February 2nd, 2013

Teladani akhlak Rasulullah bentuk integriti diri

Amalan, budaya kerja mesti beretika

Rabiulawal, bulan kelahiran Rasulullah SAW, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas kurniaan rezeki tidak terhingga nilainya kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang diutuskan membawa petunjuk kebenaran dan berita gembira kepada yang beriman.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) mengenai ahli neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya percakapan yang paling baik adalah kitab Allah SWT. Dan petunjuk yang paling benar adalah petunjuk Muhammad SAW.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pengorbanan besar

Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya dilihat melalui keseluruhan pengorbanan Baginda menyampaikan risalah dan hakikat kebenaran itu sehingga sanggup mengharungi apa juga cabaran dengan penuh kesabaran, ketabahan serta kebijaksanaan sangat tinggi.

Baginda SAW apabila dijanjikan pelbagai ganjaran oleh pembesar kafir Quraisy supaya meninggalkan usaha dakwah bersabda: “Walaupun diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sekalipun untuk aku meninggalkannya, nescaya tidak juga akan aku lakukan.”

Begitulah kuatnya pegangan Rasulullah dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada umatnya. Pada masa sama, kebenaran ajaran Islam yang dibawa tidak akan terserlah jika tidak ditunjukkan dengan kemuliaan sifat siddiq iaitu jujur dan benar.

Sifat benar yang ditunjukkan Baginda meliputi segala aspek pegangan kepercayaan, pertuturan dan perbuatan. Sifat benar ini telah menimbulkan rasa percaya dan senang dalam hati orang yang mengenali dan berurusan sehingga mendorong untuk beriman dengan ajaran yang dibawa.

Tak pernah menipu

Dr Mahmud Muhammad dalam penulisannya, Babeli ‘al-syabab al-Muslim fi Muwajihat al-Tahdiyyat menukilkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah berkata mengenai Rasulullah SAW: “Dia tidak pernah berdusta kepada manusia, maka bagaimana pula dia boleh berdusta kepada Allah SWT?”

Justeru, di kala ramai yang tidak mempercayai termasuklah daripada kalangan mereka yang beriman mengenai perkhabaran Israk Mikraj Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar sebaliknya tanpa ragu mempercayai sesuai dengan jolokan gelarannya al-Siddiq.

Jujur dalam perniagaan

Sifat mahmudah ini ditiru sahabat antaranya Abdul Rahman bin Auf dalam perniagaan yang diusahakan dengan jujur tanpa tipu helah, benar dan bijaksana sehingga berjaya mengaut keuntungan memecahkan monopoli perniagaan kaum Yahudi di Madinah.

Rasulullah memuji mereka yang jujur dengan sabdanya: “Peniaga yang jujur akan ditempatkan bersama nabi, golongan yang benar, syuhada dan solihin.”

Baginda juga mengingatkan dengan tegas bahawa amalan dusta bukan daripada kalangan umat Baginda. Baginda menegur peniaga yang tidak jujur kepada pelanggannya apabila didapati mencampurkan antara buah kering dan basah dalam satu longgokan.

Sifat siddiq bentuk integriti

Justeru, dalam bekerja dan memberikan perkhidmatan, sifat siddiq Rasulullah perlu kita contohi khasnya untuk membentuk integriti. Terdapat pelbagai cara diambil majikan untuk memelihara dan membangunkan kualiti sifat ini termasuklah menyediakan kod etika perkhidmatan.

Beberapa contoh tatacara kerja yang tidak bertanggungjawab dan tidak berteraskan kejujuran ialah pemalsuan dokumen, pemindaan data dan fakta, pemalsuan tuntutan, tidak menjaga kerahsiaan daripada ketirisan, tiada ketelusan dalam tindakan dan membuat keputusan, penyalahgunaan kuasa serta suapan.

Firman-Nya: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (Surah al-Taubah, ayat 119)

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah SWT menyifatkan orang yang benar dan beriman dalam urusan mereka sebagai orang yang bersungguh-sungguh dalam agama.

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Berita Harian Online Agama 26 Januari 2013

Mendalami ilmu ciri penting jadi umat hebat

Wasatiyah adalah istilah yang sewajarnya dipopularkan dalam hidup masyarakat hari ini yang ingin melahirkan umat hebat. Wasatiyah yang sering diterjemah sebagai sederhana, berseimbang juga boleh diterjemahkan sebagai hebat atau 'super'.

Pendakwah, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata ‘ummatta wassata’ adalah umat hebat yang disebut sebagai umat terbaik dalam al-Quran yang wawasannya untuk mendapatkan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

“Dulu ada umat Nasrani yang meninggalkan dunia kerana akhirat, kemudian datang umat Yahudi yang terlalu mengejar dunia. Datang pula umat Muhammad yang berusaha mendapatkan dunia serta akhirat,” katanya.

Untuk cemerlang berasaskan ilmu. Ayat pertama diturunkan bukan menyuruh kita solat tetapi membaca untuk mencari ilmu. Orang kita sekarang kebanyakannya mengaji tetapi tidak mengkaji, sebab itu mereka ikut sunnah secara ritual," Mohd Zawawi Yusoh, Pendakwah

Beliau menyampaikan ceramah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1434H/2013M anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Putra, Putrajaya.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Empat ciri

Zawawi yang mengupas tema Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ memberitahu, empat ciri ‘ummatta wassatta’ iaitu wassatiyyah imaniah, berilmu, mencipta sebab dan bekerja dengan betul.
Katanya, untuk bersatu dengan Nabi Muhammad SAW, umat Islam perlu mengenali serta mengikut sunnah Baginda selain memastikan diri dilengkapi ilmu supaya mampu mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

“Untuk cemerlang berasaskan ilmu. Ayat pertama diturunkan bukan menyuruh kita solat tetapi membaca untuk mencari ilmu.

“Orang kita sekarang kebanyakannya mengaji tetapi tidak mengkaji, sebab itu mereka ikut sunnah secara ritual.

“Begitu juga dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan bukan saja perlu dibuat dengan betul tetapi betul-betul. Maknanya, apabila kita buat kerja, buat dengan betul dan ikhlas kerana istimewanya sesuatu pekerjaan apabila dibuat betul-betul,” katanya.

Beliau turut memberi contoh seorang sahabat Rasulullah SAW yang bersalaman dengan Baginda kemudian ditanya kenapa tangannya kasar. Sahabat itu memberi tahu tangannya kasar kerana memegang cangkul bercucuk tanam untuk memberi makan ahli keluarganya.

Lalu Rasulullah SAW mencium tangan sahabat itu sambil bersabda: “Tangan ini tidak akan disentuh api neraka. Itulah hasilnya apabila setiap pekerjaan itu dilakukan dengan betul dan betul-betul.”


Hasliza Hassan Berita Harian Online Agama 26/01/2013