November 18th, 2012

Menjejaki keampunan Ilahi

Keampunan Ilahi ataupun magfirat adalah satu nikmat Ilahi yang amat bernilai. Seorang ahli ulama tafsir tersohor, al-Asfahani menegaskan bahawa magfirat adalah satu anugerah Ilahi yang tidak ada tolok bandingnya dalam kehidupan manusia. Tanpa keampunan Ilahi nescaya setiap insan pasti akan merasai azab seksa dan kemurkaan Ilahi.


Justeru, Allah sentiasa menyeru manusia yang beriman supaya mencari dan menjejaki keampunan Allah. Jika diperhatikan di dalam al-Quran, Allah memerintahkan umat Islam supaya bersegera dan bersaing untuk merebut keampunan Allah sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 20)


Perlu diinsafi bahawa perintah untuk mencari dan menggapai keampunan Ilahi tidak hanya terbatas kepada umat Islam saja, malah junjungan besar Rasulullah SAW sendiri juga diperintahkan supaya beristighfar dan mencari keampunan Allah walaupun umat Islam umumnya sedia mengetahui bahawa Rasulullah adalah seorang Nabi yang maksum, yakni terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan.

Menurut ulama tafsir tersohor, Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya yang terkenal, Tafsir al-Razi, menyatakan bahawa keampunan Ilahi mempunyai beberapa pengertian. Pertama, ia bererti penghapusan segala dosa dan kesalahan yang dilakukan. Kedua, ia juga bermaksud mengganti keburukan dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, orang yang mendapat keampunan Ilahi, selain daripada segala dosanya dihapuskan, Allah juga berkenan untuk menambahkan kepadanya kebaikan yang tidak terhitung banyaknya.

Ketiga, keampunan Allah juga merujuk kepada kesucian dan kesempurnaan rohani. Dalam pengertian ini, keampunan Allah dapat dikaitkan dengan ketenangan dan kesucian jiwa yang akhirnya memandu hidup manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi. Akhirnya, pengertian keampunan Ilahi adalah syurga. Di dalam al-Quran, keampunan itu sentiasa disebut bersama dengan syurga.

Berdasarkan perintah Ilahi dan juga sunnah Rasulullah SAW, maka sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk mencari dan menjejaki keampunan Ilahi dalam setiap detik kehidupannya. Untuk mencapai keampunan Allah, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi sia-sia yang akhirnya hanya mengundang kemurkaan Allah.


Pertama, Rasulullah mengajar umatnya supaya memperbanyakkan istighfar dalam usaha untuk mengejar keampunan Allah. Rasulullah SAW sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100 kali sehari semalam sebagai mana yang tercatat dalam hadis yang sahih. Begitu juga sahabat yang banyak beristighfar kepada Allah pada waktu malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur lena dibuai mimpi yang indah sebagai mana firman Allah: Mereka sentiasa mengambil sedikit saja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan di akhir malam mereka beristighfar kepada Allah. (Surah al-Dzariyat, ayat 17-18)

Kalaulah Rasulullah yang maksum beristighfar pada setiap hari dan malam sekurang-kurangnya 70 kali, maka manusia yang tidak maksum dan tidak pula dapat mengelakkan diri daripada buruan dosa, amat wajarlah beristighfar lebih daripada 70 kali berbanding dengan Rasulullah.

Kedua, keampunan Ilahi hanya boleh diraih dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah melalui ibadah dan amalan salih.

Di dalam al-Quran, keampunan Allah selalu dihubungkaitkan dengan iman, takwa dan amal kebajikan seperti yang dapat difahami dalam firman Allah: Orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang yang beriman serta beramal salih, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah Fatir, ayat 7)

Ibadah menurut pengertian syarak ialah ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus serta ketaatan yang mutlak dan tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah yang dikenangkan limpahan kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan-Nya dan kekuasaan-Nya. Ketundukan dan kepatuhan ini bukan hanya datang daripada umat manusia tetapi juga sekalian makhluk Allah yang menghuni alam ini.

Firman Allah: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (yang demikian) juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang. Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: Allah. (Surah al-Rad , ayat 1516).



Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Berita Harian Online Agama Ahad , 18 November 2012

Hukum membaca surah Yasin untuk jenazah

Suatu yang menjadi kelaziman apabila berlaku sesuatu kematian ialah membaca ayat al-Quran di sisi mayat. Ia bermula sebaik saja mayat dibaringkan di rumah sehinggalah ke saat untuk memandikannya. Malah ada waris dan sanak saudara si mati mengkhatam al-Quran melalui bacaan yang dibahagikan mengikut juzuk.

Sesiapa saja yang datang melawat jenazah akan mengambil buku bacaan surah Yasin atau al-Quran untuk dibaca bagi dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati. Surah yang dibaca bukan setakat surah Yasin tetapi juga surah lain dengan niat yang satu iaitu untuk dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati.

Melihat kepada apa yang diamalkan ini, ia tidaklah dilarang kerana memang terdapat beberapa nas dan dalil bahawa bacaan surah Yasin di sisi mayat adalah dituntut.

Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).

Ramai ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Daud al-Fatani.

Al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa lafaz orang mati daripada kalangan kamu itu boleh membawa kepada dua tafsiran iaitu membacanya di sisi mayat selepas kematiannya dan membacanya di tanah perkuburan.

Berkaitan dengan saranan Rasulullah SAW agar surah Yasin dibacakan berhampiran dengan orang-orang yang hampir mati ialah supaya rohnya mudah keluar.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Surah Yasin itu ialah hati al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan mengharap keredaan Allah dan kebahagiaan hidup di hari akhirat akan diampunkan dosanya dan bacalah surah Yasin ke atas orang mati daripada kalangan kamu.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan membaca surah Yasin di samping surah lain, antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa membaca Yasin pada malam hari kerana menuntut keredaan Allah, nescaya akan dihapuskan oleh Allah dosa-dosanya, bacalah ia di hadapan orang yang mati daripada kalangan kamu. (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Bahawa bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran ialah Yasin, maka barang siapa membaca Yasin, maka Allah akan mencatat seperti bacaan al-Quran 10 kali. (Riwayat at-Tirmzdhi).

Berhubung permasalahan ini juga, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala kepada si mati termasuk bacaan al-Quran. Walaupun pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan tidak sampai tetapi Ashab al-Syafie (pengikut mazhab Syafie) menyatakan bahawa pahala bacaan tersebut sampai. Pendapat ini turut dipegang oleh Imam Hambali.

Menurut seorang ulama besar Universiti al-Azhar Mesir iaitu al-Marhum al-Syeikh Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya, tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran adalah seperti berikut:

Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Si mati hendaklah bertawassul dengan perbuatan salihnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati;

Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan Allahumma awsil thawaba ma qaranahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada roh si polan);

Diniatkan terlebih dulu di permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan tersebut adalah untuk si polan bin si polan.

Seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada ruh si mati. Beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa ini Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi SAW dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakan untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya.

Jika ada yang tidak mahu atau tidak mampu untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada si mati, digalakkan juga mendoakan kepada si mati agar diberi keselamatan, kesejahteraan dan pengampunan daripada Allah buat orang yang meninggal dunia itu.



Mohd Kamel Mat Salleh Berita Harian Online Agama Ahad , 18 November 201