December 19th, 2012

Keadilan dalam Islam

Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW berjaya menyahkan sikap perkauman yang begitu tebal ketika zaman jahiliah dan sedikit demi sedikit ‘virus’ perkauman dibasmi. Sepanjang gerakan dakwah, Baginda tidak pernah meletakkan batu sempadan dalam kerangka syiar Islam. Baginda nyata begitu komited meniupkan iman dan Islam yang bersifat global.


Baginda amat tegas melarang umatnya memperkecil-kecilkan ajaran Islam atau cuba merosakkan nilai universalisme Islam. Tegas Baginda: “Bukanlah golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah. Bukan golongan kami orang yang berjuang atas dasar assabiyah dan bukan golongan kami orang yang mati kerana membela assabiyah.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Prinsip kesamarataan

Dalam Islam prinsip kesamarataan jelas dijadikan tunjang. Hal ini boleh kita perhatikan melalui senario sosial ketika zaman Rasulullah SAW. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah tidak pernah membeza-bezakan asal keturunan, warna kulit mahupun rupa paras sahabat Baginda. Semuanya dilayan dan diberikan perhatian yang sama adil dan saksama.

Bilal bin Rabah, seorang hamba abdi berketurunan Habsyah, kalau dilihat dari segi fizikal dan fisiologinya nyata mempunyai kelainan dengan bangsa Arab yang lain. Namun, beliau berada dalam kelompok ‘elit’ berstatus ‘bintang harapan’ Rasulullah SAW sehingga diberikan penghargaan dan penghormatan tertinggi sebagai muazin.

Dalam satu peristiwa diceritakan bahawa pada suatu hari, Raja Najasyi, iaitu pemerintah Habsyah (Ethiopia), menghadiahkan tiga batang tombak pendek kepada Rasulullah SAW. Tombak itu sebenarnya adalah barang koleksi Najasyi yang sangat bernilai tinggi dan disayanginya.

Ketika menerima tombak itu, Rasulullah SAW terus mengambil satu daripadanya untuknya, selebihnya diberikan kepada Saidina Ali dan Saidina Umar. Namun, kemudian, Baginda menoleh kepada kepada Bilal lalu memberikan tombak Baginda itu kepada Bilal.

Kasih sayang terhadap Bilal

Melalui kisah ini, jelas kepada kita betapa sayangnya Baginda terhadap Bilal itu sedangkan sebelum Islam, beliau hanyalah seorang hamba kepada tuannya, Umayyah bin Khalaf. Dalam Islam, Bilal berada di atas ‘podium’ utama sederet dengan sahabat Rasulullah SAW yang lain. Lihatlah keunggulan Islam yang dibawa Baginda Rasulullah SAW yang menipis segala unsur ras dan keturunan.

Dalam menjatuhkan sesuatu hukuman, Islam menggariskan etika yang luhur dengan tidak memberi ruang bagi timbulnya sebarang prejudis perkauman ataupun berdasarkan darjat seseorang.

Teliti dan perhati satu kisah yang membuktikan betapa unggul perjalanan kehidupan berasaskan prinsip syariat Islam. Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika ada seorang wanita dari Bani Makhzum ditangkap kerana mencuri. Namun, ketika penyiasatan, wanita itu menafikan tuduhan itu dan menyatakan beliau berasal daripada keturunan mulia. Maka tiada seorangpun yang berani mengadu kepada Rasulullah SAW berkenaan kejadian itu.

Akhirnya orang ramai meminta jasa baik Usamah bertemu Rasulullah SAW bagi menerangkan kejadian itu. Sebaik mendengar aduan Usamah, Rasulullah SAW memintanya supaya wanita Bani Makhzum itu menemui Baginda. Tetapi, hanya wakil Bani Makhzum yang tiba dan memohon pengecualian hukuman.

Tiada unsur ‘pilih bulu’

Mendengar permintaan wakil Bani Makhzum itu, berubah wajah Baginda sehingga kemerahan kerana marah dengan permintaan itu. “Kalian menyuruhku membelakangkan ketetapan yang telah ditetapkan Allah! Kalian memintaku mengubah hukum Allah?” kata Baginda. Demikian ketegasan Rasulullah dalam menjalankan ketetapan Allah tanpa rasa takut dan bimbang, malah tiada sedikit unsur ‘memilih bulu’.

Kemudian Baginda menyambung: “Sesungguhnya yang membuat binasa orang sebelum kalian adalah apabila antara mereka ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya saja. Tetapi jika orang lemah mencuri, maka segera dihukum. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya jikalau aku mendapati Fatimah puteri Muhammad mencuri, maka akan aku potong tangannya.”

Pada akhir kisah dikatakan bahawa Rasulullah memerintahkan tangan wanita Bani Makhzum yang mencuri itu dipotong. (Hadis riwayat Muslim)

Sebagai seorang ketua negara pada waktu itu, Rasulullah sedikitpun tidak mempamerkan sikap pilih kasih dalam menjatuhkan sesuatu hukuman mahupun memberikan layanan kepada seluruh umatnya.

Pedoman pemimpin masa kini

Ini satu pedoman buat pemimpin masa kini ataupun untuk pihak berkenaan yang berkewajipan menjalankan tugas membanteras anasir maksiat dan mungkar supaya tidak menjalankan tugasan secara berat sebelah.

Islam hanya menetapkan hukuman yang sama untuk semua, meskipun yang bersalah itu terdiri daripada anak pemimpin atau rakyat bawahan. Justeru, kita yang berada di zon akhir zaman ini mesti terus meneladani jejak Baginda dalam menegakkan keadilan dan hak saksama.


Mohd Rizal Azman Rifin ialah Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah. Berita Harian Onlien Agama Selasa , 18 Disember 2012

Jihad majukan ekonomi

Jihad zaman dulu berbeza jika dibandingkan dengan senario hari ini. Pada hari ini, ruang lingkup jihad adalah lebih luas, merangkumi pelbagai aspek seperti harta benda, jiwa raga dan juga tutur kata. Ia juga disebabkan perubahan yang diperlukan untuk menjadi kuat dan mulia.

Islam tidak menolak pembangunan ekonomi yang berorientasikan keusahawanan, malah Islam menggalakkan umatnya supaya mengembangkan kreativiti manusia dalam memajukan bidang itu. Keusahawanan angkat martabat, bangun hati


Apa yang menjadi keutamaan dalam Islam dalam aktiviti keusahawanan ialah sejauh mana aktiviti tersebut menyumbang ke arah mengangkat martabat insan dan membangunkan hati budi manusia.

Allah melahirkan insan dengan bakat akliyah, rohaniah dan juga jasmaniah. Ketiga-tiga bakat ini perlu disuburkan supaya ia menyumbang untuk pembangunan diri dan memberi kesan baik terhadap persekitarannya.

Ketiga-tiga bakat ini perlukan pedoman yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah supaya proses pembangunan boleh berlaku dengan seimbang.

Dalam proses untuk membela agama dan bangsa serta membangunkan negara, umat Islam perlu memantapkan diri mereka dengan akidah Islam yang kukuh. Akidah memainkan peranan besar untuk melahirkan pengorbanan jihad dalam menghadapi musuh serta unsur yang boleh meruntuhkan negara agama serta bangsa.

Jihad adalah satu konsep umum yang merangkumi segala aspek perjuangan dalam usaha menegakkan agama Allah yang maha suci. Ia bermula daripada usaha menguasai diri sebagai penganut Islam yang setia. Secara tidak langsung, ia menjadi asas membina keluarga Islam yang utuh bagi menjadi asas kepada pembinaan masyarakat Islam yang kukuh.

Di samping itu, jihad juga menuntut kepada pelaksanaan ajaran dan peraturan Islam di setiap peringkat dalam satu sistem yang teratur, mempertahankan Islam, masyarakat dan negara daripada ancaman musuh sama ada dari dalam atau dari luar dan banyak lagi.

Ada satu unsur yang sangat penting dalam jihad ini. Unsur itu ialah kesungguhan dan dedikasi dalam melaksanakannya. Dalam erti kata lain, ia difahami sebagai pengorbanan dua faktor iaitu harta dan nyawa.

Konsep jihad lebih luas

Jika diteliti satu persatu, konsep jihad yang diterangkan dalam al-Quran dan al-Sunnah lebih luas dan banyak memfokuskan kepada perjuangan menentang musuh, termasuk melalui peperangan dan sebagainya.

Namun, ulama semasa seperti Muhammad al-Ghazali dan Yusuf al-Qardhawi menegaskan bahawa segala keadaan dan situasi yang ada di sekeliling umat Islam sekarang menunjukkan bahawa peperangan atau jihad yang perlu dihadapi oleh umat Islam sejagat lebih menyeluruh.

Ia bermula daripada jihad agung (al-Jihad al-Akbar), iaitu menguasai diri supaya berdisiplin penuh mengikut kaedah dan tatacara Islam hinggalah kepada membina semula ataupun mengembalikan tamadun yang sudah hilang.

Mengambil semangat yang dituntut oleh jihad, Islam perlu menguasai semua lapangan hidup, sama ada dari segi pendidikan, politik dan pentadbiran, sains dan teknologi, persenjataan dan ketenteraan termasuklah dalam bidang keusahawanan.

Justeru, sudah tiba masanya, umat Islam perlu menyedari bahawa tuntutan jihad perlu dilaksanakan dengan komited atas kesedaran tanggungjawab agama bagi memacu bidang keusahawanan supaya setaraf dengan negara maju yang lain.


Dr Shuhairami Abdullah ialah Pensyarah Pusat Teknologi dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Perlis, Perlis. Berita Harian Online Agama 15 Disember 2012

Usia lanjut serta baik amalan

DALAM menjalani kehidupan di dunia, kita hidup berkeluarga dan bermasyarakat dalam sebuah negara. Keluarga dan masyarakat pula memerlukan seorang manusia yang paling banyak memberi sumbangan kepada kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Pendidikan sejak kecil lagi sangat penting supaya seseorang itu melakukan amalan yang baik.

Kejayaan hidup dalam masyarakat banyak bergantung pada individu yang aktif, berdaya saing dan sedia berkhidmat kepada masyarakatnya. Kekuatan dan kesepaduan dalam masyarakat adalah dibentuk oleh individu yang kuat amalannya, kuat imannya dan sentiasa berjasa kepada ahli masyarakatnya.

Sehubungan ini, seseorang itu mestilah dididik sejak di bangku sekolah lagi supaya sentiasa memberi sumbangan kepada keluarga dan juga masyarakat. Melalui kerja-kerja seperti amalan gotong-royong, amalan bekerjasama, dalam urusan kehidupan berkeluarga seperti majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya.



Islam menghendaki umatnya menjadi orang yang paling berguna kepada orang lain. - Gambar hiasan

Walaupun sumbangan itu kecil tetapi bermanfaat kepada keluarga dan masyarakatnya, ia adalah sumbangan yang berguna kepada orang lain yang memerlukan.

Umat Islam diingatkan supaya melakukan perhitungan atas diri sendiri sebelum dihitung semua amalannya. Semua amal perbuatan seseorang bergantung pada maksud dan apa yang diniatkan.

Oleh itu, niatkan selalu amalan yang kita buat hanya kerana Allah SWT. Justeru, ada pendapat mengatakan bahawa amal itu buah, bicara hanya daun. Orang yang beramal kebaikan itu tetap hidup, walaupun dia dipindahkan ke tempat orang mati.

Lantaran itu, dalam kehidupan bermasyarakat, kita mestilah mengamalkan kehidupan seperti aur dengan tebing yang saling membantu. Kehidupan seumpama ini sebenarnya telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Amalan seumpama ini adalah ibadah yang baik dalam kehidupan bermasyarakat dalam kalangan umat Islam.

Daripada Jaabar bin Abdullah ra memberitahukan Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Sebaik-baiknya manusia ialah yang paling banyak memberi sumbangan berguna kepada manusia yang lain." (riwayat At-Thabarani: Hasan: Al-Albanani)

Pengajaran daripada hadis ini ialah Islam menghendaki umatnya menjadi orang yang paling berguna kepada orang lain terutama kepada ibu bapa, keluarga terdekat , guru, jiran tetangga, masyarakat dan negara.

Sumbangan berguna ini termasuklah memberi nasihat, memberi sumbangan berupa wang dan harta, memberi dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat.

Oleh itu, untuk menjadi manusia yang paling banyak sumbangan kepada masyarakat, hendaklah mengisi diri dengan ilmu berguna dan menyebarkannya secara luas menerusi buku, media cetak dan elektronik. Juga memberi sumbangan berupa harta dan tenaga ataupun berupa buah fikiran menerusi pertemuan-pertemuan, perbincangan, usrah, forum, seminar dan lain-lain.

Ingatlah, sebaik-baik manusia yang akan mendapat ganjaran pahala ialah yang paling berguna kepada masyarakat dan negara; sebaliknya sejahat-jahat mereka ialah yang paling merugikan atau merosakkan masyarakat seperti penghisap dadah, pemakan pil kuda, peminum arak dan lain-lain.

Daripada Abdullah bin Bisr ra., memberitakan Rasullulah SAW, pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah orang yang lanjut usianya dan baik amalannya." (riwayat Ahmad).

Hadis di atas menjelaskan iman dan amalan soleh adalah dua perkara atau dua set yang akan membahagiakan kehidupan seseorang di dunia yang sementara ini. Dengan keimanan dan amal soleh seseorang itu dapat membantu dirinya dan juga diri orang lain semasa hidup di dunia.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik, berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu. Utusan Malaysia Online  Bicara Agama 19 Disember 2012 / 5 Safar 1434

Waspada harta haram

IMAN ialah benteng diri daripada melakukan perkara maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT. Apabila tiada orang yang memerhati dan tiada mata yang melihat, maka tiada pertahanan diri yang paling kukuh melainkan iman yang membuahkan perasaan ihsan iaitu merasakan Allah SWT sedang mengawasi diri.

Sebagai manusia biasa, adakalanya iman yang ada dalam diri menurun. Maka pada ketika itu, kita pasti lemah dalam menepis ujian yang datang kepada diri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ketikanya kita terleka dan terlalai dalam kehidupan di dunia. Mungkin ada di antara kita yang pernah terlibat, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dalam aktiviti atau pekerjaan yang tidak bertepatan dengan Syariah sebelum ini.

Penglibatan ini akhirnya menyebabkan kita memperoleh pendapatan, sama ada dalam bentuk gaji, komisen, dividen, keuntungan dan sebagainya secara yang tidak halal. Begitu juga mungkin ada di kalangan kita yang pernah terjebak dalam rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.



Pelaku dosa-dosa besar wajib bagi mereka untuk bersegera bertaubat dengan tidak bertangguh. - Gambar hiasan


Semua harta yang diperoleh itu bakal mengundang kemurkaan Allah SWT dan balasannya amatlah dahsyat di akhirat nanti.

Penglibatan ini bukan sahaja menyebabkan orang yang terlibat melakukannya secara langsung mendapat dosa, bahkan pendapatan serta hartanya pula menjadi haram.

Harta haram yang dimaksudkan di sini ialah harta yang diperoleh melalui jalan atau kaedah yang bercanggah dengan syarak. Ini termasuklah faedah yang diperoleh daripada akaun simpanan di bank-bank konvensional.

Oleh itu, mereka yang menyedari akan hakikat ini akan segera bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkal jalan. Allah SWT Maha Pengampun dan Dia suka sekiranya hamba yang telah melakukan dosa, cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Lantaran itu, wajib bagi mereka untuk bersegera dalam bertaubat dengan tidak bertangguh. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa: 17)

Antara syarat untuk bertaubat kepada Allah SWT kerana mendapat harta haram adalah dengan cara melupuskannya. Perkataan 'melupuskan' sengaja digunakan kerana orang yang terlibat tidak boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya, sama ada untuk membuat pembelian dan urusniaga-urusniaga yang lain.

Bahkan, Allah SWT tidak memberikan pahala sekiranya dia menggunakan harta tersebut untuk menunaikan haji dan umrah, membayar zakat dan menderma kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala dan tanggungan dosanya tersebut adalah kekal (sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT)" (riwayat al-Hakim)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim).

Demikianlah betapa beratnya bahana daripada pengambilan harta haram sehingga Allah SWT tidak menerima amalan yang berkaitan dengan harta tersebut.



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Utusan Malaysia Online Bicara Agama 19 Disember 2012 / 5 Safar 1434