January 25th, 2013

Rasulullah pendidik unggul

Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1434H/2013:

Guru patut contohi cara Baginda tangani masalah secara berhemah

Rasulullah SAW seorang pendidik yang cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.

Dicontohi sepanjang zaman


Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi dan diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa ayat dalam al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.

Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan yang telah mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, (berjuang) menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)

Selain nas al-Quran, Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang guru (pendidik manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”

Berpandangan jauh

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan, terutama guru. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru akan menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Proses pengajaran

Ini menjelaskan kepada kita proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti pengajaran.


Asri Md Saman @ Osman Berita Harian Online Agama Jumaat , 25 Januari 2013

Khutbah Jumaat: Pertahan risalah dibawa Nabi Muhammad

Semalam adalah hari sambutan Maulidur Rasul, antara hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada dalam sanubari dan hati umatnya.

Baginda SAW membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qurani dan kedua, menghidupkan wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya (sunnah nabawiyah).

Wajib jadi teladan


Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW seperti dicerminkan dalam al-Quran, wajib dijadikan teladan dan ditaati sepanjang kehidupan ini.

Firman Allah SWT: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.” (Surah at-Taghaabun, ayat 12)

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ terdapat dalam kalimah syahadah iaitu perakuan kewujudan Allah dan menafikan tuhan selain-Nya. Dengan itu, seluruh umat Islam wajib bersatu dan menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Yakin dan percayalah antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat, kitab dan pemimpin yang satu.
Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan pelbagai ancaman musuh Islam yang didalangi orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan antaranya isu agama sebagai alat menghancurkan umat Islam.

Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian pemimpin Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Oleh itu, tidak menghairankan ada umat Islam hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri.

Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Sedarlah, inilah masanya umat Islam bersatu bagi memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan akidah umat Islam.

Janganlah ada segelintir umat Islam yang hanya pandai berbicara soal Islam, namun pada masa sama sanggup menggadaikan maruah dan agama sendiri. Lebih menyedihkan, ada umat Islam yang langsung tidak sensitif, sanggup menggadaikan akidah dan masa depan ummah demi kepentingan diri.

Laksana ajaran dibawa Rasulullah

Sempena sambutan Maulidur Rasul, marilah kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan melaksanakan ajaran dibawa oleh Rasulullah SAW.

Marilah kita mempertahankan kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan Nabi SAW dalam setiap tindakan. Jadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup.


Berita Harian Online Agama Jumaat 25 Januari 2013