February 27th, 2013

Bina atas dasar takwa

MASJID Quba (Masjid al-Quba) ialah masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid ini terletak di Kota Madinah, tidak jauh dari Masjid an-Nabawi dan diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum baginda tiba di Madinah ketika berhijrah dari Mekah.

Masjid Quba kemudian disiapkan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Baginda menghabiskan masa selama 20 malam (selepas hijrah) di samping bersembahyang dan beribadat kepada Allah SWT.

Rumah Saidina Ali bin Abi Talib terletak di belakang Masjid Quba, dan Nabi Muhammad SAW sering mendirikan solat sunat sementera menunggu Saidina Ali.

Masjid Quba dianggap antara masjid paling suci dalam pegangan penganut Islam, mengikut turutannya ialah Masjidil Haram (Mekah), Masjid an-Nabawi (Madinah), Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis), Masjid Quba (Madinah).


Masjid Quba dianggap antara masjid paling suci dalam pegangan penganut 
Islam selepas Masjidil Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjidil Aqsa.



  Batu Tanda Masjid Quba — at Masjid Quba. Madina 10 October 2011

Di dalam al-Quran, Masjid Quba sebagai masjid yang dibangunkan di atas dasar takwa sebagaimana firman Allah SAW yang bermaksud: Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (al-Taubah: 108)

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad SAW kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat.

Mengikut hadis daripada Ibnu Umar RA: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berkunjung ke Quba dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki."

Telah diceritakan bahawa Nabi SAW menziarahi Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadangkala baginda pergi ke sana pada hari Isnin. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat umrah." (Tirmidzi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414)

Masjid Quba telah siap dibina semula dalam tahun 1986 Masihi. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi berkeras untuk meruntuhkan bangunan masjid yang lama.

Masjid Quba mempunyai dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempat di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan.

Terdapat enam buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini. Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara disetiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/02/2013

Waspada agenda iblis

SEBAGAI seorang Muslim, kita memiliki musuh yang terbesar. Siapapun kita, apapun mazhab dan aliran pemikiran, kita berkongsi musuh yang sama. Musuh terbesar setiap Muslim adalah iblis.

Sejak Allah SWT mengusirnya dari Syurga, iblis telah bersumpah akan terus memusuhi dan memperdaya manusia. Menarik manusia sebanyak yang boleh ke neraka adalah misi hidup iblis satu-satunya.

Oleh kerana itu, Allah selalu mengingatkan kita agar berhati-hati dan menjaga diri daripada tipu daya dan bujuk rayu iblis.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengajak pengikutnya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. (al-Fatir: 6)

Agenda iblis

Untuk menjaga diri daripada tipu daya iblis, kita mesti mengetahui strateginya dalam menyesatkan manusia. Kita mesti tahu apa sebenarnya yang menjadi agenda utama iblis pada saat ini untuk menyesatkan umat Islam.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa syirik bukan lagi agenda terbesar iblis. Setelah pengutusan Rasulullah SAW kepada umat manusia, agenda tersebut dilihat sudah tidak lagi strategik dan relevan. Iblis sedar bahawa syirik tidak akan bertahan di hadapan cahaya iman yang sangat terang.

Iblis lalu beralih ke agendanya yang lebih realistik iaitu memecahbelahkan umat Islam dan menjadikan setiap Muslim memusuhi Muslim yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya iblis telah berputus-asa untuk kembali disembah di Semenanjung Arab. Akan tetapi, ia terus berusaha untuk mengadu domba mereka. (riwayat Muslim).


SENTIASA mendekatkan diri dengan masjid dan mengingati Allah boleh menghindarkan umat islam daripada godaan iblis. - Gambar hiasan

Perpecahan

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Ia lalu mengutus syaitan-syaitan ke semua penjuru dunia untuk menyesatkan manusia. Mana-mana yang paling banyak membuat kerosakan, maka dialah yang paling disukai iblis.

Salah satu daripada syaitan-syaitan kembali dan berkata: Hari ini aku telah melakukan ini dan itu. Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa. Lalu datang syaitan yang lain dan berkata: Aku telah berjaya memisahkan antara seorang suami dengan isterinya. Iblis memeluknya sambil berkata: Engkaulah yang terbaik. (riwayat Muslim).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa agenda terbesar iblis adalah memecah belah umat Islam. Perpecahan yang bersifat individual yang berlaku antara pasangan suami-isteri, mentua-menantu, abang-adik atau lain sebagainya amat dihargai iblis.

Mana-mana syaitan yang berjaya mencetuskan perpecahan tersebut akan mendapat pingat penghargaan daripada iblis.

Sudah pasti tidak terbayang kegembiraan iblis apabila melihat perpecahan itu melibatkan kumpulan yang lebih besar. Apabila umat Islam saling mengkafirkan, saling memfitnah, saling berburuk sangka, enggan bertegur sapa, maka pada saat itu iblis tersenyum lebar. Misi terbesarnya terlaksana seperti mana yang ia inginkan.

Satukan hati

Sebagai Muslim kita mesti waspada dengan syaitan-syaitan ini. Mereka sangat pandai menipu kita untuk mewujudkan agenda iblis. Pasukan iblis bukan hanya syaitan-syaitan yang berbentuk halus, seringkali ia juga berbentuk manusia seperti kita.

Lebih penting daripada itu, berusahalah untuk menggagalkan agenda iblis ini. Yakni dengan cara merapatkan barisan dan menyatukan hati demi agama Allah. Jangan biarkan perbezaan pendapat yang berlaku dimanfaatkan oleh iblis sebagai celah yang akan meretakkan kesatuan kita.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/02/2013

Peguam Syarie Menulis: Hikmah bertunang

Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang

Tunang atau dalam bahasa Arab disebut khitbah adalah hasrat seorang lelaki untuk menjadikan seorang perempuan sebagai isterinya atau secara ringkasnya suatu perjanjian untuk mendirikan rumah tangga.

Perjanjian juga dianggap sebagai suatu kontrak sebelum memasuki alam pernikahan, iaitu apabila pihak lelaki mengemukakan hasrat untuk mengahwini pihak perempuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui orang tengah atau perantaraan.

Firman Allah SWT: “Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf.” (Surah al-Baqarah, ayat 234-235)

Mengikut adat orang Melayu, jika seorang lelaki berkenan kepada seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibu bapanya. Maka ibu bapa lelaki atau saudara-maranya akan bertandang ke rumah perempuan untuk memaklumkan kepada ibu bapa perempuan hasrat lelaki itu.

Bukan tiket hubungan bebas

Kebiasaannya, sebentuk cincin merisik akan dibawa ketika bertandang. Sewaktu merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan diadakan, seperti tarikh dan tempat majlis pertunangan diadakan.

Hikmah bertunang adalah untuk membuka jalan perkenalan antara pasangan, mengenali hati budi masing-masing, menyuburkan rasa cinta kerana perkahwinan hendaklah diasaskan kepada cinta antara satu sama lain dan memastikan jiwa serta emosi pasangan yang bertunang stabil.

Namun, ikatan pertunangan bukanlah bermakna ia tiket membenarkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menyegerakan akad perkahwinan jika didapati ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas antara pasangan yang bertunang.

Secara amnya Islam telah menggariskan syarat yang sepatutnya dimiliki setiap pasangan yang berhasrat untuk bertunang. Lelaki yang mengemukakan hasrat bertunang wajiblah seorang yang berakal, beragama Islam dan telah akhil baligh.

Lelaki itu juga harus dipastikan orangnya, supaya tidak keliru dengan orang yang mempunyai nama sama. Disyaratkan juga lelaki itu hendaklah seorang lelaki yang tidak mempunyai empat isteri.

Syarat pada pihak perempuan juga hendaklah beragama Islam, pasti orangnya, terutama sekali apabila perempuan itu mempunyai ramai adik-beradik perempuan dan halal bagi lelaki yang ingin meminangnya.

Wanita yang haram dikahwini

Perempuan yang diharamkan dikahwini dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya.” (Surah al-Nisa, ayat 32)

Perempuan itu juga hendaklah bukan di dalam edah cerai hidup atau cerai mati, dan hendaklah bukan isteri kepada lelaki lain. Mana-mana pertunangan yang diadakan dengan perempuan yang telah bersuami, ia adalah tidak sah dan terbatal.

Lelaki yang menjalin hubungan dengan seorang perempuan sedangkan dia mengetahui perempuan itu adalah isteri seseorang, lalu menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ itu sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya, juga termasuk dalam konteks meminang yang dilarang syarak.

‘Peminangan’ sedemikian akan mendorong perempuan itu meminta cerai daripada suaminya, sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Islam melarang seorang isteri meminta cerai daripada suaminya, tanpa sebab yang diharuskan syarak.

Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana perempuan yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah ke atasnya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Disyaratkan juga perempuan itu bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki atau dipersetujui pihak lelaki, yakni lelaki bersedia memutuskan pertunangan itu.

Tuntutan ganti rugi pertunangan

Memutuskan ikatan pertunangan tanpa sebab yang sah boleh menyebabkan tindakan ganti rugi pertunangan dikemukakan di Mahkamah Syariah. Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 1992) memperuntukkan: “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.”

Menaruh minat terhadap perempuan yang telah bertunang juga adalah suatu perkara yang perlu dielakkan. Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan tunangan orang boleh menyebabkan perbalahan, pergaduhan, perpecahan dan boleh memutuskan silaturahim.

Islam melarang keras perbuatan memutuskan silaturahim. Sabda Nabi SAW: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim.” (Riwayat Muslim)

Musa Awang ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com. Berita Harian Online Agama 27/02/2013

Ambil iktibar musibah elak berulang

Daripada Atha’ bin Abu Rabah katanya, dia mendengar Aisyah isteri Rasulullah SAW bercerita: “Apabila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah SAW sehingga Baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah Baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah: “Aku bertanya kepada Baginda, apa yang menyebabkan Baginda gelisah sebegitu rupa. Jawab Baginda: Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi apabila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat.” (Riwayat Muslim)

Tinggalkan larangan Allah

Allah SWT menyuruh kita hamba-Nya sentiasa melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Maka selaku manusia yang ditugaskan menjadi khalifah Allah, wajib kita menjalankan perintah Allah itu tanpa rasa malas, angkuh dan sombong atau dengan lain perkataan menderhaka Allah dengan melakukan berbagai kemaksiatan di muka bumi ini.

Sesungguhnya apabila kemurkaan Allah menjelma akibatnya amat dahsyat sekali seperti yang berlaku pada kaum ‘Add yang hanyut dengan seribu satu kemaksiatan hingga pada suatu ketika telah datang kepada mereka awan mendung dan mereka berkata: “Inilah awan-awan yang akan menurunkan hujan bagi kita.”

Namun ternyata bahawa hal yang sebaliknya berlaku di mana kebaikan yang mereka sangkakan akan mendatangi mereka sebenarnya adalah satu bala (malapetaka) yang diturunkan Allah akibat kejahatan yang mereka lakukan.

Mengingatkan hal inilah, Rasulullah SAW akan merasa resah gelisah setiap kali awan mendung berarak, memikirkan sama ada ia satu rahmat atau laknat daripada Allah SWT. Oleh itu umat Islam hendaklah sentiasa beringat dan menjauhi perkara mengundang kemurkaan Allah SWT.

Pengajaran daripada malapetaka

Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, pelbagai malapetaka alam yang terjadi seperti gempa bumi, taufan, letupan gunung berapi, banjir besar, ombak besar dan sebagainya berlaku dan sesungguhnya segala peristiwa itu sebenarnya mempunyai pengajaran (mesej) yang tersendiri.

Ini untuk umat manusia seluruhnya di mana hanya manusia yang benar-benar beriman, beramal soleh serta yang diberi taufik serta hidayah saja yang akan sedar dan mengambil iktibar daripadanya.


Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Online Agama 27/02/2013