di bawah:

Bro,

Pembaca yang menghantar e-mel kepada saudara sebagai balasan terhadap ruangan saudara minggu lalu ternyata amat tidak berpuas hati dengan tulisan saudara berkaitan poligami itu. Maka daripada ketidakpuasan hati inilah melahirkan tindakan yang seterusnya iaitu menaip bait-bait ungkapan yang mengandungi unsur emosi tersebut.

Lalu, hal ini membenarkan kenyataan saudara bahawa kaum wanita ini makhluk emosional. Apakah puncanya? Nah, tulisan saudara itulah pencetusnya. Mungkin juga saudara perlu meneliti bahasa tulisan saudara yang kedengaran agak kasar apabila dibaca. Lebih-lebih lagi saudara menimbulkan isu poligami yang rata-rata wanita di Malaysia 'seram sejuk tubuh mereka' manakala si lelaki rata-rata tersenyum-senyum sumbing mendengarnya. Masakan tidak wanita yang sememangnya saudara kaitkan dengan makhluk penuh emosi ini terlebih pula emosional apabila membaca tulisan saudara. Yang kontroversi itu bukan setakat isu poligami tetapi tulisan saudara yang berbaur seksis (berat sebelah terhadap jantina) yang seolah-olah meletakkan kesalahan atas bahu wanita semata-mata.

Saudara jangan salah anggap pula saya anti dengan saudara. Hal ini demikian kerana bukan ruangan saudara sahaja saya ikuti.

Saudara,

Apa salahnya kalau bahasa saudara itu di'molek'kan lagi. Hal ini demikian kerana kata-kata saudara dilihat terselit elemen provokasi emosi atau psikologi. Bukan saya mengatakan saudara ini sengaja melakukannya, malah tidak berniat pun saya hendak menyatakannya. Bahkan contoh amat jelas dalam ruangan saudara yang lebih 'menghentam' kaum wanita yang 'tidak mahu faham dengan tulisan' saudara serta e-mel yang saudara terima daripada pembaca. Saudara tanyalah diri saudara sendiri, lagi banyak reaksi yang positif daripada yang negatif, begitukah? Jika saudara menyatakan dengan penuh beraninya wanita ini penuh emosi malah bertindak secara emosional, maka tidak keterlaluan lelaki seperti saudara dilihat sebagai seorang lelaki cauvinistik - kerana melihat wanita dengan label yang saudara canang-canang sebegitu rupa.

Selain itu dalam ruangan terbaru saudara, saya meneliti kartun kucing yang memainkan peranan suami isteri yang bergaduh hilang seni lawak dan sensitiviti lantaran watak lelaki itu mengambil perkara ibadah sebagai main-main. Watak kucing betina sebagai isteri pula dengan lantang dan kurang sopannya meminta si kucing jantan atau suami untuk membebaskan (menceraikan) madu si isteri atau memilihnya (bukankah menceraikan madu si isteri secara langsung si lelaki memilih diri si isteri?). Hakikatnya, manusia tidak boleh disamakan dengan binatang apa lagi kucing kerana kucing bukan memilih untuk hidup dengan satu pasangan. Maka sesiapa pun tidak berasa hairan dengan kucing jantan mengawan mana-mana kucing betina yang disukai kerana sudah dijadikan oleh Allah untuk memiliki naluri kebinatangan sebegitu. Tetapi yang menjadi isunya ialah kaum lelaki yang diberi peluang untuk bermonogami tetapi mengambil kesempatan dengan berpoligami dalam hidupnya kerana dikatakan mendatangkan kebaikan.

KOMEN BRO

Bro dah katakan sebelum ini bahawa Bro ini lelaki yang baik, sentiasa menerima teguran, kritikan dan kutukan, namun Bro mahu pengirim ini fikirkan beberapa perkara.

Pertama, kaum perempuan selalu kata mereka hebat, apa lelaki boleh buat mereka juga boleh buat, jadi kenapa nak emosional? Kalau perasaan pun dah tak boleh kawal macam mana hendak jadi lebih baik daripada lelaki.

Sebenarnya perempuan ni hanya emosional bab poligami sahaja, seolah-olah kalau suami mereka hendak berpoligami porak-peranda dunia. Sepatutnya anggap poligami itu ujian dalam sebuah kehidupan, kalau suami kita tu beriman, berakhlak, mampu zahir dan batin apa salahnya?

Kalau suami mereka berpoligami yang untung perempuan juga, selain dapat 'payung emas' di akhirat, mereka juga dapat membahagiakan sesama kaum hawa khususnya yang belum ada jodoh.

Perempuan yang takut poligami ini sebenarnya tidak yakin kepada diri sendiri sebab itu mereka 'meroyan' tak tentu fasal bila Bro sokong perkara yang dihalalkan oleh Allah itu.

Soal suruh Bro molekkan bahasa, aduh! Bahasa Bro dah cukup baik, cuba lihat bahasa yang digunakan oleh kaum perempuan terutamanya bila mengumpat, lagi dahsyat. Malahan Bro sendiri terima e-mel yang bahasanya cukup kesat.

Jadi kalau perempuan tu berhemah sangat gunakanlah bahasa yang baik-baik, tak payahlah nak menyumpah Bro macam-macam.

Soal kartun tu, ala dalam televisyen pun banyak kartun yang 'dimanusiakan' apa nak kisah. Semua itu perlambangan sahaja, apa yang penting mesej yang hendak disampaikan.

Dialog yang minta 'kucing jantan' buat pilihan tu memang itulah realiti dalam kehidupan seorang isteri apabila suaminya nak minta kahwin lain. Perempuan ingat bila buat macam tu suami akan takut dan mereka pula akan bahagia kalau bercerai.

Hakikatnya apa yang Bro tengok ramai lelaki yang tidak peduli 'ugutan' itu sebab hak suamilah nak kahwin lain dan dalam masa yang sama, perempuan yang minta diceraikan hidup menderita, salah siapa? Fikirlah sendiri.

Ok lah, minggu depan Bro tak mahu sentuh soal poligami lagi. Terpulanglah kepada kaum perempuan nak kata apa pun yang penting pendirian Bro jelas, poligami dibenarkan oleh Islam, perceraian dibenci oleh Allah. - JUMPA LAGI!




Kucing Jantan - Bro Tompok Utusan Malaysia Online Rencana 4 November 2012

Selamat tinggal Mama Bond!

BERCAKAP pasal perisik terhebat di layar perak James Bond, dengan pantas peminat setia filem itu akan terbayangkan wanita-wanita cantik yang pernah bergelar Bond Girl. Malah kalau diminta menyenaraikan nama mereka pun rasanya tidak ada masalah.

Memang itu pun yang menjadi antara tarikan filem-filem Bond sejak zaman Sean Connery, Roger Moore, George Lazenby membawa kepada Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan terkini, Daniel Craig.


Daniel Craig 5' 10"



Sean Connery 
1962-1967; 1971; 1983



George Lazenby 
1969



Roger Moore
1973-1985



Timothy Dalton
1987-1989



Pierce Brosnan
1995-2002



Daniel Craig
2006-present



David Niven
1967


Ajit Bong
1960-now



Barry Nelson
1954

Antara yang cukup popular sebagai Bond Girl, tentu sahaja artis jelita Ursula Andress, sehinggakan adegan berbikini ketika keluar dari laut diulang semula oleh seorang lagi gadis Bond, Halle Berry.

Namun penulis tidak berminat bercakap tentang Gadis Bond. Lagipun sudah terlalu banyak yang diperkatakan tentang mereka dalam reviu dan prebiu filem tersebut.

Wanita yang menarik minat penulis kepada filem Bond selama ini, bukan gadis cantiknya yang seksi. Sebaliknya yang menangkap mata penulis ialah Mama Bond!


Dame Judith Olivia Dench
1934-now

http://en.wikipedia.org/wiki/Judi_Dench

Siapa dia Mama Bond atau dipanggil 'mem' oleh ejen 007 ini? Beliau tidak lain tidak bukan ialah artis Judith Olivia Dench atau lebih dikenali sebagai Dame Judi Dench.

Dalam pada filem-filem Bond diketahui sering mengeksploitasi wanita-wanita cantik, watak M yang dibawakan Dench mengangkat kedudukan wanita di tempat yang tinggi.

Bayangkan, bos atau ketua kepada agen 007 dan agensi perisikan M16 ialah M - seorang wanita. Hebatnya Dench apabila penampilannya sebagai M dalam filem-filem Bond mengatasi kemunculan kebanyakan hero filem itu iaitu pemegang watak James Bond itu sendiri.

Sejak mula mengambil alih watak M dalam Golden Eye pada 1995 (menggantikan Robert Brown), Dench sudah membintangi tujuh siri filem itu termasuk Tomorrow Never Dies (1997), The World Is Not Enough (1999), Die Another Day (2002), Casino Royale (2006), Quantum of Solace (2008) sehingga yang terbaru Skyfall.

Rekod Dench itu menyamai penampilan Roger Moore sebagai James Bond. Menariknya beliau sempat menjadi bos kepada dua Bond iaitu Brosnan dan Craig. Beliau ialah pemegang rekod sebagai pelakon paling lama terlibat dalam siri Bond.

Dalam Skyfall, produksi filem ini seolah-olah mahu memberi 'penghormatan' kepada pemegang watak M paling lama ini. Rasanya tidak payahlah penulis bercerita panjang lebar mengenai filem terbaru Bond ini. Maklumlah ia baru sahaja memasuki pawagam dalam negara. Penulis tidak mahu merosakkan mood peminat yang belum menyaksikan filem Bond terbaru ini.

Walaupun ada yang mengatakan Skyfall agak lembap pergerakan ceritanya, penulis boleh beri jaminan yang ia masih menarik. Yang pasti, masih ada aksi-aksi yang akan membuatkan anda ternganga dan seriau melihatnya.

Cuma seperti biasa, filem ini tidak sesuai ditonton bersama anak-anak kerana terdapat adegan melibatkan Gadis Bond yang jika ditiadakan pun pada pandangan penulis, tidak akan menjejaskan jalan ceritanya.

Yang pasti penulis akan merindui Mama Bond. Selamat menonton!



Utusan Malaysia Online Rencana 4 November 2012