March 2nd, 2013

Bersangka baik nilai akhlak mulia

Sikap negatif ditegah dalam Islam kerana boleh rosakkan hubungan murni antara rakan

Setinggi dan seindah manapun bangunan pejabat kita, ia tidak dapat menjamin indahnya suasana hubungan di kalangan warga kerja jika ada yang saling menyimpan perasaan buruk dan berprasangka antara satu sama lain. Prasangka buruk adalah sikap dan perilaku yang mengandungi dorongan negatif terhadap seseorang kerana ia biasanya wujud tanpa asas atau bukti sahih terhadap objek prasangka. Ia boleh menjadi lintasan, malah bertapak dalam hati sesiapa saja.


Perasaan itu sama ada tersimpan mahupun dijelmakan dalam tingkah laku, prasangka boleh menjadi ibarat racun dalam hubungan dan komunikasi antara warga di tempat kerja. Hubungan berasaskan prasangka akan kaku, keruh serta tiada kejujuran.

Pelbagai gambaran dinyatakan dalam pepatah Melayu seperti gunting dalam lipatan, telunjuk lurus kelingking berkait dan talam dua muka berkait rapat dengan prasangka. Ia menjejaskan gelagat kerja berteraskan kasih sayang, hormat menghormati dan muafakat serta menyebabkan permusuhan.

Sikap prasangka ditegah dalam Islam. Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Imam al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan fi tafsir al-Quran mengatakan, Allah SWT melarang menghampiri sikap bersangka buruk terhadap orang mukmin yang tidak berdasarkan kebenaran jelas dan diyakini.

Hindar keburukan

Sebaliknya suruhan dalam Islam adalah bersangka baik, menyeru kepada kebaikan dan menghindarkan keburukan.

Firman Allah SWT: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah SWT.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Sabda Rasulullah SAW: “Hati-hatilah kamu sekalian daripada zan (bersangka buruk) kerana zan itu adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu mendengar ucapan orang lain dalam keadaan mereka tidak suka.

Janganlah kamu mencari-cari cela orang lain. Jangan kamu berlumba-lumba untuk menguasai sesuatu. Janganlah kamu saling hasad, saling benci dan saling membelakangi. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara seperti mana yang Dia perintahkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, prasangka buruk perlu diubah menjadi prasangka baik. Salah satu nilai akhlak pekerja yang mulia adalah berprasangka baik. Dengan cara kita menilai apa yang zahir dengan baik dan menyerahkan penilaian yang tersembunyi dan secara batin kepada hak Allah.

Al-Imam Al-Qurtubi mengatakan, prasangka buruk terhadap orang yang zahirnya baik tidak dibolehkan. Sebaliknya, tidak berdosa jika ada lintasan hati terhadap individu yang zahirnya bersikap dan diketahui berperibadi buruk.

Bagi mewujudkan gelagat kerja yang harmoni dalam organisasi, setiap pekerja perlulah mempunyai kesedaran mengenai perilaku dan sikap negatif yang ditegah dalam Islam kerana selain ia merosakkan hubungan murni sesama rakan ia mengundang kemurkaan Allah SWT.

Pendedahan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara antaranya melalui aktiviti latihan atau ceramah dan bagi penjawat awam, modul penerapan nilai Islam serta Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam.

Kedua, nasihat dan teguran daripada rakan untuk mengelakkan hubungan berasaskan prasangka buruk menjadi budaya. Sabda Rasulullah: “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu maka hendaklah dia membenci dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Tidak mudah terpedaya

Ketiga, menahan diri supaya tidak mudah terpedaya dengan perihal yang disangkakan atau terburu-buru dalam perilaku. Keempat, mendapatkan kepastian, keterangan atau bukti.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, jika orang fasik membawa berita kepadamu maka periksalah.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kelima, menjalankan aktiviti silaturahim secara berterusan sama ada oleh individu mahupun yang dianjurkan organisasi untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan warga organisasi. Tanpa kesatuan hati tidak mungkin kesatuan matlamat dan misi dapat didukung bersama oleh warganya.

Kegagalan membangunkan sikap berasaskan akhlak mulia dalam kalangan warga organisasi bererti organisasi itu gagal untuk dibangunkan. Justeru, marilah kita memperbaiki hubungan dengan mengikis sikap berprasangka serta memupuk sikap saling bersangka baik dan jujur terhadap rakan, majikan, bermula daripada diri sendiri.

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam UM Berita Harian Online Agama 18/10/2012

Nabi tak pernah galak ummah meminta jawatan

Kita dianjur untuk teliti, kaji sahsiah pemimpin dilantik

Al-Quran tidak menyebut secara langsung mengenai politik seperti perkataan akidah dan fadilat atau kelebihan. Kedua-dua perkataan ini juga tidak disebut secara langsung oleh Allah SWT. Namun, al-Quran dipenuhi perkara yang menjurus kepada keimanan berkaitan akidah dan segala bentuk kebaikan bagi menuntut kelebihan serta ketinggian.

Justeru, penyertaan ulama dalam menentukan hala tuju sesebuah negara adalah bertepatan dengan kehendak agama Islam. Lebih jelas jika dirujuk kepada sesetengah definisi politik yang mengaitkan pentadbiran dunia dengan landasan agama.


Ungkapan al-Quran yang menjurus kepada politik adalah kekuasaan atau ‘mulk’. Firman Allah SWT: “Katakanlah (Wahai Muhammad) bagi Allah segala kekuatan dan kekuasaan. Diberikan kuasa kepada siapa yang dikehendaki. Memuliakan serta menghinakan sesiapa yang dikehendaki.” (Surah Ali-Imran, ayat 26)

Al-Quran menjelaskan kekuasaan satu ketentuan daripada Allah SWT yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki. Al-Quran mengaitkan kekuasaan dan kekuatan dengan nabi khususnya Nabi Sulaiman, Daud dan Ibrahim.

Zulkarnain juga disebut sebagai mereka yang berpengaruh dan mempunyai kekuasaan hebat. Bagaimanapun, mereka amat berhati-hati dengan segala kurniaan ini kerana segala khazanah dan kekayaan berada di depan mata.

Tak galak minta jawatan

Oleh itu, Baginda SAW tidak pernah menggalakkan seseorang meminta jawatan kecuali jika diminta orang lain di atas kelayakan yang dimiliki. Namun, sikap meminta-minta jawatan adalah perkara yang tidak disukai Baginda SAW.

Baginda bersabda kepada Ibn Samurah: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah jangan engkau memohon sesuatu jawatan dalam kepemimpinan. Sesungguhnya jika diberikan jawatan itu dengan permintaan itu, maka engkau akan mengharunginya tanpa mendapat pertolongan. Tetapi jika engkau diberikan kepemimpinan tanpa meminta, maka engkau akan mendapat pertolongan dan dibantu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Musa, katanya: “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku masuk kepada Nabi SAW di mana salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik atau memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Ini menunjukkan Baginda SAW tidak menggalakkan seseorang meminta jawatan khususnya dalam kepemimpinan disebabkan jawatan adalah satu bebanan dan tanggungjawab yang perlu dipikul serta akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Apatah lagi jika kita tidak dapat berlaku adil dan akibatnya adalah kecelakaan pada hari kiamat nanti. Lebih parah jika seseorang itu tiada kelayakan dan kemampuan memikul tanggungjawab.

Beri amaran

Baginda SAW terus menerus memberi amaran dengan sabdanya: “Sesungguhnya jika kamu diberi jawatan, maka bersedialah kamu menghadapi penyesalan pada hari akhirat.” (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah)

Ulama beranggapan tidak sepatutnya bagi yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan diikuti dengan penyesalan. Ada juga berpendapat keinginan untuk memperoleh kuasa adalah sebab kepada berlakunya perbalahan dalam kalangan manusia sehingga terkadang menyebabkan pertumpahan darah, kerosakan harta benda dan pencabulan maruah.

Sahabat Baginda SAW tidak pernah mengimpikan jawatan penting dalam masyarakat, bahkan mereka sentiasa mengelak supaya tidak dilantik kerana mengetahui risiko yang akan ditanggung kelak.

Namun, Abu Bakar terpaksa menerima kerana keputusan yang diambil sahabat lain melalui syura berdasarkan kriteria yang ada pada beliau. Antaranya, beliau pernah menemani Baginda SAW dalam peristiwa hijrah, pernah diminta mengimamkan solat berjemaah ketika Baginda SAW sedang sakit serta pengorbanan yang besar terhadap hartanya untuk agama Islam.

Kita dianjurkan untuk meneliti dan mengkaji sahsiah mereka yang akan dilantik supaya dapat memikul tugas yang diamanahkan dengan baik dan berjaya. Kelayakan dalam sesuatu bidang adalah menjadi ukuran dan keutamaan dalam menilai kemampuan seorang pemimpin.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa melantik seseorang sebagai ketua dalam kumpulannya sedangkan masih ada kalangan mereka orang yang lebih layak daripadanya maka sesungguhnya dia mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya serta mengkhianati orang beriman.”

Sesungguhnya, kita berada di kemuncak zaman yang pernah digambarkan Baginda SAW lebih seribu tahun lalu. Berlaku perebutan serta perbalahan dalam mendapatkan jawatan dan akhirnya akan berlaku kerosakan kepada masyarakat.

Kita bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah SWT terhadap jawatan yang diberi serta jawatan terbaik adalah daripada pilihan masyarakat dan merekalah penilai sebenar kedudukan serta kemampuan kita.

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 2 March 2013