December 29th, 2012

Islam di Jepun bagai ledakan

PENJAJAHAN asing di negara kita telah memberi impak positif kepada penyebaran Islam di benua lain termasuklah Jepun yang turut tidak terlepas tempiasnya. Di sebalik tempoh penjajahan itu, sebenarnya telah mendatangkan 1001 hikmah kepada dakwah Islamiah.

Hal ini diketahui apabila terdapat fakta yang mengatakan asimilasi agama Islam di Jepun disebabkan oleh penjajahan negara matahari terbit itu di Malaysia, selain daripada kesan orang Melayu yang berkhidmat di atas kapal-kapal British dan Belanda pada abad ke-19.

Walaupun tidak dapat dipastikan kesahihannya, sama ada wujud hubungan orang Melayu dengan Jepun pada waktu itu, tetapi terdapat juga dakwaan yang menyatakan adanya pengaruh Islam dari negara lain ke negara itu pada peringkat awal.

Satu lagi fakta penting, pada 1890 apabila Empayar Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal tentera laut, Ertugrul ke Jepun untuk tujuan kunjungan hormat ke sana. Bagaimanapun kapal itu musnah dilanda ribut pada 1890.

Untuk pengetahuan umum, walaupun agama Islam di negara matahari terbit itu merupakan sebuah agama minoriti, tetapi ia tidak menghalang seorang warga Jepun bernama, Kotaro Yamaoka untuk menunaikan haji pada awal abad 1900. Yamaoka yang memeluk Islam pada 1909 di Bombay, India selepas tersentuh dengan karya penulisan seorang penulis Islam kelahiran Rusia, Abdurres Ibrahim.

Seorang lagi rakyat Jepun yang turut menerima hidayah Ilahi ialah Bunpachiro Ariga. Dia melafazkan kalimah syahadah sewaktu di India untuk tujuan perdagangan dan kemudiannya dikenali sebagai Ahmed Ariga.

Walaupun terdapat segelintir rakyat Jepun memeluk agama Islam tetapi kehidupan Islam jelas ketara selepas ketibaan beratus pelarian Turki-Tatar dari Asia Tengah dan Rusia ekoran Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia Pertama.

Pelarian yang beragama Islam itu telah diberikan perlindungan di Jepun dan mereka menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun. Pada masa sama, mereka telah menubuhkan komuniti-komuniti Muslim yang kecil sehinggalah terdapat orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan tersebut.

Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil itu, beberapa buah masjid telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada 1935. Rumah ibadat itu merupakan masjid tunggal di Jepun sehinggalah Masjid Tokyo dibina pada 1938.

Hal itu kerana masyarakat Islam Jepun tidak mengambil berat tentang pembinaan masjid, bahkan tidak terdapat seorangpun daripada mereka yang pernah menjadi imam.

Ledakan Islam

Semasa Perang Dunia Kedua, satu fenomena yang dipanggil 'Ledakan Islam' telah dimulakan oleh kerajaan Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Difahamkan pada waktu itu, sebanyak 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun.

Bagaimanapun, penubuhan pusat-pusat penyelidikan itu sama sekali tidak dikelolakan oleh orang Islam dan tujuannya bukan untuk penyebaran Islam tetapi matlamat sebenarnya adalah untuk melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam.

Ini kerana terdapat sebahagian kawasan jajahan Jepun, majoriti rakyatnya adalah beragama Islam, khususnya di Tanah Melayu.

Sebaliknya, usaha penyelidikan itu berakhir begitu sahaja selepas tamatnya Perang Dunia Kedua iaitu pada 1945.

Satu lagi 'Ledakan Islam' ialah selepas krisis minyak pada 1973. Media massa Jepun telah memberi publisiti meluas tentang dunia Islam secara amnya, khususnya dunia Arab selepas Jepun menyedari kepentingan negara-negara itu terhadap ekonomi mereka.


MASJID Kobe merupakan masjid pertama dibina di Jepun walaupun pada permulaanya penduduk Islam
di negara matahari terbit itu merupakan masyarakat minoriti.

Dengan publisiti meluas itu, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton siaran haji di Mekah dan mendengar azan serta bacaan al-Quran.

Kesannya, ramai orang Jepun memeluk Islam pada ketika itu, bahkan terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak tamat, kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.

Malah terdapat fakta mengatakan para juruterbang yang bertugas ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia Kedua telah diajar mengungkapkan kalimah syahadah ketika pesawat mereka ditembak jatuh supaya mereka tidak dibunuh.

Sebuah pesawat Jepun dikatakan telah ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk kampung. Apabila juruterbang itu mengucap kalimah syahadah, dia berasa hairan kerana para penduduk itu bertindak memberi layanan baik kepadanya.

Cabaran masa kini

Walaupun terdapat banyak fakta berhubung asimilasi agama Islam wujud di Jepun tetapi terdapat anggaran negatif berhubung bilangan orang Islam di negara itu. Ada yang mengatakan jumlah orang Islam di negara itu hanya berjumlah ratusan orang.

Perkembangan itu disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah kelemahan dari segi orang-orang Islam Jepun itu sendiri, selain timbul perbezaan orientasi antara generasi tua dengan generasi baru.

Bagi generasi tua, Islam disamakan dengan agama Malaysia, Indonesia, China, dan sebagainya. Tetapi bagi generasi baru, negara-negara Asia Tenggara tidak begitu menarik hati disebabkan pengaruh daripada orientasi Barat dan mereka lebih dipengaruhi oleh Islam di negara-negara Arab.

Bagaimanapun disebabkan taburan orang Islam yang amat sedikit, terjemahan al-Quran dalam bahasa Jepun susah didapati. Tiada karya kesusasteraan Islam di dalam buku-buku kedai atau perpustakaan-perpustakaan awam, kecuali beberapa esei dan buku dalam bahasa Inggeris yang dijual pada harga yang mahal.

Mereka sebagai Islam juga menghadapi kesusahan terhadap komunikasi, perumahan, pendidikan kanak-kanak, makanan halal serta kesusasteraan Islam selain tekanan-tekanan dan godaan-godaan gaya hidup moden.

Oleh itu, tanggapan salah terhadap ajaran Islam yang dilakukan oleh media-media Barat perlu diperbetulkan dengan cara yang lebih cekap dan tepat agar Islam tidak disalahtafsirkan oleh rakyat Jepun yang bukan beragama Islam, sekali gus menyelamatkan keberadaan komuniti Islam berbangsa Jepun di sana.

Imej Islam di Jepun telah tercalar teruk oleh kejadian pembunuhan Hitoshi Igarashi disebabkan oleh penterjemahan ayat-ayat Syaitan (The Satanic Verses), selain Serangan 11 September 2001 yang telah menambah imej negatif terhadap agama Islam.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/12/2012

Muhammad bukan penyair

DALAM ayat-ayat yang sebelumnya, Allah SWT berbicara tentang keesaan-Nya menyatakan tentang hari kebangkitan manusia, selanjutnya dalam ayat Allah SWT berbicara pula tentang risalah yang dibawa oleh rasul-Nya.

Firman Allah SWT: (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepada-Nya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan. (Yasin: 69)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman menyatakan tentang Nabi-Nya Muhammad SAW bahawa Dia tidak mengajar syair kepada baginda."

Abu Zur'ah al-Razi berkata: :Ismail bin Mujalid bercerita kepada kami daripada ayahnya bahawa al-Sya'bi berkata, Abdul Mutalib tidak pernah mendapatkan anak-anak lelaki dan perempuan melainkan pasti mengucapkan syair kecuali Rasulullah SAW. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Asakir dalam biografi Utbah bin Abi Lahab."

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abu Naufal berkata: "Aku bertanya kepada Aisyah ra apakah Rasulullah SAW menguasai syair? Maka beliau menjawab syair adalah kalimat yang paling dibenci baginda."

Al-Maraghi berkata: "Syair merupakan sejenis ungkapan yang mempunyai peraturan tertentu. Setiap barisnya berakhir dengan huruf tertentu yang disebut sajak. Ungkapan itu diucapkan berdasarkan irama yang dilahirkan oleh perasaan dan nafsu tanpa dipandu oleh akal dan ilmu logik."

Oleh yang demikian, kenyataan Allah SWT bahawa Dia tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad SAW bermaksud Dia hendak menegaskan bahawa al-Quran bukanlah syair.

Al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan Allah SWT untuk memberi bimbingan kepada hamba-Nya keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Al-Quran bukanlah rekaan manusia.

Firman Allah SWT: Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (Yasin: 70)

Ibnu Kathir berkata: "Al-Quran jelas memberi peringatan kepada makhluk yang hidup di muka bumi. Sedangkan yang dapat mengambil manfaat daripada peringatan itu hanyalah orang yang hidup dan mata hatinya bersinar. Al-Quran adalah rahmat bagi orang yang beriman dan hujah bagi yang kafir."

Qatadah berkata: "Yang hidup kalbunya dan hidup mata hatinya."

Al-Dahak berkata: "Iaitu orang yang berakal."

Al-Maraghi berkata: "Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hatinya yang hidup dan sanubari yang jernih, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk dan bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk tersebut."

Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, malahan tergolong dalam golongan manusia yang bakal memperoleh kemenangan dan kebahagiaan.

al-Quran itu mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa. - Gambar hiasan  Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121228/ba_02/Muhammad-bukan-penyair#ixzz2GR6joS00  © Utusan Melayu (M) Bhd Al-Quran itu mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa. - Gambar hiasan

Azab itu pasti akan menimpa orang kafir yang tidak mempercayai al-Quran. Orang itu seolah-olah mati kerana hilang kepekaan dan kesedaran jiwanya, padahal tabiat jiwanya adalah mengikut kebenaran yang disampaikan kepadanya.

Saya dapat mengambil pengajaran daripada ayat di atas dan jelas menunjukkan sifat al-Quran yang mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa.

Perbincangan ini ditutup dengan nukilan daripada kitab Tafsir al-Misbah: "Dapat dikatakan bahawa perintah untuk berfikir yang mengakhiri ayat yang lalu, menunjukkan bahawa manusia walau tidak dapat mengelak daripada sifat tua dan lemah yang diakibatkan oleh lemahnya fizikal seseorang, namun itu bukan bererti bahawa sifat tua itu menghalang seseorang daripada mencantikkan potensi rohaniah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini dapat diraih oleh mereka yang memerhatikan isi al-Quran dan sifat tauladan Rasulullah SAW. Kerana itulah agaknya sehingga ayat 69 di atas berbicara tentang Rasulullah SAW dan al-Quran.

Ayat tersebut menegaskan bahawa: "Kami telah utuskan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran melalui wahyu dan kami tidak mengajarkannya iaitu mewahyukan kepadanya dalam bentuk syair."

Baginda adalah seorang Rasul yang jauh lebih hebat daripada seorang penyair. Apa yang disampaikan oleh baginda tidak lain kecuali peringatan dan al-Quran yang jelas iaitu dalam bacaan yang sempurna yang diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya.

Apa yang disampaikan itu bertujuan untuk memberi peringatan kepada sesiapa yang hidup iaitu akal dan fikirannya terbuka sehingga bersedia menerima kebenaran dan hatinya tidak dikotori oleh kederhakaan sehingga nasihat dan peringatan dapat berbekas di dalam jiwanya.

Sebaliknya akan menjadi wajar jatuhnya ucapan iaitu ketetapan seksaan Allah SWT atas orang-orang kafir yang enggan menerima peringatan dan pengajaran daripada al-Quran itu."

Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar memahami isi kandung al-Quran untuk kita mengamalkannya.



DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/12/2012

Zakat membersihkan?

SAYA pernah terdengar, ada pihak menyatakan jika kita menunaikan zakat bermakna kita membersihkan harta daripada perkara yang haram. Misalnya, jika kita seorang pekerja dan ada kalanya kita mengambil harta pejabat, membuat tuntutan yang palsu atau melebihkan daripada yang sepatutnya dan termasuklah mencuri masa dengan melakukan pekerjaan peribadi, maka dengan zakat itulah ia membersihkan harta atau pendapatan kita daripada yang haram. Adakah benar pandangan ini?

Jawapan

Alhamdulillah, mudah-mudahan pertanyaan dan jawapan ini mampu mencerahkan ramai pihak mengenai konsep dan maksud ibadah zakat yang sebenar. Secara umumnya, zakat memang difardukan oleh Allah SWT sebagai jalan untuk membersihkan harta daripada percampuran yang haram dan juga menyucikan jiwa daripada sifat-sifat kotor. (rujuk at-Taubah: 102-103)

http://www.utusan.com.my/pix/2012/1228/Utusan_Malaysia/Bicara_Agama/ba_01.1.jpg Zakat mempunyai konotasi yang berkait rapat dengan elemen pembersihan dan penyucian. - Gambar hiasan

Daripada ayat di atas, jelas bahawa pensyariatan zakat mempunyai konotasi yang berkait rapat dengan elemen pembersihan dan penyucian. Jika kita merujuk kepada asbabun nuzul (sebab-sebab turunnya sesuatu ayat al-Quran), maka disebutkan oleh mufassirin (ulama tafsir) misalnya Imam Ibnu Katsir bahawa, sebelum ayat tersebut diturunkan telah berlakunya kes beberapa orang sahabat nabi di Madinah yang dengan sengaja (tanpa uzur syarie) tidak turut sama pergi berperang dalam Peperangan Tabuk.

Mereka ini telah mengikat diri di salah satu tiang di masjid nabi dan berikrar tidak akan melepaskan diri mereka sehinggalah nabi sendiri yang membebaskan. Nabi Muhammad SAW pula tidak akan membebaskan mereka sehinggalah turunnya izin atau perintah daripada Allah SWT.

Akhirnya turunlah ayat di atas, yang mengizinkan pembebasan mereka dan seiring itu, Allah SWT memerintahkan agar Nabi Muhammad SAW mengambil sebahagian harta mereka sebagai sedekah, yang bertujuan menyucikan diri mereka daripada dosa. (rujuk Terjemah Singkat Tafsir Ibnu Katsir, Jilid IV, hal. 130)

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah seseorang yang telah jelas melakukan pelbagai kesalahan yang bersifat sengaja, kemudian mereka memberikan zakat dan ia dapat membersihkan hartanya daripada anasir yang haram?

Suka dinyatakan, apa yang dimaksudkan zakat atau sedekah itu mampu membersihkan harta daripada percampuran yang haram, adalah dengan mengeluarkan sebahagian kecil harta yang hakikatnya sudah menjadi hak milik lapan asnaf zakat. Jumlahnya tidaklah sebesar mana, hanya 2.5 peratus atau lima peratus bagi zakat pertanian dan 20 peratus bagi zakat galian.

Ini kerana, apabila sesuatu harta yang sudah wajib dizakat tetapi enggan dikeluarkan zakatnya, maka bercampurlah di dalam harta itu milikan orang lain. Maka, menjadilah harta itu harta yang tidak bersih atau kotor. Apabila harta yang bercampur-campur di antara yang haram dan halal, maka pastilah ia akan menjadi haram.

Kaedah fiqh menyatakan: "Apabila bercampur di antara yang halal dan haram, maka menanglah yang haram."

Apabila dibawa pulang, dibelikan makanan, maka makanan itu berstatus haram atau halal? Jika sudah bercampur hak orang lain, maka pastilah tidak halal. Maka, apabila makanan itu masuk ke dalam tubuh badan, menjadilah ia darah daging yang tumbuh daripada elemen yang haram. (rujuk an-Nisa': 29)

Nabi Muhammad SAW pula menegaskan: "Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu haram, maka api neraka baginya adalah lebih utama." (riwayat Tirmizi).



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/12/2012  

Tabung Haji sentiasa kemas kini pengendalian urusan perkhidmatan

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada tulisan Yusof Sujak dari Johor Bahru yang disiarkan dalam ruangan ini pada hari Jumaat, 14 Disember 2012.

Pertamanya pihak pengurusan Tabung Haji (TH) mengucapkan terima kasih di atas surat yang dihantar.

Lembaga Tabung Haji sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengendalian semua urusan berkaitan perkhidmatannya termasuk rekod-rekod simpanan, pendaftaran, pendeposit dan mengerjakan haji dengan baik.

Tidak dinafikan terdapat sebilangan kecil jemaah Malaysia yang mengerjakan haji melalui Tabung Haji mendapat peluang mengerjakan haji lebih dari sekali, khasnya atas pertimbangan kes rayuan seperti berikut:

n Mengiringi/menjadi mahram kepada jemaah haji wanita yang terpilih pada tahun semasa.

n Mengiringi ibu bapa yang terpilih pada tahun semasa kerana faktor kurang upaya dan uzur.

n Menjadi pembantu kepada jemaah haji yang lanjut usia berumur 75 tahun ke atas yang terpilih, pada tahun semasa.

n Mengiringi isteri yang kedua, ketiga atau ke-empat.

Namun begitu terdapat juga segelintir daripada mereka yang telah menunaikan haji, terpilih sekali lagi untuk menunaikan haji (mengikut sistem pendaftaran terbuka) pada tahun semasa kerana:

n Ada di kalangan mereka yang mengerjakan haji terdahulu tidak melalui Tabung Haji atau agensi yang berdaftar.

n Jemaah haji mendaftar haji semula sebaik sahaja pulang dari tanah suci, sebelum larangan mendaftar haji semula dalam tempoh lima tahun, dikuatkuasakan pada 10 Mei 2010.

Untuk makluman penulis, keinginan untuk mengerjakan haji berulang kali dapat dilihat sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana faktor peningkatan ekonomi umat Islam di Malaysia. Larangan pendaftaran semula dalam tempoh lima tahun bertujuan memberi laluan dan peluang kepada mereka yang pertama kali mengerjakan haji.

Sehingga kini, tiada rekod jemaah haji yang tertinggal (terkandas) di bawah kelolaan Tabung Haji.

Sekiranya terdapat kes-kes yang dilaporkan, mereka merupakan jemaah haji Malaysia yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat swasta, yang tidak dilesenkan dan tanpa pengetahuan Tabung Haji.

Ada juga di kalangan mereka (terutama penduduk luar bandar) yang menjadi mangsa penipuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.

Faktor peningkatan pendaftaran haji sehingga melebihi sejuta orang, adalah sesuatu yang positif. Ia menunjukkan umat Islam yang prihatin sekarang membuat pendaftaran awal, agar apabila tiba giliran mereka untuk mengerjakan haji, mereka mencapai umur yang bersesuaian dan mempunyai wang yang cukup serta persediaan yang mantap dari segi ibadah dan fizikal.



ANIS ZUHANI AHMAD Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Kumpulan Lembaga Tabung Haji. Utusan Malaysia Online Rencana 19/12/2012

Pasangan bahagia rangsang jiwa

Sokongan keluarga bantu hadapi tekanan

Kebahagiaan adalah nikmat yang menjadi impian setiap insan yang berumah tangga. Justeru, membina dan memelihara nikmat kebahagiaan rumah tangga adalah tuntutan amanah bagi setiap pasangan suami isteri.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Kebahagiaan bukan saja akan dikecapi oleh ahli keluarga tetapi juga mengundang pelbagai bentuk kebahagiaan serta kesenangan lain dalam kehidupan termasuklah kerjaya. Ia menyuntik kesan hebat dalam melahirkan pelbagai suasana, sikap, ketrampilan, kestabilan emosi dan perasaan positif dalam diri pasangan.

Bahkan, kasih sayang dan sokongan daripada keluarga boleh membantu seseorang untuk berdepan ujian atau kepayahan di tempat kerja.

Jejas aspek lain

Kajian Fu, C K dan Shaffer dalam The Tug of work and family direct and indirect domain: Specific determinants of work- family conflict membuktikan terdapat hubungan ketara antara keruntuhan rumah tangga dengan komitmen dan prestasi kerja.

Malah, ia boleh menjejaskan banyak aspek lain dalam kehidupan pasangan termasuk kesihatan, sikap dan tingkah laku seperti mana wujudnya hubung kait antara konflik keluarga dengan prestasi kerja, begitulah kebahagiaan keluarga juga penyumbang kepada kecemerlangan kerjaya.

Sifat saling kasih sayang, bertolak-ansur dan cuba memahami corak, ragam serta bebanan kerja dapat meringankan perasaan atau tekanan pasangan di tempat kerja. Saidatina Khadijah menjadi pendamping, penyokong dan pembantu dalam segenap aspek kehidupan Rasulullah SAW ketika berdepan kegusaran dan kegetiran dakwah Baginda.

Ibn Hisyam dalam sirahnya menyebut: “Berimanlah Khadijah binti Khuwailid. Dia membenarkan apa yang dibawa oleh Rasulullah. Ia juga menolong dan membela Rasul. Saidatina Khadijah meneguhkan hatinya, menghibur, membenarkan kata-katanya dan meringankan penderitaannya.”

Begitu juga bagi suami yang perlu melaksanakan tanggungjawab memimpin, melindungi, mengasihi dan saling menjadi pendamping setia kepada isteri yang turut bekerja membantu suami menyara keluarga seperti Rasulullah SAW dalam rumah tangga.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka, boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah al-Nisa, ayat 19)

Justeru, kebahagiaan rumah tangga boleh menjadi penyumbang kejayaan di tempat kerja melalui beberapa cara antaranya sokongan moral; ‘material’ perkongsian pandangan, buah fikiran dan masalah; penjagaan kesihatan dan ketrampilan diri; interaksi, komunikasi mesra dan harmoni.

Sokongan kerja

Semua bentuk kebahagiaan yang diperoleh mampu membentuk satu sistem sokongan kerja sangat kukuh. Ini akan menyumbang kepada kecemerlangan individu atau pasangan dalam kerjaya masing-masing.

Justeru, hubungan kasih mesra suami isteri disifatkan seperti pakaian yang saling menutupi dan melengkapi diri.

Firman Allah SWT bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Kata-kata Inggeris menyebut, di sebalik kejayaan setiap lelaki ada wanita di belakangnya’ menekankan bahawa kebiasaannya di sebalik kegigihan setiap lelaki dalam meraih kejayaan itu ada sokongan daripada isterinya.

Kebahagiaan rumah tangga yang menyumbang kepada kejayaan dalam kerjaya adalah suatu keberkatan. Apabila ia mengundang pelbagai bentuk kebaikan lain termasuklah pada usaha, usia, jawatan dan harta.

Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi pasangan yang dapat membahagiakan dalam rumah tangga, menjadi perangsang dan penyebab kejayaan suami atau isteri. Usaha memelihara kebahagiaan rumah tangga tanpa mengabaikan perintah Allah SWT akan meraih keberkatan Ilahi.



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Berita Harian Online Agama Sabtu , 29 Disember 2012

Banjir ujian terhadap ketabahan insan

Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung ketika ini hendaklah dilihat sebagai ujian Allah untuk menguji kesabaran makhluknya. Ujian ini sama seperti ujian seperti kemarau, ribut, salji, gempa bumi dan sebagainya.

Usah menjadi makhluk yang mengeluh atau tidak reda terhadap ujian yang berikan. Sebaik-baiknya hendaklah menginsafi bahawa kita sebenarnya lemah dan tidak berkuasa berbanding kekuasaan serta ketentuan Allah.

Sebenarnya, apa yang berlaku ini hanya menguji kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia terhadap penciptanya. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)


Kita mesti yakin Allah mencintai orang yang sabar. Allah sentiasa bersama dengan orang sabar dan menjauhkan diri daripada orang yang angkuh, sombong dan enggan menerima ujian-Nya.

Jiwai semangat persaudaraan

Sebaliknya, sebagai insan yang merasai sifat kemanusiaan dan menjiwai semangat persaudaraan, kita sewajarnya membantu mereka yang dilanda kesusahan mengikut kemampuan masing-masing.
Sumbangan dan bantuan atas semangat persaudaraan supaya tekanan dihadapi mangsa dikurangkan. Yakin dan percayalah tiada kehidupan yang tidak diuji Allah, yang beza kecil atau besar ujian itu.

Semua ujian perlu dihadapi dengan sabar. Kita diajar bersyukur di saat menerima ujian kekayaan, kesenangan dan kegembiraan. Kita hendaklah bersabar menerima sebarang bentuk bencana, ujian kemiskinan, kesakitan, kesusahan atau kelaparan.

Bukan mudah melalui saat diuji. Namun, orang Islam perlu melihat setiap ketentuan Allah secara dalaman iaitu dengan memperkasa kerohanian.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jugalah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Banjir yang melanda ini mudah-mudahan dapat mendidik dan melembutkan hati kita supaya simpati terhadap kesudahan dilalui mangsa yang kini berlindung di pusat perlindungan banjir. Menjadi tanggungjawab kita yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan.

Pastinya dalam keadaan sukar begini, mangsa banjir memerlukan keprihatinan masyarakat supaya dapat meringankan keresahan jiwa. Bantuan yang dihulur sedikit sebanyak memberi semangat berdepan ujian Allah.

Melihat kepada perkembangan di negara ini, tidak dinafikan semangat persaudaraan sesama ummah memang mengagumkan. Bagi yang bernasib baik sentiasa bersedia membantu yang ditimpa masalah dan begitulah seterusnya.

Peringatan untuk umat Islam

Pada masa sama, ujian Allah juga sebagai peringatan kepada umat Islam sentiasa berdoa serta meminta pertolongan hanya kepada Allah. Justeru, elakkan daripada melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Mukmin yang diuji dengan pelbagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar menghadapinya akan mendapat kedudukan mulia di sisi Allah. Ujian dan dugaan yang dihadapi menunjukkan dirinya termasuk dalam golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah.



Amran Zakaria Berita Harian Online Agama Sabtu, 29 Disember 2012