December 16th, 2012

Pemimpin mesti faham kehendak rakyat

Ulil amri mempunyai makna dan pengertian yang luas merujuk kepada mereka yang diamanahkan untuk menjaga kemaslahatan serta kesejahteraan rakyat. Ulil amri bertanggungjawab mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan umum.

Dalam konteks negara kita, ulil amri adalah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu (sebagai ketua agama), Perdana Menteri, menteri Kabinet, mufti, ulama, pegawai pemerintah, ketua tentera serta pemimpin pertubuhan dan persatuan sehinggalah kepada ketua keluarga.

Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti dilunaskannya.


FirmanNya: “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Bagi meraih keberkatan Allah SWT, pemimpin perlu faham kehendak rakyat dan berusaha menunaikannya manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Tanggungjawab

Semua manusia, baik pemimpin atau rakyat tidak sunyi daripada sifat lupa dan khilaf sama ada secara sedar atau tidak. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memberi peringatan atau teguran supaya pemimpin dapat mem-betulkan kesilapan dan segera memohon keampunan daripada Allah.

Bagaimanapun dalam membuat teguran, nasihat atau kritikan, biarlah yang membina, tidak menjatuhkan aib serta mengikut adab budaya hormat-menghormati. Cara ini dapat memelihara ikatan ukhuwah selain menyedarkan mereka yang melakukan kesilapan supaya bertaubat pada Allah SWT.

Hubungan pemimpin dengan rakyat hendaklah sentiasa kukuh, saling sokong-menyokong dalam menyusun program dan agenda kerja demi kesejahteraan rakyat serta negara.

Bersatu padu

Umat Islam hendaklah bersatu padu secara menyeluruh di atas landasan al-Quran dan hadis. Perpaduan berasaskan keimanan akan mengangkat martabat umat Islam di dunia dan di akhirat.

Kejayaan kerajaan Islam menjatuhkan dua kuasa besar dunia Rom dan Par-si dicapai kerana semangat persaudaraan ukhwah fillah Islamiyyah.

Dalam era pasca kemerdekaan ini, umat Islam di Malaysia masih berdepan cabaran getir dari dalam dan luar negara. Maruah diri dan kedaulatan negara tidak dapat dipertahankan jika ada perselisihan dan pertentangan dalam negara.

Cabaran ini menuntut kekuatan daya juang, semangat kental dan ketahanan sehingga titisan darah terakhir. Islam mewajibkan umatnya berjihad mempertahankan agama dan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Baginda SAW bersabda: “Agama Islam tidak akan kuat kecuali dengan jemaah dan jemaah tidak akan berjalan kecuali ada pemimpinnya, dan pemimpin tidak akan ada gunanya jika tidak ditaati.”

Sebagai umat Islam yang bermaruah, kita hendaklah kasih dan cinta kepada agama, bangsa dan tanah air. Kita bertanggungjawab mendukung usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati hari ini.

Janganlah kerana perbezaan ideologi politik, perselisihan pendapat dan ketaksuban diri, membuatkan kita sanggup pertaruhkan akidah dengan membelakangkan tuntutan agama, bangsa dan negara.



Ahmad Suffian Berita Harian Online Agama Sabtu 15 Disember 2012

Zakat persediaan pelaburan akhirat

Manusia sering alpa, leka menunaikan ibadah wajib

Bayangkan anda sedang melihat sebiji kek coklat besar diletakkan di sebuah meja. Ambil kek itu dan potongkan kepada 40 bahagian. Setelah siap ambil hanya satu bahagian dan berikan pada seorang rakan yang dari tadi sudah menelan air liurnya melihatkan kek itu.

Kemudian lihat kembali kek itu, bakinya adalah milik anda dan anda berhak makan semuanya. Bandingkan milik anda dan satu bahagian yang telah anda berikan kepada rakan tadi. Sejujurnya, tanyakan pada diri kek siapa lebih banyak bahagiannya? Semestinya kek yang berbaki di tangan kita.

Apakah mungkin seseorang yang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat”," Surah an- Nur, Ayat 55

Ini adalah analogi untuk membina kesedaran kerana ramai dalam kalangan kita sering mengeluh tatkala tiba masa untuk menunaikan ibadah wajib atas harta kita. Bukannya apa, manusia sering alpa dan leka.

Kita sering tersasar dan terlupa untuk membuat persediaan perbelanjaan bagi pelaburan akhirat kerana terlalu terpesona dengan kehidupan dunia yang sementara. Cuba perhatikan bil perbelanjaan dunia dan bandingkan dengan bil akhirat yang kita persiapkan untuk menuai hasilnya kelak.

Barangkali jumlah perbelanjaan dunia melebihi perbelanjaan akhirat yang kita peruntukkan. Sedangkan dunia akan hilang dan akhirat yang semakin mendatang pasti kekal. Lakukanlah taksirannya, anda pasti terkejut dengan realitinya yang mendukacitakan.

Inilah indahnya suatu sistem perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang diturunkan Allah Taala menerusi ayat al-Quran. Betapa kasihnya Allah Taala yang memberikan harta dan rezeki, bahkan menurunkan pula kaedah perbelanjaan harta itu yang menjanjikan pulangan di dunia dan akhirat.

Hakikat dan hikmah

Hebat sungguh tawaran ini. Malangnya manusia masih tidak sedar kerana dibuai ilusi ‘kemerosotan’ harta disebabkan menunaikan zakat. Inilah hakikat dan hikmah yang masih belum ramai menyedarinya.

Daripada jumlah 100 peratus harta yang diperoleh hanya 2.5 peratus diperlukan sebagai zakat. Ibarat kek, baki 97.5 peratus itu masih milik kita. Siapakah yang memiliki lebih banyak? Sudah tentu kita. Allah pemilik mutlak harta, daripada-Nya ia datang dan Allah berhak menarik kurnianya bila-bila masa.

Firman Allah SWT: “Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang yang bertakwa dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Surah al-A’araf, ayat 156)

Rahsia menunaikan zakat

Hikmah dan rahsianya mungkin terlalu besar dan abstrak untuk diungkapkan. Ia hanya mampu dirasai golongan yang menunaikan tuntutannya.

Apakah mungkin seseorang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat.

Hisablah dan nilaikanlah. Jika 2.5 peratus itulah taruhannya, maka anda berhadapan dengan pilihan yang pelbagai iaitu 2.5 peratus modal untuk mendapat rahmat daripada-Nya dan 2.5 peratus adalah kos untuk anda hilang segala-galanya tanpa disedari.

Jumlah 2.5 peratus adalah nilai yang sangat tidak berbaloi untuk ditamakkan jika dibandingkan dengan azab neraka yang sangat pelbagai. Nilai itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat bakal diterima di syurga kelak.

Kecil jumlahnya namun kesannya lebih besar daripada yang anda sangka. Justeru, apakah nilai 2.5 peratus kepada anda? Renungkan dan fikirkan. Jadikan ia sesuatu yang bermakna.


Husni Abdul Rahman Berita Harian Online Agama Ahad , 16 Disember 2012