January 20th, 2013

Tandas masjid kotor?

MENGGELIKAN. Begitulah keadaan yang dapat digambarkan situasi sesetengah persekitaran tandas masjid dan surau yang terdapat di negara ini.

Bukan sahaja di kawasan perkampungan dan pedalaman, kawasan bilik air dan tempat mengambil wuduk di rumah Allah SWT itu dilihat kurang diselenggara dengan baik walaupun di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Lebih menyedihkan, selain mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, sisa najis, lumut serta sawang turut 'berpenghuni' dalam bilik bersuci di rumah ibadat bagi umat Islam itu.


Tandas tersumbat, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah dan berlumut, siling bersawang dan sinki
tersumbat adalah senario yang berlaku di sesetengah masjid dan surau kita.

Tinjauan Mega Utusan Malaysia di beberapa lokasi turut mendapati, pelbagai masalah turut berlaku seperti; tandas tersumbat, mangkuk tandas pecah dan kotor, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah dan berlumut, siling bersawang dan sinki tersumbat.

Ini dilihat bukan sahaja mengurangkan keselesaan jemaah dan pengguna, malah mengurangkan minat umat Islam untuk mengunjungi rumah Allah itu.

Sehinggakan luahan mengenai tahap kebersihan tandas masjid dan surau yang kurang memuaskan sering menjadi buah mulut.

Permasalahan yang semakin menjadi tanda tanya itu telah pun diutarakan ke peringkat atasan. Walaupun pelbagai kempen dan program dijalankan, namun masalah ini diibarat bermusim yang tidak berpenghujung.

Pasti ada sahaja yang akan mengadu mendakwa tandas yang digunakan jijik dan kotor sehingga tidak sanggup untuk menggunakannya.

Perkara yang dilihat semakin kurang diambil perhatian itu dikatakan turut boleh menjejaskan identiti dan imej Islam kepada orang bukan Islam yang selama ini menganggap Islam agama yang mengutamakan kebersihan.

Pengerusi Madrasah al-Khairiah, Taman Salak Jaya, Seputeh, Misron Misbah berkata, berbeza dengan penganut ajaran agama lain, keprihatinan dan sensitiviti umat Islam terhadap aspek kebersihan dilihat masih ditahap yang kurang memuaskan.

Sehinggakan terdapat sesetengah rumah ibadat yang sepatutnya diselenggara dan dipastikan kebersihannya tidak diuruskan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi di kawasan tandas dan bilik wuduk.

"Kesimpulan mudah yang dapat dibuat terhadap sesuatu agama adalah berdasarkan rumah ibadat mereka. Ini kerana, secara umumnya segala penilaian dapat dibuat dan menggambarkan penganut agama tersebut dengan melihat rumah ibadat.

"Jika kesedaran terhadap kebersihan khasnya di kawasan rumah ibadat kurang, secara tidak langsung memberi kesan negatif, sekali gus memburukkan keseluruhan imej Islam.

"Ini juga dilihat menjadi penghalang serta menghilangkan kepercayaan bukan Islam yang mengetahui Islam itu menitikberatkan kebersihan bagi yang ingin memeluk Islam," katanya ketika ditemui.

Oleh itu katanya, hadis Rasulullah SAW bermaksud; "Sesungguhnya Allah SWT itu bersih dan menyukai kebersihan", perlu diterapkan dalam jiwa setiap umat Islam, bukan sahaja diungkapkan di bibir.

Tambahnya, sebagai umat Islam juga seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada agama lain kerana ia merupakan salah satu langkah dalam berdakwah.

"Secara umumnya fitrah manusia yang menyukai kepada kebersihan. Istimewanya bagi umat Islam adalah kebersihan telah didedahkan dengan prinsip menjaga kebersihan sejak kecil dan juga merupakan tuntutan agama.

"Tetapi jika kita lihat, realiti yang berlaku orang bukan beragama Islam lebih mendahului kita dalam aspek kebersihan terutamanya bahagian tandas," luahnya.

Tanggungjawab

Sementara itu, Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid al-Aqram, Jalan Datuk Keramat, Abdul Hamid Mat Isa berkata, mentaliti dengan meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan masjid dan tandas terhadap AJK masjid atau surau perlu diubah daripada pemikiran masyarakat.

"Jika tandas kotor tok siak (AJK surau atau masjid) yang dipersalahkan. Dikata tidak menjalankan tugas dan hanya makan gaji buta. Persepsi ini sama sekali tidak benar dan perlu diubah.

"Dalam hal ini, orang ramai tidak boleh meletakkan sepenuh tanggungjawab hanya kepada tok siak, walaupun secara formalnya bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan masjid.

"Dengan keadaan tok siak yang kebanyakannya sudah berumur, ditambah dengan persekitaran masjid yang luas tidak mampu diusahakan setiap hari, selain masjid dikunjungi oleh jemaah setiap waktu solat.

"Jika mempersoalkan mengenai gaji pula, berapa sangat upah yang dibayar kepada mereka. Jika masjid mungkin ada elaun daripada kerajaan, tetapi di surau mengharapkan tabung kutipan masjid sahaja," katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, dalam usaha menambah baik tahap kebersihannya, kesedaran dan kerjasama orang ramai penting bagi memastikan ia kekal bersih lebih-lebih lagi bagi golongan muda.

"Tidak dinafikan kerja membersih dan mengendali masjid serta surau ini agak kurang diminati, terutama di kawasan tandas. Tetapi, demi mengubah imejnya, ia perlu dilakukan.

"Oleh itu, tenaga muda dan seluruh jemaah sangat diperlukan dalam menambah baik agar sentiasa terpelihara," saran beliau.

Selain untuk beribadat, masjid dan surau juga boleh berfungsi sebagai lokasi persinggahan serta kawasan rehat dan rawat bagi orang yang bermusafir.

Bagi Siak di Surau al-Ikhlasiah, Keramat Jaya, Hasyim Yaacob berkata, kebersihan dan keselesaan sebenarnya merupakan salah satu strategi dalam mengajak orang ramai mendekati rumah ibadat secara psikologi. Sebagaimana fungsi kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya, surau memainkan peranan sebagai satu daya tarikan.

"Pendekatan sama juga boleh digunakan bagi menarik minat orang ramai untuk mengunjungi surau dan masjid. Selain untuk menjamin kekhusyukan beribadat, persekitaran dan tandas yang bersih mampu menarik jemaah untuk kerap mengunjungi masjid kerana kawasannya yang memberi ketenangan," jelasnya.

Hasyim turut berharap, kebersihan dan keselesaan itu bukan sahaja diamalkan di kawasan khas, tetapi di kawasan awam lebih-lebih lagi di rumah ibadat.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18/01/2013

Terpedaya fitnah harta

ADA satu persoalan yang sering bermain di minda saya, iaitu bolehkah orang-orang yang kelihatan sihat tubuh badannya, kuat dan tidak pula mengalami kekurangan fizikal seperti cacat anggota, mendapatkan bantuan zakat? Ini kerana, kadang-kala mereka seakan-akan sengaja meminta zakat demi mendapatkan habuan dunia tanpa perlu berusaha atau bekerja. Apakah pandangan Islam di sini dan harapkan penjelasan ustaz?

Jawapan

Alhamdulillah kerana saudara mempunyai pertanyaan seperti ini dan mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu menjentik naluri dan hati ramai manusia di luar sana, khususnya para masharif atau asnaf yang menerima bantuan zakat dan juga pembayar zakat untuk lebih memahami hukum pengagihan harta zakat.

Sememangnya manusia ini sifatnya memang menyukai harta dan kekayaan. Tidak kiralah status sosialnya sebagai orang kaya atau miskin, mereka menjadi ghairah dengan harta. Atas sebab itulah Allah SWT mengingatkan kita tentang fitnah harta: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Anfal: 28)

Harta dan kekayaan juga sering menjerat manusia untuk mengejarnya, sehingga sanggup mengabaikan perkara haram, menafikan keberkatan dan melupakan kesan kepada kehidupan di akhirat. Allah SWT mengingatkan lagi: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (iaitu orang-orang) yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya (tetapi tidak menyalurkan kekayaannya ke jalan-jalan yang dikehendaki Allah). (al-Humazah: 1-2)

Berbalik kepada persoalan di atas, adakah Islam mengizinkan para penganutnya yang sihat tubuh badannya, yang sihat akal fikirannya dan mampu pula bekerja sehingga mendatangkan penghasilan untuk mendapat habuan zakat?

Asalnya, mereka yang dipandang mempunyai kesihatan dan kekuatan tubuh badan adalah sama seperti orang kaya, yakni ditegah untuk disalurkan zakat atas nama kemiskinan kepada mereka. Sehinggalah diketahui bahawa di sebalik sifat fizikal itu, hakikatnya mereka memang memerlukan bantuan zakat.

Di dalam satu hadis dinyatakan oleh Ubaidullah bin Adi seperti berikut: "Diberitakan kepadaku oleh dua orang lelaki, bahawa mereka mendatangi Nabi SAW dalam haji Wada', kala itu Nabi SAW sedang membahagi sedekah, lalu memohon kepada Nabi SAW bahagian mereka. Maka Nabi SAW mengangkat pandangannya melihat kami dan merendahkannya, lalu baginda mendapati kami orang yang kuat, kerana itu bersabdalah baginda: Jika kamu mahu, aku berikan juga, sesungguhnya tidak ada bahagian pada zakat itu untuk orang kaya dan untuk orang kuat yang mempunyai usaha." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasaie)

Al-Khatabi menyatakan, bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang tidak diketahui mempunyai harta sedangkan zahirnya mereka sihat, maka boleh dianggap sebagai seorang yang fakir untuk menerima zakat. Begitu juga, biar pun fizikalnya dia kelihatan mampu bekerja; namun itu tidak memadai melainkan hendaklah dipastikan dia memang benar-benar mempunyai usaha atau pekerjaan bagi dirinya sendiri, maka sementara itu layak dia menerima zakat (rujuk Pedoman Zakat, TM Hasbi as-Shidieqy, hal. 154).

Sementara itu, di dalam hadis-hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW pernah menegah seseorang Muslim untuk meminta-minta, seperti mana sabda baginda: "Meminta itu tidak dihalalkan, kecuali kepada tiga jenis orang, iaitu orang yang sangat fakir, orang yang mempunyai hutang yang sangat banyak dan orang yang wajib membayar diyat (denda yang disabitkan kepada kesalahan qisas dalam syarak)." (riwayat Abu Daud)

Maka, daripada hadis ini boleh difahami, bahawa jika orang-orang yang sihat dan kuat tubuh badan itu termasuk dalam salah satu kategori di atas, maka boleh mereka meminta bantuan orang lain bagi menutupi keperluannya.

Manakala di dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menyatakan: "Tidak halal sedekah itu bagi orang-orang kaya dan bagi orang yang mempunyai tenaga (untuk) berusaha." (riwayat Ahmad, an-Nasaie dan at-Termizi)

Fuqaha seperti as-Syafie, Ishak, Abu Ubaid dan Ahmad berkata, hadis ini menjadi pertunjuk bahawa tidak halal menyalurkan zakat kepada orang yang kuat bekerja dan mempunyai pekerjaannya. Kecuali dia memang sudah mempunyai pekerjaan; namun masih tidak mampu memenuhi keperluannya, seperti mana pada pandangan ulama terdahulu, boleh bagi orang yang kuat mengambil sedekah jika mereka mempunyai kurang daripada dua dirham demi kehidupannya (ibid, hal. 155).



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18/01/2013 

Kerja penulisan manuskrip Melayu

SEBELUM menulis sesebuah manuskrip Melayu, beberapa persiapan perlu dilakukan bagi memastikan kerja-kerja penulisan dapat dijalankan dengan lancar dan disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Sebagai seorang penulis, terutamanya pada zaman dahulu yang menggunakan tulisan tangan, mereka perlu memastikan bahawa tulisan yang akan digunakan adalah yang terbaik, jelas dan mudah dibaca.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Muawiyah ibnu Abi Sufyan (680 Masihi) yang merupakan salah seorang daripada sekretari baginda seperti maksud berikut: "Seseorang penulis yang menulis wahyu, mesti menjaga bekas dakwatnya, potong mata pen dengan kemas, tulis huruf ba dengan betul, tinggalkan ruang kosong untuk 'gigi' huruf sin, jangan menghitamkan bahagian dalam kepala mim dan untuk menulis nama Allah dengan baik, dengan memanjangkan perkataan al-Rahman dan menyempurnakan tulisan dengan perkataan al-Rahim." (Al-Zabidi, 1771 Masihi).

Alat tulis

Setelah semua alat tulis lengkap dan dalam keadaan yang baik, kertas yang hendak ditulis juga perlu disediakan dengan baik seperti garis untuk teks tulisan, garis tepi, garis atas dan bawah.

Garisan-garisan ini akan membantu penulis mengehadkan penulisan dalam setiap muka surat dan menjadikan setiap muka surat mempunyai pembahagian teks yang seimbang.

Seperti manuskrip Arab, kebanyakan manuskrip Melayu juga mempunyai ruang tepi, kanan dan kiri teks yang agak lebar. Ini bagi memudahkan kerja penjilidan dan juga catatan nota dilakukan oleh pembaca.

Pada muka surat pertama, terdapat manuskrip yang mempunyai ruang atas yang lebih besar berbanding dengan muka surat yang lain.

Bahagian ini selalunya ditinggalkan untuk kerja-kerja hiasan yang akan dijalankan selepas semua teks selesai ditulis.

Pembuka bicara

Perkataan Bismillah bukan sahaja digunakan untuk pembuka bicara secara lisan namun ia juga digunakan sebagai pembuka kepada penulisan.

Perkataan ini digunakan di hampir kesemua manuskrip Melayu sama ada salinan, terjemahan atau karya tempatan.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW ada menyebut tentang "Sesiapa yang menulis Bismillah dengan baik akan diampun Allah SWT dosa-dosanya."

Terdapat beberapa gaya penulisan Bismillah yang digunakan di dalam manuskrip Melayu. Antara gaya yang digunakan ialah dengan memanjangkan huruf ba atau terdapat juga gaya yang memanjangkan huruf sin sebelum mim.

Kajian tentang gaya penulisan Bismillah di dalam manuskrip Melayu telah dijalankan dan dibentangkan oleh Annabel Teh Gallop pada 2004 dalam sebuah seminar manuskrip Melayu di Kuala Lumpur.

Bagi badan teks manuskrip Melayu dua jenis warna pen yang menjadi pilihan ialah hitam dan merah. Hitam merupakan pilihan utama manakala merah akan digunakan sewaktu menulis sebuah manuskrip yang mempunyai dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu atau Bahasa Bugis dan sebagainya.

Teknik ini biasanya digunakan di dalam manuskrip terjemahan. Bahasa Arab akan ditulis di dalam dakwat merah bagi memudahkan pembaca mengenal teks asal sebelum terjemahan dan keterangan yang diberikan oleh penulis Melayu yang ditulis dalam dakwat hitam.

Terdapat juga penulis yang menggunakan dakwat merah untuk perkataan pertama bagi menandakan ayat baru.

Perkataan terakhir

Bahagian penutup juga mempunyai gaya penulisan tersendiri di mana teks pada muka surat tersebut akan menjadi semakin tirus sehingga ke perkataan terakhir bagi manuskrip tersebut iaitu tamat.

Jika terdapat nama penulis, tempat, masa dan tarikh di bahagian ini ia dinamakan kolofon. Terdapat juga manuskrip Melayu yang tidak mempunyai kolofon.



ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara agama 18/01/2013 

Manusia cerdik sentiasa perbaiki diri

Usia adalah anugerah yang begitu berharga diberikan Allah SWT kepada manusia. Berganti tahun, semakin bertambahlah umur dan semakin berkurang jangka hayat di dunia.

Setiap detik bertambahnya umur, kita dapat berasakan getaran bahawa ajal semakin menghampiri. Ketika inilah terfikir apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Firman Allah SWT: “Dan (hendaklah diingat) sesiapa yang kami panjangkan umurnya, kami kembalikan kejadiannya kepada keadaan lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Surah Yasin, ayat 68)

Hamba cerdik ialah mereka yang berjuang mengisi umur dengan berbakti kepada Allah SWT untuk menempah kehidupan sejahtera di akhirat.

Bimbang hari tua

Ramai bimbang untuk meniti usia tua dan disebabkan itu, ada wanita sanggup mengeluarkan belanja besar bagi menghapuskan tanda penuaan walaupun tindakan itu ada kalanya boleh merosakkan diri masing-masing.

Usaha ini pada pandangan Islam tidak wajar kerana menghalang sesuatu yang pasti. Bagi yang beriman, peringkat umur ini memang ditunggu-tunggu.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila umur seseorang Muslim mencecah 40 tahun, Allah akan menjauhkan daripadanya tiga jenis bala: gila, kusta dan sopak. Apabila umurnya mencecah 50 tahun, Allah akan meringankan dosa-dosanya. Apabila sampai 60 tahun Allah akan mengurniakan taubat padanya. Apabila sampai umurnya 70 tahun, malaikat di langit akan mengasihinya.

“Apabila umurnya 80 tahun ditetapkan segala kebaikannya dan dihapuskan segala kejahatannya. Apabila umurnya mencecah 90 tahun, diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang, dia dinamakan tawanan Allah di muka bumi serta dia akan mensyafaatkan ahli keluarganya.”

Jaminan Allah

Itulah antara jaminan yang dianugerahkan Allah kepada warga tua yang meniti hari-harinya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Antara perkara baik yang boleh dilakukan untuk mendapat anugerah Allah SWT ialah:

Membanyakkan ibadat seperti solat sunat, berzikir, tahlil, tahmid, bertakbir, membaca al-Quran serta tidak mengabaikan ibadat fardu. Semua itu dapat mendekatkan diri dengan Allah selain memberi ketenangan jiwa.

Warga tua yang masih sihat hendaklah berusaha menunaikan solat jemaah di masjid atau surau serta mengqada solat wajib yang tertinggal.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang terlupa atau terluput solat hendaklah dia bersolat apabila dia teringat.” (Riwayat Anas)

Kurangkan menonton televisyen kecuali rancangan berfaedah kerana hiburan boleh menyebabkan seorang itu lalai dalam menunaikan tanggungjawab.

Sentiasa mengingati mati di samping membayangkan alam barzakh. Tindakan ini begitu berguna untuk kita melipatgandakan ibadat kepada Allah SWT apabila kita mengurangkan angan-angan mencintai dunia.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Banyakkan oleh kamu mengingati yang memusnahkan kesedapan dunia, iaitu mati.” (Riwayat at-Tarmizi, an-Nasa'i, Ibnu Majah, Hakam)

Banyak bersabar, sesungguhnya waktu ini pelbagai ujian perlu ditempuh khususnya ketika kudrat kian lemah dengan fikiran terhad.

Firman Allah SWT: “Dan (hendaklah diingat) sesiapa yang kami panjangkan umurnya, kami kembalikan kejadiannya kepada keadaan lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Surah Yasin, ayat 68)

Selanjutnya, hadapi kedatangan tahun baru dengan bersyukur kerana umur dipanjangkan Allah SWT serta tekad untuk terus memperbaiki diri menjadi hamba yang sentiasa mendapat rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)


Zabidi Hitam Berita Harian Online Agama Ahad 20 Januari 2013