December 28th, 2012

Solat mercu tanda iman

DALAM sehari pasti kita akan mendengar suara merdu muazzin mengalunkan azan di corong masjid atau surau. Namun ketika itu, masih ada di antara kita asyik membeli-belah.

Ada yang memekakkan telinga kerana sayangkan padang bola. Begitulah fenomena masa kini yang menggambarkan seruan Ilahi untuk mendirikan solat semakin ‘terhakis’ dibuai kegilaan mengejar duniawi.

Solat adalah mercu tanda iman seseorang. Cuai, alpa dan melengah-lengahkan pelaksanaannya mencerminkan keperibadian kita. Islam meletakkan solat di tempat tertinggi dan sebagai tiang agama.

Mendirikan solat bermakna tegap dan kukuhlah tiang itu, sebaliknya seandainya kita lalai atau langsung meninggalkannya, bererti roboh dan porak peranda agamanya.


Bayangkan, kita sanggup dan bertenaga melakukan urusan dunia, tetapi untuk mengambil masa dalam lingkungan lima minit menunaikan solat hati kita terasa begitu liat.


Jika dalam hati kita ada petanda semacam itu, seharusnya bersegera mencucinya dengan taubat. Bertekad untuk tidak akan meninggalkan solat meskipun sedang dihambat pelbagai urusan duniawi.

Luqman al-Hakim pernah menasihatkan anaknya supaya menjaga waktu solat dengan sempurna. Ini contoh seorang ayah yang baik. Apakah kita sebagai seorang bapa pernah menasihatkan atau menegur kedegilan anak kita dalam aspek solat?

Pesan Luqman: “Wahai anakku. Menunaikan solat yang telah difardukan ke atasmu itu lebih berharga daripada setiap apa yang engkau lakukan, kerana hal seperti solat dan tasbih itu adalah seperti sebuah kapal di tengah lautan. Sekiranya kapal itu terselamat, maka selamatlah apa yang ada di dalamnya dan sekiranya ia karam, maka karamlah apa yang ada di dalamnya.”

Lihatlah metafora yang digunakan Luqman dalam mengetengahkan nasihatnya. Itu dapat dijadikan analisis sebagai perbandingan yang berkesan dalam pendidikan solat kepada anak.

Kita perlu ingat, dalam aspek pendidikan kepada anak, seseorang ibu bapa mesti menunjukkan teladan terlebih dahulu. Jangan hanya pandai membebel memberi nasihat, namun kita sendiri entah ke mana.

Didiklah anak supaya menjadi teman karib kepada masjid dan rakan akrab kepada sejadah. Jiwa dan minda mereka akan tumbuh subur dengan roh Islam yang utuh sekali gus membekalkan mereka dengan ‘senjata’ paling ampuh menyusuri arus kehidupan yang mencabar.

Rasulullah s.a.w dengan pesanan bernada tegas mengatakan: “Perbezaan antara hamba Allah yang beriman dengan yang kafir adalah meninggalkan solat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasai’)

Seharusnya kita tulis dan gantung kemas di dinding rumah pesanan Rasulullah itu supaya diri dan seluruh ahli keluarga kita sentiasa melihat dan insaf.

Malah, dosa meninggalkan solat itu lebih besar daripada melakukan zina.

Dikisahkan bahawa pada zaman Bani Isrrael, ada seorang wanita menghadap Nabi Musa lalu memberitahu Baginda: “Wahai Musa, aku melakukan dosa yang sangat besar dan aku sudah bertaubat kepada Allah. Kerana itu, doakanlah aku spaya Allah memperkenankan taubatku lalu mengampunkan segala dosaku itu.”

Mendengarkan aduan wanita itu, lalu Nabi Musa pun bertanya: “Apakah dosa yang kamu lakukan itu?” Dengan suara penuh insaf wanita itu menjawab: “Sebenarnya aku terlanjur dan melakukan zina hingga melahirkan anak. Kemudian, anak itu aku bunuh.” Berubah wajah Nabi Musa mendengar penjelasan wanita itu lalu berkata: “Pergilah kamu, wahai wanita pelacur. Jangan sampai kewujudanmu di sini menyebabkan turunnya seksa dari langit hingga semua umat tertimpa sama.”

Wanita itu pun berlalu meninggalkan Nabi Musa dengan membawa hati yang amat sedih dengan layanan seperti itu. Namun, tatkala wanita pergi meninggalkan Nabi Musa, Malaikat Jibril datang menemui Baginda lalu berkata: “Mengapa engkau menolak dan mengusir seorang wanita yang bertaubat, wahai Musa? Bukankah engkau boleh menemukan dosa yang lebih berat daripada itu?” Terpinga-pinga Nabi Musa dengan soalan Malaikat Jibril itu. Kemudiannya Nabi Musa bertanya ingin penjelasan lanjut: “Ya Jibril, perbuatan apakah yang dosanya lebih besar daripada yang dilakukan wanita itu?”

Jawab Jibril: “Orang yang sama sekali meninggalkan solat dengan sengaja.” Di dalam al-Quran terdapat lebih 100 ayat Allah yang mengajak kita mengerjakan solat.

Begitu juga dengan pesanan Baginda Rasulullah. Ia menggambarkan betapa tingginya kedudukan solat malah amat menakutkan sekali sekiranya solat fardu lima waktu itu sering ditinggalkan.

Ingatlah, seandainya kita meremehkan solat fardu seolah-olah memberi ruang untuk kita berada sejajar dengan nasib Qarun dan Ubai bin Khalaf?

Apakah maksud pernyataan itu?

Kita sedia maklum, Qarun yang tersohor dengan watak orang kaya, tetapi amat bakhil manakala si Ubai bin Khalaf pula seorang usahawan kafir.

Jadi, seandainya kita mengabaikan solat kerana kesibukan urusan dunia, watak kita itu sama dengan apa yang ada pada Qarun dan Khalaf. Ibnu Umar menceritakan Rasulullah s.a.w ada memberitahu: “Aku diperintah Allah untuk memerangi manusia sampai mereka mahu bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka terjamin olehku, kecuali yang berdasarkan hak Islam, maka urusan mereka ada pada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita membina ‘mercu tanda’ iman dan takwa dengan mendirikan solat dengan sempurna khusyuk supaya perhitungan pertama kita di akhirat kelak mendapat ganjaran tertinggi di sisi Allah.


Mohd Rizal Azman Rifin rencana@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20

Ganjaran imarah masjid

SEJARAH pembinaan masjid bermula ketika penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama kaum Muslimin ke Madinah. Ketika sampai di perkampungan Quba, Baginda mendirikan masjid yang hingga kini kekal dan menjadi kunjungan umat Islam.

Kemudian, berdirinya Masjid Nabawi di Madinah. Rasulullah s.a.w mempergiatkan usaha menyalurkan pendidikan dan syiar Islam kepada penduduk sehingga roh beragama hidup dan kukuh. 

Masjid ketika itu menjadi tiang kepada kejayaan membina ummah yang erat bersatu. Rasulullah s.a.w ketika hayatnya begitu memfokuskan kepada pembinaan masyarakat bersatu menerusi kegiatan spiritual dan sosial di masjid. 

Abu Hurairah ada memberitahu: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w memberitahu:

“Tujuh orang yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya ialah pemimpin yang adil, hamba yang hatinya selalu teringatkan masjid...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Seharusnya pernyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi daya motivasi dalam memujuk rasa di jiwa supaya sentiasa ingin mengimarahkan masjid. 

Hati sentiasa memasang visi untuk tidak mahu tertinggal dalam mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Itulah yang dimaksudkan sebagai hamba yang hatinya sentiasa teringatkan masjid. 

Abu Hurairah berkata, ketika bersama dalam kumpulan sahabat, Rasulullah s.a.w menanyakan mereka: “Mahukah kamu aku tunjukkan amal ibadah yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan meninggikan darjat?” Lalu sahabat Baginda pun menjawab: “Ya Rasulullah.” Rasulullah memberitahu mereka: “Menyempurnakan wuduk pada waktu-waktu yang sukar dan memperbanyak langkah ke masjid.” (Hadis riwayat Imam Malik dan Muslim) 

Jadi, berdasarkan kepada apa yang dikatakan Baginda, dapat kita analisis bahawa Mukmin yang rajin ke masjid mendirikan solat secara berjemaah diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. 

Alangkah beruntungnya sesiapa yang jiwanya sentiasa terpaut, lalu terpanggil untuk sering ke masjid. Walau sibuk dengan urusan duniawi, budaya mendirikan solat berjemaah di masjid tidak wajar dipinggirkan. 

Jangan sampai keasyikan dunia, kita mencari alasan meninggalkan sunnah Rasulullah itu. Jangan lepaskan peluang keemasan yang dijanjikan Rasulullah s.a.w itu demi mengutip seberapa banyak pahala buat bekalan ke alam barzakh nanti. 

Abu Hurairah pernah juga menceritakan pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w berkata: “Sesungguhnya setiap masjid itu mempunyai tonggak-tonggak (orang-orang yang menghidupkan masjid), yang ditemani malaikat. Jika tonggak-tonggak itu tercabut, malaikat akan merasa kehilangan. Jika mereka menderita sakit, malaikat juga akan menjenguk. Dan jika mereka mempunyai keperluan tertentu, maka malaikat juga akan membantu mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim) 

Lihatlah betapa hebatnya orang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid sehingga ditemani malaikat dan mendapat pertolongan. Apakah itu masih tidak cukup bagi mencetuskan keinginan di hati kita supaya sentiasa merindui masjid? 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk daripada kalangan kamu, lalu dia mengelokkan dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia datang ke masjid semata-mata untuk solat berjemaah, maka Allah sangat-sangat bergembira menyambut kedatangannya seperti bergembiranya ahli keluarga orang yang lama tiada (kerana musafir atau lainnya) dengan kemunculannya.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah) 

Sememangnya, masih banyak lagi peringatan daripada Rasulullah supaya kita mengimarahkan masjid dan menjadi salah seorang ‘ahli masjid’ yang aktif mendirikan solat berjemaah. 

Jangan kita menjadi ahli masjid tatkala bersolat Jumaat atau semasa solat sunat Aidilfitri, Aidiladha atau ketika sebulan di bulan Ramadan, tetapi hari lain, mata kita saja yang singgah menatap keindahan masjid. 

Mengimarahkan masjid bererti kita menghidup serta menyuburkan syiar agama.

Mohd Rizal Azman Rifin rencana@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20

Sentiasa syukur nikmat Allah

UMAT Islam kini berdepan pelbagai isu membabitkan akidah dan iman. Fahaman pluralisme dan liberalisme yang mula menapak dilihat antara ancaman besar kepada umat Islam.


Penerapan fahaman yang menganggap semua agama itu sama perlu ditolak. Iman adalah perkara terpenting kerana ia membezakan antara orang mukmin dan kafir.


Dengan memiliki keimanan, umat Islam mempercayai dan mempunyai rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya.



Bertuah sesiapa yang berjaya mendapat nikmat cinta sejati itu. Mereka bukan saja merasai manisnya iman, tetapi tergolong di kalangan umat Muhammad s.a.w yang akan memperoleh syafaatnya di hari akhirat.


Kemanisan iman hanya boleh dicapai jika berusaha mendapatkannya. Namun, sukar memperolehnya jika jiwa masih dikotori perasaan cintakan dunia, pelaku maksiat tegar serta mereka yang hitam dan mati hatinya.


Akidah juga pastinya tercalar dan rosak akibat perbuatan, pertuturan dan kepercayaan yang bertentangan dengan prinsip keimanan dalam Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah As-Syura ayat 52 bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau suatu roh (al-Quran yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. Engkau belum tahu, apakah kitab dan apakah iman? Tapi Kami jadikan ia (al-Quran) menjadi nur (cahaya penerangan), Kami tunjuki dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau menunjuki ke jalan yang lurus.”

Tidak semua Muslim dapat merasainya. Tingkatan iman dan kemanisan iman yang dinikmati seseorang Muslim bergantung kepada beberapa prinsip iaitu kasih kepada Allah dan rasul-Nya mengatasi segala-galanya, kasih kepada manusia dengan tujuan menuntut keredaan Allah dan membenci kepada kekufuran.

Bagaimanapun, kunci utama menuju jalan Allah ialah apabila seorang hamba menjaga ibadah wajibnya. Golongan yang lalai dengan tanggungjawabnya termasuk dalam kalangan orang yang derhaka dan fasik.

Apabila berada pada tahap iman yang kukuh, seseorang akan merasai kemanisan iman. Ketika itu, imannya sukar digugat sesiapa.

Tiada seorang manusia pun di dunia ini memiliki segala-galanya. Apa saja nikmat sama ada kesenangan atau kesukaran jika tersemat iman di dada, seseorang akan meletak setiap perkara secara seimbang.


Mereka sentiasa menjadi golongan yang bersyukur, sabar, qanaah, reda, berlapang dada dan sentiasa bertawakal dalam setiap nikmat dan dugaan yang ditimpa kepadanya.

Bayangkan, golongan kaya yang sentiasa tidak merasa cukup, bersifat bakhil dan mementingkan diri sendiri apa sumbangan yang dapat mereka lakukan untuk mendapatkan keredaan Allah?

Begitu juga dengan golongan berilmu pula bersikap meninggi diri sehingga merendahkan pandangan orang lain.

Kemanisan iman yang dirasai membuatkan hidup seseorang sentiasa bahagia. Mereka yakin apa yang ditakdirkan Allah semuanya ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya.

Keyakinan itu merubah segala yang buruk menjadi kebaikan, kekurangan sebagai kelebihan. Justeru, pemburuan untuk hidup, mati dan akhirnya memasuki syurga Allah dalam keadaan beriman pada hari akhirat kelak perlu diusahakan dan dicapai sepanjang hidup.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap Muslim perlu memastikan diri mereka bukan saja bergelar Muslim malah memiliki keimanan teguh kepada Allah dan rasul-Nya.

“Terdapat rukun iman yang wajib kita percaya dengan kepercayaan qat’i (putus), tanpa sebarang syak dan ragu. Kebanyakan kandungan rukun iman adalah perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Ia menjadi perkara asas dalam menguji tahap keimanan seseorang Muslim. Bagi mereka yang mempercayai dan mengimani semua rukun iman itu dengan yakin, iman mereka sentiasa utuh, meskipun cabaran terhadap akidah silih berganti,” katanya.

Dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang menjelaskan perihal orang beriman.

“Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).

“Dalam surah al-Mukminun, Allah SWT secara jelas menyatakan ciri-ciri orang yang beriman menurut kehendak-Nya. Manakala dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Dari ayat al-Quran dan hadis ini, jelas Allah SWT menjelaskan ciri yang perlu ada bagi melayakkan seseorang Muslim bergelar Mukmin. Iman seseorang manusia sentiasa dalam keadaan meningkat dan menurun.

“Justeru, perkara yang dijelaskan Allah berkaitan perbuatan atau amalan orang beriman perlu sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan bagi memastikan iman terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosak serta memusnahkan iman.

“Yang terbesar sekali ialah dosa syirik kepada Allah. Apabila terjebak dalam jenayah ini, hilanglah iman dan lenyaplah semua amalan yang diusahakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kalau mereka menyekutukan Allah (syirik) dengan sesuatu yang lain, nescaya gugurlah daripada mereka, apa yang mereka lakukan (daripada amalan yang baik).” (Surah al-An’am, ayat 88).

“Timbul persoalan bagaimana bagi mendapatkan kemanisan iman. Ia dapat dirasai sekiranya kita sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ciri orang yang digelar Mukminun (orang yang beriman), menjauhi sifat Musyrikun (orang yang syirik kepada Allah).

“Terdapat hadis Rasulullah yang menjelaskan mengenai ‘halawatul iman’ ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang (maka dengan perkara itulah) dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain daripada keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya), sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Menerusi hadis ini, terdapat tiga perkara yang apabila ia diusahakan betul dan ikhlas, individu itu akan merasai kemanisan iman.

“Jika diperhatikan, semuanya berkaitan dengan keimanan kita kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Jelas, keimanan kepada keduanya menjadi tunjang utama bagi mendapatkan kemanisan iman,” katanya.

Sekiranya dalam diri seseorang Muslim masih ada yang lebih utama selain Allah SWT dan rasul tidak mungkin mereka dapat merasai kemanisan iman.

“Allah menjelaskan sekiranya kita cintakan Allah, ikutlah semua perkara yang dibawa Rasulullah. Ikutlah sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31).

“Apa saja yang kita lakukan mesti selari dengan tuntutan Allah dan rasul. Ia perkara asas yang perlu difahami,” katanya.

Menurutnya, Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan baik yang dilakukan umatnya selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip yang digariskan.

“Amal kebaikan itu pula tidak akan jadi sia-sia sebaliknya diberi ganjaran.

Setiap keberkatan dan nikmat yang diterima daripada Allah SWT, menjadikan kita terus mengingati-Nya pada setiap masa.

“Itulah tanda kita sedang merasai nikmat kemanisan iman. Ketenangan dalam hidup yang kita rasai hasil daripada mengingati Allah juga antara tanda kita sedang merasai nikmat iman.

“Mana mungkin nikmat turut dirasai mereka yang kufur terhadap-Nya,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingat Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).



Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20

Zakat, cukai tak sama

PERSOALAN sering berlegar di kotak pemikiran kita ialah bolehkah zakat disamakan dengan cukai?

Pada asasnya zakat dan cukai adalah dua perkara yang tidak boleh disamakan. Zakat diwajibkan Allah malah dalam al-Quran banyak disebut perkataan seperti ‘infaq’ dan ‘sadaqah’ yang membawa maksud zakat.

Cukai pula adalah suatu peraturan baru yang wujud hasil pemikiran manusia atau didasari ijtihad saja.

Di zaman Rasulullah s.a.w, hanya zakat dikenakan pada golongan Muslim sementara cukai dikenakan pada golongan bukan Muslim.

Ia bermula dengan jizyah iaitu cukai kepala kepada bukan Islam, kharaj iaitu cukai tanah kepada bukan Islam dan usyur iaitu cukai perdagangan yang dikenakan kepada kapal-kapal milik orang bukan Islam yang berlabuh di negara Islam.


Bila kita memperincikan kedua-dua jenis pembayaran ini, ia mempunyai beberapa perbezaan. Di antaranya, zakat tertakluk penerimaannya kepada asnaf yang lapan sedangkan cukai dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan umum seperti pembinaan infrastruktur, urusan keselamatan dan pembayaran gaji kakitangan awam.

Zakat umumnya dikeluarkan 2.5% sedangkan kadar cukai akan ditentukan pihak berkuasa.

Di Malaysia, umat Islam yang membayar zakat diberi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Jika zakat yang dilunaskan seseorang Muslim menyamai atau melebihi jumlah cukai pendapatan, beliau tidak lagi perlu menunaikan cukai itu.

Memadai dengan hanya mengemukakan resit pembayaran zakat berkenaan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Untuk makluman, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar dalam tahun taksiran cukai pendapatan.

Ia bermaksud, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2011, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan saja.

Justeru itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar bukannya tarikh haul.

Jika seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2009 di dalam tahun 2011, resit akan tertera haul zakat 2009 namun ia hanya dikira untuk rebat pada 2011 saja.

Berapakah jumlah zakat yang diizinkan pihak LHDN untuk dibuat pelepasan atau rebat?

Menurut Akta Cukai Pendapat 1967, Seksyen 6A (3), selagi pembayaran dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama, ia sah untuk mendapat rebat ke atas cukai.

Namun, menjadi kewajipan kepada individu yang telah melaksanakan zakat untuk menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran sama ada resit bayaran zakat fitrah atau zakat harta.

Bagi mereka yang terbabit dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB), pihak LHDN memberikan hak pelarasan dengan pembayaran zakat melalui Skim Potongan Gaji Zakat (SPG).

Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuat kuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong selepas melihat bukti bayaran zakat itu.

Keputusan ini memberikan kesan yang besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat, khususnya menerusi Skim Potongan Gaji Zakat (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperoleh pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.

Secara tidak langsung umat Islam harus merebut peluang ini untuk menunaikan zakat mereka dan kemudiannya membuat pelarasan dengan cukai yang dikenakan demi meringankan beban cukai mereka.



myMetro Variasi Ad Din 2012/12/20

Kiamat wajib dipercayai



UNDUR...rakyat mahu Presiden Assad meninggalkan kuasa pemerintahannya yang sebenarnya wujud percaturan pihak Zionis untuk menghancurkan negara itu.


Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Apa hubungan tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya.” (Surah an-Naziat, ayat 42-44).

Dari dulu, orang bukan Islam sudah mencatatkan beberapa kali perbincangan mengenai tarikh berlakunya kiamat. 


Tidak kurang, ada menyediakan stok keperluan serta bilik perlindungan bawah tanah bagi menghadapi kiamat.

Tahun 2012 juga menggembirakan umat Islam apabila berlakunya gencatan senjata di Gaza, berkuat kuasa November lalu.

Sepanjang seminggu pertempuran berlaku, lebih 100 nyawa terkorban, kebanyakan orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua serta ratusan yang cedera.

Gencatan senjata diumumkan dalam sidang akhbar bersama di Kaherah yang disaksikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Menteri Luar Mesir Mohamed Kamel Amr.

Perjanjian itu menuntut Israel menghentikan semua tindakan pencerobohan ke atas Gaza, termasuk melakukan keganasan terhadap orang awam.

Pertempuran kedua-dua pihak tercetus selepas pembunuhan ketua sayap tentera Hamas Ahmed al-Ja’abari oleh tentera Israel. Perjanjian itu dimeterai selepas rundingan yang membabitkan Clinton, Presiden Mesir Mohamed Morsy dan pegawai Palestin.

Detik itu ternyata memberi kelegaan serta kemenangan moral buat seluruh umat Islam di dunia. Secara kasarnya, gencatan senjata di Gaza itu masih belum kukuh. 

Semua umat Islam mengharapkan gencatan senjata antara Israel dan Palestin itu mampu meredakan ketegangan dan konflik yang berlaku di Wilayah Gaza.


RAMPAS...pihak Jais menunjukkan penemuan pelbagai risalah, bahan bacaan dan kain rentang yang dipercayai dicetak bagi panduan pengikutnya.


Di dalam negara, tahun 2012 mencatatkan cubaan menghidupkan semula ajaran al-Arqam di negara ini yang diharamkan pada 1994. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan 16 individu termasuk seorang pemimpin parti politik di atas dakwaan cubaan menghidupkan kembali ajaran al-Arqam dalam satu perhimpunan di Bandar Country Homes, Rawang, pada November lalu.

Serbuan di sebuah padang dikenali ‘Kenduri Mega dan Doa Selamat’ sempena sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari Muhammad dihadiri lebih 3,000 orang.

Siasatan dan risikan awal mendapati perhimpunan selama tiga hari itu ada kaitan bagi memperingati kelahiran pemimpin mereka Allahyarham Ashaari.

Semua yang ditahan akan dipanggil ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang 20 Disember lalu untuk menyambung perbicaraan.


GEMBIRA...berdasarkan perjanjian, Israel dilaporkan bersetuju mengakhiri kesemua bentuk sasaran
pembunuhan manakala Hamas akan menghentikan serangan ke atas Israel bagi mencapai keamanan di wilayah itu.


Mereka yang ditahan disyaki melanggar Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana mengembangkan ajaran ‘Aurad Muhammadiah’ dan dibawa ke ibu pejabat Jais untuk siasatan lanjut. 

Malah terdapat juga serpihan ahli kumpulan pertubuhan itu dikesan mewujudkan saluran televisyen dalam talian yang dikenali sebagai Televisyen Rasulullah, Sayyidi, Abuya (TVRSA).

Saluran televisyen itu bertujuan mengembangkan ajaran Aurad Muhammadiah kepada orang ramai. Dengan bertemakan slogan ‘Saluran Roh Suci’ dan ‘Seks Suci Islam’ didakwa boleh menjadi hiburan yang mampu mendidik roh dan iman kerana mengandungi ilmu daripada Nabi Muhammad s.a.w, Imam Mahdi (Sayyidi) dan Putera Bani Tamim (Abuya).

Negara turut ‘diuji’ dengan cubaan menyebarkan ajaran Syiah yang difatwakan haram di negara ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan gerakan itu yang bergiat aktif menghasilkan bahan penerbitan termasuk buku, risalah, kertas kerja dan cakera padat pada Februari lalu.

Antara bahan penerbitan dan risalah yang dirampas termasuk Meniti Titian Kebenaran: Menyingkap Kebenaran Mazhab Rasul dan Ahlul Bait; Inilah Al-Khulafa Ar-Rasyidin; ‘Akhirnya Ku Temui Kebenaran; Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Yang Sebenar.

Terdapat ahli ajaran Syiah secara terbuka menyatakan sokongan mereka di laman sosial peribadi masing-masing dengan menonjolkan ‘kemuliaan’ pemimpin mereka.


TERKORBAN...jenayah undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia menyebabkan ramai rakyat Syria tidak berdosa terbunuh.



Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, memutuskan umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Antara kekeliruan ajaran Syiah ialah menghalalkan nikah mutaah, mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad, menambah nama Saidina Ali dalam syahadah, menolak ijmak ulama, menyanjungi Saidina Ali secara berlebih-lebihan serta menghina isteri Rasulullah.

Mereka jelas berbeza dengan pandangan ahli Sunnah yang bukan menyentuh hal fiqh (furu’), tetapi berbeza dalam usul akidah. 

Kita turut bersedih dengan keadaan yang menimpa saudara Islam di Syria yang berperang sesama sendiri hingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Paling dikesalkan, peperangan di Syria itu berlaku ketika seluruh umat Islam di dunia bersiap sedia menyambut Ramadan yang sebenarnya lebih baik dijadikan masa untuk bermuhasabah diri.

Ketika itu berlaku jenayah penyalahgunaan undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia yang sangat meruncing. Bayangkan, senjata digunakan untuk membunuh rakyat tidak berdosa yang melanggar nilai kemanusiaan.

Tiada lagi nikmat keamanan dan kesejahteraan rakyat Syria yang pernah mereka kecapi sebelum itu. Tindakan zalim Presiden Syria, Bashar al-Assad terhadap rakyatnya yang menuntut perubahan rejim dan amalan demokrasi menyebabkan rakyat Syria berdepan krisis kemanusiaan yang amat meruncing. 

Sedar atau tidak, Syria sebenarnya dalam ‘proses’ pencerobohan oleh kuasa Barat yang akhirnya memberikan keuntungan kepada Zionis Israel.

Bagi menyelamatkan Syria, semua pihak perlu kembali ke meja rundingan bagi mencapai misi perdamaian supaya kehidupan rakyat Syria kembali seperti sebelum ini.

Campur tangan pihak Barat semakin merumitkan lagi krisis di Syria.

Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din 2012/12/27

Khutbah Jumaat: Muhasabah pertingkat kualiti diri

Sibukkan diri dengan ketaatan, cegah lakukan dosa sempena tahun baru

Tahun baru bakal menjelma dengan bermulanya 2013. Tahun yang bakal dipenuhi cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini. Seperti tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana masih diizinkan untuk meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)


Namun, sebagai muslim yang memahami kepentingan hidup sebagai satu ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.

Firman Allah SWT: “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat 50)

Bermuhasabah dan insaf

Sambutan tahun baru dalam Islam bukan sambutan bersifat bermegah dan bergembira semata-mata, tetapi harus disandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah dilakukan sebelum ini dan menginsafinya.
Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan baru.

Bermuhasabah diri adalah amalan anbiya, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup ialah menilai diri. Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia menurut kaca mata agama.

Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan supaya tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang serta masa untuk melakukan perkara batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan.

Mereka akan mencela jiwa atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukan terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan serta kebatilan.

Memetik kata-kata ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad: “Daripada perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT.”

Tidak bertolak ansur

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq, lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat reda nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.

Marilah bersama menghitung setiap tindakan selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam.

Percayalah dengan bermuhasabah seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri dari masa ke semasa.

Ingatlah pesanan Saidina Umar al-khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.


Berita Harian Online Agama Jumaat , 28 Disember 2012

Islam yang tiada tolok banding

AMAT jarang sesekali kita mendengar kisah pengislaman dalam kalangan kanak-kanak, apatah lagi insan yang dimaksudkan itu baru mencecah awal belasan tahun.

Kebiasannya, hidayah Ilahi itu diterima oleh seseorang yang sudah matang, berusia atau lebih tepatnya orang dewasa.

Pun begitu, lain pula kisah terjadi kepada seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dari Amerika Syarikat yang memeluk agama Islam setelah membaca pelbagai buku-buku berkaitan akidah dan kepercayaan aneka agama yang ada di atas muka bumi ini, tidak terkecuali tentang agama Islam.

Peliknya, kanak-kanak tersebut, belum pernah berjumpa mana-mana individu beragama Islam sebelum menganut agama suci tersebut.

Kisah ini mengingatkan kita kepada satu sirah Islam iaitu kisah Saidina Ali Abi Talib yang merupakan kanak-kanak pertama memeluk agama Islam.

Alexander Pertz, 13, remaja yang dilahirkan daripada sebuah keluarga Kristian mula menemui sinar hidayah setelah membaca buku pelbagai agama termasuk Islam.

Hidayah Allah SWT itu tidak mengira sesiapa atau status seseorang itu. - Gambar hiasan © Utusan Melayu (M) Bhd
Hatinya tertarik dengan agama tersebut setelah membaca keistimewaan Islam daripada pelbagai perspektif.

Semenjak itu, Alexander mula mendalami agama Islam dengan mempelajari praktikal menunaikan solat, mengikuti sirah Nabi Muhammad SAW dan lain-lain.

Alexander kemudian memutuskan menggunakan nama Muhammad Abdullah sebaik bergelar Muslim yang bersempena dengan nama rasul terakhir itu selepas tertarik dengan kisah pesuruh Allah tersebut.

Pertemuan

Pada suatu hari, seorang wartawan beragama Islam datang menemui Alexander untuk tujuan mewawancara kanak-kanak tersebut. Tidak disangka-sangka, matlamat asal pengamal media tersebut sebaliknya menjadi pertemuan bermakna.

Apa tidaknya, tidak sempat dia bertanyakan pelbagai soalan kepada Alexander, dirinya pula menjadi sasaran kanak-kanak berkenaanbertanyakan persoalan yang bermain dalam kotak fikirannya.

Alexander bertanya, sama ada pengamal media itu sudah menghafaz al-Quran atau sebaliknya.

Penafian wartawan itu yang dirinya bukanlah seorang huffaz, benar-benar mengecewakan Alexander.

Muhammad Abdullah kemudian menghujani wartawan tersebut dengan pelbagai soalan berkaitan ibadat haji.

"Apakah encik telah menunaikan ibadat haji? Apakah tuan telah menunaikan umrah? Bagaimana hendak mendapatkan pakaian ihram?"

Kemudian wartawan itu bertanyakan kepada kanak-kanak berkenaan apakah yang menyebabkan dia tertarik kepada agama Islam dan bukan kepada agama dan kepercayaan lain.

Alexander terdiam seketika dan kemudian berkata, bahawa semakin banyak beliau membaca tentang agama Islam, semakin mendalam pengetahuan berhubung agama tersebut.

Wartawan bertanya kembali: "Apakah kamu telah berpuasa pada bulan Ramadan?"

Muhammad tersenyum sambil menjawab: "Alhamdulillah, saya telah berpuasa pada Ramadan yang lalu secara sempurna. Walaupun itulah pengalaman pertamanya, saya berjaya mengharunginya."



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28 Disember 2012 / 14 Safar 1434