February 11th, 2013

Kolotkah jika percaya ada hantu?

SUASANA di sekitar asrama sunyi. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman sempena cuti umum yang panjang. Yang tinggal ialah pelajar Sabah dan Sarawak. Ketika itu tiada syarikat penerbangan murah.

Bertentangan dengan asrama lelaki (agak jauh, sebenarnya) ialah asrama perempuan. Kelihatan sudah gelap. Nampaknya satu blok penghuninya sudah pulang. Menjelang 10 malam, saya mulakan kerja.

Saya tahu di bilik sebelah ada teman dari Sabah tapi disebabkan dia daripada fakulti lain, belum mesra lagi ketika itu untuk diajak tinggal sebilik. Lagi pun apa yang hendak ditakuti? Itu saya kata.

Sekitar 1 pagi, angin bertiup dingin nyaman masuk melalui panel tingkap besar. Dengan lagu I got the power oleh kumpulan Snap dimainkan perlahan di sisi, saya yakin boleh menghabiskan kerja sekolah yang sebenarnya ‘agak banyak’. Sesekali dari kawasan belukar di sebelah asrama perempuan, terdengar salakan anjing. Bunyi itu tenggelam dek lagu daripada radio.

Beberapa ketika kemudian, salakan itu makin kuat. Mungkin sekawan anjing sedang berjalan ke arah asrama, maklumlah bila tidak ramai penghuni, haiwan ini bebas merayap. Tetapi salakan kali ini begitu dekat. Seperti depan tingkap (bilik saya di tingkat dua). Salakan makin jelas. Dalam hati, anjing ni dah nampak ‘benda’. Menyumpah juga dalam hati.

Kemudian sesuatu yang tidak mahu berlaku, telah berlaku. Salakan terakhir ini panjang. Melolong. Sayu. Di kemuncak lolongan itu, suara anjing bertukar menjadi suara perempuan. Halus tapi ngeri. Serius ngeri. Sangat ngeri. Hinggakan semasa menaip cerita ini 22 tahun kemudian, saya masih boleh rasa bulu tengkuk meremang.

Hendak lari ke bilik teman di sebelah pun tidak berani buka pintu. Hendak melihat ke luar tingkap, maaf. Bila sudah sampai tahap panik, melilau cari ‘senjata’. Ada pisau pemotong kertas.

Fikir semula. Manusia pun tak mati ditikam pisau kecil, apa lagi hantu! Cari ‘senjata’ lebih panjang. Jumpa pembaris besi. Pun tidak yakin. Baru teringat al-Quran. Dalam almari. Duduk atas katil, baca.

Bila panik, bacaan pun lintang-pukang. Tau-tau, terlelap sampai pagi (dalam ketakutan maksimum). Saya terjaga bila sekumpulan ROTU lalu di hadapan asrama. Saya bangun, kemas beg dan terus pulang ke rumah kakak. Demam tiga hari!

Risiko

Bila bercerita kemudian kepada teman-teman sebilik, mereka tidak gelak. Masing-masing tahu risiko gelak akan boleh mengena mereka juga.

Cuma satu soalan saya tidak boleh jawab. “Kenapa tak jenguk ke luar tingkap? Tengok hantu...". Sampai sekarang saya tidak pernah lihat hantu dengan mata dan paling hampir hanyalah kena usik dengan ‘salakan anjing bertukar suara perempuan’. Ini antara sebab saya tidak menyukai filem genre seram atau hantu.

Ada pendapat merumuskan orang yang percaya pada hantu sebagai kolot dan tidak maju. Itu kata orang yang belum pernah kena usik. Bila sudah kena, rasailah gigil dan panik yang Alfred Hitchcock pun takkan boleh cetuskan dalam filem arahannya. Secara ringkasnya, kewujudan makhluk halus itu diperakui ada, dalam mana-mana agama dan kepercayaan.

Percaya pada kewujudannya tidak bermakna hingga patut menyembahnya. Dalam Islam, itu syirik. Menurut seorang ustaz, kuasailah ilmu yang terkandung dalam al-Quran, hanya dengan ilmu tersebut, mampu menyekat iblis dan syaitan daripada mempengaruhi, apalagi menakut-nakutkan manusia.

Maka apakah dengan mengaku percaya hantu wujud menjadikan kita kolot, tidak maju? Mungkin benar. Ini adalah kerana jika terlalu percaya dan takut, tentunya kebimbangan seumpamanya boleh menyekat kita daripada bekerja shift malam, misalnya.

Tetapi dari sudut lain, ketakutan pada hantu juga mendatangkan hasil pendapatan. Ada yang buat program TV mencari hantu. Ada yang jadi penangkap/penghalau hantu profesional. Ada yang buat filem bersambung-sambung pasal hantu. Ada filem hantu serius. Ada lawak. Semua buat duit hantu.

Bagi yang sinikal terhadap kewujudan hantu dalam kalangan masyarakat Malaysia, ketahuilah bahawa fenomena ini tidak terhad kepada kita semata-mata.

Satu kaji selidik di Amerika Syarikat baru-baru ini mendapati hampir separuh daripada rakyat negara kuasa dunia itu, percaya hantu itu wujud dan roh orang mati akan kembali ke sesuatu tempat atau keadaan.

Kaji selidik HuffPost/YouGov terhadap 1,000 orang dewasa pada 17 dan 18 Disember lalu, mendedahkan bahawa sebanyak 45 peratus percaya ada hantu. Sebanyak 64 peratus percaya ada kehidupan selepas mati dan 59 peratus mengatakan mereka tidak yakin mereka pernah melihat hantu manakala 43 peratus merasakan hantu atau roh boleh mencedera atau berinteraksi dengan manusia.

Kaji selidik ini juga menolak pandangan pengkritik yang menafikan kewujudan hantu, semata-mata hantu tidak boleh dibuktikan secara sahih. Yang nyata, persepsi orang ramai adalah berbeza.

Malah, hasil kaji selidik tersebut tidak jauh berbeza dengan kajian CBS News pada 2009 yang menunjukkan ‘hampir separuh daripada rakyat AS mengatakan mereka percaya adanya hantu. CBS News juga mendapati 78 peratus rakyat AS percaya ada kehidupan selepas mati.

Rumusannya, saya sendiri tidak pasti. Mungkin kita boleh kaitkan hantu ini seperti UFO. Ada gambar UFO tapi tetap misteri. Kita ada lihat hantu, ada gambar tapi tidak siapa mampu menulis tesis Phd mengenainya secara ilmiah. Walau apa pun, saya tidak berhasrat melihat hantu pada bila-bila masa akan datang.

Selamat Tahun Baru Cina kepada pembaca berketurunan Tionghua di seluruh negara! Kong Hee Fatt Choy!



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 10/02/2013

Kesan politik agama ke atas umat Melayu

KITA jarang mahu bersusah sedikit untuk mencari ilmu-ilmu tambahan yang mampu menjelaskan lagi pemikiran agama, misalnya dari segi falsafah amalan atau aspek lain yang sangat luas dalam Islam. Sebaliknya, kita lebih suka mengikut kata orang, khususnya orang yang kita tauliahkan sebagai ulama, guru mahu pun ustaz.

Islam adalah addin. Itulah yang selalu dikatakan dan dipersetujui semua orang.

Kalaulah benar-benar kita yakin bahawa ia adalah satu jalan hidup (bukan setakat jalan hidup dunia tetapi juga jalan hidup akhirat) adakah kita akan mengambil remeh, mengikut-ikut dan tidak pernah mempersoalkan, ataupun mengkaji ulang perkara yang kita dakwa sebegini penting.

Sebaliknya, kita lebih selesa menyerahkan urusan memikirkan agama kepada beberapa orang yang kita anggap seakan-akan telah ditauliahkan Tuhan. Mereka ini memberitahu kita bermacam-macam perkara berkaitan dengan agama. Dalam pada itu, telah terbukti banyak pihak yang dimanipulasikan oleh individu yang menggunakan agama sama ada dalam bentuk bomoh, ustaz, mahaguru dan sebagainya akibat kepercayaan total yang diberi kepada kumpulan ini.

Kadang-kadang perbuatan atau ajaran mereka sampai kepada suatu keadaan yang sukar diterima akal sihat misalnya seorang 'ustaz' yang diminta berubat terlebih dahulu meminta habuan seks. Tapi, atas kecetekan agama, hal ini boleh terjadi.

Dalam hal yang lain, kita cenderung melihat orang agama adalah sebagai bukan manusia biasa berdarah berdaging. Mereka lebih suci berbanding orang lain.

Adakah kita harus menyerahkan seratus peratus urusan agama kepada kumpulan ini, yang kadang-kadang lebih suka menunjukkan keegoan agama berbanding kejujuran dalam beragama. Sukar dipercayai kalau seseorang yang mengaku ulama boleh menyatakan beliau lebih dekat dengan Tuhan berbanding orang lain, maka pandangan mereka lebih utama untuk didengar.

Dalam keadaan kecelaruan agama seperti yang terjadi sekarang, amat sukar untuk menemui seseorang yang bernafas dengan nafas agama. Kita boleh mendengar pandangan mereka kerana mereka sangat jujur, tanpa berselindung apa-apa kepentingan. Agak ironis apabila kita menemui wajah-wajah murni ini bukan pada seorang tok guru, ustaz atau ulama, tetapi mungkin sahaja kepada seseorang pentadbir ataupun seorang ahli perniagaan ataupun seorang pemimpin yang bukan tok guru.

Sebaliknya, apabila menemui orang agama, mereka akan memulakan bicara dengan menyebut politik "Islam", lalu seterusnya penuh dengan sindiran terhadap pihak lain yang kononnya penuh dengan kekotoran dan maksiat. Secara psikologi, pihak yang suka mengata kepada pihak lain biasanya merekalah yang berlebihan. Mengatakan hal yang buruk tentang orang lain pun sudah menunjukkan tidak jujurnya mereka kepada Allah SWT. Urusan seseorang dengan Tuhan adalah hal paling privacy antara individu itu dengan Tuhan dan tidak perlu mewakilkan kepada orang lain.

Di negara kita, ceramah agama lebih banyak digunakan sebagai medan berpolitik atas alasan 'politik tidak boleh dipisahkan daripada agama'. Seorang ulama politik, presiden sebuah parti Islam memberitahu khalayaknya suatu masa dulu, bahawa memisahkan keduanya boleh membawa kekufuran.

Ciri-ciri kiai pop kian popular di negara kita. Contohnya mereka begitu senang menggelarkan ulama yang tidak sehaluan sebagai ulama su'u atau 'syaitan bisu' serta mudah mengeluarkan fatwa pelik dan aneh sesuai dengan mood politik semasa. Mereka juga sanggup mengkafirkan orang Islam lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka menganggap diri mereka ialah orang yang serba tahu dan mampu menyelesaikan semua masalah di dunia dan di akhirat.

Fatwa parti

Ratusan orang bercakap atas nama Islam di negara kita. Parti Pas menggunakan nama Islam, sehingga sukar dibezakan masyarakat mana satu pandangan parti dan mana satu pandangan Islam. Fatwa berkawan dengan syaitan, boleh berkongsi nama 'Allah' ataupun 'Tuhan samseng' adakah merupakan fatwa Islam ataupun fatwa parti?

Pas sepanjang sejarahnya amat ketat memegang ideologi dan tidak menerima pandangan-pandangan lain. Seakan-akan mereka sahaja pemilik agama Islam dan memonopoli Tuhan. Pandangan agama kumpulan lain, termasuklah mufti dan majlis-majlis agama dianggap bukan pandangan Islam yang sebenar dan diusahakan supaya masyarakat menolak pandangan selain pandangan mereka.

Orang Melayu sangat sensitif dengan apa sahaja yang berbunyi agama. Manakala agama pula dikaitkan dengan budaya Arab. Kepada mereka, apa sahaja hal-hal berkaitan dengan Arab perlu dihormati. Pakaian Arab, bahasa Arab, tulisan Arab dan macam-macam lagi.

Pas dengan bijak mengeksploitasi kelemahan Melayu ini dengan memancarkan budaya 'kearaban' dalam pakaian, majlis, sebutan dan gelaran dalam parti mereka supaya ia meningkatkan lagi "keislaman' mereka berbanding kumpulan yang bukan 'kearaban'.

Orang Melayu juga tebal dengan kepercayaan tahyul, walaupun kita telah diajar berulangkali bahawa kepercayaan sedemikian boleh membawa syirik. Mereka menganggap tahyul sebahagian daripada agama kerana agama juga menyeru kepada kepercayaan alam ghaib, jin dan malaikat.

Mereka telah menyesuaikan kepercayaan animisme lama, puja pantai, bunian dan pelesit kepada campuran agama. Misalnya, suatu ketika dulu kita mengambil begitu banyak masa untuk membuktikan betapa bohongnya seorang imam muda yang mendakwa menanam mayat yang bertukar menjadi babi. Hanya kerana dia seorang imam, masyarakat lebih mempercayainya daripada mengkaji unsur logik dalam ceritanya.

Beliau menggunakan masjid untuk menyebarkannya. Cerita bohong itu lalu dirakam dan dijual. Setelah imam tersebut dipecat, maka Pas mengambil peluang dengan mengadakan road show membawa pembohong itu ke seluruh negara.

Suatu ketika yang lain pula, seorang ulama mengesahkan wajah seorang 'alim' yang dilihat di bulan. Sedangkan hakikatnya, guru dan anak-anak murid di salah sebuah sekolah memang telah dipengaruhi satu ajaran yang mengajar supaya taksub terhadap guru mereka. Namun, masyarakat percaya cerita-cerita begini kerana ia keluar daripada mulut orang yang ada autoriti agama.

Sebagai seorang guru, saya sentiasa ditanyakan oleh pelajar-pelajar saya yang pelbagai bangsa tentang hantu. Dalam memberikan kefahaman kepada mereka, saya selalu memberikan mereka satu aktiviti, iaitu dengan meminta setiap kaum melukis imej hantu kaum masing-masing. Bagaimana rupa hantu dari kaca mata India, Cina, Melayu mahupun Iban?

Sudah pastilah apa yang dilukis berupa hantu Melayu yang berhidung pesek, ataupun hantu Cina bermata sepet ataupun hantu pemotong kepala Iban jika pelajar yang melukisnya berketurunan Iban. Tujuannya untuk memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar itu bahawa hantu adalah ciptaan budaya masing-masing sebab itulah hantu yang tercipta itu mengikut budaya tertentu. Orang Melayu baru kenal hantu Jepun setelah negara dijajah tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Mengapa hantu Jepun tidak muncul lebih awal dari tarikh itu?

Kesimpulannya, dalam memahamkan agama kepada masyarakat perlu ditanam secara penaakulan. Agama tidak boleh diajar secara indoktrinasi ataupun diajar menggunakan kaedah popular seperti ceramah agama dan sebagainya seperti yang sudah kita terima secara turun-temurun.

Kita telah pun melihat kesan daripada kaedah pengajaran agama tersebut, maka kita perlu memikirkan kaedah untuk mengubahnya agar agama yang difahami generasi akan datang merupakan agama yang terkandung anasir rasional dan falsafah yang mendalam dan tidak mementingkan aspek-aspek ritual dan fikah semata-mata seperti yang kita lihat hari ini.



Zainudin Omar umarzain@yahoo.com   ialah Ketua Biro Media Baru, Kelab Tenaga Penggerak Biro Tatanegara (KERIS). Utusan Malaysia Online Rencana 10/02/2013

Sah Malaysia sebuah negara Islam

BERPEGANG pada dasar kepartian jumud, ada kalangan orang Melayu tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri yang mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam.

Di atas kenyataan tersebut maka ada kelompok Melayu yang mewakili sebuah parti menafikan hakikat ini. Mereka mengatakan sebaliknya yakni Malaysia bukan negara Islam. Pertembungan dua kefahaman ini mengakibatkan timbul kesan negatif terhadap Melayu dan Islam dalam negara ini.

Antara dua kefahaman tentang Malaysia sama ada negara Islam ataupun tidak merupakan satu polemik yang mesti dicari kebenaran. Mereka yang mendakwa Malaysia bukan negara Islam adalah kerana undang-undang jenayah yang melibatkan zina, minum arak, qazaf, mencuri, pemberontakan, murtad dan qisas yakni bunuh balas tidak berhukum dengan hukum Allah atau yang lebih sinonim dipanggil hukum hudud.

Maka disebabkan kerajaan Malaysia tidak melaksanakan hukum hudud ini, maka Malaysia tidak boleh dianggap sebagai negara Islam.

Apakah benar kriteria sesebuah negara Islam seperti yang mereka maksudkan? Apakah hukum hudud satu hukum Allah yang tertinggi?

Bahkan lebih dahsyat daripada itu, pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud dianggap telah mengingkari kewajipannya dan telah jatuh kafir dan perlu digulingkan. Apakah kefahaman ini juga benar?

Secara tegas dan jelas setiap hukum Islam yang fardu dan yang wajib jika seseorang itu mengingkari akan kefarduan dan kewajipannya maka telah ijmak para Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah akan kekafirannya.

Tetapi berbeza pula hukumnya kepada seseorang yang masih beriman akan kefarduan dan kewajipan sesuatu hukum walaupun dia tidak melaksanakannya. Dia tidak jatuh kafir.

Takrif Negara Islam

Bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan hal ini, apakah para ulama kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah tidak membincangkan atau membahaskan ciri atau kriteria sesebuah negara Islam? Jawapan ya, ada dan banyak sekali.

Antaranya penegasan oleh Imam Abu Bakar al-Isma'ili rahimahullah (wafat: 371H). "Dan mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama'ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara (daar) adalah negara Islam bukan negara kafir, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman." (Rujuk: Abu Bakr al-Isma'ili, I'tiqad A'immatul Hadis, ms. 31, Bab: Daar al-Islam - Maktabah Syamilah)

Bahkan majoriti ulama Ahli Sunnah wal Jamaah seperti Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, Imam Nawawi, Syeikh Nashiruddin al-Albani dan beratus-ratus lagi ulama salafi dahulu dan kini memberi kesimpulan berkenaan ciri-ciri sesebuah negara Islam di dalam kitab-kitab mereka melalui hadis-hadis Nabi SAW berkenaan kepimpinan dan negara.

Mereka telah menggariskan kriteria dan ciri-ciri utama sesebuah negara Islam itu ialah pemimpin utamanya seorang muslim dan majoriti rakyatnya beragama Islam, dilaungkan azan, didirikan solat jemaah dua Hari Raya setiap tahun dan solat Jumaat setiap minggu. Sekiranya ciri-ciri ini sudah terpenuhi maka wilayah atau negara tersebut adalah negara Islam.

Maka tidak bolehlah kerana Malaysia tidak dapat melaksanakan hukum jenayah Islam (hudud) maka gugurlah keislaman pada negara ini. Hal Ini adalah kefahaman yang tidak berteraskan kefahaman Islam bermanhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang betul.

Cuma apa yang perlu kita harapkan ialah kesempurnaan Malaysia sebuah negara Islam dengan berusaha memartabatkan semua hukum Allah dalam pentadbirannya. Hukum Allah bukan semata-mata hudud sahaja, bahkan hukum Allah meliputi segala apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang.

Rukun Islam Hukum Allah Tertinggi

Hukum Allah yang terbesar dan tertinggi adalah apa yang terkandung dalam Rukun Islam dan diikuti Rukun Iman. Manakala hukum Allah yang utama yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan adalah Rukun Islam yang pertama - kalimah "la ilahaillallah" atau nama besarnya adalah akidah dan tauhid kepada Allah.

Mana mungkin Malaysia bukan negara Islam sedangkan kita tidak dihalang atau terhalang untuk mendirikan solat bahkan bersolat dengan aman, di samping banyak masjid dan surau dibinakan agar kalimah Allah dapat disebarkan.

Tiada siapa yang memaksa kita supaya jangan berpuasa, kita bebas menunaikan rukun zakat dan disediakan pula kemudahan agar dapat menunaikan haji dan umrah saban tahun. Apakah kita tidak bebas dan dihalang daripada melaksanakan hukum-hakam dalam Rukun Islam ini?

Jadi di manakah silapnya kita, sehingga atas dasar sempit kepartian perpaduan Islam tidak dapat direalisasikan kerana suara-suara perpecahan berkumandang di atas nama Islam. Islam yang dilaungkan tetapi perpecahan yang terjadi.

Pas Salah Slogan

Silapnya Pas suka menonjolkan Islam yang berkaitan menghukum kesalahan orang sahaja, sedangkan Nabi dan para sahabat lebih menonjolkan Islam itu dengan rahmat dan pengharapan hidayah di samping taubat.

Fahamilah firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa melakukan perkara buruk atau menzalimi dirinya kemudian bertaubat, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah An-Nisa', ayat 110)

Salah kempen menyebabkan keburukan itu kembali kepada Islam. Islam yang syumul ini dilihat sempit kerana slogan orang yang lemah akal dan pengetahuan agamanya.

Misalnya apakah untungnya apabila mereka melaungkan Malaysia bukan negara Islam? Pasti ada yang mengambil kesempatan di atas slogan ini. Pernah ditanya kepada seorang murtad kenapa dia murtad? Dia menjawab sebab "Malaysia inikan bukan negara Islam maka tak ada masalah nak murtad".

Mungkin juga akan ada pihak mempertikai laungan azan, solat, puasa, zakat dan haji di atas slogan Malaysia bukan negara Islam bahkan sudah ada pun yang mempertikaikannya. Maka tidak hairanlah kalimah 'Allah' yang dituntut oleh orang Kristian dalam negara ini hasil slogan ini.

Jadi kita mesti bijak dalam beragama. Jika ditanya kenapa tidak boleh murtad, perlu mendirikan solat, perlu bayar zakat dan sebagainya di Malaysia ini, maka jawapannya adalah kerana Malaysia ini negara Islam. LGBT dan seks bebas juga tidak dibenarkan kerana Malaysia adalah negara Islam.

Bukan satu kebanggaan jika ramai dihukum pancung sebab murtad. Dipotong tangannya sebab mencuri atau dirotan 100 kali sebab berzina - itu baru boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam. Tetapi yang sebenar-benar lambang negara Islam itu dan kempennya ialah ramainya manusia bukan Islam memeluk agama Islam.

Sesungguhnya jika benar-benar rakyat beriman dan beramal soleh pasti Allah menguatkan Islam dan Melayu dalam negara ini. Berusaha ke arah perpaduan Islam adalah satu sunnah Nabi SAW dan hindarilah perpecahan yang bukan daripada ajaran Islam.

Penulis ialah Ketua Biro Massa Ilmuwan Malaysia (iLMU). E-mail: www.ilmuanmalaysia. com. Tweeter:@IlmuanMalaysia Utusan Malaysia Online Rencana 11/02/2103

Hindar keraguan elak terjerumus dosa

Allah menjelaskan menerusi surah an-Nur, ayat 15: "Kamu menganggap ia remeh padahal pada pandangan Allah itu soal besar."

Nu’man Basyir melaporkan: “Saya mendengar Nabi Muhammad SAW menerangkan: Percayalah perkara yang halal itu jelas. Perkara yang haram pun jelas juga. Antara perkara yang halal dan perkara yang haram, terdapat perkara yang samar. Majoriti manusia tidak dapat mengenal perkara yang samar.”

Sesiapa menghindari perbuatan yang samar, beliau sudah menjauhkan diri daripada perkara mencemarkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang melakukan perkara samar, beliau sudah terjatuh ke dalam perkara yang haram, ibarat mengembala dekat kawasan larangan, hampir saja ternakan makan di kawasan larangan itu.

Kawasan larangan Allah

“Ingatlah, semua raja mempunyai kawasan larangannya. Ingatlah, kawasan larangan Allah adalah perkara yang diharamkan-Nya. Ingatlah, dalam badan manusia ada seketul darah beku. Apabila benda itu baik, baiklah seluruh badan. Apabila ia rosak, rosaklah seluruh badan. Ingatlah benda itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas melaporkan: “Pada suat masa Nabi Muhammad SAW terjumpa sebiji kurma di tengah jalan lalu Baginda berkata: Andai kata saya tidak takut memikirkan ia termasuk dalam benda sedekah, pasti saya makan kurma ini.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hasan Ali melaporkan: “Saya hafal satu ucapan Nabi Muhammad: Jauhi apa-apa yang meragukan saudara. Beralihlah kepada apa yang tidak meragukan saudara.” (Riwayat oleh Tirmizi. Beliau berkata hadis ini hadis hasan sahih)


Sumber: Riyadus Solihin Taman Orang Soleh Berita Harian Online Agama Isnin 09 Februari 2013

Dakwah di facebook pikat remaja

Komuniti Young Daie dekati generasi Y

Kemunculan ramai pendakwah muda di pentas ceramah dan forum telah menyemarakkan lagi penyuburan risalah Islam di negara ini. Pendakwah muda seperti Ustaz Don, Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hizbur antara yang menjadi perhatian masyarakat serta mempunyai pengikut tersendiri.

Hasrat untuk melahirkan lebih ramai pendakwah muda sebagai pelapis menjadi titik tolak kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menganjurkan Konvensyen Pendakwah Muda ASEAN 2013.

Sama ada dengan komputer peribadi, laptop atau telefon pintar dan pemacu mainan seperti iPod dan iPhone, segala maklumat mudah diperoleh termasuk berkaitan Islam," Ali Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM

1,000 mahasiswa sertai konvensyen

Seramai 1,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara menyertai konvensyen dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Yayasan Taqwa, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Karangkraf dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sebanyak 30 IPT menghantar wakil antaranya Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Petronas dan Institut Pendidikan Guru. Universiti Negara ASEAN ialah tiga dari Brunei iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; dua dari Indonesia Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah dan Universitas Islam Bandung sementara dari Singapura, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Ali Mohammed, berkata fenomena ini adalah perkembangan positif bagi mendekati generasi Y melalui kaedah santai dan ringan untuk mengikuti kuliah agama termasuk melalui media sosial serta YouTube.

“Kini maklumat hanya di hujung jari menjadi gaya hidup masyarakat dan menjadi kegemaran anak muda. Pendakwah juga tidak terkecuali menjadi ikutan di ruang media sosial dan mempunyai berpuluh-puluh ribu pengikut.

“Muka surat peminat (fanpage) Imam Muda Asyraf diikuti lebih 400,000 pengikut, Ustaz Don Daniyal pula diikuti hampir 300,000 sementara Dr Zaharuddin Abd Rahman diikuti 30,000 pengikut. Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai pendakwah yang aktif menggunakan facebook dan teknologi sebagai medium baru dakwah,” katanya.

Antara tokoh akademik yang berkongsi pemikiran, pandangan serta aspirasi bersama pendakwah muda ialah Prof Datuk Dr Sidek Baba dari UIAM, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaysia Kelantan), Mohd Zaidi Ramly (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), Adnan Abd Hamid (Majlis Ugama Islam Singapura) dan Akmal Salim Ruhana (Penyelidik Kementerian Agama Republik Indonesia).

Bertemakan ‘Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah’ program itu turut mendapat sokongan remaja dan artis terkenal tanah air seperti Ana Rafali, Sham Kamikaze, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Hizbur.

Konvensyen ini memberi penjelasan berkaitan isu Islam di Malaysia dan Nusantara di samping membina kemahiran menjadi pendakwah muda profesional.

Persetujuan dicapai daripada konvensyen ialah membuka rangkaian komuniti Young Daie di facebook bagi mengumpulkan pendakwah muda selain menjadi wadah berdakwah di media sosial.

Wadah baru

Dr Abu Hassan Hasbullah, ketika membentangkan kertas kerja menyarankan mahasiswa menjadikan laman sosial medan dakwah baru.

Pada konvensyen itu juga peserta menyertai kempen Mahasiswa Menolak Valentine’s Day sebagai usaha menyedarkan remaja serta belia supaya tidak meraikan sambutan yang menyalahi syariat agama.


Berita Harian Online Agama 09 Februari 2013