November 15th, 2012

Hijrah memperkasa fikrah dan masalah

HIJRAH Rasulullah SAW sentiasa diingat sebagai titik anjakan dalam pemikiran dan strategi umat Islam sepanjang zaman. Di samping perintah daripada Allah, ia membayangkan perancangan manusia secara strategik cuba melepasi cabaran besar dalam memperkembangkan Islam kepada perjuangan lebih besar dengan melakukan hijrah.

Dimensi ihsan dan insan

Perintah Allah kepada Rasulullah SAW supaya hijrah berlaku adalah hubungan menegak antara Allah dan pesuruhNya sementara perancangan Rasulullah SAW dan para sahabat adalah dimensi merentas menghubungkan perancangan sesama manusia dengan mengambil pertimbangan Allah.

Dimensi ihsan (hablum minallah) dan hubungan merentas (wahablum minannas) menarik untuk dijadikan ibrah atau sumber ikutan dalam melakukan sesuatu maslahah atau strategi.

Ihsan memberi fokus hubungan Allah dengan manusia dan insan berkait rapat hubungan manusia sesama manusia. Talian rohaniah yang terhubung antara manusia dan Allah ialah membangun jiwa muttaqeen. Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan "setiap ibadah yang baik dilakukan, meski kita tidak melihat Allah tetapi ahli abid tetap yakin Allah melihat kita".

Kata Pendita Zaaba dalam syairnya, " Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan".

Kebaikan yang dilakukan dan terhubung dengan Allah memperlihatkan keikhlasan yang tinggi dan barakahnya adalah hebat sekali. Kepatuhan Rasulullah SAW kepada perintah Allah berhijrah membawa makna yang besar dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah dan seterusnya ke seluruh alam ini.

Risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk insan. Insan memerlukan pedoman dan petunjuk supaya terpandu melakukan ibadah dan peranan sebagai khalifah supaya natijah akhirnya terbentuk watak insan soleh dan solehah berperanan untuk diri dan umat manusia.

Hijrah memperkasa fikrah

Suatu aspek yang sangat penting dalam episod hijrah ini ialah tercetusnya pemikiran yang lebih segar dan strategik bagaimana melepasi halangan penyebaran risalah Islam di Mekah supaya dengan melakukan hijrah ia memberi kesan terbaik kepada Islam untuk berkembang.

Merancang supaya Rasulullah SAW keluar pada waktu malam, Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Berlindung sementara di Gua Thur. Abu Bakar as-Siddiq menjadi teman setia. Terbina sarang labah-labah di permukaan. Yang bukan Islam memimpin jalan ke Madinah. Terbenamnya kaki kuda di pasir apabila mengejar Rasulullah SAW adalah gambaran eratnya hubungannya dengan peranan Allah dan perancangan insan.

Menjadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai pedoman keperluan untuk mengambil pertimbangan Allah dan perancangan manusia adalah amat penting dalam meleraikan kebuntuan dan cabaran supaya jalan keluarnya ditemui. Isu perpecahan di kalangan umat hari ini adalah contoh terbaik bagaimana semangat hijrah al Rasul ini dijadikan pedoman. Golongan kafir Mekah sentiasa mengatur strategi menyekat gerak kerja Rasulullah SAW dalam berdakwah di Madinah. Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui cita-cita kafir Quraish itu. Lalu Allah memerintahkan hijrah itu berlaku dengan perancangan bijaksana Rasulullah SAW. Di Madinah Rasulullah SAW dan rombongannya diterima dengan baik.

Strategi bijaksana dan sepadu ini membolehkan Rasulullah SAW membina pangkalan baru bagi perkembangan Islam sehingga akhirnya berlaku Futhul Makkah atau kembali semula ke Mekah untuk mengembangkan risalah Ilahiah di sana.

Hijrah adalah jalur strategi

Umat Islam di sepanjang zaman sering menghadapi masalah dan jatuh-bangun dalam binaan tamadun. Jalur strategi atau masalah adalah sesuatu yang amat penting dilakukan untuk meleraikan cabaran. Kehebatan tamadun Islam pada masa lalu terlihat kepada empat faktor. Pertama berlakunya sinergi antara ulama' dan umara'. Al Makmun, al Mansor, Harun al Rashid umpamanya menerima dukungan ulama dan menyebabkan zaman pemerintahannya terserlah.

Kedua, sifat ilmunya berkembang dan sepadu. Bermula dengan ilmu diniah yang dipelajari, berkembang ke arah takhasus atau pengkhususan dalam pelbagai bidang kepakaran. Ibn Sina, Al Biruni, Al Khuwarizmi, Abu Qasim Az Zahrawi menjadi huffaz di awal umur dan menguasai ilmu astronomi, ilmu hisab, perubatan dan ilmu bedah hingga menyebabkan tamadun lahir.

Ketiga, tradisi penyelidikan, penulisan dan kecendekiawanan yang berkembang. Ilmuan Islam pada waktu itu mampu menghasilkan ratusan karya-karya besar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ia akhirnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin, Ibrani, Hebrew dan lain menyebabkan Eropah mendapat manfaat pencerahan dari tamadun Islam dan akhirnya Eropah melalui proses reformasi dan renaissance dan menyebabkan Eropah menjadi kuasa penakluk dan tamadunnya digunakan oleh umat Islam sehingga kini.

Keempat, kesediaan Islam menerima manfaat berbanding dari tradisi, budaya dan tamadun orang lain. Sejak awal selepas Perang Badar lagi para sahabat mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya tawanan perang mengajar kepada anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis sebagai syarat pembebasan. Al Biruni menjelajah ke India dan belajar bahasa Hind untuk menyelak sumber ilmu yang terdapat di sana. Rasulullah SAW (setengah orang mengatakan ia adalah athar) menganjurkan supaya menuntut ilmu walaupun ke negara China.

Hari ini anak-anak di kalangan negara Islam dihantar belajar pelbagai bidang ilmu pengetahuan di Barat dan di Timur. Ia adalah langkah terbaik dengan syarat ilmu itu dikembalikan dalam kerangka tasawwur Islami. Islamisasi ilmu adalah suatu hijrah dalam jihad ilmu supaya ilmu-ilmu dari Barat itu dapat memberi manfaat dan tidak bercanggah dengan maqasid syariah.

Umat Islam secara strategi harus memberikan fokus kepada jihad ilmu dan pendidikan. Ilmu yang harus dikembangkan tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi harus disuburkan dalam bidang ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi.

Kecenderungan suka berbalah di kalangan ulama dan ilmuan hatta kepada hal-hal furuk atau ranting, kesukaan kepada menyalahkan orang lain tanpa memikirkan apa sumbangan yang patut diberi, sikap taksub dan tidak terbuka untuk mendengar pandangan orang lain, rasa fanatik melulu yang tinggi terhadap tokoh dan jamaah menyebabkan hijrah tidak boleh berlaku. Ia menyebabkan krisis terus terjadi, umat Islam hilang prioriti atau keutamaan dan akhirnya warga umat hilang fokus dan menyebabkan penjajahan pemikiran dari pihak lain terus terjadi.

Sifatnya adalah bijaksana

Hijrah al Rasul mengambil perspektif bijaksana dalam mengurus krisis dan cabaran. Berundurnya Rasulullah SAW bukan bermakna tewas dalam perjuangan. Berundur lima tapak ke belakang dan melonjak 10 tapak ke hadapan adalah suatu maslahah. Apabila maslahah itu mengambil pertimbangan Allah dan strategi manusia dalam melakukannya ia adalah sesuatu yang bijaksana.

Episod penghijrahan Rasulullah SAW ini perlu dikaji oleh para strategis hari ini. Pertimbangan hijrah menuntut prioriti atau keutamaan, fokus terhadap isu dan agenda, persiapan fikir dan zikir, persiapan ilmu dan keterampilan, binaan peribadi wibawa diri adalah antara prasyarat yang penting supaya idealisme dapat diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti, keupayaan membaca senario supaya ahli strategi mempunyai upaya futuristik yang tinggi.

Musuh-musuh Islam terus merancang dan umat Islam juga perlu merancang dengan keyakinan bahawa Allah bakal memenangkan perancangan mereka yang memiliki ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian. Keupayaan menyerap kesabaran adalah kunci terhadap perjuangan. Kegopohan dan suka menyalahkan orang lain adalah musuh kepada kejayaan.

Falsafah Sahifah Madinah dan Futhul Makkah

Di Madinah dengan latar masyarakat yang berbilang, Rasulullah SAW amat futuristik menyantuni kelompok Nasrani, Yahudi dan lain-lain dengan suatu ikatan Sahifah Madinah. Rasulullah SAW melakukan usaha tersebut dengan terlebih awal mengukuhkan ikatan ukhuwah antara Muhajirin dan Ansar. Asas kekuatan jamaah ini membolehkan pihak lain menghormati orang-orang Islam.

Falsafah dari Sahifah Madinah ini memberi umat terkemudian mengenai betapa pentingnya kekuatan umat terbina sebelum usaha tahalluf (kerjasama) terhadap pihak lain terjadi. Kalau usaha tahalluf ini dalam keadaan Muhajirin dan Ansar berpecah-belah tidak mungkin orang lain memiliki rasa hormat terhadap kepimpinan Rasulullah SAW.

Meski akhirnya orang Yahudi ingkar dari Shafiah ini, Rasulullah SAW tidak mengambil sikap pasif malah memerangi mereka. Hal ini amat penting direnungkan lantaran menolak tahaluf menegakkan negara Islam di Madinah tidak didekati dengan kompromi.

Hal yang sama apabila berlaku Futhul Makkah iaitu hasrat Rasulullah SAW untuk kembali ke Mekah terhalang dengan kisah Hudaibiyyah. Sekali lagi faktor maslahah terjadi walaupun pembatalan usaha itu amat tidak disenangi Saidina Omar.

Hikmah di sebalik penangguhan itu ialah penerimaan kelompok Mekah terhadap Rasulullah SAW sebagai suatu entiti yang dihormati. Ia ternyata benar apabila Rasulullah SAW melakukan Futuhul Makkah pada tahun berikutnya ia berlaku tanpa halangan. Tidak seperti dakwah awal Rasulullah SAW di Mekah sentiasa tercabar dengan ujian yang menyakitkan. Dengan kehadiran Rasulullah SAW di Mekah ia membuka lembaran baru terhadap perjuangan Islam hingga asas yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat memberi kesan yang amat hebat terhadap kelanjutan perjuangan Islam itu sendiri.




PROF DATO' DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM). Utusan Malaysia Online Rencana 14/11/2012 

Hijrah menuju kecemerlangan

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Pendekatan Hijrah telah diterjemahkan dalam melaksanakan transformasi negara demi membawa Malaysia ke suatu keadaan yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berpegang dengan definisi hijrah yang memberi maksud perpindahan atau perubahan, Malaysia telah melakukan perubahan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif," kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah beliau melalui blog www.1Malaysia.com.my, di sini hari ini.

Melafazkan rasa syukur kerana Malaysia masih dapat menyambut Maal Hijrah 1434H tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat, Najib berkata, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Berhijrah kata Najib, adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan dan ia adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa.

“Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat...mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah," katanya, merujuk ayat 218 Surah Al-Baqarah yang menyentuh konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah SWT

Najib berkata, syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat daripada kesatuan dan kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit.

Katanya, Malaysia telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah yang telah digarapkan dalam segenap perkara dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang di negara ini.

“Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan," kata Najib yang menambah bahawa konsep itu juga dapat mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Najib berkata, konsep kesederhanaan itu telah diketengahkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara.

Antaranya baru-baru ini ketika Kerajaan Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Islam Moro dan Kerajaan Filipina.

“Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka," katanya.

Selain itu Najib berkata, baru-baru ini ulama terkemuka dunia Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Gaza.

Mengakhiri perutusannya, Najib dan keluarga turut mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434 kepada semua umat Islam Malaysia dan berharap sambutan itu diraikan bersama rakan-rakan daripada pelbagai bangsa demi menjayakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’. - BERNAMA



Utusan Malaysia Online Dalam Negeri 15/11/2012 

Hijrah diterjemah laksana transformasi

Kuala Lumpur: Pendekatan Hijrah telah diterjemahkan dalam melaksanakan transformasi negara demi membawa Malaysia ke suatu keadaan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berpegang kepada definisi hijrah bermaksud perpindahan atau perubahan, Malaysia melakukan perubahan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif, kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah beliau dalam blog www.1Malaysia.com.my, di sini, semalam.

Melafazkan rasa syukur kerana Malaysia masih dapat menyambut Maal Hijrah 1434H tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat, Najib berkata, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah kali ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Berhijrah kata Najib, adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan dan ia adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa.

Kita mestilah sentiasa berhijrah bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat...mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah, katanya, merujuk ayat 218 Surah Al-Baqarah yang menyentuh konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah SWT.

Najib berkata, syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat daripada kesatuan dan kepemimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit.

Katanya, Malaysia telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah yang digarapkan dalam segenap perkara dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang di negara ini.

Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan, kata Najib yang menambah bahawa konsep itu juga dapat mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Najib berkata, konsep kesederhanaan itu telah diketengahkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara.

Antaranya, baru-baru ini, Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Islam Moro dan Kerajaan Filipina.

Kita juga mengambil pendekatan sama dalam isu keganasan etnik dan agama di Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan itu tanpa mengira latar belakang dan agama mereka, katanya.

Baru-baru ini, katanya, ulama terkemuka dunia Dr Yusuf Al-Qaradawi juga memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Gaza.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan sama menyeru Umat Islam memperbaharui azam untuk terus menempa kejayaan dan kemajuan, sekali gus bersatu menghadapi cabaran dan rintangan.

Katanya, Islam tidak menggalakkan umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang bergolek tanpa berusaha.

Ajaran Islam juga menuntut umatnya memelihara silaturrahim dan tidak melemparkan fitnah sesama sendiri atau melakukan tindakan yang akhirnya akan melemahkan umat Islam, katanya.

Najib dan Muhyiddin bersama keluarga masing-masing mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1434H kepada seluruh umat Islam.


Berita Harian Online Nasional Khamis 15 November 2012