December 18th, 2012

Buta di akhirat

PERLAKUAN kita kepada Allah SWT menentukan perlakuan Allah kepada kita. Kedudukan kita di sisi Allah ditentukan oleh kedudukan Allah di dalam hati kita.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata: "Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya."

Siapa yang menghormati aturan-aturan Allah, lalu bersegera melakukan perintah-Nya, dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, itu pertanda bahawa ia menghormati Allah.

Maka, kedudukannya di sisi Allah pun terhormat. Jika ia berdoa, Allah akan bersegera mengkabulkan. Jika ia meminta bantuan, Allah akan bersegera membantu. Allah juga akan memenuhi hidupnya dengan kedamaian dan rahmat Ilahi.



Setiap amalan kita di dunia ini akan memberi kesan kepada kehidupan kita di akhirat. 
- Gambar hiasan

Allah SWT berjanji: Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (al-Nahl: 97)

Dan siapa yang teragak-agak menerima hukum Allah SWT, malu-malu mengamalkan Islam, itu pertanda ia belum sepenuh hati menghormati Allah.

Maka kedudukannya di sisi Allah pun sekadar mana kedudukan Allah di dalam hatinya. Apabila ia berdoa, Allah tidak bersegera menjawab doanya.

Namun begitu, Allah akan terus mengingatkan dirinya dengan pelbagai cubaan dan musibah agar ia memperbaiki dirinya dan kembali beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan (maksiat) manusia. Demikianlah Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (kepada Allah). (al-Rum: 41)

Setiap maksiat yang kita lakukan merupakan pertanda rendahnya kedudukan kita di sisi Allah. Berkata Abu Sulaiman Al-Darani: "Mereka sangat hina di sisi Allah, itu sebabnya mereka dibiarkan bermaksiat. Andai mereka mulia di sisi Allah, nescaya Allah akan menghalangi mereka daripada bermaksiat."

Dibangkitkan

Manusia yang paling buruk adalah orang yang berpaling daripada Allah. Ia menolak menerima Islam sebagai aturan hidup, bahkan berani menentang ketentuan Allah. Tiada sedikitpun tempat bagi Allah di dalam hatinya dan bermaksiat tanpa malu-malu.

Apabila ia tidak menghormati Allah, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT. Di akhirat nanti akan dibangkitkan dalam keadaan hina dan tiada siapa yang bersimpati kepadanya.

Allah SWT mengancam: Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan membangkitkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Wahai tuhanku, mengapa Engkau membangkitkan diriku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya boleh melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakannya. Begitulah (balasannya) pada hari ini kamupun dilupakan. (Taha: 124-126)

Allah lebih cepat

Allah sangat mencintai hamba-hamba-Nya. Tangan-Nya selalu terbuka untuk menyambut sesiapa sahaja yang ingin kembali ke jalan-Nya. Bahkan, langkah Allah lebih cepat daripada langkah hamba-Nya.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: Jika hamba-Ku mendekat kepada-Ku satu jengkal, maka Aku akan mendekat kepada-Nya satu hasta. Dan jika ia mendekat kepada-Ku satu hasta, maka aku akan mendekat kepada-Nya satu depa. Dan jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari. (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Wallahu a'lam




UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18 Disember 2012

Bertelagah merugikan ummah

SEJAK kebelakangan ini menjadi kerisauan ramai di kalangan rakyat mengenai perkembangan politik semasa di negara kita. Pertelagahan di kalangan pemimpin dalam mengejar kuasa dan pangkat akan menghilangkan keyakinan orang bawahan terhadap kepimpinannya.

Perlu disedari bahawa, pemimpin adalah golongan yang bertanggungjawab memenuhi keperluan masyarakat, sama ada dari segi jasmani dan rohani. Sikap sebegini, sebenarnya telah membuktikan pemimpin yang tidak bermoral akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat serta menghancurkan sesebuah negara.

Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa pertelagahan di kalangan pemimpin Islam merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata. Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan dengan mencabar kedudukan keistimewaan orang-orang Melayu, institusi Raja sebagai ketua agama Islam serta mempertikai Islam dalam perlembagaan di negara ini.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW pernah menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa satu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah SAW: Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.

Hadis ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melalui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW. (rujuk at-Taubat ayat 128)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. (rujuk al-Baqarah ayat 124)

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan rakyat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang di amanahkan.

Marilah sama-sama kita merapatkan saf, mengeratkan perpaduan antara kita, demi masa depan rakyat dan negara. Elakkan daripada berlakunya pertelagahan sesama sendiri bagi mencapai kejayaan di dalam perjuangan.

Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang yang dipimpin di dunia dan di akhirat. Kita juga perlu menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti. Ingatlah bahawa pemimpin bertelagah, rakyat akan berpecah.

Petikan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18 Disember 2012