November 16th, 2012

Peranan besar Raja-Raja Melayu

HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur-galur sejarah yang besar sehingga ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara mencapai kemerdekaan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan.

Toleransi yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka. Hakikat inilah yang menzahirkan Raja Raja Melayu 7 Wasiat Raja Raja Melayu bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Hal yang demikian menjadi benteng kepada negara daripada cubaan mengganggu gugat kedudukan istimewa Islam dan Raja Raja Melayu.

Ahli Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan dilantik atas terma rujukan untuk membuat usul bagi pembentukan kerajaan persekutuan yang kuat, mempertahan kedudukan dan keistimewaan Raja-Raja, pemilihan di kalangan Sultan-sultan sebagai Yang diPertuan Agong, kewarganegaraan yang sama bagi seluruh Persekutuan dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan hak yang sah bagi masyarakat lain.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Oleh itu sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Kekuatan Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan atau melanggar peruntukan Perlembagaan berkenaan.

Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah.

Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya, bilangan tempat ditawarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian, adalah kurang daripada bilangan calon layak mendapat tempat itu.


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 November 2012 

Budaya wasatiyyah

WASATIYYAH ialah perkataan dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan wasat dan wusta yang boleh diertikan dengan adil, terbaik, sederhana, seimbang dan pertengahan. Terdapat beberapa rujukan ayat-ayat al-Quran bagi memahami maksud wasat secara lebih jelas tentang konsep sebenar wasatiyyah. (rujuk al-Baqarah: 143)

Tafsiran kedua boleh dirujuk melalui surah al-Baqarah ayat 238). Wusta dalam konteks ayat ini menurut pandangan ulama tafsir adalah dari sudut bahawa solat Asar itu adalah terbaik dan mempunyai kelebihan, pertengahan dari segi bilangan dan waktu. Tafsiran ketiga pula ialah melalui surah al-Qalam ayat 28.

Analisis rangkuman daripada ketiga-tiga ayat di atas, bolehlah disimpulkan bahawa wasatiyyah bermaksud adil, baik, pertengahan, seimbang dan sederhana.

Dalam konteks kerajaan, penghayatan terhadap konsep ini sebenarnya bukanlah satu idea baru, malah ia adalah pelengkap dan kesinambungan kepada dasar-dasar Islam yang telah dahulu diperkenalkan seperti Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Pendekatan Islam Hadhari dan sebagainya.

Merujuk ayat 143, surah al-Baqarah yang menyebut perkataan ummatan wasata, beberapa kitab tafsir cenderung membahaskannya dari sudut pengertiannya sebagai adil, baik, pertengahan dan sederhana. Sebagai contoh, Imam Fakr al-Din al-Razi dalam kitab tafsirnya menghuraikan wasatiyyah itu daripada pelbagai dimensi.

Adil dianggap sebagai pertengahan di antara dua keadaan iaitu antara melampau dan mencuaikan. Begitu juga dianggap adil dan pertengahan sebagai pengimbang di antara dua pihak atau unsur yang bertentangan.

Penjelasan ini bertepatan dengan maksud ayat seterusnya yang menyebut agar adil itu menjadi sifat kepada umat Islam supaya layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia lain akan kebaikan Islam.

Daripada dimensi yang lain, al-Razi juga menjelaskan wasatiyyah dalam hal agama iaitu keseimbangan di antara dua keadaan terlalu ekstrem dan terlalu mencuaikan, maka kesederhanaan itu yang menjadi keutamaan.

Beliau menjelaskan bahawa umat Islam seharusnya bersederhana dan lebih seimbang dalam beragama, lantaran tidak terlalu melampau seperti contoh penganut Nasrani yang mengaitkan Nabi Isa sebagai anak Tuhan, manakala penganut Yahudi pula membunuh para nabi dan penyelewengan kitab mereka.

Berdasarkan analisis ini, penulisan ini lebih cenderung dalam mengaitkan wasatiyyah itu dengan konsep adil dan bersederhana. Pada masa sama menolak sebarang unsur kezaliman dan berlebih-lebihan.

Konsep ini apabila dipegang dan diamalkan, mampu untuk membentuk ummah yang progresif, bersatu padu dan menjunjung nilai persefahaman antara satu sama lain.

Banyak ayat-ayat al-Quran menekankan kepada konsep bersederhana dan tidak melampau dalam melakukan sesuatu pekerjaan. (rujuk Hud: 112). Ayat ini menjelaskan konsep istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perbuatan.

Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami Li Ahkam al-Quran menyatakan bahawa istiqamah dalam ayat bermaksud berterusan dalam mendirikan segala perintah Allah kepada manusia dan dalam masa yang sama, manusia diberi amaran untuk tidak bersikap melampaui batas dalam beramal. Dibimbangi akan mendatangkan kesan yang tidak baik seperti penat, jemu dan sebagainya.

Perkaitan di antara larangan melampaui ini dengan menolak kezaliman disusun cantik oleh Allah SWT dalam ayat seterusnya.

Kedua-dua ayat ini saling berkaitan antara satu sama lain kerana ia nampak sinonim dalam mengaitkan hubungan membentuk budaya bersederhana dan menjauhi kezaliman agar sentiasa berada dalam kebaikan secara berterusan.

Wasatiyyah itu dijunjung dalam kerangka menjadikan keadilan itu sebagai neraca pertimbangan kerana adil itu sendiri memberi maksud meletakkan sesuatu itu kena dan wajar pada tempatnya. (rujuk al-Maidah: 8 dan al-Nahl: 90)

Pemahaman terhadap Maqasid al-Syariah atau objektif di sebalik pensyariatan sesuatu hukum juga mesti diketahui untuk mengelakkan daripada beramal secara membuta-tuli. Kegagalan umat Islam memahami objektif syarak itulah di antara punca salah konsep dalam beramal dan mendatangkan kecelaruan kepada ummah.

Untuk menuju kepada kesederhanaan beramal, amat perlu diberi penekanan kepada kefahaman jitu di antara tuntutan fardu ain dan fardu kifayah serta antara wajib dan sunat. Kesemua konsep ini perlu difahami dan diketahui sebagai langkah awal menyusun keutamaan dalam beribadat secara konsisten dan mengelakkan beramal secara melampau.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 November 2012

Segerakan hijrah

PADA saat umat Islam masa kini berhadapan pelbagai cabaran, kita sepatutnya melengkapkan diri dengan persiapan minda dan rohani, lebih-lebih lagi ketika Islam kian dihina secara terang-terangan.

Hijrah Nabi Muhammad SAW seperti mana yang diperintahkan oleh Allah, sehingga telah berjaya mengubah keseluruhan pemikiran dan amalan masyarakat kota Mekah dan Madinah, malah telah membawa kepada kewujudan sebuah negara Islam dan seterusnya menyebarluaskan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Sebab itu pengalaman hijrah Rasulullah itu perlu dijadikan pegangan dan panduan oleh umat Islam kini biar pun pengertian hijrah kini dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut kemampuan masing-masing seperti hijrah ekonomi, hijrah sosial, hijrah politik dan sebagainya.

Bagi pendakwah bebas, Muhammad Abdullah, konsep hijrah sebenarnya adalah membetulkan pandangan dan tindakan seperti mana yang telah dilakukan oleh Rasullullah dengan menukar pemikiran dan perbuatan menyembah berhala kepada beriman kepada Allah.

Jelas beliau, perkara utama yang perlu hijrah terlebih dahulu adalah pemikiran umat Islam dan bermula daripada asas itu secara automatik akan berubah cara bertindak.

Ketika menjelaskan definisi hijrah masa kini, Muhammad berkata umat Islam perlu berhati-hati dengan dakyah anasir luar.

Katanya, jangan mudah terpengaruh dengan dakyah itu termasuk berkerjasama dengan kumpulan berlainan akidah sehingga sanggup mengetepikan perpaduan sesama Islam.

Kata perunding motivasi itu, tindakan itu tidak selari dengan ajaran al-Quran dan al-sunnah.

“Apabila hendak berubah, kita hendak berpandukan rujukan utama iaitu al-Quran dan al-sunnah serta pendapat ulama muktabar. Dalam konteks ini barulah berubah cara berfikir seterusnya tindakan.

“Sebenarnya, krisis yang berlaku pada hari ini seperti kekejaman terhadap umat Islam Rohingya, penghinaan Rasullullah di Youtube dan lain-lain lagi berpunca daripada sikap umat Islam yang masih mengekalkan pemikiran yang terbelakang," kata Muhammad ketika ditemui baru-baru ini.

Menyoroti sirah Rasullullah, Muhammad berkata, ketika permulaan hijrah wujud pertembungan antara orang miskin dalam orang Islam dengan golongan atasan yang terdiri daripada kaum musyrikin.

Kemudian Islam diterima oleh ‘orang kuat Mekah’ seperti Umar, Abdul Rahman Aus dan sebagainya, maka berlaku pertembungan sesama golongan atasan.

Ujar beliau, pada waktu itu berlaku penentangan antara keyakinan orang Islam dan nafsu dalam kalangan musyrikin dan akhirnya orang beriman memenangi pertarungan itu.

Ketika menerangkan konsep hijrah, Muhammad memberitahu, tindakan tersebut mesti bermula dengan niat seperti mana sabda Rasullullah.

“Kemudian hijrah mesti disertai dengan tindakan seterusnya istiqamah dan berdoa semoga ditetapkan iman.

“Seterusnya, kita kena bergantung kepada Allah semata-mata. Apabila berharap kepada manusia, akhirnya mereka lemah," jelas beliau.

Sehubungan itu Muhammad berharap agar umat Islam di negara ini berubah ke arah kesatuan ummah tanpa mengira fahaman dan ideologi politik, warna kulit, keturunan dan sebagainya. Katanya, apa juga perbezaan mesti ditolak demi menjaga perpaduan umat Islam yang kini kian luntur.

“Kita mesti cari titik kesamaan umat Islam iaitu akidah. Umat Islam sekarang soal remeh-temeh pun menjadi isu besar sehingga berlakunya pergaduhan khususnya di negara ini.

“Orang Melayu mesti bersatu, sebab apabila kaum ini terjaga, agama Islam akan terjaga," kata Timbalan Pengerusi 2, Yayasan al-Ijabah itu.


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 November 2012

Azam hijrah

SESUNGGUHNYA orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

Peristiwa hijrah mengingatkan kita kisah yang terjadi kepada Rasullullah SAW dan para sahabat dalam usaha menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat kota Mekah pada ketika itu. Sesiapa yang menerima Islam dengan kerelaan sendiri akan ditindas, diseksa, dicerca malah dibunuh.

Itu penderitaan dahsyat yang dialami oleh umat Islam terdahulu sehingga mereka sanggup mempertaruhkan nyawa dan harta demi agama suci tercinta walaupun pada mulanya penyampaian dakwah dilakukan secara bersembunyi.

Kerana mahu menyekat perkembangan Islam, masyarakat kafir Mekah melakukan pelbagai cara untuk menggagalkan usaha dakwah Rasulullah.

Bermula dengan pengepungan rumah Rasullullah, cubaan membunuh baginda sehinggalah peristiwa bersembunyi di Gua Thur.

Golongan musyrikin terus memburu baginda. Tidak berjaya dengan cara kasar mereka berlembut hingga terdapat kalangan bangsawan kota Mekah menawarkan harta dan wanita kepada Rasullullah tetapi ditolak bulat-bulat oleh baginda.

Maka turun wahyu menerusi ayat di atas supaya Rasullullah berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali sebagai Madinah al-Munawarah (bandar bercahaya).

Hijrah Rasulullah yang penuh liku, akhirnya diterima golongan Ansar dengan tangan terbuka. Dari situlah, sinar Islam berkembang sehingga berakhir dengan kejayaan Rasulullah membuka kota Mekah pada 630 Masihi.

Perubahan

Hijrah daripada sudut bahasa bermaksud berpindah daripada suatu tempat ke tempat lain, manakala daripada segi syarak pula melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Jika diperhatikan definisi hijrah, ia juga disamakan dengan maksud berubah atau menginsafi kesilapan lalu dan berjanji kepada diri sendiri dengan tidak mengulanginya.

Ia bertepatan dengan stigma bahawa manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.

Bertaubat terhadap kesilapan lalu adalah satu penyesalan terbaik untuk mengharapkan pengampunan dosa-dosa berkenaan diterima Allah. Selain mengimpikan pintu taubat masih terbuka dan kita sebagai manusia biasa mengharapkan peluang kedua supaya tohmahan buruk oleh masyarakat selama ini dapat dibersihkan.

Daripada dua kisah berikut, penghayatan hijrah yang dilakukan mereka wajar dicontohi oleh masyarakat dalam melakukan perubahan dalam diri masing-masing. Pengorbanan dan usaha mereka perlu diikuti dan diambil iktibar untuk tauladan pada masa akan datang.

Mati hidup semula

Kisah Jamil Ahmad, 60, kira-kira 30 tahun lalu di mana hidupnya bergelumang dengan kegiatan jenayah mungkin boleh dijadikan satu iktibar.

Bagi Jamil adalah satu kepuasan setelah anasir jahat menguasai tubuh badannya.

Ketika menceritakan pengalaman pahit itu, Jamil atau dikenali sebagai Pak Jamil dalam nada sebak apabila mengingatkan kata-kata arwah ibunya yang menasihatinya supaya menjadi ‘orang’ sekiranya ditakdirkan bebas daripada hukuman penjara seumur hidup.

Pak Jamil menceritakan, dia dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah setelah didapati bersalah atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata di Baling pada tahun 1976 ketika berumur 26 tahun.

“Saya masa itu tidak ingat langsung ayah, ibu dan keluarga mahupun soal agama, tetapi saya ingat pada waktu itu kemewahan daripada hasil rompakan dan mencuri duit orang.

“Lepas berjaya rompak orang, saya berfoya-foya dengan duit berkenaan sedangkan hakikatnya perbuatan itu adalah salah di sisi Islam dan undang-undang.

“Bapa saya seorang anggota polis dan beliau amat garang dan tegas dalam mendidik anak-anak. Bagaimanapun sejak kecil saya tidak berminat untuk belajar. Sebab itu, ketika tingkatan satu, saya mula bercampur dengan remaja liar yang melepak di tepi jalan.

“Jika di Kelantan dan Terengganu, kami berada di persisiran laut untuk menunggu nelayan balik dari laut untuk mencuri ikan. Kegiatan itu bukan dilakukan bersembunyi tetapi secara berhadapan dan hasilnya amat lumayan. Bayangkan pada waktu itu boleh dapat RM10 sudah cukup besar, jika RM50 hingga RM60 bagaimana pula," ujar ketika ditemui selepas rakaman program Selami Jiwa Bersama Dr. Fadzilah Kamsah, sebuah program terbitan Astro Oasis baru-baru ini.

Bermula daripada itu, Pak Jamil seterusnya terlibat dengan kegiatan pecah rumah dan kumpulan kongsi gelap sekitar tahun 1970 dan kemudian terbabit dengan aktiviti dadah.

“Kali terakhir sekali saya terlibat dalam aktiviti bersenjata dan perkara itu telah menyebabkan saya memasuki kancah rompak bersenjata," katanya.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pak Jamil akhirnya tumpas setelah berjaya ditangkap polis dan menerima padahnya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Tetapi bagi Pak Jamil, hukuman penjara seumur hidup itu bukan merupakan penyesalan terakhirnya kerana dia pernah ditukarkan ke beberapa penjara kerana tindakan merancang untuk menawan penjara bertujuan untuk melarikan diri. Bagaimanapun rancangan itu gagal kerana diketahui oleh pihak penjara.

Bapa kepada seorang anak itu kemudian diasingkan daripada banduan lain dengan ditempatkan di sebuah bilik tahanan.

Bermula daripada situ, pintu hatinya terbuka menerima taufik dan hidayah Allah setelah seorang pegawai agama Jabatan Penjara datang menemuinya untuk menasihati soal agama.

“Bermula di penjara, saya mempelajari al-Quran dan asas fardu ain yang sebelum ini tidak diketahui langsung.

“Bila saya renung balik, semua itu berpunca daripada tiada asas ilmu dan agama. Bila tiada kedua-duanya, kita mula terjebak dalam kegiatan tidak baik.

“Alhamdulillah, setelah berdoa kepada Allah, hajat saya untuk keluar daripada tirai-tirai besi dimakbulkan, setelah pada 3 Oktober 2006, Sultan Kedah memberi pengampunan terhadap hukuman penjara seumur hidup yang saya ingat masa itu adalah pada bulan Ramadan," jelasnya.

Selain menyesali atas kesilapan lalu, Pak Jamil turut sedih apabila tidak dapat menziarahi ibu bapanya tatkala kedua-duanya meninggal dunia.

Saat itu, dia merasakan jika tidak melakukan jenayah sudah pasti boleh menatap kedua-dua orang tuanya untuk kali terakhir.

Insaf

Peluang kedua yang dikecapi bekas banduan itu kini digunakan sebaiknya untuk menginsafi dan menyesali kesilapan lalu. Sekarang Pak Jamil telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan, Siti Napuah Ahmad, 28, dan kini mempunyai tugas besar untuk membesarkan seorang cahaya Muhammad Alif Irfan, 4.

“Saya kini aktif memberikan ceramah dan motivasi kepada anak-anak muda agar mereka tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

“Pengalaman yang ada pada saya diceritakan kepada mereka bahawa penjara bukan tempat terbaik untuk dihuni. Dunia adalah tempat untuk kita melakukan kebaikan, bukannya kejahatan," katanya.

Sebelum mengakhiri temu bual, Pak Jamil selalu mengingati kata-kata pakar motivasi, Datuk Fadilah Kamzah yang berbunyi ‘sebelum melakukan sesuatu, cermin diri dahulu dan tanya tindakan baik atau sebaliknya’.

Menurutnya, kata-kata azimat tersebut akan menjadi peringatan kepadanya daripada untuk tidak terjebak lagi dalam aktiviti jenayah pada masa akan datang.


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 November 2012

Muhasabah diri sambut 1 Hijrah

BULAN silih berganti, kini tahun baharu 1434 hijrah disambut dengan penuh kegembiraan seraya membuka lembaran baharu dalam diari kehidupan Muslim ke arah yang lebih positif lagi berkualiti.

Seyogianya berbahagialah orang yang amalannya lebih baik daripada tahun yang sudah, sebaliknya rugilah orang yang tidak berubah dan berperangai lebih buruk daripada masa lalu.

Justeru, sempena ketibaan detik 1 Hijrah ini para Muslimin diseru untuk memperbaharui niat dan komitmen untuk berubah sekali gus berhijrah ke arah yang lebih baik dalam segenap lapangan kehidupan.

Ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjaga peribadi, tutur kata dan perbuatan daripada melanggar ketetapan Ilahi. Apatah lagi dalam era teknologi di hujung jari di mana tiada yang boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga berita-berita yang baik mahupun yang buruk mudah sahaja tersebar dalam masyarakat.

Bak kata pepatah terlajak perahu boleh di undur terlajak kata badan binasa.

Ketibaan tahun hijrah yang baharu ini juga menandakan umur dunia semakin bertambah dan dalam masa yang sama usia seseorang juga bertambah setahun lagi ke hadapan. Yang pasti tiada sesiapa yang berupaya memutarkan masa untuk kembali ke belakang demi untuk memperbetulkan kesilapan silam.

Malah ramai yang alpa betapa akhir kepada kehidupan di dunia juga semakin hampir tiba dan manusia semakin dekat detik pertemuan dengan Pencipta Nya. Persoalannya adakah kita telah bersedia atau kita masih lena dibuai mimpi yang panjang yang tak berkesudahan.

Malahan terdapat umat manusia yang terkesima dengan keseronokan hidup di dunia sehingga bertuhan kepada nafsu dan keinginan syahwat semata-mata. Golongan ini terpedaya dengan nikmat yang sementara sehingga asyik dalam buaian dosa dan maksiat yang mencengkam sepanjang masa.

Mana tidaknya setelah berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menghentikan jenayah buang bayi, hari ini ia masih lagi menghiasi dada akhbar tempatan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat yang tumbuh bak cendawan selepas hujan jelas menuntut perubahan dan penghijrahan dalam konteks yang luas dan bersungguh-sungguh.

Selain itu, segelintir masyarakat menyangka tahun baru hijrah cukup diraikan dengan amalan membaca doa akhir dan awal tahun yang semarak dilakukan di sana sini, walaupun realitinya ada yang langsung tidak mempedulikan untuk membacanya.

Lebih daripada itu sebenarnya mereka lupa bahawa setiap individu perlu menilai dan memuhasabah segala perbuatan yang telah dilakukan setahun yang lalu, di samping bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatan negatif yang pernah dilakukan.

Dalam masa yang sama para Muslimin diseru berbaik sangka dan menggantungkan pengharapan yang sepenuhnya kepada Ilahi agar segala amalan setahun yang lalu diterima oleh Nya dengan sempurna.

Dalam hal ini peranan ibu bapa secara khususnya ditagih untuk membimbing anak-anak dan keluarga ke arah kebaikan terutama ketika musim cuti persekolahan.

Selain melancong dan melakukan aktiviti bersama keluarga masa yang ada elok diisi dengan mengimarahkan rumah Allah SWT menerusi aktiviti ibadah dan menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai usaha untuk membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kerosakan.

Kegagalan ibu bapa memainkan peranan itu akan memberi kesan kepada aspek-aspek yang lain. Contohnya anak-anak akan leka menonton televisyen atau bermain permainan video sehingga berjam-jam lamanya tetapi malas untuk mengerjakan solat yang wajib walaupun hanya sekadar lima minit dan sering bertangguh.

Tanpa nasihat dan tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa boleh jadi anak-anak jauh daripada petunjuk agama hingga terdedah pula melakukan aktiviti tidak bermoral yang menjadi penyakit kepada masyarakat.

Begitu pula dalam konteks ibadah dan hubungan kemasyarakatan, terdapat segelintir yang terlalu obsesif dan sibuk bekerja sehingga lupa untuk berziarah dan bertanya khabar bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Akibatnya perpaduan sesama komuniti begitu rapuh dan tiada semangat kerjasama dan tolong-menolong antara sesama mereka. Sikap tak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling juga mengeruhkan lagi hubungan ukhuwah ini. Akibatnya jenayah seperti rompakan, kehilangan malah dosa bersekedudukan dan berkhalwat berleluasa tanpa halangan.

Justeru bersyukur dan bersederhana dalam melakukan sesuatu adalah kunci kejayaan yang sebenar.

Nilai wasatiyah sebagai tonggak kesatuan ummah hendaklah dipupuk dan dipelihara agar semua anggota masyarakat mengerti dan memahami slogan itu dan tidak hanya berseronok dan beria-ia menyertai perarakan dan membawa sepanduk sempena sambutan Maal Hijrah kemudian pulang tanpa mengerti erti hijrah dan perubahan yang perlu dipraktikkan.




MOHD ALI MUHAMAD DON pengarang@utusan.com.my PENULIS Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 15 November 2012

Kekal kestabilan, pupuk keharmonian sempena Maal Hijrah

PENGHIJRAHAN Nabi Muhammad SAW ke Madinah menzahirkan kelebihan yang pelbagai dan bermanfaat untuk dihayati oleh rakyat Malaysia sama ada beragama Islam atau bukan Islam pada masa kini dalam usaha membentuk kesatuan sesama masyarakat. Intipati dalam peristiwa dilihat sebagai penyelesaian utama kepada isu pembangunan masyarakat atau ummah.

Perpaduan menurut perspektif Islam terjalin melalui dua ikatan iaitu perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara umat Islam. Perpaduan luaran adalah kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosio-politik negara demi kepentingan bersama. Manakala perpaduan dalaman adalah kesatuan dalaman setiap individu yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan kerohanian.

Mengimbau kembali detik Hijratul Rasul, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW meletakkan asas pertama untuk membina akal dan jiwa masyarakat Madinah dengan pembinaan Masjid Quba'. Pembinaan masjid ini menjadi asas kepada perpaduan masyarakat di Madinah pada ketika itu.

Baginda kemudian meneruskan agenda transformasi perpaduan dengan menyatukan dua golongan yang telah beratus-ratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali sebagai Ansar. Begitu juga dengan golongan yang datang dari Mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuk satu masyarakat yang bersatu padu di bawah ikatan ukhuwwah Islamiah yang berpaksikan Allah SWT dan Rasul-Nya. Benih persaudaraan yang ditanam oleh Nabi Muhammad SAW telah berjaya membentuk satu ikatan yang kukuh di kalangan umat Islam pada ketika itu.

Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam semata-mata, malah merangkumi kaum bukan Islam. Nabi Muhammad SAW menonjolkan model terbaik dalam menjalinkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sejarah membuktikan, masyarakat Yahudi dan Kristian hidup dengan aman damai di Madinah di bawah pentadbiran bersifat wasatiyyah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW. Melalui piagam Madinah yang diperkenalkan, ia terbukti dapat menyatupadukan masyarakat Madinah yang majmuk.

Kandungan piagam itu mencatatkan hak dan tanggungjawab pemerintah dengan golongan yang diperintah, tanggungjawab orang Islam sesama Islam, orang Islam dengan orang bukan Islam, tanggungjawab terhadap negara Madinah, hak orang bukan Islam.

Menerusi peristiwa hijrah, dapat kita ambil beberapa noktah penting untuk diaplikasikan oleh umat Islam dalam menghayati kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Antaranya ialah:

n Mengikis segala sifat mazmumah di peringkat individu seperti hasad dengki, tamak haloba dan bermusuh-musuhan seterusnya digantikan dengan sifat mahmudah yang dianjurkan oleh Islam.

n Pembentukan keluarga Muslim (bait al-Muslim) yang menumbuhkan kebahagiaan, ketenangan dan kasih sayang seterusnya melahirkan generasi yang soleh dan solehah yang menjadi khalifah Allah di muka bumi.

n Merealisasikan hubungan utuh sesama masyarakat, jiran tetangga, rakan taulan, pemimpin dan rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mengasaskan negara Islam yang pertama di Madinah.

n Memastikan sistem ekonomi menepati piawaian syarak yang selamat daripada unsur riba, khianat, rasuah dan penipuan.

Semoga sambutan Ma'al Hijrah 1434H bakal mencetuskan momentum yang besar dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya' ayat 107: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."


MOHAMAD RAZIF MOHAMAD FUAD Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Forum 15 November 2012

Mampukah Tabung Haji bertahan?

Saya tertarik dengan tulisan Penasihat Persatuan Pengguna Islam, Dr. Ahmad Zaki Ismail dalam Utusan Malaysia keluaran 12 November 2012 atas kemungkinan kenaikan tambang menunaikan haji pada masa hadapan. Beliau menekankan supaya Tabung Haji (TH) menyerap segala kenaikan kos yang pada logiknya memang tidak akan dapat dielakkan.

Sedia termaklum pada tahun ini jemaah hanya membayar RM9,980 sahaja walaupun kos sebenar adalah RM15,150. Subsidi yang banyak ini hanya diberikan kepada jemaah muasasah, tidak kepada jemaah yang mengambil pakej TH Travel walaupun mereka juga adalah pendeposit Tabung Haji. Perkara ini tidak pernah dipersoalkan.

Pada pandangan saya, kedudukan Tabung Haji boleh menyerap apa juga kenaikan kos menunaikan haji hanya boleh berlakusekiranya ia mendapat keuntungan yang banyak sepanjang masa. Bahkan cerita Tabung Haji untung banyak hanya berlaku sejak kebelakangan ini dengan adanya aktiviti perladangan terutamanya sawit di mana kebanyakan ladangnya sudah mencapai peringkat matang dan berhasil.

Namun keadaan untung yang banyak ini tidak akan berkekalan untuk sepanjang masa. Faktor hasil dan harga sentiasa berubah. Hasil dan harga sentiasa turun naik, tetapi dalam apa keadaan pun kosnya sentiasa meningkat. Inilah lumrah perladangan.

Cerita keuntungan daripada ladang sawit tahun ini sudah tentu jauh berbeza berbanding keuntungan tahun lepas kerana harga minyak sawit mentah (MSM) telah jatuh dengan banyaknya sejak Julai 2012. Logiknya keuntungan ladang Tabung Haji juga sudah pasti jauh kurang berbanding tahun sebelumnya.

Mungkin Dr. Ahmad Zaki akan terus berpendapat Tabung Haji masih mampu kerana keuntungan terkumpulnya masih banyak. Soalnya sampai bila untung yang ada mampu bertahan? Sedangkan kos menunaikan haji di masa hadapan sudah pasti melonjak disebabkan kemudahan yang lebih baik akan disediakan terutamanya penginapan.

Sepatutnya kita patut berbalik kepada hukum menunaikan haji yang hanya jatuh wajib hukumnya jika kita mampu. Jika kos naik dan kita tidak mampu, tidak diwajibkan pergi. Mereka boleh teruskan menabung sehingga mampu.

Bagaimana pula dengan orang yang sudah mampu tetapi tidak dapat pergi kerana halangan kuota yang dipenuhkan oleh kumpulan bersubsidi yang besar jumlahnya dan sepatutnya tidak wajib pergi? Jika mereka ini (yang mampu) mati sebelum sempat menunaikan rukun yang sudah jatuh wajib hukumnya ke atas mereka, siapa pula yang bakal menjawab?

Konsep main kutu yang disebut oleh Dr. Ahmad Zaki hanya boleh berjalan jika jumlah sumbangan peserta sama banyaknya supaya setiap peserta menerima jumlah wang atau barangan yang serupa.

Ini tidak berlaku bagi kes Tabung Haji. Saya ulang tulisan Dr. Ahmad Zaki: "TH ini ditubuhkan untuk membantu golongan orang yang tidak mampu menyediakan kos untuk mengerjakan haji sekali gus." Ini saya setuju seratus peratus kerana Tabung Haji tidak pernah menghalang bahkan menggalakkan kita untuk menyimpan secara beransur-ansur hingga cukup dan mampu.

Apabila sudah mampu barulah wajib hukumnya menunaikan haji. Tidak patut timbul soal pengasas Tabung Haji berkecil hati kerana Tabung Haji memang pun tidak pernah lari daripada tanggungjawab menerima simpanan dan menguruskan jemaah. Bahkan kerja Tabung Haji memberikan subsidi yang besar kepada jemaah saya kira adalah di luar bayangan pengasasnya semasa pembentukan Tabung Haji. Bahkan, ia sama sekali tidak selari dengan usaha negara untuk mendidik rakyatnya mengurangkan kebergantungan kepada subsidi melampau.

Dr. Ahmad Zaki sebagai Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia sepatutnya lebih memahami tanggungjawab Ketua Eksekutif Tabung Haji, yang bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah tetapi juga seluruh ahlinya yang lain. Sebaliknya pula saya amat berharap beliau dapat mendidik pengguna Islam di negara ini supaya lebih berhemah, menerima realiti pasaran dan tidak terlalu bergantung kepada subsidi.


ABU ZARIN OTHMAN Seremban, Negeri Sembilan. Sumber: Utusan Malaysia Online Forum 15 November 2012

Pemegang saham paling besar

BAGI anak yang membesar, mereka akan mengikuti apa yang didengar, dilihat dan dilakukan orang tuanya. Sebab itu, ibu bapa perlu mempamerkan akhlak terpuji dan menjaga perkataan yang keluar daripada lisan mereka.

Hakikatnya, terjadinya anak derhaka berpunca daripada ibu bapa yang terlebih dahulu ‘menderhaka’. Biasanya, istilah derhaka dikaitkan dengan hubungan anak dengan ibu bapa mereka.

Ia mungkin dari sudut kebiadapan tingkah laku atau percakapan yang menyebabkan orang tua mereka berkecil hati. Peribahasa Melayu ada menyatakan, ‘bapa borek, anak rintik, apa yang disemai itulah yang dituai, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Di sini, peranan dan tugas bapa amat penting dan lebih berat dalam sebuah keluarga. Rumah tangga adalah jalan melaksanakan Islam dalam kehidupan.


Suami, isteri dan anak perlu saling melengkapi untuk membina keluarga. Buat golongan lelaki bergelar suami dan bapa, adakah anda memberi didikan secukupnya kepada isteri dan anak-anak?


Perkahwinan bukan untuk keseronokan dan kepuasan nafsu semata-mata, tetapi menggalas tanggungjawab dan tuntutan iman kita kepada Allah.

Rumah tangga yang terbina atas iman natijahnya pasti baik. Sebab itu, tanggungjawab menjadi pemimpin keluarga bukanlah tugas mudah.

Tugas bapa amat berat dan menjadi ‘pemegang’ saham paling besar terhadap setiap ahli keluarganya.

Sebagai ketua keluarga, mereka perlu menyediakan keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal serta pendidikan. Malah, tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan berakhir walaupun berkahwin.

Ada bapa yang garang sehingga anak takut mendekatinya untuk berkongsi cerita suka duka atau nasihat.

Apa saja cabarannya, setiap bapa pastinya mengharapkan isteri dan anak yang dibimbing mampu memberi kebanggaan bukannya cuba menconteng arang ke mukanya.

Perunding motivasi syariah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, bapa adalah tunggak keluarga atau kapten bagi mengemudikan bahtera di lautan.

“Gagal atau berjayanya kapal itu ke destinasi bergantung kepada nakhoda dan anak-anak kapalnya,” katanya.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka”.

“Allah memberi peringatan terlebih dulu kepada ketua keluarga iaitu bapa dan suami supaya menjaga dirinya daripada perkara yang diharamkan agama sebelum menjaga ahli keluarganya lain.

“Sebelum mendirikan sebuah rumah tangga, seorang lelaki perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Bapa derhaka, suami nusyuz adalah istilah yang dilabelkan kepada golongan suami yang berpaling arah dari landasan sebenar.

“Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan sehingga satu ketika mereka sedar dan mengakui kesilapan itu. Namun, bapa itu tadi dapati acuan keluarganya yang tersilap amat sukar diperbetulkan semula.

“Maklum saja dosa itu menjadi titik hitam yang sukar diputihkan semula kesan jangkamasa panjang. Di sinilah Islam memberikan jalan penyelesaian dengan melihat semula manual al-Quran, kisah anbiya’ yang mampu menjadi motivasi diri dalam memulakan lembaran baru.

“Tersedar dari kesilapan sebelum ajal menjemput adalah nikmat yang besar dan tanda Allah ‘melihat’ kita, mendengar tuntutan fitrah kita, sayang pada kita.

“Kedua, manusia yang bertaubat adalah sebaik umat yang diciptakan sebagaimana hadis nabi s.a.w menerangkan sekiranya tiada orang-orang yang bertaubat, nescaya Allah akan menghapuskan sesuatu kaum dan diwujudkan kaum berikutnya yang melakukan kesalahan dan bertaubat.

“Maka, sebab itu bertaubat itu penting bukannya membesarkan sesuatu kesilapan.

Ketiga, usaha memperbetulkan kesalahan lebih penting daripada memperoleh natijahnya,” katanya.

Beliau berkata, bapa yang mahu memperbaiki keadaan keluarganya secara ‘tadarruj’ (berperingkat-peringkat) lebih baik daripada secara drastik.

“Banyak aspek yang perlu diperhalusi seperti hati manusia, keadaan sekeliling, prospek jangka panjang supaya tujuan itu tercapai dengan reda Allah.

“Akhirnya, jika segala usaha itu gagal, janganlah bersedih. Lihatlah nabi Allah Nuh menerima ujian yang sama terhadap anak isteri mereka,” katanya.

Sebelum memulakan langkah panjang, langkah pertama sangat mustahak kerana akan menggambarkan keseluruhan perjalanannya.

“Seorang lelaki mahu mencari suri hidupnya, pasti calon isteri selaras dengan tuntutan agama dan bukanlah hanya memenuhi kriteria ‘cinta buta’.

“Sanggupkah kita membina rumah tangga dari bahan binaan yang kotor seperti najis?

“Inilah yang banyak berlaku di zaman ini, ramai melakukan hubungan jenis secara bebas, tetapi belum berkahwin dan akhirnya lahirlah zuriat yang terpaksa menanggung akibatnya.

“Jika pasangan itu berkahwin sekalipun, tetapi bagaimana dengan nasib anak, adakah dia diberi nama yang baik, ilmu agama, diajar solat, membaca al-Quran dan pendidikan agama?,” katanya.

Katanya, bapa seperti itu bukan saja lelaki tidak bertanggung jawab, tetapi mereka ialah bapa derhaka.

“Kerana itulah bapa perlu keluar dari kotak pemikiran konservatif dan ikut jalan agama dan dibantu bekalan motivasi sabar dan saling ingat mengingati.

“Inilah formula kebahagiaan yang diajar nabi SAW. Memahami agama dengan tersusun dan benar adalah proses seumur hidup, namun kunci utamanya ialah belajar dan terus belajar.

“Perbaiki diri dengan apa yang terjadi di hadapan mata. Seorang bapa menunjukkan tanda aras sebuah keluarga itu sama ada dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi menyifatkan ramai bapa yang menganggap kehidupan keluarga yang tidak harmoni itu suasana normal sehinggalah anak dan isteri melebihi batas yang sepatutnya.

“Kesan masalah daripada awal, fahami gerak-geri mereka kerana itulah isyarat yang boleh kita perbaiki dari awal. Apabila usaha mengajak keluarga ke arah kebaikan menerima rungutan, tidak mahu melakukannya maka itu petanda awal keluarga itu ‘dihinggapi’ penyakit mengikut hawa nafsu yang mengikut jalan syaitan.

“Kemudian, ambil langkah memeriksa masa bersama keluarga serta rezeki yang dibawa masuk ke dalam rumah kerana keluarga yang tidak ‘sihat’ sedang ketandusan rahmat Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, tidak wajar sama sekali menyangka golongan yang banyak melakukan dosa akan terus mempamerkan rekod buruk dalam kehidupan mereka.

“Kita perlu bersangka baik terhadap Allah SWT. Dalam situasi di mana anak yang lahir bukan dari perkahwinan suci tidak sesekali mewarisi dosa ibu bapanya yang pernah berzina.

“Dalam Islam, tiada dosa pewarisan dan ia jelas, bagi mereka yang bertaubat diibaratkan sebagai seorang bayi yang tidak melakukan dosa dan lahir dalam keadaan fitrah.

“Sama juga seperti mana nabi SAW menjelaskan kepada mereka yang memeluk Islam walaupun di zaman silamnya penuh dengan kejahatan yang dilakukan.

“Begitu juga dengan kisah seorang pemuda pada zaman Bani Israel yang sering kali diceritakan oleh baginda SAW di mana pemuda itu melakukan semua jenis maksiat, kejahatan dan dosa, namun Allah SWT mengampunkan kesemua dosanya hanya dengan berniat dan beriltizam tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi.

“Maka, orang yang bertaubat dan sentiasa perbaiki diri amat berbeza daripada mereka yang masih bergelumang dengan dosa,” katanya.

Beliau berkata, surah al-Fatihah merakamkan keadilan Allah memberikan hak dan peluang sama kepada semua hamba-Nya.

“Kita diberi untuk memilih dua jalan sama ada jalan yang lurus dan diredai atau jalan yang menjahanamkan kita ke neraka.

“Alasan ibu bapa sebagai pendidik dengan sibuk bekerja, kelemahan sistem pendidikan adalah jalan selamat bagi menyalahkan orang lain dan menyedapkan hati sendiri.

“Sedangkan orang yang bijak itu ialah mereka yang menghitung diri sendiri setiap detik supaya sentiasa dalam reda Allah. Kesimpulannya, penderhaka kepada agama baik dari sudut seorang bapa, suami ataupun individu wajar dihitung sebelum pergi lebih jauh lagi.

“Mulakan dengan diri sendiri, periksa diri sama ada penyakit ini merebak dalam hati kita. Jika ada, rawatlah dengan agama, baca al-Quran, solat berjemaah, bergaul dengan orang soleh, menuntut ilmu dan berzikir.

“Semua orang memiliki peluang yang sama dan tidak perlu membanding-bandingkan antara satu sama lain. Hanya mereka yang bertakwa akan menjadi terbaik di sisi-Nya,” katanya.


Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 15 November 2012

Hijrah jambatan tegak syiar Islam

Kejayaan boleh dicapai jika berani ubah gaya hidup

Alhamdulillah, kita sudah memasuki tahun baru 1434 Hijrah. Maal Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan sahabat. Hijrah adalah langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah demi memperkasakan umat Islam.

Penyatuan dua golongan Muhajirin dan Ansar melahirkan perpaduan, persepakatan, keharmonian dan lebih penting persaudaraan sesama umat Islam. Perlu kita ingat kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung oleh keimanan serta ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu. Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa', ayat 100).

Hijrah membawa pengertian amat luas iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang lebih luas dan ia adalah pemisah antara yang hak dengan batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup lebih baik, maju, mulia dan berada pada lingkungan rahmat Ilahi.

Tanpa sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Ingatlah Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11).


Justeru, sebagai umat Islam kita dituntut melakukan perubahan bersifat semasa untuk melepaskan seseorang daripada belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan umat Islam selari dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Umat Islam mesti diberi kebebasan dalam membuat pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan semua. Hakikatnya perubahan seseorang bergantung kepada pendidikan dan Islam memberi penekanan terhadap pendidikan.

Firman Allah SWT: “Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).

Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardu ain, fardu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyatakan, pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

Umat Islam hari ini juga perlu dibangunkan dengan asas kerohanian yang kukuh supaya mereka tidak mudah cair dengan pengaruh persekitaran dan himpitan hawa nafsu. Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin, kita mestilah mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip telah digariskan syarak, di samping memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau, sebagai medan pengembangan kerohanian.

Pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama.

Ibu bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran dengan selesa dan sempurna. Peranan ibu bapa jika dilakukan dengan ikhlas dapat melahirkan generasi bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Apa yang paling penting ialah inisiatif kita untuk mengaplikasikan konsep hijrah dan segala usaha yang dibuat bagi pembangunan ummah sama ada dari segi jiwa, mental dan fizikal hendaklah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berita Harian Online Agama Jumaat 16 November 2012