November 19th, 2012

Isteri boleh mohon daftar nikah

Sebelum 1994, pernikahan yang tidak mengikut Undang-undang Keluarga Islam di negara ini tidak boleh didaftarkan walaupun mempunyai surat nikah daripada pihak yang menjalankan pernikahan dan sah mengikut hukum syarak.

Implikasi daripada itu memang besar kerana dari sudut perundangan, pernikahan yang tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) membawa makna bahawa pernikahan itu tidak pernah berlaku.

Ketetapan itu mendapat tentangan khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita yang memperjuangkan nasib isteri serta anak-anak yang teraniaya disebabkan kedudukan mereka tidak diiktiraf mengikut undang-undang.

Justeru, Akta Pindaan 1994 telah memasukkan peruntukkan dalam seksyen 12 (2) yang membenarkan perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang atau dilakukan di luar negara boleh memohon di mahkamah untuk perintah pendaftaran pernikahan yang bertentangan undang-undang.

Bagi suami isteri yang membuat permohonan bersama untuk mengesahkan perkahwinan yang dilakukan tidak mengikut undang-undang, permasalahan mereka dapat diselesaikan apabila semua bukti dikemukakan, pihak mahkamah membuat siasatan dan akhirnya memberi keputusan.

Itu pun, jika mahkamah mendapati pernikahan itu memenuhi rukun serta syarat sah nikah, barulah perintah kebenaran mendaftar pernikahan diberi. Jika sebaliknya, pihak berkaitan bakal berdepan pelbagai masalah susulan.

Sebenarnya, itulah hikmah diadakan peraturan supaya setiap pernikahan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang ditetapkan supaya apabila timbul masalah dalam rumah tangga, ia dapat diselesaikan mengikut aturan perundangan.

Bagaimana dengan yang sudah terlajak dan berdepan masalah untuk membuktikan pernikahan itu memang berlaku. Contohnya, wanita yang suaminya tidak tampil membuat permohonan pengesahan pernikahan bertentangan undang-undang di mahkamah?

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata suami atau isteri yang berkahwin tidak mengikut undang-undang boleh mengemukakan permohonan pengesahan pernikahan mereka di Mahkamah Syariah.

Justeru, bagi isteri yang suaminya tidak mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mendapat kebenaran mendaftar perkahwinan, mereka sendiri boleh mengemukakan permohonan itu kerana undang-undang tidak menetapkan hanya suami saja yang boleh memohon.

Isteri juga boleh memohon, jadi tidak perlu tunggu suami. Kemukakan bukti sama ada pernikahan itu di Songkhla, Yala atau Narathiwat, bawa dan buat permohonan. Apa pun, sebelum kebenaran diberi, mahkamah akan melakukan siasatan.

Pernikahan yang diiktiraf mengikut undang-undang negara ialah pernikahan yang sijil nikahnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) saja. Sijil dikeluarkan pihak lain tidak diiktiraf, sebab itu perkahwinan yang sah di sisi undang-undang ialah pernikahan didaftarkan JAIN, katanya.

Bagaimana jika isteri tidak mempunyai dokumen membuktikan dia sudah bernikah kerana suami tidak memberi salinan kepadanya, isteri boleh mendapatkan perintah mahkamah mengikut seksyen 85-88 Enakmen Tatacara Mal, supaya suami menzahirkan dokumen itu. Jika suami tidak memberi kerjasama atau tidak hadir, boleh dikenakan waran tangkap.

Dr Mohd Naim berkata, tidak dinafikan ramai wanita yang berkahwin tidak mengikut undang-undang tidak tahu mereka juga boleh mengemukakan permohonan pengesahan pernikahan sebaliknya menyangka ia tugas suami.

Saya tidak nafikan kemungkinan ada wanita yang tidak tahu, sebab itu kita perlu didik masyarakat bukan saja ikut hukum, tetapi kena ikut peraturan juga. Perundangan bukan dibuat saja-saja, tetapi ada rasional dan hikmahnya, katanya.

Katanya, apa juga masalah dihadapi pasangan yang pernikahan tidak didaftarkan, mereka tidak boleh menyalahkan sistem kerana jika pernikahan bertentangan undang-undang diberi layanan serupa dengan pihak yang mematuhi undang-undang, semua akan mengambil kesempatan untuk tidak mengikut undang-undang.



Hasliza Hassan Berita Harian Online Agama Isnin , 19 November 2012

Penawar sihir, penyakit aneh

SEJAK kecil, kita didedahkan kegunaan air sebagai penawar pelbagai jenis penyakit. Ada yang mengambil air yang dibacakan surah Yassin untuk menerang hati manakala ibu bersalin digalak minum air selusuh bagi memudahkan proses kelahiran.

Menurut Kitab Mukhtasar Fi Ma’ni Isma’Allah Al Husni, diriwayatkan bahawa Abi Al-Qaasim Al-Qusyairi pernah menghadapi kesusahan sebab anaknya sakit tenat.

Suatu malam, dia bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW lalu mengadu hal itu. Rasulullah bertanya: “Tidakkah engkau mempergunakan ayat Asy-Syifaa?” Al-Qusyairi tersedar lalu dicarinya ayat itu dalam al-Quran.

Al-Qusyairi menuliskan ayat itu pada kertas dan dibasuhnya dengan air lalu diberi minum kepada anaknya. Dengan izin Allah, penyakit anaknya sembuh.

Dari sudut saintifik, saintis Eropah dan Jepun mendapati air adalah satu elemen yang hidup kerana ia mampu merakam gema, perasaan serta bacaan terhadapnya.

Ini dibuktikan dengan gambaran molekul air yang berubah bentuk bergantung kepada interaksinya dengan keadaan luaran.

Apabila dibacakan sesuatu yang baik, seperti ayat al-Quran, molekul air bertukar kepada bentuk kristal yang bersinar serta bercahaya. Dan, begitu juga sebaliknya.

Menyedari peranan air sebagai penawar, Air Anugerah diketengahkan dengan bacaan 30 juzuk al-Quran serta doa pilihan.

Menurut Imam Muda Ustaz Khairul Azhar Ghazali, Air Anugerah bukan saja kaya dengan zat galian, tetapi ditenagakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa pilihan.

Beliau berkata, bagi memastikan proses itu lebih tinggi nilainya, adab sepanjang pemprosesannya amat dijaga.

Katanya, Air Anugerah itu menggunakan sistem syifa iaitu dibacakan keseluruhan ayat al-Quran sebanyak 30 juzuk.

“Ia dibacakan dalam keadaan yang sempurna dan menjaga adab zahir dan hati (biat) di kalangan mereka yang terpilih.

“Selepas itu, ditenagakan pula dengan bacaan khusus ayat al-Quran tertentu dengan dibaca berulang-ulang kali mengikut kiraan kaedah yang khas,” katanya.

Allah berfirman, “Wahai manusia, sesungguhnya datang kepadamu pengajaran dari Tuhanmu (iaitu Quran) dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada.” (Surah Yunus: 57).

Doa dalam Air Anugerah boleh dijadikan amalan harian untuk mencari penawar dan mencapai hajat tententu, antaranya:

Surah al-Fatihah (penyembuh keracunan),
Surah al-Syarh (menghilangkan kesulitan dan bebanan),
Surah al-Qadr (pembuka minda dan menerangkan mata),
Surah al-Kafirun (menghindar hasutan Iblis dan makhluk halus),
Surah al-Ikhlas (menjauhi mata-mata jahat),
Surah al-Falaq (penyembuh penyakit siang dan malam),
Surah al-Nas (menjauhi gangguan jin),
Surah al-Isra’: 28 (penghadang dan pembimbing),
Surah at-Taubah:128(menghilangkan sebarang sakit),
Ayat Kursi (menghindar gangguan makhluk halus),
Surah al-Baqarah (terselamat dari bencana dan bahaya),
Surah Israil (penawar segala jenis kesakitan),
Surah as-Shafat (sentiasa sihat),
Surah Ali-Imran (terpelihara dari segala penyakit dan gangguan jin),
Bacaan istighfar (pengampunan dan penyembuh serta doa penyembuh angin ahmar) dan
doa khatamul al-Quran untuk penyembuh penyakit zahir dan batin.



myMetro Variasi Ad Din 15/11/2012

Mukjizat Al-Quran Perubatan Al-Quran

BERMULA minggu depan, sisipan Pancawarna, Mingguan Malaysia akan mengadakan ruangan soal jawab Perubatan Al-Quran bersama Tuan Haji Lokman Abdul Hamid pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah.

Menurut Lokman, di Pusat Perubatan Al-Hidayah beliau dan perawat yang lain hanya menggunakan ayat rangkaian ayat al-Quran yang berbeza-beza bagi mengubati jenis-jenis penyakit.

Perubatan Al-Hidayah tidak menggunakan khidmat makhluk halus (sama ada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan perantaraan.

Ia berdasarkan kepada tiga amalan utama iaitu bacaan Al-Quran, berdoa memohon kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan Zikir.

Setiap ayat Al-Quran yang diberikan kepada pesakit untuk mereka amalkan diibaratkan sebagai ubat, dan air yang diminum adalah untuk menyerapkan ayat itu ke dalam badan dan jiwa pesakit itu.

"Umpamanya, semasa kita sakit demam, kita ambil panadol. Pil tersebut adalah ubat dan air yang diminum sewaktu memakannya adalah untuk menyerapkan ubat itu ke dalam badan atau darah kita agar kita beransur sihat.

"Sama dengan ayat Al-Quran yang dibaca, ia adalah gantian kepada ubat, dan air yang diminum adalah untuk menyerapkan ayat Al-Quran itu ke dalam badan dan jiwa kita," katanya.

Lokman menambah, perubatan sebegini kadang-kala tidak nampak logiknya dan adakalanya susah untuk diterima oleh akal fikiran manusia.

Apatah lagi, bila dianalisis kaitan sesuatu surah dan ayat-ayat Al-Quran dengan sesuatu jenis penyakit tidak menggambarkan kaitan secara langsung dengan penyakit yang dialami.

"Tapi, inilah kehebatan dan mukjizat Al-Quran!," katanya.

Perubatan moden, kata Lokman berasaskan kepada logik.

Perubatan moden lebih mudah diterimapakai oleh pesakit (seperti antibiotik dapat menandingi bakteria yang menjadi punca kepada sesuatu penyakit atau pain-killer seperti ubat panadol dapat mengurangkan kesakitan).

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan apa saja penyakit melalui rawatan moden, tidak akan selesai jika tidak berserah kepada Allah dan pertolongan daripada-NYA.

Firman Allah di dalam Al-Quran "Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman..." (al-Israa' 82).

"....Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..." (al-Baqarah, 186).

Lokman menambah, konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ibadah kerana tiap amalan perubatan adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat.

"Saya sentiasa mengingatkan para perawat saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah di dalam berubat.

"Buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat.

"Hasilnya insya Allah akan membawa kepada kesembuhan, dengan syarat pesakit mengamalkan apa yang diarahkan serta meningkatkan amalan sunat dan menjauhi perkara dosa dan mungkar," katanya.

Insya-Allah, semoga dengan keyakinan yang terbina, ALLAH hadiahkan pesakit serta pembaca dengan kesembuhan.

Pesakit yang berhajat, bolehlah datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di alamat:

No 8-1 "The Eight Setiawangsa", Jalan Setiawangsa 13, Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur | Tel: 03-42565666 | HP: 019-2430659 (SMS Only) http://www.alhidayah-medic.com/


Utusan Malaysia Online Bicara Agama18/11/2012 

Ilmu mengembalikan kemuliaan umat Islam

KITA sedang berhadapan dengan realiti seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW bahawasanya kita ini ramai tetapi tidak bermanfaat. Allah campakkan penyakit ke dalam hati kita (al-wahn), dan Nabi SAW gambarkan bahawa Allah SWT mencabut perasaan hormat dari jiwa yang benci dan anti kepada Islam. Lalu apakah tindakan kita apabila berada dalam situasi ini?

Serata dunia umat Islam ditindas, dicemuh dan diperolok-olok. Justeru kita tidak boleh meletakkan emosi mendahului iman dan amal. Kita tidak boleh membiarkan emosi mendahului ilmu pengetahuan dalam bertindak. Sabda Nabi SAW, maksudnya "Bukanlah kekuatan itu dengan pergaduhan, tetapi sesungguhnya kekuatan itu adalah orang yang mampu mengekang jiwanya ketika marah."(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tanggungjawab pertama dan utama umat Islam ialah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama. Sabda Nabi SAW, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, akan difahamkan dia tentang agamanya." (riwayat Bukhari dan Muslim dari Mu'awiyah bin Abi Sufyan RA)

Ertinya orang yang tidak faham agama, Allah tidak inginkan kebaikan baginya. Ini satu cabaran bagi kaum muslimin untuk menambah ilmu. Semua amalan seperti solat fardu, solat jama' dan qasar ketika musafir, etika berpakaian, bermu'amalah, komunikasi sesama muslim atau dengan non-muslim, antara jiran dan tetamu, dan ibadat-ibadat lainnya, terlebih dahulu kita perlu ada ilmu tentangnya.

Kedua, setelah memiliki ilmu kita harus mengamalkan ilmu itu. Untuk apa ilmu jika tidak beramal. Negara Islam pada hari ini menghasilkan ramai sarjana. Masing-masing bersijil, punya master dan Phd dari pelbagai universiti. Hal ini sesuatu yang baik namun timbul masalah apabila para sarjana ini menjadikan ijazah mereka sebagai lesen untuk membenarkan setiap perkataan yang diungkapkan.

Al-Imam Asy-Syafi'i tidak pernah belajar di Oxford, Al-Imam Abu Hanifah tidak belajar di Universiti Madinah, Imam Malik bukan lepasan Universiti Al-Azhar, Imam Ahmad tidak pernah belajar di Universiti Al-Urduniyyah di Jordan. Tetapi penulisan, perkataan, kewibawaan dan ketokohan mereka diiktiraf, dikenali dan diingati sampai ke hari ini.

Ini bererti bukan ijazah, pangkat dan gelaran itu yang harus dijadikan dalil kebenaran seseorang. Dalilnya adalah perkataannya sendiri; adakah sesuai atau tidak dengan neraca Al-Quran dan As-Sunnah yang difahami oleh para sahabat Nabi RA.

Kita tidak menolak ijazah, tetapi yang dimaksudkan adalah jangan gunakan ijazah untuk kepentingan. Jangan jadikan ijazah sebagai dalil untuk membenarkan semua perkataan dan perbuatan. Ini kerana kita bimbang melihat ramai pemegang ijazah kurang mempraktikkan agama, kurang menyerlah usaha-usaha untuk beramal dengan agama. Mereka punya ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Kesannya bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi pada ahli keluarga, masyarakat, juga kepada negara. Masyarakat awam akan berdalilkan tindakan mereka, contohnya "Ustaz itu pun buat, apa salahnya. Kalau salah tentu ustaz itu tidak buat." Itu adalah nilaian orang awam yang jahil.

Sebab itu kita perlu menuntut ilmu dan kemudian barulah disusuli dengan amal. Ilmu dan amal itu harus bergantung pada sandarannya; bukan pada batang tubuh manusia tetapi bergantung terus kepada dalil-dalil yang disampaikan. Kesan dan impak beramal dirasai bukan sahaja oleh diri sendiri dan keluarga, bahkan juga oleh masyarakat dan negara. Kalau kita tidak beramal dan tidak menunjukkan contoh yang baik, mana mungkin perubahan dapat berlaku.

Sebab itu Allah SWT mencerca dan menyindir orang yang ada ilmu kemudian dia bercakap tetapi dia tidak mengamalkannya, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (surah Ash-Shaff: 2-3)

Ketiga, sebarkan ilmu setelah beramal. Daripada beramal pergi pula ke peringkat seterusnya iaitu an-nasyru (sebarkan). Islam agama dakwah. Islam agama nasihat. Sabda Nabi SAW, "Agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, "Bagi siapa?" Baginda menjawab, "Bagi Allah, dan bagi Kitab-Nya, dan bagi Rasul-Nya, dan bagi penguasa kaum Muslimin dan Kaum Muslimin secara umum." (riwayat Muslim no. 55)

Apabila Nabi mengatakan agama ini adalah nasihat, mesti ada kaedah untuk menyampaikan nasihat. Nasihat bukan disampaikan ikut suka hati. Bukan apabila kita melihat orang berbuat salah kita terus menghukumnya.

Nabi telah mengajar kita kaedah menyampaikan nasihat; kaedah penjagaan lisan dan perkataan, kaedah memilih tempat dan keadaan, kaedah melihat karektor seseorang. Jadi orang yang hendak menyampaikan nasihat perlu berhikmah yakni bijak memilih kaedah yang sesuai agar nasihat itu diterima dan memberi kebaikan kepada orang yang dinasihati. Ternyata demonstrasi bukan kaedah penyelesaian masalah di dalam agama Islam.

Kita tidak akan mampu membendung pelbagai jenis manusia yang berhimpun beramai-ramai di dalam demonstrasi. Menjerit, marah, emosi, maki hamun, kutuk, yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan. Itu bukan kaedah menyampaikan agama kepada orang.

Seorang budak Yahudi yang sedang sakit tertawan dengan Nabi sebelum kematiannya, Nabi pergi kepadanya dan berkata, "Sebutlah kalimah Laa-ilaaha-illallaah. Aku akan bersaksi dengan kalimah ini di hadapan Allah SWT engkau memeluk Islam." Budak ini lalu memberitahu bapanya bahawa Muhammad mengajaknya menyebut Laa-ilaaha-illallaah. Bapanya berkata, taatilah Abul Qasim (Muhammad SAW). Ini adalah kerana akhlak dan budi pekerti Nabi SAW yang mulia dan buat orang tertawan dengannya.

Kita perlu pandai memilih keutamaan. Keutamaan yang perlu kita memperbetulkan adalah akidah dan membasmi kesyirikan. Dahulukan yang paling penting di antara perkara-perkara penting lain. Kita tidak boleh memulakan dakwah dengan menyuruh orang menutup aurat. Orang yang berpuluh tahun tidak pernah menutup aurat, tiba-tiba kita menyuruhnya menutup aurat, dia akan menjadi lebih ego dan menentang. Akhirnya kita sendiri yang sakit hati.

Sebab itu seorang da'i harus pandai memilih keutamaan. Seorang pendakwah yang ingin mendakwah orang lain perlu ada bahan-bahan yang hendak disampaikan maka persiapkanlah diri dengan ilmu. Tingkatkan semula kekuatan yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam dengan cara mencari ilmu, beramal, dan dengan dakwah yang kita sampaikan.


FATHUL BARI MAT JAHYA, Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Ilmuan Malaysia(iLMU), Ilmuanmalaysia.com Ilmu-islam.com Utusan Malaysia Online Rencana 19 November 2012 / 5 Muharam 1434