February 21st, 2013

Kemasyhuran Imam al-Syatibiy

DALAM satu wacana ta'dib yang dianjurkan Institut Quran Negeri Terengganu, penulis telah membentang satu artikel bertajuk, Sumbangan Imam al-Syatibiy dalam ilmu qiraat melalui karyanya Hirz al-Amani.

Nama Imam al-Syatibiy amat masyhur dalam dua disiplin ilmu iaitu; Qiraat dan Maqasid Syari'iyyah. Namun begitu, ia adalah dua penama yang berbeza. al-Syatibiy dalam ilmu qiraat ialah al-Qasim Ibnu Firruh Ibnu Khalaf Ibnu Ahmad al-Syatibiy meninggal dunia pada 590 Hijrah.

Manakala al-Syatibiy dalam ilmu maqasid syar'iyyah ialah Ibrahim Ibnu Musa al-Syatibiy meninggal pada 790 Hijrah. Karyanya yang menjadi rujukan ramai ulama ialah al-Muafaqat dan al-I'tisam.

Al-Syatibiy yang dibicarakan pada kali ini ialah yang alim dalam ilmu qiraat. Penama ini amat wajar ditekuni sejarah kehidupannya dan kemasyhurannya kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan seluruh umat Islam. Namanya terdapat di halaman akhir Mushaf di bawah tajuk, Pengenalan Mushaf.

Dalam pengenalan Mushaf tercatat bahawa mushaf ini ditulis dengan Qiraat Asim daripada riwayat Hafs. Dalam tajuk yang sama, semasa menghurai khilaf bacaan pada beberapa kalimah dicatat bahawa pandangan yang dikemukakan ialah pilihan Imam al-Syatibiy melalui matannya, Hirz al-Amani.

Syeikh Ali Dabba' telah menghurai seluruh tariq kepada 14 perawi yang dinasab kepada tujuh Qurra' dan menyatakan bahawa tariq riwayat Hafs ialah Ubaid Ibnu al-Sabbah. Beliau adalah murid kepada Imam Hafs. Walaupun begitu, Dr. Khalid Mansur menyatakan semua tariq adalah terkumpul dalam kitab Hirz al-Amani iaitu Karya Imam Syatibiy.

Kemasyhuran Imam Syatibiy dalam ilmu qiraat mempunyai beberapa faktor. Pertama, kealimannya dalam ilmu qiraat dengan mempelajari dan bertalaqqi daripada guru-guru Quran yang masyhur ketika itu seperti Abu Abdillah Muhammad Ibnu al-'As al-Nafazi dan Ibnu Huzail al-Balansi. Di Mesir beliau telah talaqqi dengan seorang guru Quran yang tinggi sanadnya iaitu Abu Tahir al-Silafi.

Kedua, al-Syatibiy masyhur dengan hasil karyanya dalam bidang Qiraat iaitu Hirz al-Amani wa Wajh al-Tahani. Karya ini mendapat tempat utama dalam mempelajari ilmu qiraat sejak mula ditulis hingga ke hari ini. Bahasa yang digunakan dalam bentuk rangkap syair begitu hebat sehinggakan keseluruhan syairnya sebanyak 1,173 rangkap diakhir setiap satunya dengan huruf lam.

Sebelum karya ini mendapat tempat di hati peminat ilmu qiraat, kitab yang menjadi rujukan Qiraat Tujuh ialah al-'Unwan karangan Abu Tahir Ismail Ibn Khalaf (meninggal pada 455 hijrah). Apabila munculnya Hirz al-Amani, peminat ilmu qiraat beralih daripada al-'Unwan dan mula menekuni Hirz al-Amani.

Abu Syamah yang mensyarah Hirz al-Amani telah mendalaminya dan menghafaz keseluruhan rangkap syairnya. Beliau berkata, Hirz al-Amani ialah kitab pertama yang aku hafaz selepas al-Quran. Pengajian Hirz al-Amani bersambung sanad dengan penulisnya sebagaimana terdapat dalam halaman akhir kitab ini di mana Syeikh Ali Dabba' telah menganugerah sanad Hirz al-Amanikepada muridnya, Syeikh Abdul Aziz 'Uyun al-Sud.

Ketiga, ramai murid Imam Syatibiy yang talaqi Qiraat daripadanya menjadi ulama yang tersohor. Mereka menyebarkan Hirz al-Amani di Syria seperti Imam al-Sakhawi, Ali Ibn Syuja' merupakan Syeikh Qurra di Mesir, Muhammad Ibnu Yahya ialah pakar rujuk Qiraat di negerinya Syatibah dan dua murid kanannya meneruskan pengajaran Qiraat di tempat Imam Syatibiy iaitu Abu Amru Ibnu al-Hajib dan Abu Abdillah Ibnu Umar al-Qurtubi.

Selain faktor di atas yang lebih utama lagi ialah keikhlasan Imam Syatiby dalam menghasilkan karyanya Hirz al-Amani. Selepas selesai menulis, Imam Syatibiy bermusafir ke Mekah. Beliau tawaf Kaabah dengan jumlah yang banyak sambil berdoa yang bermaksud, "Ya Allah, Yang menciptakan langit dan bumi, Yang mengetahui perkara ghaib dan zahir, Tuhan rumah yang agung ini, manfaatkanlah setiap yang membaca matan ini."

Hasilnya, sampai ke hari ini semua pusat pengajian al-Quran di luar negara seperti Maahad Qiraat Syubra Mesir, Kuliyah Quran Madinah dan boleh dikatakan seluruh maahad tahfiz di Malaysia yang menawarkan subjek Qiraat akan menjadikan Hirz al-Amani sebagai sukatan pelajarannya.

Semoga Allah SWT merahmati penulisnya Imam Syatibiy dan menggolongkan kita semua di kalangan ahli al-Quran.




KHAIRUL ANUAR MOHAMAD PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/02/2103

Sikap manusia terhadap dosa

SEBAGAI manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga bukan seperti para Nabi dan Rasul AS yang maksum iaitu sentiasa dipelihara oleh Allah SWT daripada dosa dan penderhakaan.

Kelemahan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah dikuasai oleh nafsu yang mengatasi iman kepada Allah SWT dan hari Akhirat. Lantas mendorong diri kita kepada melakukan dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Imam al-Ghazali menyebut perbuatan dosa itu ibarat makanan yang memudaratkan badan manusia. Begitulah apabila manusia melakukan dosa dan terkumpul dalam dirinya ia akan meracuni jiwa dan menghakis keimanannya.

Malah perbuatan dosa juga akan menyebabkan hati menjadi gelap dan akhirnya sukar untuk menerima kebenaran. Terdapat empat golongan manusia yang melakukan dosa.

Golongan pertama ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian menyesal dan bertaubat. Taubatnya terus menjadi dinding dan benteng kepada dirinya untuk tidak mengulangi maksiat dan dosa yang pernah dilakukan sebelum ini. Dosa tersebut telah menjadi debu ibarat penyakit yang telah disembuhkan apabila melalui proses rawatan yang berkesan. Inilah yang banyak berlaku kepada para sahabat RA.

Sebahagian daripada mereka pernah melakukan dosa besar sewaktu berada di zaman jahiliah seperti membunuh, berzina, menanam anak perempuan dan sebagainya. Namun, setelah beroleh hidayah Islam, mereka meninggalkan kehidupan yang lama dan melakukan hijrah ke arah keimanan. Dosa yang pernah dilakukan selama ini bagaikan terhapus dan hilang daripada catatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal. (Ali Imran: 135-136)

Golongan kedua ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian bertaubat. Tetapi mengulangi dosa tersebut berulang kali. Golongan ini biasanya masih mempunyai iman. Namun, kawalan iman terhadap diri dan nafsu amat kurang. Lantas menyebabkan dia sukar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat tersebut bila datang waktunya. Namun, selepas sahaja melakukannya, dia akan menyesal, lantas bertaubat pada Allah SWT. Persoalannya, adakah taubatnya akan diterima oleh Allah SWT?

Sebenarnya, penerimaan Allah SWT terhadap taubat yang dilakukan bergantung kepada sejauhmana keikhlasan dan kesungguhan hamba itu ketika bertaubat. Selagi mana dia bersungguh-sungguh untuk meninggalkan dosa yang dilakukan dan menyesal atas tindakannya, maka Allah SWT akan menerima taubat tersebut, walaupun selepas itu dia mengulanginya.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: Seseorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian selepas itu dia kembali melakukan dosa yang lain, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka Engkau ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Selepas itu, dia melakukan dosa sekali lagi, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bayangkan betapa Allah SWT Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hamba-Nya yang menyesal dan insaf serta kembali kepada Allah SWT walaupun setelah berulang-ulang kali melakukan dosa yang sama. Tetapi, ini bukanlah bermakna kita boleh mengulangi dosa-dosa yang telah dibuat. Sesiapa yang bertaubat dalam keadaan mempunyai niat untuk mengulanginya, sebenarnya dia hanya berlakon untuk bertaubat dan taubatnya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN PENULIS dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/02/2013

Jauhi sifat terburu-buru

SIKAP terburu-buru dan gopoh-gapah terutama dalam melakukan sesuatu pekerjaan dilarang dalam Islam. Sikap ini berpunca daripada seseorang yang tidak dapat mengawal hawa nafsu yang gelojoh dan rakus.

Di sebabkan terlalu sibuk mengejar urusan dunia seseorang itu tidak dapat mengawal akal dan fikirannya dengan waras.

Suasana haru-biru ini, lebih-lebih lagi ketara apabila tiba musim cuti umum, cuti persekolahan atau cuti hujung minggu, yang mana ramai para pemandu menunjukkan belang berlumba-lumba menuju destinasi masing-masing.

Sikap tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri, boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Punca sikap terburu-buru ini adalah terlalu ghairah, gopoh dalam melakukan sesuatu sehingga menyebabkan diri terburu-buru.

Pada kebiasaannya mereka yang mengamalkan sikap seumpama ini, kerja yang dilakukan tidak sempurna dan berkesan. Bimbing dan didiklah anak-anak dengan sifat sabar, tenang dan tidak gopoh.

Sikap ini adalah sebagai ujian dan kesabaran kepada seseorang. Semasa kesesakan di jalan raya adalah ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.

Oleh itu seseorang hamba-Nya yang mendapat cubaan, haruslah bersabar ketika ujian tersebut. Hanya dengan keimanan yang kukuh akan dapat mengelakkan keadaan ini (rujuk al-Baqarah: 257).

Hanya dengan amalan sikap sabar akan dapat mengatasi sikap terburu-buru dan tergesa-gesa ini. Melalui sifat sabar seseorang itu dapat menguatkan keimanan di dalam hatinya.

Kebanyakan mereka yang terburu-buru di jalan raya tidak mempunyai sifat sabar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula ditimpa musibah. (riwayat al-Bukhari)

Sikap terburu-buru iaitu dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai ke sesuatu tempat adalah sikap yang tidak baik. Sikap ini berpunca daripada tidak dapat mengawal hati dan akal serta emosi dengan seimbang.

Oleh itu, sikap berlapang hati dan sabar akan dapat mengatasi sikap buruk ini. (rujuk Ali-Imran: 159)

Mengikut sunah Nabi SAW tunaikan solat sunat sebelum keluar dan memulakan perjalanan.

Digalakkan memulakan perjalanan pada awal pagi dan berdoa sebelum memulakan perjalanan seperti; "Maha Suci Allah yang telah tundukkan bagi kami (kenderaan) ini dan tidaklah kami dapat mengawalnya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah tempat kami kembali." (Mishkaat)

Disarankan juga membaca doa ini: "Ya Allah, Kaulah yang bersertaku dalam perjalananku dan penjaga ahli keluargaku dan hartaku."

Diriwayatkan sudah menjadi kebiasaan, Nabi SAW apabila baginda kembali daripada sesuatu perjalanan baginda biasanya lakukan pada waktu Dhuha.

Pertama baginda akan ke masjid, menunaikan dua rakaat solat Nafilah dan duduk di dalam masjid bertemu orang ramai buat seketika sebelum kembali ke rumah. (riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mereka yang mempunyai banyak bekalan semasa dalam perjalanan hendaklah memikirkan keperluan orang lain yang berada dalam kekurangan. (riwayat Muslim).

Jelaslah, bahawa persediaan yang rapi dan terancang akan menyebabkan seseorang itu tenang dan sabar. Dalam hal ini, kita juga perlu memikirkan orang lain terutama jika kita melakukan perjalanan yang jauh.

Lawan kepada sikap terburu-buru adalah sifat tenang dan sabar dalam melakukan sesuatu. Bertindak dengan bijak, merancang dahulu sebelum melakukan sesuatu. Jangan lakukan perkara di saat-saat terakhir yang kedang-kadang boleh menyebabkan dan mengundang sikap terburu-buru.

Islam mendidik kita supaya sentiasa tabah, tenang dan sabar dalam menghadapi apa juga situasi. Nabi SAW bersabda: "Sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan." (riwayat Ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Kesimpulannya, jadikanlah sifat sabar dalam hati sebagai benih keimanan yang tumbuh dalam tubuh. Melalui sifat sabar sikap terburu-buru dan tergesa-gesa di jalan raya dapat dielakkan. Orang yang sabar selalunya lebih selamat dan dilindungi oleh Allah SWT kerana kesabarannya menghadapi ujian seperti kesesakan di jalan raya dan dugaan yang lain.

DR. AMINUDIN MANSOR PENULIS ialah bekas pendidik, berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/02/2013

Corak kehidupan harmoni bersandarkan al-Quran

Memilih gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan corak kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau kecenderungan minat.

Kesempurnaan jiwa bermula daripada kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah. Hayatilah maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa dengan menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan.

Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Al-Ra‘ad, ayat 28)


Membaca al-Quran setiap kali solat yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan khususnya kepada pelajar. Otak yang segar akan terpancar daripada kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam.

Hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana menghapuskan karat itu? Jawab Nabi SAW: Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Umar)

Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala. Aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat ad Darimi Tarmizi)

Dewasa ini, banyak remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang dicari dalam bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama.

Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah kehancuran. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi daripada ibu bapa lebih bersandarkan kepada nama saja.

Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak belajar mengaji al-Quran tetapi bagaimana mendorong mereka memahami maksud al-Quran dan boleh menerapkannya sebagai asas pemikiran serta perlakuan.

Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (limau besar), baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar yang tidak ada bau tapi rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hashim Ahmad Berita Harian Online Agama 21/02/2013

Elak prasangka buruk cetus permusuhan

Perasaan buruk sangka bermula apabila seseorang mengalami ‘bisikan hati’ untuk mencurigai orang lain. Orang yang terkena penyakit ini sentiasa melihat kesilapan dan kesalahan orang lain manakala dirinya diyakini berada dalam keadaan benar.

Sasaran adalah kepada pihak yang dimusuhinya hingga tergamak merosakkan hubungan persaudaraan. Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan prasangka, (kerana) sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Usah biarkan diri menjadi mangsa kepada semua terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap orang lain. Kita diminta membersihkan hati daripada terkena kotoran prasangka yang akan membawa dosa.

Bebaskan hati kita daripada sebarang syak, keraguan dan bersih perasaan terhadap saudara kita.

Apabila sangkaan buruk tersebar dalam masyarakat, ia boleh menjadi fenomena salah tanggapan yang menyebabkan lunturnya warna hubungan sosial yang dipertahankan selama ini.

Persahabatan akan digantikan permusuhan. Keakraban bertukar kebencian, manakala pujian akan bertukar kepada penghinaan. Fenomena mendukacitakan ini menyebabkan ikatan persaudaraan kian tercarik dan simpulan ukhuwah makin terungkai.

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin berkata, “Ketahuilah bahawa prasangka buruk adalah haram seperti halnya ucapan yang buruk. Sebagaimana haram atasmu membicarakan keburukan seseorang kepada orang lain, maka tidak boleh juga membicarakannya kepada dirimu (hatimu) sendiri dan engkau berprasangka buruk terhadap saudaramu. Dan yang aku maksudkan adalah keyakinan hati terhadap orang lain dengan keburukan. Adapun apa yang terlintas dan bisikan hati maka hal itu dimaafkan, bahkan keraguan juga. Akan tetapi yang dilarang adalah menyangka, dan prasangka adalah kata lain dari sesuatu yang dijadikan sandaran yang hati condong kepadanya.

Rasulullah SAW telah menunjukkan sifat mulianya yang sentiasa memandang baik terhadap makhluk ciptaan Allah.

Daripada Sa’id bin Al-Musayyib, katanya: “Telah menulis kepadaku beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah SAW: Hendaklah engkau meletakkan urusan saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada seorang Muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih ada peluang untuk menjadikannya baik.”


Amran Zakaria Berita Harian Online Agama 20/02/2013