March 3rd, 2013

Prespektif IKIM: Dedah anak kepada ilmuwan Islam

Penumpuan seiring ilmu agama, akademik lahir modal insan berakhlak mulia

Kebetulan agak banyak menerima undangan majlis perkahwinan sejak akhir-akhir ini. Kesempatan itu juga digunakan untuk melihat gelagat orang di sekeliling dan daripada pemerhatian didapati rata-rata masyarakat Melayu di Malaysia amat menggemari hiburan.

Sesuatu majlis akan dilihat pincang jika tiada hiburan dan nyanyian. Pada akhir majlis pula kanak-kanak seawal usia dua tiga tahun sudah pandai menyanyi di atas pentas dan menerima tepukan gemuruh. Ia seolah-olah memberi galakan kepada kanak-kanak itu.

Di televisyen pun kita dapati banyak rancangan hiburan membabitkan kanak-kanak dalam pertandingan menyanyi. Jika keadaan ini berterusan, kita khuatir umat Islam di negara ini akan sentiasa terkebelakang dan sukar untuk berjaya serta bersaing dengan negara lain.

Tokoh ilmuwan Islam

Kita mempunyai ramai tokoh ilmuwan pada zaman kegemilangan Islam dulu, mengapa kita tidak dedahkan anak-anak dengan kejayaan mereka? Sekurang-kurangnya ia dapat dijadikan sumber inspirasi untuk anak kita cemerlang seperti ilmuwan Islam terdahulu.

Ceritakan kepada anak kita kehebatan tokoh Islam dulu yang mampu menguasai beberapa ilmu sekali gus. Berikan mereka galakan dan dorongan untuk mencontohi ilmuwan Islam berkenaan dan bukannya mencontohi penyanyi.
Contohnya, Abu Bakar Muhammad bin Zakaria ar-Razi atau dikenali sebagai Rhazes di dunia Barat, seorang daripada pakar sains Iran yang hidup antara 864 dan 930 masihi. Ar-Razi juga diketahui sebagai ilmuwan serba boleh dan dianggap ilmuwan terbesar dalam Islam.

Ar-Razi serba boleh

Ar-Razi sejak muda sudah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusasteraan. Sebagai doktor utama di rumah sakit di Baghdad, ar-Razi adalah orang pertama yang membuat penjelasan mengenai penyakit cacar.

Ar-Razi diketahui ilmuwan yang menemukan penyakit ‘alergi asma’ dan ilmuwan pertama menulis mengenai alergi serta imunologi. Dalam satu daripada tulisannya, beliau menjelaskan timbulnya penyakit rhinitis setelah mencium bunga mawar pada musim panas.

Ar-Razi juga ilmuwan pertama yang menjelaskan demam sebagai mekanisme tubuh untuk melindungi diri. Pada bidang farmasi, ar-Razi juga menyumbang membuat peralatan seperti tabung, spatula dan mortar. Ar-Razi juga mengembangkan ubat-ubatan berasal daripada raksa.

Seorang lagi tokoh ilmuwan Islam adalah Abu Ali Muhammad al-Hassan ibnu al-Haitham atau Ibnu Haitham yang dikenali dalam kalangan cerdik pandai di Barat dengan nama Alhazen, seorang ilmuwan Islam yang ahli dalam bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan dan falsafah.

Ibnu Sina pakar perubatan

Beliau banyak melakukan penyelidikan mengenai cahaya dan memberikan ilham kepada ahli sains Barat dalam menciptakan mikroskop serta teleskop. Abu Ali Al-Hussein Ibnu Sina atau dikenal dengan nama Avicenna, hidup antara tahun 986 dan 1037 masihi. Seorang ilmuwan Muslim yang keistimewaannya antara lain pada usia 10 tahun sudah hafaz al-Quran dan pada usia 18 tahun sudah menguasai semua ilmu yang ada pada waktu itu. Bidang keahliannya adalah ilmu kedoktoran, ilmu fizik, geologi, mineralogi.

Ilmuwan matematik Islam adalah Al-Khwarizmi atau nama sebenarnya Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang berketurunan Parsi. Al-Khwarizmi ilmuwan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah.

Al-Khwarizmi ahli astronomi

Beliau juga adalah ahli astronomi dan geografi di Bait al-Hikmah.

Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang matematik, astronomi, astrologi, geografi dan kartografi (tentang peta) serta pengasas perkembangan ilmu algebra dan trigonometri.

Ramai lagi tokoh ilmuwan Islam yang boleh dijadikan contoh kepada anak. Jika kita perhatikan kebanyakan ilmuwan Islam adalah penghafaz al-Quran. Sayangnya tokoh sains Islam ini semakin dilupakan dunia.

Satu ciri yang dapat diperhatikan tokoh ilmuwan Islam ialah mereka tidak sekadar dapat menguasai ilmu pada usia muda, tetapi juga menguasainya dalam masa singkat serta beberapa lagi bidang ilmu lain.

Satu ketika dulu umat Islam adalah pelopor ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Namun, hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat Islam dan akibatnya mereka ketinggalan ke belakang dari segi ilmu pengetahuan.

Negara memerlukan modal insan berkemahiran dan berakhlak mulia. Pembangunan modal insan adalah dengan membudayakan semula ilmu pengetahuan berdasarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ibu bapa harus menekankan kepentingan agama kepada anak mereka dan bukan hanya memberi ilmu akademik semata-mata. Yang pasti, di belakang setiap ilmuwan Islam terdahulu tentulah ibu bapa yang tidak pernah meminggirkan agama dan mendidik mereka sehingga berjaya.

Mastura Mohd Zain pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Berita Harian Online Agama 03/03/2013

Pemimpin, pengikut ada tanggungjawab tersendiri

Abdullah bin Amr melaporkan: "Kami mengikut Rasulullah dalam satu perjalanan. Kemudian, kami turun berhenti di sebuah tempat rehat. Antara kami, ada yang mendirikan khemah, berlatih memanah dan menjaga haiwan ternakannya.

Kemudian, juruseru Rasulullah mengumumkan: Mari sembahyang secara berkumpulan! Lalu, kami semua berkumpul di tempat Rasulullah.

Beliau kemudian berkata: Percayalah semua nabi sebelum saya berhak memberitahu pengikutnya seluruh kebaikan yang membawa manfaat kepada mereka. Mereka juga memberi amaran kepada pengikutnya berkenaan seluruh keburukan yang membahayakan mereka. Percayalah, keselamatan umat Muhammad ini diletakkan pada bahagian awal, manakala bencana berlaku pada bahagian akhir. Akan beberapa isu yang saudara menentangnya kerana bertentangan dengan hukum Allah. Selain daripada itu, timbul beberapa fitnah. Sebahagian daripada fitnah itu menyebabkan fitnah lain bagaikan menjadi ringan.

Terdapat pula fitnah, lalu berkatalah orang yang beriman: “Inilah yang menyebabkan kita rosak.” Akhirnya fitnah itu lenyap. Juga timbul fitnah lain, lalu berkatalah orang yang beriman: “Ini! Inilah fitnah paling besar.”

Sesiapa yang suka dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, hendaklah dia yakin kepada Allah dan hari akhirat ketika berdepan saat kematian. Dia juga bersikap kepada orang lain seperti mana dia suka orang lain bersikap kepadanya.

Taat pemimpin

Sesiapa yang bersumpah setia kepada pemimpin dengan berjabat tangan dan sepenuh hati, dia mesti taat kepada pemimpin itu dengan sedaya upayanya. Sekiranya terdapat mana-mana pihak cuba merampas kekuasaan pemimpin itu, hendaklah dia memerangi penentang itu.” (Direkodkan oleh Muslim)

Abu Hunaidah atau nama sebenarnya Wail bin Hujr melaporkan: “Pada suatu masa, Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya kepada Nabi Muhammad; “Wahai utusan Allah, bagaimanakah pendapat tuan sekiranya kami diperintah oleh beberapa orang pemimpin yang selalu memaksa kami memberikan hak mereka tetapi mereka tidak memberikan apa yang menjadi hak kami?

Nabi Muhammad memalingkan mukanya. Kemudian Salamah bin Yazid mengulangi pertanyaannya. Nabi Muhammad menjawab: Saudara sekalian, dengarlah arahan pemimpin itu dan taatlah. Mereka bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada mereka. Saudara bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada saudara.” (Direkodkan oleh Muslim)

Sumber: Riyadus Solihin Taman Orang Soleh Berita Harian Online Agama 03/03/2013

Alternatif segerakan perbicaraan

PROSES perbicaraan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah seringkali dikaitkan dengan kelewatan perbicaraan. Ramai yang mencari alternatif kepada perbicaraan dengan mencari jalan penyelesaian yang cepat dan tidak membebankan. Perantaraan atau mediation merupakan alternatif yang baik bagi penyelesaian pertikaian dengan segera.Di Malaysia Akta Mediasi 2012 telah diluluskan bagi menjamin kelancaran proses mediation.

Akta ini memperincikan ciri-ciri mediasi yang diiktiraf. Namun tiada satu badan khusus ditubuhkan bagi memajukan proses ini di Malaysia.

Proses mediation mengikut prinsip Shariah dikenali sebagai sulh atau wisatoh iaitu akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda-meredai.

Ia berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Dan jika dua puak dari orang orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya". (Al-Hujurat:9)

"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya 'nushuz' (kebencian),atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka berdua (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua, secara yang sebaik baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka berdua daripada bercerai-berai". (An Nisaa':128)

Manakala, sempadan hukum syarak dalam pelaksanaan proses sulh turut digariskan dalam hadis Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sulh itu antara kalangan Muslim adalah suatu yang harus kecuali adalah yang mengharamkan sesuatu perkara halal atau sulh menghalalkan suatu yang haram". (riwayat Tarmizi, Sahih Subulus Salam)

Perantaraan atau mediation adalah suatu proses perundingan terpimpin, tertutup serta terjaga, tidak formal dan sukarela untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan dibantu oleh pihak ketiga yang neutral.

Pihak ketiga terbabit yang dikenali sebagai mediator bekerjasama dengan pihak bertelingkah bagi mencari jalan penyelesaian secara damai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Alternatif sokongan

Prosedur mediation boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutamanya hubungan dan masalah kekeluargaan.

PPMM berhasrat menubuhkan Pusat Mediasi Islam (PMI) yang bertujuan antara lainnya untuk memberi sokongan terhadap sistem kehakiman Syariah yang tersedia ada serta alternatif kepada pihak pihak yang ingin menyelesaikan pertelingkahan mereka secara proses mediasi.

Penubuhan pusat ini akan membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti kes berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga tiga kes tersebut.

PPMM sendiri sudah acapkali membuat kursus asas mediation dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Negeri Terengganu dan Perak, Jabatan Mufti Selangor dan yang terbaru bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia di mana pakar mediation dari Austria memimpin kursus tersebut.

Melalui proses itu, pihak bertelingkah mampu mengekalkan silaturrahum sesama sendiri, justeru dijalankan dalam keadaan tertutup serta membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama sama menyelesaikan masalah secara hikmah dan santun.

Penubuhan PMI mengambil peranan menyediakan khidmat nasihat mengendalikan proses mediation bagi pihak bertelingkah berlandaskan prinsip prinsip Shariah. khidmat nasihat penyelesaian pertelingkahan berlandaskan Shariah.

Keunikan PMI ialah berupaya menyelesaikan pertikaian yang dibawa ke mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Malah pertikaian yang tidak dibawa ke mahkamah juga boleh dirujuk kepada PMI bagi penyelesaiannya. PMI adalah institut pertama akan menawarkan khimat nasihat serta kepakaran dalam proses mediation secara Islam selain proses sulh di Mahkamah Syariah.



ZAINUL RIJAL ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/02/2013

Dakwah Moden

TANGGUNGJAWAB untuk mengangkat dan menyebarkan syiar agama Islam tidak akan terhenti walaupun wafatnya Nabi Muhammad SAW. Peranan dilakukan oleh para pendakwah termasuk pihak berkuasa negara Islam telah menyebabkan agama itu diterima positif oleh pelbagai pihak termasuk masyarakat bukan beragama Islam.

Jika zaman dahulu, penyebaran agama Islam dijalankan melalui pelbagai cara seperti pelawaan dan penerangan tetapi pada masa kini memerlukan perancangan secara berhemah untuk menarik hati masyarakat khususnya generasi belia.

Maka timbul cetusan idea untuk meneruskan tanggungjawab dakwah melalui pelbagai saluran termasuklah media massa. Berbanding waktu sebelum ketibaan alaf baru, usaha dakwah hanya dibuat melalui cara ceramah, bengkel dan sebagainya tetapi kini kemunculan media baru seperti facebook, twitter dan youtube sedikit sebanyak telah membantu dakwah agama Islam.

Usaha itu bukan merupakan jalan yang mudah kerana tindakan tersebut memerlukan idea, kreativiti dan inovasi supaya masyarakat tidak bosan dengan penyampaian berkenaan.

Hal itu bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 125 Surah al-Nahl bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahas dengan mereka yang engkau serukan itu dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

Sehubungan itu, kewujudan saluran televisyen dan radio bercorak Islam, pembikinan filem, drama dan animasi adalah usaha terbaru yang dibuat oleh para pendakwah. Lebih membanggakan terdapat juga dalam kalangan mereka mencipta video komedi tetapi menyelitkan mesej keislaman lalu memuat turun dalam laman web video YouTube dan akhirnya mencatat bilangan jutaan pengunjung.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/02/2013

Keteguhan iman kaum muda dikagumi

SETELAH dibahaskan secara umum kisah Ashab al-Kahfi, maka ayat-ayat seterusnya akan diperjelaskan Allah SWT dengan lebih terperinci lagi. Lantaran itu, marilah sama-sama kita menghayati kisah Ashab al-Kahfi melalui nas Ilahi.

Firman Allah SWT: Kami ceritakan kepadamu (hai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (al-Kahfi: 13-14)

Ibnu Kathir berkata: Kisah Ashab al-Kahfi berlaku sebelum kedatangan agama Nasrani, bukan selepasnya. Oleh itu, pendapat ini amat bertentangan dengan riwayat kebanyakan mufassir yang percaya kepada berita yang didengar daripada orang Arab. Sebagai buktinya, pendeta-pendeta-pendeta Yahudi juga menghafal berita-berita tentang Ashab al-Kahfi itu.

Al-Maraghi berkata: Kami memberitahu berita tentang pemuda-pemuda yang berlindung di dalam gua dengan berita yang sebenarnya kepadamu, yang tidak patut lagi diragukan.

Ini merupakan suatu gambaran bahawa berita tentang mereka sudah terkenal di kalangan bangsa Arab menurut versi palsu. Hal itu ditunjukkan kepada dakwaan Umayyah Ibnu Abu Salat:

Yang ada di sana hanyalah batu beraksara,

Di samping binatang buas mereka,

Dan orang yang beribadah dalam gua.

Hamka berkata: Bagi orang yang beriman, keterangan ini adalah menerima "dari tangan pertama", yang mustahil dicampuri oleh kata-kata dusta dan sebarang penambahan. Di sini juga dijelaskan bahawa penghuni gua itu ialah anak-anak muda belaka, tidak bercampur dengan orang tua. Maka jika dilihat kepada perjuangan Baginda SAW di Kota Mekah itu kelihatan suatu pengalaman yang sepatutnya dijadikan pengajaran. Iaitu yang bersedia menjadi penganut dan pengikut ajaran tauhid yang dibawa Rasulullah SAW juga di kalangan anak-anak muda belaka.

Sedangkan golongan tua menjadi penghalang kerana mereka telah tenggelam dalam hidup jahiliah dan kebatilan selama ini. Setelah dasar iman itu tumbuh, ditambah pula dengan petunjuk Allah, sehingga bertemulah keinginan makhluk insani yang dahagakan kebenaran, dengan bimbingan yang datang daripada Tuhan sendiri sehingga sampai ke tempat yang dituju.

Penulis menyatakan ayat ini jelas menunjukkan betapa hebatnya golongan muda yang mempunyai keimanan dan ketakwaan. Hal ini sudah pasti akan bertambah kekuatan mereka dan Allah kurniakan kepada mereka bantuan hasil daripada pengorbanan mereka. Terdapat banyak hadis yang memuji golongan muda dan menegakkan agama Allah.

Oleh itu, tidak hairanlah ramai di kalangan sahabat adalah daripada golongan yang muda. Golongan pemuda dianggap aset yang penting bagi agama, negara dan bangsa dalam membina kekuatan, tamadun dan kehebatan satu-satu ummah untuk memacu ke arah kehebatan yang penuh gemilang.

Amat wajar orang muda yang menjadi aset utama negara diberikan sejumlah maklumat, motivasi dan sokongan agar mereka benar-benar meraih kehebatan dalam meneruskan sisa kehidupan.

Firman Allah SWT: Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.

Ibnu Kathir berkata: Kami jadikan mereka bersabar atas sebarang perlakuannya sehingga sanggup menentang kaum mereka sendiri, berhijrah meninggalkan desa dan negeri mereka daripada kehidupan yang selesa, kebahagiaan dan pelbagai kenikmatan yang telah mereka raih.

Ramai ahli tafsir, sama ada yang terdahulu atau yang kemudian menyebut bahawa mereka ini terdiri daripada anak pembesar Rom dan bangsawan yang dihormati.

Yang menyatukan mereka hanya akidah keimanan. Hal ini kebetulan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW mafhumnya: Semua roh bagaikan kumpulan tentera. Mana yang sesuai dan serasi, mereka akan bersatu, sebaliknya jika tidak serasi mereka akan berjauhan. Perumpamaan seperti ini amat sesuai kepada golongan Ashab al-Kahfi.

Menariknya lagi, ayat di atas pada hujungnya menyebut dengan lain yang membawa maksud memberikan suatu pengertian penegasan dan kesungguhan yang tidak mungkin boleh bertolak ansur dalam isu agama dan iman.

Lantaran itu, Ibnu Kathir menafsirkan dengan maksud: Kami tidak akan menyeru kepada selain Allah untuk selamanya kerana jika Kami lakukannya, maka sudah pasti membawa kepada kebatilan.

Sayid Qutub berkata: Bererti kami telah melampaui kebenarannya dan menyeleweng dari jalan yang betul.

Al-Maraghi berkata: Kami ilhamkan kepada mereka dengan kemahuan yang keras, meneguhkan mereka dengan cahaya keimanan sehingga jiwa mereka tidak menyukai lagi kehidupan mewah yang selama ini mereka alami bahkan membencinya.

Ketika berhadapan dengan raja yang kejam itu, Daqiyanus iaitu ketika raja mengecam mereka dengan pertanyaan mengapa tidak mahu menyembah patung-patung? Lantas mereka berkata: Tuhan kami adalah yang memiliki langit dan bumi dan pemelihara segala makhluk. Kemudian kata-kata tersebut dijelaskan lagi dengan pernyataan bahawa mereka hanya berlindung dengan Allah SWT.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 01/03/2013

Mengapa doa ditolak?

DOA itu senjata orang Mukmin. Setiap hari kita berdoa supaya dipanjangkan usia, sihat tubuh badan, bertambah rezeki, bertemu jodoh yang baik dan macam-macam lagi. Ada kalanya doa itu dimakbulkan Tuhan dan ada juga doa yang tidak dikabulkan.

Pernah kita terfikir mengapakah doa tidak dimakbulkan Allah? Apakah silapnya sehingga doa tersebut ditolak? Adakah kita tidak ikhlas ketika memanjangkan hajat ketika berdoa kepada Allah?

Sebenarnya ada banyak sebab mengapa doa diibarat layang-layang putus benang, dihempas angin ke hulu dan ke hilir tanpa kepastian. Selain faktor manusia yang mungkin kurang ikhlas dan banyak melakukan dosa, malah salah faktor kejayaan atau kegagalan mungkin disebabkan oleh isi kandungannya.

Ketika saat doa-doa dibaca dan dihafal, kebanyakannya kandungannya tidak jelas sedangkan syarat hajat dimakbulkan kerana isinya mantap dan mempunyai sumber rujukan yang sahih. ... Bacaan Lanjutan JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 01/03/2013

Komersial air jampi bertentangan dengan ruqyah

SELAIN perubatan moden, masyarakat kini turut mengambil langkah merawat penyakit menerusi pelbagai kaedah rawatan alternatif.

Walaupun usaha tersebut masih dalam kajian untuk dibuktikan kebenarannya, tetapi cara demikian sedikit sebanyak telah menyembuh pelbagai penyakit dalaman mahupun luaran.

Perubatan Islam turut tidak terlepas daripada menjadi salah satu cara rawatan alternatif yang digunakan oleh orang ramai kerana kemampuannya dalam mengubati penyakit.

Maka, tidak hairan pada masa kini, pertambahan pusat rawatan Islam tumbuh bagai cendawan selepas hujan kesan permintaan yang tinggi.

Selain itu, kesedaran umat Islam pada hari ini terhadap rawatan bomoh yang menipu pesakit menyebabkan ramai kembali mendapatkan perubatan Islam.

Bagaimanapun, ramai tersilap tanggapan apabila mengatakan bacaan jampi bukan tergolong dalam perubatan Islam.

Jampi sebenarnya termasuk dalam salah satu perubatan Islam apabila perkataan tersebut diistilah dalam bahasa Arab sebagai ruqyah.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggunakan jampi dalam peristiwa Israk Mikraj ketika mana baginda diganggu oleh jin Ifrit.

Jampi yang digunakan baginda dikenali sebagai Ruqayyah Jibril.

Bukan sahaja bacaan, malah baginda turut membacakan doa-doa tertentu ke atas bahan-bahan tertentu seperti mana hadis riwayat Abdullah Masud apabila beliau berkata melihat Rasulullah sedang sembahyang, ketika sujud jari baginda telah disengat oleh seekor kala jengking.

Lalu baginda pun berpaling dan berkata: "Allah melaknat kala jengking ini dan juga dilaknat oleh nabi serta tidak padanya yang lain." Kemudian baginda berdoa pada sebuah mangkuk yang berisi air dan garam, lalu baginda meletakkan tempat yang kena sengat dalam air garam dan membaca surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad) dan tawazun (al-mu'awwizatain) sehingga sembuh.

Tetapi bagaimana pula dengan persoalan air, makanan dan bahan-bahan yang dijampi dengan doa-doa tertentu yang dikomersialkan sehingga mengaut keuntungan berlipat-ganda?

Bahkan terdapat pengusaha didakwa mengeluarkan iklan yang bukan sahaja mengelirukan malah menipu orang ramai.

Hal ini berdasarkan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini yang akan mengambil tindakan ke atas pengusaha air jampi jika didapati melakukan kes seumpama itu.

Yang pasti perbuatan memanipulasi rawatan Islam dan jampi untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi yang membabitkan elemen penipuan sememangnya bertententangan dengan ajaran Islam.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa berkata, tindakan pihak-pihak tertentu pihaknya menyelar tindakan sesetengahyang mengaut keuntungan berlebihan dengan menjual air jampi dengan harga yang tinggi bertentangan dengan etika dan matlamat perubatan Islam.

Menurut Mohd. Fauzi, para pengusaha boleh menjual air jampi tetapi berdasarkan harga kos bahan tersebut dan bukannya meletakkan harga yang berlebihan sehingga masyarakat menganggapnya menyusahkan dan terlalu mahal.

Contohnya ujar beliau, sekiranya kos seliter RM1, maka para pengusaha tidak wajar meletakkan harga RM2 dengan mengambil keuntungan 100 peratus.

Prinsip perubatan Islam katanya, ialah hanya Allah sahaja boleh menyembuhkan penyakit dan bukannya disebabkan oleh air, makanan dan bahan-bahan lain.

Oleh itu, para pengusaha mengeluarkan iklan dan testimoni mengelirukan kepada orang ramai dengan memberikan contoh bahawa bahan dijampi itu telah menyembuh pesakit adalah tindakan yang salah.

Katanya lagi, perbuatan itu dibimbangi boleh mendatangkan fitnah kepada perubatan Islam malah agama tersebut sendiri.

"Sebagai contoh, pesakit menghidap barah meminum air dijampi al-Quran, selepas minum beliau tidak sembuh.

"Maka orang ramai akan kata, apalah ayat-ayat suci al-Quran tidak menyembuhkan sedangkan testimoni dan iklan air jampi mendakwa boleh mengubat penyakit.

"Jadi dalam soal ini, boleh membawa fitnah kepada al-Quran itu sendiri sekiranya masyarakat tidak dibimbing dengan mendidik mereka bahawa penyakit boleh diubati dengan hanya izin Allah," kata Mohd. Fauzi.

Sehubungan itu, Gappima menggesa pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan seperti hukuman denda terhadap para pengusaha yang ingkar sebagai amaran kepada pihak berkenaan supaya tidak sewenang-wenang melakukan kesalahan tersebut.

"Gappima menggesa pihak berkenaan jangan kaut keuntungan serta mengeluarkan iklan mengelirukan kerana usaha itu sebenarnya boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan imej buruk kepada agama Islam," ujar beliau.

Keikhlasan

Keikhlasan merupakan pokok utama dalam etika perubatan Islam termasuklah menjampi bahan-bahan tertentu lalu memberikan kepada pesakit.

Keikhlasan merupakan syarat paling penting sekali kerana kita berdoa kepada Allah untuk memohon keizinannya agar penyakit itu disembuhkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli berkata, niat untuk mengkomersialkan air atau makanan jampi dengan tujuan mengaut keuntungan sebenarnya telah bertentangan tujuan asal ruqyah.

Jelas Rushdi, perkara itu sebenarnya telah membuka pintu jual-beli bahan-bahan perubatan Islam lalu membawa kepada perniagaan untuk kepentingan peribadi.

Jelas beliau, ulama telah membahagikan konsep jampi atau ruqyah kepada berdoa kepada Allah dan yang kedua mendoakan atau menjampikan terhadap bahan-bahan tertentu lalu diberikan kepada pesakit.

"Atas dasar berkenaan, maka wujudnya penggunaan air atau makanan jampi dalam merawat pesakit.

"Ini bertepatan dengan syariat Islam sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah sendiri.

"Tetapi apabila dikomersialkan, konsep asal untuk merawat telah bertentangan dengan asas ruqyah. Jadi Islam melarang perbuatan demikian dikhuatiri berlaku kepincangan dalam soal jual-beli air jampi," kata Rushdi.

Beliau mengambil satu fatwa daripada seorang ulama Abdullah Abd. Rahman al-Jabari yang menyatakan tiada halangan untuk menjual air, minyak zaitun dan madu yang didoakan atau dijampi dengan harga munasabah, tetapi ruqyah dilakukan itu tiada ada harga.

"Ulama itu berpendapat jangan seseorang itu menjual air jampi dengan harga yang mahal kerana perbuatan itu mengurangkan manfaat dan keberkesanannya.

"Jadi dalam perubatan Islam, hendaklah kita kembali kepada konsep asal iaitu menanamkan niat ikhlas untuk menyembuh penyakit dan segalanya akan sembuh dengan izin Allah," kata pensyarah kanan berkenaan.

Jampi melalui radio

Terdapat dakwaan yang mengatakan lebih baik memasang rakaman audio bacaan al-Quran terhadap bahan-bahan hendak dijampi seperti air dan makanan daripada mengharapkan perawat atau pesakit sendiri melakukannya.

Bagi menjelaskan dakwaan itu, Rushdi berkata bacaan jampi merupakan satu doa daripada isi hati manusia kepada Allah dengan mengharapkan keizinan Ilahi untuk menyembuhkan penyakit.

Jika dipasang rakaman audio, jelas beliau telah bertentangan konsep doa kerana radio bukan merupakan benda yang hidup.

"Alat itu tidak boleh berdoa melainkan manusia, kita adalah makhluk hidup. Maka secara logiknya, kita boleh berdoa untuk memohon hajat kepada Allah.

"Berlainan pula air zam-zam, bahan mineral itu penuh keberkatan bukan sahaja berada di kota suci Mekah tetapi daripada kesan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan laungan azan secara langsung daripada imam dan bilal Masjid Haram," kata beliau.

Beliau menggesa pihak yang melakukan perbuatan demikian supaya menghentikannya agar umat Islam tidak terkeliru selain dikhuatiri menimbulkan tanggapan negatif terhadap amalan jampi sedangkan daripada sudut asalnya bertepatan dengan syariat Islam.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 01/03/2013  <a data-cke-saved-href="http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130301/ba_01/Komersial-air-jampi-bertentangan-dengan-ruqyah#ixzz2MR4W22YJ" href="http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130301/ba_01/Komersial-air-jampi-bertentangan-dengan-ruqyah#ixzz2MR4W22YJ" ;="" color:="" rgb(0,="" 51,="" 153);"="" lj-cmd="LJLink2">

Aspek integriti dalam kepimpinan parti politik

PAKATAN pembangkang telah mengumumkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan ini bermakna hari penentuan parti manakah yang akan memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang semakin hampir. Namun yang berhak membubarkan Parlimen adalah Perdana Menteri.

Menariknya melihat PRU-13 kali ini adalah kesungguhan kedua-dua pihak dalam mempengaruhi 13.3 juta pengundi berdaftar agar memilih calon yang mewakili parti-parti mereka.

Pakatan pembangkang turut mengumumkan bahawa sudah bersedia bersaing satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan sejak 55 tahun lalu dan menang dalam kesemua 12 siri PRU.

Pada PRU-12, ia membuktikan parti-parti pembangkang boleh membentuk sebuah pakatan yang kuat apabila buat pertama kalinya mereka berjaya mencapai kesepakatan untuk berlawan dengan BN satu lawan satu. Hasilnya, keputusan PRU-12 pakatan pembangkang menang 82 kerusi Parlimen dan berkuasa di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah serta kekal di Kelantan.

Kekuatan itulah juga menjadikan PRU-12 tidak pernah sunyi dengan kempen kedua-dua pihak secara berterusan. Pakatan pembangkang berusaha untuk melaksanakan agendanya, iaitu menukarkan kerajaan dengan apa cara sekali pun termasuk desakan supaya diadakan pilihan raya lebih awal, menganjurkan perarakan terutama di Kuala Lumpur, merancang lebih banyak pilihan raya kecil dan memburuk-burukkan kerajaan.

Bagi memperkuatkan sokongan rakyat, pakatan pembangkang melaksanakan siri propaganda tanpa henti sebagai usaha membentuk persepsi buruk terhadap anggota polis, badan kehakiman, sistem undang-undang dan seterusnya perang psikologi terhadap pemimpin yang BN.

PRU-13 bakal menjadi persaingan yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya Malaysia kerana pakatan pembangkang merasakan inilah peluang terbaik untuk menang dan menyingkirkan penguasaan BN.

Tentunya apabila Dewan Rakyat dibubarkan, situasi kempen akan menjadi semakin panas dan sukar dikawal lagi. Pakatan pembangkang akan melancarkan pelbagai tindakan provokasi dan berdasarkan kecenderungan yang sudah dipamerkan dua tahun terakhir ini, jelas membuktikan pakatan pembangkang tidak akan memperlahankan rentaknya.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang sudah melakukan banyak kesilapan yang agak sukar diperbetulkan dan rakyat mula merasakan jika pakatan pembangkang memerintah, rakyat dan keringat rakyat tidak akan menjadi lebih baik.

Faktor yang menyebabkan imej pakatan pembangkang terjejas ialah hebatnya political bashing antara parti dalam gabungan itu yang belum boleh bermuafakat dalam ideologi; amalan kroni dan nepotisme dalam proses pemilihan parti; dwistandard dalam menentukan tahap kebebasan; tekanan keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam; tuntutan manifesto PRU-12 yang tidak ditepati; kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pakatan pembangkang; penggondolan hutan simpanan; 'perseteruan kekal' dengan UMNO dan BN; pendirian yang berubah-ubah dalam sesuatu isu; dan serangan dan pendedahan oleh bekas wakil rakyat pakatan pembangkang yang semakin lantang dan keras.

Wakil-wakil rakyat yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas sanggup melakukan lebih banyak pendedahan bagi menghalang kemenangan pakatan pembangkang. Senario inilah yang dijangka memanaskan suhu kempen PRU-13 nanti dan tentunya ia mudah cenderung mencetuskan pergaduhan jika tidak berwaspada.

Eloklah kalau semua parti yang bertanding menandatangani perjanjian untuk menjaga perilaku penyokong parti masing-masing. Kalau Perdana Menteri boleh menandatangani pengakuan menjaga tahap integriti, maka tiada sebab yang kukuh wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang enggan mengambil pendirian yang sama.

Ia penting untuk tidak mencipta hal-hal yang negatif dan tidak betul, kerana serangan tanpa fakta yang kukuh itulah menyebabkan keghairahan bersaing bertukar kepada keghairahan bergaduh sehingga boleh mencetuskan konflik berdarah.

Walhal aspek integriti amat ditekankan dalam ajaran Islam. Integriti menjadi nilai teras yang mesti dipegang teguh oleh semua kepemimpinan sama ada pihak yang memerintah mahupun pihak pembangkang. Dengan wujudnya kesedaran integriti yang kukuh, maka kerajaan itu sendiri akan dilihat sebagai kerajaan yang bertunjangkan kepada kerajaan yang bersih.

Pemerintahan yang bersih amat ditekankan oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi yang bermaksud: "Rasulullah bersabda sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hakim/kadi (pemerintah) sepanjang dia tidak pecah amanah. Kalau dia sudah pecah amanah maka Allah akan menjauh daripadanya, dan syaitan menjadi temannya".

Allah amat menyanjung dan menghormati perilaku orang yang konsisten memegang integriti. Tiada balasan yang paling tepat bagi orang yang jujur dan berintegriti ini melainkan balasan syurga sebagaimana yang digambarkan oleh Allah. Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan perbuatannya) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar". ( Al Maidah 119).

Bagi menjamin tidak berlaku insiden negatif, setiap calon dan parti yang bakal bertanding perlu memberikan jaminan bertulis, bahawa akan menerima sebarang keputusan PRU-13 dengan sihat, tidak mencipta dakwaan tanpa bukti atas sesuatu kesalahan.

Parti yang menang, tidak menambahkan tekanan terhadap mereka yang kalah, dan mereka yang kalah, menerima keputusan itu dengan tenang. Jika dibuktikan ada kesilapan, maka proses penyelesaiannya hendaklah dilakukan secara beradab dan bukan membawanya ke jalan raya.

Tidak perlu mengimport Arab Spring kerana ia membangkitkan emosi marah dan membuktikan ketidakmatangan sebahagian daripada kita mengenai politik. Kaedah penyelesaian dengan cara itu, tidak membantu melakarkan keberanian moral yang terpuji dan memperlekehkan kaedah berpolitik dalam konteks Islam.

Bertanding memang dibolehkan tetapi berperang kerana ingin menang dilarang dan undang-undang perlu dijadikan pedoman. Kalau wakil rakyat tidak menghormati undang-undang, ia amat malang kepada wakil rakyat itu sendiri. Wakil rakyatlah sebenarnya yang memberikan keputusan sama ada sesuatu undang-undang itu dilulus, dipinda, ditolak ataupun dimansuhkan.

Jangan pula ada kecenderungan wakil rakyat menentang undang-undang yang telah mereka luluskan. Jika tidak, sampai bila pun tahap keyakinan umum terhadap wakil rakyat akan terus berada dalam senarai profesion yang paling rendah tahap kepercayaan masyarakat. Ia pernah dibuktikan dalam satu tinjauan pendapat (2006) terhadap lebih 2,000 responden dalam kalangan mahasiswa, ahli politik adalah kumpulan profesion yang paling tidak dipercayai.

Meskipun ia adalah persepsi yang tidak menggambarkan sikap sebenar masyarakat, sekurang-kurangnya dapatan itu mengingatkan kepada mereka yang bakal dipilih sebagai calon wakil rakyat. Jika calon pakatan pembangkang enggan melakukannya, ia sekali gus mencerminkan "cakap tidak serupa bikin".

Kalau calon yang enggan menyahut cadangan Transparency International Malaysia kalah, bermakna kekalahan tersebut bukanlah disebabkan oleh UMNO, ia disumbangkan oleh pendirian calon itu sendiri yang gagal membuktikan dirinya bersih atau dilihat bersih.



DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 01/03/2013