January 5th, 2013

Khatib berkhutbah, remaja asyik bermain telefon bimbit

SOLAT Jumaat yang diwajibkan kepada setiap lelaki Islam yang telah baligh adalah suatu anugerah kepada kaum lelaki yang tersangat tinggi nilainya. Ia melambangkan kekuatan ummah dan ketinggian agma itu sendiri.

Beberapa garis panduan dan ketetapan hendaklah dipatuhi ketika solat Jumaat demi memperoleh fadilatnya. Perkara yang sunat hendaklah sentiasa dijaga. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang banyak keberkatannya jika kita mengetahuinya.

Antaranya, jemaah hendaklah memakai pakaian yang sopan dan bersih. Jika boleh memakai minyak wangi-wangian saperti minyak atar dan sebagainya serta digalakkan datang awal ke masjid, sekurang-kurangnya sebelum masuknya waktu atau apabila azan pertama dilaungkan.

Apabila khatib sedang berkhutbah tumpuan hendaklah kepada ibadah itu semata-mata. Hendaklah diam mendengar pengisian dan nasihat berguna yang disampaikan oleh khatib kerana ia merupakan salah satu dalam rukun solat Jumaat.

Apa yang amat mendukacitakan kita, para jemaah terutama golongan remaja, seolah-olah tidak menghormati Jumaat itu sendiri apabila mereka asyik bermain telefon bimbit, sama ada menghantar dan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS). Ada yang bermain game dan berinternet melalui telefon bimbit masing-masing semasa khatib membaca khutbah.

Adalah dicadangkan agar diberikan peringatan kepada jemaah supaya jangan menggunakan telefon bimbit di dalam apa keadaan sekalipun di masjid. Ini kerana sekiranya dibiarkan ia akan menjadi budaya negatif yang boleh merosakkan kemuliaan serta tata terbib apabila berada di masjid, terutama sekali ketika khatib sedang membaca khutbah.

Begitu juga jika boleh dalam sembahyang bacaan yang dibawa oleh imam hendaklah ayat-ayat lazim sahaja dan tidaklah perlu ayat-ayat yang terlalu panjang. Ini kerana ada jemaah yang uzur dan tidak boleh berdiri terlalu lama. Atau mungkin ada di antara jemaah mengejar masa untuk menyambung tugasan mereka apabila selesai bersembahyang Jumaat.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL Negeri Sembilan. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 03/01/2013




Bahana al-wahn dalam hati

UMAT Islam di negara ini amat beruntung apabila menyambut dua kali tahun baru iaitu Maal Hijrah dan Tahun Baru Masihi. Hal ini bermakna kita diberi peluang dua kali untuk berazam dan melakukan perubahan. Peluang berganda diberikan itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengisi cabaran dan rintangan mendatang.

Tahun 2012 telah meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit kepada umat Islam, bahkan tahun itu merupakan saat mencabar dengan ditimpa isu dan kecaman.

Bagi umat Islam negara ini, kita tidak mengalami nasib seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat seperti Palestin, Syria dan lain-lain lagi termasuk di Rohingya, Myanmar. Sebaliknya kita mestilah menyelami perasaan yang menimpa mereka dengan menghulurkan bantuan selain mensyukuri nikmat keamanan tanah air.

Timbul persoalan mengapa masih lagi umat Islam dikecam dan dihina sedangkan majoriti penduduk di muka bumi ini beragama Islam?

Ketika bertanyakan soalan tersebut kepada tokoh agama tersohor, Fauzi Mustafa, beliau memetik satu hadis bahawa Rasullullah pernah bersabda bahawa bilangan umat Islam akhir zaman adalah ramai umpama buih-buih di lautan.

Baginda bersabda lagi, Allah telah mencabut dalam hati musuh-musuh kamu daripada perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn ke dalam hati umat Islam.

Kemudian para sahabat bertanya lagi, "Apa al-wahn itu Rasulullah?" Jawab Baginda, "Cintakan dunia dan bencikan mati."

Fauzi berkata, penyakit yang melanda umat Islam itu menyebabkan minda dan tindakan kita masih terjajah walaupun sesetengah negara Islam telah merdeka dan bebas daripada genggaman penjajah. Sehubungan itu tambah beliau, kemelut masalah itu dapat diselesaikan sekiranya umat Islam bersatu padu atas landasan akidah.

"Seperti yang berlaku di beberapa negara Islam apabila masing-masing mengamalkan budaya perkauman (asabiah) yang mementingkan diri sendiri dan tidak membantu semasa akidah yang berhadapan bencana alam atau peperangan.

"Perkara itu yang membimbangkan agama Islam sekarang tatkala masing-masing mengejar kemewahan dunia tetapi meninggalkan akhirat," katanya.

Berbalik kepada situasi di negara ini, jelas Fauzi Mustafa walaupun umat Islam hidup dalam keadaan aman dan sejahtera bersama pelbagai agama, kaum dan etnik, tetapi mereka perlu kepada fitrah asal iaitu kembali kepada agama.

Fauzi menjelaskan, gaya hidup umat Islam negara ini telah diselami dengan budaya-budaya luar sehinggakan mereka meninggalkan suruhan dan melakukan larangan Allah. Budaya rasuah, menghasut dan memporak peranda kini sering dikaitkan dengan umat Islam sedangkan dakyah itu bukan ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

"Pokok pangkalnya kita mesti kembali kepada ajaran agama, jika kita hendak maju dan sejahtera, ikutilah segala pengajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

"Saya kadang-kadang terfikir mengapa zionis menyerang penduduk Palestin tidak pula negara-negara Islam lain. Jawapannya adalah umat Islam Palestin mempunyai semangat jihad tinggi untuk mempertahankan agama berbanding negara Islam lain yang dilanda penyakit al-Wahn," jelas beliau.

Umat Islam perlu maju

UMAT Islam kini tidak menyedari bahawa segala cabang ilmu yang dikuasai oleh barat sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Kedua-dua panduan dan rujukan utama umat Islam sering kali dijadikan bahan rujukan penjajah dan akhirnya mereka mengakui bahawa kemajuan sains dan teknologi dilakukan oleh mereka.

Oleh itu kekurangan umat Islam untuk terlibat dalam pelbagai bidang profesional amat dikesali sedangkan tuntutan tersebut merupakan satu fardu kifayah.

Jelas Fauzi kini sudah tiba masanya khususnya azam baru 2013 untuk berubah dengan menggalakkan para generasi muda Islam untuk terlibat bidang yang diterokai oleh barat.

"Wahyu pertama diturunkan Allah ialah Surah al-Alaq dengan menyuruh umatnya membaca yang antara lain bermaksud suruhan menuntut ilmu untuk menuju kejayaan di dunia dan akhirat.

"Jika umat Islam maju, tiada siapa yang boleh mengecam dan menindas kita. Dahulu ketika sirah Rasullullah, baginda memimpin umat Islam ketika itu dengan menggunakan segala kepakaran setiap penduduk sehingga Islam diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat," kata Fauzi.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/01/2013

Penuhi tuntutan fardu kifayah

MASYARAKAT kini diyakini mengetahui objektif sebenar fardu kifayah. Pada asasnya mereka mengaitkan fardu kifayah dengan ilmu pengurusan jenazah di mana sesuatu ahli kariah mestilah mempunyai seorang orang alim atau imam yang mengetahui pengurusan jenazah. Bagaimanapun, konsep fardu kifayah sebenarnya luas.

Berbalik kepada konteks fardu kifayah, adakah umat Islam kini mengetahui bahawa konsep itu amat meluas, bahkan ia meliputi setiap cabang profesional lebih-lebih lagi apabila iklim ekonomi dunia dikuasai oleh barat?

Adakah kita sebagai umat Islam mengetahui bahawa ilmu sains sebenarnya terkandung dalam al-Quran tetapi kini masyarakat bukan Islam menguasai pengetahuan berkenaan?

Bahkan Rasulullah pernah bersabda bahawa salah satu cabang rezeki adalah perniagaan tetapi bagaimana pula pada hari ini ekonomi dunia dikuasai barat. Yang demikian, situasi pada hari ini mewajibkan setiap umat Islam menguasai bidang yang diterokai barat memandangkan terdapat agenda tersirat yang dirancang mereka untuk merugikan masa hadapan umat Islam.

Bagaimanapun atas kesedaran perihal kepentingan umat Islam dalam menguasai tuntutan fardu kifayah, beberapa individu telah terpanggil untuk menerokai pelbagai cabang bidang profesional dan akhirnya wujud sumbangan besar kepada umat Islam serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Jelas sumbangan yang dibuat oleh mereka memerlukan usaha gigih dan pergorbanan besar, semata-mata demi mencapai tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Tindakan mereka itu wajar dicontohi dan dihargai oleh khalayak Islam di negara ini.

Maka paparan kisah dua individu ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada setiap masyarakat, lebih-lebih lagi dalam menanam azam tahun baharu 2013.

Suka-suka jadi serius

Demikian kisah yang berlaku kepada seorang anak muda yang berkecimpung dalam bidang animasi sehingga memberi fenomena bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara, khususnya kanak-kanak. Pekerjaan yang diceburi itu sebenarnya pada mulanya hanya sekadar 'suka-suka'.

Ketika menceritakan awal pembabitan dalam bidang animasi, pencetus kartun animasi Upin Ipin yang kini menjadi kegemaran tontonan kanak-kanak, Muhammad Usamah Zaid Yasin mengakui yang dia tidak terfikir langsung untuk mengambil jurusan animasi sewaktu melanjutkan di institusi pengajian tinggi memandangkan ibu bapa menggalakkannya memilih bidang kejuruteraan.

Jelas Muhammad Usamah Zaid yang merupakan Pengarah Eksekutif Les' Copaque Production Sdn. Bhd., ia bermula daripada cadangan abangnya agar dia memohon jurusan animasi di Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Bagaimanapun beliau mengakui jurusan animasi bukan mudah seperti disangka ramai pihak, memandangkan ia memerlukan daya kreativiti tinggi terutamanya dalam mencipta seni animasi yang terbaik supaya memberi kesan positif kepada orang ramai.

"Tetapi ketika belajar, saya bukan merupakan seorang yang fokus kepada belajar. Banyak masa dihabiskan dengan bermain dan tidak serius untuk belajar sehingga pada tahun akhir, di mana saya perlu menyempurnakan sebuah projek sebelum menamatkan pengajian.

"Lama-kelamaan bila kawan-kawan memberi maklum positif, saya mula rasa seronok. Bila dalam keadaan seumpama itu, saya berusaha untuk maju dan akhirnya terlibat dalam pelbagai pertandingan serta berjaya mendapat anugerah seni animasi terbaik," kata Muhammad Usamah Zaid ketika ditemui baru-baru ini.

Sebaik tamat pengajian, Muhammad Usamah Zaid berkerja makan gaji. Namun baginya berkhidmat di bawah 'orang' adalah sukar memandangkan anak muda itu berhadapan dengan kerenah pelanggan termasuk pihak atasan serta tekanan masa untuk menyiapkan sesuatu animasi.

Nasibnya baik, pada suatu hari salah seorang rakannya memperkenalkan dia dengan seorang usahawan, Burhanudin Md. Radzi yang berhasrat menceburi industri penerbitan.

Muhammad Usamah Zaid memberitahu, pelaburan besar yang dibuat oleh usahawan itu telah menyebabkan dia dan rakan-rakannya bertekad untuk menghasilkan animasi terbaik.

Bahkan pemuda itu tidak menyangka apabila karakter Upin dan Ipin merupakan watak sampingan boleh menjadi kegemaran kanak-kanak sedangkan sebelum itu beliau sedang menghasilkan sebuah filem animasi.

"Beberapa tahun dahulu sewaktu dalam bulan Ramadan, kita mencuba lakukan test market dengan menayangkan Upin Upin di salah sebuah stesen televisyen. saya dapat merasakan ia tidak akan mendapat sambutan jika ia satu bentuk animasi biasa. Tetapi akhirnya ramai memberikan reaksi positif.

"Ramai ibu bapa memberitahu anak mereka berusia tiga tahun sudah tertarik untuk berpuasa selepas menonton adegan Upin Ipin menunaikan ibadah rukun Islam tersebut. Bermula dari itu, kita berjaya menarik minat penonton sehinggalah pada 2009 kami menerbitkan sebuah filem animasi yang telah menjadi sebuah filem box office pada tahun tersebut," jelasnya.

Bapa kepada seorang anak ini memberitahu lagi, apabila penonton menghargai seni karya yang dihasilkannya, ia menjadi satu amanah dan tanggungjawab untuk menghasilkan animasi yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat terutama golongan kecil yang mudah dibentuk.

Ujar Muhammad Usamah Zaid, sesebuah animasi tidak wajar dibiarkan kosong pengisiannya tetapi ia mesti digarap dengan contoh tauladan terbaik.

Mengambil contoh salah sebuah drama genre komedi antarabangsa yang hari ini menjadi kegemaran generasi muda, ujarnya drama itu menonjolkan adegan seks bebas, suka sesama jantina dan pelbagai lagi anasir negatif. Ia dibimbangi memberi kesan negatif kepada generasi muda.

"Bermula dari situasi tersebut, saya berasa animasi yang direka itu mesti ada pengisian dan bukan sekadar untuk menjadi popular sahaja sedangkan untuk permulaan saya sekadar 'suka-suka', tiada satu perasaan untuk mendidik masyarakat seperti hari ini.

"Jika kita tidak melakukan, siapa lagi hendak mulakan animasi yang digarap pengisian positif. Kalau tidak, berterusan pihak luar menerbitkan karya yang mendatangkan propaganda kepada masyarakat," tambah Muhammad Usamah Zaid.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/01/2013

Bukti kekuasaan Allah

SETELAH Allah SWT menyebut tiga prinsip kebuktian iaitu Keesaan Allah SWT, adanya hari kebangkitan dan risalah, kemudiannya Dia membicarakan tentang keesaan-Nya dengan menyebut beberapa dalil-Nya.

Firman Allah SWT: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? (Yasin: 71)

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menyebutkan nikmat-nikmat yang diberikannya kepada para makhluk-Nya berupa binatang ternakan yang ditundukkan untuk mereka.

Qatadah berkata: Mereka memiliki kemampuan memaksanya. Binatang itu tunduk kepada mereka serta tidak mampu melawannya.

Al-Maraghi berkata: Tidakkah orang musyrik yang menyembah patung-patung itu menyaksikan bahawa Kami telah menciptakan binatang-binatang ternak seperti unta, lembu dan kambing yang mereka gunakan mengikut kehendak mereka. kami menjadikan binatang tersebut patuh kepada mereka, bahkan seorang hamba wanita kecil, jika dia mahu menundukkan unta atau gajah yang besar, pasti boleh dilakukannya.

Firman Allah SWT: Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. (Yasin: 72)

Ibnu Kathir berkata: Ada yang ditunggangi dalam perjalanan serta untuk membawa pelbagai barang yang berat menuju berbagai arah dan daerah. Dan jika mereka mahu, mereka boleh memotong atau menyembelihnya.

Al-Maraghi berkata: Kami tundukkan binatang-binatang ternakan tersebut untuk mereka. Antaranya ada yang mereka jadikan sebagai kenderaan untuk mengangkut bebanan berat ke tempat yang mereka kehendaki atau disembelih untuk dimakan dagingnya atau mengambil manfaat daripada lemaknya.

Firman Allah SWT: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur? (Yasin: 73)

Ibnu Kathir berkata: Pada bulu tebal, bulu nipis dan rambutnya sebagai barang hiasan atau sebagainya daripada binatang ternakan kami mendapat manfaatnya. Susunya boleh diminum. Mengapakah mereka tidak juga mengEsakan Pencipta dan menyekutukan-Nya?

Al-Maraghi berkata: Mereka juga menerima manfaat daripada binatang ternakan seperti kulitnya untuk dibuat pakaian atau kasut, dijadikan bajak ke sawah dan susunya boleh diminum. Oleh yang demikian, mereka disuruh bersyukur kepada Allah SWT.

Kata Malikun yang memberi makna pemilik bertujuan menekankan dan menghadirkan manfaat dan nilai binatang-binatang itu dalam benak minda bicara sebelum mengingatkan mereka tentang nikmat kepemilikannya.

Daripada sudut lain, penggunaan bentuk nakirah pada kata malikun untuk menggambarkan betapa besar dan mantap kepemilikan itu. Lihatlah bagaimana bintang-bintang itu, meskipun demikian besar, namun sepenuhnya dikuasai dan ditundukkan oleh manusia.

Bandingkanlah dengan lalat yang sangat kecil; manusia tidak ada kuasa merebut kembali apa yang direbut daripadanya oleh lalat itu. Sesungguhnya anugerah binatang ternakan itu adalah nikmat yang besar dan hak pemilikan serta menguasainya pun merupakan satu anugerah yang besar.


DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/01/2013

Fahami rebat cukai

SAYA difahamkan bahawa di Malaysia, setiap individu Muslim yang menunaikan kewajipan pembayaran zakat berhak memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Tetapi, bagaimana pula mekanisme rebat ke atas cukai perniagaan syarikat? Harap mendapat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan

tanyaan ini dan mudah-mudahan ia mampu memberikan pencerahan kepada ramai umat Islam di luar sana, Amin. Hakikatnya, di Malaysia memang mempunyai dua jenis cukai yang berbeza. Pertama, cukai ke atas individu dan keduanya cukai ke atas perniagaan. Cukai ke atas individu akan dikenakan kepada setiap individu yang bekerja dan apabila mereka memperoleh amaun pendapatan tertentu yang melayakkan mereka dikenakan cukai pendapatan, maka pihak kerajaan akan mengutip cukai pendapatan tersebut.

Pendeknya, ia adalah suatu kewajipan yang dikenakan kepada rakyat dan individu yang bermastautin dan bekerja di Malaysia demi pembangunan negara. Benar, apabila seseorang Muslim itu menunaikan zakat, maka mereka berhak memanfaatkan setiap sen yang dizakatkan itu untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Harus diingat, apa yang disebutkan di dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 hanyalah kalimah 'zakat' dan 'sebarang pembayaran wajib kepada agama Islam', maka ia tidak hanya terhad kepada zakat pendapatan semata-mata.

Malah, semua jenis zakat termasuklah zakat fitrah, sebenarnya layak dimanfaatkan untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan tahunan individu berkenaan.

Berikut adalah petikan daripada ACP 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."

Maka, seseorang individu Muslim itu sewajarnya memahami, bahawa akta ini memberikan kita keistimewaan di sisi perlembagaan dan undang-undang, kerana kita boleh mendapatkan pengurangan ataupun penghapusan cukai pendapatan seandainya amaun zakat yang dikeluarkan adalah sama ataupun melebihi jumlah amaun cukai yang dikenakan. 

Walau bagaimanapun, rebat yang diizinkan oleh pihak kerajaan ke atas cukai perniagaan adalah berbeza. Ini kerana, sehingga ke hari ini pihak kerajaan hanya mengizinkan, mana-mana perniagaan muslim, sama ada berbentuk syarikat, koperasi mahu pun badan amanah, maka rebat ke atas cukai perniagaan yang dibenarkan hanyalah sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat; dan bukannya berdasarkan jumlah zakat perniagaan yang telah ditunaikan pada tahun berkenaan.

Menurut perisytiharan pihak kerajaan, rebat 2.5 peratus ke atas pendapatan agregat ini diberikan kepada pihak syarikat muslim yang membayar zakat bermula pada tahun 2005 dan bagi koperasi dan badan amanah pula, ia diberikan bermula tahun 2007. Rebat yang diberikan untuk tahun taksiran cukai perniagaan itu pula, mestilah sama seperti mana tarikh pembayaran zakat yang telah dilakukan oleh pihak syarikat. Walau bagaimana pun, jika ada lebihan daripadanya, maka ia diberikan keizinan untuk dibawa ke tahun hadapan.

Mungkin ada yang bertanya, apakah makna pendapatan agregat? Pendapatan agregat bermakna, pendapatan statutori (yang tertakluk kepada undang-undang atau peraturan tertentu) daripada punca perniagaan setelah ditolak apa-apa kerugian perniagaan yang dibawa dari tahun sebelumnya dan ditambah lagi dengan pendapatan statutori daripada pelbagai punca lain (pada tahun semasa), iaitu pendapatan perniagaan, dividen, faedah atau royalti. 

Kesimpulannya, rebat ke atas cukai pendapatan dan cukai perniagaan adalah berbeza dan pihak pengurusan zakat di Malaysia sentiasa berusaha untuk memperoleh rebat yang lebih baik atau sewajarnya daripada pihak kerajaan, agar ia sama seperti rebat ke atas cukai pendapatan yang diizinkan sebelum ini. Sama-samalah berdoa semoga usaha ini mendatangkan hasilnya kelak, insya-Allah. Wallahua'lam


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/01/2013