January 17th, 2013

Makan ikut sunnah

NABI Muhammad SAW memulakan makan dengan menyebut kalimah Basmallah, kemudian membaca doa makan dan makan menggunakan tangan kanan serta makan makanan yang berada berdekatan dengan baginda.

"Sebelum menjamah makanan, Rasulullah SAW makan secubit garam dan disudahi dengan menjilat jari serta mengucapkan Alhamdulillah.

"Baginda menggunakan tiga jari untuk makan iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta baginda mengunyah makanan sebanyak 40 kali. Baginda tidak bernafas ketika minum air iaitu bernafas di luar bekas minuman serta baginda minum air seteguk-seteguk dengan dimulakan dengan Bismillah."


Sumber makanan yang tidak dijaga terutamanya dari aspek halal menyebabkan hati
seseorang menjadi keras dan tidak dapat beribadat dengan khusyuk. - Gambar hiasan

Itulah antara fakta menarik berkaitan Baginda kita Nabi Muhammad SAW yang dikongsikan oleh Penolong Pengarah Unit Kajian dan Penilaian Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Afandi Che Harun pada seminar 'Makanan Halal Bersama Saudara Muslim', baru-baru ini.

Apa yang disampaikan ini mungkin tidak menyentuh mereka yang Islam sejak lahir, namun tidak bagi sebahagian 200 Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Filipina, Indonesia, Siam, Kemboja, Nigeria dan mahasiswa Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) yang mengikut seminar itu.

Tambah menarik apabila diberitahu bahawa menu harian Rasulullah SAW di pagi hari ialah segelas air dicampur sesudu madu dan selesai solat sunat dhuha, baginda SAW akan memakan tujuh biji kurma ajwa.

"Sekiranya berpuasa, baginda akan berbuka dengan segelas susu dan kurma. Baginda menambahkan cuka dan minyak zaitun di dalam makanannya pada waktu petang.

"Bahkan, baginda melarang umatnya meneruskan makan sekiranya sudah kenyang kerana perut harus dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, air dan udara," ujar Mohamad Afandi.

Seminar yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang Baru, Selangor ini telah mendapat kerjasama Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Perkim Cawangan Selayang Baru, Selangor.

Mohamad Afandi dalam ceramahnya yang bertajuk, 'Cara Pemakanan dan Pesanan Rasulullah SAW' berkata, terdapat sebanyak 67 kali mengenai halalan toyyiba diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

"Dalam pemakanan juga umat Islam harus mengamalkan kaedah mengikut sunnah Nabi kerana Allah akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Muhammad Afandi turut menceritakan kisah wali Allah, Ibrahim bin Adham ketika beliau berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya. Lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang perlu dibayar dengan amal ibadah.

Pada sesi kedua seminar, Mohamad Afandi menyampaikan ceramah bertajuk, 'Kajian dan Operasi Bahagian Hab Halal Jakim Terhadap Pusat Penyembelihan dan Penternakan Haiwan di Malaysia'.

Jelasnya, konsep halalan toyyiba digunakan di Jakim ialah Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Analisis Bahaya Terhadap Produk Makanan (HACCP) yang ditugaskan oleh pegawai syariah dan pegawai teknikal.

Antara topik yang dibincangkan ialah penyembelihan secara Islam, proses penyembelihan ternakan, dan hubungan dengan kesihatan umum.

"Malaysian Standard (MS 1500:2009), Menu Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) adalah antara asas rujukan untuk mengeluarkan pensijilan halal Malaysia," ujarnya untuk maklumat lebih terperinci orang ramai boleh melayari laman web Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Sementara itu, pada seminar terakhir telah disampaikan ceramah bertajuk, 'Situasi Penyediaan dan Gaya Pemakanan Masa Kini serta Implikasinya Terhadap Manusia' oleh Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustafa Hamzah.

Mustafa dalam ceramahnya berkongsi pengalaman mengenai isu amalan syirik di kalangan masyarakat Islam bagi menjatuhkan perniagaan individu atau kumpulan tertentu.

Jelasnya, masyarakat Islam perlu sedar kerana majoriti umat Islam sanggup menghabiskan masa di restoran yang tidak sahih status kehalalannya, berbanding di restoran Islam itu sendiri. Mereka ini berselindung de sebalik ayat-ayat al-Quran dan serta menggunakan pelaris. Ini semua diperoleh daripada hasil risikan dan serbuan pihak PPIM.

"Umat Islam harus lebih sensitif kerana ada di antara syarikat menyumbangkan beberapa peratus keuntungan kepada rejim Zionis untuk membunuh umat Islam secara halus dan terang-terangan," ujar Mustafa.



 MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/01/2013

Mata terkawal, hidup bahagia

MATA jendela hati. Kesan menjaga mata sangat besar dalam menjaga hati. Mata yang tidak terjaga akan membuat hati keruh dan minda kotor. Mata yang terkawal akan memudahkan seseorang dalam mengawal rasa hatinya.

Oleh itu, semua ulama daripada kalangan salafus soleh sangat mengambil berat dalam menjaga mata. Salah seorangnya adalah Hassan bin Abi Sinan dari kota Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama, sekali gus peniaga terkenal. Meski selalu berjumpa dengan ramai orang, beliau selalu menjaga matanya daripada yang haram.

Suatu hari, Hassan keluar untuk melaksanakan solat hari raya. Apabila tiba di rumah kembali, isterinya yang cemburu berkata: "Berapa banyak wanita cantik yang engkau lihat hari ini?"

Hassan menjawab: "Demi Allah, Aku tidak melihat apa-apa selain ibu jari kakiku sejak keluar rumah hingga pulang kembali."

Panah beracun

Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap Mukmin laki-laki dan perempuan wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka terselamat daripada tali-tali syaitan yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.

Allah SWT berfirman: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. (al-Nur: 30)

Pandangan yang tidak terkawal ibarat panah beracun yang menembus ke dalam dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan merosak minda dan hati kita. Dosa zina yang sangat dibenci selalu bermula daripada lirikan mata.

Daripada Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda: "Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Barang siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati. (diriwayatkan oleh Al-Hakim)

Bukan hanya aurat

Menjaga mata bukan hanya daripada aurat yang terdedah. Malah, mata juga mesti dijaga daripada harta yang berada di tangan orang lain. Sebab seringkali penyakit hati bersarang di hati selepas melihat benda-benda milik orang lain. Penyakit hati itu antaranya hasad dengki, iri hati bahkan dendam.

Para ulama berkata: "Siapa yang melepas matanya mengikuti apa yang berada di tangan orang, maka tidak akan habis kesedihannya."

Yahya bin Yaman bercerita: Suatu hari, aku berjalan bersama Sufyan Al-Thauri. Apabila melalui sebuah rumah yang mewah, aku mengangkat kepalaku untuk melihatnya. Sufyan melarangku dan berkata: "Janganlah engkau melihat ke rumah ini. Sebab ia sengaja dibuat agar dilihat oleh orang-orang sepertimu." Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Dunia dalam kitab warak.

Mata juga mesti dijaga daripada melihat orang lain yang tengah melakukan maksiat. Dikhuatiri timbul keinginan untuk meniru atau mencuba maksiat tersebut. Terlalu banyak kes ketagihan rokok dan dadah di kalangan anak muda asalnya daripada keinginan untuk mencuba-cuba sahaja.

Itu sebabnya Islam mengingatkan untuk berhati-hati memilih kawan. Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan peniup api. Daripada penjual minyak wangi, engkau akan mendapatkan minyak itu atau mendapatkan wanginya. Adapun daripada peniup api, maka baju engkau akan terbakar atau mendapatkan bau busuknya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mata kita, pilihan kita

Mata adalah anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Ia diberikan kepada manusia agar digunakan untuk membantunya melakukan ketaatan.

Gunakan ia dalam kebaikan, nescaya ia akan tetap sihat terjaga hingga ke akhir usia. Seandainya, kita menggunakan ia dalam keburukan, maka kesusahan dan kegagalan hati yang akan ia hasilkan.

Pilihan terpulang kepada kita. Mana yang kita pilih, itu yang akan kita dapatkan. Wallahu a'lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/01/2013

Laksana amar makruf nahi mungkar

DALAM kehidupan kita, melaksanakan kebaikan dan menjauhi kemungkaran adalah sangat dituntut oleh Islam. Perbuatan ini adalah ibadah yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat Islam. Jika dilihat ibadah ini sukar dilakukan disebabkan sifat, 'tidak mahu jaga tepi kain orang lain.'

Sebenarnya, ia telah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyatakan kebenaran dan mengajak kepada kebaikan, di samping berusaha untuk mencegah segala bentuk maksiat dan dosa. Tuntutan ini difirmankan Allah SWT dan telah menjadi suatu perintah yang tidak boleh diabaikan. Ini disebabkan pengabaian akan bererti suatu ujian yang lebih besar akan menimpa kepada umat ini.

Konsep pendidikan dalam al-Quran yang menekankan umat Islam, khususnya melaksanakan tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah untuk mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dapat menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.

Ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Oleh sebab itu, antara tugas para nabi dan rasul mentauhidkan Allah SWT dan meninggalkan segala rupa bentuk kesyirikan dan kejahatan. Jika kerja dakwah nabi dan rasul ini ditinggalkan maka akan rosak dan hancurlah masyarakat ini.

Oleh itu, semua umat Islam bersatu menyeru ke arah menegakkan usaha dakwah yang mulia melalui beberapa pendekatan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menegakkan amar makruf nahi mungkar meliputi semua aspek dari aspek ibadah, akhlak dan sosial. Dari segi ibadah ia meliputi ibadah solat, puasa, zakat, haji (jika mampu), jihad, takwa, zikir dan taubat. Manakala dari aspek akhlak ia meliputi sifat tawakal, tawaduk (rendah diri), syukur, sabar dan lemah-lembut. Dari aspek sosial sifat adil, menepati janji, ihsan dan berilmu pengetahuan. Semua aspek ini meliputi kehidupan umat Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu memikirkannya dan membuat tindakan mengikut kemampuan. Di sekeliling kita, di desa dan kota, terlalu banyak kemungkaran yang kadang-kadang sudah lali di mata kita sehingga kita tidak mampu menghalangnya, hanya dengan hati yang tidak menyetujui.

Adakah di antara kita umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan amar makruf dan mencegah kemungkaran. Ia boleh dilakukan melalui nasihat yang berhikmah, tulisan yang berhemah, lidah yang sentiasa beribadat, hati yang sentiasa tengadah.

Oleh itu, seru ke arah menegakkan usaha dakwah yang mulia, sama ada di dalam rumah, di luar rumah, di masjid, di jalanan, di tempat permandian, di pusat membeli-belah, di majlis kenduri-kendara, dengan penuh bijaksana mendidik membimbing ke arah kebaikan semua.

 AMINUDIN MANSOR  ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu.  Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/01/2013

Waktu mustajab doa

NABI SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.

Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.

Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang sebenar.

Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan dalam al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.

Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga perlu mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan dan permohonan kita.

Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang dimuliakan Allah SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan Ramadan lebih mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari paling mulia berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain tidak mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding yang lain.

Antara waktu-waktu yang dimustajabkan doa ialah;

Akhir satu pertiga malam: Akhir waktu sepertiga malam adalah waktu yang paling terbaik untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah SWT. Pada detik dan saat ini, biasanya suasana lebih tenang dan damai, memudahkan sang hamba untuk memberikan fokus dan perhatian kepada pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT.

Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang bangun di tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa tidurnya semata-mata kerana Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa: Waktu ini terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya mengharungi lebih kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT.

Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab kerana ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan keinginannya kerana Allah SWT.

Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa, Allah SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk dimakbulkan.

Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)

Ketika selesai menunaikan solat fardu: Ketika seseorang itu menunaikan solat, dia sebenarnya sedang bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti dan manifestasi kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT.

Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT.

Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu." (sunan At-Tirmidzi)

Hari Jumaat: Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu penghulu segala hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.

Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga. Pada detik itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun, detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut. (riwayat al-Bukhari)

Antara azan dan iqamah: Azan dan iqamah adalah panggilan untuk mendirikan solat. Pada waktu ini umat Islam akan meninggalkan urusan sehariannya dan akan menumpukan kepada solatnya.

Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Baihaqi)

Ketika sujud: Ketika sedang sujud, seorang hamba akan meletakkan kepala dan wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini adalah merupakan satu bentuk pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang sangat lemah, miskin dan hina. Sifat merendahkan diri ini sangat penting untuk merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat dimustajabkan doa seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya. Namun, yang paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan dalam diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN  ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 Januari 2013

Bercahaya dengan sinaran ilmu agama

SELAIN menjadi tempat ibadat, masjid merupakan lambang kekuatan dan perpaduan umat Islam. Maka sebab itu, masjid sejak dahulu lagi telah menjadi tempat tumpuan utama umat Islam menjalankan kegiatan masyarakat, ekonomi, pentadbiran negara dan sebagainya.

Oleh demikian, walaupun masjid wujud di negara yang majoriti bukan beragama Islam, institusi tersebut tetap menjadi tempat umat Islam menunaikan ibadah selain mengeratkan talian silaturahim sesama anggota masyarakat.

Walaupun bersilih ganti pemerintah, setiap daripada mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mengangkat syiar Islam di negeri masing-masing. Tugas tersebut termasuklah membina masjid.

Bagi negeri Perak Darul Ridzuan, para pemerintah negeri itu tidak pernah terlepas daripada melaksanakan amalan murni itu, maka sebab itu terbina sebuah masjid tersergam indah di bandar diraja Kuala Kangsar iaitu Masjid Diraja Ubudiah.

Masjid Diraja Ubudiah terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak iaitu sebuah lokasi yang tidak jauh dari Istana Iskandariah, tempat tempat bersemayam raja-raja pemerintah negeri Perak.

Ia turut terletak di hadapan Madrasah Idrisiah iaitu sebuah institusi pengajian Islam terkenal di negeri itu. lokasi itu telah menjadikan kawasan persekitaran masjid itu sebagai tempat bercahaya dengan sinaran ilmu agama.

Bayar nazar

Mengikut sejarah, Masjid Ubudiah dibina atas titah Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Mursyidul Azam Shah (1887-1916) setelah baginda berhasrat untuk membayar nazar dengan membina sebuah masjid sekiranya pulih daripada penyakit yang dialaminya.

Dengan izin Allah, penyakit yang dihadapi Sultan Idris telah pulih dan sekembalinya ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan Kolonel Huxley daripada Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk mereka bentuk sebuah masjid seperti mana dihasratkan.

Walau bagaimanapun pembinaannya pernah tergendala seketika kerana kelewatan batu-bata marmar yang diimport dari Itali berikutan berlakunya Perang Dunia Pertama. Akhirnya, batu marmar itu telah berjaya dibawa melalui Afrika Selatan.

Perbelanjaan pembinaan Masjid Diraja Ubudiah menelan kos sebanyak RM200,000 itu mula dilakukan selepas Sultan Idris meletakkan batu asas pada 26 September 1913 dan berjaya disiap serta dibuka dengan rasminya oleh Sultan Perak Ke-29 iaitu Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918).

Walaupun Sultan Idris tidak sempat menyaksikan pembukaan Masjid Diraja Ubudiah tetapi tempat ibadah itu kini telah menjadi mercu tanda Kuala Kangsar selain merupakan pusat kegiatan agama Islam khususnya di Negeri Perak.

Kubah keemasan

Jika ditinjau dari susur keluar Tol Kuala Kangsar di Lebuh Raya Utara Selatan, orang ramai boleh menyaksikan sendiri warna keemasan kubah Masjid Diraja Ubudiah terutamanya pada waktu petang dengan pancaran sinaran matahari. Terpegun dengan tarikan tersebut telah menjadikan kubah Masjid Diraja Ubudiah antara kubah masjid terbesar di negara ini.

Keluasan masjid itu yang berbentuk lapan segi adalah berukuran 96 kaki mengikut garis pusatnya dengan kawasan sebenarnya meliputi 60 kaki. Kedudukan mihrab masjid terletak di bahagian barat laut sementara timur laut pula ditempatkan pancutan air untuk kegunaan para jemaah mengambil wuduk.

Di samping itu, pada bahagian tenggara dan barat daya masjid ini disediakan serambi seluas 27 kaki persegi. Keseluruhan bangunan masjid ini dikelilingi oleh dinding berhias sepanjang 135 kaki yang bermula dari tengah bangunan dengan dua pintu masuk dan pintu pagar.

Manakala kawasan dalam masjid, ia ditutupi dengan kubah bergaris pusat 60 kaki dan ketinggian 140 kaki serta dikelilingi oleh empat menara setinggi 126 kaki. Selain itu, terdapat beberapa buah kubah di masjid tersebut sehingga menjadikannya tempat tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Jumlah kubah dan menara yang terdapat di Masjid Ubudiah dikatakan mengambil bilangan pembesar istana iaitu orang besar empat, orang besar lapan dan orang besar 16. Oleh kerana reka bentuknya dipengaruhi seni bina Islam-India, maka sebab itu kubah, menara dan struktur binaan lain Masjid Diraja Ubudiah dibina menggunakan batu-bata konkrit dan marmar.

Walaupun Masjid Diraja Ubudiah telah berusia 100 tahun, ia telah mengalami beberapa pengubahsuaian termasuklah dilengkapi pendingin hawa. Sebaliknya struktur binaan asal masih dikekalkan.

Sesuai dengan fungsi sebagai masjid diraja, institusi berkenaan menjadi lokasi kunjungan Sultan Perak dan kerabat diraja Perak untuk menunaikan ibadat termasuk solat sunat Aidilfitri dan solat Jumaat.

Selain itu, berhampiran Masjid Diraja Ubudiah turut ditempatkan Makam Diraja al-Ghufran, iaitu tempat persemadian jenazah sultan-sultan Perak dan kerabat diraja yang lain.

Daripada sudut pentadbiran, Masjid Diraja Ubudiah ditadbir oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh individu dilantik oleh Sultan Perak dan wakil pegawai daripada Pejabat Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Jawatankuasa itu dilantik untuk menguruskan segala pembangunan dan perbelanjaan Masjid Diraja Ubudiah.

Masjid Diraja Ubudiah tidak pernah sepi daripada kegiatan majlis ilmu, maka tidak hairanlah hampir setiap hari selepas solat maghrib diadakan kuliah agama dengan menjemput para ulama dan ilmuwan seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk menyampaikan mutiara ilmu kepada orang ramai.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16 Januari 2013

Usah terpedaya harta dunia

Rasulullah bimbang ummah fakir kerana lebih utamakan nafsu

Rasulullah SAW dan sahabat menunjukkan contoh serta mengajar umat Islam mengenai amalan cermat supaya menjadi ikutan sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama. Sifat boros dan tidak berhati-hati dalam urusan duniawi patut dijauhi kerana ia amalan syaitan.

Alangkah indah jika umat Islam hidup sederhana, harmoni dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia.
Firman Allah SWT: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian" Surah al-Furqan. (Ayat 67)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku khuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutkannya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu telah membinasakan mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi serta berpesan supaya memanfaatkannya sekadar perlu saja selain meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut.

Firman Allah SWT: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67)

Perlu diingat ialah jika kita diberikan rezeki yang melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan atau membutakan mata.

Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tentunya kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya.

Contohnya, tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan di usia tua, sewaktu kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada hingga wang habis sekelip mata.

Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda menjadi fakir tetapi takut jika kita tertipu dengan hiasan dunia yang sementara, yang akan menyebabkan kita ke neraka.

Sebenarnya hiasan dunia juga boleh jadi penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan. Justeru, cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim.

Hari ini ramai suami yang mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak dan judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal.

Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan sama ada sebagai isteri, ibu, kakak, adik, ketua, pemimpin dan pekerja sekalipun, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah. Jangan sesekali lupa untuk bercermat kerana impak wanita dalam pembangunan agama dan negara terlalu besar.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka telah diberikan petunjuk oleh Allah SWT supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia.

Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara sewaktu orang ingin mendengar kata-katanya, lalu mereka membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah. Akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata: “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.”


Nik Salida Suhaila ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama 17 Januari 2013

Suburkan budaya bersyukur dalam masyarakat

Daripada Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi, kedua-duanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku berada dalam keadaan baik. Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: Apabila aku menguji seseorang dari hamba-Ku yang Mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat.” (Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi)

Tidak kufur nikmat

Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan, katanya sabda Rasulullah SAW: “Sungguh menakjubkan urusan (pekerjaan) seorang Mukmin (yang sempurna imannya) semua yang berlaku ke atas dirinya adalah baik belaka. Ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang Mukmin iaitu jika beroleh kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya dan jika dia ditimpakan kesusahan dia bersabar dan sabar itu lebih baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW: “Sungguh menakjubkan urusan (pekerjaan) seorang Mukmin (yang sempurna imannya) semua yang berlaku ke atas dirinya adalah baik belaka. Ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang Mukmin iaitu jika beroleh kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya dan jika dia ditimpakan kesusahan dia bersabar dan sabar itu lebih baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.” (Riwayat At-Tabrani)

Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.

Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian selain daripada Allah SWT kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah SWT dengan ketaatan dalam beribadah.

Hargai keamanan negara

Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara. Jangan menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat serta gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan, bencana pada diri, keluarga dan masyarakat.

Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah SWT dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan serta kehancuran.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Online Agama 17 Januari 2013