November 6th, 2012

Kerana hutang, syurga terhalang

ADIK saya pernah meminjam wang kepada saya. Sebagai abang, tentu sahaja saya memberikan pinjaman kepadanya. Namun yang jadi masalah: Dia sangat liat membayar kembali hutang itu. Puas saya menunggu dan merayu, tapi dia tak memberinya juga.

Masalahnya dia bukannya tidak mampu membayar. Saya lihat pakaian anak dan isterinya berjenama. Baju dan kasut mereka, bahkan lebih mahal daripada yang dipakai anak-anak saya sendiri. Dia pernah berkata: "Awak dah kaya. Saya tak wajib bayar hutang kepada awak." Betulkah ucapan sebegini?

Jawapan

Ucapan seperti ini tentu sahaja tidak benar. Hutang seberapa kecil pun tetap wajib dibayar meskipun pemilik hutang itu seorang jutawan yang kaya raya.

Sebagai agama yang menjunjung keadilan, Islam sangat menghormati hak milik seseorang. Ia melihatnya sebagai sesuatu yang suci. Tiada siapa yang boleh mengambil milik orang lain tanpa kerelaan hati daripadanya.

Daripada Abu Humaid Al-Saidi, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seseorang mengambil walau sebatang tongkat milik saudaranya tanpa kerelaan hati daripadanya." Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih-nya.

Islam juga melihat sikap enggan membayar hutang adalah satu bentuk kezaliman. Pelakunya sangat dibenci oleh Allah, Rasulullah SAW dan seluruh manusia.

Baginda SAW bersabda: Menangguh hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman. Maka halal menghukumnya dan (memburukkan) namanya. (riwayat Al-Bukhari)

Maksud hadis ini, kita boleh mengadukan orang yang enggan membayar hutang kepada hakim untuk diambil tindakan ke atasnya. Dan mendedahkan sifat buruk orang ini bukan termasuk mengumpat yang diharamkan.

Bahaya hutang

Islam melihat hutang sebagai sesuatu yang berat. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk menghindari hutang sedaya mungkin. Jangan berhutang kecuali sangat terpaksa seperti membeli rumah yang sukar dibayar secara tunai. Itu pun mesti bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak berlebihan.

Adapun berhutang hanya untuk tampil bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka kebiasaan ini sangat buruk. Islam menyebut sikap ini sebagai takalluf (memaksa diri di luar kemampuan). Dan orang yang takalluf akan selalu hidup dalam seksaan.

Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. Setiap kali keluar rumah, kita khuatir berjumpa dengan penagih hutang. Kita juga takut menjawab panggilan telefon. Khuatir panggilan itu berasal dari si penagih hutang. Sungguh penat hidup seperti ini.

Itu sebabnya Nabi SAW selalu berdoa agar dihindarkan daripada hutang. Siti Aisyah berkata: "Doa yang selalu dibaca Nabi SAW dalam solat adalah: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang."

Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan selalu berlindung daripada hutang?"

Baginda menjawab: Sesungguhnya orang berhutang jika ia berkata, ia akan berdusta. Dan jika ia berjanji, ia tidak menepati janjinya. (riwayat al-Bukhari)



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 6 November 2012 

Menjejak berkat Nabi Ibrahim

REPUBLIK Turki adalah sebuah destinasi wajib, khususnya bagi mereka yang memang kaki melancong, selain diakui terkenal dengan sejarah keagungan empayar Islam Uthmaniah serta kesan-kesan sejarah empayar kerajaan Byzantine, Hittite, Assyria dan juga kerajaan Troy sering menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Negara itu juga pernah menjadi sebahagian jajahan takluk Iskandar Zulkarnain. Begitu juga, kota penuh bersejarah yang diasaskan oleh kerajaan Byzantine iaitu Kota Istanbul telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1985 yang menawarkan pelbagai kesan peninggalan zaman keagungan Islam di Eropah dan masih dapat dilihat sehingga ke hari ini, secara tidak langsung menjadikan ia lokasi yang mesti dilawati dalam peta pelancongan dunia.

Malah ia juga adalah antara negara yang banyak menyimpan sejarah tamadun Mesopotamia. Sebahagian besar penemuan bersejarah tamadun ini berada di wilayah Anatolia.




Bagi dunia Islam, Turki memiliki peninggalan sejarah berharga, terutamanya yang membabitkan sejarah perjuangan beberapa nabi dan rasul.

Urfa terkenal sebagai kota para Nabi. Di sini terdapat makam Nabi Ilyasa' dan Nabi Ayob serta perkampungan baginda. Di Sanli Urfa pula, terdapatnya Masjid Khalilul Rahman (Masjid Nabi Ibrahim as) dan kolam ikannya.

Masjid yang mempunyai kolam yang merupakan tempat pembakaran Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud. Dikatakan arang-arang daripada pembakaran tersebut telah bertukar menjadi ikan-ikan yang hidup dalam kolam tersebut.

Kolam itu terkenal dengan nama Balikli Gol yang telah dibina pada zaman Dinasti Ayyubid dan dikelilingi taman rekaan arkitek bernama, Merih Karaaslan. Bersebelahan dengan kompleks Balikli Gol pula terdapat pula gua tempat kelahiran Nabi Ibrahim as dan Masjid Jamek Rizvaniye.

Ini baru sebahagian lokasi-lokasi yang terkandung dalam pakej Eksplorasi Turki Timur dan Barat kendalian Speed Travel & Tours Sdn. Bhd., sebuah syarikat pelancongan yang telah ditubuhkan lebih 20 tahun lalu dan beribu pejabat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tawaran pakej hebat dan menarik ini direncanakan pada 24 November hingga 4 Disember ini pada harga RM7,250 (dewasa), RM7,150 (warga emas) dan RM5,880 (kanak-kanak antara usia 11 hingga 3 tahun).

Uniknya lagi, pengembaraan ini turut disertai juara Imam Muda musim pertama iaitu Imam Muda Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan, merangkap ikon bagi syarikat tersebut.

Pengarah (Penjualan dan Pemasaran) Safirgotravel.com, Muhamad Abd. Latif @ Ahmad Jazree Jazran dalam sidang media pelancaran pakej itu berkata, destinasi yang dipilih itu agak berbeza dengan yang dikendalikan oleh syarikat pengendali pelancongan yang lain.

"Jika dilihat pada harganya sahaja, ia adalah jauh lebih murah memandangkan terdapat satu penerbangan domestik dari Sanli Urfa ke Istanbul serta pakej ini merangkumi tiket penerbangan pergi dan balik Qatar Airways, cukai lapangan terbang, penginapan di hotel empat bintang, makan tengah hari dan malam, bayaran masuk ke tempat lawatan, pengangkutan, tip pemandu pelancong, beg kembara dan air mineral.

"Tempat-tempat yang terkandung dalam pakej ini juga jarang dikunjungi oleh rakyat Malaysia, terutamanya dalam menjejaki berkat Nabi Ibrahim as di Mesopatamia seperti; ke Sanli Urfa, tempat lahir Nabi Ibrahim, Empangan Antartuk yang merupakan ketiga terbesar di dunia, Harran iaitu kawasan di mana Nabi Ibrahim dibesarkan dan perkampungan Nabi Ayob dan Nabi Ilyasa' serta banyak lagi.

"Tidak sah ke Turki jika tidak dibawa ke satu-satunya kota di dunia yang terletak di benua Asia dan Eropah iaitu Istanbul. Kemudian ke Masjid Biru, menziarahi Makam Sultan Muhammad al-Fatih, Hagia Sophia, Muzium Topkapi, Cannakale, Troy, Coppadocia, Kusadasi, Pargamon, Izmir, Ephesus, Pumakkale, Konya dan melayari Bhosporus serta aktiviti wajib bagi setiap pelancong iaitu membeli-belah di kota Istanbul," terang Muhamad Abd. Latif.

Malah katanya lagi, semua tempat-tempat dilawati itu mempunyai sejarah dan keunikannya yang tersendiri serta ada lokasi-lokasi itu ialah satu-satunya yang wujud di dunia. Di samping, peserta berpeluang menaiki belon panas bagi menikmati keindahan landskap semula jadi dan unik di Cappadocia.

Bagi anda yang berminat boleh menghubungi talian 03-8920 4090, 017-259 1932 atau layari laman web di alamat www.safirgotravel.com

Sementara itu, Imam Muda Muhammad Asyraf mengakui pakej Eksplorasi Turki Timur dan Barat itui merupakan destinasi keempat beliau dengan Speed Travel & Tours Sdn. Bhd. Sebelum ini beliau ada mengikuti pakej kembara ke Uzbekistan, India dan Baitulmaqdis.

"Alhamdulillah, menerusi pakej-pakej yang sebelum ini cabaran dan keseronokannya itu sama banyak. Di samping itu juga ia merupakan satu peluang untuk kita menambah pengalaman diri. Ini kerana ada ketikanya, saya sendiri bersama-sama peserta rombongan belajar sesuatu ilmu yang baru.

"Untuk kali ini, saya rasa tempat-tempatnya itu lebih mengujakan. Ini tidaklah bermakna, destinasi yang dilawati sebelum ini tidak menarik tetapi setiap tempat itu ada keunikan dan cerita serta sejarahnya yang tersendiri.

"Saya bersyukur masih setia dengan Muhamad mungkin kerana ukhuwah yang sudah terjalin sekian lama, keserasian, saling memahami serta cara pengendalian syarikat ini yang profesional mungkin disebabkan mereka sudah berpengalaman luas, menyebabkan saya masih terus setia," ujar Muhammad Asyraf yang tidak lekang dengan senyuman pada petang itu.



ZUARIDA MOHYIN Utusan Malaysia Online Bicara Agama Online 6 November 2012 

Bangsa tanpa negara

BANGSA keturunan Indo-Eropah yang menduduki wilayah Kurdistan (tanah orang Kurdi) disebut suku Kurdi. Wilayah yang sebahagian besar terdiri dari kawasan pergunungan itu kini meliputi bahagian utara Iraq, bahagian timur Turki, bahagian barat daya Iran dan sebahagian kecil Syria.

Ada juga orang Kurdi yang mendiami wilayah Kaukasus. Jumlah mereka dianggarkan sekitar 15 juta orang. Bahasa Kurdi hampir sama dengan bahasa Parsi, walaupun asal-usul bangsa mereka tidak diketahui secara pasti.

Sebahagian besar orang Kurdi sudah memeluk agama Islam sejak abad ke-7. Meskipun telah lama berusaha mendapatkan kemerdekaan, hingga kini bangsa Kurdi masih belum mempunyai negara sendiri.




Wilayah Kurdistan sebahagian besar terdiri dari kawasan pergunungan.

Kurdistan Raya

Kurdi ialah sebuah bangsa tanpa negara. Orang Kurdi telah berusaha berkali-kali untuk mencapai kemerdekaan dan membentuk negara sendiri, namun hingga kini usaha itu belum berjaya.

Akhirnya, sejumlah orang Kurdi mula meninggalkan cita-cita mereka dan menubuhkan sebuah Kurdistan Raya kerana mereka terus mengalami kegagalan.

Mereka mula bersikap realistik dan menerima tawaran pemberian autonomi dari negara tempat tinggal mereka dan mula menyesuaikan diri serta berintegrasi dengan negara baru mereka itu.

http://www.shalomjerusalem.com/kurdistan/kurdistan.gif

Cara hidup

Sejak zaman prasejarah, orang Kurdi menjalankan kegiatan pemburuan di wilayah pergunungan yang dikuasai mereka. Kini, masih ada beberapa suku Kurdi yang mempertahankan cara hidup berpindah-randah, sementara yang lain sudah mula duduk tetap.

Mereka yang menetap di kawasan tertentu hidup bertani, manakala yang lainnya mencari bahan makanan di pergunungan pada musim panas dan kembali ke kampung mereka di lembah pada musim dingin.

Agama

Sebahagian besar orang Kurdi memeluk agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebahagian mereka adalah pengikut Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiah, yang mula berpengaruh kuat di wilayah Kurdistan sejak abad ke-19. Sementara itu, orang Kurdi yang tinggal di sebelah selatan Iran dan tenggara Iraq menganut Islam Syiah. Yang selebihnya, iaitu sebahagian kecil orang Kurdi merupakan penganut agama Kristian, Ortodoks dan Yahudi.

Syeikh Ibrahim

Banyak tokoh terkenal bangsa Kurdi yang berperanan besar dalam Islam. Salahuddin Yusuf al-Ayyubi, panglima Islam terkenal dalam Perang Salib, ialah orang Kurdi, Jaa'far bin Hasan bin Abdul Karim (1690-1766), penulis kitab 'Iqd al-Jawahir (Rantai Permata) atau Barzanji.

Selain itu, banyak ulama yang berasal dari Kurdi menjadi ulama di Tanah Suci Mekah, seperti Syeikh Ibrahim (1615-1690) yang pernah menjadi guru kepada beberapa ulama dari Asia Tenggara.




Utusan Malaysia Online Bicara Agama 6 November 2012  

Sedekah cendekiawan Muslim

Karya intelek angkat pembangunan ummah dapat ganjaran hingga kiamat

Amatlah rugi bagi sesiapa yang menjalani kehidupan dunia ini tanpa memperhitungkan nasib di alam akhirat kelak. Kehidupan dunia yang dipenuhi pelbagai kenikmatan banyak menyebabkan sebahagian kita tergelincir dan jatuh ke jurang hina lagi dimurkai Allah.

Sebab itulah jika kita perhatikan dengan teliti pesanan Rasulullah SAW, perkara yang banyak dipesan ialah supaya kita tidak dikaburi oleh nikmat dunia, sebaliknya menjadikan nikmat dunia sebagai ‘talian hayat’ buat alam akhirat nanti.

Kata Rasulullah SAW, antara bekalan yang kita iringi bersama ke alam akhirat nanti ialah sedekah jariah yang dilakukan semasa hidup. Dalam Islam, skop tafsiran sedekah begitu luas kerana ia bukan setakat dalam bentuk wang ringgit semata-mata.

Malah, sumbangan fikiran dengan idea yang kreatif lagi bernas demi membina satu gagasan buat ummah juga dikira sebagai sedekah, iaitu sedekah dalam bentuk fikiran.

Justeru, ilmuwan di institut pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya melihat cetusan kajian dan idea penyelidikan yang dilakukan hanya berlegar di sekitar memenuhi kriteria kerjaya saja tetapi perlu menerapkan niat demi mengharapkan ganjaran pahala Allah atas usaha yang dilaksanakan.

Usaha merekacipta dan melakukan kaji selidik untuk manfaat manusia adalah usaha yang terpuji lagi mulia. Sesungguhnya segala sumbangan fikiran yang boleh menerbitkan satu ciptaan buat ummah umpama membina ‘saliran’ yang akan mengalirkan ganjaran pahala selagi ia dimanfaatkan.

Teladanilah sikap yang ditunjukkan saintis Islam terdahulu yang memahat sejarah keemasan di persada dunia dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dan melakukan kajian penuh inovasi. Mereka lakukan bukan atas dasar untuk mempromosikan keunggulan diri sebaliknya memberi kecemerlangan hidup buat ummah.

Contohnya, Ibnu al-Haitham yang terkenal dalam bidang matematik dan ilmu optik. Sehingga kini anak-anak kita di sekolah dan  PT masih mengaplikasikan teori serta praktikal yang diperkenalkan olehnya.

Semangat ingin menggali seberapa ilmu pengetahuan dan menghasilkan ciptaan buat kepentingan ummah tidak pernah padam dalam jiwa Ibnu Haitham. Banyak karakter peribadi beliau yang wajar kita renungi khususnya oleh cerdik pandai muslim masa kini.

Dunia Barat mengenali Ibnu Haitham dengan nama Al-Hazen dan dinobatkan sebagai Bapa Optik Moden yang dikagumi. Catatan sejarah peribadinya menjelaskan beliau begitu meminati sains sejak usia kecil dan terus terserlah potensinya dalam lapangan itu tatkala meningkat remaja.

Antara sifat yang seharusnya kita teladani daripadanya ialah sikap melakukan kerja dengan teliti dan sentiasa berhati-hati. Beliau tidak mudah berputus asa apabila menghadapi sesuatu permasalahan dalam kajiannya.

Ternyata Ibnu Haitham begitu tebal dengan penghayatan bahawa sikap putus asa bukannya satu nilai hidup bagi seseorang yang yakin pertolongan Allah. Keyakinan yang penuh terhadap pertolongan Allah membuatkan jiwa Ibnu Haitham tidak lekas mengalah berdepan kesukaran.

Malah memiliki daya juang yang utuh, beliau menekuni segala eksperimennya dengan gigih. Inilah ciri-ciri sebenar seorang cendekiawan mukmin yang seharusnya ditonjolkan.





Ibnu Haitham pernah mengatakan, “Selagi aku masih bernyawa aku akan gunakan seluruh tenaga dan kekuatan untuk melakukan kegiatan ilmiah supaya dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada insan lain yang mencari kebenaran dan aku akan terus menggilap daya fikir dalam pemikiranku serta sebagai bekalan hari tua.”

Jelas di sini Ibnu Haitham bukan seorang saintis biasa yang sekadar melakukan uji kaji dan penemuan ilmiah untuk mengangkat dirinya sebagai tokoh popular dalam ilmu pengetahuan, sebaliknya beliau ikhlas menghadiahkan sumbangan demi kebaikan ummah dan manusia seluruhnya.

Memang terbukti apa yang beliau hasratkan itu tercapai kini kerana karya dan ciptaannya masih dianggap sebagai perintis kepada pelbagai ilmu sains khususnya dalam bidang optik.

Rasulullah SAW juga ada mengatakan ilmu yang bermanfaat dan dapat dirasai manfaatnya oleh orang lain adalah ‘saliran’ ganjaran pahala di akhirat nanti. Justeru, apa yang dilakukan oleh Ibnu Haitham itu tadi suatu contoh yang sewajarnya diteruskan saintis Muslim masa kini.

Kita tidak boleh membiarkan catatan indah sejarah pencapaian saintis Muslim terdahulu hanya sebagai bahan koleksi untuk digalerikan saja. Cendekiawan Muslim perlu terus menghidupkan budaya melakukan kajian dan menghasilkan inovasi berimpak tinggi untuk dimanfaatkan manusia sejagat.

Seorang lagi tokoh sains Muslim yang meninggalkan sumbangan besar terhadap dunia ilmu pengetahuan khususnya kepada umat Islam, ialah Badiuzaman Said Nursi, seorang Muslim berbangsa Kurdis.

Antara sumbangan penuh makna beliau hingga kini diiktiraf sebagai pembangkit semangat motivasi buat cendekiawan Muslim terus menggarap kajian sains yang berpaksikan kepada kebenaran agama.

Beliau seorang ulama yang sekali gus menjadi pemikir dengan langkah berani melakukan kajian mendalam terhadap pemahaman masyarakat terhadap penghayatan agama dan ilmu pengetahuan.

Cetusan hatinya yang berkobar untuk menyelongkar segala ilmu dan membuat analisis terperinci timbul semasa beliau menatap satu paparan akhbar yang memetik ucapan kontroversi Menteri Tanah Jajahan British, William Ewart Glastone yang mengatakan: “Selagi al-Quran berada di tangan-tangan orang Islam, selagi itulah kita tidak akan mampu menguasai mereka. Oleh itu, kita mesti jauhkan al-Quran daripada mereka.”

Kata-kata ini direnungi dengan mata hatinya lantas berbisik naluri untuk membuat sesuatu demi menyelamatkan ummah. Hasilnya, atas usaha penuh komitmen, beliau berjaya menghasilkan karya agungnya, Rasail an-Nur yang memperincikan mengenai keimanan dan kehidupan beragama.

Karya itu turut terangkum sama segala paparan berkenaan kajian sains. Ini bermakna beliau mampu mengharmonikan sains dengan kehendak agama supaya tidak terpisah. Karyanya itu menjadi pencetus kepada Harun Yahya yang mengetengahkan karya sains tanpa memisahkan unsur agama.

Jelaslah di sini bahawa cendekiawan perlu menjadikan kebestarian akal dan daya intelek mereka untuk mengangkat kemajuan ummah dan menjadikan usaha itu sebagai sumbangan sedekah amal jariah buat ummah dan manusia lain amnya.



Mohd Rizal Azman Rifin Berita Harian Online Agama Selasa , 06 November 2012

Berlapang dada terima teguran

Golongan miliki sifat rendah diri lebih mudah dengar nasihat

Tegur menegur adalah amalan baik dan digalakkan agama. Namun, kaedah dan caranya yang perlu diberi perhatian supaya teguran tidak bertukar menjadi permusuhan yang berakhir dengan pertelingkahan.

Apa yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab boleh dijadikan panduan. Suatu hari, seorang peminum arak menegur sesuatu kepada Saidina Umar dan khalifah dengan berlapang dada menerima teguran itu.

Orang yang melihat keadaan itu berasa pelik dan hairan lalu bertanya kepada Khalifah: “Wahai Amirul Mukminin, kenapakah tuan menerima teguran dia, sedangkan dia peminum arak? Saidina Umar menjawab: Ya, dia berdosa kerana meminum arak tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”

Ada orang sensitif apabila ditegur tetapi ada juga yang berterima kasih kerana ada orang sudi memperbetulkan kesilapan. Oleh itu, seboleh-bolehnya apabila kita ingin menegur hendaklah mengelak daripada menegur secara menyindir dan sinis supaya pihak yang ditegur tidak terluka.

Hakikatnya, ada yang tidak suka kepada teguran kerana dalam diri manusia itu memiliki benih kesombongan dan keangkuhan. Biasanya manusia yang merendah diri dan mengakui kelemahan diri lebih mudah menerima teguran.

Allah berfirman: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun teguran itu ada asas kebenarannya. Semua pihak hendaklah berlapang dada untuk menerima teguran hatta mereka ini tergolong dalam golongan ulama dan ilmuwan agama yang dihormati masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah SWT dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama lain dan mengasihi saudaranya (yang memerlukan).” (Riwayat al-Dailami)

Hakikatnya, Islam memberi panduan jelas untuk memberi teguran dan sikap yang sepatutnya dipamerkan apabila ditegur. Kita tidak seharusnya melatah apatah lagi bertindak balas secara emosional hingga sanggup menyerang melalui kata-kata.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran iaitu pertama, tidak bersifat merendah-rendahkan seseorang yang ditegur. Kedua, mencari situasi yang sesuai dan ketiga, memahami kedudukan orang yang ditegur.

Kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik akhirnya menyebabkan hilang kawalan emosi boleh membawa kepada berlakunya pertikaman lidah. Jika tidak kena gaya, boleh mendorong ke arah bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Begitu juga dengan pujian, elakkan daripada memuji terlebih. Imam al-Ghazali dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din menyatakan enam  bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus kepada dusta, memuji dengan berpura-pura dan menyatakan sesuatu untuk menggembirakan orang yang dipuji tanpa berniat membetulkan kesilapan dibuat.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong dan bangga diri, kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati. Keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah bekerja kuat untuk mencapai maksud serta tujuan.

Apa juga yang kita lakukan berkaitan lidah, harus berhati-hati tidak kiralah sama ada ia teguran atau pujian kerana setiap yang diperkatakan akan dihitung di akhirat kelak.



Amran Zakaria Berita Harian Online Agama 6 November 2012