December 11th, 2012

Mencari keikhlasan dalam diri

Kuasa, kekayaan dan pengaruh ujian besar, cabar kemampuan

Ulama terkemuka dan ahli ibadah yang zuhud, Al-Fudhail bin Iyadh, berkata meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, mengerjakan amal kerana manusia adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah jika Allah memberikan anugerah kepadamu untuk meninggalkan kedua-duanya.

Bagaimanapun, sukar untuk menentukan keikhlasan seseorang. Keikhlasan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kata-kata seseorang yang menyebut perkataan ikhlas atau catatannya yang bertulis ikhlas.

Biasanya kuasa, kekayaan dan pengaruh banyak menguji keikhlasan seseorang. Semakin masyhur dan terkenal seseorang itu, semakin mencabar diri dan kedudukannya. Sebab itulah sesetengah ulama takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh orang lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. Anda juga tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain. Demikian pula, janganlah gusar jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia. tetapi menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah.”

Rasulullah SAW bersabda: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya.”

Kisah Khalid Ibn Waled sangat diingati apabila perbincangan berhubung maksud keikhlasan dalam konteks kepemimpinan. Kegagahan dan kepahlawanan Khalid Ibn Waled sebelum dan selepas Islam tidak boleh dinafikan sesiapapun.

Bahkan beliau terus diberi kepercayaan sebagai seorang panglima perang selepas memeluk Islam kerana kebolehannya yang diakui. Namun, kedudukan beliau sebagai seorang Islam akhirnya diuji dan keikhlasannya dinilai ketika pemerintahan Saidina Umar Al Khattab.

Khalid Ibn Waled yang terkenal dengan keberanian dan kehebatan strategi perangnya telah dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah iaitu pada tahun 13 Hijrah, sejurus selepas Saidina Umar dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.

Kedua-dua peristiwa itu bukanlah disebabkan Khalifah tidak memandang jasa dan pengorbanan Khalid Ibn Waled dan bukan juga disebabkan Khalid menghadapi masalah hubungannya dengan Khalifah.

Tindakan yang dilakukan Saidina Umar adalah semata-mata untuk menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah. Khalifah tidak mahu umat Islam terpengaruh dan terpukau dengan kebolehan Khalid Ibn Waled sehingga tersilap sangka bahawa kemenangan Islam disebabkan kehandalan Khalid, bukannya kerana bantuan Allah SWT.

Meskipun dilucutkan jawatan, Khalid Ibn Waled tanpa rasa kecewa telah menanggalkan serban seorang panglima perang lalu diserahkannya kepada Abu Ubaidah seperti mana yang diminta oleh Khalifah.

Begitu juga peristiwa di mana Khalid Ibn Waled dipecat dari jawatannya sebagai Gabenor di Syria oleh Khalifah lalu beliau berkata: “Amir al-Mukminin (Umar) melantik aku sebagai Gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancar, beliau melucutkan jawatanku.

Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai tuan, ia waktu untuk bermulanya fitnah. Khalid kemudian menjawab: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah boleh berlaku.”

Bagi menggambarkan pandangan jauh, ketegasan dan keberanian Khalifah Umar, Khalid Ibn Waled menerima pemecatannya itu dengan baik bagi menggambarkan sahsiahnya sebagai seorang Islam.

Khalid Ibn Waled dilihat begitu yakin terhadap kepimpinan Saidina Umar yang lebih mengutamakan kepentingan memelihara agama, demi mengelakkan fitnah dan menghalang pemujaan kepada tokoh.

Betapa sukarnya mencari keikhlasan yang dimiliki oleh insan bernama Khalid Ibn Waled pada hari ini terutama ketika berdepan dengan ujian kesetiaan kepada pasukan dan organisasi diperlukan.


Amran Zakaria Berita Harian Online Agama Selasa , 11 Disember 2012

Kemelut punca kelemahan ummah

Gagal kuasai ekonomi punca tidak mampu hadapi cabaran masa kini

Kedudukan umat Islam di seluruh dunia agak lemah dan keadaan ini menyebabkan suara umat Islam tidak diendahkan. Nasib umat Islam di seluruh dunia diwarnai dengan kedukaan, penindasan, kemiskinan, perpecahan sesama sendiri dan dijajah.

Kekayaan umat Islam di seluruh dunia kini jauh ketinggalan berbanding penganut agama lain. Hanya lima negara Islam menikmati perkapita Keluaran Negara Kasar (KNK) melebihi RM38,000. Kekayaan itu dinikmati hasil petroleum yang wujud secara semula jadi di perut bumi negara masing-masing.


Malaysia negara Islam termaju

Tidak ada satu pun negara Islam yang dikategorikan sebagai negara maju. Malaysia dianggap negara Islam paling maju dalam kalangan negara Islam.

Gambaran ini jelas memperlihatkan kelemahan ekonomi umat Islam untuk berdepan cabaran masa kini. Senjata utama masyarakat globalisasi ialah kekuatan ekonomi. Mana-mana negara tiada kekuatan ekonomi mudah dijajah secara kuasa ekonomi dan politik negara maju.

Kelemahan ekonomi bermakna kelemahan hampir dalam kesemua aspek kehidupan. Keupayaan negara bergantung kepada kekuatan ekonomi. Untuk menyediakan kemudahan pendidikan memerlukan peruntukan besar dan tanpa pendidikan, rakyat terus ketinggalan dalam segenap segi.

Peruntukan lebih besar lagi diperlukan jika ingin mengadakan angkatan tentera yang memiliki peralatan canggih. Wang yang banyak juga diperlukan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur demi keselesaan hidup rakyat.

Inilah masalah utama yang membelenggu umat Islam seluruh dunia. Sekiranya negara Islam tidak mampu menyediakan kemudahan untuk rakyatnya, maka kualiti hidup rakyat berada pada paras rendah.

Hal ini sekali gus tidak mampu untuk menjana ekonomi peringkat individu dan keluarga. Keluarga miskin terdedah kepada konflik rumah tangga dan terjebak aktiviti bermoral rendah seperti pelacuran, mencuri dan rasuah. Kemiskinan menghampirkan seseorang kepada kekufuran.

Pendapatan Yahudi melebihi orang Islam

Kajian terhadap umat Islam di 123 negara mendapati pendapatan perkapita mereka hanyalah RM6,536. Berbanding orang Yahudi di 113 buah negara, mencatatkan pendapatan perkapita RM61,180. Ini bermakna pendapatan perkapita orang Yahudi kira-kira sembilan kali ganda berbanding orang Islam.

Jadi, tidak menghairankan jika Yahudi dapat menguasai dunia. Kuasa kewangan yang mereka miliki boleh mempengaruhi politik dunia. Politik di Amerika Syarikat yang dianggap kuasa terkuat di dunia juga tidak dapat membebaskan diri daripada pengaruh politik Yahudi.

Kemelut inilah punca umat Islam ketinggalan dalam perlumbaan dengan penganut agama lain. Umat Islam mempunyai banyak sumber tenaga buruh. Jumlah umat Islam di seluruh dunia mencecah lebih 1.5 bilion orang.

Umat Islam berada hampir di seluruh dunia. Penduduk Islam di negara bukan Islam semakin bertambah. Di Britain dipercayai terdapat 1.3 juta umat Islam, Jerman (3.2 juta) dan Perancis (4.2 juta). Kadar pertambahan umat Islam lebih tinggi berbanding penganut agama lain.

Kegagalan umat Islam

Jika seluruh tenaga umat Islam digemblengkan membina kekuatan ummah, sudah pasti maruah umat Islam tidak tercemar seperti sekarang. Kegagalan terletak di tangan umat Islam sendiri yang tidak mampu menterjemahkan ajaran Islam yang suci.

Disebabkan tidak memiliki kekuatan ekonomi dan ketenteraan, umat Islam sekadar mampu merintih dan berdoa melihat saudara seagama menjadi mangsa kekejaman. Nasib umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan di negara minoriti umat Islam amat menyedihkan.

Justeru, untuk bangkit menjadi agama menarik pada pandangan penganut agama lain, umat Islam perlu mempertingkatkan kuasa ekonomi. Hal ini dapat dicapai sekiranya umat Islam menguasai ilmu pengetahuan.

Sejarah kegemilangan Islam di kota Baghdad berpunca ledakan ilmu yang menjadi keutamaan umat Islam ketika itu. Ramai ilmuwan ketika itu yang melahirkan karya agung sehingga masih dijadikan rujukan dalam bidang masing-masing sehingga sekarang.

Hakikat inilah mendorong kerajaan kita bersungguh-sungguh membangunkan institusi pendidikan bertaraf dunia di Malaysia.

Umat Islam mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha memakmurkan alam ini. Ini hanya menjadi realiti jika umat Islam bangkit memperbaiki kedudukan sekarang. Kekuatan ketakwaan, ilmu dan perpaduan adalah senjata untuk mencapainya.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama Selasa , 11 Disember 2012

Rahsia, khasiat Susu Kambing Anugerah

SUSU kambing adalah sebahagian sunnah Nabi. Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasuluulah s.a.w bersabda, “Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali dia itu seorang gembala kambing”.

Maka, sahabat bertanya “Adakah Tuan juga?” Jawab baginda “Ya, aku pernah menggembala kambing dan bertanggungjawab ke atas beberapa bahagian penduduk Mekah”.

Dalam hadis lain yang disandarkan kepada Abu Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Akan tiba suatu masa di mana kambing adalah sebaik-baik harta bagi orang Islam. Orang Islam akan memeliharanya di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, hidup terpencil dari masyarakat demi memelihara agama daripada ditimpa bencana”.

Susu Kambing Anugerah diperkenalkan untuk membolehkan pengguna menikmati manfaat nutrien semula jadi di dalam susu itu.


Susu itu diperkayakan dengan beberapa ramuan aktif yang terbukti secara saintifik. Paling istimewa, ia ditenagakan dengan bacaan 30 juzuk al-Quran serta doa-doa pilihan.

Susu Kambing Anugerah membantu mengurangkan masalah pernafasan seperti bronkitis, asma dan rheumatik.

Ia membantu penghidap insomnia, demam kuning serta pembentukan tulang dan gigi yang sihat.

Ia mempunyai kandungan protein lebih tinggi daripada susu lembu dan hampir menyamai susu ibu.

Ia amat sesuai bagi mereka yang alah kepada susu lembu.

Susu Kambing Anugerah lebih mudah dicerna, mengandungi kalsium untuk tumbesaran dan kekuatan tulang, potassium untuk mengimbangi tekanan darah dan fungsi jantung, serta kaya dengan riboflavin dan Vitamin B untuk pembakaran lemak badan serta menghasilkan tenaga dalam badan selain mengatasi kelesuan.

Kombinasi 30 Juzuk al-Quran, khasiat organik susu kambing dan tujuh ekstrak penting untuk penawar dan kesihatan diri.

Imam Muda, Ustaz Khairul Azhar Ghazali, berkata susu kambing boleh dicampurkan dengan pelbagai nutrien lain untuk kesihatan yang optimum.

Beliau berkata, Susu Kambing Anugerah ini dibacakan dengan 30 juzuk al-Quran dan doa-doa pilihan membantu mengekalkan kesihatan.

“Ia diperkaya dengan nutrien penting seperti ekstrak biji aprikot, ekstrak ginkgo biloba, ekstrak buah delima, ekstrak kismis, ekstrak gam arab dan ekstrak habbatus sauda.

“Ekstrak Ginkgo Biloba sebagai ‘makanan’ untuk otak kerana ia berfungsi untuk meningkatkan pengaliran darah dan oksigen ke otak.

“Ekstrak ini menajamkan fikiran, menguatkan daya ingatan dan mengatasi masalah lupa. Ekstrak kismis juga antara ramuan di dalam Susu Kambing Anugerah,” katanya.

Ekstrak habbatus sauda yang mengandungi kalsium, zat besi dan potassium membantu meningkatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan keradangan dan pembentukan sel-sel tumor.

Ekstrak Gam Arab di dalam susu ini menstabilkan kontraksi usus kecil, mengurangkan masalah sembelit dan cirit-birit.

Susu Kambing Anugerah lebih mudah dicerna, mengandungi kalsium untuk tumbesaran dan kekuatan tulang, potassium untuk mengimbangi tekanan darah dan fungsi jantung, serta kaya dengan riboflavin dan Vitamin B untuk pembakaran lemak badan serta menghasilkan tenaga dalam badan selain mengatasi kelesuan.


“Malah, ekstrak delima mengandungi antioksidan serta nutrien lain seperti zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan Vitamin C.

“Ekstrak biji aprikot pula mengandungi vitamin B17 yang membantu merawat dan mencegah kanser.

“Kami juga menggunakan ekstrak kolagen, sebagai agen aktif untuk awet muda, mengurangkan geseran antara tulang sendi dan menajamkan penglihatan,” katanya.

Katanya, sebagai umat Islam, kita harus yakin segala doa dan hajat akan dipenuhi dengan izin Allah.

“Usah lupa mengiringi doa itu dengan usaha dan amalan yang gigih bagi memastikan doa kita dimakbulkan,” katanya.

Hubungi Emi-Q, Tingkat 15, Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur atau talian 03-2072 5555, 019-369 9998 atau laman web, www.anugerahquran.com dan Facebook Anugerah https://www.facebook.com/anugerahquran untuk maklumat lanjut.


myMetro Variasi Ad Din Jumaat, 07 Disember 2012

Kehebatan amalan zikir

APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.

Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.

Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”

Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.

Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.

Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuatkanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.

“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.

“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”

Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu dengan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.

Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontarkan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka meninggalkan kewajipannya terhadap Allah.

Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Imam Ibnu Taimiyyah berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.


Mohd Rizal Azman Rifin rencana@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 06 Disember 2012

Cari lelaki beragama sebagai teman

BAGI mereka yang masih mencari pasangan, jangan terlalu menyukarkan diri meletakkan piawaian tertentu seperti mahu menunggu insan yang ideal atau sempurna.

Meletakkan ‘sasaran’ untuk bertemu dengan pasangan soleh dan solehah termasuk beriman, mempunyai tujuan hidup, pengetahuan agama yang baik selain memiliki rupa paras menarik tidak salah malah digalakkan Islam.

KASIH SAYANG...kepemimpinan dan ketaatan dalam rumah tangga bersendikan kasih sayang menjadi matlamat ikatan perkahwinan.

Cuma, jangan terlalu menyempitkan usaha itu sehingga akhirnya menyerah kalah atau mengambil keputusan enggan berkahwin apabila menemui kegagalan.


Memang kita tidak boleh mengambil remeh usaha mendapatkan insan terbaik kerana mereka yang akan menemani kita sepanjang hayat.

Pokok pangkalnya, bersederhana kerana tahap soleh dan solehah yang diimpikan itu memerlukan proses didikan serta penghayatan berpanjangan.


Lebih baik setiap orang meletakkan sandaran lebih tinggi buat diri mereka berbanding pasangan.

PEMIMPIN KELUARGA...Allah memberikan tanggungjawab memimpin kepada lelaki yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.
Dalam soal mencari suami menurut kaedah Islam, pastinya setiap wanita amat mengharapkan pasangannya seorang suami yang bertanggung jawab. 

Namun, ia tidak akan berjaya jika hanya sebelah pihak saja. Suami isteri perlu bekerjasama erat dalam membangunkan rumah tangga mereka.

Siapa yang mahukan pasangan hidup yang baik, perlu berusaha menjadi lebih baik.

Apakah kriteria yang selayaknya bagi seorang lelaki itu dipilih untuk dijadikan suami?

Banyak ciri yang digariskan, antaranya sejauh mana mereka bersedia memikul tanggungjawab memimpin keluarganya. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). (Surah an-Nisa’ 4: 34)


Itu bagi menjamin kebahagiaan dan pengurusan keluarga yang baik. Bagi memiliki daya kepimpinan yang baik, suami perlu memiliki ilmu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Manusia tidak memiliki kekuatan begitu juga dengan soal jodoh. Semuanya atas keizinan dan pertolongan Allah. Sebab itu sesiapa yang mahu mendapat jodoh perlu sentiasa berdoa kepada Allah. Dalam Surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “Mereka yang berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhan kami, beri kami beroleh isteri-isteri zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hatinya melihatnya dan jadikan kami imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa.”

Setiap perubahan ke arah lebih baik tidak bermula dari orang yang kita inginkan mereka berubah sebaliknya diri kita dulu perlu melakukan perubahan.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, perkahwinan adalah proses yang membabitkan ramai pihak sebab itu ia memerlukan perbincangan teliti bersama ahli keluarga. 

“Itu adalah jalan terbaik bagi memastikan matlamat yang diidamkan daripada ikatan itu tercapai dengan sempurna. 

“Tidak dinafikan, pilihan sendiri mungkin dibuat atas dasar mengenali hati budi tetapi ada ketikanya kriteria pemilihan bukan berdasarkan pemikiran yang matang. 

“Pilihan orang tua pula mungkin baik pada mata mereka tetapi pandangan anak mengenai orang yang boleh menyokong hala tuju kehidupan mereka mungkin berbeza dengan ibu bapa. 

“Oleh itu, andai kedua-dua aspek itu boleh digabungkan, sudah tentu dapat melahirkan ikatan yang membuahkan kasih sayang kukuh di antara semua pihak. 

“Keegoan dalam menentukan hak membuat keputusan boleh merencatkan hubungan kekeluargaan yang sepatutnya seperti ‘air yang dicincang tidak akan putus’,” katanya.

Beliau berkata, Allah memberikan tanggungjawab Qiwamah (memimpin) kepada lelaki.

“Ramai yang menganggap ia satu penghormatan namun realitinya satu tanggungjawab yang besar. Kedua-dua pihak perlu faham peranan suami sebagai pemimpin rumah tangga bukanlah dalam bentuk hubungan majikan dengan pekerja atau tuan dengan hamba.

“Kepimpinan dan ketaatan dalam ruang lingkup rumah tangga adalah bersendikan kasih sayang (mawaddah dan rahmah). Itu adalah matlamat ikatan perkahwinan. 

“Sebab itu, kasih sayang menjadi elemen paling penting yang perlu dipupuk dalam rumah tangga. Jika suami memimpin dengan kasih sayang dan isteri pula mentaati dengan kasih sayang, rumah tangga menjadi “rumahku syurgaku”,” katanya. 

Menurutnya, wanita perlu memilih lelaki terbaik untuk menjadi pasangan hidup mereka kerana kehidupan masa depan akan ditentukan oleh lelaki yang dipilihnya itu.

“Kita sering mendengar saranan Islam kepada lelaki mengenai kriteria pemilihan calon isteri, namun jangan kita lupa kriteria itu juga perlu menjadi piawaian bagi wanita memilih calon suami mereka. 

“Walaupun wali mempunyai hak memutuskan calon suami bagi seseorang anak dara, Islam tidak menolak suara mereka sebelum keputusan dibuat untuk menerima pinangan seseorang lelaki.

“Bahkan ulama amat menggalakkan serta mengatakan ia adalah sunat. Tidak salah untuk ‘perigi mencari timba’ asalkan melalui proses yang selari dengan kehendak syarak dan tidak canggung dari segi adat seperti dilakukan Saidatina Khadijah.

“Pada pandangan Islam, apa yang Saidatina Khadijah lakukan itu bukan saja membabitkan kehidupan di dunia semata-mata tetapi juga akhirat,” katanya.

Penentuan jodoh adalah termasuk dalam qada dan qadar Allah. 

“Dalam beriman dengan qada dan qadar Allah, kita diajar sunnatullah iaitu konsep sebab dan akibat atau usaha dan hasil. 

“Sama juga halnya dengan bab jodoh, segala ketetapan hanya Allah yang menentukan. Sebagai hamba kita perlu berusaha mencari yang terbaik. 

“Dalam proses mencari atau memilih jodoh terbaik, jangan sekali-kali lupa untuk memohon bantuan daripada Allah seperti berdoa, solat hajat dan solat istikharah. 

“Jika cepatnya perkahwinan itu tidak semestinya membawa kebahagiaan manakala lambat juga tidak semestinya membawa penderitaan. Ada ketikanya, kelewatan itu membuka ruang untuk bertemu dengan calon yang lebih baik.

“Manakala perkahwinan awal memberi ruang waktu yang panjang untuk saling memperbaiki kelemahan diri demi persefahaman dan kebahagiaan bersama. 

“Yang penting, dalam hal ini ialah kesungguhan untuk menjaga diri daripada terjebak dalam perbuatan yang keji dan maksiat,” katanya.

Rahimi berkata, memilih calon suami bukan seperti memilih pakaian untuk dipakai. 

“Pakaian yang cantik dan memuaskan hati, boleh terus dipakai manakala pakaian buruk dan menampakkan kita hodoh, boleh dibuang tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepada kita. 

“Kita mungkin rugi dari segi kewangan, namun, memilih calon suami sangat berbeza kerana jika mendapat yang terbaik berbahagialah seorang wanita itu. 

“Sebaliknya, jika salah membuat pilihan, ia meninggalkan kesan terhadap fizikal, emosi, harta benda, bahkan zuriat jika memilikinya.

“Suami tidak boleh ditukar ganti seperti mana kita menukar ganti pakaian. 
Justeru, proses memilih suami perlulah melalui langkah yang sangat teliti dan berhati-hati supaya tidak tersalah pilih. 

“Gunalah apa saja ruang yang ada selagi tidak bertentangan dengan syarak untuk mengenali ciri sebenar lelaki yang bakal dijadikan ketua keluarga kita,” katanya.

Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 06 Disember 2012

Mengecapi kemanisan iman

ABDULLAH Al-Mubarak seorang ulama besar pada masa tabiin dahulu. Selain pakar dalam ilmu agama, beliau juga sangat soleh. Kesolehan itu melahirkan kebijaksanaan dalam melihat kehidupan.

Ibnu Al-Mubarak pernah berkata: "Sungguh kasihan penduduk dunia. Mereka meninggalkan dunia sebelum mengecapi sesuatu yang paling nikmat di dalamnya."

Seseorang bertanya: "Apakah ia itu wahai Imam?" Beliau menjawab: "Mengenal Allah SWT."

Meskipun ucapan ini berasaskan pengalaman peribadi, namun beberapa hadis memang mengisyaratkan bahawa iman memiliki rasa.

Rasanya sangat manis melebihi semua kemanisan di muka bumi ini. Maka, sungguh rugi orang yang tidak pernah mengecapi manisnya iman selama puluhan tahun hidupnya di dunia. 

KEMANISAN iman hanya boleh dirasai oleh hati yang sihat. - Gambar hiasan
Kemanisan iman hanya boleh dirasai oleh hati yang sihat. Sebagaimana tubuh yang sakit membuat lidah menjadi pahit. Maka, hati yang sakit, membuat iman tidak terasa manisnya.


Hati menjadi sakit apabila mengandungi salah satu penyakit hati seperti hasad dengki, dendam, buruk sangka dan lain sebagainya. Selagi mana hati masih menyimpan penyakit, selama itu juga ia tidak akan merasakan manisnya iman.

Kesihatan hati

Salah satu cara untuk mengembalikan kesihatan hati adalah dengan melakukan tip-tip berikut ini. Semua tip ini berasal daripada hadis Nabi dan ucapan para ulama yang diakui kesolehannya.

Pertama: Siapa yang berminat merasakan manisnya iman, ia mesti berserah kepada ketentuan Allah dan rasul-Nya, juga tunduk kepada aturan Islam.

Rasulullah SAW bersabda: Akan merasakan kemanisan iman; seseorang yang reda Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad SAW sebagai rasulnya. (riwayat Al-Bukhari)

Siapa yang reda Allah sebagai tuhannya, ia akan sabar menerima takdir-Nya. Setiap musibah dan kesusahan yang menimpa akan diterima dengan hati yang lapang dan bersyukur.

Imam Al-Ghazali dalam Ihya bercerita: seseorang melihat luka yang terdapat di kaki Imam Wasi' bin Hibban. Ia lalu berkata: "Setiap kali aku melihat luka ini, aku sangat kasihan kepadamu."

Wasi bin Hibban malah menjawab: "Sejak luka ini keluar di kakiku, aku selalu bersyukur. Kerana Allah SWT tidak menjadikan luka ini di dalam mataku."

Siapa yang reda Muhammad sebagai nabinya, ia akan melaksanakan semua sunnahnya. Dan siapa yang reda Islam sebagai agamanya, ia akan tunduk patuh dengan semua hukum dan aturan Islam.

Kedua: Siapa ingin merasai kemanisan iman, ia mesti menanamkan rasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya, mencintai manusia kerana Allah dan sangat membenci kemungkaran.

Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara; sesiapa yang memilikinya, maka ia akan merasakan manisnya iman. Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi sesuatu yang lain. Ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata-mata. Dan ia enggan kembali kepada kekufuran sebagaimana keengganannya dicampakkan ke dalam api. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Siapa yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, ia akan mengorbankan apa sahaja untuk membela agama Allah. Siapa yang mencintai seseorang kerana Allah, ia akan selalu menasihatinya dengan lemah lembut dan bersabar dengan kesalahan-kesalahannya. Dan siapa yang membenci kemungkaran, maka ia tidak akan pernah mendekatinya apalagi melakukannya.

Ketiga: Siapa yang ingin merasai kemanisan iman, paksalah diri untuk menyukai ibadah. Sama ada ibadah yang wajib mahupun yang sunat. Setiap kali melakukan amalan ibadah, jangan bersegera bangkit daripadanya. Sebaliknya, berusahalah untuk berlama-lama di dalamnya.

Tanda hati sihat

Ini kerana menyukai ibadah adalah tanda hati yang sihat. Sebab zikir dan ibadah merupakan makanan jiwa. Jika kita merasa nikmat melakukannya, pertanda hati telah mula sembuh dari sakitnya. Jika kita merasa pahit beribadat, itu pertanda hati masih sakit dan memerlukan perawatan.

Hasan al-Basri berkata: "Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran atau ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bersyukurlah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahwa pintu hatimu telah tertutup."

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan kemanisan iman. Mintalah bantuan daripada Allah agar diberikan kesempatan merasai manisnya iman.

Semoga kita tidak termasuk orang-orang yang merugi kerana meninggal dunia sebelum merasakan sesuatu yang paling nikmat di dunia ini.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11 Disember 2012 

Padah peroleh harta haram

RASUAH adalah jenayah yang paling berbahaya dalam masyarakat dan negara. Jika gejala ini tidak diperangi secara serius rakyat dan negara akan hancur. Amalan rasuah menyebabkan seseorang itu sentiasa tamak, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak jujur dalam melaksanakan pekerjaan.

Semua agama dan bangsa di dunia ini benci akan perbuatan rasuah yang merupakan penyakit masyarakat jika dibiarkan. Perbuatan ini bukan sahaja keji tetapi amat dikutuk oleh Allah.

Oleh itu, orang yang kaya kerana hasil rasuah sering berasa tidak tenang dan diburu kebimbangan dan ketakutan.

Penegak hukum yang tegas dan adil dapat membanteras rasuah yang boleh meruntuhkan akhlak, kerukunan hidup masyarakat dan kekuatan sesebuah negara. Hukuman yang berat dapat mengelakkan rasuah dalam kalangan mereka yang mengamalkannya.


ALLAH SWT melaknat dengan azab pedih individu yang terlibat dengan jenayah rasuah. - Gambar hiasan

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai pemberian (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Jika dahulu perkataan tumbuk rusuk amat dibenci oleh masyarakat. Kini ia umpama penyakit yang menular secara senyap dalam masyarakat. Kini rasuah bukan hanya dalam bentuk wang malah segala kesenangan dan kemewahan yang ditawarkan oleh pihak pemberi rasuah.

Agama Islam memberi amaran dengan azab yang amat pedih kepada individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Rasulullah SAW: "Orang yang memberi rasuah dan menerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api neraka di akhirat ".

Selanjutnya Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya: "Akan datang bagi manusia suatu zaman di mana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehnya halal atau haram. (riwayat al-Bukhari)."

Dalam masyarakat yang mementingkan kebendaan rasuah sangat sukar dikesan serta sangat rumit untuk diatasi. Ini disebabkan ia melibatkan beberapa orang individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit dan terancang.

Hal ini menjadikan seseorang perasuah dan penerima rasuah berpakat secara sulit untuk melaksanakan tujuan mereka. Dalam kecanggihan dunia hari ini bentuk rasuah tidak hanya dalam bentuk ruang semata-mata.

Sementara itu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya tentang harta yang diperoleh secara tidak halal: "Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari Kiamat ialah orang yang memperoleh harta daripada sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka."

Memerangi

Jelaslah orang dan harta yang diperoleh daripada hasil rasuah adalah haram. Oleh itu, semua pihak mesti berusaha memainkan peranan yang tegas dalam memerangi gejala rasuah.

Orang ramai, khususnya ahli masyarakat boleh menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa di peringkat bawahan untuk memerangi rasuah dengan memberi laporan segera mana yang diketahuinya.

Tindakan tegas mestilah di ambil tidak mengira, status seseorang itu, sama ada yang memiliki kuasa, berjawatan besar atau orang bawahan. Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.


AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11 Disember 2012 

Syafaat pada Hari Kiamat

TIADA apa yang didambakan oleh jiwa-jiwa yang bergelumang dengan dosa di akhirat, selain rahmat Allah SWT serta syafaat rasul-Nya Muhammad SAW, tatkala manusia berduyun-duyun ke hulu ke hilir mengharapkan ada di kalangan para nabi dan rasul yang mampu melepaskan kesusahan mereka.

Baginda Rasulullah adalah pemilik al Syafa'ah al 'Uzma (syafaat agung) yang mampu menjadi penyelesai dan tindakan penyudah membereskan segala kemelut, gegak-gempita dan huru-hara pada hari tersebut dengan penuh belas ihsan dan kasih sayang.

Sesungguhnya benarlah perutusan-Nya ke alam ini sebagai rahmat yang berterusan dan dikecapi manfaatnya di dunia dan di akhirat.


SETIAP amalan manusia itu akan dihitung di akhirat kelak. Jika baik amalan seseorang itu maka
baiklah balasan yang diterima dan begitulah sebaliknya. - Gambar hiasan


Secara umumnya syafaat terbahagi kepada empat bahagian.

Yang Pertama ialah syafaat untuk mendapat kerehatan daripada huru-hara pada Hari Perhimpunan (Mahsyar) dan mempercepatkan perbicaraan mahkamah keadilan tuhan. Ini adalah suatu kedudukan terpuji yang dijanjikan kepada nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. (al-Isra': 79)

Syafaat kedua ialah bagi golongan yang diwajibkan mendapat seksaan neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan mereka melalui syafaat orang-orang yang dimuliakan-Nya daripada kalangan para nabi, siddiqin, ulama, syuhada dan solihin. Maka mereka masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

Yang ketiga syafaat bagi mengeluarkan golongan yang mentauhidkan Allah SWT dari neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sehingga tidak tinggal dalam neraka orang yang terdapat dalam hatinya keimanan walaupun sebesar zarah.

Syafaat yang keempat ialah syafaat bagi menambah darjat golongan yang kurang amal kebajikan untuk menyusuli ahli keluarga mereka. Maka Allah SWT mempertemukan mereka dengan zuriat mereka dan lain-lainnya.

Kesemuanya ini telah dijelaskan melalui nas-nas yang jelas dan hadis-hadis yang sahih.


Utusan Malaysia Bicara Agama Online 11 Disember 2012

Antara adat dan agama

SESUATU yang dikerjakan, dilakukan atau diucapkan berulang kali, sehingga dianggap baik dan diterima akal sihat disebut adat (atau dalam bahasa Arab 'adah). Istilah lain ialah 'urf, yang diertikan sebagai yang dikenal dan dianggap baik. Menurut sebahagian ulama, ada perbezaan antara 'adah dengan urf'.

'Adah adalah kebiasaan dalam suatu perbuatan atau perkataan tanpa hubungan rasional dan bersifat peribadi, seperti kebiasaan tidur, makan dan lain-lain.

Adapun 'urf' adalah kebiasaan sebahagian besar masyarakat, baik dalam perkataan mahupun perbuatan.

Istilah adat dalam bahasa Melayu lebih dekat dengan pengertian 'urf dalam bahasa Arab, bukan adah'.

Adat menduduki posisi penting dalam Islam kerana dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum.


Majlis perkahwinan seringkali menimbulkan situasi berbelah bahagi, sama ada
mendahulukan agama atau memelihara adat. - Gambar hiasan

Adat bersendi syarak

Salah satu bukti pertautan antara adat dengan agama Islam adalah dasar falsafah adat Minangkabau yang berbunyi: "Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah."

Falsafah tersebut bererti adat bersendikan syariat (ajaran agama) dan syariat bersendikan kitab Allah SWT (al-Quran).

Adat dalam hadis

Ada banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang mengakui adanya adat suatu masyarakat.

Misalnya kebiasaan jual beli pada zaman pra-Islam dalam riwayat Ibnu Abbas, ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda melihat penduduk setempat berjual beli dengan memesan barangan yang belum ada.

Baginda bersabda yang bermaksud: Siapa yang melakukan jual beli pesanan, maka hendaklah ditentukan jumlah, sukatan dan jangka waktunya. (riwayat Bukhari)

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, penduduk kota itu telah memiliki kebiasaan melakukan jual beli dengan cara memesan barang yang belum ada.

Dalil hukum

Para ulama usul fiqh sepakat bahawa adat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum Islam.

Hal ini didasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesuatu yang dipandang baik oleh kaum Muslim, maka di sisi Allah juga baik." (riwayat Ahmad)

Oleh kerana itu, dalam menetapkan suatu hukum, ulama harus terlebih dahulu meneliti kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat setempat, sehingga hukum yang ditetapkan tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan masyarakat tersebut.

Al-'adah muhakkamah

Salah satu kaedah fikah yang terkenal adalah al-'adah muhakkamah, yang bererti adat kebiasaan itu dapat dijadikan landasan hukum. Kaedah fikah ini dirumuskan oleh para ulama usul fiqh untuk menegaskan kesan adat sebagai alasan bagi penetapan hukum.

Daripada kaedah ini, muncul kaedah lain untuk mengukuhkan kebenaran penggunaan adat sebagai dasar hukum, seperti al- ma'ruf 'urfan ka al- masyrut syartan (yang baik itu menjadi kebiasaan, sama halnya dengan yang disyaratkan itu menjadi syarat).

'Urf amali

Berbeza dengan 'urf lafzi yang diucapkan, 'urf amali hanya berkaitan dengan perbuatan dan tidak perlu menggunakan kata-kata tertentu.

Seseorang yang ingin membeli suatu barang, tidak perlu mengucapkan akad, cukup mengambil barang lalu membayarnya dengan sejumlah wang.

Contoh 'urf amali ialah kebiasaan jual beli di kedai layan diri.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11 Disember 2012