February 6th, 2013

Murabbi, mujahid di jalan Allah

AL Allamah al Muhaddith al Musnid al Mujahid al Syarif Abu al Abbas Ahmad ibnu Muhammad al Syarif ibnu Muhammad Ali al Sanusi dilahirkan di Jaghbub Libya pada 1290 Hijrah bersamaan 1873 Masihi. Beliau ditarbiah dalam pangkuan bapanya, Sayyid Muhammad al Syarif sehingga menjangkau usia enam tahun dan kemudian diasuh pula oleh bapa saudaranya, al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi al Sanusi.

Beliau mula belajar dan menghafaz al-Quran denga bapa saudaranya tersebut sehingga telah menghafaz sebahagian besar ayat al-Quran. Kemudian bapa saudaranya itu, menyuruhnya mengkhatamkan hafazannya dengan syeikh dan imam di Jaghbub, Sayyid al Madani al Tilmasani.

Oleh kerana tidak mahu pembelajarannya dengan bapa saudaranya terhenti begitu sahaja, beliau akan membaca ayat-ayat al-Quran tertentu sehingga berjaya diijazahkan. Kemudian barulah dia menemui gurunya Sayyid al Madani.

Demikianlah yang dilakukan sehingga berjaya menyempurnakan hafazan al-Quran dan mendalaminya.

Setelah itu, beliau memulakan pembelajaran ilmu bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan dua orang gurunya iaitu Sayyid 'Imran ibnu Barakah al Faituri dan Sayyid Ahmad al Rifi yang merupakan murid terhebat datuknya, al Imam Sayyid Muhammad Ali al Sanusi.

Mereka berdua telah mengijazahkan beliau dengan segala riwayat yang pernah diijazahkan oleh datuk Ahmad Al Syarif, sama ada daripada aspek dirayah mahupun riwayah yang meliputi pelbagai bidang ilmu Islam.

Pengembaraan jihad

Sayyid Ahmad telah bermusafir bersama bapa dan bapa saudaranya dari Jaghbub ke Wahah al Kufrah pada 1312 Hijrah.

Setelah kewafatan bapanya di Jaghbub pada 1313 Hijrah, beliau kembali ke Kufrah serta tinggal di sana bersama bapa saudaranya, Sayyid Muhammad al Mahdi.

Pada 1317 Hijrah, beliau bermusafir dengan bapa saudaranya dari Kufrah ke Koro di Sudan dan menyertai jihad menentang tentera Perancis.

Selepas pemerintahan bapa saudaranya, beliau diberikan kepercayaan menggalas tugas berdakwah pada jalan Allah. Beliau berjihad menentang tentera-tentera Perancis di Chad, Sudan selama 10 tahun.

Kemudian apabila Itali menyerang Libya, beliau kembali ke tanah air untuk mempertahankannya dengan mengetuai jihad menentang penjajah.

Beliau sendiri telah menyertai peperangan pertama yang sangat masyhur pada hari Jumaat dan Allah telah memberikan kemenangan kepada tentera Muslimin.

Sekitar tiga tahun dari 1331 hingga 1333 Hijrah beliau terlibat dalam peperangan mengusir penjajah dan menyertai tentera mujahidin seperti peperangan di Bezafim, Sawani, Mu'aizil dan di Wadi Qamar.

Apabila terjadi pertempuran antara beliau dengan tentera Inggeris yang menjajah Mesir, tempatnya diambil alih oleh sepupunya Sayyid Muhammad Idris al Mahdi sebagai khalifah yang akhirnya ditabalkan sebagai Raja Libya yang pertama.

Kemudian Sultan kerajaan Uthmaniah mengundang Sayyid Ahmad menziarahi Istanbul. Semasa berada di sana, beliau telah ditawarkan kedudukan sebagai Naib Khalifah Uthmaniah, tetapi menolaknya dengan baik.

Kemudian beliau keluar dari Istanbul menuju ke Syria. Dalam perjalanan tersebut, beliau menziarahi Baitul Maqdis kemudian menuju ke Mekah menunaikan haji dan menziarahi Taif seterusnya ke Yaman untuk menziarahi makam al Imam Sayyid Ahmad ibnu Idris.

Beliau juga tinggal di sana beberapa ketika bagi menguruskan perjanjian damai antara Penguasa Hijaz dan Najd iaitu Raja Abdul Aziz al Sa'ud dan Sayyid al Hasan al Idrisi yang merupakan Penguasa 'Asir.

Di antara karamahnya, beliau mempunyai firasat yang sangat tajam. Beliau pernah mengkhabarkan bahawa tentera-tentera Itali akan keluar meninggalkan Libya setelah dikalahkan dalam keadaan makanan-makanan mereka sedang dimasak di dalam periuk dan ia sememangnya berlaku seperti dikatakan.

Pada 1345 Hijrah, beliau kembali ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah kemudian menuju ke Madinah dan tinggal di sana.

Pada hari-hari terakhir kehidupannya beliau diserang sakit kuat dan demam berlarutan. Keadaan kesihatannya bertambah teruk pada awal musim sejuk bulan Ramadan dan hanya dapat berpuasa selama 10 hari.

Pada 20 Ramadan 1351 Hijrah bersamaan 1933 Masihi, separuh badannya lumpuh dan beliau tidak boleh bercakap selama seminggu.

Kemudian beliau dapat bercakap semula dan mewasiatkan kepada keluarga dan kekasih-kekasihnya yang datang berkumpul.

Setelah itu, penyakitnya nampak agak berkurangan sehingga keluarganya benar-benar berharap beliau sembuh.

Beliau mengerjakan solat sambil duduk dan meminta kekasih-kekasihnya yang hadir supaya membaca beberapa ayat al-Quran seperti Yasin dan qasidah-qasidah yang berkat seperti al Hamziah dan Burdah karya al Imam al Busiri.

Setelah selesai solat Jumaat mereka pun berkumpul di sekelilingnya seperti mana kebiasaan untuk menggembirakan dan menenangkan beliau.

Sayyid Ahmad pun tersenyum kemudian badannya menggeletar dan menggigil. Tidak lama selepas itu, beliau senyap dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi kerana disangkakan tidur atau pengsan.

Sehinggalah doktor mengesahkan kewafatannya iaitu pada pukul 1 petang, Jumaat 13 Zulkaedah 1351 Hijrah bersamaan 9 Mac 1933 Masihi di Zawiyah Sanusiah, Madinah al-Munawwarah.

Setelah dikafankan, ramai datang berpusu-pusu sehingga tidak terkira dan mereka bersesak-sesak untuk mengusung jenazahnya.

Ketika hayatnya, beliau pernah berfirasat bahawa beliau akan disemadikan di al Baqi'. Firasatnya itu tepat dan benar apabila beliau selamat disemadikan di al Dakkah berhampiran dengan pintu tanah perkuburan al Baqi' Madinah di antara makam Sayyidina Ibrahim ibnu Rasulullah SAW dan makam Imam Malik ibnu Anas.

Pemergiannya diiringi dengan pelbagai ucapan dan syair rintihan. Sesungguhnya beliau telah berjihad dan mengorbankan jiwa dan raga pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad.

Beliau pergi dalam keadaan tangannya tidak pernah menyentuh harta, emas ataupun perak.

Setinggi manapun pujian yang cuba diungkapkan bagi menggambarkan keindahan dirinya tetap tidak dapat menggambarkan tentang dirinya yang sebenarnya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/02/2013

Keras hati satu celaan

DALAM kitab Sahih Al-Bukhari, terdapat satu kisah yang pengajarannya sangat penting untuk kita renungkan bersama.

Seorang laki-laki dari Mesir datang kepada Ibnu Umar untuk bertanya tentang Khalifah Usman bin Affan. Rakyat Mesir pada saat itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan merencana untuk memberontak kepada kerajaan.

Orang itu berkata: "Benarkah bahawa Usman melarikan diri pada perang Uhud?"

Ibnu Umar menjawab: "Ya."

Orang itu bertanya lagi: "Benarkah ia juga tidak hadir pada perang Badar?"

Ibnu Umar menjawab: "Ya."

Berkata lagi orang itu: "Benarkah bahawa dia juga tidak hadir pada peristiwa Bai'atul-Ridwan?" Sekali lagi Ibn Umar menjawab: "Ya."

Orang itu segera bangkit sambil bertakbir: "Allahu Akbar."

Dia menyimpulkan bahawa kebenciannya kepada Khalifah Usman memang beralasan dan menjadi semakin yakin Khalifah Usman adalah seseorang yang tercela kerana maklumat yang telah disahkan oleh Ibnu Umar tadi.

Melihat gelagat tidak kena ini, Ibnu Umar berniat meluruskan kefahaman. Beliau memanggil kembali orang itu dan berkata: "Ke sinilah kamu agar aku jelaskan perkara sebenarnya. Usman memang melarikan diri daripada perang Uhud, namun aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkannya (sebagaimana firman Allah di surah Ali Imran: 155).

"Ia memang tidak hadir pada perang Badar, namun itu kerana isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah SAW tengah sakit. Baginda memerintahkan Usman merawat isterinya dan bersabda: "Kamu berhak mendapat pahala dan rampasan perang seperti orang yang menghadiri perang Badar."

"Ia memang tidak hadir pada Bai'atul-Ridwan, namun itu kerana Rasulullah telah mengutus beliau ke Mekah. Andai ada orang lain yang lebih dihormati di Mekah daripada Usman, nescaya baginda akan mengutus orang itu."

Selepas penjelasan ini, persepsi tentang Khalifah Usman berbalik 180 darjat. Beliau sama sekali bukan orang yang buruk, malah tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW.

Ibnu Umar lalu berkata: "Sekarang, pergilah engkau membawa maklumat ini."

Jangan cepat menghukum

Saya menyimpulkan pengajaran yang sangat berharga daripada kisah ini, iaitu jangan mudah menghukum atau menilai sebelum difikirkan seluruh aspeknya.

Seringkali kita bersikap seperti laki-laki dari Mesir ini. Kita cepat menilai dan menghukum seseorang dengan maklumat yang tidak sempurna. Kita hanya mendengar daripada satu sudut, lalu tergesa-gesa menarik kesimpulan. Tergesa-gesa menyimpulkan hanya akan melahirkan kesimpulan tergesa-gesa.

Berkata 'Amr bin Al-'As (seorang sahabat Nabi SAW): "Seseorang hanya akan memetik buah penyesalan daripada sikap tergesa-gesa."

Islam sangat membenci sikap terburu-buru (al-'ajalah). Sebaliknya, Islam sangat menganjurkan bertenang (al-anah) dalam setiap perkara. Itu sebabnya, Islam memberi kesempatan cerai (talak) hingga tiga kali.

Islam juga memberi kesempatan bagi pasangan yang bercerai untuk memikirkan kembali keputusannya dengan meletakkan hukum 'iddah. Begitu juga berbagai hukum-hukum Islam lainnya yang terlalu banyak untuk disebutkan di sini.

Semua ini mengajarkan kita agar kita tidak berucap atau bertindak sebelum memikirkan semua masak-masak semua aspek dan kesannya.

Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/02/2013

Batas aurat Muslim

SESUATU yang harus ditutupi oleh seseorang kerana merasa malu atau rendah diri jika dilihat atau diketahui oleh orang lain disebut aurat. Aurat berasal daripada bahasa Arab aurah. Secara harfiah aurah bererti terbuka, kemaluan, telanjang, aib, cela dan cacat.

Aurat yang terbuka biasa mengundang nafsu berahi orang yang melihatnya sehingga mengundang perbuatan yang tercela.

Ulama sepakat bahawa menutup aurat wajib hukumnya, baik lelaki mahupun perempuan, terutama yang telah dewasa.

Meskipun demikian, memperlihatkan aurat kepada muhrim atau suami isteri hukumnya mubah (boleh). Begitu pula untuk hal-hal darurat, seperti ketika berubat yang mengharuskan si pesakit memperlihatkan auratnya.

Salah satu surah yang digunakan para ulama untuk menetapkan hukum menutup aurat adalah surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.

Sebahagian ulama, terutama dalam mazhab Hanafi, berpendapat suara perempuan merupakan aurat. Hal ini didasari oleh firman Allah SWT yang bermaksud: …Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan…

Menurut mereka, membunyikan kaki saja tidak boleh, apatah lagi mengeluarkan suara yang dapat mengundang fitnah dan nafsu berahi.

Adapun ulama Mazhab Syafie berpendapat suara perempuan bukan aurat. Kerana itu, mereka berhak ikut dalam berbagai kegiatan, seperti jual beli.

Bahkan, isteri-isteri Nabi Muhammad SAW juga banyak yang meriwayatkan hadis dan mengajarkan agama kepada semua orang.

Batas aurat


Setiap yang mengakui dirinya Islam dituntut agar berusaha menjadi Muslim sejati. - Gambar hiasan

Para ulama berbeza pendapat tentang batas aurat laki-laki dan perempuan. Menurut Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Syafie, batas aurat lelaki ialah anggota tubuhnya antara pusat dan lutut, sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Paha adalah aurat. (riwayat Bukhari)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa aurat lelaki adalah kemaluan. Ini didasarkan pada hadis daripada Anas bin Malik bahawa: Nabi pernah membuka pahanya ketika beliau duduk bersama para sahabat. (riwayat Bukhari)

Batas aurat perempuan, menurut jumhur ulama adalah seluruh tubuhnya, termasuk muka dan kedua-dua telapak tangannya, bahkan kukunya.

Pendapat lain mengatakan bahawa aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua telapak tangannya. Imam Hanafi berpendapat bahawa kaki perempuan tidak termasuk aurat.

Setiap Muslim wajib menutup auratnya dengan cara berpakaian.

Ajakan bertaubat merupakan isyarat bahawa pelanggaran besar mahupun kecil terhadap tuntutan memelihara pandangan kepada lawan jenisnya tidak mudah dihindarkan oleh seseorang.

Kerana itu, setiap orang dituntut untuk berusaha sebaik-baiknya dan memohon ampun kepada Allah s.w.t atas kesalahan yang dibuatnya.

Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/02/2013

Kaki terbakar di Mekah

RAMAI daripada kita pastinya menanam keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, waima ada sekelumit ketakutan di dalam diri kiranya kehadiran sebagai tetamu Allah itu diuji dengan pelbagai ujian dan kifarah.

Namun bagi ahli perniagaan, Tuah Borhan, 42, ibadah umrah yang dikerjakan kali kedua serta haji itu perlu dikongsi dengan khalayak umum. Bukan bermaksud untuk membuka aib diri, namun kisah yang ringkas ini akui Tuah telah meninggalkan makna yang besar dalam kehidupannya. Lebih-lebih lagi dalam soal menjaga hubungan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa yang semakin sudah terhakis masa kini.

"Selagi tidak berlaku ke atas diri atau tidak kena batang hidung sendiri, kadang-kadang kita tidak percaya, walaupun ada ditegaskan di dalam al-Quran iaitu yang bermaksud: ...maka sekali-kali janganlah kami mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"...," katanya memulakan bicara malam itu di rumahnya, baru-baru ini.

Sambung Tuah, pada masa itu, kira-kira tujuh tahun lalu, dia menunaikan umrah bersama kakak dan arwah ibunya. Dia pula waktu itu, berniat membuat badal umrah untuk arwah bapa.

"Alhamdulillah, pakej yang saya ambil itu penginapannya hampir dengan Masjidil Haram, dalam 15 meter sahaja jaraknya.

"Selepas tawaf, saya terasa hendak ke tandas. Jadi saya beritahu arwah emak dan kakak yang saya mahu balik ke bilik memandangkan hotel penginapan yang dekat.

"Nak dikatakan cuaca panas sangat tidaklah juga kerana baru pukul 10 pagi. Pada masa yang sama, arwah emak menyuruh saya ambil selipar dahulu daripada kakak.

"Ahh tak pe lah, luar tak panas," spontan kata-kata itu terpacul lancar daripada mulut Tuah sambil dia berlari-lari anak menuju ke Pintu Madinah dan kembali ke hotel.

Kata orang tua-tua, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Mungkin banyak kebenarannya, begitu juga yang dialami Tuah.

"Sebaik keluar dari Masjidil Haram dan sebaik kaki ini memijak tar jalan, saya terasa sedikit panas. Awalnya, saya menganggap ia untuk sementara, dek kerana matahari sudah mula meninggi.

"Tetapi makin lama, rasa panas seperti terbakar itu tidak kurang-kurang. Malah berlarutan selama beberapa hari. Saya mula rasa tidak selesa, apa lagi tapak kaki saya sudah bertukar warna kemerah-merahan.

"Peliknya pula, rasa panas itu akan hilang apabila saya menunaikan solat. Selesai memberi salam, panasnya terasa balik," akui Tuah yang juga terpaksa berjingkit-jingkit kerana tidak selesa dan sakit.

Situasi itu membuatkan Tuah mula mengandaikan pelbagai kemungkinan. Mulanya mungkin merasakan kerana kesan daripada terlalu banyak bergerak menyebabkan kakinya berkeadaan begitu.

Apa tidaknya, pada usia pertengahan 30-an, dengan kudrat muda dan semangat membara, dia mampu melaksanakan umrah sebanyak tiga kali dalam sehari. Jika difikir-fikirkan ini juga bukan alasan kukuh kepada masalah yang dihadapi.

"Saya sampai putus punca dan terus tergerak berjumpa dengan mutawwif. Soalan pertama yang ditanya, "Datang dengan siapa?" Saya jawab: "Kakak dan arwah emak."

Kemudian dia meminta saya memikirkan, sekiranya saya ada berbuat kesalahan pada arwah emak. Kemudian ditanya pula pekerjaan saya, ini ibadah kali ke berapa atau ada tidak saya membawa pesanan orang serta? Saya jawab, saya ke tanah suci untuk membuat umrah dan mendapatkan keredaan Allah SWT.

"Lama juga kami berbincang, sudahnya ustaz menyuruh saya bertanyakan kepada ibu, mana lah tahu, kalau-kalau ada. Saya melakukan apa yang disuruh dan arwah emak berkali-kali menegaskan yang saya tidak ada dosa padanya. Tetapi hairannya, rasa panas pada kaki tidak juga hilang-hilang," ceritanya sesekali bergenang air mata.

Apabila tidak ada perubahan, Tuah ditemani mutawwif, melakukan solat taubat pada tengah malam itu dan dia telah diajarkan sepotong ayat suci al-Quran.

"Sekali lagi saya tanyakan pada arwah emak, apabila melihat dia masih berjaga. Tiba-tiba arwah emak seakan baru teringat sesuatu. Lantas berkata yang dia sedikit tersentuh sewaktu saya katakan "ah' bila disuruh mengambil selipar daripada kakak tempoh hari.

"Saya peluk arwah emak dan meminta maaf. Kami sama-sama menangis. Arwah emak terus bersuara, emak ampunkan kau dan emak redakan kau." Habis kata-kata itu, serta-merta rasa panas di kaki Tuah hilang.

Berhenti merokok

Ujian sekali lagi menjentik Tuah. Kali ini ketika dia menunaikan haji pada 2007. Untuk makluman semua, Tuah sebelum ini dikategorikan sebagai perokok tegar. Dalam sehari dia boleh habiskan dua kotak rokok bersamaan dengan 40 batang.

Apabila menyedari akan lama berada di Mekah serta rokok bebas cukai, biasanya kurang sedap, jadi Tuah telah membawa bekalan rokok yang banyak. Takdir Allah tiada siapa dapat menghidu.

"Dua tiga hari sebelum ibadah wukuf di Arafah, saya diserang asma yang teruk. Tidak dapat saya banyangkan betapa berat serta sakitnya dada ketika itu. Rasa macam nak pecah dan menyesakkan.

"Memanglah dalam keturunan kami ada sejarah asma, tetapi kalau kena asma ketika di tanah air, tidaklah seteruk macam di Mekah. Ambil ubat atau ambil inhaler sudah kurang. Ini tidak, puas diusahakan macam-macam, kurangnya pun tiada," kata Tuah.

Fikirannya pada saat itu cukup terganggu apatah lagi mengetahui, jika wukuf tidak sempurna, maka tidak lengkaplah ibadat haji dan entah bila akan dijemput semula.

"Saya gagahkan diri bertemu dengan mutawwif. Soalan pertama yang ditanya, "Adakah ibu masih hidup? Lantas dia menyuruh saya menghubungi dan memohon maaf. Akur dan dalam kejauhan itu, emak sempat berpesan supaya saya berhenti merokok dan dia akan sentiasa berdoa yang terbaik buat saya," kata Tuah dengan suara terhenti-henti menahan kesedihan, apatah lagi baru kehilangan insan tersayang itu pada 31 Disember lalu.

Doa ibu dan keazamannya itu dimakbulkan, alhamdulillah sehingga ke detik ini, dia tidak lagi menyentuh rokok serta tidak lagi diserang asma.

Mendengar perkongsian dua kisah ini, saya turut terharu dan mengucap syukur. Memang benar dan tidak dapat disangkal akan keberkatan Tanah Haram.

Apa yang kita minta dengan ikhlas, pasti akan dimakbulkan, lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan ibu, di mana syurga itu di bawah tapak kakinya.

Semua yang terjadi yang diberikan secara tunai, sebenarnya tersirat beribu hikmah dan nikmat.



ZUARIDA MOHYIN Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/02/2013 

Bahana kalau terlebih seronok

MUTAKHIR, penularan budaya Hedonisme, yang mementingkan keseronokan atau kesenangan sebagai pegangan hidup, dikenalpasti antara punca ramai remaja kian rapuh semangat jati diri dan pegangan agama di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamariah Kamarudin, baru-baru ini telah merungkai isu hedonisme dan kesannya.

Menurutnya, hedonisme ialah satu aliran pemikiran yang beranggapan bahawa kenikmatan dan kesenangan menjadi matlamat utama kehidupan bagi seseorang.

Perkataan hedonisme itu telah mula dipakai sejak zaman Yunani iaitu zaman yang melahirkan ramai tokoh falsafah terkemuka seperti Socrates.

Hari ini di Malaysia, kesenangan dan kenikmatan dalam kalangan remaja adalah antara yang patut dipersalahkan berlakunya hedonisme.

Dr. Kamariah berkata, jika diteliti hedonisme adalah satu daripada cabang fahaman sekularisme yang menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan.

Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas daripada unsur ketuhanan.

Menurut beliau lagi, satu daripada keburukan dan bahayanya hedonisme ialah ia boleh menyebabkan penentangan dan perpecahan antara satu sama lain.

"Contohnya seorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala individu lain menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan, katanya.

Bagaimanapun generasi muda di Malaysia telah didedahkan kepada doktrin hedonisme secara tidak disedari.

Dr. Kamariah menjelaskan bahawa Islam menentang pemikiran-pemikiran yang cuba mengganggu umat Islam. Sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan akidah umat Islam.

"Hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan akidah Islam meletakkan al-Quran dan Sunah sebagai paksi pemikiran," jelasnya.

Selain itu, dalam pengertian 'kebaikan' terhadap individu, pandangan Islam amat bertentangan dengan konsep 'kebaikan' dalam Hedonisme.

"Islam melihat konsep 'kebaikan' adalah melibatkan pembangunan ummah yang memberi fokus kepada aspek ketuhanan atau kerohanian agar manusia bukan sahaja mendapat 'kebaikan' di dunia tetapi juga 'kebaikan' di akhirat. Manakala 'kebaikan' yang dibawa hedonisme adalah apa-apa yang berbentuk keseronokan," tambahnya.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya melainkan sakit tua dan mati. Bezanya masa yang diambil untuk menyembuhkan sesuatu penyakit akan mengambil masa yang lama.

Oleh itu, beliau berkata, perlunya penyaringan pembacaan yang baik untuk dihadam oleh anak muda dan menjadikan 'budaya membaca sebagai budaya menyeronokkan'.

"Lantaran kerana mudah tergoda dan terpengaruh dengan anasir luar, maka pemikiran anak muda yang dijajah perlu diberikan pertumbuhan pembacaan sejak kecil.

"Perlu bangunkan diri anak dengan bahan bacaan yang bercorak agama, falsafah dan sejarah selain karya kreatif yang menampilkan isu-isu besar dan berguna agar pemikiran mereka lebih kritis, kreatif dan inovatif," katanya.

Dr. Kamariah berkata, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang amat dituntut agar anak memiliki jiwa besar, berdaya saing dan berkeyakinan dalam apa jua cabaran.

"Tumpuan kepada peperiksaan sahaja perlu ditukar kepada yang berorientasi ilmu agar ilmu yang diperoleh sama ada di sekolah atau universiti dapat dimanfaatkan dengan baik dalam kehidupan.

"Pendidikan memainkan peranan utama, iaitu dengan menyuakan anak sejak dari kecil agar cintakan nusa, agama dan bangsa secara utuh. Dengan ini mereka akan berjiwa besar dan berusaha untuk menjaga nama baik keluarga," katanya.

Pendedahan kepada tokoh-tokoh falsafah Islam dan penceritaan tentang sirah Nabawi perlu dipasak dalam diri anak.

Andai berkemampuan, bagi Dr. Kamariah, membawa anak ke Tanah Suci untuk ibadah umrah atau melancong ke negara-negara peninggalan tamadun Islam seperti Sepanyol, Turki dan sebagainya agar mengambil iktibar kisah, semangat, kehebatan dan kegemilangan Islam.

"Jadikan Rasullah SAW sebagai qudwah hasanah (contoh teladan) dalam mengharung cabaran kehidupan. Malah jadikan al-Quran dan Sunah sebagai inspirasi dan motivasi untuk mentarbiah anak dalam kehidupan," kata beliau.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama o6/02/2013

Tak kenal maka tak cinta

TAK kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang selalu kita dengar yang menggambarkan bahawa cinta itu biasanya bermula dengan pengenalan. Keimanan yang sejati bukan sahaja dapat dilihat kepada keyakinan dan kepercayaan yang lahir daripada hati. Namun, dapat menghasilkan cinta yang hakiki sehingga sanggup berkorban untuknya.

Demikian juga keimanan kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja akan melahirkan keyakinan terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda tetapi akan melahirkan kecintaan terhadap peribadi dan sahsiah, lantas akan membentuk ummah yang sentiasa mengikuti sunnah.

Apatah lagi kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan antara bukti kesempurnaan iman.

Daripada Anas ra katanya: "Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya." (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Golongan yang sering melemparkan tuduhan serta cacian kepada Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengenali atau tidak berhasrat untuk mengenali baginda.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengkaji lebih mendalam, akan terpikat dan kagum dengan keperibadian baginda sehingga tidak tergamak untuk mencaci Baginda walaupun dengan sepatah perkataan sekalipun. (rujuk al-Taubah: 128)

Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia biasa yang diutuskan dalam kalangan kita. Baginda bukannya malaikat yang melangkaui batasan kemampuan manusia biasa sehingga tidak mampu dicontohi dan diteladani.

Walaupun baginda adalah manusia biasa, tetapi dikurniakan dengan keistimewaan tertentu yang membezakan baginda daripada manusia biasa seperti kita.

Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang perlu kita hayati agar dapat meningkatkan lagi rasa cinta kepadanya ialah baginda ialah pilihan dan lantikan Allah SWT.

Sebagai peringatan kita bersama, Nabi Muhammad SAW bukan dipilih oleh manusia, sama ada melalui proses syura atau pilihan raya. Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (Thaha: 13)

Oleh itu, wajib kita yakin dan percaya bahawa baginda adalah manusia yang terbaik kerana menjadi pembawa dan penyampai kalam Allah SWT yang dipilih sendiri olehNya.

Mempertikaikan kerasulan baginda seolah-olah mempertikaikan pilihan yang telah dibuat oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW juga dibangkitkan sebagai penghulu bagi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Telah menjadi syarat kepada keimanan kepada rasul iaitu dengan beriman dengan semua rasul yang diutuskan termasuklah Nabi Muhammad SAW.

Terdapat di kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabi-nabi terdahulu, namun enggan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW.

Maka, keimanan tersebut tidak diiktiraf oleh Allah SWT kerana tidak lengkap. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penutup kepada nabi dan rasul.

Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi. (riwayat Muslim)

Mukjizat adalah sesuatu yang berlaku kepada para Nabi di luar adat dan kebiasaan manusia biasa.

Ia dikurniakan oleh Allah SWT untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawa dan untuk memeliharanya dari halangan musuh-musuh.

Semua nabi dan rasul dikurniakan dengan mukjizat. Antara mukjizat yang terkenal ialah tongkat Nabi Musa as yang bertukar menjadi ular, Nabi Isa as yang boleh menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit buta, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi dengan jin dan binatang.

Namun, semua mukjizat tersebut hanya tinggal sejarah dan tidak dapat dilihat lagi pada masa ini.

Hanya satu sahaja mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia dipelihara oleh Allah SWT.

Tidak terkira bilangan orang yang telah memeluk agama Islam hanya dengan membaca terjemahan Al-Quran.

Apatah lagi sekiranya mengkaji rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya yang mendahului zaman, sains dan teknologi.


Mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini ialah al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan

Sampai hari kiamat, al-Quran terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja. (rujuk al-Isra': 88)

Baginda juga terlalu kasih kepada umat dan kita perlu sedar bahawa kehidupan Nabi SAW semuanya diinfakkan untuk kebaikan umat baginda.

Tidak pernah sedetik pun yang dilalui oleh baginda kecuali akan difikirkan tentang nasib umatnya. Bahkan, sebelum dijemput pulang oleh Allah SWT,

Baginda masih lagi menyebut "Umatku, umatku". Bahkan, Nabi SAW akan menggunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya untuk membantu umatnya di Akhirat kelak.

Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap Nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Berapa banyak peristiwa kekejaman yang berlaku terhadap baginda. Namun, Baginda SAW tidak pernah berdendam. Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda SAW telah membebaskan seluruh kafir Quraisy Mekah walaupun mereka pernah menganiaya Baginda dan para sahabat ra.

Demikianlah beberapa bukti kehebatan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, kekaguman kepada kehebatan ini tidak cukup, melainkan ia perlu disusuli dengan rasa kasih dan cinta kepada Baginda SAW.

WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/02/2013


Waqaf jaga makna al-Quran

RAMAI mengetahui apabila disebut ilmu tajwid, terlintas di pemikiran bahawa itu adalah ilmu berkaitan sifat huruf, makhraj huruf, izhar, idgham, mad wajib dan sebagainya. Kebanyakan guru al-Quran memberi tunjuk ajar dalam ilmu tajwid tertumpu kepada istilah yang disebutkan di atas.

Hakikatnya, ilmu tajwid juga merangkumi waqaf dan ibtida dengan maksud manakah kalimah sesuai untuk berhentikan bacaan dan di manakah kalimah yang sesuai untuk meneruskan bacaan kembali.

Para sahabat menekuni ilmu waqaf dan ibtida dengan bersungguh-sungguh dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari hukum halal dan haram dalam al-Quran. Abdullah Ibnu Umar ra berkata: "Sesungguhnya kami pernah hidup sedikit masa lalu di mana kami dikurniakan iman sebelum al-Quran. Surah-surah al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad lalu kami mempelajari hukum halal dan hukum haram di dalamnya, arahan dan tegahannya dan kami juga mempelajari apa yang perlu waqaf ketika membacanya."

Syeikh Mahmud Khalil al-Husari ketika menghurai hadis ini menyatakan amat jelas menunjukkan para sahabat mempelajari waqaf sebagaimana mereka belajar kandungan al-Quran.


Umat Islam perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. - Gambar hiasan

Seorang penceramah ilmu tajwid dalam syarahannya menjelaskan, jika pembaca al-Quran waqaf tanpa mengikut kaedah yang tempat seumpama ayat Melayunya, John minum susu kambing dalam gelas. Kalau pembaca berhenti, John minum susu, kemudian disambungkan kambing dalam gelas ini memberi maksud dua perkara yang berbeza.

Pertama cerita tentang orang minum susu dan keduanya, cerita kambing dalam gelas yang mustahil berlaku.

Kepentingan

Kepentingan waqaf adalah untuk menjaga makna al-Quran. Jika waqaf dan ibtida tidak dijaga ketika membaca al-Quran terkadang maknanya berubah menjadi sebaliknya sebagai contoh ayat tujuh surah Fatir bermaksud: Orang-orang kafir mereka dikenakan azab yang pedih dan orang-orang beriman yang beramal soleh mereka memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar.

Dalam al-Quran ayat di atas ini, terdapat tanda waqaf pada makna kalimah azab yang pedih tetapi jika pembaca tidak mengikut tanda waqaf dengan membaca dari mula ayat dan berhenti pada makna kalimah dan orang-orang yang beriman. Sudah tentu maksudnya azab yang pedih dikenakan kepada orang kafir dan juga orang beriman. (Nauzubillah)

Ramai ulama yang menulis kepentingan waqaf antaranya ialah Abu Hatim yang menyatakan barang siapa tidak mengenali waqaf, ia tidak mengenali al-Quran. Ibnu al-Anbari juga menyatakan antara tanda seseorang mengenali al-Quran ialah menguasai ilmu waqaf dan ibtida.

Imam al-Huzali dalam kitabnya al-Kamil menyatakan waqaf pakaian bacaan, hiasan pembaca, penyampai pembaca, memberi faham kepada pendengar, kebanggaan si alim, dengannya membezakan dua makna yang berlainan, dua makna yang bertentangan dan dua hukum yang berbeza.

Lantaran itu, kita semua perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. Selain itu, pembaca al-Quran juga perlu memahami fungsi tanda waqaf yang ada bertaburan dalam al-Quran.


KHAIRUL ANUAR MOHAMAD  ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/02/2013


Nilai-nilai budi bahasa kian teruk, pulihkan sebelum terlewat

MEWUJUDKAN sekolah budi bahasa? Bagi sesetengah pihak, cadangan ini bunyi macam sudah tak ada kerja, saja-saja mahu cari kerja dan tambah kerja.

Ada yang tertanya-tanya, perlukah diadakan sekolah seperti ini? Sedangkan banyak lagi sekolah dan bidang lain boleh diwujudkan. Tidak cukupkah soal budi bahasa ini diajar di peringkat sekolah biasa atau di rumah?

Namun apabila melihat apa yang berlaku pada sekeliling kita, tidak kiralah di tempat awam, tempat kerja, jalan raya atau melayari laman-laman sosial memang ada kewajaran kita mempunyai sekolah seperti ini.

Cuma kita mahu tahu perjalanan dan mekanisme sekolah itu bagaimana. Guru atau cendekiawan seperti mana yang diperlukan sebagai tenaga pengajarnya dan jika saranan itu jadi kenyataan, adakah sekolah berkenaan akan benar-benar memberi kesan dan sampai kepada tujuannya dan pada masa sama tidak berlakunya pertindihan fungsi guru.

Apabila saranan ini dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah budaya tinggi dalam masyarakat, cadangan seperti ini janganlah terus dipandang remeh.

Meningkatkan budi bahasa dalam kalangan kita bukan perkara yang boleh diringan-ringankan.

Menghadapi orang sekeliling dalam keadaan iklim seakan-akan kontang budi bahasa ini lebih-lebih lagi apabila berdebat dalam isu-isu yang boleh saja dipolitikkan- yang mana orang yang tinggi pendidikannya pun boleh mengeluarkan kata-kata kesat, kita perlu akui ketiadaan budi bahasa ini boleh mengeruhkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat.

Tidak perlu pergi jauh, dengan rakan-rakan sekeliling kita pun ia boleh saja menimbulkan hubungan tegang, sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, tidak pasal-pasal dek kerana kerenah dan isu yang dicetuskan oleh parti-parti politik ini, kita yang hilang kawan dan senang-senang sahaja mendapat musuh.

Yang peliknya, ini yang dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi. Apa pula yang akan berlaku jika nilai-nilai keintelektualan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia ini tidak dapat diseimbangi dengan nilai-nilai kemanusiaan?

Budi bahasa adalah keperluan dan pembentukan asas dalam diri. Kalau kita ada budi bahasa dan menghormati semua orang, tidak kira apa peringkat, bangsa dan dalam menghadapi apa jua perbezaan-perbezaan lainnya, segalanya akan jadi lebih mudah.

Jika kita mahu anak-anak kecil kita tidak berlaku biadab, kita yang perlu memberi tunjuk ajar dan teladan kepada mereka. Sudah tentu, kita akan terasa sakit dan malunya, jika anak-anak kita dikata tidak beradab. Sedangkan, kita boleh saja menutup sebelah mata, dengan apa yang kita lakukan dan katakan.

Malaysia juga pernah disenaraikan oleh Reader‘s Digest sebagai antara negara yang paling biadab di dunia. Ia diambil kira daripada tinjauan di tempat-tempat awam di negara ini.

Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya.

Dalam pada itu, rakyat kita merokok di zon larangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan “terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.

Tidak kiralah tepat atau tidak, atau sama ada penyelidikan dilakukan secara rambang, sebagai rakyat Malaysia yang waras pemikirannya, sudah tentu kita tidak mahu negara yang kita cintai ini dicap begitu.

Tentu saja mengejar status negara maju akan jadi pincang dan tidak seimbang sekiranya, rakyatnya sendiri rendah budi bahasanya, kemarau dalam amalan-amalan nilai murni, dan apatah lagi hendak dipandang sebagai mempunyai sahsiah budaya bangsa yang disegani. Maka, mewujudkan sekolah budi bahasa, berkempen, atau apa jua usaha ke arah mengangkat budi bahasa, tidak harus dipandang ringan, diperlekeh dan dijadikan bahan gurauan.

Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.



Fauziah Arof Utusan Malaysia Online Rencana 06/02/2013