February 22nd, 2013

Beratnya sekeping roti

PADA suatu masa dahulu ada seorang ahli ibadah yang tekun mengerjakan ibadatnya selama 70 tahun. Namun, pada suatu hari, dia didatangi seorang wanita yang cuba menggoda si lelaki itu. Akhirnya, lelaki itu tewas dan telah melakukan maksiat bersama wanita tersebut selama tujuh hari.

Namun, lelaki itu sedar akan kesilapan diri dan kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki itu telah sanggup keluar mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan dosa-dosa maksiat yang lalu itu.

Akhirnya, beliau tiba di sebuah rumah tumpangan yang dihuni oleh 12 orang miskin. Dia ingin tumpang bermalam dan kebetulan, ada seorang kaya yang selalu menderma 12 keping roti ke rumah itu setiap hari.


Amalan bersedekah amat dituntut kerana umat Islam umpama satu tubuh. - Gambar hiasan

Pemberian orang kaya itu sebenarnya tidak dikhaskan kepada 12 penghuni tetap di situ tetapi diberikan kepada mana-mana insan yang berjaya mendapatkannya terlebih dahulu.

Kedatangan lelaki itu tadi telah menyebabkan salah seorang daripada 12 orang miskin itu tadi tidak mendapat roti seperti hari-hari lain.

Lantas, si lelaki tadi terdengar salah seorang daripada orang miskin itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana tidak mendapat bahagian daripada pemberian orang kaya itu.

Oleh kerana terasa dirinya bersalah kerana telah mengambil hak orang lain, maka lelaki itu telah memberi roti yang di tangannya kepada si miskin tadi. Dek kerana terlalu lapar, tidak lama selepas itu lelaki pengembara tadi meninggal dunia.

Lalu turunlah malaikat untuk menimbang amalannya bagi menentukan nasibnya di alam yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh malaikat menimbang antara amalan soleh lelaki itu tadi selama 70 tahun dan maksiat yang dilakukannya selama tujuh hari.

Malangnya, amalan soleh 70 tahun lelaki itu lebih ringan berbanding dosa maksiat yang dilakukan sesingkat tujuh hari.

Ini menandakan lelaki itu bakal diazab, maka malaikat mencari-cari mana-mana amalan lain yang dapat menyelamatkan lelaki tadi daripada diazab Allah SWT.

Lalu tertulis di dalam kitab amalannya bahawa dia pernah bersedekah sekeping roti kepada seorang miskin di saat dia juga di dalam kelaparan. Maka Allah menyuruh malaikat menimbang ganjaran memberi roti kecil itu dengan dosa berbuat maksiat selama tujuh hari oleh lelaki tersebut.

Subhanallah, rupa-rupanya perbuatan yang dikira kecil iaitu memberi sekeping roti, sebenarnya lebih besar ganjarannya hingga mampu menewaskan dosa maksiat selama seminggu! Lalu lelaki itu tadi mendapat pengampunan daripada Allah SWT dan beroleh syurga-Nya.

Jelaslah di sini bukti kasih sayang Allah tanpa batasan kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula kisah ini, pengajarannya bahawa amalan yang dilakukan demi kesenangan orang lain lebih besar ganjarannya berbanding amalan yang tekun didirikan hanya untuk kesenangan diri sendiri.

Hakikatnya, kasih sayang Allah cukup tinggi kepada kita, walaupun seorang hamba itu kembali kepada-Nya dengan membawa dosa sebesar gunung sekalipun, selagi kita tidak menyekutukan Allah SWT, ada ruangan pengampunan.

Ayuh! berdoalah kepada-Nya dan luahkan kecintaan kepada-Nya kerana Dia iaitu Allah SWT sentiasa menanti dan mendengar doa hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku... (al-Baqarah: 186)



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/02/2013

Jaminan keberkatan hidup

SETIAP manusia berkewajipan mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian. Keperluan hidup yang paling utama adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang yang berada di bawah tanggungannya.

Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan agama. Dan rezeki yang diperoleh daripada sumber yang halal mampu menjana kehidupan manusia yang berkat di dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW pernah berkongsi perniagaan bersama seorang pemuda Quraisy bernama As Saib Abi As Saib. Ketika berusia 25 tahun, baginda Rasulullah telah berniaga barangan dagangan kepunyaan Siti Khadijah binti Khuwailid ke Syam.

Dari situ, jelas kepada kita bahawa mencari rezeki yang halal merupakan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah SAW. Malah mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah sekiranya pencarian tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Firman Allah SWT bermaksud: Makanlah rezeki yang halal dan lakukanlah amalan soleh. (al-Mukminun: 51)

Setiap amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba banyak bergantung kepada makanan yang halal. Makanan, minuman dan pakaian yang haram menjadi asbab kepada doa seseorang tidak dimakbulkan dan diri mudah terjerumus ke lembah maksiat.

Selain itu, mencari rezeki yang halal pula dapat menjaga maruah agama. Firman Allah SWT bermaksud: Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi k bukit untuk mencari kayu api, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain.

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang semestinya dipertahankan.



Rezeki yang halal juga akan menjana keluarga bahagia. - Gambar hiasan

Jelas di sini bahawa bekerja mencari rezeki yang halal akan menyebabkan bertambah martabat serta kemuliaan seseorang. Sebaliknya, mereka yang berat tulang akan memberi imej buruk dan negatif pada pandangan masyarakat dan keji pada kacamata Islam itu sendiri.

Rezeki yang halal juga dapat menjamin keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram, neraka adalah paling utama baginya." (riwayat at-Thabarani)

Kehidupan bagi umat Islam bukan setakat di dunia, malah ia akan berterusan ke kehidupan yang hakiki di akhirat kelak. Sebab itu, rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka di akhirat kelak.

Oleh itu, sama-samalah kita mengambil berat dan prihatin dengan sumber pendapatan yang diperoleh agar ia dapat menjamin kebahagiaan yang hakiki di akhirat nanti.

Rezeki yang halal juga akan menjana keluarga bahagia. Apa yang kita makan akan menentukan segala tindakan dan amalan seharian. Rezeki yang halal melorong seseorang individu ke arah ketaatan kepada Allah, amal soleh dan akhlak mahmudah.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (ber-tauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sejarah telah membuktikan, generasi di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat beramal soleh, berakhlak mulia dan tidak terlibat dengan kemungkaran kerana ibu bapa masing-masing mementingkan sumber rezeki yang halal.

Perlu diingat juga bahawa rezeki yang halal dapat menjana ekonomi umat Islam. Islam telah menggariskan pelbagai cara untuk mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah satu cara untuk meningkatkan ekonomi.

Malaysia yang terkenal dengan produk hub halal telah berjaya menjana ekonomi umat Islam dengan menembusi pasaran dunia. Jelas di sini bahawa ekonomi umat Islam menjadi lebih kukuh kerana perolehan keberkatan daripada Allah SWT

Menyedari hakikat ini, sama-samalah kita mengamalkan cara hidup Islam dalam mencari rezeki yang halal kerana rezeki yang halal itu satu tuntutan agama yang mulia. Sesungguhnya rezeki yang halal menjamin keberkatan hidup.



HASHIM AHMAD Utusan Malaysia Onlne Bicara Agama 21/02/2013

Dua jenis orang miskin

SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

Jawapan

Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta. Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang. Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin. Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah SWT menukilkan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah RA: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar. Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mi'raj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22/02/2103

Kisah Ashab al-Kahfi

SEGALA puji bagi Allah SWT, atas segala kurniaan dan nikmatnya yang tidak terhingga. Bagi ruangan tafsir kali ini penulis mungkin mengubah sedikit perbincangan dengan memukadimahkan surah al-Kahfi. Penulis hanya membincangkan ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah yang dipaparkan dalam surah tersebut. Antara kisah tersebut ialah Ashab al-Kahfi atau Penduduk Gua. Selepas tamat kisah tersebut akan berpindah pula pada kisah yang lain dan begitulah seterusnya.

Firman Allah SWT: Adakah engkau menyangka (hai Muhammad), bahawa kisah 'Ashabul Kahfi' dan 'Al-Raqim' itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (al-Kahfi: 9)

Ibnu Kathir berkata: Yang demikian itu merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT mengenai kisah Ashab al-Kahfi secara global dan ringkas.

Ibnu Juraij menceritakan daripada Mujahid mengatakan: "Di antara tanda-tanda Kami (Allah SWT) terdapat apa yang lebih aneh daripada hal tersebut."

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berpendapat: "Al-Raqim bererti Kitab."


Suasana pintu masuk ke gua Ashabul Kahfi.

Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu menyangka kisah penghuni gua dan pemilik batu bertulis seperti yang disebut dalam kitab lama, ketika mereka hidup dalam waktu yang lama, adalah suatu keajaiban jika hendak dibandingkan dengan perhiasan yang Kami jadikan di muka bumi.

Ini disebabkan kisah tersebut bukan sahaja mengagumkan antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang lain, malah kejadian perhiasan bumi dengan segala keajaibannya adalah indah daripada kisah penghuni gua itu.

Oleh itu, para ketua agama lain pun termangu-mangu kehairanan melihat kisah serupa itu, justeru Aku mengajakmu dan umatmu untuk memandang yang lebih besar lagi daripada peristiwa itu iaitu memandang alam semesta dan segala keajaiban yang berupa penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, peredaran matahari, bulan dan bintang.

Begitu juga dengan ayat-ayat lain seumpamanya yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT menurut kehendak-Nya tanpa ada yang menghalangnya.

Namun, kisah yang berisi keanehan itu tidak cukup untuk menarik perhatian mereka melakukan kebaikan dan kebahagiaan seperti yang diingini oleh manusia untuk dijadikan sebagai cita-citanya yang luhur supaya memperoleh kebaikan dunia atau akhirat.

Oleh yang demikian, selidikilah apa yang ditulis dalam lembaran alam semesta ini, tetapi bukan hanya menyelidik apa yang tertulis di lembaran gua tersebut.

Menurut pendapat al-Zujaj, Allah SWT menerangkan kisah Ashab al-Kahfi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Ini disebabkan penciptaan langit dan bumi serta segala yang ada lebih mengagumkan lagi daripada kisah mereka.

Hamka berkata: Maksud ayat ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia menyangka bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah SWT? Padahal banyak lagi takdir Allah SWT di dalam alam ini yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.

Sungguhpun kisah penghuni gua ini belumlah suatu yang ganjil di sisi Allah SWT, Yang Maha Kuasa mengatur alam menurut kehendak-Nya, demi untuk memuaskan kehendak orang yang bertanya, pertanyaan tentang penghuni gua yang diterangkan Allah SWT sebagai wahyu.

Firman Allah SWT: (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (al-Kahfi: 10)

Al-Maraghi berkata: Para pemuda itu berlindung di dalam gua untuk melindungi agama mereka supaya tidak mendapat bencana daripada penyembah patung dan berhala dengan berdoa: Tuhan kami, dengan keredaan-Mu yang kami harapkan dan ketaatan kepada-Mu, berikanlah kepada kami petunjuk dalam setiap urusan untuk menuju ke jalan kebenaran bagi melakukan apa yang kami sukai kemudian anugerahkan kepada kami keampunan dan keamanan daripada musuh.

Hamka berkata: Allah SWT mewahyukan bahawa ada beberapa pemuda yang sedang ditimpa kesusahan, lalu meninggalkan kampung halaman mereka dan bersembunyi ke dalam sebuah gua. Dan ketika dalam perjalanan itu, mereka tidak pernah lupa memohon rahmat perlindungan daripada Allah SWT, disertai pula dengan tuntutan dan pimpinan agar mereka tidak tersesat dari jalan yang benar.

Firman Allah SWT: Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (al-Kahfi: 11)

Al-Maraghi berkata: Kami tutup telinga mereka dengan penghalang yang mereka tidak mendengar dan Kami juga menjadikan mereka tidur lelap tidak bangun-bangun lagi walaupun di dalam gua itu bising dengan pelbagai suara sehingga bertahun-tahun lamanya yang tidak dapat dihitung.

Hamka berkata: Ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa mereka tertidur, sehingga tidak suatu pun yang didengar mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Dan tiada pula orang lain yang tahu kerana gua tersebut terletak jauh dari tempat kediaman manusia.



DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22/02/2013 

Khutbah Jumaat: Pandu mata, lidah ke arah kebaikan

Deria penting jika tidak dijaga boleh bawa permusuhan

Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi.

Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?

Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.

Akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keingkaran ketika di dunia.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal aku dulu celik?” (Surah Taha, ayat 124-125)

Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.

Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

Dalam pergaulan seharian tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.

Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan membabitkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia.

Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ia sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ia menggambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman.

Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.

Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan mendatangkan kebencian Allah dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.

Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat. Marilah merenung firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Online Agama 22/02/2013