December 27th, 2012

Kaya hati kaya sebenar

BAGI kebanyakan manusia zaman ini, menjadi kaya adalah satu matlamat hidup yang mesti diraih. Mereka menginginkan rumah besar, kereta mewah dan pelbagai kemudahan hidup yang selesa. Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan siang dan malam untuk mengumpulkan wang. Sering kali, keinginan itu membuatkan diri kita melupakan hak anak isteri yang memerlukan kasih sayang dan perhatian, bahkan ada juga yang mengabaikan pantang larang agama.

Apabila kita keliru dalam memahami konsep kekayaan, maka kita akan tersalah dalam mencarinya. Kekayaan hakiki sebenarnya bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di dalam hati manusia. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka bahawa banyak harta itu bermakna kaya?" Abu Zar berkata: "Ya."Baginda bersabda lagi: "Dan adakah engkau menyangka bahawa ketiadaan harta itulah kefakiran?" Abu Zar berkata: "Ya."

Baginda lalu menjelaskan: "Kekayaan sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran hati."

Kaya hati

Kaya hati adalah merasa cukup dengan yang ada. Sifat ini disebut juga dengan qana'ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan bersyukur atas segala pemberian-Nya."

Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia." (riwayat al-Tirmizi)

Miskin hati

Siapa yang miskin hati tidak akan pernah merasa cukup meskipun seluruh kekayaan dunia berada di dalam tangannya. Rezeki yang begitu banyak terasa sedikit. Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan yang dirasakan.

Ia selalu hidup dalam ketakutan, cemas dan stres mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Belum lagi anak-isteri yang menyeksa dengan pelbagai permintaan dan perangai buruk mereka.

Allah SWT berfirman: Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir. (al-Tawbah: 55)

Orang yang miskin hati tidak dapat mengecapi kenikmatan hidup. Malahan, hatinya terus dihantui kefakiran hingga ajal membawanya ke liang kubur.

Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki dua ladang penuh berisi emas, maka ia akan berusaha mencari yang ketiga. Tiada apa yang dapat memenuhi perut manusia selain tanah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Luangkan sedikit masa

Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita, namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan terbuka luas di dalam hati kita.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu. Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu." (riwayat Al-Tirmizi)

Walalhu a'lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25 Disember 2012 

Ilmuwan cemerlang di Andalus

ABU Al-Qasim Maslamah bin Ahmad atau Al-Majriti dapat diibaratkan sebagai ensiklopedia matematik, astronomi dan ilmu kimia kerana memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai sumber maklumat bidang-bidang berkenaan.

Beliau dilahirkan di Majrit (Madrid) pada tahun 338 Hijrah bersamaan tahun 950 Masihi.

Beliau juga terkenal sebagai ilmuwan Islam yang sangat cemerlang di Andalus. Hakikat itu diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan.

Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan.

Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan bahawa mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains.

Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau.

Eksperimen yang terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari.

Sebagai ilmuwan yang teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia melalui proses percubaan di makmal.

Astrolab

Sebuah penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, iaitu sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit.

Ia adalah cakera yang diperbuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan di tengahnya ada sebuah jarum penunjuk yang boleh bergerak.

Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga ke hari ini.

Diterjemahkan

Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1252 Masihi.

Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Mu'amalat, Ikhtisar Ta'dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada'iq wa Riyadh Al-Khala'iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan.

Al-Majriti mempunyai ramai murid yang berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova (sekarang Sepanyol) yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25 Disember 2012 

Tokoh riwayat Warsy

SEORANG guru Quran yang penulis mengenalinya dan mempunyai ilmu yang mendalam dalam riwayat Warsy ialah al-Fadhil Ustaz Sulaiman Ali. Penama merupakan anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan dilahirkan pada 1934.

Semasa usianya meningkat remaja, beliau amat suka mendampingi guru al-Quran. Ketika itu di Terengganu, guru al-Quran yang tersohor ialah Haji Mat Litar yang merupakan Imam Masjid Abidin dan pemegang sanad al-Quran. Beliau menganugerahkan sanad kepada pelajarnya sebaik selesai khatam al-Quran di hadapannya.

Ustaz Sulaiman telah mendalami bacaan al-Quran dengan penekanan kepada makhraj huruf, sifat huruf dan hukum tajwid yang lain di bawah tunjuk ajar Mat Litar.

Di samping itu, Mat Litar juga memberi tunjuk ajar kaedah bacaan riwayat Warsy. Semua kaedah tersebut dicatat dalam mushaf dan disimpan dengan baik hingga ke hari ini.

Ketika melanjut pelajaran di Mekah pada 1952 hingga 1960, Sulaiman telah mengambil peluang dengan menekuni riwayat Warsy di hadapan beberapa guru al-Quran.

Semasa Malaysia menyambut kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, persatuan pelajar Malaysia di Mekah juga membuat satu majlis sambutan kemerdekaan dan Sulaiman ditugas sebagai setiausaha sambutan.

Pada 1960, beliau pergi ke Mesir dengan mengikuti pengajian dalam kuliah Syariah di Universiti al-Azhar dan telah mendapat biasiswa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Perkara yang penulis begitu hormat kepada tokoh Quran ini ialah, walaupun beliau telah pencen daripada beberapa jawatan penting di bahagian pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, namun beliau terus mendalami atau bermuzakarah riwayat Warsy dengan beberapa guru al-Quran.

Pada 1994, beliau telah dianugerahkan sijil khatam al-Quran riwayat Warsy oleh Syeikh Ibrahim Yusuf Ibrahim Badr. Syeikh Ibrahim Badr ialah guru al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran negeri Terengganu yang diutus Universiti al-Azhar Mesir.

Keilmuan Sulaiman dalam riwayat Warsy bukan sekadar maklumat yang dikumpul daripada guru atau tercatat dibuku sahaja tetapi beliau telah menulis seluruh riwayat Warsy bermula daripada surah al-Fatihah hingga ke surah al-Nas di dalam bukunya yang diberi nama al-Nur Riwayat Warsy daripada Qiraat Nafei'.

Kitab al-Nur ini dibahagikan kepada tiga jilid dan diterbitkan pada 2003. Ketika menyiapkan kitab al-Nur, hubungan Sulaiman dengan penulis bertambah erat di mana beliau telah meminta penulis menyemak kitabnya dan memberi ruang kepada penulis menggarap kata aluan di permulaan kitab.

Kitab al-Nur telah digunakan dalam sesi pengajaran kepada masyarakat. Di samping itu, beliau juga merujuk kepada rakaman suara riwayat Warsy oleh Syeikh Mahmud Khalil al-Husari.

Pada permulaan tahun 2000, beliau telah membuka kelas talaqi riwayat Warsy di surau Tanjung Kuala Terengganu. Ramai yang datang untuk belajar riwayat Warsy dan terdapat juga kalangan ustaz yang datang bagi mendalami lagi riwayat tersebut.



KHAIRUL ANUAR MOHAMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26 Disember 2012 

Masalah moral remaja

STATISTIK gejala moral dan jenayah yang melibatkan remaja akhir-akhir ini sangat membimbangkan kita. Ini adalah kerana, remaja adalah merupakan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Tindakan segera perlu diambil, khususnya oleh ibu bapa dan keluarga apabila mendapati anak-anak mereka terlibat dalam jenayah dan salah-laku.

Kes-kes jenayah yang semakin meningkat seperti; buang bayi, penyalahgunaan dadah, zina, rempit dan lumba haram, ponteng sekolah dan sebagainya memerlukan tindakan secara kolektif dan bersepadu.

Kes-kes jenayah di kalangan remaja hari ini sebenarnya bermula dari rumah. Ia bermula apabila ibu dan bapa tidak mampu lagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Kadang-kadang ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan anaknya apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila melihat anaknya melakukan maksiat di hadapan mata.


Setiap bayi itu dilahirkan suci bersih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. - Gambar hiasan


Sebagai contoh, ada di kalangan ibu bapa tidak menghalang anak perempuan mereka untuk membonceng motor teman lelakinya yang menjemput di rumah. Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang berada dalam dilema kerana bimbang anak-anak mereka lari dari rumah sekiranya sikap mereka itu ditegur.

Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun.

Apabila berada di sekolah, lagak gaya anak-anak ini semacam kumpulan kongsi gelap atau samseng sehingga menyebabkan sesetengah guru berfikir dua kali untuk menegur mereka.

Satu perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW telah diabaikan oleh para ibu bapa pada hari ini dalam konsep mendidik anak-anak yang melakukan kesalahan.

Pastinya keingkaran atau keengganan mematuhi perintah Rasulullah SAW itu mengundang kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Cuba kita hayati sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka 10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

Tanpa kita sedari bahawa rupa-rupanya inilah perkara yang menjadi punca kepada segala permasalahan jenayah dan gejala sosial yang tak pernah kunjung hentinya. Sebab itulah walaupun berbagai-bagai program dilakukan oleh kerajaan bagi menangani situasi ini namun sudah pasti tanpa melakukan segala perintah dan tanpa akur kepada larangan Allah SWT dan Rasul-Nya maka mustahil jenayah dan masalah moral remaja dapat kita atasi.

Kelazimannya apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, masyarakat secara langsung menganggap tugas menanganinya adalah terletak di bahu pihak berkuasa sahaja. Dan sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk menjalankan siasatan seterusnya.

Namun harus diingat peranan dan tanggungjawab masyarakat lebih utama dalam memastikan kejadian jenayah dapat dibendung. Fakta membuktikan bahawa institusi kekeluargaan adalah merupakan penentu kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Dalam hubungan ini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi generasi akan datang dapat dibuktikan melalui hadis nabi SAW yang berbunyi: Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan masa depan anaknya, sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, ibu bapa tidak wajar dipersalahkan 100 peratus terhadap masalah yang berlaku. Sebenarnya, setiap ahli masyarakat memikul tanggungjawab dalam memastikan masalah moral remaja dapat dibendung.

Dalam hubungan ini jelas kepada kita bahawa tanggungjawab dalam menangani jenayah serta kemungkaran yang berlaku telah menjadi kewajipan serta tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh semua pihak.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa melihat suatu kemungkaran maka hendaklah ia cegah dengan tangannya (kekuasaan) jika tidak mampu cegahlah dengan lisannya (nasihat) dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dicegah dengan hati (rasa benci). Demikian itu adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Kesimpulannya, dalam membendung gejala tidak sihat ini daripada terus berlaku, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Gunakanlah garis panduan yang sarat terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Paling penting, jadikan agama dalam asas pendidikan dan pembinaan jati diri remaja. Insya-Allah kita akan menemui jalannya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26 Disember 2012

Mohon pertolongan hanya daripada Tuhan

Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT sentiasa mengakui bahawa Allah SWT sajalah yang layak disembah dan tempat memohon segala pertolongan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. - (Surah al-Fatihah ayat 5).

Dalam ayat ini ada dua ungkapan penting. Ungkapan pertama: kepada Engkau kami sembah (iyyaka nabud), manakala ungkapan kedua pula: Kepada Engkau kami mohon pertolongan (iyyaka nastain).

Bebas syirik

Ungkapan pertama menekankan mengenai pembebasan seseorang hamba daripada segala perkara syirik, manakala ungkapan kedua pula menekankan mengenai pembebasan diri daripada pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.

Menurut al-Raziy dalam al-Tafsir al-Kabir, penggunaan lafaz iyyaka (kepada Engkau sahaja) pada awal kata kerja nabud (kami sembah) dan nastain (kami memohon pertolongan) dalam ayat ini adalah bagi tujuan al-hasr (pembatasan), manakala al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir pula mengatakan ia bertujuan al-ikhtisas (pengkhususan).

Pengabdian kepada Allah

Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak bertentangan, malah ia sama saja iaitu dibatasi bagi tujuan pengkhususan. Oleh itu, jelaslah menyembah dan memohon pertolongan hanya khusus kepada Allah SWT saja. Inilah yang dikatakan pengabdian diri kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi kepatuhan, tunduk dan kerendahan diri kepada Allah SWT.
Menurut tafsiran Ibn Abbas r.a, ayat ini bermaksud Allah SWT sajalah yang layak disembah dan ditakuti dan kepada-Nya dipohon segala pertolongan sama ada dalam beribadah, ketaatan mahupun dalam segala perkara yang berkaitan kehidupan.

Dengan pengakuan atau ikrar ini bermakna seseorang hamba Allah SWT itu membebaskan dirinya daripada mengabdikan diri kepada sesama manusia dan tunduk kepada segala perkara khurafat dan tahyul.

Hamba yang berikrar menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT saja, akan berikrar juga untuk mempertahankan apa yang diikrarkan itu, iaitu dengan tidak menyembah dan mengabdikan kepada sesuatu selain Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah (Surah al-Kafirun ayat 2).

Diriwayatkan oleh al-Tabraniy dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a. bahawa kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan harta kekayaan agar Baginda menjadi seorang yang paling kaya di Kota Makkah dan Baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang Baginda kehendaki. Mereka menyampaikan semua ini dengan berkata: Inilah yang kami sediakan untukmu wahai Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.

Nabi Muhammad SAW menjawab: Aku akan menunggu wahyu daripada Tuhanku. Penurunan ayat 1-6 daripada Surah al-Kafirun adalah berhubung dengan peristiwa ini dan sebagai perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat 64 daripada Surah al-Zumar sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala (al-Suyutiy, Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul).

Berdasarkan peristiwa ini, didapati Rasulullah SAW ditawarkan dengan kemewahan hidup dan perempuan cantik sebagai syarat supaya Baginda SAW meninggalkan dakwah Islam dan berkompromi dengan kaum kafir Quraisy.

Cubaan syirikkan Allah

Hal ini sebagai satu cubaan mengajak Rasulullah SAW yang kuat mengabdikan diri kepada Allah SWT supaya mensyirikkan Allah SWT.

Kegagalan ini disebabkan oleh Rasulullah SAW yang berikrar mengabdikan diri kepada Allah SWT itu telah bertindak mempertahankan apa yang diikrarkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah ciri orang yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tidak sedikit pun tunduk dan patuh kepada sesuatu selain Allah SWT.


Shukri Hanapi Berita Harian Online Agama 25 Disember 2012

Keajaiban bersedekah

Amalan jadikan mukmin tenang, raih ganjaran 700 kali ganda

Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan.

Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.

Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.

Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak pula dinafikan ada segelintir masyarakat kurang prihatin terhadap impak positif amalan sedekah terhadap dirinya dan juga masyarakat. Mereka berasa harta kurang apabila memberi selain berasa takut kehilangan barang kesayangan.

Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan mengenai kelebihan bersedekah seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Terdapat sifir mudah termaktub di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anam, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Dalam hal ini, Pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, Yusuf Mansur mempunyai penjelasan mengenai keajaiban sedekah.

Katanya, berdasarkan dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan (10 – 1 = 9).

Tetapi apabila kita amalkan formula sifir ini dalam konteks sedekah, nilaian satu yang kita berikan itu akan digandakan dengan 10. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukan sembilan, tetapi 19.

Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah (1 x 10 = 10). Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 tadi ia menjadi 19 (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun, ia bertambah di sisi Allah SWT, malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Apabila memahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, apabila memberi satu, bukan berkurang, tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda.

Justeru, jadikan amalan sedekah bukan sebagai amalan kebetulan iaitu jika tidak ke masjid, tidak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiada yang mahu disumbangkan, tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian.

Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang Muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari.


Safarina Mohd Fathoni adalah pelajar Kursus Bahasa Arab dan Komunikasi, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Berita Harian Online Agama 27 Disember 2012

Akui kesalahan, mohon maaf peribadi mulia

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang sering kali dianggap sebagai mudah mengalah, tidak kuat pendirian dan dianggap terlalu lembut.

Pada dasarnya, tidak salah merendah diri untuk memohon maaf atas kesalahan dilakukan. Sikap mudah rasa bersalah walaupun terhadap perkara remeh dibenarkan bagi bertujuan membersihkan hati.

Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah kemasyarakatan.

Pemimpin telus, jujur

Jika menjadi pemimpin, sifat seperti ini menggambarkan ketelusan dan kejujuran yang ada kaitannya dengan natijah keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Mengakui kesalahan dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan adalah ciri-ciri orang beriman. Meminta maaf bukanlah suatu tindakan yang hina. Malah, mengakui kesalahan adalah tindakan yang berani.

Tidak ramai manusia termasuk pemimpin bersedia memohon maaf di atas kesilapannya. Ini hakikat yang perlu difahami kerana manusia bukanlah makhluk sempurna dan sentiasa terdedah dengan kesilapan.

Namun manusia harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan bagi menjana peribadi yang mulia.

Khalifah Abdul Malik Marwan pernah mengungkapkan mutiara kata iaitu “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.”

Allah SWT sangat mencintai orang yang memaafkan kerana ia termasuk dalam perbuatan baik kepada manusia. Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat ke-134).

Rasulullah SAW sendiri adalah insan yang mudah memaafkan orang lain. Baginda Rasulullah SAW pernah berdepan dengan perlakuan seorang wanita Yahudi memberi hadiah kepada Nabi berupa daging kambing yang didalamnya mengandungi racun.

Sesungguhnya Nabi sendiri tidak mengetahui akan perkara itu dan memakannya. Selepas mengetahui diri Baginda diracun, Nabi berbekam untuk mengeluarkan racun berkenaan.

Dengan izin Allah, Baginda terselamat lalu dipanggil wanita itu dan ditanya maksud dan tujuannya berbuat begitu kepada Nabi. Ternyata dari jawapannya dia ingin membunuh Nabi. Namun Rasulullah SAW memaafkan wanita itu dan tidak sesekali menghukumnya.

Rasulullah ada bersabda: “Sayangilah makhluk, nescaya kamu akan disayangi Allah dan berilah ampunan nescaya Allah mengampunimu.” (Sahih Al-Adab Al-Mufrad)

Islam menuntut umatnya memaafkan orang yang memohon maaf dengan tanpa perasaan prejudis atau pandangan serong.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah At-Taghabun, ayat 14)

Daripada Abu Hurairah ra menyebut bahawa ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku berusaha menyambungnya, namun mereka memutuskan hubungan dengan aku. Aku berbuat kebaikan kepada mereka, namun mereka berbuat tidak baik. Aku bersabar dengan mereka namun mereka berbuat kebodohan terhadapku.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Jika benar yang kamu ucapkan maka seolah-olah kamu menebarkan abu panas kepada mereka. Dan kamu sentiasa mendapat pertolongan dari Allah atas (perbuatan) mereka selama kamu di atas hal itu.” (Riwayat Muslim)

Jiwa ikhlas

Orang yang memiliki jiwa yang ikhlas selalunya menghiasi diri dengan kemuliaan dan dalam hatinya sentiasa berusaha untuk menyingkirkan sifat tidak baik.

Nabi Allah Yusuf as adalah antara contoh manusia memiliki jiwa dan keperibadian yang luhur walaupun beliau disakiti saudaranya sendiri dengan dilemparkan ke dalam perigi dan dijual kepada kafilah dagang sehingga berpindah dari satu tempat ke tempat lainnya.

Sebagai balasan diatas kemuliaan hatinya, Allah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf sehingga menjadi orang besar yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan Mesir ketika itu.

Justeru, manusia seharusnya mempunyai perasaan rendah hati untuk mengakui kesilapannya. Mereka juga seharusnya bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan bertindak berani membetulkan kesilapannya.


Amran Zakaria Berita Harian Online Agama Khamis, 27 Disember 2012