January 24th, 2013

Misi nabi akhir zaman

BEBERAPA hari lagi, kita akan meraikan satu peristiwa penting dalam sejarah dunia dan umat Islam. Peristiwa itu adalah kelahiran Muhammad bin Abdullah yang terpilih menjadi nabi dan rasul Allah terakhir kepada seluruh manusia.

Di tengah-tengah kegembiraan kita dengan kelahiran baginda, tersimpan hakikat besar yang patut kita renungi bersama. Pengutusan Rasulullah SAW adalah salah satu daripada tanda-tanda kiamat. Kehadiran baginda di muka bumi menandakan dunia telah hampir kepada kehancuran.

Allah SWT berfirman: Maka tidaklah yang mereka nanti-nantikan melainkan kiamat yang akan datang dengan tiba-tiba. Sungguh telah terjadi tanda-tandanya. (Muhammad: 18)

Apabila menafsirkan ayat ini, Al-Hafiz Ibnu Kathir menulis: "Pengutusan Nabi SAW adalah antara tanda-tanda kiamat. Sebab baginda adalah penutup para rasul. Allah menyempurnakan agama ini dan menegakkan hujah kepada seluruh alam dengannya."

Usia umat manusia

Pelbagai hadis Nabi SAW menyebutkan dekatnya pengutusan Baginda dengan kiamat. Perselisihan masa yang memisahkan antara keduanya ibarat jari telunjuk dengan jari tengah.

Baginda SAW bersabda: Aku diutus dan hari kiamat seperti jari ini dan ini. Baginda mendekatkan jari telunjuk dengan jari tengahnya. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa baki umur umat manusia setelah kedatangan beliau hanya seperti antara solat Asar dan Maghrib sahaja. Baginda bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya perumpamaan umur kamu bersama umur bangsa-bangsa sebelum kamu adalah seperti antara solat Asar dan terbenam matahari. (riwayat al-Bukhari)

Berkata Ibnu Kathir dalam Al-Nihayah: "Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa usia dunia yang terbaki hanya sedikit sahaja. Akan tetapi tiada yang mengetahui masanya yang terbaki selain Allah."

Hakikat ini bukan ditujukan agar melahirkan kepanikan. Akan tetapi, ia sebagai satu peringatan agar kita bermuhasabah dan segera mempersiapkan diri untuk akhirat. Apa-apa yang hendak dibawa ke akhirat, maka persiapkanlah dari sekarang. Dan apa-apa yang tidak ingin dibawa ke akhirat, maka tinggalkanlah dari sekarang.

Misi penting

Salah satu ajaran terpenting Rasulullah SAW adalah seruan untuk meninggalkan berhala yang menajisi kesucian minda manusia. Baginda mengajak umat akhir zaman untuk memerdekakan fikiran daripada belenggu berhala, dan hanya menyembah satu-satunya tuhan yang hakiki: Allah SWT.

Berhala adalah simbol tuhan palsu yang diciptakan Iblis untuk menyesatkan manusia. Tuhan palsu ini mengambil bentuk yang bermacam-macam sesuai dengan tingkat intelektual manusia.

Berhala pernah berbentuk batu seperti Lata dan Uzza. Ia juga pernah berbentuk penguasa yang kuat seperti Firaun dan Namruz. Namun pada zaman ini, berhala seringkali mengambil bentuk wang ringgit.

Kuasa duit

Kebanyakan manusia menyembah duit dalam sedar mahupun tidak sedar. Ia menjadi motivasi dan penggerak semua aktiviti. Mereka belajar untuk duit. Mereka bekerja untuk duit. Mereka makan dan minum agar kuat bekerja mendapatkan lebih banyak duit.

Kuasa duit mampu membuat seseorang tertawa ataupun menangis. Ia mampu memutuskan atau menjalin ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Kerana duit, sebahagian orang bahkan rela melepaskan iman dan maruah dirinya. Sungguh itu sesuatu yang merugikan bagi orang yang menjadi hamba duit.

Nabi SAW pernah bersabda: Celakalah hamba Dinar, hamba Dirham, hamba pakaian. Jika diberi, bergembira. Jika tidak diberi, mereka kecewa. (riwayat al-Bukhari)

Umat Muhammad

Sebagai umat Muhammad SAW, kita mesti menjauhkan gaya hidup yang meletakkan duit sebagai penentu segalanya. Kita bukan hamba duit, kita hamba Allah SWT. Kita perlu duit hanya kerana ia satu jalan untuk lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menyumbang kepada agama-Nya.

Itu sebabnya Rasulullah SAW memuji harta yang banyak apabila berada di tangan yang tepat. Baginda Nabi SAW bersabda kepada 'Amr bin Al-'As: Wahai 'Amr, betapa bagusnya harta yang baik bagi laki-laki yang soleh. (Diriwayatkan Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad)

Semoga musim maulid Nabi tahun ini memberikan keinsafan kepada kita tentang hakikat diri dan tugasan besar yang mesti dilakukan di dunia. Selamat meraikan maulid Nabi.

"Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun bukan keraian semata-mata tetapi penghayatan sirah Rasulullah itu lebih utama"


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22 Januari 2013 

Nafkah anak

ANAK adalah anugerah Allah SWT kepada suami isteri dan penyeri sebuah rumah tangga. Sebagai ibu bapa, tentunya mempunyai tanggung jawab terhadap anak-anak mereka. Anak mempunyai hak terhadap ibu bapanya. Hak anak bermula dengan nasab yang sah dan dari situ maka lahirlah hak-hak seperti; hak nafkah, pendidikan dan lain-lain.

Nafkah anak adalah kewajipan bapa berasaskan surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: ...Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menuntut yang sepatutnya… Ayat ini diperkuatkan oleh hadis Rasulullah SAW kepada Hindun, "Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang maaruf."

Pada pandangan ulama jumhur, anak-anak yang berhak kepada nafkah adalah anak yang sah taraf, anak kepada anak (cucu) yang furu' ke bawah.

Siapakah yang wajib membayar nafkah? Jika berasaskan surah al-Baqarah di atas, maka yang wajib nafkah ialah bapa sekiranya ia masih hidup dan mampu.

Menurut ulama Hanafi, jika bapa tidak mampu kerana fakir atau tidak sihat untuk bekerja, maka nafkah hendaklah ditanggung oleh datuk sebelah bapa atau ibu kepada anak-anak. Nafkah yang dibiayai oleh datuk kepada anak atau ibunya ketika bapa anak tidak mampu memberi nafkah kerana kesempitan wang, maka jumlah tersebut boleh dituntut semula. Dalam hal ibu anak dan datuk sebelah bapa ada bersama untuk membiayai nafkah anak ketika ketiadaan bapa, maka jumlahnya ialah 1/3 bagi ibu dan 2/3 bagi datuk.

Bagi ulama Maliki nafkah adalah kewajipan bapa sahaja.

Ulama Shafie berpandangan bahawa kewajipan nafkah adalah bapa dan jika dia tidak mampu, ia jatuh kepada ibu. Jika ada ibu anak, saudara lelaki dan datuk, maka bahagian nafkah adalah 1/3 seorang. Imam Shafie berpendapat datuk berkewajipan membiayai nafkah cucunya dalam ketiadaan bapa. Jumlah nafkah anak adalah mengikut kemampuan pemberi nafkah.

Ulama Shafie juga berpandangan bahawa nafkah anak yang tidak berbayar adalah hutang jika diputuskan oleh mahkamah atau jika bapa dengan sengaja enggan membiayai nafkah.

Enakmen

Pada hari ini nafkah anak boleh dituntut melalui enakmen undang-undang keluarga Islam. Menurut seksyen 73, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Jika dilihat daripada peruntukan ini, bapa berkewajipan menanggung nafkah anaknya. Nafkah bermakna tempat tinggal, makan, minum, pakaian, perubatan dan pelajaran mengikut kemunasabahan dan kemampuannya.

Jika diamati senario hari ini, ramai bapa yang tidak menjalankan tanggungjawab ini. Contoh paling menarik ialah apa yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 28 Disember yang bertajuk, "Merempat Angkara Ayah". Dalam kes ini, pasangan mempunyai lapan orang anak dan seorang anak angkat. Apabila bercerai, suami mengambil dua orang anak dan meninggalkan tujuh anak yang lain kepada bekas isteri. Ibu dan tujuh anak itu tinggal di sebuah bilik dengan sewa RM350 sebulan dan anak-anak makan dua hari sekali.

Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah mereka hidup sebelum perceraian? Semasa bercerai, siapakah yang memutuskan setiap pembahagian anak-anak. Bagaimanakah seorang wanita yang sebelum ini ditanggung suaminya, menanggung tujuh orang anak jika dia sendiri tidak bekerja. Bantuan kebajikan sebanyak RM400 untuk lapan orang adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana jika seorang dianggarkan berbelanja RM5 sehari (RM5 x 8>RM40 x30 hari>RM1,200). Apakah yang boleh kita beli untuk dimakan dengan RM5 pada 2013 ini?

Hari ini jika pasangan suami isteri mempunyai lapan orang anak dan hanya suami yang bekerja dengan pendapatan RM1,500 sebulan, maka ia masih tidak mencukupi kecuali isteri berniaga atau menjual makanan atau mengasuh anak orang atau menjahit pakaian. Zaman telah berbeza, dahulu, ibu bapa boleh membesarkan 10 anak dengan hanya bekerja kampung dan menanam padi atau menoreh getah. Ini kerana mereka masih boleh bercucuk tanam, merebus ubi sebagai ganti beras dan ke sungai menangkap ikan. Hakikatnya, suasana kampung sebegini juga sudah sukar ditemui. Realiti hari ini, jika isi rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan mempunyai tiga anak dan duduk di Kuala Lumpur, kehidupan bukan sahaja tidak mewah malah ia umpama kais pagi makan pagi.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23 Januari 2013

Kealiman al-Sakhawi

SUMBANGAN besar Imam al-Syatiby (meninggal pada 590 Hijrah) ialah menulis karya yang menjadi rujukan dalam pelbagai ilmu berkaitan al-Quran seperti qiraat, rasm dan ilmu bilangan ayat al-Quran yang dipanggil al-Fawasil. Antara karyanya ialah Hirz al-Amani, Nazimat al-Zuhri dan Aqilah Atrab al-Qasaid.

Hirz al-Amani atau terkenal dengan Matn al-Syatibiyyah mempunyai tarikannya yang tersendiri dengan susunan bahasa yang mantap dan indah. Ramai ulama yang memberi pujian antaranya; Imam Ibnu al-Jazari (meninggal 833 Hijrah) Imam al-Qastalani (meninggal 923 Hijrah) dan lain-lain.

Namun terdapat juga mereka yang memberi teguran dengan mendakwa bahasa yang digunakan tidak sesuai dan susah untuk memahaminya.

Lantas Imam al-Syatibiy menjawab teguran tersebut dengan menyatakan Wahai Tuan, Allah SWT akan menguatkan matn ini dengan seorang pemuda yang akan menghuraikannya.

Imam Abu Syamah (meninggal pada 665 Hijrah) menyatakan selepas aku melihat al-Sakhawi mensyarah matn Hirz al-Amani aku amat yakin bahawa pemuda yang dimaksudkan oleh Imam al-Syatibiy untuk mensyarah matnnya ialah al-Sakhawi.

Al-Sakhawi menyatakan pernah mendengar gurunya al-Syatibiy berkata kalaulah di kalangan pelajarku ada kebaikan dan keberkatan, akan ada di kalangan mereka yang membuat rumusan matn ku yang tidak pernah terlintas dalam fikiranku.

Nama penuh al-Sakhawi ialah Ali Ibnu Muhammad Ibnu Abdul Samad Abu al-Hasan al-Hamdani al-Sakhawi. Lahir pada 558 hijrah dan meninggal dunia pada 643 Hijrah. Beliau terkenal dengan pakar tafsir, alim dalam bidang bahasa Arab dan guru al-Quran tersohor pada zamannya di Damsyik.

Kealiman al-Sakhawi dalam pelbagai disiplin ilmu mendapat penghargaan ulama antaranya; Imam Ibnu al-Jazari yang menyatakan al-Sakhawi ialah seorang imam, sangat alim, muqri', pengetahuan luas dalam ilmu qiraat, imam dalam ilmu nahu, bahasa Arab dan tafsir, alim dalam fiqh dan usulnya, arif dalam bab adab, disulami dengan tawaduk, mahabah dan akhlak yang terpuji.

Dalam ilmu qiraat, al-Sakhawi mendapat didikan daripada guru yang amat dihormatinya iaitu Imam al-Syatibiy. Beliau bertalaqi qiraat dan membaca Matn al-Syatibiyyah di hadapan gurunya dengan mendapat ijazah ketika usia al-Sakhawi 27 tahun.

Selepas berpuas hati dengan penguasaan al-Sakhawi dalam ilmu qiraat, Imam al-Syatibiy menganugerahkan ijazah memperakui kesahihan bacaan dan ilmu al-Sakhawi. Di akhir ijazah tersebut terdapat kata-kata ditulis Abu al-Qasim (gelaran kepada Imam al-Syatibiy) pada akhir Syaaban 584 Hijrah.

Selepas beberapa ketika di Mesir, al-Sakhawi bermusafir ke Damsyik. Sebelum pelayarannya, gurunya, Imam al-Syatibiy berpesan jika kamu sampai ke Syam belajarlah al-Quran dengan al-Kindi dan jangan meriwayat daripadanya. Justeru, al-Sakhawi bertalaqi al-Qiraat dan mendalami ilmu nahu, lughah dan adab dengan al-Kindi.

Menurut al-Qadhi Ibnu Khallikan, aku pernah melihat al-Sakhawi di kota Damsyik dan manusia mengelilinginya menuntut ilmu di masjid. Imam al-Zahabi pula menyatakan aku tidak mengetahui seorang pun di kalangan Qurra yang mempunyai murid seramainya.

Kesimpulannya, al-Sakhawi adalah seorang ulama yang terkenal dalam bidang ilmu qiraat dan beliau adalah murid kepada Imam al-Syatibiy. Karyanya yang mensyarah Matn al-Syatibiyyah adalah pencetus kepada huraian matn Syatibiyyah oleh ulama selepasnya hingga ke hari ini.



Utusan Malaysia Online Bicara agama 23 Januari 2013

Penyelia harta wakaf Sayyid Muhammad

AL 'ALLAMAH al Musnid al 'Abid al Zahid Ahmad Malik ibnu al 'Arabi ibnu Ahmad al Syarif ibnu Muhammad al Syarif ibnu Muhammad ibnu Ali al Sanusi dilahirkan di Marsa Matruh, Mesir pada hari Jumaat 27 Zulhijjah 1351 Hijrah bersamaan 23 April 1933 Masihi. Dilahirkan daripada keluarga yang masyhur dengan ilmu dan ketakwaan, di tambah dengan nasabnya bersambungan kepada Sayyiduna al Hasan ibnu Ali dan Fatimah binti Rasulullah SAW.

Ketika dilahirkan, ayahandanya telah menamakannya Ahmad kerana mengambil berkat dengan nama nendanya, Sayyid Ahmad al Syarif. Akan tetapi, Raja Libya pada ketika itu Sayyid Muhammad Idris al Sanusi mengutus surat kepada ayahandanya agar menamakannya dengan nama Malik. Maka ayahandanya mendaftarkan pada sijil kelahirannya dengan nama Ahmad Malik. Beliau mempunyai sembilan adik-beradik lelaki dan 11 adik-beradik perempuan.

Sayyid Malik mendapat pendidikan awal di Marsa Matruh, Mesir dan belajar al-Quran dengan Syeikh Mu'min Muhammad. Kemudian dengan Syeikh 'Atiyyah Bu'qub al Bir'asi dan menyempurnakan hafazan dan pengajian al-Quran dengan ayahandanya sendiri.

Kemudian beliau kembali ke Libya bersama ayahandanya dan adik-beradiknya. Oleh kerana sistem pendidikan di Libya diselia oleh Pejabat Britain, maka beliau didaftarkan oleh ayahandanya untuk bersekolah di Sudan selama dua tahun. Kemudian, beliau kembali menyambung pelajaran di peringkat rendah di al Abyar dan Benghazi, Libya sehinggal memperoleh Syahadah Thanawiyyah pada 1380 Hijrah bersamaan 1960 Masihi.

Setelah itu, Sayyid Malik melanjutkan pelajaran di Universiti Libya dalam Jabatan Sejarah. Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas dalam lapangan keilmuan dan pendidikan di Libya dan Lubnan.

Pada 1409 Hijrah bersamaan 1988 Masihi, beliau berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan dilantik sebagai penyelia harta-harta wakaf Sayyid Muhammad ibnu Ali al-Sanusi hingga ke hari ini dan ke akhir hayatnya.

Sayyid Malik telah mempelajari dan meriwayatkan ilmu terutamanya kitab-kitab hadis seperti al-Muwatta', Sahih al-Bukhari dan banyak lagi dan memperoleh ijazah daripada ramai ulama, sama ada daripada keluarga al-Sanusi mahupun selain mereka.

Di antara mereka ialah; ayahandanya, Sayyid al 'Arabi ibn Ahmad al Syarif, Raja Libya, Sayyid Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi, Sayyid Ibrahim ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid Muhyiddin ibnu Ahmad al Syarif. Sayyid Abdullah ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid al Zubair ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid Ahmad ibnu Muhammad 'Abid ibnu Muhammad al Syarif, Sayyid Ahmad ibnu Muhammad ibnu Ahmad ibn Abdul Qadir al Rifi, Sayyid Idris ibn Muhammad ibnu Ja'far al Kattani, Sayyid Muhammad Taisir al Makhzumi al Husaini, Syeikh Muhammad Abdullah Aaddu al Jakni al Syanqiti, Syeikh Mansur Humaidah al Mahjub, Syeikh Abu al Qasim ibn Ahmad ibnu Abi al Qasim al Tuwati, Syeikh Abdul Malik al Darnawi al Tarabulusi dan ramai lagi.

Sayyid Malik merupakan seorang ulama yang terkenal di sisi ahli ilmu pada zaman ini. Malah sering diziarahi oleh ulama dan ilmuwan Islam yang datang untuk mendapat faedah ilmu dan ma'rifah daripadanya. Ribuan ahli ilmu telah beliau ijazahkan seperti yang tercatat di dalam buku daftar penerima-penerima ijazah daripadanya.

Di antara ulama besar yang telah beliau ijazahkan ialah; al Muhaddith Prof Dr. Sayyid Muhammad ibnu 'Alawi al Maliki, Al Musnid al Kabir Dr. Yusuf al Mar'asyli, al 'Allamah Musnid al Masyriq Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki dan ramai lagi.

Beliau amat berharap dikurniakan rezeki dapat menghembuskan nafasnya di Madinah al-Munawwarah dan disemadikan jasadnya di Baqi' al Gharqad seperti mana nendanya, al Imam Sayyid Ahmad al Syarif. Jadi, beliau tidak keluar dari Madinah melainkan atas urusan yang sangat penting.

Harapannya diperkenankan oleh Allah SWT di mana setelah mencurahkan amal dan bakti yang tulus ikhlas, beliau akhirnya dijemput menemui Ilahi pada 25 Safar 1424 Hijrah bersamaan 8 Januari lalu dan disemadikan di Tanah Perkuburan Baqi' al Gharqad Madinah al-Munawwarah.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22 Januari 2013

Penghalang doa

ANTARA sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.

Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina. (al-Mukmin: 60)


Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah SWT. - Gambar hiasan

Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;

Menggunakan harta haram

Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: ...Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (riwayat Muslim)

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.

Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh.

Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).

Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.

Gelojoh dan terburu-buru

Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.

Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.

Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa

Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.

Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: "Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Lalai dan tidak khusyuk

Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.

Sabda Nabi SAW: "Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk." (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).

Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar

Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (ali-Imran: 110)

Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.

Nabi SAW bersabda: "Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan." (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN .  PENULIS ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23 Januari 2013

Tuntutan menyayangi sesama Muslim

Salah satu pendidikan ditekankan Rasulullah SAW ialah ukhuwah atau persaudaraan yang dibina atas dasar kasih sayang sesama insan. Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran, ia juga meningkatkan kualiti iman.

Sabda Rasulullah SAW: “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah adalah penguat simpul-simpul keimanan.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam, maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)


Ternyata banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Malah, menyapa dan bersalam dengan saudara seagama pun akan mendapat rahmat serta keampunan Allah. Sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah.

Abdul Rahman bin Auf ialah Muhajirin yang berhijrah dan Saad bin Rabi pula kalangan orang Ansar. Abdul Rahman berhijrah tanpa membawa harta, tetapi Saad berkata kepadanya: “Saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau.”

Kedua-duanya tidak pernah kenal antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan tarbiah Rasulullah SAW, Saad melakukan sesuatu yang amat dituntut Islam.

Ini diingatkan Allah melalui firman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat menitikberatkan nilai kasih sayang dan persaudaraan. Mungkin kita tertanya apakah sahabat Rasulullah tidak pernah melakukan kesalahan terhadap sahabat mereka yang lain?

Ketika Umar al-Khattab menjawat jawatan khalifah, beliau ingin menguji sejauh mana perasaan ukhuwah, persaudaraan, kasih sayang dan mengasihi dalam kalangan sahabat. Apakah pendidikan atau benih yang disemai Rasulullah SAW benar-benar hidup dalam jiwa mereka.

Umar al-Khattab telah memberikan 1,000 dirham kepada pembantunya dan berkata, “Pergilah berjumpa Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan katakan kepadanya, Amir al-Mukminin telah memberikan wang untuk dibelanjakan sesuka hati tuan. Kemudian, tunggu sebentar lihat apa dilakukan Abu Ubaidah al-Jarrah.”

Pembantu Umar melaksanakan apa diarahkan dan melihat Abu Ubaidah al-Jarrah mengagihkan wang yang diterima kepada pelbagai pihak yang memerlukan sehingga tiada yang tinggal.

Pembantu Umar kembali dan melaporkan apa telah dilihatnya. Kemudian Umar memberikan lagi wang 1,000 dirham untuk diberikan pula kepada Mu’adz bin Jabal. Tindakan sama juga dilakukan Mu’adz bin Jabal dengan menyedekahkan kembali wang itu kepada orang ramai.

Selanjutnya Umar memberikan wang kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau juga menyedekahkan wang itu. Melihat tindakan ketiga-tiga sahabatnya itu, lantas Umar berkata, “Alhamdulillah masih ada persaudaraan di hati mereka.”

Besarlah harapan kita supaya nilai kemurahan hati dan sifat persaudaraan sentiasa ada dalam diri setiap insan Muslim.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela kehormatan saudaranya, maka nescaya Allah akan menjauhkannya dari neraka pada hari kiamat.”

Maksud hadis ini ialah bagi seseorang yang tidak sanggup mendengar saudaranya dihina oleh orang lain dan dia sendiri tidak menghina saudaranya bahkan membela kehormatannya, maka Allah akan membebaskannya daripada api neraka.

Mulai saat ini lepaskan diri daripada sikap benci dan dengki terhadap saudara seagama sehingga Allah mengampuni kita.

Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 24 Januari 2013

Mampu tahan marah tanda kekuatan Muslim

Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah."

Ukuran kekuatan pada zaman jahiliah ialah kekuatan fizikal, tetapi Islam mengubahnya kepada nilai akhlak dan kemasyarakatan yang mulia.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjauhi sifat marah kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh badan, jiwa dan masyarakat.


Sifat pemarah adalah sifat mazmumah yang tidak diredai Allah kerana ia boleh meruntuhkan kebahagiaan hidup seseorang. Bak kata orang, jika marah menguasai jiwa maka segala pertimbangan waras akan hilang.

Cara redakan marah

Banyak kes yang kita lihat di luar sana, daripada marahlah berlakunya kes pukul, dendam. Malah, jika tidak dikawal ia mungkin boleh menyebabkan situasi yang lebih buruk termasuk bunuh.

Rasulullah mengajar umatnya membaca ta’awwuz untuk mendapatkan perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam bagi meredakan kemarahan.

Daripada Sulaiman bin Sard, katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya merah mukanya dan tegang pula urat lehernya.

Lalu Rasulullah SAW bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.”

Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam."

Perasaan marah disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia. Justeru, untuk menghapuskan was-was syaitan ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A`raf ayat 200)

Lerai sengketa

Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam.

Oleh sebab itu, seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca ta’awwuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran.

Orang yang alim hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati).


Berita Harian Online Agama 23 Januari 2013

Rahsia kejayaan pimpin ummah

Rasulullah jadikan diri 'role model' untuk diikuti setiap Muslim

Ketika membangunkan masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah, Rasulullah SAW memulakannya dengan membina akhlak mulia sesama saudara seagama. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah SAW meskipun ada cabarannya.

Akhlak ditonjolkan Baginda SAW menjadi pengajaran paling berkesan. Sejarah membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya tidak akan dimusnahkan oleh tipu daya dan hasad dengki sesama manusia.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah serta keperibadiannya sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan dalam al-Quran.

Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bawa bermusyawarah. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti bukan kepentingan diri.

Ia juga kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah melalui pendidikan berasaskan contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu, membimbing dan menjadi ‘role model’.

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal serta berakhlak yang sebenar.

Rasulullah SAW menunjukkan kepada sahabat supaya bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain atau melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah SAW sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.

Kesabaran Rasulullah SAW menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda hingga dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. Baginda juga bersedia berdepan fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan Rasulullah ialah pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat atau musuh serta mudah bertolak ansur selain tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW tidak pernah melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal.

Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai.

Rasulullah SAW mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung mencintai kebaikan.

Kegagalan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini seperti firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rumi, ayat 41)

Nik Salida Suhaila adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.Berita Harian Online Agama 23 Januari 2013