February 16th, 2013

Kupas persoalan mengenal Allah

PERNAHKAH terlintas di hati anda menanyakan persoalan di mana tuhan? Atau pernah timbul persoalan di dalam hati anda bagaimana ingin menikmati rasa hidup bertuhan yang sejati? Pernahkah tiba-tiba di dalam keadaan sunyi, terdetik di hati anda ke mana arah hidup anda selepas ini?

Selain itu pernah juga tertanya apakah dicari dalam dunia? Jika sedang mencari jawapannya, anda wajar memiliki sebuah buku terbitan Must Read Sdn. Bhd. yang bertajuk, Bertanya Tentang Tuhan yang boleh kini telah berada pasaran.

Bertanya Tentang Tuhan adalah sebuah buku berkenaan sebuah kembara, iaitu perjalanan seorang hamba yang mencari cinta tuhan. Sebenarnya dalam hati setiap insan itu, ada satu kelopak permata yang sentiasa menyala-nyala ingin jawapan. Kadang-kadang berkelip, kadang-kala suram.

Buat pencari tuhan, jangan biarkan kelopak permata berkelip lagi, biarlah ia terus berjaya dengan jawapan pengetahuan. Sebanyak 10 bab mengupas pelbagai tajuk dengan dimulakan persoalan mengenal Allah dan diakhiri perbincang berhubung soal pintu taubat.

Yang menariknya dalam buku ini adalah plot kembara yang disusun seolah-olah buku ini sedang bercerita dengan pembaca. Ia adalah buku ilmiah, bukannya sebuah novel atau sebagainya. Kebijaksanaan penulis, Muhammad Nazri Rijal yang bertindak menjemput hati pembaca agar mengembara bersamanya, menerokai keindahan hakikat cinta tuhan.

Sulaman daripada kisah-kisah pencari tuhan terdahulu, pengalaman-pengalaman manusia seharian dan analogi mudah serta ditambah bait puisi madah telah mewarnakan lagi kembara dalam buku ini. Harapannya agar para pembaca dapat merasa manisnya saat-saat di sisi tuhan serta indahnya nikmat menyembah tuhan yang esa.

Buku ini juga cuba mengajak pembaca agar bersama terjun ke dalam aura penulis yang membawa mereka mengembara dari satu dimensi ke satu destinasi untuk lebih memahami hakikat cinta tuhan.

Buku setebal 164 muka surat yang berharga RM19.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM22.90 (Sabah/Sarawak) terbitan Must Read Sdn. Bhd. itu boleh didapati pasaran berhampiran. Anda wajar memilikinya khususnya untuk generasi muda.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/02/2013

Bahana ingkar kontrak pertunangan

FATIMAH (bukan nama sebenar) telah mengenali Johari (bukan nama sebenar) sejak mereka di menara gading. Hubungan mereka bermula daripada rakan sekuliah akhirnya telah bertukar menjadi pasangan kekasih.

Selepas tamat pengajian, Johari mendapat pekerjaan sebagai jurutera di sebuah syarikat petroleum di utara tanah air manakala Fatimah pula bertugas di sebuah syarikat pembinaan yang terletak di ibu kota. Cinta mereka diperkukuhkan dengan majlis pertunangan tidak lama kemudian.

Oleh kerana hubungan terlalu jauh, Johari sanggup berhenti kerja dan menganggur berbulan-bulan demi semata-mata cintanya terhadap Fatimah. Bagaimanapun hubungan pertunangan itu tidak kekal lama apabila Fatimah berhasrat mengahwini kekasih pertama yang dikenalinya sejak sekolah rendah.

Hancur luluh hati Johari dengan sikap Fatimah. Janji-janji manis ditaburkan hanya tinggal kenangan sahaja. Demi menuntut hak, Johari mengemukakan saman mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 untuk menuntut semula ganti rugi hantaran, gaji kerana pengangguran selama empat bulan dan segala-gala perbelanjaan semasa berlangsung hubungan pertunangan.

Mengulas lanjut berhubung kisah di atas, peguam syarie, Datuk Amli Embong memberitahu bekas tunangan, sama ada lelaki atau wanita boleh mengemukakan saman bagi menuntut ganti rugi semasa tempoh pertunangan melalui proses undang-undang.


Perjalanan pertunangan merupakan tempoh yang penuh getir dan cabaran.
Kadang-kala perkara kecil boleh menyebabkan ikatan itu terlerai begitu sahaja. - Gambar hiasan


Amli berkata, peruntukan undang-undang itu berbeza mengikut negeri masing-masing, tetapi di Wilayah Persekutuan akta itu menyebut:

"Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut hukum syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu tanpa apa-apa sebab yang sah.

"Manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan.

"Jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah."

Oleh demikian, jelas Amli akta itu memperuntukkan bahawa pemohon boleh mengemukakan saman untuk menuntut apa-apa ganti rugi sepanjang tempoh pertunangan sehingga talian hubungan itu terlerai.

"Peruntukan itu digubal bertujuan untuk menjaga dan mengangkat keadilan hak pasangan apabila kontrak pertunangan yang sepatutnya diteruskan melalui hubungan suami isteri akhirnya terputus dengan perpisahan.

"Jadi ia turut dilihat sebagai panduan kepada para pasangan untuk berhati-hati menjaga perhubungan mereka," kata Amli.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika prosiding, pemohon mesti mengemukakan butiran tuntutan seperti perbelanjaan, ganti rugi dan sebagainya yang diserta bersama-sama bukti resit dan saksi. Ujar beliau, jika pertunangan dilakukan secara rasmi, mereka boleh menampilkan wakil ketika majlis berlangsung kepada prosiding mahkamah.

Sebaliknya tambah Amli, jika pertunangan yang dilakukan secara tidak rasmi adalah amat sukar untuk dibuktikan kepada mahkamah. Ini kerana pihak defendan akan mempertikaikan tuntutan tersebut, sama ada ia barang hantaran pertunangan atau hanya sekadar hadiah biasa.

"Barangan pertunangan adalah berbeza barangan hadiah. Mungkin barangan hadiah boleh bertujuan untuk permulaan perkenalan. Hadiah hari jadi atau sebagainya mungkin boleh jadi atas dasar persahabatan," kata Amli.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/02/2013

Ikut syariat atau ikut hati?

MENGADAKAN kenduri kahwin atau dikenali sebagai walimatulurus amat digalakkan di sisi agama Islam. Bahkan terdapat hujah dalam kalangan para ulama yang mengatakan hukum menghadiri majlis sebegini adalah wajib, malah mereka turut mengharuskan berbuka puasa bagi jemputan yang sedang berpuasa sunat.

Penganjuran majlis kenduri kahwin sebenarnya dilihat bertujuan meraikan kehadiran pasangan suami isteri ke alam rumah tangga, selain dilihat menghebahkan kedua-dua mempelai yang telah mengikat talian perkahwinan kepada masyarakat umum.

Bukan sekadar itu juga, majlis kenduri mempunyai objektif mendalam iaitu ia bertujuan mengeratkan talian silaturahim antara sesama sanak-saudara dan sahabat-handai seandainya mereka tinggal berjauhan lalu bertemu kembali pada majlis raja sehari tersebut.

Sebenarnya ia merupakan satu ibadat, bahkan ia bertepatan dengan satu hadis diriwayatkan oleh Anas yang bermaksud: "Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Muhammad menjadi seorang pengantin dengan Zainab al-Jahsy, baginda telah mengundang masyarakat lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai."

Sebaliknya pada hari ini, adakah tujuan asal majlis perkahwinan seperti dianjurkan oleh agama Islam masih terjadi lagi? Adakah budaya yang seolah-olah berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk itu digalakkan dalam agama Islam?

Hal ini kerana pada masa kini, trend majlis perkahwinan dilihat melepasi batas tujuan asal. Ini dibimbangi berlakunya unsur pembaziran serta bersaing secara tidak sihat di antara satu sama lain.

Bukan hanya pembaziran dari segi persiapan tetapi juga cenderamata yang dikhaskan untuk para tetamu yang malah harganya. Pun begitu, ada segelintir suara-suara yang mengatakan apa salahnya, asalkan berkemampuan. Adakah konsep majlis perkahwinan sebegini dibolehkan agama dengan alasan berkemampuan?

Daripada pandangan Islam, segala perkara yang mempunyai unsur pembaziran dan menunjuk-nunjuk adalah dilarang. Jelas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sekiranya walimatulurus mempunyai unsur itu maka matlamat asal ia diadakan telah bertentangan dengan ajaran Islam.

Ujar beliau, tujuan asal walimatulurus adalah untuk memperkenalkan pengantin kepada saudara mara dan jiran tetangga. Jadi jika berlaku pembaziran sehingga terpaksa berhutang, ini adalah suatu tindakan yang sangat dilarang.

Sehubungan itu, Islam tidak menggalakkan segala perkara yang berlebihan sehingga mendatangkan kemudaratan kerana kesederhanaan dititikberatkan oleh ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

"Tidak kira, sama ada kaya atau miskin, jika mereka melakukan sesuatu perkara berlawanan dengan hukum syarak termasuk menganjurkan pembaziran, ia adalah ditegah dan dikhuatiri mengurangkan keberkatan pada majlis perkahwinan berkenaan.

"Oleh itu suka saya menyarankan kepada bakal pengantin di luar sana untuk memikirkan sehabis-habisnya tentang soal majlis perkahwinan. Seharusnya mereka mengadakan majlis perkahwinan dengan mengikut kemampuan mereka. Memadai ia diadakan dengan sederhana tetapi memenuhi matlamat asal perkahwinan diadakan," ujar Harussani yang antara sempat mengingatkan jangan disebabkan berbelanja mewah pengantin terpaksa menanggung bebanan hutang sehingga ke anak cucu.

Berbalik berhubung persoalan menunjuk-nunjuk, menurut Harussani lagi, perbuatan riak merupakan salah satu sikap mazmumah (buruk). Perkara berkenaan hendak dijauhi ketika majlis perkahwinan berlangsung.


MENJAMU tetamu dengan pelbagai hidangan makanan amat digalakkan menurut agama Islam
bagi meraikan kehadiran mereka pada majlis walimatulurus. - Gambar hiasan


Belanja ikut kemampuan

Tidak salah berbelanja berlebihan untuk hari bersejarah tersebut jika pengantin atau keluarganya berkemampuan berbuat demikian. Selain itu, ia adalah tanggungjawab terakhir kepada ibu bapa terhadap anak mereka dan merupakan amanah pertama kepada pengantin baru untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka secara sendiri.

Demikian pula ulasan yang diberikan oleh tokoh agama, Datuk Mohd. Daud Che Ngah ketika dihubungi baru-baru ini dengan memberikan alasan bahawa tidak salahnya memberikan makanan kepada para tetamu yang hadir kerana ia dilihat menghargai dan memuliakan serta mengeratkan hubungan silaturahim, termasuk dalam perbuatan melakukan amalan sedekah.

Mohd. Daud menambah, majlis perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup maka jika pihak yang terlibat berbelanja lebih tidak salah asalkan mengikut kemampuan.

Tokoh agama itu mengambil contoh dalam soal hidangan makanan, ia merupakan satu sedekah dan penghargaan kepada tetamu yang hadir walaupun mereka terdiri daripada golongan berada. Para tetamu terdiri daripada sanak-saudara dan rakan-taulan, seharusnya mereka dihidangkan dengan juadah makanan kerana bertujuan untuk memuliakan mereka kerana sudi hadir ke hari penuh bersejarah itu.

"Saya berpendapat, tidak salah jika berbelanja untuk perkara baik contohnya dalam soal hidangan makanan kepada tetamu yang hadir. Yang salahnya apabila membelanjakan untuk perkara melalaikan contohnya mengadakan hiburan sehingga membelanjakan beribu-ribu walaupun mereka berkemampuan.

"Sebenarnya di negara-negara Arab termasuk di Kota Mekah, mereka akan turut mengeluarkan belanja untuk majlis perkahwinan sehingga RM300,000 kerana majlis itu adalah suatu yang penting menurut adat mereka. Asalnya perjalanan majlis mengikut hukum syarak," jelas beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.

Kata Mohd. Daud lagi, selain mengeratkan talian silaturahim, majlis perkahwinan atau walimatulurus adalah sesuatu yang penting kerana sekiranya suami atau isteri ingin bercerai dalam tempoh singkat, mereka akan beringat kerana demi perkahwinan itu mereka terpaksa berkorban wang dan tenaga.

"Mereka akan malu dengan para tetamu kerana masyarakat telah mengetahui bahawa pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga. Penceraian dalam tempoh singkat akan menjadi buah mulut orang yang akhirnya memalukan dua mempelai," ujar beliau.

Sehubungan itu, Mohd. Daud berkata yang menjadi kesalahan jika berlebih-berlebihan sehingga melampaui batas kemampuan mereka lalu terpaksa memohon pinjaman kewangan, bergolok-bergadai atau berhutang keliling pinggan.

Tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai suami isteri adalah penting daripada memikirkan majlis perkahwinan. Dalam tempoh lima tahun awal perkahwinan, pasangan suami isteri bakal dilanda pelbagai dugaan termasuk berhadapan masalah kewangan.

Berbelanja berlebihan dan pasangan terpaksa menanggung hutang, seterusnya mendatangkan masalah kewangan sehingga membawa kepada masalah perceraian adalah suatu perkara yang merugikan.

Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, bakal pengantin perlu memahami akan konsep perkahwinan itu sendiri dengan mengetahui bahawa nikah dan mahar sudah memadai berbanding mengeluarkan belanja mewah untuk majlis yang berlangsung selama sehari.

Sehubungan itu, Noor Aziah menggesa pasangan di luar sana untuk memikirkan masa panjang berbanding terpaksa memohon pinjaman kewangan yang mempunyai riba, akhirnya menyusahkan perkahwinan mereka sendiri.

"Perkahwinan sebenarnya ikut syariat, bukannya mengikut hati. Kalau hendak memuas hati sendiri dan orang ramai, sampai bila tidak dapat. Oleh demikian, ikut syariat adalah jalan terbaik.

"Bahkan peratusan kadar penceraian hari ini adalah disebabkan faktor kewangan. Bebanan tersebut menyebabkan masing-masing tidak memenuhi keperluan asas sebuah keluarga lalu berpisah dianggap adalah cara terbaik untuk meleraikan masalah tersebut," kata beliau.

Dalam pada itu, Noor Aziah berkata terikut-ikut dengan rancangan program televisyen perkahwinan dan majalah sangat tidak digalakkan kerana daripada sudut itu akan dilihat menarik bakal pengantin untuk meniru contoh dipaparkan yang akhirnya menjerat diri masing-masing.

"Jika dahulu, orang kampung akan membawa beras, gula dan masing-masing menyalurkan sedekah untuk menumbang seekor lembu, maka pengantin tidak akan mengeluarkan pembelanjaan satu sen pun. Selain ia dilihat menjimatkan kos, tetapi ia dilihat mengeratkan silaturahim menerusi amalan bergotong-royong.

"Tetapi situasi seperti itu telah ditelan zaman, amalan gotong-royong sudah jarang dijumpai, terutamanya dalam kalangan masyarakat moden hari ini," kata Noor Aziah.

Beliau mencadangkan agar majlis perkahwinan antara kedua-dua pihak disatukan dan diadakan di surau atau masjid, sekali gus sebagai tanda perpaduan dan hubungan erat sesama keluarga.

"Jadikanlah walimatulurus sebagai penanda aras untuk suami bertanggungjawab mengeluarkan mahar untuk isteri dan dari sudut lain, ia mendidik dan menerapkan amanah kepada pasangan suami isteri berkenaan," kata beliau.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/02/2013

Pentingnya umat Islam bersatu

KEUNGGULAN Sahifah Madinah yang dirintis oleh Rasulullah SAW sumber pentingnya ialah daripada titik-temu wahdah atau kesatuan antara Muhajirin-Ansar. Walaupun akhirnya terdapat kelompok Yahudi diusir kerana mengkhianati Sahifah itu namun gerak kerja dakwah Nabi berjalan seperti direncanakan.

Asas kekuatan yang dibina di Madinah menyebabkan Nabi berazam untuk melakukan Futtul Makkah atau kembali semula ke Mekah. Ia suatu strategi bijaksana dan berpandangan jauh.

Terhalang di Hudaibiyyah tidak menjadikan Rasulullah SAW berhenti daripada tekad untuk kembali ke Mekah. Peristiwa Hudaibiyyah seharusnya memberi daya renung yang tinggi kepada umat Islam betapa strategi undur setapak dan mara lima tapak ke hadapan menggambarkan watak Rasulullah SAW yang amat bijaksana.

Ternyata tahun berikutnya Rasulullah SAW dan rombongannya sampai ke Mekah. Suatu kemenangan yang sangat bermakna baginya. Ini berlaku kerana hala tuju perjuangan Rasulullah SAW amat jelas dan Allah meredhainya kerana darjah kesabaran Rasulullah SAW amat tinggi.

Lalu kehadiran Rasulullah SAW di Mekah memberi kesan menarik terhadap perkembangan Islam di Jazirah Arabia. Seterusnya ke tempat-tempat lain dan akhirnya diseluruh alam. Semuanya berlaku hasil kecekalan dan keikhlasan melakukan hijrah dan perjuangan dan keupayaan melakukan perubahan walaupun perit dan payah.

Realiti dakwah dalam Islam ialah ke arah pengajakan, penyeruan, pemanggilan dengan maksud umat manusia kembali dan dekat kepada Islam. Bukannya menjauhkan warga umat kepada agama ini dengan label yang buruk.

Ketampilan puak Khawarij dalam sejarah Islam bukanlah sesuatu yang enak untuk disebut. Kemunculan kelompok Takfir wal Hijrah bukanlah sesuatu yang bermanfaat untuk dilafaz. Malah melabel sesama Islam dengan kalimah Hisbussyaitan, Taghut, Firaun dan jahiliyah bukanlah aliran yang memberi manfaat kepada Islam.

Dustur dakwah yang mengambil pendekatan "bil hikmah, walmau izatil hasanah, wajadilhum billati hia ahsan" - dengan bijaksana dan pekerti yang baik dan hujah-hujah terbaik adalah pedoman keramat dari Al-Quran (Surah an Nahl : 125) untuk menjadi pedoman sesiapa saja yang bernama Islam.

Individukah, atau jamaahkah, pemimpin atau pengikutkah tidak harus memandang remeh dengan pedoman daripada Allah itu. Dan itulah juga pedoman Rasulullah SAW yang mendukung watak siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang ternyata memberi kesan terhadap jalur dakwah dan tarbiyyah. Rasulullah SAW memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi.

Mengapa hari ini kita jadi pembenci, pembengis pendendam dan merasakan jalan pertempuran baik fizikal mahupun siasah hingga menyebabkan kecelaruan dan kekeliruan terjadi dalam kalangan warga umat.

Mengapa al-Quran dan Hadis tidak dijadikan sumber untuk mengembalikan umat kepada wahdah atau kesatuan.

Terlalu burukkah kelompok umat Islam yang lain sehingga berlaku isu takfir dan enggan melakukan muzakarah dan perbincangan supaya perpecahan yang terjadi dapat dileraikan.

Ia tentunya menuntut kepimpinan yang berjiwa besar, berpandangan jauh dan mengambil pertimbangan syarak supaya hala tuju perjuangan umat terpedoman.

Terlalu amat penting bagi Malaysia umpamanya memiliki asas wahdah supaya masa dan tenaga tidak terbazir ke arah berantakan sesama sendiri yang menyebabkan perpecahan yang parah terjadi.

Perjuangan membina Umat Melayu menuntut kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi. Latar pendidikan, orientasi binaan dalam keluarga, hasil sumber daya yang terdapat memerlukan strategi lebih bijaksana supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Lebih tidak syarie mendekati isu wahdah ini dengan rasa kebencian yang tinggi dan dendam kesumat yang membara. Ia bakal menghasilkan kelompok taksub dan pelampau yang melihat dirinya saja yang Islamik tetapi orang lain tidak.

Anihnya dalam melontarkan label taghut, kafir, syaitan. jahiliyah sesama Islam, mereka berdakap cita-cita, saling memeluk suatu keazaman dan menjalin hubungan dengan orang lain atas nama pertentangan ideologi politik yang terlalu sukar untuk dicari titik-temunya.

Bak kata suatu anologi, sebatang pokok itu tidak akan tumbang semata-mata kerana mata beliung yang ada tetapi sebatang kayu yang disendalkan kepada mata beliung itu akan mampu menumbangkan pokok itu.

Mudah difaham, umat Melayu di Malaysia akan mewarisi pepatah "menang jadi abu dan kalah jadi arang" sekiranya nafsu amarah terus menjadi pertimbangan untuk strategi dan tindakan mencapai cita-cita politik dan kuasa.



Utusan Malaysia Online Rencana 15/02/2013

Ganjaran besar pikul kepercayaan

Tujuh bentuk kualiti salur, buktikan individu boleh dipercayai

Kepercayaan adalah keyakinan yang diberi kepada individu, kumpulan atau institusi dalam mencapai sesuatu hasrat, harapan serta matlamat tertentu. Dalam teori pentadbiran, kepercayaan lebih tinggi tahap kebolehpercayaan daripada keyakinan.

Semakin tinggi kepercayaan yang diterima bererti semakin tinggi keyakinan serta harapan pemberi dan semakin berat amanah pelaksana. Dalam Islam, setiap individu adalah pemimpin yang membawa kepercayaan orang dipimpin dan bertanggungjawab melunaskannya.

Rasulullah SAW bersabda: “(Ketahuilah) setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu (juga) bertanggungjawab atas siapa yang dipimpin.” (Riwayat al-Bukhari)


Kepercayaan dua hala

Kepercayaan dalam organisasi boleh berlaku dalam dua hala iaitu kepercayaan daripada pengurusan atasan kepada pegawai bawahan dan daripada pegawai bawahan kepada kumpulan pengurusan.

Kepercayaan instrumen melancarkan sesuatu tanggungjawab. Adanya kepercayaan, pegawai mampu melaksanakan tugasan lebih fleksibel serta tidak terikat dengan arahan.

Kepercayaan penting kerana mampu menjana daya berfikir, belajar, berkembang dan bertindak kreatif. Pekerja akan memiliki keyakinan tinggi dalam mengurus dan berhadapan risiko apabila diberi kepercayaan.

Sebaliknya, tanpa kepercayaan sifat yang boleh wujud dalam diri pekerja ialah kurang keyakinan, tidak terbuka, tidak berkemampuan mengatasi risiko serta tidak produktif. Kepercayaan juga menyediakan iklim hubungan kerja yang harmoni serta perasaan kesetiaan dan saling mempercayai.

Ia juga memudahkan pengarahan kerja dilakukan. Justeru, kepercayaan adalah kuasa bertindak yang sangat dahsyat dan perlu dianggap sebagai kunci untuk organisasi mengorak langkah ke hadapan.

Namun, kepercayaan dalam organisasi tidak boleh diberi sewenang-wenangnya. Sama ada kepercayaan khusus iaitu berdasarkan jawatan, bidang kuasa, bidang kerja ataupun kepercayaan umum dalam bentuk delegasi tugas kepada pegawai, kumpulan individu atau institusi.

Tujuh bentuk kualiti

Pelbagai bentuk kualiti perlu diberi perhatian untuk menyalur dan membuktikan kepercayaan. Pertama, kualiti diri individu atau peneraju iaitu kepada mereka yang dikenal pasti berkaliber, amanah, neutral, berintegriti, berpengetahuan, komited dan mengutamakan orang lain atau pelanggan dalam mencapai matlamat.

Kedua, kualiti maklumat berkaitan tanggungjawab yang diamanahkan perlu mencukupi, relevan dan betul serta diberitahu dengan jelas serta mudah agar ia dapat difahami termasuk aspek matlamat, reka bentuk, sumber, manfaat yang mereka peroleh.

Juga risiko bakal dihadapi dengan mendalam sebelum tugasan dan hasrat yang ingin dicapai dapat direalisasikan. Keraguan atau kekaburan maklumat akan menyebabkan misi kepercayaan tidak berhasil sepenuhnya.

Kualiti masa

Ketiga, kualiti masa iaitu tempoh tugasan disiapkan perlu dalam lingkungan masa yang munasabah untuk bersifat adil kepada yang menerima amanah, tidak tergesa-gesa supaya kepercayaan dapat dipenuhi.

Keempat, kualiti proses kerana kerja yang diamanahkan berasaskan kepercayaan perlu melalui proses serta prosedur kerja yang telus dan konsisten. Ketelusan dan konsistensi bertindak berasaskan matlamat jelas dan prinsip yang membolehkan seseorang itu mendapat kepercayaan selain dipercayai.

Proses kerja juga membabitkan keputusan diambil secara muafakat berasaskan perbincangan, perundingan serta maklum balas pelbagai sumber termasuk aduan pelanggan, nasihat atau pandangan pakar.

Walaupun kemungkinan gagal dalam mencapai hasrat diinginkan, ia tidak mudah melunturkan kepercayaan kerana terhasil daripada permuafakatan.

Pesanan Rasulullah kepada Muaz Jabal sewaktu menjadi gabenor di Yaman dan kepercayaan Saidina Umar al-Khattab kepada Salman al-Farisi di Kufah antara iktibar penyaluran kepercayaan.

Kepercayaan Rasulullah dan sahabat kepada gabenor, imam dan amil di wilayah Islam berasaskan kepada nilai peribadi, pegangan prinsip serta muafakat mereka.

Kelima, kualiti persekitaran meliputi pelbagai aspek luaran organisasi dan masyarakat termasuklah kemudahan fizikal, teknikal serta kewangan yang diperlukan dalam pencapaian matlamat.

Keenam, kualiti sistem pemantauan. Sejauh mana seseorang itu boleh dipercayai, perlu ada sistem yang mengawasi.

Manusia mudah lakukan kesilapan

Secara tabiinya, manusia mudah melakukan kesilapan. Justeru, kualiti sistem pemantauan dapat menambah baik dan menjamin akauntabiliti kepercayaan.

Ketujuh, kualiti sistem ganjaran dan jaminan keselamatan. Kedua-duanya faktor dorongan dan motivasi kerja yang ditekankan dalam Islam. Sabda Rasulullah: “Bayarlah upah (pekerja) sebelum kering peluhnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Ketujuh-tujuh kualiti ini akan menjadi pemangkin kepercayaan dan faktor ia dapat direalisasikan dalam bentuk keberhasilan kerja. Ia sekali gus mengurangkan potensi kecurigaan dan tidak percaya pihak lain terutama pelanggan.

Bagi yang menerima kepercayaan pula perlu menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi serta beramanah untuk membuktikan kemampuan melaksana dan melunaskan tanggungjawab. Sesungguhnya, kepercayaan adalah amal soleh yang akan diberi ganjaran di dunia dan akhirat.


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Berita Harian Online Agama 16/02/2013

Keamanan nikmat paling besar

Islam anjur umat sentiasa buat penambahbaikan terhadap sistem keselamatan

Memelihara keamanan adalah kewajipan setiap individu, sementara menyusun dan menguruskan sistem keselamatan dengan baik adalah satu tuntutan yang dianjurkan Allah SWT. Ia bertujuan memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan sesebuah negara sentiasa terjamin.

Sementara mencipta permusuhan adalah perkara yang dilarang. Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah ialah yang paling gigih dalam mencetuskan permusuhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem keselamatan terutama dalam sebuah negara aman sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Institusi yang menjaga keamanan mestilah peka kepada setiap situasi dan sentiasa mengemaskini sistem mengikut teknologi semasa. Institusi keamanan sudah wujud sejak zaman sahabat lagi.

Pasukan jaga keamanan awam

Saidina Umar mengadakan penyusunan semula pentadbiran beliau dengan mewujudkan sebuah pasukan untuk menjaga keamanan awam. Saidina Umar juga terbabit secara langsung apabila sentiasa berjalan pada waktu malam bagi memastikan penduduk awam berada dalam keadaan baik.

Begitu juga pada masa kerajaan Umayyah dan Abbasiah yang membentuk satu pasukan disebut ‘sahibus syurtah’ (kepolisan). Kerajaan Sepanyol pada masa itu menubuhkan ‘Sahibul Madinah’ atau pengawal bandar.

Kerajaan Melayu Melaka menjadikan Temenggong sebagai ketua keselamatan dengan bantuan hulubalang. Menunjukkan bahawa pasukan keselamatan bukan sesuatu yang asing dalam sesebuah negara yang dahagakan keamanan.

Ia bertepatan tujuan syariat bagi menjaga dan memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta. Mengutamakan keamanan adalah amalan mulia yang disifatkan oleh Allah sebagai satu nikmat sangat besar.

Firman Allah SWT: “Dan ingatlah nikmat Allah terhadapmu tatkala Allah menyatukan kamu selepas bermusuhan, lalu ditautkan hati kamu sehingga kamu bersaudara.” (Surah al-Imran, ayat 103)

Kita juga tidak dibenarkan bertemu musuh walaupun sekadar impian dan cita-cita. Sabda Baginda SAW: “Janganlah kamu bercita-cita untuk bertemu musuh. Mohonkanlah kesejahteraan. Jika ditakdirkan demikian, maka hendaklah kamu tetap dan bersabar. Ketahuilah syurga berada di bawah kilatan pedang.

Menunjukkan Islam tidak pernah menggalakkan permusuhan serta peperangan kerana sejarah membuktikan pertumpahan darah bukan pilihan utama. Hatta mengucapkan perkara yang mencetuskan provokasi juga dilarang.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang berkata, ‘Celakalah mereka!’ maka orang itu yang paling celaka.” (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya pertembungan atau peperangan adalah tidak mustahil disebabkan terhakisnya sifat sabar dalam kalangan manusia. Jika peperangan atau kekacauan tidak dapat dielakkan, maka pilihan kedua ialah memilih jalan mengecilkan ruang peperangan atau sesuatu kekacauan.

Ilmu usul fikah menganjurkan kita memilih mudarat yang lebih kecil berbanding mudarat yang besar seperti istilah ‘memilih yang ringan antara dua darurat’. Bagi menyediakan diri terhadap kemungkinan tadi, umat Islam disarankan bersedia dengan segala kekuatan bagi menghadapinya.

Pamer kekuatan

Mempamerkan kekuatan dengan tujuan mencetuskan kegerunan terhadap musuh seterusnya dapat mengelakkan peperangan dan pertumpahan darah.

Firman Allah SWT: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan persenjataan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfaal, ayat 60)

Menunjukkan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan terhadap keselamatan negara adalah satu daripada perintah Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredaan Allah Taala.” (Riwayat Ibnu Majah)

Jika wasiat Baginda SAW ini dapat dipraktikkan, maka peratus kerosakan dan kehancuran akan dapat dikurangkan. Mencipta dan mencari permusuhan adalah bertentangan dengan agama Islam.


Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Berita Harian Online Agama 16/02/2013