February 28th, 2013

Bahaya syirik

MENYEKUTUKAN Allah SWT dengan benda lain sebagai sembahan, objek pemujaan dan tempat menggantungkan harapan dinamakan syirik.

Kata 'syirik' berasal daripada bahasa Arab syarika-yusyriku-syirik, yang bermaksud 'sekutu' atau 'persekutuan.'

Syirik digolongkan dalam kategori kufur kerana perbuatan itu mengingkari keesaan Allah, yang bermaksud mengingkari kemahakuasaan dan kemahasempurnaan-Nya.

Dalam al-Quran, istilah 'kafir' kadang-kadang digunakan untuk orang musyrik (pelaku syirik) di samping istilah 'musyrik.'

Syirik kecil (al-syirk al-asghar) disebut juga riak (riya). Riak dikategorikan sebagai syirik berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa syirik tersembunyi (al-syirik al-kahfi) ialah melakukan pekerjaan supaya dilihat atau dipuji orang.

Asas adanya syirik kecil dalam erti riak terdapat dalam Q.18:10. Menurut para musafir, istilah 'syirik' dalam ayat tersebut merujuk kepada erti syirik dalam bentuk riak. Yang banyak disoroti dalam al-Quran ialah syirik besar (al-syirik al-akbar) khususnya penyembahan berhala, yang disebut juga syirik terang-terangan (al-syirik al-jail).

Daripada al-Quran diketahui bahawa lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, manusia telah menyembah berhala.

Para rasul yang diutuskan ke dunia, daripada Nabi Nuh AS hingga Nabi Muhammad SAW umumnya berhadapan dengan masyarakat penyembah berhala.

Orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa apa yang disembah itu memiliki ciri ketuhanan.


Pemujaan merupakan salah satu perbuatan syirik kerana mempercayai kuasa lain selain Allah SWT dengan bergantung harap kepada objek. - Gambar hiasan

Tuhan kecil

Kemusyrikan dalam bentuk berhala merupakan ciri masyarakat tradisi, seperti halnya masyarakat pada zaman para nabi. Berhala, baik dalam bentuk patung mahupun bentuk lain dijadikan objek sembahan kerana dianggap dapat mendatangkan manfaat serta menolak bahaya.

Berhala itu berfungsi sebagai tuhan kecil (alihan) kerana disembah dan dipuja. Orang musyrik menjadikan tuhan kecil itu sekutu dan tandingan bagi Allah SWT.

Pada era pertama kerasulannya hingga lebih separuh tempoh perjuangan baginda, Nabi Muhammad SAW sendiri menghadapi kaum penyembah berhala, bahkan setelah berhijrah ke Madinah.

Kaum musyrikin merupakan musuh utama yang dihadapinya. Penentangan mereka dapat dipadamkan ketika umat Islam berjaya membebaskan Mekah pada tahun 8 Hijrah serta menghancurkan patung berhala di sekitar Kaabah.

Sejak itu, berakhirlah era pemujaan berhala di tempat suci itu.

Dakwah Nabi

Dakwah utama para rasul adalah untuk menanam akidah tauhid dan mengikis fahaman keberhalaan. Umat Nabi Nuh a.s memuja berhala. Dalam al-Quran disebut nama berhala, antaranya Wadd, Suwaa, Yaghuth, Y'uuqdan Nasr (Q.71:23).

Nabi Hud a.s pula mendapati bahawa kaumnya ('Ad) menyembah banyak tuhan. Ketika Nabi Hud a.s menyeru kepada tauhid, mereka menjawab: "Wahai Hud, engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaran dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu!"(Q.11:53 )

Berhala sembahan dianggap sebagai tandingan bagi Allah SWT kerana orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa sembahan patung itu memiliki ciri ketuhanan.

Dosa syirik sangat dilarang dan tidak akan diampuni Allah SWT. Justeru, inilah yang sangat dilarang oleh Allah SWT Maka sangat wajarlah jika syirik merupakan dosa paling berat antara semua dosa dan kejahatan.

Al-Quran menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik dan perbuatan syirik ialah dosa yang sangat besar.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/02/2013

Istiqamah untuk kejayaan hidup

DALAM kehidupan umat Islam, sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran.

Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan.

Umat Islam digalakkan berpegang teguh pada akidah yang benar, iaitu Akidah Ahli al-Sunnah wal-Jamaah, melaksanakan tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis, mempunyai prinsip dan keyakinan yang kuat, tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan syaitan dan tidak tunduk pada tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan mempertahankan kebenaran.

Sifat mulia ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu (beribadah) kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya)" (Surah Fussilat: 41:6).

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Katakanlah aku beriman dengan Allah SWT kemudian teguhkan pendirian kamu." (Riwayat Muslim).

Istiqamah merangkumi amalan hati, amalan lisan serta perbuatan iaitu anggota tubuh badan yang merupakan kekuatan sepanjang hayat dalam melaksanakan tuntutan Islam.

Sebagai contoh, istiqamah dalam iman, dalam solat dan ibadah-ibadah lain serta menegakkan kebenaran dan keadilan dengan menentang kebatilan dan kezaliman.

Sebagai ibu bapa, kena didik anak-anak dengan sifat istiqamah yang dapat mendidik hati supaya sentiasa tetap teguh kepada Allah SWT.

Pendidikan sejak kecil hingga remaja dan terus kepada dewasa akan memperteguh hati dan jiwa supaya sentiasa beristiqamah kepada Allah SWT.


Orang yang Istiqamah tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan syaitan serta tunduk pada tekanan dalam beribadah. - Gambar hiasan

Bagi memperkukuh istiqamah dalam hati seseorang Muslim mestilah mempertahankan kesucian iman, menjaga kesucian hati daripada sifat-sifat syirik, riak, takbur dan sombong.

Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada istiqamah. Seterusnya menyuburkan hati dengan sifat ikhlas, jujur dan sentiasa reda kepada-Nya.

Keluhuran hati Rasulullah SAW dapat dijadikan contoh melalui sifat-sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih sayang, zuhud dan tawaduk.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya." (Riwayat Abu Daud).

Istiqamah lisan menjaga tutur kata supaya sentiasa bercakap benar, jujur, tepat dan tidak berpura-pura. Sentiasa mengelakkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti memfitnah dan bercakap kotor (seperti mencarut) dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda: " Tinggalkan apa yang meragui anda kepada apa yang tidak meragui anda." (Riwayat Al-Bukhari).

Keraguan termasuk kerja hati. Hati orang yang beriman dapat menimbang antara yang mulia dan yang hina dan antara yang jelas dan yang meragukan. Islam mengajak umatnya supaya sentiasa bersifat istiqamah. Allah SWT menerima sesuatu amalan yang diyakini dan menolak yang meragui.

Seterusnya, Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan)." (Riwayat Al Hakim).

Dalam hubungan ini, Ulama Ahmad Athaillah mengatakan: " Ada kalanya Allah memberi kepadamu kekayaan (kesenangan) dunia, tetapi tidak memberi kepadamu taufik dan hidayah-nya. Ada kalanya Allah menolak (tidak memberi) kamu kesenangan dunia dan kemewahan-nya, tetapi memberi kepadamu taufik dan hidayah-Nya."

Berkaitan dengan istiqamah, Abi, Amrah Sufyan bin Abdullah r.a., berkata: "Aku bertanya maksudnya 'hai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam perkataan yang tidak perlu aku bertanya seorang pun selainmu."

Sabda baginda: "Katakanlah iaitu aku beriman dengan Allah kemudian istiqamah." (Riwayat Muslim).

Daripada hadis ini jelas antara bentuk istiqamah ialah melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunah Rasulullah.

Menambah ibadat yang sunat, menjauhi yang haram, melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.

Kita juga digesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah.

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah berazam memperkuatkan sifat istiqamah dalam hati, menerusi lisan dan juga perbuatan.

Semoga dengan mendidik hati, lisan dan perbuatan dengan sifat istiqamah akan mencapai kejayaan di dunia dan juga akhirat dengan penuh keberkatan dan kejayaan.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/02/2013

Menegur kesilapan

Tegur menegur adalah salah satu perbuatan dan sikap yang baik pada pandangan Islam. Bersesuaian dengan kelemahan di dalam diri manusia yang memerlukan teguran untuk memperbaiki kesilapan diri.

Kita bukannya maksum seperti Nabi dan Rasul yang sentiasa terpelihara oleh Allah SWT daripada dosa. Kita juga bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Dengan teguran, manusia akan sedar atas kesilapan, kelemahan dan kesalahan dalam diri. Pastinya kita yang hidup bermasyarakat ini pernah mengalami peristiwa ditegur dan menegur kerana kesilapan yang dilakukan.

Kemudian kita dapati ada sebahagian yang dapat menerima teguran dan tidak kurang juga sebahagian yang tidak dapat menerima teguran.

Segala puji bagi Allah bersama-sama orang yang terbuka hatinya untuk menerima teguran dan memperbaiki kesilapan. Namun, cuba kita fikirkan sebab-sebab orang yang tidak dapat menerima teguran. Bahkan kesalahan yang dilakukan tidaklah sebesar mana pun.

Salah satu kebarangkalian orang yang ditegur tidak dapat menerima teguran itu bukanlah kerana dia tidak boleh berubah dan memperbaiki kesalahan, tetapi disebabkan cara dan kaedah teguran yang kurang bijak atau tidak sesuai pada orang yang ditegur itu.

Tidak dinafikan walaupun perkara yang ditegur itu sememangnya satu kesalahan yang perlu ditegur. Tetapi teguran dengan cara yang tidak betul dan berhemah menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk.

Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak dapat menerima teguran kerana kesilapan cara menegur seperti sindiran, perlian, cacian, makian, terlalu emosi semasa menegur, menegur dikhalayak ramai, seterusnya memalukan orang yang ditegur dan sebagainya.

Lebih malang lagi apabila teguran menjadi penyebab terjadinya permusuhan, saling benci-membenci, putus kawan, putus saudara dan saling ungkit mengungkit dan menyalahkan satu sama lain dan seterusnya menimbulkan perasaan dendam dalam diri masing-masing. Akhirnya matlamat untuk memberi kesedaran pada niat asalnya tidak kesampaian.

Teladani Rasulullah

Marilah kita meneladani keperibadian Rasulullah SAW ketika baginda menegur sahabatnya sepertimana hadis berikut; Daripada Ibnu Abbas r.a berkata: "Seorang lelaki membonceng Rasulullah SAW pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu memandang ke arah mereka. Rasulullah SAW pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah SAW bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni [Musnad Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]

Hadis ini memberikan pengajaran kepada kitamethodologi dan pendekatan Rasulullah SAW dalam menegur kesilapan yang dilakukan oleh para Sahabat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peranan kita sebagai individu dalam masyarakat, antara tanggungjawab yang perlu kita mainkan ialah menegur kesilapan dan kesalahan orang.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/02/2013

Masjid warga kota

MASJID merupakan tempat ibadat umat Islam, di mana sahaja walaupun berada di kawasan majoriti penduduknya bukan beragama Islam, rumah ibadah tersebut tetap menjadi tumpuan aktiviti masyarakat. Hal ini termasuklah aktiviti penyebaran syiar Islam.

Lebih-lebih di negara Islam termasuk Malaysia sendiri, masjid telah memainkan peranan penting dalam memakmurkan dan menyatukan perpaduan umat Islam sejak Islam bertapak di negara ini hampir ribuan tahun yang lalu.

Sekalipun negara berkembang pesat, pembangunan insaniah tidak pernah diabaikan oleh kerajaan selama ini termasuklah pembangunan masjid. Sehubungan itu, kewujudan Masjid Jamek Kuala Lumpur di tengah pembangunan ibu kota telah menjadi bukti bahawa Islam bertapak kukuh di negara ini.

Warga kota khususnya telah mengenali Masjid Jamek Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun Perak di samping kedudukannya berada antara Sungai Gombak dan Sungai Klang serta menjadikannya kedudukan paling strategik untuk tumpuan orang ramai.

Rumah ibadat berkenaan dibina pada tahun 1909 merupakan salah satu di antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Pembinaannya direkabentuk dan diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, A.B Hubback yang pernah bertugas di Jabatan Kerja Awam di India. Oleh kerana itu, senibina masjid itu bercirikan senibina Monghul dan berdasarkan reka bentuk sebuah masjid di India Utara.

Masjid Jamek


Kegemerlapan cahaya Masjid Jamek Kuala Lumpur pada waktu malam menyerikan keindahan ibu kota.


Mengikut fakta, pihak British ketika itu membina Masjid Jamek Kuala Lumpur berhampiran dengan pusat pentadbiran iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memudahkan kakitangan kerajaan beragama Islam mengerjakan solat lima waktu dan solat Jumaat.

Upacara perletakan batu asas pembinaan masjid itu telah dilakukan pada 23 Mac 1908 dan disempurnakan pembukaannya oleh Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909.

Seni bina masjid tersebut menjadikan ia sebagai mercu tanda yang kemudiannya berkembang sebagai nadi bandar raya Kuala Lumpur. Masjid Jamek Kuala Lumpur merupakan tempat utama bagi solat Jumaat dan pusat aktiviti Islam sehinggalah terbinanya Masjid Negara pada tahun 1967.

Oleh kerana kedudukannya dihimpit oleh Sungai Klang dan Sungai Gombak, Masjid Jamek Kuala Lumpur tidak dapat diperbesarkan. Malah para jemaah yang mengambil wuduk, perlu melakukannya di bucu pertemuan sungai. Beberapa lapis tangga dibina ke dalam sungai untuk memudahkan orang ramai mengambil air sembahyang.

Reka bentuk masjid ini dibuat mengikut reka bentuk tradisional India Utara dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup dan diapit dengan dua menara serta beberapa menara lebih kecil. Kubah bebawang di kemuncak dewan solat dan di kemuncak menara menyerupai seni bina Moghul.

Masjid Jamek Kuala Lumpur adalah contoh hasil arkitek warga British yang membabitkan gabungan unsur Moor dan Mughal. Belang merah dan putih dinding batu sama di luar Masjid Jamek Kuala Lumpur seperti seni bina Cordoba, Sepanyol. Persamaan lain boleh dilihat pada gerbang bertiang dalam bentuk berpetak dan perincian dengan selang jalur batu-bata dan marmar.

Tumpuan

Selain terletak antara Sungai Gombak dan Sungai Klang, kemudahan awam transit aliran ringan (LRT) berhampiran telah memberi kesenangan kepada orang ramai untuk singgah menunaikan ibadah di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Bahkan dikelilingi pusat aktiviti ekonomi dan pentadbiran kerajaan, para pekerja yang beragama Islam mengunjungi Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi melakukan solat Jumaat pada setiap minggu.

Maka dengan kedudukannya sebagai tempat tumpuan orang ramai, sesuai dengan namanya iaitu 'Jamek' berasal daripada bahasa Arab merupakan perkataan jamak bermaksud banyak atau ramai.

Sehingga hari ini, Masjid Jamek Kuala Lumpur tetap menjadi kunjungan termasuk para pelancong asing. Oleh demikian, bagi menaikkan martabat institusi berkenaan sebagai rumah ibadat umat Islam khususnya warga kota, Masjid Jamek Kuala Lumpur telah ditutup sementara waktu sehingga Mac ini untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/02/2013

Pertahan warisan Jawi

MUNGKIN ramai tidak mengenali Profesor Dr. Kang Kyoung Seok. Namun beliau umpama sebutir permata kerana menjadi satu-satunya profesor berbangsa Korea yang mempunyai kepakaran dan berjuang memelihara tulisan Jawi walau di mana beliau berada.

Malah kepakaran beliau itu turut mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Profesor berusia 58 tahun itu begitu berminat dan banyak mempelajari mengenai tulisan Jawi dan budaya orang Melayu.

Tulisan Jawi pernah digunakan secara meluas dalam hasil-hasil penulisan Melayu pada satu ketika dahulu sebelum digantikan dengan huruf Roman.

Kang dalam artikelnya menyuarakan kebimbangan mengenai tulisan Jawi yang semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Dr. Kang yang kini telah kembali ke Korea Selatan selepas menamatkan tugasnya sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jan lepas, setelah berbakti selama tiga tahun, akan meneruskan kerjayanya sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

Namun menurut Kang, kepulangan beliau ke negara kelahirannya itu bukan noktah bagi usaha beliau mempertahankan warisan Jawi yang dilakukannya sejak tahun 1974 bermula dari tempat asalnya di Busan, Korea Selatan hinggalah ke UPSI.

Budaya Melayu

Bukan kerana sudah tidak sudi tinggal di Malaysia yang dianggap negara keduanya itu, kepulangan Kang ke Korea Selatan lebih kepada usahanya ingin mengembalikan populariti budaya Melayu terutama tulisan Jawi di negara tanah tumpah darahnya itu.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Melayu semakin kurang dikenali berbanding tahun 80-an dan 90-an dulu, terutama dalam kalangan pelajar universiti kami dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau kebanyakan pelajarnya menyangka bahawa bahasa dan budaya Indonesia itu adalah sama, maka apa yang terjadi pelajarnya hanya mempelajari bahasa dan budaya Indonesia.

"Ini tidak betul kerana walaupun banyak persamaan namun kedua-duanya adalah berlainan dan mempunyai keunikan yang tersendiri yang perlu dipelajari.

"Pelajar saya perlu tahu menyanyi lagu Melayu Asli, menari Zapin dan menulis Jawi jika mahu belajar tentang Melayu dan Malaysia," katanya sambil tersenyum lebar.

Kang berkata hubungan erat yang terjalin antara universitinya dengan UPSI dan DBP akan digunakan sepenuhnya dalam usahanya itu.

Antara usaha terkini daripada beliau ialah membawa seorang Profesor Tamu dari UPSI atau DBP menjadi pensyarah di universitinya di Korea Selatan.

Pertahan tulisan Jawi


Tulisan Jawi pernah digunakan secara meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara suatu ketika dahulu - Gambar hiasan

Memperkatakan tentang usaha mempertahankan tulisan Jawi di negara ini, beliau berkata masyarakat Melayu di negara ini sepatutnya menjadikan tulisan itu sebagai satu perkara lebih universal.

"Saya lihat sekarang tulisan Jawi ini banyak digunakan masyarakat Melayu secara eksklusif dalam hal ehwal keagamaan sahaja, mengapa tidak tulisan ini dibawa ke universiti sebagai teks utama dalam pelajaran di sana.

"Bagi saya pelajar muda di universiti adalah kumpulan utama yang perlu dicapai kerana mereka cerdik pandai yang akan mencorakkan masa depan Malaysia, jika mereka ada kesedaran tentang Jawi saya yakin tulisan Jawi akan terus berkembang di Malaysia pada masa hadapan," katanya.

Selain itu, inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu Gangnam Style boleh dilakukan bagi menarik golongan muda.

"Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Teori Jawiology

Menceritakan kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan Jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan Jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan Jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan Jawi yang amat dekat di hatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80-an.

"Saya masih mengkaji tulisan di batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'.

"Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja.

"Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih mendalam lagi," katanya.

Hembusan terakhir

Ketika ditanya bila beliau mahu bersara daripada mempertahankan warisan Melayu itu, namun dibalas dengan air muka serius daripada Kang.

"Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," tekad beliau.

Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya.

"Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea meminati bahasa dan budaya Malaysia," katanya. — BERNAMA



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/02/2013