November 14th, 2012

Memanfaatkan tekanan

SETIAP manusia akan mengalami stres atau tekanan kerana mungkin disebabkan, sama ada oleh masalah kerja, faktor kewangan, keluarga dan sebagainya. Ekoran tekanan tersebut telah mengakibatkan individu berkenaan menghadapi masalah jiwa sehingga menyebabkan terdapat antara mereka melakukan perbuatan di luar jangkaan, contohnya membunuh diri.

Maka timbul persoalan, adakah mereka gagal menangani masalah itu kerana kurangnya ilmu pengetahuan menangani tekanan? Atau mungkin disebabkan oleh kurang didikan agama?

Persoalannya dapat dirungkai sekiranya masyarakat mengetahui punca dan cara menangani tekanan. Bagi menjawab isu tersebut, Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi Pusat Perundingan Dan Latihan mengadakan 'Bengkel Menangani Stres: Kelebihan Di Sebalik Tekanan' yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.

Program dua hari itu telah memanggil beberapa pensyarah dan pakar untuk membentangkan kertas kerja dan tips kepada para peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor kerajaan mahupun swasta atau individu perseorangan.

Menurut seorang pakar endokrinologi dari Kanada, Hans Selye, stres adalah tekanan daripada reaksi tubuh badan yang tidak menentu terhadap sesuatu keadaan yang dihadapi. Dalam erti kata lain, reaksi tubuh badan terhadap rangsangan yang tidak menyenangkan atau menggerunkan.

Oleh demikian, Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Khairul Azhar Idris merumuskan definisi tekanan adalah tindakan dalam bentuk reaksi tubuh badan terhadap perubahan yang tidak dijangka berlaku dalam diri dan kehidupan seseorang individu.

Khairul Azhar berkata, reaksi tekanan berlaku apabila seseorang menilai perubahan yang berlaku sebagai negatif, tidak menyenangkan, menakutkan, menggerunkan atau melampaui keupayaan dirinya untuk menghadapi secara sendirian.

Keupayaan mengadaptasi

Beliau menjelaskan, model konsep tekanan iaitu bermula daripada pemikiran negatif sehingga menyebabkan wujud emosi negatif yang bertindak balas dengan otak manusia.

Dalam kertas kerjanya itu juga, beliau membahagikan tekanan kepada dua iaitu eustress dan distress. Jelas beliau, Hans Selye menjelaskan bahawa eustress adalah tekanan yang baik yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu lebih baik. Tekanan ini diadaptasi dengan baik oleh tubuh sebagai suatu respons yang normal.

Sebaliknya menurut Khairul Azhar, distress adalah tekanan yang negatif sehingga menyebabkan manusia tidak tenteram dan resah gelisah. Perkara ini berpunca daripada respons yang tidak baik.

"Apabila berhadapan dengan tekanan, manusia akan mengalami perubahan dalam sistem hormon tubuh badan, sistem imunisasi, perubatan aliran darah dan oksigen, perpeluhan, penghadaman, pernafasan, perkumuhan dan sebagainya.

"Maka tindak balas fizikal terjadi seperti rasa kesakitan, kebas anggota anggota badan dan perubahan suhu. Selain itu, berlaku perubahan psikologi terhadap mental, emosi dan tingkahlaku serta pergaulan sosial," jelas beliau menerusi kertas kerjanya bertajuk, Meneroka Tekanan.

Dalam pada itu, Khairul Azhar menjelaskan atas faktor situasi berbeza, tekanan terpisah kepada beberapa kategori iaitu tekanan jangkaan, tekanan semasa, tekanan kronik dan tekanan lampau.

Punca dan kesan

Beliau memberikan beberapa punca tekanan iaitu, yang pertama adalah faktor pendorong iaitu biologi, kemalangan atau trauma, komplikasi pencemaran, personaliti dan lain-lain.

Keduanya, faktor pencetus dengan kewujudan persekitaran tidak baik, pemakanan, pengalaman dan sebagainya. Seterusnya adalah faktor pengekal yang berisiko berupaya mengekal dan meningkatkan lagi tahap tekanan sedia ada oleh masalah dihadapi kini.

"Kesan tekanan berupaya menjejaskan fungsi keseluruhan atau sebahagian kehidupan seseorang individu dengan kesan terhadap mental, emosi, tingkahlaku, fizikal dan sosial. Daripada segi emosi, pelaku akan menjadi penakut, mudah cemas, gentar, gelisah, murung, gemuruh, hilang sabar, pemarah dan rasa tidak selamat," kata Khairul Azhar.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/11/2012 

Nafkah isteri

DUA minggu lalu saya menulis mengenai nafkah isteri dan kewajipan suami membiayai isteri dan anak-anak. Isu ini penting dibincangkan kerana hari ini kebanyakan wanita bekerja dan membantu meringankan beban kewangan rumah tangga. Dahulu, bapa atau suamilah ketua keluarga yang menjadi orang utama yang membawa rezeki ke rumah.

Ketika itu. banyak juga ibu-ibu kita bekerja di sawah, menoreh getah, menjaga anak orang, menjual kuih, mencuci baju di rumah orang dan sebagainya.

Mungkin kerana semua kerja itu dibuat dalam keadaan yang tidak formal dan tidak memerlukan sijil, maka ramai menganggap ia bukan suatu pekerjaan.

Hari ini wanita berkelulusan tinggi dan menjawat jawatan tinggi serta bergaji besar. Kebanyakan anak perempuan juga menyara keluarga. Tanggungjawab yang dahulunya hanya diserahkan kepada anak lelaki. Malahan banyak juga suami yang memilih untuk menjadi 'suri rumah'.

Dalam situasi yang telah banyak berubah ini, siapakah yang wajib menanggung dan kenapa?


Nafkah itu wajib ke atas suami walaupun isterinya bekerja. - Gambar hiasan

Seperti yang telah saya tulis dalam artikel lalu, tugas dan tanggungjawab menyara isteri jatuh ke bahu suami seperti yang telah disebut dalam al-Quran. (rujuk al-Talaq: 7, al-Baqarah: 233 dan al-Talaq: 6)

Oleh kerana pada zaman dahulu wanita tidak bekerja (dalam bentuk kerja formal), maka isu nafkah isteri bekerja tidak timbul.

Mazhab-mazhab lain selain Hanafi tidak menyebut secara jelas tentang hak nafkah seorang isteri yang bekerja. Hukum nafkah isteri yang bekerja boleh dirumuskan berdasarkan, sama ada isteri taat atau nusyuz kerana seorang isteri perlu meminta izin daripada suami terlebih dahulu dalam segala urusan.

Ulama Maliki dalam sharh al-Sawi menyebut, antara syarat nafkah adalah isteri tidak nusyuz. Sekiranya isteri menahan diri dan suami tidak boleh berseronok dengan isteri, hak nafkah digugurkan.

Ulama Shafi'i pula menyebut, nafkah wajib bagi isteri dengan akad perkahwinan yang sah dan kemungkinan untuk berseronok pada bila-bila masa.

Disebut dalam al-Muhadhdhab, isteri merdeka yang menyerahkan diri untuk suaminya pada waktu malam sahaja tidak berhak ke atas nafkah, kerana penyerahan itu tidak sempurna. Ulama Hanbali menyebut dalam al-Mughni, sekiranya isteri keluar rumah tanpa izin suami, maka gugur haknya ke atas nafkah.

Berdasarkan pendapat-pendapat fuqaha di atas, 'Abd Fatah Amru, seorang ulama kontemporari merumuskan, isteri yang bekerja tidak berhak ke atas nafkah sekiranya suami menghalangnya daripada bekerja.

Ketika mereka berkahwin dan isteri adalah seorang yang bekerja, maka suami berhak menyuruhnya berhenti kerja. Jika si isteri tidak berhenti, maka dianggap nusyuz dan gugur nafkahnya.

Bermakna juga, seseorang isteri yang bekerja pada waktu siang hari dan suami meredainya dan tidak menghalang isterinya bekerja, maka hak nafkah tidak gugur dan wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Walau bagaimanapun, sekiranya suami tidak meredai pekerjaan tersebut dan menegah isteri daripada keluar bekerja dari awal perkahwinan mereka, maka suami tidak wajib menyara isterinya jika isteri tetap keluar bekerja.

Sekiranya suami membenarkan isterinya bekerja pada permulaan perkahwinan, kemudian menyuruhnya berhenti kerja, maka isteri wajib berhenti kerja. Kalau isteri tidak berhenti, maka suami tidak wajib membayar nafkah kerana isteri nusyuz.

Muhammad Mustafa Shalabi dalam bukunya Zakiy al-Din Sha'ban menambah, sekiranya isteri bekerja di rumah seperti menjahit, mengarang buku dan sebagainya yang tidak mengganggu menunaikan tanggungjawab perkahwinan, maka haknya terhadap nafkah tidak gugur.

Pendapatan

Jika dilihat daripada pandangan ini, jelas, tiada hujah yang bertepatan dengan zaman ini kerana situasi yang berbeza.

Hari ini jarang sekali seorang wanita itu tidak bekerja sebelum dia berkahwin. Kebanyakan suami, sebelum dia mengahwini isterinya, mengetahui bahawa isterinya bekerja dan menyara keluarga.

Bukan itu sahaja, banyak isteri mempunyai pendapatan lebih tinggi dan isterilah yang menjadi penyara dalam rumah tangga.

Dalam keadaan seperti ini, apakah hukumnya? Di Mesir, sekiranya pada masa perkahwinan mereka, isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak menghalangnya daripada bekerja, nafkah tidak gugur kerana beliau juga tetap melangsungkan perkahwinan walaupun tahu bahawa isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak pula mensyaratkan isteri supaya berhenti kerja ketika berkahwin.

Jika situasi di Mesir ini diguna pakai di Malaysia, maka wanita yang bekerjaya dan menjana pendapatan keluarga perlu jelas tentang kedudukannya apabila dia berkahwin.

Oleh kerana hukum nafkah itu wajib ke atas suami dan bersyarat, maka isteri yang bekerja perlu jelas tentang kedudukan itu. Tambahan pula nafkah bergantung kepada kemampuan suami.

Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita yang bekerja, perlu tahu bahawa dia tetap wajib memberi isterinya 'makan, minum, tempat tinggal dan kemudahan asas' yang biasa diberikan kepada seorang isteri mengikut kemampuannya.

Mazhab Shafi'i dan satu pandangan dalam mazhab Hanafi mengatakan bahawa kadar nafkah adalah berdasarkan kepada keadaan suami. Sekiranya suami seorang yang miskin, maka nafkah adalah mengikut kemampuannya walaupun isteri adalah seorang yang kaya. Ini berdasarkan surah al-Talaq ayat tujuh.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: "Berbelanjalah makanan (para isteri) daripada apa yang kamu makan dan berilah pakaian mereka daripada jenis yang kamu pakai. Jangan kamu pukul mereka dan jangan kamu memburuk-burukkan mereka."

Oleh itu, suami walau apa kedudukan kewangannya, wajib membayar nafkah kepada isterinya mengikut kemampuan walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi.

Bagi pasangan yang ingin berkahwin, isu nafkah dan kewangan keluarga perlu dibincangkan semasa hendak melangsungkan perkahwinan. Saya dapati daripada kajian, ini adalah antara sebab perceraian kerana suami tidak tahu tanggungjawab dan isteri tidak tahu haknya.

Bakal suami, semasa hendak berkahwin, kira pendapatan anda. Mampukah anda memiliki seorang wanita, menyara isteri dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut dengan gaji anda.

Isteri pula, semasa hendak berkahwin, demi cinta sanggup berkorban apa saja. Anak-anak gadis berpendapatan tinggi sanggup mendahulukan wang hantaran dan belanja kahwin asalkan perkahwinan dapat dilangsungkan dengan lelaki pilihan hati.

Jika masa hendak berkahwin sudah sedia berkorban, maka anda akan terkorban dalam sebuah perkahwinan yang tidak seimbang atau sekufu.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/11/2012

Memupuk sifat tawaduk

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya. Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah SWT sebagai ujian kepada manusia.

Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga Allah melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Isra': 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan Allah tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah.


Sumber: http://islam.dunyahalal.com/islam_dunyahalal_com/media/Image/bgkak-n-sombong.jpg

Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh olehnya itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah Azzawajalla berfirman, Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyeksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah SWT. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan terbongkok-bongkok seolah-olah orang sakit seperti yang banyak dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat seperti Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh, tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah SWT sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18 Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.


WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.  Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/12/2012

Sekolah integrasi pertama Kemboja

JIKA di Malaysia, sekolah berstatus integrasi bukan suatu yang baru untuk diperkenalkan. Malah rata-rata pelajar semestinya mempunyai keinginan untuk bersekolah di sekolah tersebut.

Namun, berbeza dengan sistem pendidikan yang diamalkan di negara Kemboja. Walaupun pusat pengajian dan sekolah semakin giat dibina seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, tetapi semuanya hanya memfokuskan kepada satu aliran sahaja dalam setiap sekolah tersebut.

Dalam erti kata lain, pendidikan aliran akademik dan agama perlu diasingkan. Mengikut peruntukan pendidikan di negara itu, percampuran itu dikhuatiri boleh mengakibatkan kekeliruan dalam fikiran pelajar terhadap pelajaran yang didedahkan.

Mengambil risiko demi kelangsungan intelek pelajar masyarakat Kemboja, Koperasi Muslim Kemboja (CMC) yang dinaungi EQurban Resources Sdn. Bhd. menubuhkan Sekolah Integrasi Nurul Iman.

Sekolah yang terletak di Kompong Chroymentry Wilayah Kandal itu merupakan sekolah berstatus integrasi yang pertama ditubuhkan di negara itu.


Masjid lama terpaksa digunakan untuk menjadi kelas bagi murid lelaki disebabkan permohonan pelajar
yang semakin meningkat setiap tahun. - 
Gambar FAUZI BAHARUDIN

Pengetua Sekolah, Yusof Abdullah berkata, mencetuskan suatu pembaharuan dalam sektor pendidikan di negara itu, pihaknya berusaha untuk mempertahankan dan mengembangkan sekolah itu agar lebih membangun.

Beliau berkata, percampuran aliran itu diwujudkan bertujuan untuk memaksimumkan kebolehan pelajar dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat.

"Bagi memaksimumkan kemahiran pelajar, Sekolah Nurul Iman menyediakan peluang kepada pelajar untuk mempelajari kedua-dua aliran iaitu akademik dan agama. Pelajar bukan sahaja dapat menguasai salah satu, malah kedua-dua sekali.

"Ini adalah bertepatan dengan doa yang sering kita baca untuk mengecapi kebaikan di dunia dan akhirat. Untuk memperoleh kejayaan di dunia kita memerlukan ilmu duniawi, begitu juga untuk berjaya di akhirat memerlukan ilmu.

"Oleh itu, di sekolah ini kita mendidik pelajar supaya menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat," katanya ketika di temui baru-baru ini.

Setelah tiga tahun terbina, antara kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut ialah kelas, pejabat guru, makmal komputer, masjid dan perpustakaan.

Sekolah Integrasi Nurul Iman kini menempatkan seramai 257 murid peringkat menengah dan 150 murid peringkat rendah.

Yusof berkata, bagi membahagikan aliran persekolahan, sekolah ini akan beroperasi pada dua sesi iaitu pagi dan petang.

"Aliran agama akan diadakan pada kelas sesi pagi, manakala akademik pula pada sebelah petang. Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan dan percampuran sukatan pelajaran yang diajar dalam kalangan murid.

"Antara subjek diajar dalam pengajian agama termasuk Tauhid, Hadis, Feqah, al-Quran, Bahasa Arab, Tafsir, Nahu dan Sirah Nabi, manakala mata pelajaran bagi akademik pula seperti Bahasa Kemboja, Kimia, Riadah, Fizik, Biologi dan sastera," katanya.

Sekolah tumpuan

Walaupun penubuhan Sekolah Integrasi Nurul Iman mendapat tentangan pada awalnya daripada sesetengah pihak, kejayaan yang dibuktikan daripada para pelajar dan kesungguhan pengasas sekolah membuatkan ia semakin menjadi pilihan masyarakat.

Pegawai Ketua Operasi EQurban Resources Sdn. Bhd., Masrukhin Marzoki berkata, pihaknya kini terpaksa membuat tapisan kepada pelajar yang didapati layak bersekolah di sekolah tersebut.

"Untuk mencetuskan sesuatu yang baru bukannya suatu yang mudah. Dan pastinya ia akan mendapat tentangan daripada banyak pihak. Namun, konsisten terhadap objektif asal penubuhan sekolah, kita meneruskan juga.

"Hasilnya, setelah tiga tahun beroperasi, Sekolah Integrasi Nurul Iman mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Bilangan murid semakin bertambah setiap tahun.

"Sekolah ini bukan dibina untuk mengkhususkan pelajar pintar atau bermotifkan keuntungan, tetapi bertujuan untuk memberikan pelajaran kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan dan ditimpa nasib malang dalam kalangan penduduk Kemboja," katanya.

Tambahnya, sekolah itu juga mempunyai talian dengan beberapa universiti tempatan yang membolehkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita lebih menggalakkan pelajar sekolah supaya menyambungkan pelajaran ke universiti tempatan. Ini kerana bagi menggalakkan rakyat Kemboja dapat menyumbang kepada negara sendiri selepas tamat pengajian.

"Hakikatnya apa yang berlaku adalah, segelintir pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di luar negara tidak pulang untuk berbakti di tanah air kerana selesa berada di negara tersebut," jelasnya.

Pihak sekolah kini sedang dalam usaha meluaskan sekolah tersebut berikutan permintaan pelajar dan keperluan pendidikan yang mendesak di kawasan itu.

Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Combodian Muslim Cooperatives bernombor, 000010100874801 atau mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.cmc.org.kh.


MOHD. SHAH CHE AHMAD Gambar FAUZI BAHARUDIN (Yang mengikuti rombongan EQurban Resources Sdn. Bhd. ke Kemboja). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/11/2012

Didik anak adab makan, kepentingan solat

Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah, ‘Abdullah bin Abdul Asad, anak tiri Rasulullah SAW katanya: “Aku seorang kanak-kanak dalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan, maka Rasulullah bersabda: Wahai anak, bacalah ‘Bismillah’ (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk Rasulullah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya membaca ‘Bismillah’ ketika hendak makan, makan dengan tangan kanan dan mendahului mengambil makanan yang dekat.





Sumber: http://www.ummahcommunity.com/besmele-bismillahirrahmanirrahim.jpg



Utama peradaban semua aspek

Islam menitikberatkan peradaban dalam semua aspek dalam kalangan umat Islam termasuk adab makan dan sebagainya.

Kita berkewajipan mendidik anak mengenai adab dan akhlak Islam dengan memberi
tunjuk ajar serta teguran apabila mereka melakukan kesilapan.

Pendidik hendaklah memberi tunjuk ajar kepada generasi muda dan kanak-kanak apabila ada kesempatan yang sesuai kerana ketika itu tunjuk ajar adalah lebih berkesan.

Hadis ini juga menunjukkan kepatuhan sahabat kepada tunjuk ajar Nabi SAW sehingga kepada kanak-kanak dalam kalangan mereka.

Begitu juga dengan kepentingan solat kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa mengajar anak menunaikan solat. Didikan melalui contoh teladan adalah yang terbaik dan berkesan. Ibu bapa boleh mengajak anak menunaikan solat berjemaah sebagai cara membimbing mereka.



Sumber: http://ruangantazkirah.files.wordpress.com/2010/12/solat-jemaah2.jpg?w=614

Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya, sabda Rasulullah SAW: “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud dengan Isnad Hasan)


Sumber: Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Online Agama Rabu , 14 November 2012

Iktibar peristiwa hijrah Rasulullah

Muhasabah diri tak lakukan perbuatan bertentangan syariat

Esok, kalendar Islam akan bertukar ke tahun baru 1434 hijrah. Sambutan awal Muharam atau Maal Hijrah di Malaysia disambut pada peringkat negara dan tema kali ini ialah ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’. Hijrah bertitik tolak daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas itu. Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan Rasulullah yang sewajarnya dijadikan iktibar.

Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran atau ‘ibrah’ di sebaliknya bertujuan sebagai pengajaran serta panduan kepada umat berikutnya.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak sirah Baginda yang berlaku untuk membimbing kepada jalan kebenaran.

Maksud hijrah

Perkataan ‘hijrah’ bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman lebih kukuh dan mantap.

Setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

Antara ujian itu disebut dalam firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)

Hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri.

Ini bertepatan firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1434 ini, sewajarnya setiap kita bermuhasabah diri atau memperbetulkan amalan supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan syariat Islam agar sambutan yang diadakan lebih bermakna.

Transformasi lebih berjaya

Ini selaras persetujuan ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi adalah titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat dan menjurus seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Umat Islam di negara ini hendaklah mengambil peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk menghayati ajaran Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat hijrah kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Selain itu, semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering dibaca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.”



Sumber Rekod: http://cisdel.com/wp-content/uploads/2011/11/info-hijrah.jpg

Semoga kehadiran 1 Muharam 1434 akan membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat. Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)



Dr Burhanuddin Jalal ialah Pegawai KAGAT dan kini bertugas di Pusat Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia. Berita Harian Online Agama Rabu , 14 November 2012,