December 8th, 2012

Kebahagiaan yang dicari

SETIAP manusia yang hidup di dunia ini inginkan kebahagiaan. Pelbagai cara manusia mencari dan ingin mendapatkan kebahagiaan. Namun, kebahagiaan tidak juga muncul dalam hati dan dirinya. Kebahagiaan yang dicari di dunia ini tidak juga dapat dirasai dan kecapi. Sebenarnya kebahagiaan adalah milik Allah SWT, hanya Dia yang Maha Berkuasa untuk memberi nikmat itu kepada hamba-Nya.

Perjalanan hidup ini memberikan berbagai-bagai pelajaran kepada kita untuk dijadikan pengalaman. Bagaimanapun, kebanyakan orang dilamun keluh kesah, gelisah, tidak tenteram, kesempitan dan kegoncangan batin, diri berasa sepi, hidup kosong dan diri terasa tidak mempunyai apa-apa.

Tidak dapat dinafikan, umat Islam masa kini banyak mengalami gejala gangguan emosi dan penyakit rohani sehingga menimbulkan keresahan dan kegelisahan dalam hidup.

Akibatnya, fizikal atau jasmani manusia mengalami pelbagai seksaan dan penderitaan jiwa. Penyakit ini boleh membawa kepada keresahan hidup manusia dan jiwa tidak tenteram dan bahagia.

Kebahagiaan itu hanya akan dapat dicapai dengan jalan iktikad yang benar, yakin, iman dan agama. - Gambar hiasan

Mereka ini adalah di kalangan orang yang tidak mempunyai nikmat iman dan keyakinan hidup. Mereka tidak ada rasa dan tidak ceria, tawar, kosong walaupun mereka berada di kelilingi oleh kelazatan dan kemewahan. Mereka sentiasa mencari kebahagiaan, namun tidak dapat mengecap apa itu nikmat kebahagiaan.

Tokoh ilmuwan Barat, James F. Clark juga pernah mengakui yang menurutnya, di bawah naungan Yang Maha Pelindung, jiwa dapat beristirehat dengan tenang dan tenteram. Sementara menurut Gioacchino Rossini, jiwa yang menderita biasanya disebabkan oleh kesombongan sendiri. Ini disebabkan oleh akhlak yang tidak baik dalam diri seseorang.

Imam Al-Ghazali menyatakan, tujuan untuk memperbaiki akhlak adalah untuk membersihkan kalbu (jiwa) daripada kotoran-kotoran hawa nafsu menjadikan amanah hingga ia jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Tuhan. Kalau seseorang itu tidak mengetahui jiwanya sendiri yang paling dekat pada dirinya, apa gunanya dia menuntut berbagai-bagai ilmu pengetahuan itu.

Kebahagiaan yang dicari banyak terletak kepada jiwa seseorang. Jiwa orang yang beriman dan bertakwa akan mudah dan merasa nikmat kebahagiaan. Manakala jiwa yang kotor sukar untuk merasa nikmat kebahagiaan. (rujuk asy-Syams: 7-10)

Begitulah dijelaskan, kebahagiaan yang dicari terletak kepada ketakwaan dan kesucian jiwa sebagai kunci kepada kebahagiaan. Sebagai contoh pada zaman dahulu, kaum Samud telah mendustakan rasulnya, kaum ini telah melampaui batas dan berlaku zalim. Akhirnya, Allah SWT telah membinasakan kaum ini kerana dosanya dengan timbusan tanah. Peringatan ini sewajarnya menjadi peringatan kepada kita semua.

Sebagai hamba-Nya, kita seharusnya reda dengan apa yang ada pada kita. Selain itu, kita berusaha untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan dalam hidup.

Kebahagiaan yang kita cari tak semestinya kita peroleh. Namun, jika kita bersyukur dan menerima seadanya kita akan merasa nikmat kebahagiaan itu. Selain itu, renungi kehidupan orang yang lebih susah dan tidak bernasib baik, pasti kita akan berasa kita masih lagi bahagia daripada mereka.


AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/12/2012

Menyantuni si miskin

SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.


Jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah. 
- Gambar hiasan

Namun, jangan kita lupa bahawa manusia boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.

Ada juga orang menjadi miskin atas faktor latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk keluar daripada keadaan sedemikian.

Maka, untuk memuliakan manusia hamba itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)

Hakikatnya, walau apa pun situasi kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)

Pemberian

Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya, sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat, dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)

Perkara yang paling dilarang adalah, jika si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/12/2012

Teriakan petanda kiamat

PADA ayat yang sebelumnya, Allah SWT menyuruh mereka bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan supaya jangan menerima azab seperti yang pernah dialami oleh umat-umat terdahulu kerana mereka telah mendustakan para rasul.

Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek.

Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."

Firman Allah SWT: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)

Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"

Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."

Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.



Bencana- bencana yang berlaku sekarang ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu diambil pengajaran. - Gambar hiasan


Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu.

Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.

Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.

Firman Allah SWT: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)

Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."

Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula."

Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.

Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/12/2012

Persediaan hadapi risiko dituntut

Era globalisasi, perkembangan dunia semakin pesat, dinamik dan penuh persaingan ini, kemungkinan pekerja untuk berdepan pelbagai bentuk kesukaran serta kemungkinan risiko sama ada yang boleh diduga mahupun tidak adalah tinggi.

Justeru, selain merancang dan berusaha untuk mencapai sasaran atau matlamat, pekerja perlu menyiapkan diri dengan persediaan serta kekuatan mengurus risiko. Risiko bermaksud perkara yang tidak dijangka dan ketidakpastian yang memberi kesan buruk atau negatif kepada kita.

Contoh risiko ialah penyakit, bencana, kemalangan dan sebagainya. Risiko boleh berlaku disebabkan faktor manusia sama ada disebabkan kekurangan, kecuaian atau kelalaian, proses kerja, kewangan, sistem dan peralatan.

Persediaan hadapi risiko

Oleh itu, mengurus risiko berkait rapat dengan persediaan menghadapinya, pemantauan dan penilaian yang berterusan untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kejadian tak diingini. Ia adalah suatu aspek dalam mengurus kerja yang kadangkala terlepas pandang kecuali apabila ia sudah berlaku.

Jika bidang kerja memang terdedah dengan risiko seperti keselamatan dan pencemaran bak pepatah Melayu mengatakan sudah terhantuk baru terngadah.

Usaha persediaan bagi mengelakkan daripada risiko adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sesuai dengan matlamat syariah untuk memelihara umat dan mengembangkan kebaikan serta menghindarkan keburukan.
Tawakal selepas berusaha

Satu hari Rasulullah SAW melihat seorang Arab Badwi meninggalkan untanya tanpa ditambat. Baginda bertanya kepada Badwi itu: “Mengapa kamu tidak menambat untamu? Badwi itu menjawab: “Aku bertawakal kepada Allah SWT.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Tambat unta kamu kemudian bertawakallah kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain menunjukkan maksud tawakal adalah dengan berusaha terlebih dulu kemudian barulah berserah kepada Allah SWT, nasihat Rasulullah SAW juga membuktikan persediaan perlu dalam mengurus risiko.

Dalam konteks ini, risikonya ialah kehilangan unta. Malah, dalam sabda Baginda yang masyhur mengenai merebut lima perkara nikmat juga membuktikan ajaran Islam menggalakkan kita bersiapsiaga sebelum datangnya lima risiko keadaan atau keburukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. (Iaitu) muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sikap hadapi risiko

Justeru, antara pelbagai pendekatan Islam yang boleh diaplikasikan ialah pertama, persiapan sebelum berdepan risiko dan kedua, sikap ketika berdepan risiko.

Persiapan untuk mengurangkan risiko bermula dengan kesedaran dan kefahaman bahawa risiko adalah ujian. Manakala sikap yang perlu ada apabila mendepani risiko ialah tabah dan tidak mudah putus asa atau berpantang mati sebelum ajal.

Pekerja yang faham mengenai ujian dalam kehidupan akan lebih mudah menerima hakikat risiko dan berdepan dengannya secara tenang, tidak mudah berputus asa serta bersikap terburu-buru dalam tindakan atau dengan mudah pula menuding jari kepada yang lain.

Ujian sekadar mendidik

Pemikiran positif yang ditanamkan mengenai ujian ialah ia untuk mendidik bukannya menghukum. Menurut Sheikh al-Imam Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam al-Hikam, ujian mendidik kita supaya menilai kelemahan diri, tindakan, amalan, mendidik jiwa sabar, taubat supaya bertakwa kepada Allah SWT.

Apabila manusia terdidik melalui ujian ini, Allah SWT akan memberikan pertolongan serta meninggikan pula kedudukannya.

Iktibar boleh diambil dalam peristiwa Perang Badar seperti pertolongan Allah SWT dalam firmanNya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhan kamu, lalu diperkenankan oleh-Nya bagi kamu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peluang capai matlamat

Begitu juga dalam konteks risiko. Kejayaan mengurus risiko bererti pekerja berjaya membuka lebih banyak peluang untuk mencapai matlamat disasarkan yang akan membawa kepada peningkatan pencapaian organisasi.

Manakala ketika berdepan dengan sebarang ujian atau risiko pula kita perlu tabah dan tidak mudah berputus asa. Kita diingatkan bahawa berputus asa adalah sikap orang yang sesat lagi dibenci Allah SWT.



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Berita Harian Online Agama Sabtu , 08 Disember 2012

Lima sifat perosak iman punca kufur

Iman asas berdirinya peribadi mukmin. Ia umpama pokok dan iman ialah tunjang bagi menjamin kekuatan pokok itu. Iman boleh diibaratkan seperti sebuah rumah di mana iman ialah tapak yang menjadikan rumah berdiri dengan teguh.

Amal soleh serta kewajipan yang ditunaikan adalah isi rumah sebagai pelengkap kepada binaan itu. Perkara sunat yang dilakukan akan menambahkan koleksi kecantikan supaya ia tersergam indah menjadi tarikan mata yang memandang sehingga menjadi impian setiap insan memilikinya.

Namun, segala kekuatan dan kecantikan akan pudar dengan amalan maksiat seterusnya meruntuh serta membinasakan binaan itu.

Begitulah perumpamaan iman dalam jiwa Muslim yang perlu dibaja setiap masa.

Rukun Iman adalah kekuatan yang dimaksudkan, namun rukun yang menyebabkan manusia menjadi kufur mesti dikenal pasti dan diingati supaya kita sentiasa berwaspada terhadap amalan meruntuhkan keimanan.

Sifat merosakkan iman

Penyakit yang sudah dikenal pasti sebagai virus perosak kepada keimanan adalah:

l Sombong (Kibr), amalan iblis sejak turun temurun yang menyebabkan ia diisytiharkan kafir oleh Rabbul Jalil. Firman Allah SWT: “Apakah yang menghalangmu daripada sujud kepada Adam? Iblis menjawab, Aku adalah lebih baik darinya kerana aku diciptakan daripada api dan Adam diciptakan daripada tanah yang kotor.” (Surah al-A’raf, ayat 12)

l Kedegilan (I’nad) yang menyaksikan Firaun menolak kebenaran seruan Nabi Musa. Akhirnya kedegilan ini meletakkan Firaun ke peringkat mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Kematian yang menyakitkan dihadapi Firaun ketika tenggelam dan akhirnya mengaku kenabian Musa selepas nyawa berada di penghujung ternyata sudah terlewat.

l Nifaq (perbuatan orang munafik) yang menyembunyikan permusuhan mereka terhadap agama di sebalik kata-kata manis yang diucapkan. Kelakuan mereka juga berbeza daripada apa yang dipamerkan di khalayak.

Dua bahagian nifaq iaitu besar (Akbar) dan kecil (Asghar). Nifaq Akbar dikaitkan dengan aqidah di mana seseorang menyembunyikan kekafirannya. Nifaq Asghar pula dikaitkan dengan akhlak dan kelakuan.

Tak diampun dosa

l Syirik yang meletakkan kuasa lain mengatasi kekuasaan Allah SWT. Syirik adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT dan tidak akan di ampunkan dosanya.

Syirik juga merangkumi kepercayaan adanya sesuatu yang boleh memberi pengaruh selain Allah SWT di alam ini, baik berupa bintang, jin, arwah atau hantu serta mempercayai bomoh dan pendusta. Syirik moden hari ini lebih berbahaya apabila mengagungkan manusia atau ideologi bercanggah dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.

l Derhaka terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya dengan meninggalkan segala perintah dan melakukan larangan tanpa segan silu. Mereka akan mendapat ancaman berat daripada Allah SWT kerana perbuatan itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah SWT menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan, semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah SWT menutupi dosa itu semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lima penyebab manusia kufur

Kelima-lima perkara itu berkeupayaan besar membawa manusia menjadi kufur semula selepas mereka beriman.

Oleh itu, kita mesti mencari satu alternatif untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dengan menyuburkan keimanan sehingga menjadi satu kemanisan.

Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara, barang siapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman: Menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT dan membenci untuk kembali kepada kekafiran selepas Allah SWT menyelamatkannya seperti ia membenci untuk dilemparkan ke neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP. Berita Harian Online Agama Sabtu , 08 Disember 2012