February 14th, 2013

'Tetamu' tidak diundang

UJIAN diumpamakan tetamu yang tidak di undang bagi semua manusia tidak kira Islam mahupun tidak. Majoriti manusia tidak suka dan tidak mahu diuji, mendapat bencana, kesusahan dan sebagainya. Mahu atau tidak, kita semua pasti di uji oleh-Nya. Ujian tersebut sama ada dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan.

Lantaran itu, setiap ujian, sama ada besar atau kecil meliputi, kesusahan, penderitaan dan juga kesenangan yang datang perlu disambut dengan sifat sabar. Barulah kita nampak hakikatnya, kedatangan ujian itu untuk mendidik dan mengajar bagaimana cara kita menempuh dan menangani kehidupan di dunia yang fana ini.

Sementara itu, ujian juga didatangkan dalam bentuk kesenangan, harta dan keindahan. Bagi kaum lelaki, ujiannya termasuk wanita, anak-anak dan harta. Allah SWT berfirman yang maksudnya: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, benda pilihan, binatang-binatang (ternakan) dan sawah ladang. Itulah kesenangan di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang terbaik. (Ali-Imran: 14).


Bersabar dengan ujian hidup, besar ganjarannya daripada Allah SWT. - Gambar hiasan

Selain itu, malapetaka seperti banjir, gempa bumi, kemarau, tsunami, tanah runtuh, ribut, puting beliung dan berbagai-bagai kesusahan, bencana, kecelakaan dan kesengsaraan juga ujian daripada Allah untuk menguji umatnya, sama ada beriman atau tidak. Orang yang beriman sentiasa sabar apabila di timpa ujian. Allah mencintai orang-orang yang sabar.

Allah menjanjikan barang siapa bersabar kerana taat, maka pada hari kiamat Allah akan memberinya 300 darjat di syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi. Sementara itu, barang siapa sukar meninggalkan larangan Allah, maka pada hari kiamat Allah akan memberi 600 darjat. Tiap darjat antara langit ke tujuh dan bumi ke tujuh.

Bagi orang yang sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari kiamat, Allah akan memberinya 700 darjat di syurga. Tiap-tiap darjat antara Arasy dan syurga.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis Qudsi: Barang siapa di timpa bencana, lalu dia memohon perlindungan daripada-Ku, pasti Aku memberikannya sebelum dia meminta. Dan barang siapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Aku tutup semua pintu langit baginya.

Oleh itu, kita sebagai orang Islam yang berakhlak wajiblah bersabar atas bencana yang menimpa. Tidak ragu atau mengadu (kepada makhluk), seolah-olah manusia lain ada kuasa untuk menyelesaikan musibah itu. Jika demikian, dia akan selamat dan selesa di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini, Junaid al-Baghdadi pernah berkata, "Bala merupakan pelita bagi orang-orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar."

Selain itu, Allah juga mendatangkan ujian kepada manusia seperti ketakutan, kebimbangan, kekurangan bahan makanan seperti nasi dan beras, kesempitan hidup dan kenaikan harga barangan. Semuanya ini bencana dan kesusahan bagi menguji kesabaran untuk menempuh kehidupan di dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, "Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum Allah menguji mereka. Berang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barang siapa murka maka baginya murka Allah." (riwayat at-Tarmizi)

Oleh itu, hanya kesabaran yang dapat mengatasi segala-galanya. Selain kita berusaha mengatasi segala bencana dan musibah selebihnya kita berserah kepada Allah.

Cerdik pandai pernah menyatakan tentang sabar iaitu, "Anda jangan terlalu menginginkan semua berlangsung seperti yang anda kehendaki, tetapi sabarlah dengan kejadian yang berlangsung sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga anda tetap tenang dan tentukan.

Dapat difahami bahawa inti daripada segala kejernihan akal fikiran adalah adanya sifat penyantun, sedangkan landasan daripada semua perkara adalah kesabaran.



DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/02/2013

Semai sifat tawaduk dalam diri

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya.

Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Israa': 37)


Manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana
bimbang kesenangan yang diperoleh akan menjadi fitnah. - Gambar hiasan

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Jaga perilaku

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat bimbingan wahyu.

Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera musuh.

Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul yang ulung.

Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.

Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain. Salah satu (hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah).

Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan sifat tawaduk dalam diri masing-masing.



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/02/2013

Hari Valentine bertentangan syarak

Roh perayaan bercampur perbuatan maksiat bercanggah dengan akidah Islam

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan, hadiah, menyanyikan lagu cinta, membuat upacara tari-menari dan mengadakan acara makan malam disinari cahaya lilin.

Bertukar perasaan di taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.


Menurut Ken Sweiger, perkataan Valentine berasal dari bahasa Latin bermaksud ‘yang maha perkasa, yang maha kuat, dan yang maha kuasa’, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine? maka ia telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana telah meminta seseorang menjadi “sang maha kuasa”. Hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan pandangan tokoh agama, menyambut atau meraikan Hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan itu haram dan bertentangan ajaran Islam.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu bercampur perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.
Justeru, ditegaskan pengharaman dan larangan bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend zaman moden tetapi berlandaskan kepada apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, umat Islam diminta tidak merayakan hari berkenaan yang bertentangan ajaran Islam sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah.

Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.

Berdasarkan pemerhatian, perkara ini berlaku kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim.

Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisaa, ayat 119)

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu perkara menjadi jelas.

Jangan kita mengikut contoh umat jahiliah yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan di hati dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM. Berita Harian Online Agama 08/02/2013