December 24th, 2012

Doa Rasulullah buat Muslimin

ADA sebuah doa yang biasa dibaca oleh Nabi SAW dan jika direnung dan dihayati secara mendalam, ternyata sangat mencakupi pelbagai permohonan.

Daripada Abu Musa al-Asyaari ra, Rasulullah berdoa: Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, dan perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku, serta ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kemalasanku, kesengajaanku, kebodohanku, gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu, dosa yang mendatang, dosa yang aku samarkan dan dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan, Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, serta Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (riwayat Bukhari)

Tema di dalam doa itu adalah seorang hamba Allah SWT memohon keampunan-Nya. Sekurang-kurangnya terdapat 13 petunjuk yang diajukan hamba tersebut kepada Allah SWT. Semuanya dengan harapan dan permohonan keampunan-Nya.

Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Kesalahan dapat mencakup perintah Allah yang dilalaikan atau larangan Allah yang dilanggar.

Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Manusia tidak luput daripada kebodohan. Tidak ada manusia yang memiliki pengetahuan sempurna. Kebodohan seseorang sering kali menyebabkan tingkah lakunya yang tidak terpuji, sehingga ia perlu memohon ampunan Allah SWT atas kebodohan dirinya itu.

Kebodohan

Ya Allah, ampunilah perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku. Kadang-kala kita mengerjakan suatu perbuatan secara tidak adil atau tidak profesional. Perbuatan berlebihan tersebut mungkin menyakiti hati, bahkan menzalimi orang lain. Maka kita berharap ampunan Allah atas perbuatan berlebihan di dalam berbagai urusan.

Ya Allah, ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Manusia sering mengerjakan kesalahan tanpa ia menyedarinya.

Boleh jadi ia lebih mudah dilihat oleh oang lain, tetapi tidak bagi diri sendiri. Maka untuk urusan seperti itu seorang mukmin memohon ampunan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatunya.

Seorang mukmin mengakui bahawa Allah SWT merupakan Zat Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib mahupun nyata, maka ia pun mengembalikan semua dosa yang ia sendiri tidak ketahui kepada Allah SWT.

5  Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Manusia boleh terlibat di dalam banyak kesalahan. Maka ia memohon kembali ampunan Allah atas kesalahannya pada hal sebelumnya dia telah melakukannya kepada Allah SWT.

Ya Allah, ampunilah kemalasanku. Kemalasan dapat menjadi musuh utama yang menyebabkan seseorang menunda, bahkan melalaikan suatu kewajipan yang mesti dikerjakan.

Pengakuannya di hadapan Allah SWT bahawa dirinya kadang-kadang dilanda kemalasan yang mesti disertai dengan permohonan ampunan Allah atasnya.

Ya Allah, ampunilah kesengajaanku. Harus diakui bahawa kadang-kadang kita secara sengaja melakukan suatu kesalahan.

Entah kerana emosi atau terpengaruh lingkungan atau pelbagai alasan lain. Yang jelas, semua kesengajaan itu mestilah disusuli dengan istighfar dan permohonan keampunan-Nya.

Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Maha Suci Allah, ternyata Rasulullah SAW sangat mengerti akan kelemahan kita yang satu ini. Manusia memang selalu kekurangan ilmu sehingga mustahil terluput daripada kebodohan. Oleh itu permohonan ampunan Allah atas kebodohan diri perlu diajukan berulang kali.

Ya Allah, ampunilah gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Apakah ketawa itu berdosa? Tentunya tidak. Tetapi bila dilakukan secara tidak profesional atau melampaui, ia akan mendatangkan masalah. Firman Allah: Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah: 82)

Selain sabda Rasulullah SAW: Demi Allah, andai kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu jarang tertawa dan sering menangis. (riwayat Tirmizi)

10 Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu. Setiap orang perlu berhati-hati terhadap dosa lampau yang pernah dilakukan dahulu. Berkemungkinan dosa-dosa itu belum sempat kita menyesalinya. Maka tiba masanya untuk kita mengakui dan menginsafi di hadapan Allah SWT seterusnya memohon keampunan-Nya.

11 Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang mendatang. Seorang mukmin pasti menyedari bahawa kehidupan ini bukan sekadar masa lalu dan masa kini. Ia juga meliputi perkara mendatang.

Begitu juga dengan perlakuan dosa yang dikerjakan. Ia tidak hanya terjadi di masa lalu dan masa kini semata-mata. Tetapi boleh terjadi di masa akan datang.

Oleh kerana itu, dengan penuh kejujuran kita mengharapkan keampunan Allah atas dosa yang akan datang dan cuba mengelakkannya daripada terjebak kepadanya.

12 Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku samarkan. Seorang mukmin sangat khuatir dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi atau berselindung. Sabda Rasulullah SAW: Sungguh aku mengetahui bahawa ada suatu kaum daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikan kebaikan itu debu yang berterbangan.

Thauban berkata: Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada kami dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.

Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan daripada golongan kamu, mereka solat malam sebagaimana kamu mengerjakannya tetapi mereka adalah kaum yang melakukan perbuatan yang diharamkan Allah sedang mereka berkhalwat (menyendiri). (riwayat Ibnu Majah)


Doa adalah senjata ampuh umat Islam. - Gambar hiasan

13 Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan. Sedangkan dosa yang dikerjakan secara senyap atau tersembunyi itu kita khuatir, apa lagi dosa yang dilakukan secara terbuka. Oleh itu, keampunan daripada Allah SWT amat diharapkan.

Sungguh amat luar biasa, kesemua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah itu adalah merupakan dosa dan kesalahan yang sering dilakukan oleh setiap daripada kita lelaki atau perempuan, sama ada secara disedari mahupun sebaliknya. Maka itu, betapa bertuah umat Islam sekiranya mereka juga berdoa sebagaimana yang didoakan oleh Baginda SAW ini.


Ibrahim Abdullah Utusan Malaysia Online Bicara Agama Disember 20, 2012 

Doa untuk dapatkan anak

Setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, pasti mengidamkan anak, sebagai lambang kebahagiaan keluarga dan mengembangkan zuriat keturunan.

Namun, bukan semua bernasib baik, ada pasangan sudah menimang cahaya mata biarpun baru setahun mendirikan rumah tangga. Ada pasangan terpaksa menunggu belasan tahun untuk menerima ‘amanah’ Allah.

Pokoknya, anak adalah kurniaan serta rezeki dari Allah dan Allah lebih mengetahui hikmah di atas tiap takdirNya.

Namun, itu bukan alasan untuk kita berdiam diri dan menyalahkan takdir, sebagai manusia kita disaran berikhtiar dan memohon doa kepada Allah agar dikurniakan zuriat.

Puan perlu tahu, Puan bukan satu-satunya pasangan di dunia ini yang menerima ujian ini. Ramai pasangan lain turut mengalami nasib serupa. Hal ini bukanlah menunjukkan Tuhan tidak memberikan rezeki, namun ia lebih bersifat ujian.

Nabi Zakaria dan Nabi Ibrahim turut diuji dengan ujian sama. Apa yang lebih penting, kita berikhtiar di samping berdoa kepadaNya. Nabi Zakaria pernah berdoa kepada Allah untuk mendapatkan zuriat.

Doa tersebut Allah rakam di dalam Al Quran, surah Al-Anbiya’ ayat 89 “Dan ingatlah kisah Zakaria, tatkala menyeru TuhanNya: “ Ya Tuhanku, Janganlah engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah waris yang paling baik (diserahkan segala urusan kepadaMu) - Surah Al-Anbiya’: ayat 89.

Anak merupakan saham atau aset penting setiap ibu bapa. Anak yang soleh, mampu berjasa kepada ibu bapanya selepas ketiadaan mereka.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila wafatnya manusia, maka terputuslah darinya segala amalannya (pahala) kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (pahala yang mengalir), ilmu bermanfaat (kepada manusia lain yang masih hidup) atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya". - Hadis Riwayat Muslim

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW menggalakkan perkahwinan sehingga mendapat zuriat yang ramai.

Rasulullah SAW bersabda: “Kahwinilah wanita yang melahirkan anak ramai dan memiliki kasih sayang yang tinggi, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai") - Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasaei.

Melalui dalil di atas, dapat kita fahami bahawa Islam menggalakkan umatNya melahirkan ramai zuriat.

Ada pasangan suami isteri sukar mendapat zuriat. Maka, adalah kewajipan mereka berusaha bagi mendapatkan zuriat melalui perubatan moden atau perubatan Islam di samping berdoa kepada Allah.

Statistik menunjukkan satu dalam enam pasangan suami isteri mengalami masalah kesuburan. Kira-kira 40 peratus pasangan suami isteri yang mengalami masalah kesuburan disebabkan wanita, 40 peratus lelaki, sepuluh peratus melibatkan kedua-dua pasangan, selebihnya daripada punca yang tidak dapat diketahui oleh perubatan moden.

Ramai pasangan suami isteri datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendapatkan rawatan kesuburan.

Antara masalah mereka adalah penyakit bersifat medical seperti endometriosis, fibroid, kerosakan tiub fallopian, kitaran haid tidak menentu disebabkan ketidakseimbangan hormon, masalah kurang sperma dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, terdapat ramai pasangan sukar mendapat zuriat disebabkan gangguan jin dan sihir.

Perlu kita fahami, rawatan kesuburan menggunakan ayat suci al-Quran bukanlah untuk penyakit kesuburan bersifat gangguan jin atau sihir semata-mata, malah kaedah suci ini mampu mengubati masalah kesuburan yang bersifat medical seperti yang saya senaraikan tadi.

Masalah untuk golongan wanita (isteri) adalah, apabila janin jantina perempuan terbentuk dalam rahim ibunya, ia dibekalkan dengan hampir dua juta telur yang disimpan di dalam sepasang kilang telur atau ovari.

Ovari wanita tidak mampu membuat telur baru dan pada hakikatnya, terdapat penurunan berterusan dalam jumlah bilangan telur setiap bulan.

Menjelang masa seorang gadis mencapai umur baligh, kira-kira 25 peratus daripada jumlah telur itu kekal, iaitu kira-kira 300,000 telur.

Penurunan jumlah telur disebabkan oleh telur yang tidak mencapai kematangan penuh dan mati disebabkan oleh proses yang dipanggil atresia.

Semakin usia seseorang wanita meningkat, semakin berkurangan bekalan telur wanita sehingga menopaus.

Oleh itu, hanya kira-kira 300 hingga 500 telur (ovum) ini akan matang lebih jangka hayat wanita.

Bagi kaum lelaki (suami), situasi pengeluaran benih iaitu sperma berbeza daripada wanita. Organ pengeluaran sperma iaitu testis biasanya menghasilkan 50,000 sperma baru setiap hari apabila baligh sehingga lelaki itu berumur 70 tahun.


Haji Lokman Abdul Hamid Utusan Malaysia Online Bicara Agama Disember 23, 20112 

Keperluan asas nafkah anak

Umum mengetahui bahawa nafkah anak menjadi kewajipan seorang bapa tidak kira dalam masa perkahwinan atau selepas perceraian.

Kemampuan untuk menyediakan nafkah anak ini juga bukan syarat utama atau menjadi faktor bagi mendapatkan hak jagaan anak dalam kes yang membabitkan perebutan anak. Nafkah anak itu tetap menjadi kewajipan seorang bapa tidak kira bagaimana atau apa alasan sekalipun melainkan jika bapa itu telah mati atau tempat tinggal bapa tidak diketahui atau ghaib.

Jika keadaan demikian maka ia menjadi tanggungan orang lain yang berkewajipan terhadap anak tersebut seperti datuk.

Seksyen 73(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan “kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya”.

Bagaimanapun, ramai yang keliru mengenai apakah yang menjadi tanggungan wajib kepada bapa dalam menyediakan nafkah anak tersebut? Apakah perkara asas yang perlu ditanggung seorang bapa?

Jika berdasarkan peruntukan undang-undang, perkara yang menjadi asas bapa untuk menanggung nafkah anak meliputi tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran.

Apakah yang dikatakan tempat tinggal? Ia meliputi tempat tinggal atau rumah untuk didiami oleh anak itu dan keperluan asas didalamnya seperti kelengkapan elektrik, air dan tempat tidur untuk kegunaan anak.

Kelengkapan lain seperti televisyen, tab air panas atau sebagainya tidak termasuk dalam kewajipan ini dalam keadaan biasa. Bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan dan taraf kehidupan sesebuah keluarga.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan pakaian? Ia merangkumi keperluan pakaian asas anak yang boleh digunakan, tetapi tidaklah sampai kepada pakaian untuk bermewah-mewah.

Dari sudut keperluan makanan pula, ia adalah makanan asas yang boleh dimakan oleh anak untuk tujuan kehidupan. Makanan tambahan lain seperti vitamin, makanan mewah seperti makanan segera adalah tidak menjadi kewajipan.

Bagaimana pula dengan perubatan? Ia meliputi kos perubatan yang membabitkan anak itu ketika tidak sihat atau jika anak mengalami masalah kesihatan sedari awal lagi. Segala kos berkaitan perlu ditanggung oleh bapa hinggalah anak itu tidak lagi dibebani dengan masalah kesihatan.

Berkaitan dengan pelajaran pula, bapa wajib menanggung segala kos berkaitan pelajaran anak berdasarkan peringkat dan tahap pembelajaran anak.

Jika anak sudah baligh ataupun mampu untuk bekerja, namun anak berkenaan meneruskan untuk belajar maka ia menjadi tetap menjadi kewajipan bapa jika ilmu itu bersangkut dengan kewajipan dirinya seperti ilmu akidah, ilmu ibadat mahupun ilmu yang diperlukan untuk kemajuan diri maka bapa wajib mengadakannya.

Melainkan jika ilmu itu ilmu tambahan seperti ilmu dalam kemahiran tertentu seperti muzik, silat atau lainnya ia bukan ilmu asas yang menjadi kewajipan bapa.

Bagaimanapun, harus diingat selain daripada perkara asas yang menjadi kewajipan bapa berkenaan, ia juga perlu melihat kepada kebiasaan disediakan bapa kepada anak, selain taraf hidup keluarga itu sendiri.

Perkara ini perlu diambil kira untuk mengekalkan kebajikan anak itu atau mengelakkan gangguan emosi terutama dalam kes yang membabitkan perceraian ibu bapa.

Sudah tentu ia akan menjadi bandingan bagi mereka kehidupan selepas perceraian yang mana sepatutnya tidak timbul. Segala kemudahan dan keperluan anak sebelum berlaku perceraian seharusnya dikekalkan.

Perkara berkaitan nafkah ini perlu ditangani dengan baik oleh bapa demi kebajikan anak kerana ia boleh mempengaruhi serta mencorak kehidupan anak pada masa depan.

Pihak ibu pula seharusnya memberikan kerjasama berpatutan dalam isu berkaitan nafkah supaya ia tidak menjadi beban kepada bapa. Nafkah ini untuk kebajikan dan keperluan anak dan bukan sebagai sumber kemewahan.


Berita Harian Online Agama Isnin , 24 Disember 2012

Solat tonggak pemisah Muslim, kafir

Ibadat solat adalah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilunaskan setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan dengan sempurna sebanyak lima waktu sehari semalam. Kewajipan solat ini tertera dalam ayat yang bermaksud: “Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan solat (seperti biasa) kerana sesungguhnya solat itu adalah atas mukmin satu kewajipan yang ditentukan waktunya.” - (An-Nisa: 103)

Solat adalah ibadat yang teristimewa berbanding ibadat fardu lain yang Allah perintahkan. Sebabnya perintah solat fardu lima waktu diterima Nabi Muhammad SAW secara langsung daripada Allah SWT pada malam peristiwa Israk Mikraj (setahun sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah).

Apabila kita sorotkan dengan pandangan akal yang penuh sedar dan teliti, maka kita akan jumpa beberapa keistimewaan solat fardu, antara lain ialah solat sebagai tiang agama. Tonggak yang menentukan kukuh atau rapuhnya agama yang dianuti. Apabila sengaja meninggalkan solat fardu samalah dengan sengaja meruntuhkan agamanya.

Kalau kita teropong kelompok masyarakat hari ini, berapa kerat sangatlah yang tergolong dalam orang yang taat mengerjakan solat? Ternyata amat sedikit. Kebanyakan mereka mengabaikan solat kerana dipengaruhi nafsu, sikap malas walaupun mengetahui mengenai kewajipan solat, terutama muda-mudi yang leka dengan suasana hiburan yang melalaikan, atau memang tidak diasuh dengan nilai agama sejak dari kecil, ada juga yang selalu berada dalam kesibukan mengejar kesenangan dan kemewahan duniawi yang bersifat sementara.

Kita juga mendapati di surau atau masjid, setiap waktu solat hanya ada dua tiga orang yang sudah tua berjemaah. Ini keadaan yang sangat menyedihkan dan kepahitan hakikat yang harus ditelan pada zaman sekarang ini.

Solat adalah permulaan amalan yang dihisab di akhirat nanti dan ia menjadi pokok perkiraan kepada ibadat lain. Sekiranya pahala solat tiada atau solatnya tidak diterima Allah, maka ini bermakna ibadah lain kosong tidak bermakna (tidak dipandang Allah) meskipun ibadat lain itu banyak yang telah dilakukan di dunia, misalnya jutaan ringgit disedekahkan kepada fakir miskin.

Dari situ jelaslah kepada kita alangkah tidak bergunanya amalan soleh yang lain sekiranya solat fardu itu diabaikan. Sungguh betapa ruginya manusia, menyesal pun tidak berguna lagi, sia-sia belaka.

Oleh itu, kita sebagai orang Islam hendaklah selalu memelihara solat setiap masa dengan penuh insaf walau dalam keadaan apa sekalipun. Solat juga menjadi unik lantaran telah menjadi wasiat nabi sebelum kewafatannya. Ini satu petanda bahawa ibadat solat adalah satu ibadah yang sangat penting dan menjadi teras dalam Islam. Lalu, amalan solat tidaklah boleh diringan-ringankan kewajipannya, apatah lagi tidak menghiraukannya langsung.

Apabila solat fardu telah menjadi wasiat terakhir Nabi SAW, maka kita sebagai seorang Islam yang cintakan Rasulullah SAW sepenuh hati haruslah selalu menjaga dan memeliharanya sepanjang perjalanan hidup yang masih tersisa ini. Solatlah yang dapat membezakan antara orang Islam dengan orang bukan Islam.

Perhatikanlah sabda Baginda yang bermaksud: “Tonggak pemisah antara seorang Muslim dan kafir adalah solat” (H.R. Muslim)


Berita Harian Online Agama Isnin , 24 Disember 2012