December 2nd, 2012

Peringatan agar bertaubat

SETELAH Allah SWT menyebut perihal orang musyrik yang tidak mahu memerhatikan tanda kekuasaan-Nya yang dapat disaksikan di mana-mana sahaja di alam semesta ini, selanjutnya Dia menyebut pula perihal mereka yang tidak mahu memerhatikan ayat-ayat al-Quran yang disampaikan kepada mereka yang mengandungi peringatan dan ancaman bagi mengelakkan azab seperti yang telah menimpa kaum-kaum sebelum mereka.

Kemudian Allah SWT meneruskan pula kecaman terhadap mereka kerana tidak mahu bersikap belas kasihan sesama makhluk kerana mereka tidak membelanjakan harta untuk menolong orang yang memerlukannya.

Firman Allah SWT: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat, (mereka tidak mengendahkannya). (Yasin: 45)

Mujahid berkata: "Daripada berbagai-bagai dosa."

Ibnu Kathir berkata: "Ketakwaan kamu, maka Allah SWT merahmati dan menyelamatkan kamu daripada azab-Nya."

Al-Maghari berkata: "Apabila dikatakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT "awaslah, kamu pasti akan menerima bencana seperti yang pernah menimpa umat sebelum kamu. Begitu juga kamu hendaklah takut terhadap bencana-bencana yang pernah menimpa umat yang sebelum kamu kerana melakukan kemusyrikan dan mendustakan rasul Allah SWT."

Di samping itu pula kamu akan menerima azab yang lebih keras dan kamu mati dalam keadaan kafir. Semoga peringatan ini menjadikan kamu mahu bertaubat.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan watak orang kafir dan tidak beriman sentiasa mempertikaikan keputusan Allah SWT dan segala bentuk janji Allah, mereka mempermainkannya.

Mereka tidak merasa gementar dan takut, sebaliknya dengan bersahaja mempertikaikannya termasuk hari kiamat dan janji Allah. Golongan seperti ini sentiasa wujud di sepanjang zaman. Semoga Allah memelihara kita daripada disesatkan mereka.

Firman Allah SWT: Dan (Itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46)

Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak berharap dan tidak menerimanya serta menolak manfaat daripadanya."

Al-Maghari berkata: "Setiap kali ditunjukkan kepada mereka bukti-bukti keagungan ciptaan Allah SWT yang membukti keEsaan-Nya, dengan serta-merta pasti mereka menolak dan mendustakan serta mengejeknya."

Hakikatnya mereka itu tidak mahu membebankan diri mereka dengan mempercayai keEsaan-Nya dan kebenaran rasul. Allah SWT menyebut keengganan mereka menerima ayat-ayat-Nya, selanjutnya Dia menyebut pula kekejaman mereka sesama makhluk Allah SWT.

Dalam ayat-ayat yang dibincangkan di atas jelas mempamerkan sifat ingkar, protes dan tidak bersyukur atas kurniaan Allah yang pelbagai dan banyak.

Justeru, mereka sewajarnya mengambil iktibar berdasarkan kebenaran yang diserlahkan dalam al-Quran serta realiti sebenar yang berlaku dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan penemuan saintifik jelas menunjukkan kebenaran Ilahi.

Ulama berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan masa sulit yang dihadapi masyarakat Mekah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW menganjurkan kepada semua pihak termasuk kaum musyrikin membantu fakir miskin, namun mereka enggan.

Orang miskin yang telah memeluk Islam tidak lagi diberi bantuan dan ketika itulah kaum musyrikin mengucapkan kalimat yang kasar itu.

Marilah sama-sama kita sentiasa tadabbur ayat Allah untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan juga wasiat Tuhan kepada kita semua.




DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/11/2012

Tanah kubur masih cukup

RAMAI tidak mengetahui bahawa terdapat 46 tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan dengan 21 daripadanya terletak di Kuala Lumpur. Jumlah keluasannya pula 74.23 hektar dan ditadbir oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain Kuala Lumpur, terdapat 18 tanah perkuburan dengan keluasan 42 hektar di Wilayah Persekutuan Labuan dan sebuah lagi di Putrajaya dengan keluasan 47 hektar yang ditadbir oleh Perbadanan Putrajaya.

Fakta-fakta tersebut menggambarkan tanah perkuburan Islam mencukupi untuk masa akan datang.

Tetapi mengapa masih timbul persoalan kemampuan tanah perkuburan menampung jenazah untuk generasi umat Islam akan datang?

Adakah keluasan 74.23 hektar tanah perkuburan dalam Kuala Lumpur mampu untuk menempatkan jenazah pada masa akan datang?

Malah pembangunan yang kian rancak untuk memenuhi permintaan pembangunan dan kemajuan telah menyebabkan penerokaan tanah-tanah untuk tujuan seumpama itu. Adakah faktor kemajuan boleh memberi kesan kepada tanah perkuburan Islam?

Bagi menjawab persoalan itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali menjelaskan, salah satu tanah perkuburan yang diselenggara oleh pihaknya iaitu Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak mampu menampung keperluan sehingga 2061.

 Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau ketika merasmikan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak mencadangkan supaya negeri-negeri lain melaksanakan konsep kubur dalam taman bagi mewujudkan sistem pengurusan tanah perkuburan Islam dengan lebih sistematik. - Gambar hiasan Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau ketika merasmikan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak mencadangkan supaya negeri-negeri lain melaksanakan konsep kubur dalam taman bagi mewujudkan sistem pengurusan tanah perkuburan Islam dengan lebih sistematik.
- Gambar hiasan

Ujar beliau, dua tanah perkuburan lain iaitu Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 yang berkeluasan 5.8 hektar boleh menampung sehingga 2035 manakala Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 pula seluas 2.1 hektar mampu menampung sehingga 2055.

Sehubungan itu, Che Mat berkata, soal tanah perkuburan tidak mencukupi sudah tidak menjadi masalah memandangkan terdapat enam tanah perkuburan lain berkeluasan 22 hektar sedang dinaik taraf oleh Jawi.

Antaranya yang terletak di Bukit Jalil, Cheras, Titiwangsa dan sebagainya.

"Selain itu, Jawi akan meneliti beberapa lagi tanah perkuburan sekitar Wilayah Persekutuan yang berpotensi untuk dinaik taraf dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat Islam warga kota.

"Jumlah itu tidak termasuk enam buah tanah perkuburan yang belum dibangunkan dengan keluasan 22 hektar.

"Sebenarnya, pengenalan model Raudhatul Sakinah boleh mengurangkan pengunaan tanah perkuburan dengan spesifikasi kubur yang telah ditetapkan Jawi. Ahli keluarga si mati tidak boleh sewenang-wenang menambah apa-apa binaan kecuali yang telah ditetapkan.

"Dengan jumlah yang sedia ada, saya kira tidak timbul masalah kurang tanah kubur di Wilayah Persekutuan," jelas beliau.




 JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar ZAKARIA IDRIS Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/11/2012 

Hapus persepsi negatif kubur Islam

SEBAGAI makhluk yang dinamakan manusia tidak boleh terlepas daripada soal kematian, sama ada muda atau tua, beriman atau tidak, kaya mahupun miskin, masing-masing tidak terlepas daripada menyahut panggilan Ilahi.

Permulaan perjalanan kehidupan manusia iaitu ketika roh ditiup sehingga nyawa dicabut oleh Malaikat Izrail menunjukkan perjalanan di dunia ini hanya perhentian sementara yang bertujuan untuk menyimpan bekalan ke destinasi seterusnya, sama ada akan ditempatkan ke syurga idaman atau dicampakkan ke neraka dan menerima azab amat pedih.

Cerita kematian bukan dongengan, tetapi benar-benar terjadi seperti mana berlaku kepada ibu bapa, sanak saudara, rakan taulan dan masyarakat di sekeliling kita yang telah menyahut seruan Ilahi.

Maka, apabila jasad sudah tidak bernyawa lagi, mayat itu akan dikebumikan selepas dimandi, dikafan dan disembahyangkan. Tindakan itu bertepatan seperti mana hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: "Bersegera kamu dengan (pengurusan) jenazah."

Jasad manusia perlu dihormati menerusi pengurusan jenazah walaupun tubuh badan itu sudah tidak bernyawa. Bahkan ia perlu disemadikan dengan ditanam dalam perut bumi.

Demikian indahnya Islam dalam mengajar umatnya daripada sekecil sehinggalah sebesar perkara.

Jadi, mengapa timbul tanggapan tanah perkuburan yang dikaitkan dengan suasana seram, gelap dan juga dipenuhi semak-samun?

Perkara itu sebenarnya tidak mencerminkan imej Islam itu sendiri seperti mana sepotong hadis Rasullullah bahawa 'kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.'

Maka tercetuslah idea Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mewujudkan kubur dalam taman' atau dikenali sebagai Raudhatul Sakinah (taman ketenangan) bagi menghapuskan persepsi negatif terhadap tanah perkuburan Islam.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku pemegang amanah yang dipertanggungjawab menjaga semua tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selaku badan pelaksana mengambil inisiatif melaksanakan projek menaiktaraf kubur di ibu negara.

Seni landskap di kawasan tanah perkuburan diperindahkan, dibina kemudahan laluan pejalan kaki, binaan lot kubur dilengkapi nombor siri selain pencahayaan lampu pada waktu malam.

Tanah-tanah perkuburan tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Jawi iaitu, Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 dan Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 telah dijadikan model yang pertama kali diwujudkan di negara ini, malah di dunia.

Raudhatul Sakinah

Mengikut konsep konsep Raudhatul Sakinah, kawasan perkuburan dipecahkan kepada tiga elemen iaitu 80 peratus untuk tapak pengkebumian, 14 peratus kemudahan rangkaian pejalan kaki dan enam peratus infrastruktur.

Tapak pengkebumian dibahagikan mengikut blok-blok tertentu yang dipisahkan dengan siar kaki yang dihiasi dengan pokok-pokok renek serta penyalaan lampu untuk jalan utama.

Juga dilengkapi kawasan letak kereta yang luas dan teratur bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

 Che Mat Che Ali menjelaskan model Raudhatul Sakinah yang dilaksanakan oleh MAIWP dan Jawi dipuji oleh agensi-agensi agama seluruh negara, malah mereka berhasrat untuk mempraktikkan konsep itu di negeri masing-masing. Che Mat Che Ali menjelaskan model Raudhatul Sakinah yang dilaksanakan oleh MAIWP dan Jawi dipuji oleh agensi-agensi agama seluruh negara, malah mereka berhasrat untuk mempraktikkan konsep itu di negeri masing-masing. - Gambar hiasan

Suasana itu bukan angan-angan, tetapi sudah boleh dinikmati jika berkunjung ke Tanah Perkuburan Kuala Lumpur-Karak.

Berada di sana seolah berada di taman rekreasi yang mendamaikan apabila kawasan persekitaran dihiasi pokok rendang, berbau harum dan berwarna-warni seperti melor, bunga Cina, cempaka putih, kemboja dan lain-lain lagi. Tiada lagi stigma perasaan seram dan takut terhadap tanah perkuburan.

Menariknya ketika tiba di tempat berkenaan, bacaan al-Quran berkumandang. Alunan bacaan al-Quran itu berkumandang setiap hari bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 7.30 malam sama ada menerusi rakaman audio atau secara langsung oleh para qari yang bertugas.

Dalam pada itu Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Al berkata, Jawi telah menetapkan spesifikasi batu nisan dan kepungan kubur yang perlu dipatuhi para waris. Tambah beliau, mereka tidak dibenarkan untuk menambah atau mengubahkan spesifik yang telah ditetapkan.

Che Mat menjelaskan, binaan kubur berbeza antara lelaki dewasa, wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan dengan reka bentuk dan ketinggian batu nisan yang setiap bahagian dipisahkan mengikut kawasan masing-masing.

"Batu nisan lelaki berbentuk bulat manakala wanita pula pipih dan ketinggian untuk dewasa berukuran satu kali empat kaki dan saiz batu nisan kanak-kanak kecil daripada batu nisan kubur dewasa. Kepungan juga berbeza antara kubur dewasa dan kanak-kanak," jelas beliau.

Uniknya, Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak dikatakan menjadi tempat persemadian mana-mana anggota badan yang berpisah sama ada disebabkan oleh penyakit kencing manis atau kemalangan.

Bahkan bayi-bayi yang tidak diketahui status mereka dan mati akibat ditinggalkan oleh ibu mereka juga ditanam di tanah perkuburan berkenaan.

Che Mat menambah, selain warga kota yang dikategorikan sebagai bermastautin, golongan gelandangan yang meninggal dunia di celah-celah bangunan juga disemadikan di Raudhatul Sakinah termasuk individu mati akibat penyakit HIV yang disisihkan oleh ahli keluarga.

Berhubung kadar bayaran dikenakan untuk mengkebumikan jenazah, Che Mat menjelaskan lot-lot kubur tersebut adalah percuma.

"Selain mengangkat kemuliaan agama Islam terhadap mata masyarakat, kewujudan Raudhatul Sakinah dilihat mencegah amalan memuja kubur dalam semak samun yang mungkin membawa kepada amalan khurafat," jelas beliau.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar ZAKARIA IDRIS Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/11/2012