December 17th, 2012

Jihad dalam perkahwinan

Suami kena tunai hak keluarga, sabar layan kerenah isteri, anak

Objektif utama perkahwinan dalam Islam adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.

Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.

Malah, Islam juga melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan dan sebagainya.

Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.

Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).

Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.

Rumah tangga dalam konteks ini adalah satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya. Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”

Namun, mengapa kadangkala perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai kehidupan rumah tangga?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.

Rasulullah SAW bersabda: Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)"

Selanjutnya, campur tangan pihak lain, terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri, mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.

Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.

Demikianlah, matlamat perkahwinan yang seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.


Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Berita Harian  Online Agama Isnin , 17 Disember 2012

Pengorbanan bapa suatu sedekah

Tidak sampai tiga minggu lagi, sesi persekolahan 2013 bakal menjelang. Ketika ini, kebanyakan ibu bapa sibuk membeli kelengkapan persekolahan anak sebagai persediaan bagi sesi persekolahan. Jika dilihat dari perspektif Islam setiap sen dibelanjakan bapa untuk keluarga adalah sedekah.

Sedekah menurut Kitab I'aanatul Taalibin juzuk yang ketiga, bererti sesuatu yang diberikan seseorang kepada seseorang lain yang memerlukannya dengan tidak mengharapkan balasan atau pahala akhirat.

Allah SWT mewajibkan bapa memberi nafkah (sedekah wajib) berupa makanan dan pakaian kepada isteri dan anaknya untuk meneruskan kehidupan di dunia ini sekadar kemampuan mereka. Justeru, kaum bapa hendaklah sedaya upaya cuba mengikhlaskan diri dalam setiap pengorbanan sama ada berupa duit mahupun tenaga dalam menguruskan anak mereka.

Menjejaki sirah Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumah tangga.

Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.

Contohi kisah Khalifah Umar

Perlu diingatkan bahawa, ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperoleh sumber pendapatan yang haram dan subahat. Marilah kita hayati dan contohi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz, dalam hal memberi nafkah kepada anggota keluarga.

Pada suatu hari, dua orang anak perempuan Khalifah Umar Abdul Aziz datang bertemunya. Tujuan mereka untuk meminta ayahanda mereka membeli baju raya yang baru.

Maka jawab Khalifah Umar: “Wahai anak-anakku, sekiranya ayahanda mempunyai lebihan daripada gaji nanti ayahanda akan belikan. Tetapi sekiranya tiada, usahlah bersedih, pakailah dengan taqwa yang baru itulah yang sebenarnya”.

Sesungguhnya perbualan antara bapa dengan anak ini didengari oleh penjaga Baitulmal. Lalu beliau berkata: “Wahai Amirul Mukminin, saya sedia pinjamkan wang Baitulmal untuk khalifah belikan baju raya baru untuk anak tuan.” Maka jawab Khalifah Umar Abdul Aziz: “Apakah jaminan kamu yang aku akan hidup sehingga esok untuk melunaskan hutang ini?” Lalu terdiam penjaga Baitulmal tersebut.

Subhanallah, betapa hebatnya ungkapan yang keluar dari bibir mulut seorang khalifah yang menyentuh hati kita semua. Seorang khalifah yang mengutamakan soal halal dan haram dalam memberi nafkah kepada keluarga tercinta. Pemimpin yang menjaga hasil pendapatannya, takut dan bimbang termakan duit rakyat untuk kepentingan diri.

Justeru, marilah wahai ibu bapa, bersamalah kita pastikan setiap pendapatan yang kita peroleh adalah daripada sumber yang halal lagi baik.


Asri Md Saman @ Osman ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman. Berita Harian Online Agama 15 Disember 2012