November 5th, 2012

Mengenali golongan dan parti berideologi Khawarij

BARANGKALI sudah tiba masanya masyarakat Islam di dalam negara ini mengenali golongan yang suka memusuhi sesama Islam. Sekiranya kita membedah atau menyelak kitab-kitab agama pasti kita akan bertemu dengan istilah-istilah yang jarang kita dengar tetapi ia sebenarnya amat penting untuk diketahui.

Terdapat banyak musuh Islam yang ingin mengambil kesempatan merosakkan Islam. Tidak hairanlah sekiranya yang memusuhi Islam dan kerajaan Islam itu adalah dalam kalangan orang bukan Islam, tetapi yang lebih bahaya daripada itu adalah musuh dalam selimut iaitu musuh yang terdiri daripada orang Islam sendiri.

Di antara istilah golongan pelampau dalam agama, Islam menamakan mereka ini dengan Khawarij. Siapakah golongan Khawarij ini? apakah kita sudah mengenali mereka? apakah ciri-ciri golongan Khawarij ini?

Apakah kita kurang didedahkan dengan golongan ini kerana kurangnya membaca kitab-kitab agama berhubung dengan Khawarij, atau kebanyakan daripada guru agama yang mengajarkan agama tidak menceritakan akan bahayanya fitnah Khawarij ini. Sebagai seorang Muslim, kita wajib mengetahui perihal Khawarij agar kita tidak terjerumus dalam fitnah Khawarij.

Sejarah awal kemunculan

Permulaan kesesatan golongan Khawarij adalah kesalahan mereka dalam penentuan keimanan seseorang. Mereka berkeyakinan bahawa iman yang sempurna adalah pelaksanaan seluruh ketaatan, jika melakukan dosa besar atau perkara yang diharamkan dianggap tidak memiliki iman sama sekali dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

Kesesatan golongan Khawarij ini dalam masalah iman dan akidah ia telah merebak dan memberi kesan terhadap perkara-perkara berkaitan hal agama lain, termasuklah juga pemahaman mereka terhadap kepimpinan dan pemerintahan. Kalau diteliti sejarah Islam, kemunculan pertama golongan berfahaman Khawarij ini dalam pemerintahan Islam bermula sejak masa pemerintahan Saidina Uthman R.A bahkan fahaman ini ketara menular semasa pemerintahan Saidina Ali R.A. Kesan kepada kesesatan pemahaman mereka tentang agama menyebabkan mereka mempunyai kegemaran mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan akidah dan pemahaman mereka.

Insan yang mula-mula mengkhabarkan akan kemunculan golongan Khawariji adalah Nabi SAW sendiri. Sekiranya dihimpunkan perkataan Nabi SAW tentang Khawarij pasti akan berjumpa dengan banyak peringatan Nabi SAW terhadap golongan ini. Di antara sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Akan muncul diakhir zaman sekelompok orang yang ciri mereka masih berusia muda dan tidak berilmu. Mereka rajin membaca al-Quran, namun keimanan mereka hanya pada lisan sahaja . Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah keluar dari sasarannya (binatang buruan). Perangilah mereka di mana pun kalian menemuinya! Kerana orang yang memerangi mereka akan meraih pahala besar kelak di hari kiamat." (HR Bukhari dan Muslim)

Kuat beragama

Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang melihat seseorang yang nampak kuat beragama dan semangat untuk melaksanakan Islam dalam masa sama turut bersemangat mengkafirkan orang Islam lain yang tidak bersama-sama dengan mereka. Hakikat ini dikhabarkan oleh Nabi SAW seperti hadis di atas.

Ciri-ciri keislaman golongan Khawarij ini hanya kelihatan pada zahirnya sahaja dengan menonjolkan kesolehan mereka melalui solat yang didirikan, puasa yang di lakukan dan bacaan al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh orang lain. Bahkan tidak kurang juga penampilan mereka dari sudut berpakaian kelihatannya seperti orang agama yang banyak ilmunya seperti tajam kopiahnya, besar serbannya, labuh jubahnya dan zuhud kehidupannya.

Sekali pandang amalan agama yang dibuat oleh golongan Khawarij ini nampak mengagumkan tetapi hakikatnya mereka melakukan ibadat itu tidak berpaksikan kebenaran Islam. Segala amal soleh yang dilakukan tidak bermanfaat kerana keyakinan iman dan akidah mereka yang batil. Sabda Nabi SAW dalam hadis lain yang bermaksud: "Di antara kalian pasti menganggap rendah solatnya dibanding solat mereka, serta puasanya dibanding puasa mereka dan mereka (khawarij) itu membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkongnya (yakni tidak faham maknanya dan tidak mengamalkan kandungannya)". (HR bukhari)

Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Di manakah kesilapan mereka sehingga golongan Khawarij ini tiada tempatnya di dalam Islam. Banyak faktor menyebabkan golongan Khawarij menyimpang daripada dasar ajaran agama antaranya, tidak memahami intipati ajaran Islam yang sebenar. Mereka memahami Islam tidak berdiri di atas dasar ilmu dan dalil melainkan hanya mengikut hawa nafsu dengan mentakwilkan dan menafsirkan Islam mengikut acuan mereka sendiri bukan dengan kefahaman sahabat dan salafussoleh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"…Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim".(al-Qosas: 50)

Maka tidak hairanlah bila mana mereka mengkafirkan orang lain yang tidak berhukum dengan hukum Islam atau melakukan dosa besar mereka datangkan dalil daripada ayat al-quran. Maka ayat al-Quran yang digunakan oleh mereka ini ditafsirkan mengikut selera dan kehendak mereka sahaja. Sedangkan para ulama ahli sunnah wal jamaah dari dahulu sehingga hari ini amat berhati-hati menjatuhkan tuduhan kafir kepada seseorang individu muslim kerana terdapat syarat-syarat ketat dan larangan keras oleh agama untuk berbuat demikian dikhuatiri sekiranya tersalah dalam tuduhan kafir, boleh jadi tuduhan kafir itu akan kembali kepada si penuduh.

Wabak Khawarij

Jika hendak diperhatikan, wabak golongan Khawarij pada zaman sekarang ini benar-benar menjalar ke dalam fikiran masyarakat terutamanya dalam bab kepimpinan dan pemerintahan, hasil daripada dakyah beberapa orang pemuka Khawarij yang sentiasa membawa berita berbentuk hasutan dan fitnah bagi meraih pengiku.

Kebanyakan daripada masyarakat awam yang cenderung kepada semangat Islam amat mudah untuk terpengaruh dengan golongan Khawarij ini disebabkan perkataan dalam tutur kata mereka. Golongan Khawarij ini memiliki kelebihan pandai berbicara dan enak didengar. Tetapi segala perkataan mereka itu adalah omong kosong yang tidak memberi manfaat kepada pembentukan peribadi muslim. Benarlah kata Nabi SAW terhadap perkataan golongan Khawarij ini, di mana baginda mengatakan:"Mereka (Khawarij) berbicara dengan sebaik-baik ucapan mereka". (HR Bukhari)

Ucapan-ucapan mereka ini tidak lain hanyalah ingin meraih simpati dan inginkan publisiti murahan disebabkan cita-cita mereka yang inginkan kekuasaan dalam pemerintahan. Jika diteliti, lidah mereka sentiasa berdolak-dalik dalam mengatakan sesuatu perkara. Kadang-kala perkara yang diharamkan dahulu telah menjadi halal pada hari ini. Seolah-olah 'Matlamat menghalalkan cara'. Mereka juga menyangkakan segala perbuatan dan perkataan mereka kepada orang lain yang tidak bersama mereka adalah satu ibadah kepada Allah SWT dan mendapat pahala besar. Malangnya sangkaan mereka itu meleset, apa yang pasti perbuatan dan perkataan mereka itu satu maksiat dan mendapat dosa kering sahaja.

Oleh itu, mengenali sifat golongan Khawarij dengan lebih mendalam amat dituntut agar kita tidak terheret dan terperosok ke lembah fitnah mereka. Tiada cara untuk mengenali golongan Khawarij ini melainkan menimba ilmu dengan ulama ahli sunnah yang berautorirti melalui kaedah 'manhaj al-talaqqi' dan membaca kitab-kitab ulama muktabar. Semoga sedikit pengenalan tentang golongan Khawarij ini dapat membuka minda kita untuk terus istiqamah di atas jalan Islam yang benar dan tidak terpengaruh dengan dakyah golongan Khawarij atau golongan yang terkena syubhat pemikiran Khawarij ini.




Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji Ketua Biro Sekretariat iLMU Ilmuanmalaysia.com Ilmu-islam.com Utusan Malaysia Online Rencana 05 November 2012 

Tingkatkan pantau Al-Arqam

TENGGELAM timbul kegiatan kumpulan ajaran sesat Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan pada 1968.

Pada 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa kumpulan dakwah ini membawa ajaran yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Walaupun telah beberapa kali diserbu oleh pihak Jabatan Agama Islam, kumpulan ini masih aktif walaupun tidak secara terbuka. Dalam diam-diam mereka menjalankan amalan yang berpandukan tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Ajaran tarekat ini adalah, Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang berasal dari Klang, Selangor dan dikatakan berketurunan Rasulullah SAW dan telah meninggal pada tahun 1925, ialah Imam Mahadi yang sedang dinantikan semua umat Islam.

Ashaari mengisytiharkan beliau juga berketurunan Rasulullah SAW yang akan menjadi Panglima Kanan Bani Tamim yang akan membantu Imam Mahadi untuk menegakkan kembali Islam ke seluruh alam ini.


Ashaari yang dipuja dan mempunyai puluhan ribu pengikut di satu ketika dahulu itu telah meninggal dunia pada 13 Mei 2010 dan dikebumikan di Pilin, Rembau.

Yang menjadi tanda tanya adalah walaupun beliau sudah tiada lagi, tetapi mengapa kegiatan memujanya oleh pengikut setia yang difahamkan mencecah hingga 3,000 orang itu masih dijalankan?

Kita juga hairan mengapa mereka masih menyambut kelahirannya mengikut bilangan umur sekarang ini walaupun sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, seolah-olah pengikut Al-Arqam menganggap beliau masih hidup di alam ghaib pula sebagaimana mereka mempercayai Syeikh As-Suhaimi masih juga hidup di alam ghaib.

Pihak Jabatan Agama Islam dan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memantau hingga ke lubang cacing kegiatan saki baki kumpulan Al-Arqam ini.

Jika perlu, ambil tindakan tegas seperti di buang daerah atau hadkan pergerakan setiap individu terutama sekali ketua-ketua mereka yang masih aktif menyebarkan ajaran sesat itu.

Kegiatan mereka ini akan merosakkan masyarakat Islam di negara ini. Kalau dibuka balik sejarah kumpulan Al-Arqam ini, suatu ketika dahulu pada 1970-an dan 1980-an di mana kegiatan dakwah songsang ini sedang bermaharajalela, ia telah dapat meracuni fikiran dan memperdaya ribuan wanita.

Wanita terbabit telah dipujuk menyertai Al-Arqam dan mereka telah menjadi bahan untuk memuaskan nafsu ketua-ketua dan ahli kumpulan, apabila dikahwini secara bertukar-tukar pasangan dengan sesuka hati.

Wanita terbabit dianggap seperti wanita kaum Ansar yang menunggu kedatangan pejuang Islam kaum Muhajirin yang berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk diambil sebagai isteri masing-masing.

Wanita tersebut sebenarnya telah menjadi mangsa kerakusan pengikut dan pemimpin kumpulan berkenaan yang dijanjikan syurga oleh Abu Ya (Ashaari).

Bukan sahaja mereka dapat memikat wanita biasa, malah para pelajar yang sedang menuntut termasuk mereka yang berada di tahun akhir dalam bidang perubatan di universiti tempatan pada masa itu telah dapat dipengaruhi supaya berhenti belajar dan mengahwini pengikut kumpulan itu.

Maka meraunglah ibu bapa para pelajar berkenaan seolah-olah anak-anak gadis mereka diculik oleh ahli kumpulan yang sudah dirasuk menjadi ‘kaki perempuan’ pula.

Di zaman ini kita kena berwaspada kerana orang yang berserban sebesar bakul serta berjubah pun bukan boleh dianggap orang alim.

Mesti diselidiki dahulu apa fahaman sebenar mereka dan sejauh mana ilmu yang mereka ada dan adakah mereka suka mengumpat, bercakap besar dan selalu berbohong?

Kadangkala kita tersalah tafsir bahawa berpakaian sedemikian bermaksud mereka alim sedangkan terdapat kemungkinan ia hanya ikut-ikutan sahaja mengikut tradisi dan budaya Arab.

Terdapat orang Arab yang berpakaian sedemikian masuk ke bar dan kelab malam dan ini dapat dilihat jika kita pernah melawat ke negara-negara barat iaitu tempat mereka selalu berpeleseran.

Tidak dinafikan bahawa berpakaian berjubah dan berserban itu adalah mengikut sunnah tetapi jangan salah guna sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW sehingga boleh mendatangkan kontroversi dan memburukkan agama kita sendiri.

Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW melalui kitab suci al-Quran tidak sekali-kali mengajar bahawa ada jalan pintas untuk masuk ke syurga.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL YDP Persatuan Jamalullail Perak Utusan Malaysia Online Forum 05 November 2012 



Kemelut ajaran sesat

Penggunaan istilah Arab, pengaruhi golongan berjiwa kosong

Isu ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kamus kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring kehidupan manusia.
Namun, masih ada ramai kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat itu. Lebih membimbangkan apabila melihat 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di bumi Malaysia yang disenaraikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Meninjau realiti umat Islam dewasa ini, sebahagiannya belum memahami dan terkeliru hakikat sebenar unsur kesesatan dalam sesuatu ajaran sehingga berlaku tuduh menuduh di kalangan umat Islam hingga ke tahap mempertikaikan akidah dan pegangan masing-masing.

Tetapi, apa yang paling menyedihkan ialah pendukung ajaran sesat berjaya pula mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk bersama-sama meneruskan kegiatan mereka.



Lebih daripada itu, pendukung ajaran sesat sanggup menuduh dan melabelkan orang beriman yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenarnya.

Kemelut ajaran sesat ini boleh berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam.



Program dengan tajuk "PAS -PARTI AJARAN SESAT" anjuran Umno dengan Ustaz Fathul Bari sebagai ahli panel.


Mereka jahil mengenai makna iman dan Islam sebenarnya yang menuntut kepatuhan penuh tulus lagi kudus semata-mata kepada Allah saja. Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang merapatkan mereka ke sempadan kesesatan dan kekufuran.

Mereka tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat itu bertentangan dengan Islam dan seterusnya ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kesesatan serta kekufuran yang dilaknati Allah.

Justeru, setiap Muslim diwajibkan oleh Islam supaya menimba ilmu Islam daripada sumber yang tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah.

Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris Nabi dalam menyebarkan ilmu Islam di kalangan masyarakat Islam di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran seperti diperintahkan Allah.

Tambahan pula ketiadaan maklumat terperinci dan garis panduan khusus berkenaan tarekat atau ajaran yang menyeleweng daripada Islam menyebabkan umat Islam masih terkeliru dan salah faham terhadap konsep bertarekat menurut Islam yang sebenarnya.

Oleh sebab itu, hampir semua ciri dan ajaran yang disebarkan oleh sesuatu ajaran sesat berselindung di sebalik penggunaan istilah Arab yang boleh mengelirukan pengikutnya seperti ajaran Hakikat Insan, ajaran Nur Zaman, Imam Mahdi, Tarekat Naqsyabandiah, ajaran Taslim, wahdah al-wujud, al-fana’, kasyaf, ilmu laduni dan sebagainya. Penggunaan istilah ini mudah meyakinkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan secukupnya mengenai Islam.

Berpunca daripada kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya kekosongan jiwa dalam diri seseorang manusia.

Kekosongan jiwa bermaksud jiwa seseorang itu kosong daripada nilai kerohanian dan agama yang terdahulu.

Ini mungkin adalah akibat daripada penolakan masyarakat terhadap agama disebabkan oleh perasaan kagum dengan pencapaian sains dan teknologi.

Mereka meyakini sains boleh mencapai segala apa yang mereka ingini. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah kegagalan sains dan teknologi dalam memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh kerana itu, jiwa manusia kosong dan meluap-luap cuba mencari erti hidup, maka terjadilah apa yang dikatakan sebagai ledakan kerohanian.

Apabila kekosongan jiwa berlaku, maka seseorang itu akan cuba mencari apa saja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara yang ekstrem sama ada kepada ajaran yang dianggapnya keagamaan, pada hal ia adalah ajaran sesat atau keseronokan dan kegembiraan seperti mengambil dadah, arak atau muzik yang bersifat kekerasan.

Fitrah manusia yang mahu beragama dan ingin mencari kebenaran menyebabkan ramai yang mudah terjebak dengan ajaran sesat.

Setiap ajaran sesat mempunyai ciri-ciri dan daya tarikan yang mampu menimbulkan minat dan menggoda serta sukar ditolak oleh mereka yang menjadi sasarannya.

Salah satu faktor yang menjadi daya tarik pada ajaran sesat itu ialah ciri mudah dan ringan yang ada padanya.

Kebanyakan ajaran sesat muncul di Malaysia secara umumnya mengajarkan bahawa amalan berat yang mesti dilakukan di dalam ajaran Islam yang sebenar tidak perlu dilakukan iaitu sudah cukup dengan berniat saja. Dengan demikian, ajaran sesat itu melepaskan pengikutnya daripada tanggungjawab agama seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.

Kerahsiaan adalah antara ciri utama yang ada pada ajaran sesat. Dalam hal ini, apabila seorang pemimpin ajaran sesat berjaya menarik pengikut ke dalam ajarannya, maka pengikutnya itu akan diminta bersumpah setia tidak akan membocorkan rahsia ajaran dan kumpulannya kepada orang lain yang sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mencari bukti pergerakan mereka.

Pada masa sama, kerajaan sewajarnya berganding bahu dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat ini.

Setakat ini, hukuman yang dikenakan iaitu denda RM5,000, penjara tiga tahun dan enam kali sebat kepada pemimpin atau pengamal ajaran sesat kurang setimpal dengan kesalahan jenayah akidah yang amat serius.

Justeru, hukuman lebih keras, di samping menggubal akta murtad amat perlu bagi membanteras gejala ajaran sesat yang semakin meruncing. Malah, enakmen antara negeri di Malaysia wajar diseragamkan bagi menghapuskan gejala ajaran sesat dari akar umbi lagi.



Prof Madya Engku Ahmad Zaki Engku Alwi ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Berita Harian Online Agama Isnin , 05 November 2012

Jaga adab hadiri majlis nikah di masjid

Minggu depan, cuti persekolahan akhir tahun akan bermula dan sudah pasti ramai ibu bapa merancang mengadakan walimatulurus anak masing-masing atau kenduri kahwin bagi meraikan pengantin baru.

Menganjurkan walimatulurus adalah sunat muakkad (sunat dituntut) sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Kata Nabi kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau hendak berkahwin, "hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”

Tujuan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin baru selain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana mendapat menantu baru.




Tukag profesion doh ko ....?

Islam mensyariatkan nikah dan ia adalah sebahagian daripada hukum Allah SWT. Allah menjadikan manusia bagi melengkapkannya dengan naluri keinginan iaitu nafsu untuk berkelamin. Tidak hairanlah Rasulullah SAW melarang orang yang menolak atau mengabaikan perkahwinan seperti sabdanya;

"Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah daripada umatku, berkahwin adalah sunnahku, kerana itu sesiapa yang mengasihaniku, maka hendaklah dia mengikut sunnahku." (Riwayat Ahmad).

Sebenarnya, terdapat hikmah besar melalui perkahwinan seperti ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud;

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Allah menciptakan untuk kamu (kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (menimbulkan kesedaran) bagi mereka yang berfikir. (Al-Rum ayat 12).



Anakanda ambo hok sulong, pah ni jadi la isteri oghang ... aamin.

Ayat berkenaan memperlihatkan wujudnya ketenteraman jiwa daripada kehendak nafsu, kecintaan dan kasih sayang yang meruntun jiwa semula jadi manusia menjadi sempurna di dunia.

Perkahwinan juga satu cara memperbaiki akhlak dan budi pekerti seperti ditegaskan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Wahai pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mampu mendapatkan mahar, maka hendaklah kamu berkahwin kerana ia dapat memejamkan mata (memandang perempuan) dan dapat menjaga kesucian diri (dari zina) dan sesiapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa, kerana puasa baginya adalah penjaga diri.



Moga diberkati dan berbahagia hendaknya, insyaallah ...

Selain itu, perkahwinan juga dapat meluas dan membesarkan keluarga sekali gus membendung lelaki melakukan seks tersembunyi (onani) kerana boleh merosakkan kesihatan, fizikal dan mental atau jasmani dan rohani.

Perkahwinan juga mengukuhkan politik yang bermaksud boleh bertambah rakyat dan kekuatan spiritual dan material.

Islam menggariskan tata tertib dan adab yang wajar dipatuhi ketika majlis akad nikah, antaranya hendaklah diumum dan dimeriahkan dengan mengundang kaum kerabat, tetangga dan sahabat handai terdekat bagi menyaksikan majlis berkenaan.

Majlis akad nikah sebaik-baiknya diadakan dalam masjid yang boleh disaksikan orang ramai, lebih lagi institusi itu adalah tempat curahan rahmat Allah dan benteng keimanan sekali gus mendapat keredaan Allah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud;

"Umumkanlah perkahwinan itu dan selenggaralah di masjid dan pukullah rebana." -(Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi).

Jemputan disunatkan menyampaikan ucapan selamat serta mendoakan kesejahteraan mempelai (suami isteri) seperti yang diajar Rasulullah sebagaimana dialunkan penyanyi kelahiran Tripoli, Labenon yang dibesarkan di Sweden, Maher Zain, Baraka Allahu Lakuma.

"Barakallahulaka, wabarakaalaika, wajama'a bainakuma pilkhair"

Yang bermaksud: Semoga Allah memberkati anda, menjadikan hidup berkat, dan Allah menyatukan anda berdua dalam kebajikan.

Dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita membezakan antara adat dan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syarak.

Ketika masuk ke rumah Allah, tunaikanlah solat Tahiyatul Masjid dua rakaat. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud;

"Apabila seseorang kamu ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia solat dua rakaat." (Muttapaqun alai).

Selain itu, jagalah kebersihan masjid, mengotorkan masjid hukumnya haram, tidak bersembang perkara di luar kesopanan, duduk berasingan antara pengiring pengantin lelaki dan perempuan manakala ibu bapa dan penjaga kanak-kanak mengawal anak masing-masing.

Pengiring perempuan pula hendaklah memakai pakaian sopan sesuai sebagai tetamu Allah. Sewajarnya memakai pakaian menutup aurat manakala pengiring lelaki elakkan memakai seluar terkoyak di lutut atau sengaja dikoyakkan di samping memakai baju T yang tidak senonoh.


Kenal dop hok pakai 3/4 dang singlet dukong anok tuh ?

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib kecuali ada sesuatu keuzuran disebabkan sakit atau sebagainya. Rasulullah SAW bersabda, bermaksud;

"Apabila kamu diundang untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu hadiri". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

P.S. Nak tengok album masuk sini ... Album 

Zabidi Hitam | bidihitam@bharian.com.my Berita Harian Online Agama Isnin , 05 November 2012